Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Saturday, December 27, 2008

Penswastaan IJN : Orang Lain Makan Nangka, Orang Lain Kena Getah

1. Cadangan penswastaan Institut Jantung Negara (IJN) mendapat bantahan pelbagai pihak. Rata-rata mempertikaikan kewajaran menyerahkan perkhidmatan kesihatan kepada organisasi korporat yang bermotifkan keuntungan.

2. Saya difahamkan apa yang berlaku ialah cadangan penswastaan itu dikemukakan oleh sebuah syarikat perundingan (konsultan) kepada Kerajaan.

3. Dalam hal ini, kita ingin bertanya:
(a) siapakah konsultan yang mengemukakan cadangan tersebut, dan

(b) berapakah jumlah keuntungan yang bakal diperolehi sekiranya cadangan itu menjadi realiti.
4. Sekiranya ada pihak yang perlu menjawab bantahan rakyat, ia adalah konsultan yang membuat cadangan itu yang sehingga kini tidak menjelaskan rasional cadangan tersebut.

5. Oleh itu, saya berpendapat adalah tidak wajar Kerajaan dan Kabinet dipersalahkan dalam hal ini. Kerajaan hanya menerima kertas cadangan dan membuat pertimbangan sama seperti yang dilakukan terhadap cadangan-cadangan lain.

6. Saya bersetuju bahawa perkhidmatan kesihatan tidak sewajarnya dilepaskan kepada sektor swasta semata-mata. Sekiranya Sime Darby atau mana-mana GLC bermotifkan keuntungan berhasrat untuk terlibat dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan, maka sewajarnya ia membuka hospital jantung sendiri -- bukannya dengan mengambilalih IJN.

7. Dengan cara ini mereka boleh menawarkan perkhidmatan kesihatan premium kepada golongan berada atau pesakit dari luar negara; tanpa meningkatkan kos rakyat mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara sekarang.

8. Usahlah menjadi seperti "Orang lain makan nangka, orang lain yang kena getah; Orang lain nak untung berjuta, orang lain yang melatah!"

Sunday, December 21, 2008

Kembalikan Matematik dan Sains Kepada Bahasa Melayu


1. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan pada Januari 2003 bertujuan melahirkan kumpulan pelajar yang berkebolehan menulis, memahami dan berfikir dalam bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini. Ini kerana di peringkat universiti atau pengajian tinggi banyak buku dan makalah dalam kedua-dua subjek ini diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

2. Dengan kata lain matlamat utama PPSMI ialah untuk melahirkan kumpulan pelajar yang menguasai ilmu terkini dalam kedua-dua bidang. Ia juga bertujuan melahirkan tenaga akademik yang berupaya menulis di dalam jurnal antarabangsa dan tenaga kerja yang memenuhi tuntutan pasaran kerja.

3. Di samping itu, PPSMI diharap dapat melahirkan generasi muda yang berkebolehan menggunakan bahasa Inggeris dengan baik.

4. Saban tahun polemik ini tidak pernah padam. Rencam pendapat dan alasannya pelbagai. Yang menyokong melihat dari sudut kepentingan generasi muda menguasai bahasa Inggeris dengan baik dalam menghadapi arus globalisasi.

5. Yang menentang pula melihat dari sudut penghakisan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama Malaysia dan juga sebagai bahasa pengantar di Institut Pengajian Tinggi Awam.

6. Yang berbelah bagi ialah ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa menghadapi secara langsung kesan kepada sistem ini. Bagi golongan Melayu kelas elit dan pertengahan mereka kurang menghadapi masalah kerana anak-anak mereka telah pun didedahkan dengan pengajaran dalam bahasa Inggeris sejak di tadika lagi.

7. Bagi kebanyakan orang Melayu, anak-anak mereka masih berfikir, bercakap, menulis dan membaca dalam bahasa Melayu. Jika dulu ramai anak-anak Melayu merasa terasing dan sering tidak berminat dengan kelas bahasa Inggeris, hari ini sudah menular pula ke kelas matematik dan sains. Selain tidak faham, mereka juga merasa rendah diri dengan kekurangan dalam penguasaan bahasa Inggeris.

8. Saya memahami hasrat kerajaan untuk melakukan kejutan budaya terhadap anak-anak di sekolah dan juga ibu bapa. Memang benar, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

9. Ibu bapa juga mahu anak-anak mereka mahir dalam bahasa Inggeris. Tapi apakah bahasa Inggeris lebih penting dari kemahiran hidup seperti ilmu hisab (matematik) dan sains? Tentu ramai ibu bapa yang tidak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

10. Namun setelah lima tahun pelaksanaannya, kita perlu bertanya kembali, ruyung yang mahu dipecahkan sudah mengeluarkan sagu atau yang dikendong berciciran yang dikejar entah ke mana?

11. Apa guna kita melahirkan seribu ahli akademik yang melahirkan pendapat akademik dalam bahasa Inggeris dan terbentang dalam jurnal antarabangsa tetapi beratus ribu anak Melayu akan datang tidak menguasai kemahiran asas mengira dan juga ilmu kemahiran hidup (sains)?

12. Oleh kerana matematik dan sains juga merupakan matapelajaran teras dalam peperiksaan (dan juga ketika memohon kebanyakan pekerjaaan yang baik) , saya khuatir jurang di kalangan generasi muda bandar dan luar bandar akan bertambah jauh.

13. Saya akui kepentingan kemahiran bahasa Inggeris. Namun telah jelas setelah enam tahun ia dilaksanakan tentangan terhadap PPSMI bukan kian mengecil malah kian membesar. Ini menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap kemampuan PSSMI membina generasi muda yang lebih baik kian terhakis.

14. Setelah mendengar banyak pendapat di bawah, juga pandangan di atas, yang dari “kiri”, juga “kanan” dan “atas pagar”, saya fikir:

a. Sudah tiba masanya kerajaan kembali kepada sistem pengajaran yang lama menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa Pengantar untuk Matematik dan Sains di sekolah terutamanya dari tahun satu sehingga ke Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.

b. Di samping itu, memandangkan telah beratus juta dibelanjakan untuk sistem PPSMI ini maka ia harus terus dieksploistasi sebaik mungkin. Justeru, saya ingin mencadangkan agar kementerian pelajaran meneruskan PSSMI ini sebagai satu kelas tambahan selama dua atau tiga jam seminggu untuk setiap tahap pengajian bermula tahun satu.

c. Elaun tambahan yang sebelum ini diberikan kepada guru PPSMI boleh dikekalkan dengan syarat mereka memperuntukkan beberapa jam tertentu dalam seminggu mengajar kelas tambahan sebelah petang kepada para pelajar.

d. Dengan cara ini pelajar akan mendapat keuntungan maksima dari segi penguasaan Matemati dan Sains dan juga penguasaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini.

e. Jika penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi isu, maka sukatan pelajaran bahasa Inggeris sendiri perlu dirombak dan dicari kaedah yang lebih baik termasuk memperkenalkan mata pelajaran kesusasteraan inggeris di peringkat lebih awal.

15. Saya sedar betapa Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin menghadapi keadaan yang amat sukar untuk membuat keputusan. Ini kerana walau apa pun keputusan yang dibuat ia akan tetap membangkitkan polemik baru. Tidak mungkin sesuatu keputusan yang dibuat akan memuaskan hati semua pihak.

16. Namun keputusan ini harus di buat atas kepentingan anak bangsa bukannya ego politik parti pemerintah mahu pun berdasarkan siapa yang paling kuat melobi.

17. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Demikian juga kerajaan yang mengubah sesuatu keputusan demi kebaikan yang lebih besar tidak akan jatuh maruahnya.

Wednesday, December 10, 2008

Kegagalan Sistem Pengawasan Punca Tragedi Berulang?


1. Tragedi yang berlaku di Bukit Antarabangsa ahad lalu sangat menyedihkan. Saya mendapat panggilan jam 4 pagi mengenai perkara tersebut dan terus membuat beberapa panggilan kepada pihak berkuasa bagi mendapat maklumat sebenar.

2. Sungguhpun laporan sebuah akhbar tempatan selepas peristiwa tersebut menunjukkan seolah-olah saya dan Tan Sri Khalid saling salah menyalahkan, namun ia bukanlah gambaran sebenar. Kenyataan saya bahawa projek pembangunan tersebut diluluskan sebelum pentadbiran saya adalah tepat. Demikian juga kenyataan Tan Sri Khalid bahawa projek tersebut diluluskan oleh pentadbiran sebelumnya. Memang projek tersebut diluluskan lama sebelum saya mahu pun Tan Sri Khalid menjadi Menteri Besar.

3. Pembangunan di kawasan tanah tinggi bukanlah fenomena baru. Kita lihat pembangunan Genting Highlands telah berlangsung sejak tahun 60-an tetapi masih utuh. Jadi soalnya bukanlah pembangunan tanah tinggi tetapi bagaimana memastikan pembangunan yang dijalankan terancang, mampan dan tidak memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan orang ramai pada masa hadapan.

4. Sebenarnya banyak kawasan runtuh adalah melibatkan kawasan yang dibangunkan lebih 20 tahun lalu. Mungkin ketika itu kesedaran dan pengetahuan mengenai sistem aliran air bawah tanah dan keadaan muka bumi tanah amat cetek. Teknologi dan kaedah pembangunan juga tidak mementingkan sistem perparitan yang baik dan pengukuhan tanah sekeliling kawasan pembangunan.

5. Pandangan awal saya (kita perlu menunggu siasatan terperinci pihak teknikal untuk mengetahui sebab sebenar), pembangunan kawasan ini tidak diawasi dan diselenggara dengan baik terutamanya sistem perparitan. Kawasan ini juga tidak dibangunkan secara sepenuhnya yang menyebabkan tanah yang tidak dibangunkan tidak ada yang menjaga atau mengawasinya sehingga tanda-tanda awal kelemahan struktur tanah tidak dapat di kesan. Ini ditambah pula dengan tidak ada undang-undang khusus yang boleh dikenakan ke atas pemilik tanah terbiar ini.

6. Untuk pengetahuan umum, pembangunan kawasan baru hanya diluluskan setelah mendapat kelulusan semua jabatan teknikal dalam jawatankuasa khas. Jawatan kuasa khas ini diketuai oleh setiausaha kerajaan negeri. Syarat ketat pengukuhan lereng dilaksanakan sepenuhnya. Sepanjang pentadbiran saya, tiada pengaruh politik yang terlibat dalam meluluskan projek projek tersebut. Semua ketua jabatan dan pakar-pakar pembangunan lereng bukit terlibat dalam melulus, menyelia dan memantau pembangunan tersebut. Kerajaan Selangor juga telah membuat keputusan pembangunan lereng bukit kelas 3 dan kelas 4 diberhentikan sejak tahun 2oo6.

7. Dahulu juga saya ada menubuhkan pasukan khas untuk memantau lereng bukit berisiko tinggi yang terdiri dari pakar-pakar dari JKR, JPS, PBT, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Geologi dan jabatan teknikal lain. Laporan mesti dibentangkan setiap tiga bulan, sebab itu tiada kejadian tanah runtuh yang serius selepas peristiwa di kampung pasir tahun 2006.

8. Kerajaan Selangor yang lepas juga telah mengenakan denda maksima RM 500 ribu kepada mana mana pemaju yang gagal menyelenggara kolam takungan dengan sempurna. Hampir RM 6 juta dikutip hasil denda ini.

9. Saya tidak pasti sama ada sistem 'monitoring' ini masih diteruskan atau tidak oleh kerajaan hari ini. Jika ia masih diteruskan saya tertanya-tanya mengapa tiada maklumat awal mengenai kejadian tanah runtuh ini. Saya difahamkan kelemahan struktur tanah tidak berlaku dalam sehari dua, sebaliknya ia mengambil masa berminggu-minggu malah berbulan sebelum berlaku tanah runtuh.

10. Mungkin selepas ini ada pula yang ingin mencari siapakah yang bertanggungjawab meluluskan pembangunan lereng bukit 20 tahun lalu di Bukit Antarabangsa. Saya fikir mencari salah siapa tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya yang perlu dibincang dan dibahaskan hari ini ialah apakah langkah terbaik bagi menjaga pembangunan kawasan lereng bukit sedia ada dari mengalami nasib yang sama.

11. Selain melakukan pengawasan secara kerap dan berkala, saya ingin mencadangkan dua tindakan (yang saya pernah cadangkan suatu ketika dahulu) untuk diambil oleh pihak berkuasa dalam menangani isu ini.

a. Pertamanya kerajaan perlu memberi peruntukan untuk mengukuhkan cerun-cerun yang berkaitan dengan pembangunan lama. Pada hemat saya ia mungkin mencecah berbilion ringgit termasuk mengambil semula tanah tanah milik persendirian yang terbiar.

b. Keduanya bagi kawasan yang terlalu kritikal menurut pandangan pakar haruslah ada usaha memindahkan penduduk ke kawasan baru.

Dalam ketika kita sibuk menunding jari mencari salah siapa, usaha mengatasi masalah juga harus diutamakan. Masalah tidak akan selesai dengan hanya mencari salah orang lain.

Sunday, December 7, 2008

Selamat menyambut aidiladha.

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambuit Hari Raya Korban pada semua sahabat sahabat dan pengunjung blog ini,semoga Allah memberkati usaha kita selama ini,insyaallah.

Korban merupakan perkataan yang mudah diungkapkan tetapi amat sukar untuk direalisasikan,sebab itu perkataan ini sering terpacul dari mulut kita tanpa kita merasa bertanggongjawab terhadap tuntutannya.

Berkorban ataupon pengorbanan mempunyai pengaruh yang besar dalam hidup kita,malah kita merasakan hidup kita adalah bertujuan untuk berkorban ataupon membuat pengorbanan,sama ada untuk diri kita,keluarga kita,bangsa kita mahupon agama kita.

