Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Saturday, May 31, 2008

Melayu Di Persimpangan

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Rentetan perbahasan awal saya mengenai Ketuanan Melayu dan Ketuanan rakyat dalam tulisan yang lalu, kini timbul satu lagi persoalan di kalangan orang Melayu.

Melayu kini berada di persimpangan antara kelompok yang ingin terus kekal sebagai satu bangsa Melayu yang moderate (sederhana) seperti UMNO hari ini, dengan kelompok liberal yang mahu menukar segala kepentingan Melayu atas prinsip kesamarataan. Malah terdapat satu kumpulan Melayu lagi yang mahu kembali ke sifat ultranya yang tidak mahu bertolak ansur terhadap sebarang keadaan yang membabitkan kepentingan orang Melayu.

Elok difahami apakah makna ultra, moderate dan liberal ini.

Ultra ini merujuk kepada kumpulan eksterim yang melihat kepentingan bangsa atau puaknya semata-mata tanpa mempedulikan kepentingan bangsa atau kaum lain. Mereka ini sanggup melakukan apa sahaja tindakan demi menjaga kepentingan kaumnya tanpa mempedulikan kesan dan akibat tindakan tersebut.

Manakala moderate merujuk kepada kumpulan yang bersederhana dalam setiap tindakan. Melihat keadilan sebagai matlamat utama tanpa menjejaskan kepentingan bangsanya. Sentiasa melihat kepentingan pelbagai bangsa atau kaum tanpa menjejaskan kepentingan puaknya.

Puak Liberal pula pihak yang sentiasa terbuka kepada pelbagai pendapat dan tidak meletakkan bangsanya sebagai agenda. Sebaliknya hanya memperjuangkan kesamarataan dan logik akal semata.

Dilema ini bukan sahaja di kalangan orang Melayu dalam UMNO malah juga Pas. Hari ini kita melihat Pas telah berubah dari sebuah parti ultra Islam kepada sebuah parti liberal Islam.

Dari sebuah parti yang mengkafirkan orang UMNO kerana bekerjsama dengan bukan Islam, yang menolak IFC, menolak murtad kepada parti yang bersengkongkol dengan DAP dan sanggup menurut telunjuk DAP. Pas yang dulunya ingin menutup pusat arak, judi dan maksiat kepada sebuah parti yang membenarkan pusat-pusat tersebut beroperasi. Malah Dr. Hasan Ali sudah mendakwa dalam DUN Selangor, bahawa Pas hari ini memperjuangkan kesamarataan antara agama.

Boleh dikatakan Pas hari ini sudah menjadi sebuah parti Islam liberal yang telah menguburkan segala prinsip perjuangan negara Islamnya.

PKR pula ditubuhkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim atas asas untuk menarik mereka yang tidak setuju dengan Pas dan UMNO. Bolehlah dikatakan bahawa parti ini parti oportunis liberal. Mereka hanya menarik sesiapa sahaja orang Melayu yang tidak berpuas hati dengan UMNO dan Pas tanpa apa-apa agenda khusus untuk orang Melayu.

Parti ini juga bolehlah dikatakan menggunakan pendekatan popular untuk menarik sokongan hingga menyebabkan ia tidak mempunyai prinsip perjuangan yang jelas. Parti seperti ini tidak akan dapat bertahan lama dalam negara kita. Datuk Onn Jaafar telah mencuba pendekatan Anwar melalui IMP dan akhirnya gagal bertahan lama.

Persimpangan terbesar orang Melayu pastinya di dalam UMNO.

Kelompok pertama ingin UMNO terus kekal sebagai sebuah parti yang moderate memperjuangkan hak-hak orang Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan Sultan Melayu dikekalkan dalam status quo sedia ada. Bagi kumpulan ini keadilan mengakari perjuangannya, iaitu meletakkan yang hak ditempatnya terutama yang membabitkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

Manakala kumpulan kedua melihat UMNO perlu berubah dengan lebih terbuka melepaskan beberapa kepentingan Melayu demi mendapat sokongan yang lebih banyak dalam pilihan raya akan datang. Sungguhpun teori menjadi liberal ini akan membantu menarik kembali sokongan belum ada bukti sahih, namun sudah terdapat pemimpin UMNO yang mempercayainya. Suara-suara mendesak liberalisasi dalam UMNO sudah kedengaran.

Seperti biasa bila wujud suara liberal akan muncul kumpulan ektremis atau ultra. Kumpulan ini sudah menuntut lebih banyak hak orang Melayu dikembalikan semula. Sudah ada suara mahu bahasa Malaysia kembali ditukar kepada bahasa Melayu, sistem kuota di universiti di kembalikan. Malahan ada juga yang sudah mendesak kerajaan turut mengkaji mewujudkan sistem kuota pekerja mengikut peratusan kaum di syarikat swasta,

Pada hemat saya, orang Melayu perlu mengekalkan suara moderate atau sederhana seperti UMNO hari ini. Melayu yang ultra bukan sahaja tidak membantu perkembangan kemajuan negara, malah akan terus melemahkan kuasa Melayu. Ini kerana ramai golongan terpelajar Melayu sendiri tampaknya tidak lagi menerima idea-idea eksterim ini.

Manakala idea Melayu liberal yang terbuka ini sungguhpun tampak idealis tetapi tidak akan mendatangkan keadilan dalam masyarakat majmuk seperti negara kita.

Ketika Melayu menjadi liberal, saya percaya akan muncul kumpulan-kumpulan ultra bangsa lain seperti Hindraf dan Dong Jia Zhong. Mereka mahukan orang Melayu menjadi liberal tetapi mereka sendiri bergerak ke arah ultra.

