Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Sunday, April 27, 2008

Perbanyakan Bantuan Kepada Golongan Miskin

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Beberapa hari ini timbul pertikaian mengenai isu Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (BALKIS). Sungguhpun isu ini membabitkan isteri-isteri wakil rakyat yang turut membabitkan isteri saya, saya fikir lebih molek dan elok jika ia diselesaikan secara undang-undang antara peguam BALKIS dan peguam pihak yang mempertikaikannya. Bagi saudara/i yang ingin mengetahui secara terperinci bolehlah membaca kenyataan akhbar oleh BALKIS yang boleh diakses di www.pembangkangselangor.com.

Namun secara sepintas lalu, saya ingin memberi jaminan di sini bahawa tiada satu sen pun dari wang tersebut masuk ke mana-mana akaun individu. Wang tersebut telah dipindahkan ke akaun BAKTI melalui peruntukan Perlembagaan Balkis. Pemindahan wang tersebut juga tidak melibatkan pihak ketiga seperti dakwaan sesetengah pihak.

Memandangkan penderma-penderma telah mengambil pelajar-pelajar di Asrama Balkis sebagai anak angkat syarikat masing-masing, jadi menjadi tanggung jawab Balkis memastikan wang tersebut digunakan untuk membiayai anak-anak miskin cemerlang yang telah dipilih oleh Balkis dengan kerjasama Pegawai Pendidikan Daerah di Selangor. Atas tanggungjawab tersebut Balkis telah mendapat komitmen seratus peratus daripada Bakti. Wang yang telah dimasukkan dalam akaun Bakti akan digunakan untuk tujuan tersebut. Jika kerajaan bimbang dengan perjalanan tabung ini yang telah diurus oleh Bakti, Menteri Besar bolehlah meminta penyata akaun bulanan untuk dipantau.

Saya harap penjelasan ini akan mengelakkan persepsi bahawa wang tersebut telah tidak diurus dengan teliti. Malah saya mengalukan-alukan pihak berkuasa melakukan siasatan kerana saya yakin tiada penyelewengan yang berlaku.

Selain itu, saya fikir kerajaan negeri Selangor patut memikirkan mekanisme dan kaedah yang baik bagaimana untuk membantu anak-anak miskin yang mempunyai masa depan cerah dalam pelajaran dengan menyediakan dana-dana baru.

Adalah lebih penting membesarkan dana bantuan dan kumpulan yang akan dibantu berbanding bertelingkah untuk mengawal dana bantuan sedia ada. Dengan ini lebih ramai akan menerima faedah dan bantuan yang mampu merubah masa depan mereka.

Pengalaman Membantu Golongan Miskin

Saya juga ingin berkongsi pengalaman bersama-sama sahabat bloggers berhubung dengan usaha yang telah dibuat oleh kerajaan di bawah kepimpinan saya dalam rangka untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar dan relatif di Selangor. Ini merupakan usaha fasa pertama saya untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor.

Fasa kedua yang telah dirancang tetapi tidak sempat dilaksanakan adalah bagaimana untuk merapatkan jurang pendapatan di antara bandar dan luar bandar dan juga di antara kaum di Selangor.

Mengikut statistik pada tahun 2000, kadar kemiskinan Selangor di paras 3% telah menurun ke paras bawah 1% pada 2007. Ini bermakna kita telah mencapai kemajuan tetapi masih ada mereka yang perlu dibantu. Saya jelaskan ini kerana ada tanggapan masyarakat bahawa kerajaan BN gagal berdasarkan masih ada orang miskin.

Kita harus realistik sebaik mana pun polisi tidak mampu mengatasi masalah selagi tidak mendapat kerjasama mereka yang terlibat untuk meningkatkan pendapatan dan keluar daripada garis kemiskinan.

Banyak bantuan telah disalurkan dari segi kewangan, kemahiran, peluang pendidikan dan juga peluang dan modal perniagaan kepada kumpulan sasaran. Tidak dapat dinafikan sebahagiannya tidak berjaya tetapi keseluruhannya mencapai matlamat.

Di antara usaha yang telah dibuat dahulu ialah mensyaratkan semua anak syarikat kerajaan negeri memainkan peranan yang lebih aktif dalam membantu golongan ini. Semua anak syarikat diwajibkan menyumbang kepada Tabung Prihatin yang telah diwujudkan. Jumlah sumbangan adalah bergantung dengan jumlah keuntungan syarikat. Peratus sumbangan mestilah menyamai jumlah bonus tambahan kepada kakitangan syarikat yang memberi keuntungan kepada kerajaan negeri.

Di antara program-program yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

1. Program Rumah Prihatin. Program ini merupakan program membina rumah secara percuma bernilai RM 20 - 23 ribu sebuah kepada keluarga miskin tegar. Program ini ternyata memberi impak yang positif bila mana keluarga ini telah memiliki rumah selesa maka mereka boleh menumpukan kepada pendidikan anak-anak. Program ini telah berjaya mengurangkan masalah keciciran pelajar-pelajar miskin.

2. Program Bantuan Makanan Bulanan. Program ini telah dilaksanakan dan melibatkan warga tua terdiri daripada ibu tunggal dan bapa tunggal yang terbiar dikampung-kampung. Bantuan makanan akan dihantar ke rumah penerima yang meliputi makanan asas seperti beras, gula, milo, ikan bilis, sardin dan susu.

3. Bantuan Pendidikan. Bantuan berupa pakaian, kemudahan bahan bacaan dan alat tulis serta wang bulanan juga diberikan kepada pelajar-pelajar miskin tegar.

4. Bantuan Pendidikan Kemahiran. Anak-anak keluarga ini diberikan latihan kemahiran seperti kemahiran menyelenggarakan dan memperbaiki kenderaan, hawa dingin dan kemahiran penyelenggaraan bangunan melalui program di Inspen.

5, Bantuan Peralatan. Bantuan ini berupa memberikan peralatan secara percuma seperti mesin jahit, bantuan pukat, enjin, dan bot, peralatan untuk IKS seperti mesin memproses makanan.

6. Bantuan membina gerai di kawasan bandar dan pinggir bandar turut diberikan. Ini bertujuan untuk menyediakan ruang perniagaan kepada mereka yang berminat untuk berniaga secara teratur seperti yang ada melalui projek uptown.

7. Membina asrama desa untuk menempatkan pelajar miskin di luar bandar. Program ini memberi banyak manfaat kepada pelajar untuk mendapat pendidikan yang lebih teratur dan menyeluruh.

8. Bantuan Zakat dalam bentuk wang secara bulanan dan tahunan juga telah dilaksanakan.

Ini semua adalah program yang dibuat secara umum yang melibatkan peruntukan yang tinggi dan pelaksanaannya telah membawa ke arah pengurangan miskin tegar di Selangor. Saya sedar masih banyak lagi perancangan perlu diusahakan bagi kita merealisasikan hasrat kerajaan untuk mensifarkan kemiskinan tegar pada tahun 2010.

Saya amat berharap kerajaan yang ada hari ini selain dari meneruskan program tersebut perlu juga mencari pendekatan baru yang bersesuaian dengan tuntutan masa. Bagi saya miskin adalah satu isu masyarakat jika tidak ditangani ia akan merosakkan kestabilan negara. Walaupun ia hanya melibatkan golongan kecil masyarakat tetapi tidak boleh dipandang enteng oleh kerajaan hari ini.

Saya mengaku semasa pilihan raya yang lalu, kita tidak memberi penumpuan ke arah penyelesaian masalah peningkatan kos hidup yang semakin tinggi. Ini menyebabkan lebih kurang 40% rakyat Selangor yang berpendapatan kecil, tetapi tidak dalam golongan miskin, dan berpendapatan sederhana tidak diberi perhatian.