Persolannya sekarang sejauh manakah kita sanggup berkorban untuk diri kita meninggalkan sifat sifat mazmumah yang menjadi kebiasaan dan yang kita lakukan setiap hari seperti buruksangka dengan orang lain,memanjangkan fitnah dan cerita yang kita tidak tahu hujung pangkalnya, mencaci maki antara sesama ummat,memandang rendah pada orang lain dan banyak lagi.Oleh kerana ia telah jadi kebiasaan maka sukar untuk kita tinggalkan kecuali kita sanggup berkorban dan membuat pengorbanan untuk meninggalkan kebiasaan kita itu.

Sejauh manakah kita sanggup berkorban untuk kesejahteraan keluarga kita?.Sanggupkah kita berkorban perasaan dan rasa sakit hati kita demi menjaga kebahgiaan rumahtangga kita?.Sanggupkah kita berkorban hobi kita,sesuatu yang menyeronokkan dalam hidup kita demi kepentingan orang lain terutamanya insan yang kita sayangi?.

Jika kita sanggup melakukan semua itu insyaallah kita akan menemui ketenangan dalam hidup kita.Ketenangan itu hanya akan dimiliki oleh orang yang merasakan pengorbanannya itu dihargai.Kadar penceraian dan pergaduhan rumahtangga yang tinggi hari ini berlaku kerana kita masih tercari cari ketenangan hidup tetapi kita tidak mahu melakukan pengorbanan atau berkorban untuk orang lain.

Pengorbanan untuk agama bangsa memerlukan kesungguhan yang luar biasa.Ramai yang menganggap mereka telah berkorban untuk agama bangsa setelah mereka melakukan tugasan hakiki mereka,tetapi sebenarnya berkorban untuk bangsa agama lebih dari itu,sebagai contoh seorang pegawai itu menganggap beliau telah melakukan pengorbanan semasa menjawat jawatan tetapi bila berpencen beliau bertindak menghancurkan kestabilan negara,Saya menganggap beliau tidak berkorban untuk agama bangsa sebaliknya beliau bertindak mengorbankan segala usaha yang dibuat selama beliau bertugas dalam kerajaan.

Berkorban lah kita untuk agama bangsa,berkorbanlah kita untuk keluarga kita,berkorbanlah kita untuk diri kita tetapi jangan sampai kita jadi mangsa korban atas kesilapan kita sendiri. Ikutilah jejak Haabil berkorban dan mendapat restu allah dan janganlah ikut jejak Qaabil berkorban juga tetapi mendapat cemuhan Allah s.w.t.

Friday, December 5, 2008

Catatan I

Penyapu Punya Hal

Pada tahun lalu anugerah Penyapu telah menjadi bahan polemik hebat sehinggakan sesetengah pihak menganggapnya sebagai satu penghinaan dan membawa sial. Malah tak kurang mengatakan saya bersikap sombong ketika itu. Alhamdulillah kerana niat yang ikhlas, tujuannya yang baik dan mendapat persetujuan semua pegawai kerajaan, maka hasilnya terbukti positif.

Ini dapat dijelaskan bila saudara Tukiman yang masih memegang jawatan Yang Di Pertua Majlis Daerah Hulu Selangor, insan yang sama menerima hadiah penyapu pada tahun lalu masih mengetuai jabatan yang sama, mendapat anugerah kecemerlangan negeri Selangor bagi tahun 2007, dengan pencapaian indeks prestasi yang meningkat daripada 47% kepada 94% dan membawa pulang RM 100 ribu.

Alhamdulillah hadiah ini menunjukkan bahawa tohmahan terhadap saya adalah tidak betul. Apa yang dirancang dan laksanakan telah membawa kebaikan. Akhirnya kita melihat Pakatan Rakyat Selangor terpaksa menelan kata-kata mereka sebelum ini kerana pengiktirafan ini dibuat oleh mereka sendiri. Dahulu mereka sendiri mendakwa semangat kakitangan kerajaan berada di tahap rendah, malangnya hari ini mereka pula mengiktiraf "kebangkitan" Majlis Daerah tersebut. bak kata orang tua-tua, bila meludah ke langit, akhirnya jatuh ke muka jua.

Menteri Besar Yang Sombong

Tindakan sebahagian penyewa rumah PPR merancang untuk mengadakan demontrasi bogel kerana merasakan tidak mendapat perhatian yang sewajarnya daripada Menteri Besar merupakan satu titik bersejarah dalam arena politik negara. Tentulah ada sesuatu yang sangat tidak kena sehingga sekumpulan penduduk Selangor yang tidak mempunyai kepentingan politik parti membuat ugutan sedemikian.

Mereka ini terdesak atas kenaikan kos hidup dan mahu Menteri Besar mendengar pandangan mereka mengenai kenaikan sewa rumah milik kerajaan Selangor yang dianggap membebankan. Mereka berharap untuk berjumpa dengan YAB Tan Sri untuk mendengar masalah mereka. Malangnya Menteri Besar yang sombong ini berdolak dalik dan mencari pelbagai alasan untuk membatalkan perjumpaan.

Saya harap Menteri Besar yang dulunya berjanji akan bersifat lemah lembut dan prihatin masalah rakyat akan dapat melayani permintaan mereka. Sekadar ingin berjumpa, meluahkan perasaan mereka, apa salahnya? Mengapakah begitu sukar untuk Tan Sri Khalid berjumpa dan mendengar pandangan mereka terlebih dahulu?

Ini bukan kali pertama YAB Menteri Besar bersifat sombong dan bongkak. Kita masih belum lupa ketika daerah klang dilanda ribut, Menteri Besar yang sama juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa seorang Menteri Besar tidak perlu turun ke bawah melihat dan merasai kesusahan rakyat yang dilanda ribut tersebut.

Katanya, adalah pembaziran untuk beliau turun ke bawah melihat bencana yang menimpa rakyat kerana setiap kali beliau beliau turun ia melibatkan kos yang tinggi. Ini kerana beliau perlu turun bersama sepasukan para pegawainya.

Saya dulu turun melihat mangsa banjir dan ribut bagi membolehkan bantuan dapat disampaikan dengan kadar paling segera dan juga melihat sendiri permasalahan rakyat. MB boleh memilih untuk turun secara sendirian seperti yang pernah saya lakukan beberapa kali dahulu atau turun bersama para pegawai untuk mengefisyenkan lagi penyaluran bantuan.

Jika untung rugi diambil kira menangani bencana yang berlaku ke atas rakyat, maka kita juga perlu mempersoalkan kehadiran MB di majlis-majlis lain yang bercorak "ceremonial" dan "perayaan". Apakah ia tidak membabitkan para pegawainya? Jika ya, adakah ia tidak membazirkan kewangan kerajaan? Mana lebih membazir para pegawai turun ke acara rasmi atau turun membantu mangsa bencana.

Saya berharap MB dapat mengubah gaya korporatnya atau pun sikap sombongnya itu. Kedua-duanya tidak akan menguntungkan negeri Selangor.

Projek CAR TNB

Projek ini amat penting kepada Lembah Klang jika ia dilewatkan kemungkinan besar seluruh negeri Selangor dan Putrajaya akan menghadapi masalah kekurangan bekalan elektrik dan berhadapan dengan kegelapan. Lebih parah lagi banyak industri akan menghadapi masalah dan angkat kaki ke negeri yang lain.

Ketika BN menerajui kerajaan, kita telah setuju kawasan talian lama TNB itu dinaiktarafkan tanpa melalui kawasan baru. Cuma kita menghadapi masalah dengan lebih kurang 20 keluarga cina yang tidak mahu berpindah dan ia dijuarai oleh parti DAP pada ketika itu, dan sekarang oleh PKR.

Sepatutnya kerajaan hari ini menjalankan penguatkuasaan untuk memindahkan 20 keluarga tersebut. Saya difahamkan TNB telah setuju untuk membayar pampasan sehingga dua kali ganda daripada penilaian harta yang dimiliki oleh penduduk tersebut. Tetapi wakil rakyat PKR DUN Rawang telah mendesak agar projek TNB ini ditukarkan ke kawasan Sungai Samak dan Taman Tun Perak yang melibatkan kawasan yang dimiliki oleh orang Melayu.

YB Wakil Rakyat Rawang menuduh saya cuba memainkan isu perkauman, Beliau menuduh saya bersikap perkauman apabila bersetuju pemindahan penduduk kerana ia membabitkan kaum cina. Ini bukan sahaja tidak benar malah mengelirukan orang ramai.

Hakikatnya kawasan yang dipersetujui itu merupakan laluan asal talian TNB. Apabila ia dinaikkan kapasiti talian, maka ia tidak sesuai lagi untuk penduduk terus tinggal berhampirannya. Perlulah dijelaskan bahawa tanah tersebut merupakan milik TNB. Para penduduk hanya diberi tanah berstatus TOL pada awalnya. Kemudian atas desakan para penduduk, pejabat daerah memberikan status pemilikan kepada penduduk di situ.

Sungguh begitu masalah pemilikan tanah dianggap selesai bila mana kerajaan negeri setuju untuk mengambil balik tanah tersebut dan TNB telah setuju membayar pampasan seperti yang dituntut. Adalah tidak masuk akal untuk wakil rakyat tersebut mahu pun kerajaan negeri memindahkan talian tersebut ke tempat yang lain dan memberi kesan yang tidak sewajar ditanggung oleh penduduk di Sungai samak dan Tun Perak.

Janganlah kerana desakan dua puluh keluarga yang memang sewajarnya dipindahkan kerana tinggal dibawah talian TNB lama, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk memindahkan ke tempat yang lain dengan penambahan kos yang jauh lebih tinggi dan masalah penduduk yang lebih ramai.

Saya bimbang kerana terlalu mengikut telunjuk DAP, kerajaan negeri tidak berani membuat keputusan. Ini satu lagi bukti Menteri Besar terlalu mengikut telunjuk DAP dalam memerintah negeri.

Friday, November 28, 2008

12 Peratus Milik Siapa?

Assalamualaikum dan salam sejahtera para bloggers sekalian,

1. Hari ini orang Melayu diasak oleh segelintir pemimpin politik bukan Melayu yang mahu segala dasar pro bumiputera dihapuskan. Alasan mereka dalam zaman globalisasi ini, dasar-dasar yang membantu kaum atau golongan yang lemah atau "kurang kuat" untuk bersaing sebagai sesuatu yang tidak sihat dan menjadikan ekonomi negara tidak kompetitif.

2. Bagi kumpulan ini, apa sahaja keistimewaan atau dasar pro Bumiputera haruslah dihapuskan sepenuhnya. Mereka mahu orang Melayu dan Bumiputera bersaing sendiri tanpa mengambil kira bahawa orang Melayu telah ditindas selama lebih 400 tahun oleh penjajah.

3. Malahan kumpulan ini juga mengabaikan fakta bahawa 100 tahun terakhir sebelum merdeka juga penjajah British memberi banyak ruang kepada kaum imigran untuk membentuk perniagaan mereka. Manakala kaum pribumi dicurigai sebagai pejuang kemerdekaan dan "pengacau" pentadbiran Kerajaan Inggeris.

4. Apabila merdeka sehingga tahun 1970, orang Melayu sukar bersaing dalam bidang perniagaan, pendidikan dan pekerjaan kerana ketiadaan ruang dan peluang. Peluang perniagaan ketika itu banyak dimnopoli oleh kaum Cina yang telah lama bertapak membina rangkaian perniagaan sesama mereka. Peluang pendidikan tinggi kepada orang melayu juga terhad kecuali di kalangan anak-anak kerabat diraja dan beberapa kerat orang kaya Melayu.

5. Gabungan ketiadaan peluang dalam bidang perniagaan dan pendidikan menyebabkan orang Melayu hanya menjadi peon, kerani dan guru sekolah biasa. Selepas kemunculan DEB lah orang Melayu mula diberi peluang untuk mendapat pendidikan yang lebih baik sehingga ramai layak memasuki universiti tempatan dan luar negara.

6. Hari ini kehidupan orang Melayu sudah jauh berbeza. Golongan Melayu kelas menengah sudah menjadi satu pandangan biasa di negara ini. Sungguhpun orang Melayu sudah berjaya menjadi usahawan, golongan profesional dan pentadbir tinggi, namun ia masih jauh dari matlamat DEB.

7.Harapan untuk melihat Melayu dan bumiputera menguasai 30% kekayaan negara belum tercapai lagi. Menguasai hanya 30% walaupun jumlah penduduk pribumi mencecah 70% merupakan satu permintaan yang amat konservatif dan rendah diri. Namun itulah sifat orang Melayu yang merupakan kaum majoriti peribumi negara ini.

8. Malangnya, ini pun mahu dipertikaikan. Alasan mereka setelah lebih 30 tahun DEB masih gagal memenuhi matlamat 30% tersebut, jadi elok dihapuskan semua polisi yang membantu bumiputera.

10. Hari ini dikatakan orang Melayu dan bumiputera hanya menguasai 18% kekayaan negara. Sudahlah masih belum mencapai matlamat, ada pula yang mahu ia dihapuskan terus. Sepatutnya pemimpin politik ini cuba mencari jalan untuk membantu kaum bumiputera mencapai sasaran 30% yang dirancang oleh DEB bukannya mencari jalan untuk merebut jumlah yang 18% ini pun.

11. Mungkin orang Melayu sendiri perlu bertanya semula, siapakah yang mengambil 12% lagi kek ekonomi yang sepatutnya milik bumiputera. Saya tidak berniat menyalahkan kaum lain dalam isu kegagalan memenuhi sasaran 30% penguasaan ekonomi ini. Cuma saya fikir tidak wajar pemimpin bukan Melayu mempersoalkan isu ini.

