Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Sunday, March 30, 2008

Mohon Cadangan Sahabat Bloggers

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat dan bloggers sekelian. Saya telah membaca semua komen yang telah diberikan. Memanglah sebahagiannya melukakan hati saya tetapi saya tabah menerima pandangan tersebut. Saya juga menerima kata-kata galakan untuk terus berjuang menghadapi cabaran masa depan. Saya akan teruskan perjuangan ini selagi agama, bangsa dan negara saya belum mencapai tahap kemajuan seperti yang kita cita-citakan bersama.

Jatuh bangun dalam politik adalah perkara biasa. Saya telah melengkapkan sebuah kitaran hidup. Pengalaman dari seorang anak desa yang tidak punya apa-apa; kemudiannya memimpin negeri dan membuat sedikit jasa. Dan hari ini saya kembali seperti dulu. Pengalaman ini pasti akan mematangkan saya menjadi orang yang lebih berfikiran terbuka dan memahami kehendak rakyat.

Sekarang kita berada dalam keadaan tidak menentu (uncertainty). Menyalahkan atau menuding jari tidak memberi sebarang makna. Yang saya perlukan sekarang ialah cadangan-cadangan bagaimana untuk kita menggariskan haluan masa depan yang lebih konkrit untuk memastikan negara ini tidak terjerumus dalam kancah yang akan menghancurkan Wawasan 2020.

Pandangan sahabat-sahabat dan bloggers amat saya perlukan. Apa yang sebenarnya kita boleh lakukan dalam jangka waktu yang pendek dan jangka waktu yang panjang dalam menangani tuntutan-tuntutan semua kaum dalam negara kita? Saya mohon pandangan saudara-saudari.

Friday, March 28, 2008

Wadah Sebuah Perjuangan

Assalamualaikum w.b.t.

"Selamat Datang" ke blog ini. Insya-Allah, ia akan menjadi wadah untuk saya berkomunikasi dengan pembaca khusus dalam isu-isu politik dan sosial. Saya akan memanfaatkan blog ini untuk berbicara mengenai masa depan negara dan perjuangan UMNO sebagai wadah politik kita.

Ketika merasmikan Kongres Melayu Pertama (yang menjadi asas penubuhan UMNO) di Kuala Lumpur pada 1-4 Mac, 1946, Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah a-Haj bertitah bahawa perjuangan parti berasaskan kepada dua perkara iaitu pegangan kepada agama dan perpaduan bangsa. Marilah kita bersama-sama mengukuhkan agenda perjuangan ini. Semoga Allah s.w.t. memberkatinya.

Kepada semua, terima kasih kerana membaca blog ini. Saya amat menghargai pandangan dan sumbangan idea yang bernas.