Kenaikan harga petrol benar-benar memberi satu tekanan kesemua masyarakat. Ini kerana kenaikannya turut diikuti kenaikan harga barangan asas dan kos pengangkutan. Ini ditambah pula dengan tiadanya usaha untuk menyediakan pengangkutan awam yang cekap menambahkan penyeksaan golongan ini.

Harapan

Saya amat berharap Kerajaan Persekutuan memikirkan bagaimana untuk mengurangkan kos kehidupan yang meningkat dan tidak dapat diimbangi dengan jumlah pendapatan yang diterima rakyat dalam golongan ini.

Jika kita masih menafikan masalah ini ia akan menyebabkan golongan ini terus menjadi miskin tegar dan lebih parah miskin tegar yang menanggung hutang bank yang tinggi seperti hutang kenderaan dan rumah yang menjadi satu keperluan hidup di negara kita.

Antara langkah pro-aktif yang kerajaan boleh laksanakan ialah mengadakan kerjasama dengan bank menyediakan pinjaman jangka panjang dengan kadar faedah yang rendah kepada golongan ini.

Penyediaan perumahan awam atau council home perlulah ditingkatkan dan mereka dibenarkan membeli rumah tersebut bila berkemampuan. (Ini telah dilaksanakan di semua PBT di Selangor tetapi dalam skala yang kecil.)

Penyediaan pendidikan asas tadika juga perlu diselaraskan dan diberikan secara percuma kepada golongan ini. Malah kerajaan perlu mewajibkan semua pejabat kerajaan mewujudkan ruang penjagaan bayi di pejabat masing-masing. (Ini juga telah saya laksanakan di sebahagian besar pejabat-pejabat negeri Selangor).

Beberapa tahun lalu Selangor juga telah mengadakan skim perumahan istimewa untuk pasangan muda. Skim ini merupakan skim sewa beli di mana selepas sahaja tempoh sewaan tamat, pasangan tersebut boleh membeli rumah itu atau pun memilih untuk mendapatkan semula 30% wang sewa mereka. Ini akan membolehkan mereka menggunakannya bagi membayar deposit rumah baru mereka.

Saya harap skim ini dapat diteruskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Malah boleh dikembangkan di peringkat nasional. Saya yakin jika masalah golongan berpendapatan rendah dan sederhana ini tidak ditangani dengan sempurna ia akan menjadi bom jangka yang boleh menghancurkan kestabilan negara.

Saya yakin sahabat bloggers mempunyai pandangan dan cadangan yang lebih bernas yang boleh saya sampaikan untuk tindakan lanjut kerajaan hari ini.

Thursday, April 24, 2008

Padah Penyapu atau Padah Sikap Kita?

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Baru-baru ini sebuah akhbar dengan lantang mendakwa kekalahan Barisan Nasional di Selangor merupakan Padah Penyapu yang dikatakan sebagai satu bentuk sial. Justeru izinkan saya mengulas sedikit isu ini supaya ia tidak lagi berpanjangan.

Sebagai seorang Ketua Kerajaan yang selalu mendapat aduan berkaitan dengan ketidakcekapan pegawai-pegawai di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutamanya, berkaitan dengan masalah-masalah penyelenggaraan yang terabai langsung. Isu ini turut sering kali ditimbulkan oleh media massa utama negara TV3. Pada suatu ketika kredebiliti dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan turut terhakis.

Apabila saya menghubungi pegawai-pegawai PBT, jawapan mudah mereka ialah tiada peruntukan untuk menyelenggarakan kawasan jagaan mereka. Ini menunjukkan masalah pendapatan PBT yang tidak seimbang dengan perancangan.

Menyedari masalah ini saya mengambil pendekatan untuk mengatasai dengan memastikan cukai yang dipungut mencapai tahap sekurang-kurangnya 50% untuk menampung perbelanjaan penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga mencari peruntukan di peringkat negeri untuk diberikan kepada PBT.

Perbincangan juga kerap diadakan. Laporan saban minggu dibentang. Namun prestasi tahap kecekapan pegawai masih terlalu rendah. Dalam satu mesyuarat, saya telah mencadangkan pada awalnya sistem rating diperkenalkan.

Siapa yang mendapat rating tertinggi atau terbaik akan diberi peluang untuk membuat lawatan ke luar negara bagi meningkatkan kecekapan mereka. Bagi mereka yang mendapat rating terendah pula diwajibkan untuk belajar dengan rakan PBT dalam negeri Selangor atau di dalam negeri-negeri di Malaysia.

Sistem rating ini digunakan untuk beberapa tahun dan namun tidak membawa sebarang kesan positif.

Pada satu mesyuarat lain, kita telah mengambil keputusan mana-mana PBT yang mencapai tahap kecekapan 80% dianggap cemerlang dan diberi ganjaran dengan membuat lawatan luar negara dengan tujuan belajar dan membangunkan teknologi yang bersesuaian untuk meningkatkan lagi kecekapan.

Bagi PBT yang gagal mencapai paras minima akan dikenakan tindakan tertentu untuk mereka bagi menyedari terlalu banyak masalah perlu diselesaikan.

Banyak tindakan bagi membantu atau merubah sikap kerja bagi mencapai tahap minima ini telah dilaksanakan namun ia gagal membawa perubahan. Antaranya ialah menegur Ketua Jabatan dan kakitangan, mengambil tindakan "mempetisejukkan" pegawai tertentu yang ternyata gagal dengan tugas, menahan kenaikan pangkat dan juga pemberhentian bagi pegawai kontrak yang gagal mencapai tahap minima juga diambil.

Malangnya semua tindakan ini tidak memberi kesan positif. Masih ada lagi PBT yang tidak mengambil endah dengan pencapaian mereka. Saya terus menerima aduan kekecewaan rakyat terhadap prestasi buruk PBT berkenaan. Malah ada rakyat yang mengatakan lebih baik tiada perkhidmatan diberikan supaya rakyat tidak mengharapkan sesuatu perkhidmatan itu diberikan.

Sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, saya mengambil tindakan untuk menghantar pengawai-pegawai ini berkursus bagi tujuan meningkatkan tahap kecekapan dan disiplin pegawai di PBT berkenaan.

Pada ketika itu, saya amat bimbang dan khuatir rakyat kurang percaya kepada mereka dan ini memberikan kesan yang buruk kepada kerajaan. Justeru satu perbincangan telah diadakan oleh pegawai-pegawai PBT seluruh Selangor.

Ada yang mencadangkan memberhentikan atau membuang kerja pegawai-pegawai yang telah dikategorikan pasif dan tidak produktif. Ada cadangan untuk mengambil tindakan memberi hadiah simbolik sebagai lambang untuk mereka meningkatkan produktiviti mereka.

Lebih ramai yang bersetuju dengan cadangan untuk memberi hadiah simbolik ini. dalam perbincangan itu juga timbul beberapa cadangan seperti, "menggantung selipar buruk di leher", "Memakaikan baju buruk" dan ada juga yang mencadangkan supaya diberi hadiah penyapu.

Hadiah Penyapu dipilih kerana ia merupakan simbolik sebagai usaha untuk membersihkan sikap buruk dan masalah di PBT tersebut.

Perkara ini turut diberitahu oleh salah seorang pegawai biasa dilakukan di negara-negara yang mempunyai produktiviti tinggi seperti di Korea Selatan. Dan saya telah mengarahkan supaya mesyuarat membuat pilihan, akhirnya penyapu telah dipersetujui seabagai hadiah kepada PBT yang gagal mencapai tahap pungutan cukai minima.

Perkara ini diputuskan setahun awal dengan tujuan memberi masa secukupnya kepada PBT meningkatkan tahap kecekapan mereka. Pelbagai kelonggaran juga diberikan seperti menukar jumlah hutang kepada aset seperti hartanah dan sebagainya.