12. Orang Melayu sendiri tidak menerima bantuan yang banyak dari kerajaan. Sebaliknya mereka menerima banyak peluang dari kerajaan bagi membantu mencapai sasaran DEB ini. Peluang-peluang ini perlu kerana terdapat usaha sejak dahulu lagi menghalang secara senyap pembabitan bumiputera dalam perniagaan, pembinaan, peruncitan dan sebagainya.

13. Ini berlaku kerana terdapat hanya satu kaum yang menguasai rangkaian ekonomi sama ada dari segi pembekalan, pemborong, peruncit mahu pun kekuatan kuasa beli. Tanpa campurtangan kerajaan melalui DEB untuk membuka ruang dan peluang pasti orang Melayu akan terus ketinggalan biarpun berkebolehan.

14. Sungguhpun ada suara-suara yang memutarkan istilah-istilah ekonomi yang mengujakan mengenai sistem yang lebih terbuka dan isu persaingan yang sihat, namun saya melihat cadangan ini tidak lebih daripada kembali ke zaman dahulu, yang Kuat Menjadi raja, Yang Lemah Menjadi Mangsa.

15. Dasar membantu orang Melayu dan bumiputera harus diteruskan bagi mewujudkan keseimbangan ekonomi dan stratafikasi sosial antara kaum.

16. Namun dalam keadaan yang sama kerajaan juga harus mempunyai dasar "membantu" golongan miskin kaum lain secara lebih sistematik. Dengan ini, selain memperbaiki jurang kekayaan antara kaum, jurang pendapatan antara miskin dan kaya juga dapat dirapatkan.

17. Usaha ini perlu kerana jika terdapat kumpulan yang terpinggir dari menikmati kekayaan negara maka akan wujud juga pelbagai gejala sosial dan jenayah seperti ragut, kongsi gelap, vandalisme dan pelacuran.

18. Ini merupakan cabaran kepada Barisan Nasional pada masa akan datang. BN harus mencari satu formula baru yang bukan sahaja merapatkan jurang pendapatan antara kaum tetapi juga jurang "nikmat kehidupan" antara kelas masyarakat.

Dengan kata lain, hati gajah biarlah kita sama lapah, hati nyamuk sama dicicah. Sikit sama rasa, banyak sama kenyang.

Tuesday, November 18, 2008

Antara Politik Berasaskan Kaum dan Politik Perkauman

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,

1. Minggu lalu saya berkesempatan berbicara isu antara politik berasaskan kaum dan politik perkauman dengan Setiausaha Agung PKR Datuk Salahuddin Hashim dalam rancangan Sudut Pandangan di rangkaian Astro Awani.

2. Saya bertolak dari premis bahawa UMNO dan BN bukan parti sekumpulan manusia politik yang bersifat perkauman. Sebaliknya UMNO dan BN lebih merupakan kepada ideologi politik berasaskan kaum.

3. Sungguhpun dicanangkan oleh PKR bahawa dalam pilihan raya lalu, isu-isu kaum tidak lagi penting atau sudah ketinggalan zaman, namun hakikatnya PKR sebagai sebuah parti politik yang "menolak" agenda kaum hanya menguasai sekitar 13% daripada jumlah kerusi Parlimen. Selebihnya ia masih lagi dikuasai oleh parti yang berasaskan kepentingan kaum tertentu. Ini termasuk parti DAP dan Pas.

4. Manakala parti-parti yang dikatakan multiracial seperti Gerakan (?) dan Parti Progresif Penduduk (PPP) jelas hilang kekuatan. DAP sungguhpun kononnya memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia, namun jelas bahawa agenda perjuangan mereka banyak berlegar di kalangan kaum Cina. Demikian juga Pas sungguhpun membawa ideologi Islam namun ia masih berasaskan kepentingan orang Melayu sebagai penganut agama Islam terbesar di negara ini.

5. Adalah tidak salah kita memperjuangkan agenda kaum tertentu asalkan ia tidak menindas dan menzalimi kaum yang lain.

6. Bagi saya, politik perkauman ialah ideologi atau tindakan yang mementingkan sesuatu kaum dengan menindas, membenci malah menyakiti kaum lain. Kumpulan ini sanggup melakukan apa sahaja sama ada huru-hara atau menimbulkan pertelingkahan kaum demi memenuhi agenda politik dan kepentingan kaum sendiri.

7. Sejarah politik perkauman ini sebenarnya berakar umbi di Eropah dan Amerika Syarikat. Ideologi anti-Yahudi dan white Supremacy merupakan contoh-contoh terbaik politik perkauman.

8. Mungkin contoh politik perkauman yang paling mudah ialah kemunculan Nazi di Jerman yang membunuh jutaan orang Yahudi yang dianggap telah merampas kekayaan orang jerman.

10. Di Eropah, kumpulan anti orang asia atau anti bukan kulit putih masih wujud sehingga hari ini. Mereka ini dikenali sebagai kumpulan neo-nazi. Mereka bukan sahaja tidak bersetuju secara idea atau akademik mengenai kehadiran bangsa lain tetapi turut mengambil tindakan menghasut agar orang ramai membenci bangsa asing. Malah di sesetengah tempat serangan fizikal dan vandalisme harta benda kaum pendatang berlaku secara teratur dan sistematik.

11. Di Amerika sendiri terdapat beberapa bentuk politik perkauman. Sebaik ditamatkan penghambaan di negara tersebut terdapt undang-undang baru diperkenalkan yang jelas menunjukkan politik perkauman. Jim Crow laws pada 1876-1965 telah mengasingkan sekolah awam, pengangkutan awam, restoran dan tandas awam antara kulit putih dan kulit hitam.

12. Salah satu organisasi yang telah terkenal dalam melaksanakan politik berasaskan kebencian ini ialah kumpulan Ku Klax Klan di Amerika Syarikat. Ku Klax Klan ini bukan sahaja menyebarkan ideologi membenci kaum pendatang terutamanya kulit hitam, malah mereka melakukan pelbagai keganasan dan kekerasan bagi memberi tekanan kepada bukan kulit putih dan yahudi.

13. Selain kumpulan Ku Klax klan, orang kulit putih di Amerika juga mewujudkan pelbagai sistem berasaskan politik perkauman yang mengasingkan terus sekolah, kedai dan ruang pengangkutan awam antara mereka dengan kulit hitam dan lain-lain bangsa. Di Malaysia juga sudah ada ciri-ciri perkauman apabila ada sebuah pertubuhan kaum tertentu yang menuduh pemimpin Melayu melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas kaum India di Malaysia.

14. Politik Perkauman merupakan satu idea dan usaha untuk mengangkat bangsanya menjadi paling hebat, kuat dan berkuasa sama ada dalam bentuk kedudukan politik mahu pun kekuatan ekonomi dan sosial dengan cara menimbulkan kebencian, mengenakan tekanan emosi dan fizikal serta mewujudkan sistem-sistem yang secara sistematik merampas kekayaan dan kehidupan sosial kaum lain.


Politik berasaskan kaum

15. Politik berasas kaum lebih merupakan bentuk politik Malaysia sejak merdeka lalu. Iaitu parti-parti politik ditubuhkan berasaskan kaum tertentu bagi memperjuangkan kepentingan dan kebajikan kaum tersebut. Misalnya UMNO ditubuhkan untuk menjaga kepentingan orang Melayu dari segi agama Islam, bangsa Melayu itu sendiri dan tanah air atau negara. Kemudiannya peranan UMNO ditambah dengan usaha menjaga kepentingan bumiputera lain.

16. MCA ditubuhkan bagi menjaga kepentingan kaum Cina di negara ini. Demikian juga MIC yang menjaga kepentingan kaum India. Parti-parti ini bukan sahaja memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

17. Terdapat juga parti-parti yang membuka keahlian kepada semua bangsa tetapi asas perjuangan mereka masih tertumpu kepada kaum mana yang mendominasi parti politik tersebut. Kita lihat sungguhpun DAP terbuka keahlian kepada semua namun asas perjuangan mereka masih lagi tertumpu kepada kepentingan orang Cina. Demikian juga Pas yang terbuka kepada semua orang Islam tetapi ia masih berasaskan politik Melayu.

18. Gerakan juga sungguhpun parti multi racial tetapi masih bersikap parti orang Cina. Politik berasaskan kaum lebih merupakan politik tolak ansur antara kaum yang dipraktikkan dalam negara berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia. Politik ini berjaya mengelakkan pertumpahan darah dan konflik antara kaum yang berlaku di banyak negara-negara pelbagai kaum lain seperti di negara-negara balkan suatu ketika dahulu.

19. Politik berasaskan kaum tidak menindas mana-mana kaum atau mengambil hak mana-mana kaum mahu pun mengenakan sebarang tindakan mendiskriminasi mana-mana kaum. Misalnya hak-hak istimewa melayu, kedudukan bahasa Melayu, agama Islam dan raja-raja Melayu merupakan sebahagian tolak ansur dan power bargain kemerdekaan yang turut memberikan hak kerakyatan, hak mengundi, hak mengamalkan adat istiadat dan budaya serta pendidikan berasaskan bahasa-bahasa kaum lain. Justeru ia tidak boleh dilihat sebagai tindakan satu kaum menindas kaum lain.

20. DEB juga bukan satu polisi perkauman tetapi merupakan polisi berasaskan kaum demi kepentingan sosial. Contoh – Peruntukan 30% ekuiti bumiputera, biasisiwa dan kuota universiti untuk bumiputera tidak merampas hak kaum lain. Ini kerana jumlah yang diperuntukan lebih kecil atau setara daripada jumlah penduduk bumiputera di negara ini.

21. DEB juga tidak pernah melakukan perampasan harta bukan Melayu untuk dijadikan harta kaum Melayu. Politik berasaskan kaum ini tidak pernah menindas mana-mana kaum bukan peribumi dari mencapai kedudukan, kuasa mahu pun penguasaan ekonomi.

22. Bahkan politik berasaskan kaum seperti di Malaysia ini telah melahirkan ramai jutawan dari kaum cina dan India.

23. Ini jelas berbeza dengan politik perkauman yang melakukan tekanan, dan diskriminasi secara sistematik bagi menaikkan bangsanya dengan memusnahkan bangsa lain.

24. Tiada apa yang perlu digundah gulanakan apabila kita dilabelkan pejuang bangsa. Yang kita khuatir ialah jika perjuangan bangsa digunakan untuk memusnahkan bangsa lain. Ini tidak akan berlaku di Malaysia selagi Barisan Nasional kekal memerintah dengan konsep politik berasaskan kaum ini. Ini kerana politik menjaga kepentingan kaum tertentu ini diikuti oleh tolak ansur dan persefahaman yang akhirnya menghasilkan situasi menang-menang kepada semua kaum.

25. Memang secara idealnya politik yang tidak berasaskan kaum merupakan satu hujah akademik yang cantik molek. Namun realitinya ia tidak seindah digambarkan. Ia akhirnya akan menjadi keadaan di mana kaum yang kuat dan gagah dari segi ekonomi membolot segala kekayaan dan keselesaan manakala yang lemah dan kurang kekuatan akan terus ketinggalan.

Monday, November 10, 2008

Islam, Melayu dan UMNO

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat blogers sekalian,

1. Soalan yang sering ditanya di kalangan orang Melayu ialah apakah tujuan menyertai parti-parti politik di negara kita? Apakah erti menyokong UMNO, Pas atau PKR?

2. Jika ditanya kepada penyokong Pas, pastinya matlamat mereka ialah untuk Islam sungguhpun kadang-kadang perilaku tidak mencerminkan perjuangan. Suatu ketika lalu, ada juga yang melihat ia sebagai jalan ke syurga.

3. Jika ditanya orang Melayu yang menyokong PKR, mereka secara mudahnya menjawab mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

4. Bagi UMNO pula, ramai generasi muda hari ini sudah tidak lagi boleh bercakap apa sebab mereka menyertai UMNO. Idealisme perjuangan agama dan bangsa sudah jarang diutarakan.

5. Selepas tewas beberapa negeri dalam pilihan raya umum yang lalu, terdapat pandangan dan suara-suara yang menyatakan UMNO perlu berani melakukan perubahan. Malangnya tidak ramai yang membicarakan apakah bentuk perubahan yang perlu dilakukan.

6. Adakah ia merupakan perubahan struktur organisasinya,atau perubahan prinsip perjuangannya atau berubah rupa bentuk keahliannya atau hanya perubahan pucuk pimpinan? Justeru saranan perubahan ini menimbulkan polemik dan kegelisahan di kalangan orang Melayu. Ada yang tertanya-tanya, apakah perubahan yang dilaung-laungkan itu akan menjejaskan visi atau idealisme perjuangan UMNO untuk Agama Islam, Bangsa Melayu dan Negara Malaysia?

7. Bagi saya UMNO perlu berani berubah untuk kembali kepada asal-usul tujuan penubuhannya. UMNO hari ini walaupun masih bermatlamatkan untuk agama, bangsa dan negara tetapi dilihat tidak lagi mencerminkan idealisme perjuangan tersebut.

8. Sebenarnya perjuangan UMNO adalah jelas sejak ia ditubuhkan iaitu UMNO berjuang mengangkat martabat agama Islam dan UMNO berjuang utk mengangkat harakat bangsa melayu.

9. UMNO mengangkat martabat agama Islam ialah bila mana UMNO terlibat dalam pembetukkan perlembagaan negara, pemimpin UMNO dengan jelas meletakan Agama Islam sebagai agama persekutuan dgn membenarkan agama lain diamalkan secara aman termaktub dalam perkara 3 perlembagaan negara. Kita lihat waima negara Indonesia merupakan negara Islam teramai jumlah umat Islamnya pun tidak meletakkan Islam sebagai agama persekutuan negara tersebut.