Hindraf misalnya memperjuangkan kedudukan kaum India sehingga memfitnah orang melayu melakukan penghapusan etnik. Manakala Dong Jia Zhong pula menolak usaha kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan. Apakah tindakan dua kumpulan ini bukan bercorak ultra? Apakah kemenangan DAP bukan merupakan kemenangan berunsur perjuangan ultra Cina?

Jika Melayu menjadi liberal saya percaya banyak lagi kepentingan Melayu akan dikorbankan. Apakah hanya kerana mahu menang dalam pilihan raya maka kita mahu memperjudikan nasib anak bangsa kita akan datang?

Liberal memperjuangkan kesamarataan. Kesamarataan bukan keadilan. Kesamarataan hanyalah agenda kapitalis yang tidak berhati perut yang mahu melihat yang lemah terus tertinggal dan yang kuat terus menguasai yang lemah. Mereka juga menyokong idea tiada perbezaan antara agama yang bertentangan dengan akidah orang Islam; yang jelas memperkatakan bahawa Islam adalah agama tauhid yang mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah s.w.t.

Islam sebenarnya menolak kesamarataan tetapi menegakkan keadilan, yang mana meletakkan agama Islam di tempat yang tinggi dengan membenarkan agama lain dianuti oleh umat lain.

Inilah asas perjuangan orang Melayu yang moderate. Kami hanya mahu memastikan keadilan dilaksana dan terlaksana. Keadilan di sini ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya atau memberi sesuatu kepada yang berhak.

Misalnya keadilan dalam konteks Malaysia ialah mengekalkan hak-hak orang Melayu, agama Islam, Sultan Melayu dan Bahasa Melayu seperti yang dipersetujui semasa kemerdekaan.

Dalam masa yang sama, Melayu moderate akan memastikan hak-hak orang bukan Melayu yang janji akan terus kekal. Ini termasuk memperakui kewarganegaraan mereka, hak mereka untuk mengundi, berniaga, mendapat pendidikan dalam bahasa ibunda masing-masing, dan mengamalkan kepercayaan dan adat resam masing-masing.

Bagi saya UMNO mesti kekal di landasan moderate yang berjuang menegakkan keadilan, menolak kesamarataan kerana jika UMNO berubah kepada lebih liberal, saya bimbang kaum lain tidak akan berbuat perkara yang sama dan akhirnya UMNO akan dilihat lebih banyak memberi apa yang orang Melayu miliki kepada bangsa lain.

Bagi saya, bangsa lain juga perlu mengorbankan kepentingan kaumnya bukan sahaja UMNO. Jika perpaduan nasional dan juga kesamarataan menjadi pilihan, bangsa lain perlu sanggup mengorbankan sistem pendidikan mereka seperti yang berlaku di negara Singapura. Jika tidak tiada sebab mengapa UMNO harus bergerak daripada moderate kepada perjuangan yang lebih liberal.

Kesilapan memilih jalan di tiga persimpangan ini akan menyebabkan UMNO tidak akan relevan kepada orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Politik perkauman tidak akan dapat dileraikan dalam negara berbilang kaum yang mengamalkan perbezaan agama, budaya dan bahasa. Yang pentingnya bagaimana kita mencari persamaan di celah-celah perbezaan. Kerana persamaan itu akan membuahkan hasil ke arah pembentukan negara bangsa maju.

Jangan sampai UMNO berkorban dan terkorban kerana hanya memenuhi tuntutan bangsa lain. Takut nanti jadi seperti habis madu sepah dibuang; yang dikejar hilang entah di mana, yang dikendong bertaburan dipungut orang.

Saturday, May 24, 2008

Meniti Harapan, Menanti Pembaharuan

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor yang berlangsung sekarang gagal membincangkan perancangan kerajaan negeri dalam membangunkan Selangor. Rakyat yang mengharapkan kerajaan negeri membentangkan perancangannya dalam Sidang DUN kecewa kerana apa yang diharapkan itu tidak berlaku.

Sehingga kini, selepas hampir tiga bulan, kita belum jelas mengenai apakah yang hendak dilakukan oleh kerajaan negeri yang baru. Malah ada kalanya kenyataan Exco Kerajaan Negeri disanggah oleh Menteri Besar.

Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang baru kerana meneruskan banyak projek pembangunan yang dirancangkan oleh kerajaan Barisan Nasional dulu. Ini membuktikan bahawa apa yang dilakukan itu bermanfaat kepada rakyat. Bagaimanapun, memandangkan mereka selalu bercakap menafikan sumbangan Barisan Nasional, maka wajarlah kerajaan baru ini menyatakan apakah yang akan mereka lakukan untuk rakyat.

Saya melihat cara pentadbiran kerajaan sekarang lebih bersikap "looking forward" dan bukannya "forward looking". "Looking forward" lebih kepada mengharapkan yang bulat datang bergolek, yang pipis datang melayang. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Kerajaan tidak boleh mengurus negeri dengan cara ini. Sebaliknya, ia hendaklah bersikap "forward looking" iaitu merancang untuk masa depan.

Apabila kerajaan negeri gagal menyatakan perancangannya setelah hampir tiga bulan berkuasa, maka ia memilih untuk mengkritik kerajaan negeri sebelumnya; mengungkit pelbagai keputusan dan tindakan yang diputuskan melalui prosedur yang betul. Tindakan mencari kesalahan kerajaan Barisan Nasional juga adalah untuk menutup kegagalan kerajaan negeri yang baru melaksanakan banyak janji-janji dalam manifestonya.