Semua PBT telah mencapai tahap cemerlang kecuali satu PBT yang tidak mencapai tahap minima yang ditetapkan. Dan kita telah membuat keputusan bersama untuk menghadiahkan penyapu tersebut.

Walaupun kita terus membantu PBT melepasi tahap minima tersebut namun ia masih gagal untuk melaksanakannya.

Justeru saya perlu mengotakan keputusan mesyuarat untuk mengelakkan tanggapan saya seorang ketua yang pilih kasih. Jika ini berlaku ia pasti memberi memberi impak negatif kepada mereka yang berjaya melepasi tahap minima dan cemerlang.

Saya juga akan dianggap sebagai seorang ketua yang tidak menunaikan janji. Atas dasar itulah dengan rasa berat hati saya membuat keputusan untuk meneruskan anugerah tersebut. Kerajaan negeri tiada niat langsung untuk memalukan mana-mana individu. Hadiah tersebut diberi kepada PBT berkenaan bukannya kepada individu tertentu.

Dan kita melaksanakan ini atas kepercayaan bahawa penyapu tidak membawa impak sial dalam hidup. Bagi saya tiada hari, tiada bulan, tiada tahun dan tiada benda-benda yang boleh mendatangkan sial dalam kehidupan. Itu jelas dinyatakan dalam al-Quran.

Saya tahu memalukan pegawai adalah perkara yang membawa dosa.

Saya jelaskan sekali lagi keputusan ini telah dipersetujui bersama termasuk oleh PBT berkenaan dan ia bukan diberikan kepada individu. Malahan YDP PBT tersebut pada awalnya menerima dengan hati terbuka seperti dilaporkan oleh media massa. Namun beberapa hari kemudian berubah nada. Tidaklah jelas kepada saya apa yang berlaku di belakang tabir sehingga ia boleh berubah demikian.

Tujuan anugerah ini hanya sebagai lambang peringatan agar PBT tersebut membersihkan masalah dan ketidakcekapannya. Saya sebenarnya amat menyayangi para pegawai kerajaan dan mengharapkan rakyat juga menyayangi mereka dan menghormati mereka. Pegawai-pegawai yang disayangi rakyat adalah mereka yang bertanggungjawab dan saya yakin sebahagian besar pegawai-pegawai kerajaan adalah mereka yang bertanggungjawab.

Saya kesal bila mana saya dianggap tidak sensitif dengan budaya yang saya anggap tidak wujud sama sekali. Dan saya yakin kepada al-Quran. Jika orang Melayu masih percaya perkara tahyul dan kurafat ini, bagaimana kita mengatakan kita telah berjaya merubah minda orang Melayu.

Saya katakan begini kerana bila mana saya mahu berpindah ke rumah sendiri, ibu saya membekalkan enam penyapu untuk saya gunakan membersihkan tumah. Saya juga lihat si tukang sapu juga bukan satu pekerjaan yang sial. Saya amat berharap kepada mereka yang masih berfikiran sebegini memikirkan semula adat manakah, kepercayaan manakah yang mereka fahami.

Ironinya selepas sahaja PBT ini mendapat hadiah penyapu, kadar kutipan cukai mencapai tahap cemerlang dan kecekapan PBT ini jelas meningkat. Rakyat kurang membuat aduan, kekecewaan dapat dikurangkan dan rakyat semakin senang dengan PBT tersebut.

Jika hadiah penyapu tersebut membawa sial kepada PBT tersebut, pastilah PBT tersebut akan lebih buruk pencapaiannya, orang lebih menyampah dengan pegawai-pegawainya dan PBT tersebut dianggap PBT yang tidak berfungsi. Tetapi perkara sebaliknya yang berlaku. Kepada mereka yang masih berfikiran jumud, saya harap dapat membuktikan ayat al-Quran atau Hadis mana yang menunjukkan penyapu itu sial. Adat manakah yang mengatakan si tukang sapu itu orang yang sial.

Adakah benar penyapu membawa sial atau pun sikap kita sendiri yang membawa "sial" sehinggakan kita tewas Pilihan Raya Umum ke 12 lalu?

Saya berkeyakinan sikap dan tindakan kitalah yang menjadi punca kekalahan tersebut. Marilah kita sama-sama berfikir untuk mengenal pasti sikap, tindakan dan pemikiran "sial" kita daripada kita "mensialkan" penyapu. Selagi kita tidak mampu bersikap jujur dan melakukan muhasabah dan menerima kelemahan diri sendiri, rakyat akan terus menolak kita.

Saya percaya yang menjadikan kita "sial" ialah sikap kita yang tidak mahu memahami masalah rakyat secara menyeluruh. Jika benar mahu kembali mendapat kepercayaan rakyat, kita perlulah membuang sikap "sial" kita ini. Jadilah pemimpin yang mendengar masalah rakyat dan bertindak meringankan bebanan mereka.

Usahlah kita menjadi seperti burung unta yang memasukkan kepala ke dalam pasir dan tidak mahu melihat punca sebenar kekalahan, tetapi terus mencari pelbagai alasan termasuklah menyalahkan orang lain!

Monday, April 21, 2008

Exit Plan Untuk Kebaikan

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Dua catatan terakhir saya mengenai peralihan kuasa mendapat respon yang pelbagai. Apa yang saya cuba tulis ialah satu analisis senario politik semasa mengikut pandangan dan pemerhatian sebagai seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Tujuan saya ialah supaya pimpinan tertinggi UMNO dapat memikirkan secara positif isu pergelutan politik ini dan mengambil langkah-langkah proaktif. Sekurang-kurangnya bagaimana untuk mengelak perkara tersebut dari menjadi kenyataan.

Untuk melaksanakan peralihan kuasa, sama ada sekarang, akan datang atau pun tiada peralihan langsung, itu adalah hak YAB Perdana Menteri. Saya hanya merayu agar satu exit plan dikemukakan segera. Ini juga selari dengan pengakuan YAB Pak Lah sendiri kepada UMNO Johor untuk mengadakan peralihan kuasa.

Selain itu, ahli-ahli UMNO juga mempunyai kuasa dan hak menentukan kedudukan kepimpinan parti. Saya hanya berharap jika ada exit plan dikemukakan awal, maka tiada satu pertandingan yang terlalu sengit sehingga memecah belahkan parti akan berlaku dalam Perhimpunan Agung UMNO akan datang.

Jika ada pihak mengatakan ini merupakan satu desakan daripada saya terpulanglah kepada pemahaman masing-masing. Saya cuma menyampaikan suara akar umbi yang menyatakan pandangan mereka kepada saya. Saya fikir pandangan-pandangan ini amat relevan dan saya bertanggungjawab untuk menyampaikannya kepada kepimpinan parti dan negara.

Selain pandangan ahli UMNO yang lebih 3 juta orang, pandangan orang Melayu seramai 16 juta juga perlu diambil kira bagi memastikan UMNO terus relevan.

Sebab itu dalam catatan pertama saya mengenai peralihan kuasa (ini juga saya sebut dalam forum mykmu.net di Hotel Singgahsana), UMNO, BN dan Kerajaan harus datang dengan satu formula baru bagi memastikan ia terus relevan kepada orang Melayu, Cina dan India serta kaum-kaum lain di Malaysia.

Semua ini, sama ada cakap-cakap mengenai perubahan kepimpinan mahu pun perubahan pendekatan dalam kerajaan dan parti, adalah bertujuan mengukuhkan UMNO sebagai parti yang menjadi tunggak Barisan Nasional dan juga kepimpinan negara.

Friday, April 18, 2008

Peralihan Kuasa Perlu Disegerakan Jika Mahu UMNO dan BN Kembali Kukuh

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Terima kasih kerana mengunjungi blog ini dan juga memberi banyak buah fikiran baru yang amat berguna untuk saya bawa dalam perbincangan-perbincangan bersama kepimpinan UMNO kemudian nanti. Terima kasih juga kepada generasi muda Malaysia yang berada di dalam dan luar negara yang turut sama berkongsi pandangan dan idea.