10. Apa yang tidak nampak di mata orang Melayu hari ini ialah hasil daripada perjuangan UMNO itulah membolehkan agama Islam mendapat pelbagai peruntukan untuk membangun dan mengembangkan dakwah Islam. Demikian juga kedudukan bangsa Melayu hari ini ialah hasil perjuangan UMNO.

11. Bukti UMNO berjuang mengangkat harakat bangsa,ialah dinyatakan dgn jelas dalam perlembagaan seperti dalam perkara 32,kedudukan DYMM Agong dan kedudukan raja raja berperlembagaan, Perkara 152, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; Perkara 153, hak istimewa orang orang Melayu. Tidak banyak negara yang sanggup melakukan semua ini demi menjaga kesejahteraan peribumi mereka. Namun UMNO dengan jelas melakukan satu tindakan yang cukup jelas dan berani melakukan semua ini kerana ia selari dengan penubuhannya untuk agama dang bangsa.

12. Cuma akhir-akhir ini UMNO tidak ternampak jelas memperjuangkan keperluan dan kepentingan agama Islam dan juga ternampak kendur dalam mempertahankan hak bangsa Melayu. Ini kerana UMNO berasa selesa kerana semua ini dilaksanakan menerusi jentera kerajaan sedia ada hasil pembentukan perkara-perkara dalam Perlembagaan yang diperjuangakn oleh UMNO sebelum ini. Sikap menyerahkan semunya kepada kerajaan telah memberi imej kurang baik kepada UMNO dan menyebabkan orang Melayu mula menjauhkan diri dari UMNO.

13. UMNO hari ini juga diberi imej sebagai sebagai parti yang tubuhkan untuk mengaut kekayaan negara. Dilabelkan sebagai parti kroni, parti perkauman dan sebagainya. Semua ini terjadi bukan kerana ia tidak lagi memperjuangkan agenda tiga perkara tersebut tetapi kerana jurang kepimpinan yang terlalu jauh telah mewujudkan persepsi sedemikian.

14. Salah satu punca jurang kepimpinan di atas dengan di peringkat akar umbi ialah UMNO sudah hampir menjadi seperti parti Kongres di India dan Golkar di Indonesia pada tahun 90-an. Barisan kepimpinan kedua-dua parti ini diakhir hayatnya tidak lagi datang daripada para pejuang rakyat dan mewakili pelbagai lapisan masyarakat di bawah. Sebaliknya ia di pimpin oleh lapisan kepimpinan parti berasaskan kumpulan keluarga dan rangkaian keturunan pemimpin sebelum ini. Ini menyebabkan parti tersebut menjadi parti elit yang tidak lagi dijiwai oleh rakyat bawahan seperti dahulu.

15. Sungguhpun UMNO belum lagi menjadi sebuah parti elit seperti itu, namun imej-imej tersebut kian menampakkan wajahnya. Di sesetengah tempat, UMNO sudah menjadi parti anak beranak yang menguasai hampir ke semua jawatan utama parti. Apakah ini akan menambah sokongan kepada UMNO atau sebaliknya? saya percaya jika ini berleluasa akhirnya sokongan kepada UMNO akan kian mengecil.

16. UMNO hanya akan kuat kembali jika semua pemimpinnya kembali kepada tujuan asal penubuhan UMNO. Ia juga harus memberi ruang kepimpinan kepada semua lapisan masyarakat. Imej pemimipin yang menerajui UMNO harus mencerminkan orientasi perjuangan agama, bangsa dan tanah air (negara).

17. Saya yakin jika ini dapat diusahakan UMNO akan kembali kukuh. Memanglah kita akan menerima tekanan dari parti lawan mahu pun parti dalam komponen BN sendiri, tetapi pengukuhan UMNO adalah merupakan pengukuhan BN.

Saturday, November 1, 2008

Politik Jaga Hati

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

1. Keputusan untuk menilai semula ekuiti bumiputra 30% oleh YAB Timbalan Perdana Menteri adalah merupakan pandangan peribadi kerana ia tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Pandangan ini telah mendapat berbagai-bagai reaksi, malah ramai ahli MT juga tidak setuju .

2. Bagi saya masalah jumlah ekuiti tidak timbul,yang menjadi masalahnya ialah kegagalan kita untuk mencapai jumlah pegangan tersebut.Jalan penyelesaian perlu dicari dan kaedah terbaik perlu dilaksanakan agar orang Melayu tidak merasa mereka dipinggirkan dari arus ekonomi negara.

3. Saya sedar dalam keadaan politik jaga hati yang berlaku hari, pemimpin umno didesak untuk jaga hati parti komponen BN yang lain, hinggakan ia akan melukakan hati orang orang Melayu adalah suatu tindakan yang dangkal dan perlu ditimbang semula. Saya tak mahu berlaku keadaan yang dikendung dicicirkan yang dikejar terlepas dari pandangan.

4. Saya berpandangan tindakan yang lebih berhemah ialah kita perlu perteguhkan pendirian kita terhadap perjuangan asas UMNO, iaitu kembali kepada perjuangan memartabatkan agama dan bangsa Melayu, orang Melayu akan kembali bersatu dan akan menjadi teras kekuatan dalam BN,seperti sebelumnya.

5. Masalah agihan ekonomi yang hangat diperbincangkan oleh semua hari adalah disebabkan saiz ekonomi negara yang mengecil oleh berbagai bagai faktor dalam dan luar negara. Bila saiz eknomi mengecil ia akan menjadi rebutan dan dalam perebutan itulah wujud suasana kurang puas hati antara rakyat dan kita mula mencari kelemahan dalam sistem agihan ekonomi tersebut.

5. Kaedah yang saya anggap lebih praktikal ialah kerajaan perlu mengambil pendekatan untuk membesarkan kek ekonomi negara dgn berusaha mewujudkan lebih banyak peluang peluang ekonomi kepada rakyat. Mengurangkan kebergantungan negara terhadap barang impot dgn menyediakan peluang kepada rakyat menghasilkannya sendiri adalah satu kaedah yang wajar difikirkan bersama.

Wednesday, October 22, 2008

Bajet Selangor: Jangan Menang Sorak Kampung Tergadai


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para sahabat blogers sekalian,

1. Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana tidak dapat mengemaskini blog ini hampir sebulan.

2. Seperti mana kita sedia maklumi kerajaan Pakatan Rakyat telah pun membentang Bajet pertamanya di Selangor beberapa hari lalu. Pada awalnya saya menjangkakan kerajaan negeri akan sedaya upaya membentangkan Bajet yang mencerminkan usaha-usaha untuk memenuhi janji-janji dalam manifesto pilihan raya yang lalu.

3. Malangnya, jika diteliti tidak sampai sepuluh peratus daripada janji tersebut disebut semula dalam Bajet ini. Antara yang disebut ialah Tabung wawasan Anak Selangor (Tawas), Bekalan air percuma 20 meter padu pertama, Hadiah anak masuk ke universiti dan Tabung mesra usia emas.

4. Namun, ada lebih 20 janji lagi dalam manifesto yang tidak disebut langsung, mungkin dengan harapan rakyat akan lupa. Antaranya ialah:

a. janji potongan cukai pintu sebanyak 20% untuk premis kediaman dan 10% untuk premis perniagaan.
b. elaun anak tadika RM 50 seorang sebulan
c. Elaun anak pusat asuhan kanak-kanan, RM 75 sebulan
d. elaun khas ibu-ibu yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.
e. elauan khas ibu tunggal
f. bantuan kewangan untuk anak muda berkahwin
g. bantuan geran untuk perniagaan
h. memberi sewa percuma sekurang-kurangnya tiga bulan pertama di premis perniagaan milik kerajaan negeri
i. membiayai rawatan percuma untuk warga Selangor yang berusi 60 tahun ke atas dan banyak lagi,

4. Jelas Bajet pertama Pakatan rakyat di Selangor ini gagal memberi penumpuan kepada usaha-usaha melaksanakan janji pilihan raya menunjukkan Bajet yang dibentang bercanggah sama sekali dan menyimpang jauh dari janji manifesto Pakatan rakyat dalam pilihan raya lalu.

5. Saya tidak tahu apa alasan yang akan PR berikan kepada rakyat Selangor kerana gagal menunaikan janji..

6. Suatu ketika dahulu saya ditempelak kerana tidak sabar menunggu janji tersebut ditunaikan, Dan ketika sambutan 100 hari PR menjadi kerajaan. YAB. Menteri Besar ada berjanji untuk melaksanakan sekurang-kurangnya 50% janji manifesto dalam bajet pertamanya.


7. Namun saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan pakatan rakyat atas keberanian mereka menaikkan Paras Garis Kemiskinan (PGK) daripada RM 731 kepada RM 1, 500. Menurut MB, dalam Bajet tersebut, dengan PGK baru ini, 30% rakyat Selangor berada di bawah paras kemiskinan.

8. Malangnya, keberanian tersebut tidak pula diikuti dengan langkah berani mengatasi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan isi rumah. Sepatutnya peningkatan PGK ini hendaklah diikuti dengan pelan perancangan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan isu rumah daripada kurang RM 731 kepada lebih RM 1, 500.

9. Lebih anehnya, pengisyitiharan PGK baru ini tidak pula diikuti dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan negeri. Ini bermakna terdapat kakitangan kerajaan negeri berada di bawah paras kemiskinan.

10. Seiring dengan pengisytiharan paras garis kemiskinan baru ini, saya fikir amat wajar untuk gaji kakitangan kerajaan negeri dinaikkan di atas RM 1, 500.

11. Ada beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak menaikkan gaji kakitangan kerajaan. Guru-guru sekolah agama rendah dan guru-guru sekolah agama rakyat dan juga kakitangan sokongan di semua jabatan dalam negeri Selangor juga berada di bawah garis kemiskinan berdasarkan PGK baru ini.

12. Adalah tidak wajar menaikkan paras garis kemiskinan dan membiarkan begitu sahaja.

13. Saya harap kerajaan negeri perlu memastikan tiga puluh peratus kemiskinan ini dapat dikurangkan dalam jangka masa setahun ini dan akan dapat dilihat dalam bajet tahun depan.

14. Jika tidak usaha menaikkan PGK ini tidak lebih dari menang sorak kampung tergadai. Bersorak kita bahawa kerajaan prihatin kerana menaikkan PGK tapi tiada apa yang untung kerana tiada satu pun tindakan dirancang meningkatkan pendapatan rakyat.

Wednesday, October 8, 2008

Saman: Membujur Lalu Melintang Patah

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para sahabat blogers sekalian,

1. Seperti yang diketahui umum bahawa saya telah disaman oleh YB Ronnie Liu kerana mendedahkan bahawa beliau pernah ditangkap kerana menghalang satu operasi menutup sebuah hotel yang menjadi pusat pelacuran di Puchong Jaya tahun lalu.

Berikut ialah Kenyataan Akhbar yang dikeluarkan oleh Pejabat saya siang tadi.

KENYATAAN AKHBAR PEJABAT KETUA PEMBANGKANG SELANGOR

YB. Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo berharap anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu, dapat menafikan beliau pernah ditahan oleh Polis kerana menghalang Polis dan Majlis Perbandaran Subang Jaya daripada menguatkuasa undang-undang yang membabitkan aktiviti pelacuran di sebuah hotel tiga bintang di Puchong Jaya, Selangor pada 2007.

YB Ketua Pembangkang juga berharap Ronnie perlu menjelaskan kepada masyarakat sama ada benar atau tidak beliau ditahan dan di siasat oleh Polis di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) kerana menghalang polis menjalankan tugas dan kemungkinan terbabit dengan sindiket pelacuran.

Benar atau tidak beliau bersama para penyokongnya menghalang Polis dari menyita hotel terbabit, yang bukan sahaja tidak mempunyai lesen tetapi juga terbabit dengan aktiviti pelacuran.

Benar atau tidak, terdapat 22 orang GRO warga asing ditangkap dalam operasi di hotel yang sama beberapa jam sebelum hotel tersebut disita oleh penguatkuasa MPSJ dan Polis.

Jika semua ini benar, apakah motif Ronnie menghalang penguatkuasaan undang-undang?

Berhubung dengan saman yang difailkan oleh Ronnie, Dr. Mohamad Khir dengan senang hati akan menjawabnya di mahkamah melalui Firma Guaman Athimulan & Co.


2. Insyaallah saman ini tidak akan menakutkan saya untuk terus bertindak sebagai Ketua Pembangkang yang bertanggungjawab menyuarakan pandangan masyarakat dan menjadi pemantau kepada tindak-tanduk kerajaan Selangor.

3. Sesiapa yang ingin mengetahui mengenai isu ini bolehlah mmebaca keratan akhbar Utusan Malaysia atau siaran berita NTV7 pada November 2007 lalu.

4. Bagi saya jangan berumah di tepi pantai jika takut dilambung ombak.

Monday, September 29, 2008

Selamat Hari Raya

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,

1. Sekali lagi saya mohon maaf atas kelewatan mengemaskini mahu pun menjawab persoalan - persoalan saudara.

2. Saya akan pulang ke tanah air sebentar lagi. Bagaimanapun saya dan isteri serta ahli keluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh sahabat yang selalu mengunjungi blog ini. Semoga amalan dan ibadat kita di bulan puasa ini diterima Allah s.w.t.

3. Saya juga memohon maaf zahir dan batin jika ada terkasar bahasa, tersalah tulis mahu pun mengguris hati sesiapa yang membaca blog ini. Kita manusia biasa tidak dapat lari dari salah dan silap.

4. Pada sahabat sekalian, saya juga telah memaafkan jika ada salah dan silap saudara/i ke atas saya. Saya juga telah pun memaafkan dan melupakan sebarang tuduhan yang tidak tepat, fitnah serta penghinaan-penghinaan yang dibuat oleh segelintir pengunjung ke atas saya. Bagi saya semua ini berlaku, sama ada kesalahan saya atau saudara-saudari adalah kerana kita manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan.