Adakah selepas tiga bulan membentuk kerajaan, pemimpin-pemimpin PKR, PAS dan DAP masih gagal menukar mentaliti dari pembangkang kepada kerajaan?

Adalah satu perkara yang cukup aneh apabila Timbalan Speaker DUN menyanggah fakta yang terkandung dalam titah ucapan DYMM Tuanku Sultan Selangor; memberikan gambaran seolah-oleh kerajaan negeri memberikan input yang salah kepada Tuanku. Bagaimana boleh seorang anggota parti kerajaan menyanggah fakta kerajaan sendiri? Adakah mereka lupa bahawa mereka sudah menjadi kerajaan sehingga masih berkelakuan seperti pembangkang yang sentiasa mencari kesalahan kerajaan?

Sebenarnya pada pagi hari DUN bersidang, saya benar-benar "forward looking" untuk membahaskan polisi-polisi baru kerajaan negeri. Namun saya berasa hampa apabila tiada agenda atau polisi baru yang dikemukakan untuk perbahasan.

Mengikut apa yang diperkatakan oleh mereka melalui surat khabar dan ceramah-ceramah, mereka berjanji untuk melakukan pelbagai pembaharuan (reform) terhadap sistem sedia ada.

Saya faham pelaksanaannya memakan masa yang lama, cuma saya berpendapat kerajaan negeri patut membentangkan segera polisi dan pelan baru dengan jangka masa atau time frame yang jelas.

Melihat apa yang sedang berlaku dalam Sidang DUN ini, apakah kita ibarat burung terbang dipipiskan lada; mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan? Sampai bilakah kita akan meniti harapan dan menanti perubahan?

Thursday, May 22, 2008

Saat Menyedihkan Buat UMNO

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan UMNO merupakan satu saat yang menyedihkan kepada saya secara peribadi. Sebagai anak muda yang membesar di bawah kepimpinannya, dan menjadi pemimpin kecil UMNO ketika di bawah kepimpinannya tentulah saat ini sukar dilupakan.

Saya fikir ramai lagi yang telah pun meluahkan perasaan yang sama. Malah ramai juga yang telah mengikut jejak langkah beliau keluar UMNO buat sementara waktu.

Sungguhpun saya tidak bersetuju dengan tindakan Tun keluar UMNO, namun saya fikir beliau tentu telah berfikir panjang demi kepentingan UMNO dan orang Melayu keseluruhannya.

Ketika di tanya pemberita beberapa hari lalu, saya menegaskan bahawa kepimpinan UMNO harus mengambil berat tindakan Tun ini kerana beliau bukan sahaja telah banyak berjasa kepada kita, tetapi besar juga pengaruhnya di kalangan generasi muda.

Bagi saya, saya akan terus setia kepada parti dan melakukan perubahan dari dalam. Jika mereka yang mempunyai pengaruh dan kekuatan menyokong Tun tetapi keluar parti, maka perubahan tidak mungkin dapat dilakukan.

Ahli parti mesti kekal dalam parti yang kita perjuangkan. Sebagai pemimpin kecil di dalam parti tidak mungkin kita boleh membuat perubahan dari luar parti. Ini sudah tentu berbeza dengan Tun Dr. Mahathir yang mempunyai pengaruh besar di kalangan rakyat.

Sebab itu, saya meminta semua ahli UMNO agar kekal dalam parti dan menggunakan mesyuarat cawangan mengambil tindakan bagi melakukan perubahan jika perlu. Kita hadir ramai-ramai dalam mesyuarat cawangan dan nyatakan pendirian kita dengan jelas, itu yang penting.

Perjuangan mestilah diteruskan walaupun beribu cabaran menanti. Perasaan kecewa tidak sepatutnya ada dalam diri kita. Walaupun kita mungkin dimaki, difitnah tetapi ia tidak akan melemahkan sebuah perjuangan yang suci dan ikhlas kerana saya yakin perjuangan ini adalah untuk agama dan bangsa.

Friday, May 16, 2008

Antara Ketuanan Melayu dan Ketuanan Rakyat

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Apakah salah dan hina Ketuanan Melayu sehingga sudah ada suara-suara yang mempertikaikannya? Malah terdapat pemimpin UMNO sendiri sudah berpendapat bahawa UMNO perlu dijenamakan kembali dan ditukar asas perjuangan ini. Hanya kerana kali ini sebahagian besar kaum Cina dan India tidak mengundi Barisan Nasional, maka kita seolah-olah hilang tujuan dan arah.

Jika isu ketuanan Melayu yang menjadi masalah kepada orang muda dari kaum Cina dan India, maka kita perlu menerangkan asas mengapa ketuanan Melayu itu menjadi salah satu perjuangan UMNO. Malahan sebahagian orang muda Melayu sendiri hari ini sudah tidak faham makna ketuanan Melayu.

Ketuanan Melayu bukanlah untuk menjadikan Melayu ini Tuan dan bukan Melayu sebagai Hamba. Sebaliknya Ketuanan Melayu bermaksud atau simbol kedudukan Sultan-Sultan Melayu sebagai tunggak negara yang menjaga kepentingan agama Islam, adat istiadat Melayu dan Bahasa Melayu.

Sebab itu apabila para pemimpin kita dahulu memutuskan perjuangan mempertahankan ketuanan Melayu ia merupakan perjuangan mempertahankan kedudukan kesultanan Melayu, agama Islam, adat istiadat orang Melayu dan Bahasa Melayu.