Sungguhpun berada di luar negara, isu-isu dalam negara turut saya ikuti. Berdasarkan laporan-laporan media hari ini ternyata YAB Pak Lah berhasrat untuk kekal buat beberapa tahun lagi. Persoalannya apa akan berlaku kepada senario politik negara dan UMNO? Apakah hala tuju kepimpinan negara berdasarkan kenyataan Pak Lah beberapa hari lalu?

Dalam catatan sebelum ini, saya menyatakan bahawa Pak Lah harus melaksanakan exit plan seperti yang disarankan oleh banyak pihak termasuk UMNO Johor.

Saya juga menyarankan beberapa pembaharuan segera dalam kerajaan dan UMNO jika BN mahu kembali mendapat kepercayaan rakyat. Beberapa pandangan yang diberi oleh pembaca mengenai arah pembaharuan dalam catatan sebelum ini turut boleh dijadikan panduan.

Nampaknya cadangan peralihan kepimpinan dan pembaharuan secara baik tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini. Saya percaya ini akan memberi kesan kepada usaha untuk meraih kembali kepercayaan dari kalangan akar umbi UMNO dan rakyat.

Melihat kepada kegigihan Tun Dr. Mahathir mewujudkan momentum yang agak tinggi dalam siri ucapan beliau, jalan untuk kepimpinan hari ini meraih kembali kepercayaan ahli UMNO agak sukar dan penuh liku. Penerimaan pemimpin bahagian, cawangan dan ahli UMNO serta rakyat terhadap usaha Tun semakin tinggi.

Sukar sama sekali untuk BN kembali pulih jika terus mengabaikan pandangan Tun secara total. Kedudukan Tun sebagai pemimpin ulung negara belum pudar bukan sahaja kepada ahli UMNO malah kepada seluruh rakyat tanpa mengira batasan kaum, agama mahu pun peringkat umur.

Malah, menurut seorang rakan, rakyat memberi reaksi spontan kepada Tun dengan memberi tepukan gemuruh sambil berdiri (standing ovation) dalam dua majlis terakhir yang beliau hadiri iaitu - Konsert anjuran Pengasih dan Konsert Celine Dion. Ini wajar membuka mata kepimpinan hari ini mengenai pengaruh dan populariti Tun.

Senario Semasa Politik Negara

Beberapa perkara mungkin akan berlaku dan bakal mengubah lanskap politik tanah air. Perubahan ini boleh menjadi satu yang menguntungkan parti dan negara atau sebaliknya. Walau apa pun kita perlu hadapi secara bersama. Saya menjangkakan beberapa senario seperti berikut mungkin berlaku:

Senario Pertama

Berlaku perubahan atau rombakan kabinet. Pak Lah terpaksa merombak kabinet sedia ada untuk memenuhi tuntutan dari Sabah dan Sarawak.

Pertemuan Pak Lah dengan pucuk pimpinan Sabah memperlihatkan kekecewaan rakyat Sabah. Para pemimpin di Sabah melihat rakyat di negeri itu dilayan sebagai kelas kedua dan sebagainya.

Malah ada yang mengatakan "bukan pemimpin Sabah yang perlu dibimbangi akan lompat, tetapi takut nanti rakyat Sabah yang akan lompat dalam pilihan raya umum akan datang."

Saya melihat kenyataan ini ada kebenarannya. Malah saya boleh merasakan perasaan yang sama itu kerana saya pernah bekerja di Sabah.

Saya tidak ikut serta dalam perjumpaan di Sarawak. Tapi saya rasa mungkin perkara yang sama berlaku. Untuk itu saya berpendapat, sama ada suka atau tidak Pak Lah perlu merombak kabinet.

Namun sama ada rombakan Kabinet akan berlaku atau tidak, ia merupakan hak budi bicara (prerogratif)YAB PM.

Senario Kedua

Namun senario kedua yang mungkin berlaku adalah undi tidak percaya terhadap PM di Parlimen oleh pembangkang. Lebih-lebih lagi pemilihan Speaker juga tampaknya kurang teliti (sama seperti ketika membentuk kabinet). Jika ini berlaku, Datuk Seri Najib akan mengambil alih kepimpinan setelah mendapat persetujuan UMNO dan Barisan Nasional serta Perkenan Yang Di Pertuan Agong.

Namun saya tidak menjangkakan ini akan dilakukan oleh DS Anwar Ibrahim dan sekutunya dalam jangka masa terdekat ini. Jika ia dibuat pasti jalan Anwar untuk kembali ke puncak akan lebih sukar. Ini kerana saya pasti DS Najib akan melakukan perubahan yang agresif dalam kerajaan dan parti untuk mengekang Anwar dan sekutunya.

Pada hemat saya, Anwar lebih senang melihat Pak lah terus kekal. Ini akan mewujudkan kedudukan UMNO yang lemah dan sokongan parti komponen juga agak kurang. Akhirnya BN akan kalah teruk dalam pilihan raya akan datang. Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan baru.

Justeru, jalan terbaik Anwar Ibrahim adalah untuk terus melemahkan UMNO dan BN. Bagi tujuan itu, Anwar akan cuba membina keyakinan rakyat terhadap beliau melalui proses demokrasi dan sekaligus meruntuhkan moral dan kepercayaan rakyat dan ahli UMNO terhadap Pak Lah dan Najib.

Saya yakin menjelang sidang kedua Parlimen nanti, satu pilihan raya kecil akan diadakan bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen. Kawasan yang hampir pasti ialah Bandar Tun Razak yang berada di depan batang hidung kepimpinan hari ini.

Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengosongkan kerusi ini sebagai balasan diangkat menjadi Menteri Besar Selangor. Jawatan tersebut sepatutnya disandang oleh pemimpin nombor dua PKR, Azmin Ali. Namun ia merupakan tolak ansur Azmin yang dijanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri bila Pakatan Rakyat PR) berkuasa kelak.

Anwar akan bertanding sebagai calon Perdana Menteri (in waiting). Sementara itu seperti tradisi, Timbalan Presiden UMNO, DS Najib akan mengetuai jentera pilihan raya kecil BN.

Dengan Pak Lah masih menjadi pemimpin nombor satu, mood di kalangan ahli UMNO dan BN akan berada di tahap amat rendah dan amat sukar untuk BN menang. Keputusan hampir pasti akan menyebelahi PKR.

Apabila ini berlaku, kemenangan Anwar bukan sahaja menghancurkan keyakinan rakyat, terutama ahli UMNO, kepada Pak Lah tetapi juga kepada DS Najib. UMNO hampir pasti hancur jika ini berlaku.

Ini yang amat saya bimbangi dan saya yakin akan berlaku, lebih-lebih lagi memikirkan kemungkinan pilihan raya kecil ini diadakan hampir dengan Persidangan Agung UMNO tahun ini. Saya tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku kepada UMNO.

Anwar Ibrahim akan mendapat sokongan moral dalam dan luar negara. Beliau akan menyusun langkah seterusnya dengan mengadakan undi tidak percaya kepada PM dalam sidang kedua Parlimen akan datang.

Ketika itu, sama ada beliau telah "beli" wakil BN atau tidak bukan lagi persoalan. Krisis keyakinan terhadap kepimpinan Pak Lah ketika itu amat dahsyat dan boleh dikatakan tiada keyakinan langsung. Jadi undi tidak percaya kepada Pak Lah bukan proses beli undi tetapi kerana krisis keyakinan kepada kedua-dua kepimpinan negara iaitu Pak Lah dan DS Najib (yang kalah dalam pilihan raya kecil Bandar Tun Razak).