5. Di kesempatan ini juga saya ingin menjemput saudara/i sekalian ke Rumah Terbuka saya di Pekan Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor pada 11 Oktober 2008 dari jam 10 pagi - 4.oo petang. Jika ada kesempatan datang, perkenalkanlah diri saudara/i kepada saya.

Salam Aidilfitri dari Tanah Suci.

Thursday, September 18, 2008

Mimpi Yang Tidak Menjadi Kenyataan

1. Jika beberapa minggu lalu saya dihentam kerana merendah-rendahkan cita-cita dan hasrat Datuk Seri Anwar membentuk kerajaan pada 16 september, dua hari lalu nyata bahawa kata-kata Anwar tidak lebih dari impian dan ilusi ciptaannya sendiri.

2. Jika sebelum ini Anwar sering dianggap sebagai pemimpin yang serba betul, 16 September menjadi titik sejarah bahawa segala retorik politik beliau tersingkap.

3. Saya merasa kasihan kerana Datuk Seri Anwar menambahkan bilangan ahli politik yang menjadi bahan lawak jenaka orang ramai. Saya berasa kasihan kepada beliau kerana sejak 16 September pelbagai jenaka seperti "Datuk Seri Anwar mengangkat sumpah dihadapan potret Yang Di Pertuan Agong," " Anwar telah mendapat 30 kerusi daripada Courts Mammoth dan ikea" dan pelbagai lagi jenaka sms yang termasuk jenaka lucah yang tidak sesuai disiarkan di sini.

4. Saya tidaklah menyalahkan mereka yang membuat lawak ke atas Datuk Seri Anwar sepenuhnya. Ini adalah respon balas kepada riuh rendah pertukaran kerajaan 16 September yang diuar-uarkan Anwar sejak sebulan lalu. Anwar melontarkan pelbagai janji termasuk pengambil alihan kepimpinan negara sehingga riuh rendah politik negara.

5. Politik negara kita sejak pasca pilihan raya umum lalu sudah menjadi semacam boria Pulau Pinang. Riuh rendah dengan madah, janji, sindiran dan harapan palsu. Satu tirai persembahan boria ini telah ditutup sebaik tenggelamnya matahari 16 September lalu.

6. Inilah peringatan kepada diri saya sendiri dan pemimpin politik lain agar tidak mudah berjanji jika sukar atau mustahil dilaksanakan.

7. Saya berharap selepas ini Datuk Seri Anwar berhenti menyanyikan lagu-lagu boria seperti ini kerana ia hanya menyukarkan lagi keadaan ekonomi negara dan mewujudkan ketidakstabilan politik dalam negara. Ekonomi negara sukar dimajukan jika keadaan politik negara tidak stabil akibat dari nyanyian-nyanyian boria menukar kerajaan yang sedia ada.

8. Sungguhpun sebagai pemimpin politik beliau boleh menaruh harapan menjadi Perdana Menteri, Namun janganlah terlalu taksub untuk menjadi Perdana Menteri sehingga merosakkan negara dan rakyat.

9. Cukuplah sekali memberi harapan palsu kepada penyokong sendiri.

----------------------------------------------------------------------
Nota Kaki: Saya akan mengerjakan ibadah umrah mulai 19 - 28 Ramadhan ini. Mohon maaf kiranya blog ini tidak dikemaskini dengan cepat dan ada komen-komen yang lama terperap.

Monday, September 8, 2008

Krisis Kepimpinan: Pisau dan Mentimun Di Tangan Kita

Negara kita merupakan sebuah negara yang masih muda. 51 tahun merdeka adalah suatu usia yang amat muda bagi sebuah negara. Lebih-lebih lagi untuk sebuah tamadun.

2. Sungguhpun begitu negara ini telah melalui beberapa proses pembetulan selepas berlaku krisis kepimpinan di dalam parti pemerintah yang menyebabkan kerajaan mengambil langkah drastik membetulkan keadaan melalui reformasi dasar-dasar yang pasti mengambil keperluan tuntutan semasa dan memastikan tiada kaum yang tertinggal.

3. Krisis kepimpinan yang paling penting ialah ketika mana negara menghadapi pertelingkahan kaum pada 13 Mei 1969 antara Melayu dan cina.

4. Krisis ini telah membawa korban kerana lewatnya proses pembetulan dalam kerajaan dan lewatnya tindakan reform yang sepatutnya diambil oleh kepimpinan ketika itu, ditambah lagi dengan umur kemerdekaan yang terlalu muda dan kurangnya pengalaman rakyat, akhirnya meletakkan undang-undang di tangan mereka sehinggakan berlaku tumpah darah dan berakhir dengan pengisytiharan darurat dan proses peralihan kuasa berlaku.

5. Sekarang ini juga saya merasakan negara sedang mengalami krisis kepimpinan dan mirip dengan apa yang berlaku pada 1969. Cuma rakyat lebih matang dan tidak mengambil tindakan melampaui batasan undang-undang. Sebab itulah tidak berlaku pertelagahan antara kaum sehingga hari ini.

6. Masalah UMNO, Barisan Nasional dan negara hari ini ialah kita mempunyai pemimpin yang lemah untuk memimpin. Kelemahan kepimpinan ini menyebabkan berlaku krisis keyakinan yang luar biasa sehingga mencetuskan keputusan yang luar dugaan dalam pilihan raya lalu. Kekalahan di Permatang Pauh dengan majoriti yang lebih tinggi mengesahkan lagi masalah krisis kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan UMNO dan BN.

7. Negara sudah tiada driven leader. UMNO tidak lagi menyediakan pemimpin yang boleh memimpin (lead)dan memacu (drive) pembangunan negara ini. Ini menyebabkan UMNO dan BN ditolak dalam pilihan raya lalu. Situasi yang sama berlaku pada 1969 apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman dilihat semakin lemah dan tiada kekuatan daya kempimpinan bagi memacu kemajuan negara dan menguruskan hubungan antara kaum.

8. Semua pemimpin ada kelebihan dan kelemahan. Saya sendiri bukan manusia atau pemimpin yang sempurna. Demikian juga Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan lain-lain. Tiada yang sempurna walaupun imej yang demikian cuba diberikan oleh penyokong PKR kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

9. Tun Dr. Mahathir juga bukan pemimpin yang sempurna. Namun dalam kepimpinan beliau tertonjol kekuatan kepimpinan, dinamika visi dan keupayaan menguruskan isu antara kaum. Ini membolehkan UMNO dan BN mendapat kemenangan yang selesa dalam setiap kali pilihan raya.

10. Masalah hari ini ialah pemimpin sedia ada sudah dilihat terlalu lemah untuk menguruskan negara dan parti. Rakyat sebahagian besarnya sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan negara. Sebahagian besar yang menyokong BN dalam pilihan raya lalu hanya berasaskan kesetiaan mereka kepada parti. Malangnya kesetiaan ini juga kian menipis di bawah sana.

11. Ironinya, krisis ini juga melibatkan individu dalam parti UMNO yang ada kaitannya dengan krisis 13 Mei lalu. Keadaan penerimaan kepada kepimpinan Pak Lah hampir sama dengan sokongan yang diterima oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969.

12. Watak kedua ialah Datuk Seri Najib yang merupakan anak sulung allahyarham Tun Abdul Razak mempunyai ciri-ciri kesamaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi dan kemampuan memimpin yang lebih baik serta mendapat lebih sokongan di dalam parti dan di kalangan rakyat banyak.

13. Keadaan ini bertambah resah apabila peralihan kuasa yang mengambil masa terlalu lama iaitu sehingga Jun 2010. Malah ramai rakyat semakin kurang yakin kepada kepimpinan yang ada.

14. Watak ketiga ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat rakus untuk berkuasa sehinggakan sanggup menghalalkan cara membentuk kerajaan melalui pintu belakang walaupun beliau sendiri tahu perkara itu cukup tidak bermoral. Sungguhpun saya masih kurang yakin beliau dapat membentuk kerajaan pada 16 September ini, tetapi rancangan itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa beliau adalah seorang insan yang rakus kuasa dan sanggup menggadaikan prinsip perjuangan yang telah diperjuangkannya sebelum ini.

15. Watak keempat ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, orang yang terlibat secara langsung dalam peralihan kuasa 13 Mei 1969. Ketika itu tidak berkuasa dan keadaan yang sama juga dialami oleh Tun Dr. Mahathir hari ini. Saya amat berharap agar Tun Dr. Mahathir menggunakan pengalaman beliau selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, terlibat sendiri dengan peristiwa 13 Mei dan melibatkan diri sama pada krisis kepimpinan yang ada pada hari ini memainkan peranan yang lebih jelas untuk menyelamatkan parti dan juga negara. Saya berharap Tun Dr. Mahathir akan kembali kepada UMNO bagi membantu pemulihan parti.

16. Saya bimbang jika kita lewat melakukan sesuatu, peristiwa rakyat berada di jalan akan berulang dan ia akan mengeruhkan lagi keadaan.

17. Saya berharap pucuk pimpinan sedar dan mengambil langkah yang lebih berani dalam memastikan parti akan terus kukuh, negara akan dapat diselamatkan dari ketidakstabilan politik.

18. Tidak dapat dinafikan, ketika mana negara dan parti ditinggalkan oleh Dr. mahathir, ia berada dalam keadaan baik. Sebab itu pilihan raya ke 11, BN menang besar, ditambah pula dengan kepimpinan baru yang dilihat mesra rakyat. Tetapi nampaknya parti semakin lemah dan pilihan raya ke 12 menjadi satu ingatan kepada UMNO dan BN untuk melakukan sesuatu langkah berani. Keadaan bertambah kusut selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh dan akan bertambah kusut lagi dengan pengosongan Parlimen Pensiangan akibat keputusan Mahkamah pagi tadi.

19. Suka atau tidak, saya berpandangan peralihan kuasa perlu disegerakan. Parti perlu diutamakan, keresahan rakyat perlu diredakan, Reform perlu dijalankan. Krisis yang bermula dalam UMNO kini telah merebak dalam BN, dan saya bimbang ledakan ini tidak dapat ditampung dengan kekuatan yang ada sama ada dalam UMNO mahupun dalam BN.

20. UMNO memerlukan pemimpin baru bagi memberi nafas baru kepada parti dan juga rakyat. Bagi saya antara pemimpin dan parti, parti perlu lebih penting. Namun sanggupkah kita di bawah ini bersama melakukan perubahan?

21. Kita di persimpangan antara taat kepada pemimpin atau mengukuhkan parti. Pisau dan mentimun ditangan kita.

Tuesday, September 2, 2008

Bajet: Seriuskah Membasmi Kemiskinan?

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian

1. Beberapa hari lalu telah dibentangkan Bajet 2009. Tidak banyak yang dapat dikomen dalam bajet ini memandangkan bajet ini sama seperti bajet sebelumnya.Sungguh diuar-uarkan sebagai satu Bajet yang terbaik namun ia tidak banyak memberi kesan kepada majoriti rakyat iaitu golongan berpendapatan sederhana.

2. Tiadanya penurunan harga petrol sedangkan harga minyak dunia telah menurun sekitar USD 115 setong jelas menunjukkan tiada usaha serius kerajaan bagi mengurangkan beban hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana terutamanya di bandar.

3. Melalui pengamatan saya bajet ini juga tidak akan dapat merapatkan jurang pendapatan antara miskin dan kaya dalam negara ini.

4. Komitmen kerajaan untuk menjayakan kemiskinan tegar sifar menjelang 2010 amat baik. Namun saya tidak melihat adanya program serius yang dibentangkan bagi mengatasi masalah ini. Ini kerana kurangnya program-program khusus bagi membantu peningkatan ekonomi golongan berpendapatan rendah.

5. Masalah kemiskinan akan bertambah berikutan kejatuhan harga komoditi asas seperti kelapa sawit dan getah. Pada masa yang sama berlaku pula kenaikan kos harga baja dan racun. Ini akan menjejaskan pendapatan para petani kecil di negara ini. Ini sekaligus akan memberi kesan kepada usaha membasmi kemiskinan.

4. Subsidi RM 20 bil elektrik juga tidak memberi kesan besar kepada kumpulan sasaran. Ini memandangkan jumlah pengguna bil elektrik di bawah RM 20 terlalu sedikit. Jika sesebuah rumah itu memiliki lampu, peti sejuk, televisyen, radio dan kipas rata-rata jumlah bil yang perlu dibayar lebih daripada RM 20. Sedangkan kemudahan ini merupakan perkara asas kepada rakyat Malaysia hari ini.

5. Geran Industri kecil dan sederhana (IKS) juga tidak memadai. Ini akan menurangkan jumlah orang miskin yang dapat dibantu bagi memlukan perniagaan kecil.

6. Peruntukan untuk golongan yang memerlukan iaitu rumah, oku, ibu tunggal masih tidak mencukupi memandangkan hasrat kerajaan untuk basmi miskin tegar pada 2010 iaitu hanya tinggal satu pembentangan Bajet (2010) lagi.

7. Menurut laporan dalam Bajet, terdapat 38,400 isi rumah miskin tegar. Saya percaya perangkaan ini dibuat sebelum kenaikan harga petrol secara mendadak beberapa bulan lalu. Malah saya khuatir jika statistik ini merupakan statistik lama yang tidak mengambil kira kenaikan inflasi yang bermaharajalela sejak setahun yang lalu.

8. Penumpuan Bajet juga tidak menjelaskan berapa ramai keluarga miskin tegar akan bebas dari lingkaran tersebut pada hujung tahun hadapan. Saya kurang yakin peruntukan yang akan diberikan mampu menyelesaikan sekurang-kurangnya 50% miskin tegar yang ada hari ini.