Hanya kerana generasi hari ini tidak memahami makna dan maksud ketuanan Melayu bukan bermakna ia tidak lagi relevan. Apakah hanya kerana ia dijadikan isu bagi menunjukkan UMNO ini sebuah parti perkauman, maka kita mahu lari dari tuduhan dengan menukar arah perjuangan kita.

Tidak ada salah dengan kenyataan atau laungan mempertahankan Ketuanan Melayu sekiranya kita memberi kefahaman yang tepat kepada orang ramai. Mempertahankan ketuanan Melayu merupakan mempertahankan asas-asas Perlembagaan Negara. Apakah perlembagaan negara merupakan sebuah perlembagaan yang berunsur perkauman?

Ketuanan Melayu tidak pernah menindas bangsa lain atau menjadikan bangsa lain sebagai hamba. Selama berpuluh tahun UMNO membawa perjuangan Ketuanan Melayu tidak ada satu bangsa pun yang ditindas atau menjadi hamba.

Saya melihat begitu ramai orang bukan Melayu yang menikmati kemajuan pesat negara, malah dalam banyak keadaan kaum bukan Melayu meraih kek ekonomi yang lebih besar berbanding orang Melayu. Orang Melayu sendiri tidak pernah menganggap dirinya tuan atau mahu dipanggil tuan. Malah orang Melayu juga berusaha keras untuk berjaya di negara ini

Masalah kita hari ini, terdapat pemimpin UMNO sendiri tidak memahami erti Ketuanan Melayu yang dilaung-laungkan. Ada yang merasakan mereka menjadi tuan sehingga lupa maksud asal ketuanan Melayu.

Ketuanan Rakyat Idea Kerajaan Republik?

Bagi memberi tekanan kepada UMNO, ada kumpulan tertentu yang memperkenalkan pula slogan Ketuanan Rakyat. Apakah makna Ketuanan Rakyat ini tiada siapa yang tahu. Jika kita katakan Ketuanan Rakyat ini sebagai menjadikan rakyat sebagai tuan, apakah kita nampak ia dilakukan di negeri-negeri yang diperintah oleh kumpulan ini? Sehingga hari ini kita belum nampak rakyat menjadi tuan di negeri-negeri ini.

Saya melihat Ketuanan Rakyat ini merupakan satu usaha meruntuhkan asas-asas Perlembagaan Malaysia yang kita pertahankan dalam perjuangan Ketuanan Melayu.

Apakah yang ingin diruntuhkan melalui slogan ketuanan rakyat? Pada hemat saya ketuanan rakyat ini akan cuba menjadikan negara ini sebagai sebuah negara republik. Perkara ini boleh berlaku bila mana institusi beraja akan dinafikan atau dicabar haknya dalam isu-isu agama Islam.

Sekarang ini sudah nampak usaha-usaha meletakkan Islam setaraf dengan agama-agama lain. Kuasa sultan-sultan juga sedang dicabar oleh mereka yang tidak pun terbabit dalam pentadbiran negeri dan negara. Mereka juga mendesak kerajaan agar merombak kuasa perlantikan hakim-hakim oleh Majlis Raja-raja Melayu.

Apakah erti segala usaha mencabar segala struktur Perlembagaan ini? Apakah sudah wujud agenda untuk menjadikan negara ini sebagai republik melalui slogan Ketuanan Rakyat? Bukankah idea-idea ini merupakan usaha mencabar kedudukan Raja-raja sebagai custodian agama Islam dan orang Melayu?

Dengan runtuhnya sistem beraja ini, maka kedudukan agama Islam akan hanya setaraf dengan agama lain, hak-hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan juga akan turut terkubur. bersama matinya sistem beraja di negara kita. Begitu juga nasib yang akan menimpa kepada bahasa Melayu. Ini semua akan berlaku dan jadilah negara kita sebagai sebuah negara republik yang tidak mempunyai agama rasmi, tidak mempunyai hak istimewa orang Melayu dan tidak mendaulatkan bangsa Melayu.

Saya tidak tahu sama ada rakyat Malaysia terutamanya orang melayu akan membiarkan perkara ini terjadi. Sebenarnya perkara yang sama telah pun berlaku di negara jiran kita Singapura.

Orang Melayu mesti sedar apakah di sebalik gagasan idea ketuanan rakyat ini.

Tercabarkah Perpaduan Kaum Akibat Ketuanan Rakyat

Saya bimbang jika ini berlaku akan terjadi kejadian yang akan merosakkan hubungan harmoni di antara kaum yang telah terjalin hasil dari rundingan yang dilakukan di antara tiga kaum ketika merdeka.

Jangan sudah terantuk baru tergadah. Bangsa Melayu yang tergadai akan hilang pertimbangan dan pada ketika itu emosi akan mendepani perjuangan. Tindakan yang akan diambil merupakan tindakan di luar jangkaan. Orang Melayu bila terus diasak sehingga tiada ruang untuk bergerak, mereka akan mengambil tindakan walaupun mungkin tidak akan menguntungkan negara.

Rakyat Malaysia perlu belajar dengan apa yang berlaku di negara Balkan seperti Bosnia, Serbia dan Croatia bila mana masalah kaum dan agama menjadi pemisah dan pencetus kepada perperangan.

Janganlah kerana kita memikirkan untung yang sedikit tetapi akhirnya rugi seumur hidup. Biarlah kita dilihat rugi sedikit hari ini tapi hidup aman hingga akhir hayat.