Anwar Ibrahim akan membentuk kerajaan campuran baru. Sama ada parti komponen yang lompat atau wakil yang lompat itu perlu dikaji dengan lebih teliti.

Saya yakin Anwar tidak akan masuk sidang Parlimen sebagai Ketua Pembangkang. Jika ini berlaku akan banyak cerita lama beliau akan ditimbulkan semula dan pasti akan melukakan hati anak dan isteri beliau.

Melihat karektor Anwar sejak dahulu beliau tidak akan membiarkan perkara ini berulang dalam hidupnya. Anwar akan hanya masuk semula ke Parlimen sebagai Perdana Menteri. Itu adalah prasyarat utamanya. Walau apa pun kos dan keadaan itu soal kedua.yang penting ingin jadi Perdana Menteri negara ini.

Kesimpulan

Atas kebimbangan inilah, saya merayu Pak Lah memikirkan semula exit plan yang terbaik dan ia tidak boleh dilengahkan.

Jika proses peralihan kuasa ini dilakukan segera, ia akan memberi ruang dan masa untuk DS Najib melakukan sesuatu yang drastik, menyusun semula kabinet dan melakukan pembaharuan dalam parti.

(Bagi saya, jika Pak Lah yang melakukan rombakan kabinet seperti dalam senario 1 pun, ia tetap akan ada krisis keyakinan dan kepimpinan. Ini kerana Pak Lah sekali lagi dilihat membuat keputusan yang berubah-ubah. Justeru pemimpin baru perlu bagi melakukan pembaharuan dalam senarai kabinet mahu pun sistem pentadbiran.)

Jika ini dapat dilakukan dalam waktu terdekat, rancangan Anwar untuk bertanding dalam pilihan raya kecil pasti tergendala. Ini kerana mood ahli dan rakyat akan berubah untuk memberi peluang kepada pemimpin baru.

UMNO dan parti komponen BN juga akan lebih kukuh menghadapi pilihan raya kecil jika diadakan.

Malah jika Anwar menang dalam pilihan raya kecil pun sama ada di bandar Tun Razak atau Permatang Pauh, ia tidak mungkin dapat menjadi Perdana Menteri kerana keyakinan dalam UMNO dan BN telah dipulihkan.

Segala hasrat untuk mengadakan undi tidak percaya di Parlimen akan berkubur begitu sahaja.

Jika Pak Lah kekal dan dicabar dalam Pemilihan UMNO, akan berlaku suasana yang berbeza sama sekali. Ini mungkin saya akan ulas dalam tulisan akan datang.

Saturday, April 12, 2008

Perubahan Kepimpinan Perlu Diikuti Pembaharuan Dalam Kerajaan dan Parti


Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Apa khabar pelawat dan sahabat blogers di tanah air. Saya baru selesai melakukan muhasabah panjang di Hijir Ismail, Kaabah. Perkara yang saya fikirkan adalah nasib masa depan negara dalam menghadapi kemelut kepimpinan, tindakan Tun Mahathir dan silent protest dalam UMNO.

Berdasarkan perbincangan saya dengan Tun Mahathir, beliau akan terus meluahkan perasaan bimbangnya terhadap masa depan UMNO dan BN jika ia terus dipimpin oleh Pak Lah.

Dalam pertemuan saya dengan beliau juga, Tun telah hilang keyakinan terhadap kewibawaan Pak Lah. Sebagai bekas Perdana Menteri yang melantik Pak Lah, Tun berpendapat adalah tanggungjawab dan kewajipan beliau untuk kembali membetulkan kepimpinan UMNO hari ini.

Bagi pemimpin UMNO, seperti saya dan rakan Ketua Bahagian, yang telah dilatih untuk hormat pemimpin, untuk meminta Pak Lah meletak jawatan secara terbuka adalah perbuatan terakhir yang terpaksa dilakukan.

Selalunya kami tunjukkan secara kiasan atau tidak langsung dengan harapan hasrat itu difahami.

Adalah tidak benar untuk mengatakan pemimpin UMNO tidak faham dengan mood orang ramai, lebih-lebih lagi berdasarkan isyarat jelas keputusan Pilihan Raya Umum ke 12. Ini terbukti bila ramai pemimpin UMNO telah mula bersuara secara terbuka mahu pun hadir dalam program Tun Dr. Mahathir.

Saya amat bimbang dengan situasi ini. Memikirkan keadaan masa depan agama dan negara mengatasi segalanya, saya memohon petunjuk Allah dan melakukan muhasabah diri di hadapan Kaabah .

Sebagai pemimpin kerdil, secara peribadi saya berpendapat,

Perubahan Kepimpinan

Pertamanya, YAB Datuk Seri Abdullah mesti berani menerima kenyataan dan membuat rancangan keluar (exit plan) atau persaraan yang melibatkan peralihan kepimpinan parti dan negara kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

UMNO masih menghormati Pak Lah. Namun rakyat dan ahli UMNO ada pandangan sendiri yang telah diterjemahkan dalam pilihan raya serta perjumpaan-perjumpaan bersama akar umbi UMNO.

Justeru cara terbaik ialah Pak Lah dan Datuk Seri Najib dapat mengemukakan satu rancangan peralihan kuasa yang licin dan dalam suasana mesra. Peralihan ini boleh dilakukan dalam waktu terdekat atau jangka masa yang lebih panjang. Namun ia tidak seharus terlalu lama yang boleh menjejaskan pentadbiran negara mahu pun persiapan parti menjelang pilihan raya umum akan datang.

Jika ini dapat dilakukan secara tertib, saya percaya rakyat akan kembali menghormati Pak Lah sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Pembaharuan Dalam Kerajaan

Keduanya, peralihan ini perlu diikuti oleh tindakan kerajaan untuk melakukan pembaharuan (reforms) dalam struktur pentadbiran bagi tujuan mengurangkan birokrasi. Usaha juga perlu dilakukan untuk meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang perniagaan dalam bidang perkhidmatan mellaui usaha memperbanyakan program outsourcing dalam jabatan.

Program penswastaan juga perlu dinilai semula bagi mencari satu kaedah baru yang lebih baik agar ia menjadi satu bentuk kerjasama pintar (smart partnership) antara swasta dan kerajaan.

Polisi ekonomi juga perlu dinilai semula. Semangat Dasar Ekonomi Baru perlu diterapkan dalam bentuk baru. Ini kerana dasar atau polisi hari ini sudah tidak diyakini oleh sebahagian orang Melayu. Manakala bukan Melayu pula merasa terpinggir waima kuasa ekonomi masih dalam tangan mereka.

Sudah tiba masanya dikumpulkan kumpulan cerdik pandai dan intelektual kita bagi merumus satu formula dan pendekatan yang lebih menyeluruh. Insyallah ini akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Selain pentadbiran dan ekonomi, isu Pendidikan juga memerlukan satu pembaharuan. Saya fikir sudah tiba masanya kita melihat semula peranan sekolah vernakular, termasuk sekolah agama rakyat. Ini kerana semua sekolah ini telah lama wujud dan turut menyumbang kepada pembangunan negara. Kerajaan perlu mengambil tindakan pro aktif dalam hal ini kerana rakyat sedang memerhati tindakan kita.

Faktor keempat yang perlu dilihat ialah hubungan agama Islam dengan agama lain perlu dilihat dengan lebih objektif. Kebebasan beragama yang dibenarkan dalam Perlembagaan perlu diterjemahkan dengan lebih jelas supaya ia tidak merugikan orang Islam. Kerajaan perlu mengambil penyelesaian tegas dalam hal ini. Sempadan yang jelas perlu digaris supaya semua penganut pelbagai agama di Malaysia memahami apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dan faham jika ada tindakan yang terpaksa diambil pada masa akan datang.