9. Sungguhpun begitu, masalah yang paling besar yang akan dihadapi oleh kerajaan ialah masalah pelaksanaan. Kurangnya daya kepimpinan tegas akan melembabkan lagi pelaksanaan projek di seluruh negara. Saya berharap semua Menteri bertindak sebagai seorang driver yang baik, yang mampu memandu, mengendali dan membawa kementerian masing-masing ke tahap yang telah dipersetujui bersama oleh kerajaan.

10. Saya juga masih menunggu akan satu lagi bajet yang akan dibentang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas 16 september ini jika beliau mampu membentuk kerajaan secara "pintu belakang".

11. Sungguhpun saya berpendapat penungguan ini tidak lebih dari pungguk rindukan bulan, namun kalau tidak di Parlimen, tentulah beliau boleh membentangkan di sidang akhbar Pakatan Rakyat.

Monday, August 25, 2008

Memilih Pemimpin Untuk Bersorak atau Bekerja?

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,

1. Esok akan merupakan satu titik penting dalam landskap politik negara. Sungguhpun pilihanraya kecil Permatang Pauh hanya menentukan ahli Parlimen bagi kawasan Permatang Pauh namun ia mejadi begitu "panas" dan tegang hampir di setiap kawasan terutamanya di kawasan pengundi Melayu.

2. Keadaan kali ini lebih kurang sama dengan apa yang terjadi di Ijok tahun lalu. Barisan Nasional dalam situasi "underdog". Ketika itu, BN mencalonkan K. Parthiban dari MIC, manakala PKR mencalonkan Tan Sri Khalid Ibrahim. Memandangkan ia merupakan pilihan raya kecil di kawasan penduduk yang majoritinya Melayu, maka tidak ramai yang memberi peluang untuk BN menang.

3. Keadaan politik dan ekonomi ketika itu juga dilihat tidak menyebelahi parti pemerintah ketika itu. Apatah lagi ia dilihat sebagai satu medan menguji kemunculan kembali Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam arena politik. Namun, alhamdulillah dengan strategi yang betul dan perancangan yang baik, BN berjaya mengekalkan kerusi Ijok dengan majoriti yang lebih baik.

4. "Tension" di dalam pilihan raya kali ini jauh lebih hebat dari apa yang berlaku di Ijok. Ini mungkin kerana ia berlangsung di "home ground" Datuk Seri Anwar Ibrahim. PKR dilihat begitu tertekan untuk memastikan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia menentukan jangka hayat parti tersebut dan juga Pakatan Rakyat.

5. Mereka tertekan kerana bukan sahaja perlu memastikan kemenangan Anwar tetapi juga perlu meningkatkan majoriti undi berbanding pilihan raya lalu. Jika Anwar menang dengan majoriti yang kurang, maka imej pemimpin de facto PKR ini akan terjejas. Beliau dilihat tidak lagi menjadi satu tarikan dan faktor utama kepada pengundi seperti yang didakwanya.

6. Bagi BN pula kekalahan adalah realiti yang mungkin terpaksa di hadapi. Namun ia bukan satu tragedi kerana ia tidak akan mengurangkan kerusi BN di Parlimen. Sebaliknya, sebarang kemenangan akan menjadi satu titik permulaan baru kepada landskap politik negara. Malahan jika majoriti PKR di Permatang Pauh berjaya dikurangkan pun ia akan memberi satu implikasi yang positif kepada BN.

7. Justeru provokasi, tindakan fizikal dan ugutan sudah menjadi lumrah sekumpulan penyokong parti politik yang melihat pilihan raya ini sebagai survival politik mereka. Ini mungkin menjadi kelebihan kepada mereka atau juga akan menjadi satu pendekatan yang "makan diri".

8. BN sebagai lawan yang bukan pilihan untuk menang mengambil pendekatan yang bersederhana, tidak menentang api dengan api dan lebih banyak menjurus kepada berjumpa secara bersemuka berbanding ceramah besar-besaran. Pendekatan mesra pengundi ini dilihat lebih praktikal.

9. Pendekatan kempen yang berbeza ini juga banyak dicerminkan oleh dua calon yang bertarung kali ini.

10. Imej Anwar sebagai pemidato ulung, bersemangat dan "berapi-api" ucapannya diterjemahkan seiring dengan gerak kerja jentera kempennya. Boleh dikatakan dalam pilihan raya kali ini, Anwar sekali lagi membuktikan beliau berkeupayaan menjadi seorang pemimpin yang menang sorak.

11. Imej BN di Permatang Pauh juga banyak mewakili imej Datuk Arif Shah yang lebih banyak bekerja di peringkat akar umbi, bertemu dengan pengundi secara bersemuka dan cuba menyelesaikan setiap permasalahan pengundi yang berjumpa dengannya. Ini bukan imej pilihan raya sahaja, bagi Arif Shah, bertemu rakyat dan mencatatkan setiap masalah mereka serta cuba menyelesaikan masalah mereka sudah menjadi rutin kepada beliau sejak dahulu.

12. Saya melihat melihat pertembungan dua pemimpin politik di Permatang Pauh ini diantara "cheerleader" dengan "community leader".

13. Seorang mempunyai keupayaan orator, pembujukan dan perwatakan yang begitu menarik perhatian rakyat sehingga boleh meyakinkan sebahagian orang untuk percaya bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri jika menang dalam pilihan raya kecil kali ini. Walaupun kita tahu ia hanya merupakan pilihan raya kecil, namun ramai yang percaya cakap beliau ini sehingga mengenepikan rasional dan logik akal.

14. Manakala seorang lagi merupakan pemimpin lebih banyak bekerja dari berucap. Rekod kerja beliau menjadi bukti kedudukan beliau sebagai pemimpin masyarakat setempat. Sebab itu, ketika Permatang Pauh dianggap kubu kuat pembangkang dan berlakunya tsunami politik dalam pilihan raya lalu, Arif Shah masih lagi berjaya mengekalkan DUN Seberang Jaya.

15. Esok, pengundi di Permatang Pauh akan membuat keputusan sama ada mereka memerlukan seorang "cheerleader" atau "community leader".

16. Sehingga tengah malam tadi, mood pengundi dilihat banyak berubah. Sudah ada tanda-tanda sokongan secara senyap terhadap BN. Harapan BN untuk menang tetap ada.

17. Tidak mustahil apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke 12 lalu akan berulang, cuma kali ini BN pula yang diberi ruang. Dalam pilihan raya lalu, pengundi melakukan satu perubahan secara senyap dari BN kepada Pakatan Rakyat sehingga di gelar Tsunami Politik. Maka tidak mustahil kali ini "silent majority" ini akan memberi undi kepada BN pula.

18. Ketika kaum bukan Melayu mungkin sudah membuat keputusan berasaskan kepentingan kaum, tempatan dan nasional, orang Melayu di Permatang Pauh sendiri dilihat berbelah bagi.

19. Orang Melayu dalam keadaan di luah mati bapa, ditelan mati emak. Anwar sudah menjadi sebahagian daripada Permatang Pauh sejak beliau merampas kawasan tersebut daripada Pas pada 1982.

20. Namun berdasarkan perubahan sikap dan falsafah perjuangan PKR sejak selepas pilihan raya umum lalu, mereka juga tidak mahu menang sorak kampung tergadai. Inilah dilema Melayu Permatang Pauh, antara mengenang jasa Anwar dengan kepentingan agama dan bangsa.

21. Pisau dan mentimun di tangan pengundi Permatang Pauh.

Sunday, August 17, 2008

Menangguk di Air Yang Keruh

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloogers sekalian

1. Pilihan raya kecil Permatang Pauh yang sedang berlangsung kini menjadi satu medan percaturan strategi antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para pemimpin Barisan Nasional. Sungguhpun Permatang Pauh merupakan "kubu kuat " beliau namun keyakinannya tidak setinggi lalu.

2. Anwar tampak yakin kesetiaan pengundi Melayu di Permatang Pauh. Yang bersama beliau akan tetap bersamanya, yang bersama UMNO akan terus mengundi calon BN.

3. Masalahnya, Anwar tidak yakin sokongan bukan Melayu terutamanya pengundi Cina kepada beliau. Beliau sedar orang Cina mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu bukan kerana kepercayaan mereka terhadapnya tetapi lebih kerana marahkan kepimpinan Barisan Nasional.

4. Isyarat ketidakpuasan hati itu telah jelas melalui keputusan pilihan raya umum yang lalu. Apakah orang bukan Melayu akan terus mengundi PKR sedangkan matlamat mereka mahukan perubahan telah tercapai? Inilah yang menjadi dilema Anwar.

5. Ketidakyakinan beliau terhadap pengundi Cina itulah yang menyebabkan beliau memilih untuk bertanding di Permatang Pauh dan bukannya di Bandar Tun Razak seperti yang dirancang sebelumnya.

6. Pun begitu, jumlah pengundi bukan Melayu yang hampir 31% di Permatang Pauh turut menimbulkan keraguan Anwar. Undi orang Melayu akan terpecah dua. Justeru beliau memerlukan undi bukan Melayu yang agak besar bagi memastikan kemenangan selesa. Jika ini tidak ditangani kemenangan Anwar kali ini mungkin sekitar 500 undi seperti 2004 dan ini akan memberi imej yang negatif kepada beliau sebagai "Prime Minister in waiting."

7. Anwar percaya beliau perlu mewujudkan satu gelombang baru kemarahan orang bukan Melayu terhadap BN terutamanya UMNO.

8. Atas sebab itu beliau mempergunakan Majlis Peguam bagi mengaturkan satu muslihat dengan menganjurkan satu majlis perbincangan yang membabitkan kedudukan Islam di negara ini.

9. Anwar tahu UMNO dan badan-badan bukan kerajaan Melayu akan membantah dan cuba menghalang perjalanan program tersebut. Apabila tercetus konflik dan ketegangan, UMNO dilihat sebagai satu parti ekstremis kaum dan agama yang tidak boleh bertolak ansur.

10. Peristiwa demontrasi dan penghalangan forum majlis peguam tempoh hari telah membantu Anwar menaikkan lagi kredebiliti beliau sebagai pemimpin masyarakat pelbagai kaum. Anwar bermain kata-kata bahawa tidak bersetuju forum tersebut diadakan secara terbuka tetapi turut mengutuk mereka yang menghaang perjalanan forum tersebut.

11. Anwar turut menangguhkan sebarang tindakan disiplin ke atas Ahli Parlimen PKR, Zulkifli Nordin yang turut terbabit dalam bantahan tersebut. Ini bagi mengelakkan kemarahan orang Melayu ke atasnya.

12. Sungguhpun Pas turut membantah majlis tersebut, namun yang banyak terbabit ialah para pemimpin UMNO. Yang banyak memainkan isu ini juga ialah media-media yang berkait rapat dengan UMNO. Lantas UMNO akan dilihat sebagai satu parti yang hanya mementingkan kaum sendiri sahaja.

13. Anwar perlu memastikan gelombang perbalahan kaum ini kekal sepanjang pilihan raya kecil ini atau mungkin sehingga 16 September, tarikh kononnya beliau akan menjadi Perdana Menteri.

14. Kelicikan Anwar dapat dilihat bila beliau menggunakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bagi mencabar kepentingan orang Melayu dan bumiputera. Khalid mengutuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai universiti yang kurang kualiti dan menyarakan kemasukan 10% pelajar bukan bumiputera bagi meningkatkan kualitinya.

15. Apakah saranan Khalid ini mencerminkan keterbukaan pemimpin Melayu dalam Pakatan Rakyat atau sekadar ingin menimbulkan satu lagi konflik bagi membolehkan mereka meangguk di air yang keruh?

16. Seperti yang dijangka saranan Khalid ini mendapat bantahan sebahagian besar pemimpin Melayu terutamanya dari UMNO. Demontrasi dan bantahan disuarakan di seluruh negara oleh orang Melayu. Sekali lagi media yang dilihat berkait rapat dengan UMNO membantah dan menyiarkan banyak pandangan-pandangan yang keras menentang saranan Khalid.

17. Hasilnya, Anwar berjaya menonjolkan Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti yang lebih terbuka terhadap hubungan sesama kaum berbanding Barisan Nasional.

18. Walaupun pandangan ini tidak benar namun ia telah berjaya buat sementara waktu memberi imej yang besar kepada Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat di kalangan bukan Melayu.

19. Anwar sedar sebahagian pengundi Melayu di Permatang Pauh akan terus mengundi bersandarkan nostalgia terhadap beliau. Justeru isu-isu perkauman yang dicetuskan seminggu dua ini tidak lain dan tidak bukan bagi menarik sokongan bukan Melayu terhadap beliau.

20. Apakah pengundi bukan Melayu akan melupai segala rekod pembahagian ekonomi Barisan Nasional yang adil kepada semua kaum selama ini untuk percaya kepada retorikal politik Anwar?

21. Anwar akan sentiasa menangguk di air yang keruh. Soalnya apakah pengundi-pengundi Permatang Pauh mahu terus dibelengu isu-isu yang bersifat retorik dan peribadi sehingga mungkin memperjudikan masa depan kita semua.

Sunday, August 10, 2008

Jong Pecah, Yu Kenyang?

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,

1. Peristiwa pagi sabtu (9 Ogos 2008) di hadapan bangunan Ibu Pejabat Majlis Peguam bukanlah yang pertama dan saya percaya bukan juga yang terakhir. Hakikatnya orang Islam terutamanya Melayu tidak akan membenarkan agama Islam dijadikan bahan perbincangan kontroversi oleh mana-mana pihak di negara ini.