Ideologi Ketuanan Rakyat akan membawa satu fenomena yang amat berbahaya kepada negara kita. Saya masih berpandangan orang Melayu tidak akan merelakan raja mereka dinafikan haknya, ketuanan Melayu tidak diberi tempat, agama Islam tidak menjadi agama rasmi negara lagi. Bagi orang Melayu Islam itu agama mereka dan mesti menjadi agama rasmi negara. Raja dijunjung demi mempertahankan agama Islam.

Perjuangan Agama, Bangsa dan Negara tetap diteruskan

Akhirnya saya mengharapkan kepada seluruh rakyat Malaysia berfikir untuk maju ke hadapan tanpa mengorbankan sejarah dan pusaka kita bangsa kita. Perjuangan UMNO adalah untuk mempertahankan sejarah dan pusaka kita.

Kedudukan Raja-raja Melayu, hak orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu akan terus menjadi tunjang perjuangan ini. Walau apa pun yang diperkatakan, UMNO perlu menegakkan perjuangan ini. "Patah sayap bertongkatkan paruh, namun gunung tetap didaki"

Wednesday, May 14, 2008

Mengapa Tuanku Sultan Mahu Dijadikan Musuh?

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Sejak kebelakangan ini saya melihat ahli Parlimen Bukit Gelugor, YB Karpal Singh begitu hebat menimbulkan isu kuasa antara kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat dengan DYMM Tuanku Sultan.

Saya tidak faham mengapa Karpal begitu ego dan ingin bertegang leher mengenai kuasa DYMM Tuanku Sultan. Ini menimbulkan pertanyaan kepada saya siapa sebenar yang menjadi menteri Besar di Perak dan Selangor - Pas (Perak) dan PKR (Selangor) atau mereka dikuasai oleh DAP di kedua-dua negeri ini?

Apakah hak Karpal untuk mencampuri urusan negeri-negeri ini kerana beliau tidak pun menjawat sebarang jawatan kerajaan di kedua-dua negeri ini? Selebihnya mengapa perlu begitu biadap sekali dengan Tuanku Sultan seolah-olah sudah tiada jalan perbincangan lagi?

Pada hemat saya pertikaian ini boleh dielakkan jika pemimpin di kedua-dua negeri mengambil pendekatan berhemah dan berunding secara adat dan budaya Melayu.

Memanglah ada pemisahan di antara kuasa-kuasa yang terletak hak kepada Sultan yang memerintah negeri tidak boleh dipertikaikan. Atas kuasa serta hak itulah DYMM Tuanku Sultan melantik Menteri Besar dan ahli EXCO untuk menjalankan tugas-tugas pentadbiran melalui pembahagian kuasa eksekutif negeri

Sebab itu saya melihat kenyataan oleh Dewan Di Raja Selangor baru-baru ini sebagai sangat serius dan perlu diberi perhatian. Jarang sekali Tuanku atau Dewan Diraja membuat sebarang kenyataan umum kecuali ada isu yang serius.

Berdasarkan pengalaman saya, DYMM Tuanku Sultan Selangor merupakan seorang pemerintah yang sangat memahami pentadbiran negeri, rasional dan boleh berbincang serta bertolak ansur dalam setiap pendapat atau pandangan.

Pentadbiran kerajaan negeri di bawah saya mengamalkan pendekatan consultative di antara DYMM Tuanku sebagai raja dan juga ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri. Semua pandangan akan diambil kira sebelum membuat keputusan yang akhirnya akan diputuskan secara muktamad oleh Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Atas dasar itulah saya akan menghadap DYMM Tuanku Sultan Selangor setiap hari rabu sebelum menghadiri mesyuarat kerajaan negeri. Tuanku banyak memberi pandangan mengenai isu-isu untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam. Baginda juga turut memberi pandangan dalam hal-ehwal proses pembangunan bagi memberi kebaikan serta manfaat kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira agama bangsa dan keturunan.

DYMM Tuanku Selangor juga banyak memberi idea dan pandangan mengenai perkembangan dan pentadbiran isntitusi agama Islam di Selangor. Ini selari dengan kedudukan beliau sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

Pada asasnya saya dan DYMM Tuanku berkongsi pandangan yang sama iaitu, negeri Selangor telah ditadbir dengan pendekatan koporat tetapi berasaskan keuntungan sosial. Jika dalam dunia korporat keuntungan wang tunai itu dianggap keuntungan mutlak, tapi kami di Selangor menganggap kebajikan rakyat adalah keuntungan mutlak.

Persefahaman sebegini hanya lahir melalui perbincangan dan perkongsian pendapat bukannya melalui pertelingkahan dan perbahasan umum seperti yang cuba dicipta oleh Pakatan Rakyat.

Sebagai bekas Menteri Besar Selangor, saya bersyukur kerana mendapat seorang seorang Sultan yang cukup berpengalaman dalam mentadbir dan mengurus syarikat yang telah berjaya. Tuanku juga berpengalaman yang luas melalui misi belayar seluruh dunia dan misi darat Peking-Paris.

Banyak nasihat dan pandangan DYMM Tuanku telah memberikan kebaikan untuk kemajuan negeri Selangor.

Sepanjang ingatan saya, DYMM Tuanku tidak pernah mencampuri urusan membuat keputusan mentadbir negeri kecuali yang berkait rapat dengan agama Islam. DYMM Tuanku juga tidak pernah mengambil sikap menyebelahi mana-mana parti politik. Saya melihat DYMM Tuanku amat sayangkan rakyat dan negerinya. Yang penting bagi baginda Tuanku mengharapkan supaya negeri ditadbir dengan cekap, adil dan bijaksana.