Perubahan Dalam Parti

Selain kerajaan, UMNO juga perlu melakukan pembaharuan. Pemusatan kuasa Presiden dan sistem kuota perlu dilihat semula. Ahli perlu diberi kebebasan dalam memilih pemimpin tanpa sekatan kuota atau dengan jumlah kuota yang minima.

Pemimpin UMNO perlu berani menghadapi cabaran dalam parti jika mahu dihormati oleh rakyat.

Bagi mengelakan kekangan dan halangan, keahlian UMNO dan pembayaran yuran juga perlu dilakukan secara terus atau melalui internet (online).

Selain itu pemimpin UMNO perlu adakan kumpulan pemikir yang meliputi semua peringkat, yang memahami masalah dan mencari penyelesaian. Dengar dan analisa pandangan akar umbi dari pemotong rumput sehinggalah ke CEO syarikat gergasi.
Keputusan hendaklah dibuat berlandaskan fakta dan untung rugi kepada orang Melayu untuk jangka panjang mahu pun pendek. Banyak lagi pembaharuan mesti diambil oleh UMNO mengikut keperluan semasa. UMNO tiada pilihan lain kecuali berani berubah mengikut kehendak orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Sahabat-sahabat semua,

Pada 2003 saya turut berada di sini, di Hijir Ismail inilah, saya berdoa kepada Allah s.w.t. Ketika yang sama di dalam negara berlakunya satu peristiwa penting – Istiadat peralihan pucuk pimpinan negara dari Tun Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Abdullah.

Saya dicemuh oleh beberapa pihak ketika itu kerana tidak hadir di Istana Negara untuk menyaksikan detik bersejarah tersebut.

Namun keyakinan saya pada janji Rasulullah bahawa barang siapa yang berdoa dengan ikhlas di Hijir Ismail ini, doanya akan dimakbulkan Allah s.w.t.

Saya memilih berada di sini dari Istana kerana cintakan negara dan pemimpin, Hari ini saya di sini lagi dengan keyakinan yang sama memohon doa, bermunajat kepada Allah, moga Allah selamatkan negara kita dari pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

Saya tidak merelakan negara ini dipimpin oleh orang yang tidak bermaruah, yang sanggup bersengkokol dengan musuh hanya untuk berkuasa.

Saya masih terus di sini bermunanjat, semoga apa yang saya perkatakan ini membawa kebaikan kepada semua rakyat Malaysia. Saya tidak jemu mahu pun putus asa untuk melakukannya kerana keyakinan saya pada janji Rasulullah s.a.w tidak pernah padam sampai akhir hayat.

Friday, April 11, 2008

Bukan Pemodenan Ladang Yang Dibantah...

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Berdasarkan beberapa komen yang sempat saya baca dalam waktu terhad ini, nampaknya penjelasan saya tidak berapa jelas kepada sebahagian pembaca. Izinkan saya menjelaskan sedikit lagi.

Pertamanya, saya tidak pernah membantah projek memodenkan kaedah penternakan atau perladangan babi. Sebab itu, kerajaan Selangor semasa saya lagi sudah mengkaji dan melihat kaedah-kaedah perladangan babi di negara luar termasuk di Thailand dan Jerman. Memang benar kita bersetuju tentang pemodenan ladang babi memandangkan ladang dalam bentuk sekarang amat mencemar alam sekitar.

Yang dibantah ialah kenyataan untuk menjadikan Selangor sebagai pengeskpot babi dan saiz ladang yang dikatakan melebihi keperluan domestik. Bagi saya penternakan babi hendaklah untuk keperluan domestik sahaja.

Keduanya, saya membuat penjelasan ini untuk rakyat. Supaya rakyat faham hasrat dan matlamat kerajaan Selangor pimpinan BN dahulu dalam menyelesaikan isu penternakan babi ini.

Penjelasan ini juga bertujuan mengingatkan kerajaan Selangor hari ini bahawa kelulusan pada 30 Januari tersebut hanyalah untuk sistem yang akan digunakan dan proses mengenalpasti tanah atau kawasan bukannya kelulusan projek.

Justeru adalah tidak adil untuk kerajaan Selangor meneruskan projek ini dengan alasan keseluruhan projek ini diluluskan oleh kerajaan pimpinan saya sebelum ini.

Saya khuatir jika projek ini dijalankan secara terburu-buru, kelak BN akan dipersalahkan jika berlaku sebarang masalah.

Rakan saya, Datuk Tang See Hang, turut membuat penjelasan dalam Utusan Malaysia hari ini.

Saya harap penjelasan tambahan ini dapat menjernihkan keadaan dan memberi persepsi yang jelas kepada umum mengenai apa yang telah diluluskan dan apa yang belum.

Akhir sekali, terdapat beberapa komen yang memohon supaya BN tidak mengkritik kerajaan Selangor hari ini bagi memberi peluang kepada mereka. Saudara/i perlu faham, saya dan rakan-rakan BN Selangor bukan mengkritik dengan niat jahat.

BN sebagai pembangkang turut bertanggungjawab menjaga kepentingan rakyat dan negeri. Jika kita berniat untuk memburukkan kerajaan Pakatan Rakyat semata-mata, pasti kita tunggu bila hampir pilihan raya untuk mengkritik.

Sebaliknya kita mengkritik sekarang kerana mahukan keputusan yang dibuat kerajaan negeri memberi kebaikan kepada rakyat dan negeri.

Thursday, April 10, 2008

Ladang Babi Mega: Satu Komentar

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

EXCO Kanan kerajaan negeri Selangor, YB Teresa Kok ketika mengumumkan kelulusan pembinaan kandang babi moden dengan bajet RM 100 juta mungkin tidak menyedari sensitiviti isu ini. Beliau dengan bangga membuat pengumuman tersebut (walupun bukan di bawah bidang tugasnya) seolah-olah itu merupakan hadiah dari kerajaan negeri Selangor yang baru.

Yang menyedihkan, apabila tersangkut dengan kemarahan masyarakat, kerajaan negeri mula mencuci tangan dan menyalahkan kerajaan Selangor semasa pimpinan saya. Justeru, saya fikir adalah perlu untuk saya menjelaskan beberapa perkara.

Kerajaan negeri semasa di bawah pentadbiran BN belum membuat keputusan muktamad. Sebab itu tiada sebarang surat persetujuan atau perjanjian diadakan. Tujuan kelulusan awal ialah untuk diadakan kajian lanjut dan juga membolehkan kerajaan mendengar pandangan rakyat (pendengaran awam) terutama penduduk setempat. (lihat penjelasan dalam catatan awal Penjelasan Isu Ladang Babi Mega

Apabila ada bantahan orang ramai maka kerajaan negeri akan mengkaji semula projek tersebut.

Perlulah ditekankan saya tidak pernah bersetuju kewujudan ladang penternakan babi berskala besar atau bersifat Ladang Babi Mega sehingga menjadi pengekspot seperti yang dihebahkan oleh kerajaan Selangor hari ini.

Justeru, saya amat terkilan dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim yang ingin lepas tangan dan tidak bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat.

Beliau tidak perlu menunding jari kepada saya mahu pun Barisan Nasional. Beliau pada bila-bila masa bebas mengkaji dan membatalkan projek ini kerana tiada sebarang perjanjian ditandatangani.

Beliau selalu menguar-uarkan untuk mengkaji keputusan dan perjanjian kerajaan Selangor semasa saya. Justeru mengapa isu ini beliau begitu cepat sekali bersetuju.

Jika kita lihat cara pengumuman projek ini juga menunjukkan keghairahan mereka untuk mendapat sokongan masyarakat Cina. Tidak pun disebut keputusan kerajaan lama atau perancangan kerajaan sebelum ini.

Hanya apabila timbul tentangan orang ramai, barulah kerajaan lama dijadikan kambing hitam.

Saya percaya Tan Sri Khalid sedang ditekan oleh DAP. Penguasaan kerusi DUN yang tidak seberapa menyebabkan beliau terpaksa banyak bergantung kepada sokongan DAP untuk terus berkuasa.