2. Sukar bagi orang Islam di negara ini menerima sebuah persatuan yang dipimpin oleh bukan Islam menganjurkan sebuah forum membincangkan isu memeluk agama Islam di Malaysia. Apatah lagi tujuan penganjuran forum tersebut tampak jelas cenderung untuk memburuk-burukkan isu pemelukan agama Islam.

3. Seperti yang saya tulis dalam beberapa catatan sebelum ini bahawa keputusan Pilihan raya 2008 bukan sahaja memberi kesan yang serius kepada orang Melayu tetapi juga agama Islam. Terdapat kumpulan yang dipimpin oleh bukan Islam seperti Majlis Peguam melihat ini merupakan masa terbaik untuk mencabar status quo agama Islam dan orang Melayu di negara ini.

4. Mereka lupa bahawa sokongan sebahagian orang Melayu dan Islam kepada Pakatan Rakyat bukan bererti menyokong segala perjuangan kesamarataan Pakatan Rakyat. Malahan kita lihat persekongkolan Majlis Peguam dengan PKR dan DAP belum tentu mendapat sokongan Pas.

5. Sungguhpun perkara 11 Perlembagaan dengan jelas menyatakan kebebasan beragama tetapi ia juga menghadkan sebarang usaha-usaha mempertikaikan kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Demikian juga sungguhpun Perkara 10 Perlembagaan memberi kebebasan bercakap dan berhimpun ia tidaklah pula memberi kebebasan tanpa had.

6. Apakah niat Majlis Peguam membuat satu forum terbuka membincangkan tentang Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan yang melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini?

7. Tindakan Majlis Peguam menjemput mereka yang bukan Islam dan menghadapi konflik dengan suami yang memeluk Islam bagi fakta sebelah pihak sahaja menunjukkan ada niat jahat bagi memperlekehkan Islam.

8. Saya tidak menolak sebarang usaha pembaikan undang-undang negara ini. Namun ia bukanlah dengan cara menghentam dan mengkritik secara terbuka. kita sepatutnya mencari persamaan antara kita yang hidup berbeda agama budaya dan bahasa untuk membentuk persefahaman dan tidak mengorbankan perbezaan yang terus menjadi isu sesitiviti antara kita.

9. Majlis Peguam mempunyai pelbagai saluran untuk menyatakan pendapat dan pandangan profesional mereka kepada kerajaan dalam hal-hal yang sensitif. Sebaliknya mereka mencari jalan konfrontasi dan kontroversi.

10. Ini tidak lebih usaha menguji dan mencabar sejauh mana kerajaan dan orang Melayu dapat diperkotak-katikkan pasca pilihan raya umum ke 12. Mereka ingin melihat sejauh mana orang Melayu terutamanya yang terpengaruh dengan ideologi ketuanan rakyat ciptaan PKR sanggup terus melepaskan segala kedudukan agama Islam.

11. Dari peristiwa ini dapat disimpulkan bahawa rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu masih tidak akan bersetuju dgn prinsip kesamarataan yang diperjuangkan oleh pakatan rakyat, malah mengukuhkan andaian ini ialah dgn hadirnya pemimpin mereka sama ada dari PKR mahu pun Pas.

12. Umno akan terus dengan prinsipnya iaitu memperjuangkan prinsip keadilan -meletakkan sesuatu itu ditempat sewajarnya. Islam dan orang Melayu harus diletakkan di tempatnya mengikut perlembagaan negara. Umno akan memperjuangkan agama Islam dan ketuanan Melayu, selagi orang Melayu berada di bawah dan tidak mampu bermain dipadang yang sama dengan bangsa lain. Perjuangan tidak akan berubah, patah sayap bertongkatkan paruh.

13. Apakah persepakatan UMNO dan Pas serta NGO Melayu pada pagi sabtu lalu akan memberi satu isyarat jelas kepada pejuang liberalisme dalam Pakatan Rakyat dan segelintir pemimpin UMNO sendiri?

14. Atau kumpulan itu merasakan mereka sudah kuat dan gagah sehingga suara majoriti orang Melayu dan Islam ini boleh diketepikan?

15. Inilah nasib Islam dan Melayu bila perbezaan ideologi sudah bertukar menjadi dendam dan benci sesama Melayu. Saya khuatir masalah orang Melayu sekarang ini umpama bila jong pecah, maka Yu yang kenyang.

Monday, August 4, 2008

Permatang Pauh: Demi Agenda Anwar atau Rakyat?

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan rakan-rakan sekalian, 

Situasi politik dalam negara pada minggu lalu sungguh bergelora. Dalam masa sehari sahaja kita dihidangkan dengan pelbagai perubahan dan pergolakan politik. Dari mesyuarat pimpinan Pas yang menolak kerjasama dengan UMNO sehinggalah kepada perletakan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Pada hari yang sama kita juga dimaklumkan mengenai siapnya kertas siasatan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya melihat pengosongan kerusi Permatang Pauh merupakan strategi Anwar untuk mengalih pandangan umum dari isu kes liwat beliau dan juga perbincangan isu-isu agama Islam dan orang Melayu yang sedang hangat di kalangan pemikir dan pemimpin Melayu.

Selepas keputusan Pilihan Raya lalu kita lihat Anwar begitu yakin mengenai kemaraannya dalam politik. Beliau menjadi pencipta isu dan menentukan rentak tarian pemimpin politik lain. Dari isu kesamarataan, penubuhan kerajaan persekutuan, lompat parti, harga petrol sehinggalah kepada isu-isu antara kaum dan agama. 

Kembalinya Ezam ke dalam UMNO sedikit mengejutkan beliau tetapi tidak langsung ternampak tanda-tanda tarian politik yang sumbang. Dengan kata lain Anwar pasca pilihan raya ke 12 tampak yakin untuk menjejak kaki ke Seri Perdana, Putrajaya. 

Namun sejak Saiful membuat laporan Polis bahawa ia diliwat oleh Anwar, bekas pemimpin nombor dua ini jelas seperti cacing kepanasan. Beliau kelihatan seperti orang kelemasan yang memaut apa sahaja dahan dan ranting yang boleh menyelamatkan dirinya.

Serangan politiknya mula tampak goyah. Cara beliau mempertahankan diri juga tidak meyakinkan mereka yang di atas pagar.

Bermula dari aduan qazaf yang pada hemat saya tidak kena masa dan sitauasinya, sehinggalah kepada pendedahan nota perubatan Saiful oleh Pusrawi yang dimanipulasi terma-terma perubatan bagi mengelirukan orang ramai. Keengganan Anwar bermubahalah dan memberi DNA tambah memberi banyak tanda tanya kepada orang ramai terutamanya orang Melayu.

Apakah tujuan utama pilihan raya kecil Permatang Pauh ciptaan Anwar ini? Ia tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan bahawa Anwar akan terus menjadi wira.

Jika ia didakwa atas tuduhan liwat, beliau kemungkinan besar tidak akan dibenarkan ikat jamin. Saya difahamkan tuduhan liwat merupakan salah satu tuduhan yang tidak membenarkan ikat jamin. Anwar hampir pasti menang dalam pilihan raya kecil ini.

Sebaik sahaja beliau menang maka beliau dengan bangga akan mendakwa betapa lemahnya BN hari ini. Dari dalam lokap pun beliau boleh menang.

Jika beliau kalah, maka beliau akan mendakwa BN menjalankan penipuan undi. Beliau akan mendakwa kekalahan itu dan perbicaraan kes liwatnya merupakan konspirasi politik bagi menggagalkan usaha beliau menjadi Perdana Menteri.

Jadi walau apa pun keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh ia tidak akan memberi impak yang positif kepada UMNO dan BN.

Namun BN harus bertanding bagi memberikan pilihan kepada pengundi untuk BN terus berbakti. Saya percaya BN mempunyai rekod perkhidmatan yang boleh ditunjukkan kepada pengundi. Rekod ini cukup untuk membolehkan rakyat memberikan undi kepada BN. Walaupun dari segi emosinya pengundi mungkin bersama Anwar, namun saya percaya mereka mampu berfikir secara rasional dan memberikan undi kepada calon BN nanti.

BN harus meyakinkan rakyat bahawa agenda dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh ini adalah merupakan agenda rakyat. Siapa yang terbukti membela rakyat dan masa depan mereka. Pilihanraya ini bukanlah tempat untuk Anwar membawa agenda peribadinya. Lebih dari itu, pilihanraya ini bukanlah "mahkamah" untuk mengadili kes aduan Saiful terhadap Anwar.

Saya fikir selain menghadapi pilihan raya kecil ini, pimpinan BN perlu meneruskan usaha mengurangkan beban hidup rakyat. Apatah lagi dengan penurunan harga minyak hari ini, kerajaan boleh menurunkan sedikit harga runcit petrol. 

Biarlah Anwar terus dengan retorik politiknya. Yang penting bagi BN ialah memahami dan mengatasi masalah rakyat. 

Jika ini dapat dilakukan, ditambah lagi dengan butiran pertemuan beberapa pemimpin BN dengan Anwar yang dimiliki Saiful, saya percaya impian Anwar untuk menjadi Perdana Menteri 16 September hanya tinggal impian semata-mata biar pun beliau menang di Permatang Pauh. 

Impian Anwar tidak lebih seperti kata pepatah "burung terbang dipipiskan lada."


Thursday, July 31, 2008

Sekadar Makluman

Asalamualaikum para sahabat bloggers dan rakan-rakan sekalian,
Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato' Mufti Shuib. Kembalinya beliau kerahmatullah merupakan kehilangan besar kepada agama, bangsa, parti dan negara. Bagi saya sendiri, beliau merupakan seorang pemimpin yang banyak memberi panduan dan tunjuk ajar kepada saya. Jasa beliau tidak mungkin dapat dibalas dengan harta benda dan wang ringgit. Semoga Allah merahmati roh allahyarham. al-Fatihah.

Saya mohon maaf kerana tidak dapat menghasilkan tulisan baru untuk blog ini. Saya hanya meluangkan masa untuk menjawab komen-komen yang dihasilkan di dalam tulisan sebelum ini. Ini memandangkan saya berada di Seoul Korea Selatan untuk Mesyuarat Agung Majlis Belia Asia (Asia Youth Council).

Saya amat berterima kasih ke atas respon para sahabat sekalian dalam topik sebelum ini.

Insyallah saya akan kemaskini topik baru untuk blog ini pada Ahad ini atau minggu hadapan.

Bagaimanapun pada 3 Ogos, jam 8.40 malam, jika tiada aral melintang, saya akan muncul di RTM 1 dalam program Blog.

Salam dari
Seoul, Korea Selatan.

Sunday, July 27, 2008

Kontrak Sosial: Habis Madu Sepah Dibuang?

Assalamualaikum para sahabat bloggers dan rakan-rakan sekalian,

Berikutan dua catatan sebelum ini iaitu, Impian Saya dan Perpaduan Melayu Bukan Ancaman, saya dikecam dan dianggap sebagai esktremis Melayu yang tidak memikirkan kepentingan kaum lain. 

Ini tentulah tidak benar sama sekali kerana dasar-dasar semasa pentadbiran saya bukan sahaja mementingkan orang Melayu malah turut mengambil kira kehendak orang Cina dan India.

Misalnya apabila Kerajaan Selangor semasa pentadbiran saya menubuhkan Pusat Kebudayaan Melayu dengan peruntukan RM 20 juta, kaum Cina dan India turut mendapat peruntukan yang sama. 

Malah kerajaan Selangor di bawah pentadbiran saya merupakan yang pertama melancarkan tabung khas untuk pendidikan anak-anak kaum India yang miskin di bawah Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang. Kerajaan Selangor juga menaja lebih 100 orang anak kaum India yang miskin untuk belajar kemahiran di Inspens.

Memang benar saya memberikan peruntukan yang lebih besar untuk perkembangan agama Islam di Selangor kerana ia merupakan agama rasmi negeri dan negara. Selain itu Islam juga mempunyai peruntukan besar dari hasil kutipan zakat. 

Namun jika saudara-saudari masih ingat Selangor merupakan negeri pertama memberikan peruntukan untuk rumah ibadat lain. Apakah ini menunjukkan saya seorang ekstremis kaum atau cauvinis perkauman?

Apa yang saya perjuangkan sekarang ialah hak-hak kedudukan agama Islam dan kepentingan orang Melayu yang telah lama dipersetujui. 

Persetujuan ini bukan pula bersandarkan kekuatan orang Melayu dan menguntungkan orang Melayu semata-mata. Sebaliknya ia merupakan proses memberi dan menerima antara semua kaum dalam membentuk struktur sosial negara pasca penjajahan.

Mungkin bagi generasi muda yang telah lupa pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu saya perturunkan semula kenyataan dua pemimpin kaum Cina dan India pada zaman awal kemerdekaan.

Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin, dilaporkan dalam akhbar tempatan bertajuk "Tun Tan Answers Critics on special Previleges" dalam pada 30 april 1969, berkata:

"The Malays, through UMNO, were generous enough to relax the citizenship laws of this country to such extent that within 12 months of independence, 90 percent were still non-citizens after nearly 100 years of colonial rule in the Malay States. In return for this major concession. the MCA and the MIC agreed to continue the policy of preserving the special position of the Malays while at the same time upholding the legitimate interest of other communities."

[Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu telah menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain.]

- Sumber Tan Sri Khalid Awang Osman, Malaysia - An Anthology, Vantage Press, New York, hal. 38-39.

UCAPAN PRESIDEN MIC merangkapMENTERI KERJAYA RAYA, POS DAN TELEKOM, TUN V.T. SAMBANTHAN DI DEWAN RAKYAT PADA 1 JUN 1965.

"Now, in 1955 we won the elections with a great majority. Then we obtained freedom in two years time. During this period, we had to discuss citizenship and various other things. Now what did the Malays do - since we are speaking on racial lines - what did the Malay leadership do? The had 88 percent of the electorate still with them. What did they do with citizenship?