Jika ada tuduhan mengatakan baginda mencampuri urusan kerajaan negeri yang di luar bidang kuasanya, saya percaya dan yakin ia adalah tuduhan yang tidak berasas sama sekali.

Saya berani mengatakan demikian kerana selama lapan tahun saya menjadi ketua Kerajaan, tidak pernah walau sekalipun Tuanku cuba mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri dalam membuat sebarang keputusan atau dalam urusan politik.

Malah Tuanku juga tidak berjumpa dengan mana-mana ahli politik secara rasmi kecuali melibatkan kebajikan dan keamanan negeri.

Saya harap kerajaan hari ini mengambil peluang untuk terus mendapatkan nasihat dan pandangan baginda kerana pengalaman yang telah baginda lalui amat berharga untuk rakyat negeri Selangor. Kadang-kadang kita merasakan kita yang terbaik mengetahui semua perkara dari sudut pengetahuan kita. tetapi kita tidak dapat melihat dari sudut pengalaman dan pengetahuan orang lain. Bagi saya, jika lebih banyak pandangan ditimbangkan maka keputusan yang diambil itu lebih tepat dan bermakna.

Rajin bertanya tidak sesat jalan.

Saturday, May 10, 2008

Umat Islam Dicabar: Menang Sorak, Kampung Tergadai

Assalamualamualaikum dan salam sejahtera para sabahat bloggers dan para pembaca sekalian.

Kebelakangan ini negara sedang dikecohkan mengenai tindakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor YB Karpal Singh yang mencabar hak Sultan untuk memutuskan kedudukan para pegawai pentadbir agama Islam di Perak. Ternyata Pakatan Rakyat tidak memahami bahawa perlantikan pegawai agama Islam adalah di bawah Sultan. Sultan hanya memberi kuasa kepada Menteri Besar untuk melantik dan menjalankan pentadbiran agama. Sebarang perubahan dan keputusan mengenai agama perlu mendapat perkenan tuanku Sultan.

Saya harap YB Karpal Singh tidak terus mempertikaikan kuasa Sultan kerana ia hanya menampakkan kebiadapan dan tidak matang beliau sebagai ahli politik senior. Kalau Barisan nasional dianggap sombong dan angkuh, apa perkataan yang boleh dikatakan kepada DAP yang bertindak tanpa mengira undang-undang dan perasaaan orang ramai.

Peristiwa ini bukanlah satu peristiwa terasing. Saya melihat sudah wujud gerakan-gerakan untuk mencabar perkara-perkara pokok dalam Perlembagaan yang membabitkan agama Islam, raja-raja Melayu dan orang Melayu.

Perkara paling menyentuh hati saya sekarang ini ialah isu membabitkan penggunaan nama Allah dalam Bible berbahasa Melayu. Saya difahamkan sudah wujud gerakan untuk membenarkan perkara ini berlaku dan mengenakan tekanan kepada kepimpinan negara.

Setelah membenarkan Bible dicetak dalam bahasa Melayu, apakah kerajaan akan sekali lagi bertolak ansur dalam isu ini? Apakah ahli parlimen Islam, Pemimpin UMNO dan Pemimpin badan bukan kerajaan Melayu akan melihat tanpa bertindak apa-apa?

Jangan kita dikelirukan antara perkataan illah dengan Allah. la illah ha illahllah, yakni tiada tuhan melainkan Allah. Jika mereka mahu menggunakan perkataan arab bagi tuhan maka gunakanlah kata Illah. Allah merupakan tuhan yang maha esa. Manakala dalam bahasa Melayu kata nama Allah merupakan nama khas bukannya nama umum kepada tuhan.

Islam tidak mengiktiraf agama lain sebagai agama yang benar. Kita sebagai umat Islam juga perlu menolak pluralism atau kepelbagaian dan kesamarataan semua agama. Namun Islam tidak pernah menghalang agama lain diamalkan.

Isu penggunaan nama Allah dalam kitab agama lain ini sudah ditolak oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1986. Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika itu melarang penggunaan perkataan Allah, Kaabah, Solat dan Baitullah. Ia juga telah ditolak oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi beberapa tahun lalu.

Namun tampaknya sekarang ini sudah wujud aliran pendapat di kalangan pemimpin tertentu untuk membenarkannya.

Apakah tujuan desakan untuk menukar perkataan tuhan kepada perkataan Allah oleh mubaligh Kristian? Sebagai orang Islam saya melihat ada tujuan pihak tertentu dalam jangka masa akan datang untuk mengelirukan generasi muda Melayu.

Apakah akan terjadi jika anak-anak muda kita nanti mendapat risalah Kristian dalam bahasa Melayu menggunakan perkataan Allah sebagai ganti tuhan mereka? Bukankah ini merupakan cara halus untuk melanggar Perlembagaan yang melarang sebarang dakwah agama lain ke atas umat Islam?

Justeru saya melihat hanya ada dua cara untuk menghalang perkara ini:

Pertamanya, memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja masuk campur dalam hal ini. Ini merupakan usaha mencabar kedudukan dan martabat agama Islam.

Kedua, apakah ada Ahli Parlimen Islam yang berani mengusulkan satu undang-undang menjadikan perkataan Allah sebagai hak mutlak agama Islam sahaja. Jika ini diluluskan tentulah tiada siapa boleh mencabar di mahkamah lagi.