Cuma harapan saya tekanan itu tidak menjadikan Selangor sebagai negeri pengekspot babi pula nanti.

Apakah ini projek mega Parti Keadilan Rakyat dan Pas yang mereka janjikan sewaktu pilihan raya lalu?

Penjelasan Isu Ladang Babi Mega

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Secara kebetulan ketika saya telah merancang untuk menunaikan umrah, timbul pula isu penternakan babi di Sepang yang sedang heboh diperkatakan di dalam negara sekarang.

Justeru saya memohon bantuan rakan di Malaysia menaip penjelasan saya ini agar tidak timbul sebarang pertikaian semasa saya menjalani ibadah umrah.

(Mohon maaf kerana tidak dapat membaca dan meluluskan komen saudara/i. Insyallah saya akan laksanakan selepas pulang dari Mekah.)

Penjelasan


Isu penternakan babi ini di bawa kepada pengetahuan saya oleh penduduk di sekitar DUN Tanjong Sepat mengenai masalah pencemaran air di Sungai Sepang Kecil dan bau yang terlalu busuk akibat penternakan babi di Tumbuk, Sepang. Para penduduk juga turut membawa setesen TV3 membuat liputan masalah mereka.

Bagi melihat dengan jelas masalah ini, saya telah membuat lawatan persendirian ke kawasan ini dan mendapati aduan tersebut betul. Air sungai telah menjadi pekat dan bau busuk yang amat sangat kerana najis babi telah dibuang secara langsung ke dalam sungai.

Kerajaan negeri ketika itu juga mendapati jumlah babi yang ada terlalu banyak melebihi keperluan orang bukan Islam. Menurut Pengarah Jabatan Haiwan ketika itu terdapat lebih 400 ribu ekor babi berbanding keperluan dalam negeri sebanyak 250 ribu ekor sahaja.

Justeru saya telah mengarahkan Dato’ Tang See Hang dan Dato’ Ch’ng untuk mengatasi isu ini kerana penternak babi ini tidak faham bahasa Malaysia ketika kita ingin mengadakan dialog dengan mereka bagi mengurangkan jumlah babi dan mengatasi masalah.

Saya telah meminta pandangan Jabatan Pertanian dan juga EXCO Pertanian negeri. Dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada bulan Oktober 2007, beberapa cadangan dari beberapa syarikat telah dibincangkan. Dari sekian banyak cadangan semuanya memerlukan bantuan kewangan kerajaan negeri kecuali satu syarikat yang bersedia membiayai sendiri. Justeru MTES bersetuju untuk membenarkan syarikat tersebut menjalankan kajian yang lebih tanpa sebarang komitmen.

Kerajaan negeri ketika itu ingin melihat bagaimanakah jumlah babi dapat dikurangkan kepada hanya untuk keperluan dalam negeri dan masalah pencemaran akibat industri ini diatasi secara tuntas.

Pada 30 Januari 2008, syarikat ini mengadakan pembentangan semula. Kerajaan secara dasarnya bersetuju syarikat ini membina “modern pig farming” berskala kecil dengan pelaburan sendiri termasuk kos pengambilan tanah dan lain-lain kos. Kerajaan negeri tidak membuat sebarang komitmen dalam bentuk pemberian tanah mahu pun kewangan.

Dalam mesyuarat yang sama, kerajaan negeri mengarahkan kawasan dikecilkan dari 1100 ekar kepada 337 ekar sahaja. Pejabat Tanah Kuala Langat telah diberi tanggungjawab mengenal pasti kawasan yang dicadangkan oleh penternak babi.

Kerajaan negeri juga telah mensyaratkan bahawa kos pengambil alihan tanah adalah atas tanggungjawab syarikat terbabit dan ia mestilah mendapat persetujuan penduduk setempat.
Tidak pernah kerajaan negeri memuktamadkan keputusan pembinaan ladang babi moden di Tumbuk ini.

Tujuan kerajaan di bawah pimpinan saya ketika itu ialah untuk mengurangkan jumlah penternakan babi daripada mengeksport ke negeri lain dan negara luar kepada sekadar keperluan domestik Selangor sahaja.

Ini merupakan tanggungjawab kerajaan Barisan Nasional ketika itu untuk memastikan bekalan domestik untuk orang bukan Islam mencukupi.

Isu penternakan babi bukanlah sekadar sensitiviti umat Islam tetapi yang lebih besar ialah isu pencemaran alam sekitar dan juga risiko pelbagai virus seperti yang terjadi di Bukit Pelanduk sedekad yang lalu. Sebab itu, kita tidak berminat untuk menjadikan ia satu industri yang besar di Selangor.

Negara-negara seperti Singapura, Hong Kong dan Taiwan juga telah lama tidak membenarkan industri penternakan babi ini. Justeru pada hemat saya, ia tidak sepatutnya menjadi satu masalah besar kepada rakan-rakan dari kaum Tionghua.

Tuesday, April 8, 2008

Menunaikan Umrah

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.


Saya akan menunaikan ummrah pada 9/4/08 hingga 18/4/08. Saya akan doakan sahabat-sahabat semua dilindungi Allah S.W.T.

Wassalam

Monday, April 7, 2008

Politik Pembangunan dan Soal Hati Rakyat

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah, sahabat-sahabat bloggers telah sudi dengan senang hati memberikan nasihat, pandangan dan idea yang berguna kepada saya dalam memahami permasalahan di antara rakyat dan kerajaan Barisan Nasional. Saya berasa gembira bersama sahabat-sahabat baru saya, cuma saya berkeinginan tinggi untuk mengenali secara bersemuka suatu hari nanti, itupun jika ada kata sepakat antara kita.

Politik Pembangunan

Melalui komen yang saya terima, masalah pembangunan menjadi tunjang kekuatan parti pemerintah masih menjadi keutamaan. Kita sedar, sejak lima puluh tahun merdeka, penumpuan utama diberikan, dari sebuah negara yang tidak memiliki infrastruktur kepada yang ada seperti sekarang, terutamanya Selangor. Malah, setiap kali pilihanraya, tahap sokongan rakyat adalah ditentukan oleh tahap kemajuan fizikal satu-satu kawasan. Peruntukan yang besar diberikan untuk tujuan ini, sehinggakan terlupa untuk memikirkan masalah ketelusan perlaksanaan, kesan langsung kepada rakyat setempat dari segi sosial dan ekonomi dan kos penyelenggaraan

Lebuhraya yang dibina untuk kesenangan rakyat, akhirnya menimbulkan pelbagai masalah seperti masalah bayaran tol yang meningkat setiap lima tahun. Penyelenggaraan jalan yang tidak memuaskan, masalah kemalangan jalan raya menjadi pembunuh utama rakyat dan sebagainya.

Pembangunan kawasan menjadi bandar, akhir menimbulkan konflik antara keperluan kehendak individu dengan keperluan kehendak masyarakat berbeza agama dan budaya. Semua ini harus difikirkan dan penyelesaian perlu dituntaskan dengan segera.

Akhirnya, pembangunan yang dilaksanakan, sepatutnya menjadi kelebihan kepada kerajaan itu, menjadi satu faktor negatif dan akhirnya rakyat mengambil keputusan sendiri.

Saya berfikiran terbuka, pembangunan perlu diteruskan, formula perlu dirumuskan supaya masalah dapat dirungkai, agar rakyat kembali merasakan apa yang dilakukan kerajaan itu adalah umtuk mereka nikmati bukan untuk dideritai.

Bagi saya, sebagai perancang dan pelaksana dahulu, kini hanya menjadi pemantau dan pemeriksa kepada tindakan kerajaan, jawapannya adalah pembangunan yang mampan, yang mengambil kira impak sosial, impak ekonomi dan impak alam sekitar. Soalnya, apakah mampan (seimbang) bagi rakyat (terutamanya Selangor), apakah ukurannya ?