If we look around in Asia and East Asia, particularly, you will find that my race the indian race, is not welcomed in Ceylon, is not welcomed in Burma. Look at my brother Chinnese race, it is not welcomed in Thailand, in Vietnam, in Cambodia, in all the other areas. What help do they get for citizenship in all these territories? In Burma, as we know, Indian have been send packing, in Ceylon they refused them citizenship and in Burma it is likewise. I know it, you know it. And yet in Malaya what happened? Here we found that the Malay leadership said, "We shall tkae them unto ourselves as brothers, we shall give them full opportunity to live in this country, we shall give them every opportunity to become citizens." And so, in 1957, for the whole year, we waived language qualifications, and tens of thousand of Indians, Chinnese, Ceylonese and others became citizens...

As I said, it has been my great good fortune to have born in this country. Where else can you find a more charitable, a more polite, a more decent race than Malay race? Where else can you get such politically decent treatment for any immigrant race? Where else in the history of the world? I ask you. These are the facts. Who are you to safeguards us? I am 10 percent minority race here. But I am happy here."


[Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian.

Dalam jangka masa itu kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh Orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu?

Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan?

Jika jita lihat di serata negara Asia dan asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Dam lihat saudara kita kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain.

Dan apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka perolehi di semua wilayah tersebut?

Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. saya tahu dan anda juga tahu. dan dalam pada itu apa yang sedang berlaku di Malaya?

Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, "Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan lehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara."

Dan seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara.

Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain dari Bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini."]
- Sumber Tan Sri Khalid Awang Osman, Malaysia - An Anthology, Vantage Press, New York, hal. 60

Apakah natijah daripada kenyataan ini? Ini menunjukkan bahawa orang Melayu melakukan pengorbanan yang terbesar dengan memberi kerakyatan kepada lebih sejuta kaum imigran yang datang ke sini.

Kesannya kaum Cina dan India menerima hak pendidikan, keselamatan, peluang pekerjaan, peluang ekonomi dan yang paling penting peluang untuk mengundi dan menentukan arus kepimpinan negara ini bersama-sama orang Melayu.

Justeru adakah jahat dan tidak adil jika saya dan orang Melayu lain mempertahankan sedikit hak agama dan bangsa yang telah dipersetujui sejak dahulu.

Lihatlah bagaimana pemimpin-pemimpin terdahulu melihat masa depan pelbagai kaum dengan perasaan yang ikhlas. Malangnya generasi hari ini mungkin kerana banyak terdidik di Barat telah lupa susur galur pembentukkan masyarakat pelbagai kaum negara ini.

Bagi saya tiada salah memperjuangkan kepentingan kaum tertentu, yang menjadi kesalahan ialah bila memburukkan kaum lain atau pun menuduh kaum lain tidak berlaku adil terhadap mana-mana kaum dalam negara berbilang kaum seperti negara kita.

Mengapa perlu dipertikaikan "kontrak sosial" ini sedangkan saya melihat tidak pula orang Melayu menguasai ekonomi sehingga menindas bukan Melayu.

Jika dikatakan terdapat orang India dan Cina yang miskin, saya percaya jumlah orang Melayu dan Bumiputera yang miskin lebih ramai daripada mereka. Ini bukan bermakna kaum bukan bumiputera tidak perlu dibantu. Terdapat pelbagai bantuan telah disalurkan melalui kerajaan, MCA, MIC dan pelbagai NGO.

Mungkin terdapat kelemahan dalam pelaksanaan bantuan tetapi ini bukan bermakna ia memberi ruang untuk pihak tertentu untuk mempertikaikan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan kedudukan orang Melayu yang telah dipersetujui sejak dahulu.

Saya berharap rakan-rakan kita bukan Melayu tidaklah bersikap habis madu sepah dibuang.

Thursday, July 24, 2008

Perpaduan Melayu Bukan Ancaman

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,

1. Terima kasih kerana memberi respon yang pelbagai kepada catatan "Impian Saya".Ini memberi saya ruang untuk melihat pendapat pelbagai golongan.

2. Saya tidak fikir orang bukan Melayu atau bukan Islam perlu merasa bimbang atau gundah gulana apabila ada usaha orang Melayu untuk berdialog mencari arah tuju perpaduan baru bagi menjaga kepentingan hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan dan persetujuan kemerdekaan.

3. Belum pernah ada dalam sejarah, perpaduan atau kesatuan Melayu membawa kepada penindasan ke atas kaum bukan Melayu. Hakikatnya orang Melayu terkenal dengan sikap bertolak ansur, lebih banyak memberi daripada mengambil. Seingat saya tiada satu pun tanah atau harta orang bukan Melayu dirampas apabila negara ini bebas dari pemerintahan penjajah seperti yang berlaku di beberapa negara dunia ketiga lain.

4. Namun orang bukan Melayu harus berasa bimbang jika orang Melayu mulai merasai bahawa hak dan kepentingan agama Islam dan bangsanya tercabar. Ini terjadi pada 1969 yang mengakibat satu tragedi hitam kepada sejarah perpaduan negara.

5. Tragedi ini berlaku kerana ketika hak agama Islam dan orang Melayu terancam tiada usaha pemimpin Melayu ketika itu untuk menenangkan keadaan orang Melayu. Tiada usaha mewujudkan suasana yang meyakinkan orang Melayu bahawa tiada ancaman terhadap mereka walaupun ada usaha mencabar isu-isu orang Melayu dan agama Islam.

6. Justeru orang bukan Melayu dan bukan Islam patut melihat pertemuan dan perbincangan antara orang Melayu ini dari sudut yang positif. Jika ada persefahaman di kalangan pemimpin Melayu untuk terus menjaga kepentingan agama dan bangsa, pasti ini lebih mententeramkan arus kerisauan di bawah. Ini sekaligus dapat menstabilkan keadaan politik kita.

7. Ada juga andaian bahawa saya dan pemimpin Pas yang berbincang untuk menubuhkan kerajaan campuran sebagai tidak menghormati kehendak rakyat. Ada pula yang mendakwa bahawa perbincangan tersebut bertujuan menyelamatkan UMNO.

8. Saya fikir ini adalah andaian yang tidak tepat. Keputusan pilihan raya umum ke 12 menunjukkan BN merupakan parti yang mendapat kerusi terbanyak sebanyak 20 kerusi, diikuti oleh PKR 15, DAP 13 dan Pas 8. Malah jika sebagai parti secara sendiri pun UMNO masih merupakan parti yang paling banyak menang kerusi di DUN Selangor 18 kerusi.

9. Perlu diingat Pas, PKR dan DAP bertanding secara parti masing-masing bukannya atas tiket Pakatan Rakyat. Malahan di kampung-kampung Pas tidak pernah mengakui kerjasama mereka dengan DAP. Justeru, dalam keadaan tiada parti yang mendapat majoriti, mana-mana parti berhak mengadakan rundingan untuk menubuhkan kerajaan campuran. Ini adalah keadaan biasa di mana-mana negara yang mengamalkan amalan demokrasi berbentuk banyak parti.

10. Kebimbangan bahawa kerajaan campuran BN-Pas satu cubaan menidakkan kerajaan berbilang kaum adalah tidak tepat. Ini kerana BN masih mempunyai MCA yang tentu akan diberi jawatan EXCO.

11. Saya tidak akan menarik balik kenyataan bahawa DAP dan Hindraf mewakili pandangan ekstremis kaum mereka. Apakah bagi parti seperti DAP yang sejak penubuhannya mempertikaikan hak-hak keistimewaan orang Melayu, memperjuangkan kedudukan sama rata agama Islam dengan agama-agama lain ia bukan mewakili ekstremis Cina? Apakah bagi parti yang bercakap soal Malaysian Malaysia apabila mahu mencabar kedudukan orang Melayu tetapi menolak konsep Sekolah Wawasan bukan eksteremis kaum?

12. Bagi Hindraf pula, sungguh pun yang bersimpati dengan mereka bukanlah semuanya ekstremis tetapi tuntutan-tuntutan mereka (sila baca di sini) adalah tuntutan ekstremis perkauman.

Janganlah takut kepada penyatuan mana-mana bangsa sekalipun kerana penyatuan sesuatu bangsa belum tentu membawa mudarat kepada bangsa lain. Jika dilihat sejarah politik negara pun, penyatuan orang Melayu (atau kurangnya persengketaan politik Melayu) akan diikuti oleh kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara.

Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana perbincangan agenda penyatuan Melayu masih dalam ruang lingkup menjaga kedudukan agama Islam dan orang melayu dalam Perlembagaan Negara.

Janganlah sebahagian kita takut dengan bayang-bayangnya sendiri.

Sunday, July 20, 2008

Impian Saya

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat blogers sekalian,

Mohon maaf kerana lama blog ini tidak dikemaskini. Ini disebabkan saya banyak mendapat jemputan untuk penerangan isu-isu semasa bagi mengukuhkan kembali kedudukan UMNO. Insyaallah, saya akan cuba kemaskini blog ini sekerap mungkin.

Saya tertarik dengan usaha-usaha mengadakan muzakarah UMNO-Pas kali ini.

Mungkin ini akan merealisasikan Impian saya ialah untuk melihat orang Melayu bersatu menjadkan kuasa Melayu itu kuasa yang dapat menentukan masa depan agama, bangsa dan negara.

Kita sedar 60% rakyat negara kita ialah orang Melayu dan bumiputera tetapi ia tidak memberi sebarang makna dalam negara demokrasi seperti negara kita kerana kita telah dipecahkan kepada tiga parti. Orang Melayu berada di dalam UMNO, Pas dan PKR.

Perpecahan Melayu ini bukan sahaja dari segi ideologi politik tetapi telah membarah dalam hati nurani kita. Kita lihat orang Melayu berpecah sehingga kita lupa bahawa dalam Islam kita bersaudara dan menjaga tali persaudaraan merupakan satu kewajipan dalam Islam. Semua ini berlaku kerana politik kebencian yang diamalkan oleh kita, politik fitnah yang amat memalukan pemimpin dan keluarganya. Politik dendam yang mengakari pemikiran kita.

Semua ini telah menyukarkan kita untuk kembali bersatu.

Walaupun begitu saya optimis kita masih ada ruang untuk bersatu walaupun akan mengambil masa yang panjang. Pertamanya kita perlu meleraikan orang Melayu daripada politik kebencian, fitnah dan dendam. Ia perlu bermula di kalangan generasi baru yang melihat majoriti Melayu akan hanya memberi makna jika kita bersatu untuk menentukan jatuh bangunnya agama, bangsa kita.

Saya gembira bila mendengar telah ada perbincangan di antara kepimpinan Melayu dalam UMNO dan Pas. Kegembiraan ini kerana inisiatif ini telah saya mulakan di Selangor sebaik sahaja berakhir Pilihan raya Umum ke 12 yang lalu. 

Saya telah mencadangkan agar diadakan satu kerjasama antara Pas dan Barisan Nasional di Selangor.

Saya juga telah membawa pemimpin tertinggi Pas bermuzakarah dengan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Saya juga mencadangkan agar Pas diberi jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar serta 4 EXCO. Malahan saya menolak sebarang jawatan bagi mengelakkan dianggap menguasai EXCO yang bakal dibentuk.

Saya lakukan ini kerana percaya bahawa gabungan Pas dan BN akan memastikan kepentingan agama Islam dan orang Melayu tidak akan diperkotak-katikkan. Bagi saya yang penting ialah kepentingan agama Islam dan orang melayu terjaga bukan siapa yang menjadi pemimpin utama.

Malangnya, pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pas, melalui Setiausaha Agungnya, Kamaruddin Jaafar, telah menggagalkan usaha tersebut. Saya yakin selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan penting dalam Pakatan rakyat, muzakarah tersebut tidak akan memberi sebarang kesan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim memang tidak mahu Melayu bersatu kerana itulah beliau tubuhkan Pakatan Rakyat yang berjuang atas prinsip kesamarataan, menyamakan taraf agama Islam dengan agama lain, menyamaratakan kedudukan orang Melayu dengan bangsa lain, walaupun memiliki status bumiputera. Sebab itulah Anwar dapat menarik sokongan yang besar daripada golongan ekstremis Cina melalui DAP dan ekstremis India melalui Hindraf.

Cadangan untuk mengadakan muzakarah mengenai agenda Islam dan orang Melayu nampak lebih baik sekarang. Saya percaya Pas sekarang sudah mulai sedar bahawa mereka kian tersisih dalam membicarakan isu Islam dan orang Melayu di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat. Ini ditambah lagi dengan masalah peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang ini.

Saya tidak mengimpikan Pas dan UMNO bersatu dalam bentuk fizikal parti atau ideologi politik. Tapi saya mengimpikan kesatuan orang Melayu dalam erti mempertahankan kedudukan dan agenda Islam dan Melayu di negara ini. 

Saya impikan biar parti mana pun yang menang pilihan raya, kedudukan agama Islam dan Orang Melayu kekal dan terus dipertahankan. Bukan seperti sekarang ini sudah terdapat "penggadaian" terhadap status quo Islam dan Melayu dalam usaha membeli pengaruh dan sokongan bukan Melayu.

Impian saya ialah suatu hari nanti kita semua dapat melihat YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datin Seri Wan Azizah dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang duduk semeja.

Impian saya juga untuk melihat Melayu kembali menjadi tunjang politik negara yang akan menstabilkan politik tanah air, menjadi kenyataan. Saya berdoa semoga semuanya ini akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Biduk berlalu, kiambang bertaut. Bagai aur dan tebing kita bersama. Yang ringan sama kita jinjing, yang berat sama dipikul, hati nyamuk sama dicecah, hati gajah sama dilapah. 

Bangsa ini, bangsa berdaulat kembalikan kedaulatan tersebut.