Umat Islam harus berhati-hati dalam soal ini. Usah menang sorak, kampung tergadai!

Tuesday, May 6, 2008

Mudah Berjanji, Mudah Lagi Memungkirinya

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Sebenarnya tidak molek bagi saya menulis catatan ini kerana ramai yang berpandangan seseorang pemimpin atau kerajaan itu perlu diberi ruang dan peluang yang secukupnya untuk menunjukkan kemampuan memimpin - sekurang-kurangnya selama 100 hari.

Namun saya fikir, pengumuman terbaru oleh YAB Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim perlu diulas kerana ia merupakan satu isu yang serius. Pengumuman kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat tidak akan menurunkan cukai pintu di rumah kediaman sebanyak 20% dan cukai premis komersial sebanyak 10% adalah sesuatu yang telah lama saya jangkakan.

Sebenarnya pengurangan ini tidak memberi beban yang berat kepada kerajaan Selangor kerana ia hanya akan mengurangkan pendapatan sejumlah lebih kurang RM 170 juta setahun.

Justeru kita menaruh harapan yang tinggi kepada Tan Sri Khalid Ibrahim yang berimej korporat untuk membuktikan bahawa pentadbirannya dapat menambah pendapatan kerajaan melalui pengalaman beliau.

Alasan bahawa ekonomi tidak mantap tidak dapat diterima kerana kerajaan persekutuan menyatakan secara jelas ekonomi negara dalam keadaan stabil. Malahan keadaan ekonomi sebelum dan selepas pilihan raya tidak banyak berbeza pun.

Justeru saya hairan, apakah sebagai tokoh korporat yang amat berwibawa, beliau merangka manifesto pilihan raya tanpa sebarang kajian teliti atau pun Tan Sri Khalid telah lupa manifestonya sendiri.

Tambah membimbangkan saya mendapat maklumat bahawa YB Ronnie Liew bercadang untuk menaikkan kadar cukai taksiran dan lesen perniagaan. Ini bukan lagi mungkir janji tetapi sudah berpusing 180 darjah, bertentangan dengan janji mereka untuk meraih undi rakyat Selangor semasa pilihan raya lalu.

Saya bimbang suatu hari nanti rakyat Selangor akan menganggap kerajaan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan penipu. Yang lebih dahsyat mereka akan memanggil Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Yang Amat Berbohong.

Saya merasakan akan ada lagi pengumuman janji pilihan raya yang tidak akan dipenuhi dalam waktu terdekat ialah janji untuk memberikan wang saguhati RM 1000 kepada semua anak Selangor yang ditawarkan ke Pusat Pengajian Tinggi, sama ada awam atau swasta. Ini memandangkan dalam masa dua bulan ini surat tawaran akan dikeluarkan dan tiada mekanisme yang telah diumumkan oleh kerajaan negeri untuk pelajar-pelajar tersebut mendapatkan wang yang dijanjikan.

Saya harap Tan Sri Khalid dan YB Dr. Halimah yang menjaga pendidikan dapat mengumumkan mekanisme tersebut supaya pendaftaran dapat dibuat dan wang dapat disalurkan mengikut daerah-daerah.

Saya mewakili rakyat Selangor akan mendesak supaya kerajaan negeri memenuhi janji mereka. Malah saya mengajak rakyat Selangor mengambil tindakan mendesak kerajaan ini mengotakan semua janjinya. Walau apa pun alasan yang diberikan, potongan cukai 20% tersebut mesti dilaksanakan.

Sebagai umat Islam sepatutnya Tan Sri Khalid tidak mungkir janji kerana mungkir janji adalah perbuatan orang munafik dan umat Islam yang munafik tidak layak memimpin. Saya tahu tulisan ini akan menimbulkan rasa marah kepada penyokong Pakatan Rakyat terutamanya penyokong-peyokong Pas dan PKR kerana mereka akan mengiyakan apa sahaja tindakan yang dibuat oleh pemimpin mereka.

Saya juga sedar akan ada rakan-rakan bloggers yang akan menggunakan bahasa-bahasa kesat untuk menghentam saya. Malah akan ada yang memilih untuk mengalihkan isu dengan memfitnah dan membuat tuduhan melulu. Sebagai rakyat Selangor saya bertanggungjawab untuk menyedarkan rakyat Selangor pembohongan yang berlaku dan akan berterusan di masa hadapan.

Saya juga bertanggungjawab untuk memastikan rakyat Selangor mendapat hak mereka termasuklah pendokong Pakatan Rakyat. Jangan rasa bersalah menuntut hak kita walaupun kita menjadi pendokong mereka. Tugas kita adalah memastikan janji-janji dan tawaran dalam manifesto dilaksanakan sepenuhnya. Janganlah habis madu sepah dibuang.

Saturday, May 3, 2008

Sabah , Kehakiman dan Politik

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Sabah Perlukan Perhatian Serius Kerajaan Persekutuan

Baru-baru ini saya mengunjung ke negeri Sabah sekali lagi. Banyak tempat yang saya kunjungi. Di banyak tempat inilah juga isu kemiskinan merupakan satu topik yang amat relevan sekali.

Ini mengingatkan kembali saya kepada rancangan kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar sebelum 2010. Sungguh pun ia rancangan yang amatlah baik namun perancangan dan pelan yang ada tidak jelas sama sekali.

Pada hemat saya rancangan pembasmian kemiskinan ini tidak akan berjaya kerana ia tidak dibuat dengan tindakan yang memfokuskan kepada isu-isu pemangkin meningkatkan produktiviti terutama dalam sektor pertanian.