Di sini, kita semua yang berkepentingan perlu menyatakan dengan secara jelas dan akan saya jadikan sebagai panduan sebagai pemantau di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Soal Hati dan Perasaan

Saya juga membaca pandangan sahabat-sahabat bloggers semua, yang marah dengan sikap bongkak, sombong, acuh tak acuh wakil-wakil rakyat dari kerajaan, ditambah dengan sikap menunjuk-nunjuk. sehinggakan rakyat naik meluat. Semuanya ini menambah luka hati rakyat, ditambah dengan kos hidup yang membebankan.

Bak kata orang, sudahlah luka dicurahkan cuka, bukan setakat itu sahaja, sikap kerajaan pimpinan PM yang sentiasa menafikan kesemua masalah ini di media cetak dan juga media elektronik. Semua ini telah membuka persepsi rakyat kepada pemimpin kerajaan yang tidak mahu memahami hati budi rakyat sebagai orang yang sombong dan bongkak dan diterjemahkan pada PRU ke-12.

Kenyataannya hari ini pemimpin perlu lebih bersikap mendengar, cuba memahami hati budi rakyat, berkongsi derita dengan rakyat dan sentiasa bersikap positif dan bersedia menerima kritikan secara berlapang dada. Semua pengajaran ini, akan saya kongsi bersama semua pemimpin yang tiada sindrom penafian dalam diri mereka.

Saya yakin pada masa hadapan, soal hati dan perasaan ini akan menjadi ukuran utama yang akan menentukan kejayaan suatu parti dalam pilihanraya. Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat blogger yang sudi menegur.

Masalah kenaikan barang telah saya sampaikan kepada menteri yangberkenaan, kaedah kawalan harga yang tidak relevan perlu diubah, lesen eksklusif untuk mengedar barang keperluan harian / asas seperti gula, tepung dan lain-lain juga perlu dimansuhkan. Dasar yang lebih inklusif perlu dilaksanakan, harga perlu ditentukan oleh pasaran. Tugas kerajaan mengawal harga perlu ditukar kepada tugas meningkatkan pengeluaran barangan. Saya yakin jika ada pemikiran kreatif dan berani melakukan perubahan, akan membawa manfaat yang baik kepada kita semua.

Artikel yang akan datang, saya akan berkongsi dengan sahabat-sahabat blogger dan rakyat, mengapa kita perlu reform dalam banyak polisi-polisi kerajaan andai jika kita ingin menjadi forward looking society. Hadapi cabaran dengan berani melakukan perubahan, hadapi kegagalan dengan penuh hikmah dan nikmati kejayaan dengan penuh syukur .. Kita akan berjaya.

Wassalam

Thursday, April 3, 2008

Kepimpinan Negara & Isu Rakyat

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Saya telah membaca semua komen-komen yang telah diberikan dan cadangan-cadangan yang telah diutarakan. Sebahagian komen itu terlalu peribadi untuk diulas. Bagaimanapun, saya mengambil maklum mengenai komen-komen tersebut. Saya berharap sahabat-sahabat bloggers dapat memahami apa yang hendak dijelaskan. Di sini saya senaraikan beberapa isu utama yang telah sahabat-sahabat timbulkan dalam topik sebelum ini.

Kritikan terhadap Barisan Nasional & UMNO

Saya menerima banyak kritikan mengenai kekalahan Barisan Nasional di Selangor. Saya terima kritikan tersebut dengan hati terbuka dan sebahagiannya saya rasakan relevan untuk dikongsi dengan anggota Majlis Tertinggi UMNO. Suara para bloggers akan saya bawa ke dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang. Berhubung dengan cadangan-cadangan yang diutarakan yang konstruktif pasti akan memberikan kelebihan kepada saya untuk memahami permasalahan di bawah.

Pembangunan Infrastruktur

Saya ingin mengambil perhatian sebenarnya banyak aduan-aduan berkaitan dengan masalah kawasan dari segi infrastruktur telah saya terima melalui website saya sebelum ini. Bukannya saya memekakkan telinga saya, cuma kekangan agensi perlaksanaan dan kekangan kewangan kerajaan negeri, maka saya tidak dapat memenuhi kesemua permintaan tersebut. Sungguhpun begitu, saya faham harapan teramat menggunung dan keupayaan tidak dapat mengatasi kehendak rakyat. Saya mengharapkan masalah-masalah saudara-saudari akan dapat diatasi oleh kerajaan yang telah kita pilih bersama dalam pilihanraya lepas.

Pembangunan Negeri Selangor

Baru-baru ini saya telah berjumpa dgn MB YAB Tan Sri Khalid Ibrahim semasa penyerahan tugas secara rasmi dan saya mengharapkan MB YAB Tan Sri Khalid Ibrahim akan dapat mengekalkan prestasi kerajaan negeri membangunkan Negeri Selangor.

Untuk pengetahuan semua, saya telah meninggalkan prestasi kewangan Kerajaan Negeri yang baik. Hari ini terdapat RM800 juta wang dalam tabung Kerajaan Negeri Selangor dan RM600 juta dalam simpanan, menjadikan jumlah keseluruhan RM1.4 billion. Saya berharap tidak ada alasan untuk kerajaan meningkatkan lagi prestasi pembangunan di Negeri Selangor dari segi fizikal dan spiritual.

Kepimpinan Negara

Berhubung dengan kepimpinan negara, saya sedar terlalu ramai suara rakyat dalam blog saya yang inginkan Perdana Menteri melepaskan jawatan. Saya merasakan isu kepimpinan ini merupakan rentetan dari isu-isu pokok yg tidak dapat diselesaikan secara jelas dan tuntas, dan akhirnya pemimpin itu dilihat lemah dan gagal menerajui negara. Bagi saya, isu pokok perlu diselesaikan dulu.

Isu-isu Rakyat

Rakyat Malaysia telah lama memendam rasa berkait dengan masalah ekonomi:

(1) kos hidup yang tinggi terutamanya di bandar berbanding dengan gaji yang diperolehi ditambah dengan kurang kemudahan pengangkutan awam yang memaksa rakyat berbelanja sehingga 50% pendapatan mereka untuk pengangkutan.

(2) Agihan ekonomi yang tidak menyeluruh yang menyebabkan golongan berpendapatan rendah dan pertengahan yang tidak berpuas hati.

(3) Kos pendidikan yang meningkat.

Masalah kedua ialah faktor pendidikan di antara sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan yang banyak menyebabkan kaum India dan Cina yang tidak berpuas hati. Kita harus melihat semula sekolah venecular secara proaktif. Sedangkan kita telah menerima kewujudan sekolah ini sejak merdeka tetapi pengiktirafan kerajaan masih tidak dilihat secara jelas.

Masalah yang ketiga ialah masalah antara agama yang terus membarahi jiwa sama ada orang Islam atau agama lain. Satu tindakan perlu diambil untuk menjernihkan kekeruhan antara agama ini mengikut perlembagaan negara.

Bagi saya Jawatankuasa Khas (high power committee) perlu memformulakan semua penyelesaian terhadap masalah di atas tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu dan agama Islam di samping tidak meninggalkan tuntutan orang lain.

Isu-isu ini lebih penting untuk dilaksanakan; kemudiannya kita bolehlah memikirkan siapakah yang lebih layak untuk memimpin negara pada fasa kedua 50 tahun kemerdekaan negara.

Sahabat-sahabat bloggers, marilah kita berbahas mengenai topik ini secara objektif dan berhemah. Hanya pandangan yang menepati topik perbincangan akan disiarkan dalam blog ini. Selain itu, tulisan berunsur fitnah, hasutan atau yang menggunakan bahasa kesat akan ditolak. Selamat memberikan pandangan.