Masalah kemiskinan di sabah akan bertambah serisu bila berlaku lagi kenaikan barangan makanan asas seperti beras, tepung dan gula. Ini akan menggawatkan lagi masalah kemiskinan di Sabah.

Melalui pengalaman saya di Sabah baru-baru ini saya tidak yakin dengan sasaran telah ditetapkan oleh kerajaan persekutuan akan berjaya.

Bagi saya kerajaan Sabah ditadbir dengan baik oleh YAB Datuk Seri Musa Aman, tetapi kerajaan negeri menghadapi kekangan kewangan untuk menyelesaikan miskin tegar terutama dalam menyediakan infrastruktur besar bagi menjana ekonomi dan pendapatan rakyat.

Melalui pengamatan saya, Sabah merupakan negeri yang mempunyai peratus miskin tegar antara yang tertinggi di negara kita. Terus terang dikatakan saya tidak nampak ada perancangan khusus oleh Kerajaan Persekutuan dalam mengotakan janji mereka bagi membasmi kemiskinan.

Lihat sahaja sawah di Kota Belud tidak punya sistem saliran yang baik. seperti projek Barat Laut di Selangor. Sabah hanya mampu mengeluarkan 30% sahaja keperluan beras negeri tersebut. Dengan kenaikan harga beras yang mencapai 40-50% ini akan menyebabkan rakyat Sabah terpaksa mengikat perut.

Kita juga sering mendengar pertanian merupakan sektor tumpuan Perdana Menteri tetapi tiada projek mega berbentuk infrastruktur pertanian kepada negeri Sabah. Saya sedih melihat rakyat Sabah yang rajin bekerja tetapi tidak dapat meningkatkan jumlah pendapatan mereka kerana infrastruktur dan prasarana sedia ada gagal menjadi pemangkin.

Ia cukup jauh berbeza dengan keadaan pertanian negeri Selangor. Saya merayu kepada YAB untuk mengotakan janji membasmi miskin tegar di Sabah dengan membina sistem pengairan yang sepurna bagi sabah dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Rata-rata saya lihat mereka masih bermimpi untuk menikmati janji kerajaan persekutuan. Tapi apakah mimpi tersebut akan menjadi realiti?

Kehakiman

Saya melihat kerajaan agak terburu-buru membuat keputusan membentuk suruhanjaya kehakiman baru-baru ini. Selain daripada peranannya yang tidak dijelaskan saya khuatir akan ada banyak persepsi dan harapan yang tidak dapat dipenuhi oleh kerajaan kepada rakyat. Kekhuatiran ini berdasarkan banyak pengumuman-pengumuman yang dibuat oleh kerajaan berkenaan penubuhan suruhanjaya yang disambut gembira oleh rakyat berakhir dengan lebih banyak kemarahan kemudiannya.

Perlantikan hakim-hakim melibatkan institusi Perdana Menteri dan juga institusi Raja-raja. Justeru sepatutnya sebelum keputusan dibuat ia perlulah dibincang dan mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agung dan Raja-raja Melayu. Kita tidak mahu wujudnya suruhanjaya ini akan mengurangkan kuasa raja-raja sebagai lambang ketuanan Melayu dan lambang penyatuan rakyat.

Jika ini tidak diteliti dengan jelas akan timbul konflik di antara tiga institusi iaitu Institusi Suruhanjaya Perlantikan Hakim, Institusi Perdana Menteri dan Institusi Agong dan Raja-Raja Melayu.

Saya amat berharap agar kerajaan dapat memikirkan jalan terbaik agar perkara ini tidak berlaku di masa hadapan. Dalam usaha kita untuk melihat institusi kehakiman bebas, kita juga perlu melihat peranan raja-raja dapat dikekalkan. Yang lebih penting pengumuman yang sebesar ini perlu dibuat dengan kajian dengan teliti bersama banyak pihak.
Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Janganlah kerana ingin mencari populariti sehari rosak negara bertahun lamanya.

Politik

Dua bulan sudah berlalu banyak perkara telah disebut seperti pengutan levi pekerja asing, mengambil alih PKFZ, menjadikan lapangan terbang subang sebagai halal hub, program latihan belia dan menjadikan pengurusan bola sepak diuruskan secara profesional. Inilah diantara kenyataan yang dibuat oleh pakatan rakyat. Kita masih menunggu hasilnya. Saya berharap moga-moga semuanya dapat dirancang dengan teliti dan dilaksanakan dengan baik. Saya harap pakatan rakyat sedar bahawa mereka adalah kerajaan yang bertanggungjawab untuk membawa kemajuan kepada negeri. Jangan juga dilupakan janji-janji manifesto yang membuat rakyat tergoda dalam pilihan raya lalu.

Saya juga tertarik dengan kata-kata DS Anwar Ibrahim yang akan membentuk kerajaan pakatan rakyat pada 16 September ini. Bagi saya tarikh ini ada signifikannya kerana ia merupakan tarikh pembentukan Malaysia.

Saya sedar DS Anwar Ibrahim ingin menggunakan tarikh ini sebagai permulaan era Malaysia Baru. Dan saya agak kesal melihat pemimpin UMNO masih menganggap ianya suatu sandiwara.
Bagi saya DS Anwar Ibrahim tidak akan merelakan kredebilitinya jatuh buat kali kedua. Jika ini berlaku dunia akan menganggap DS Anwar sebagai pemimpin yang kuat berbohong dan tidak akan mendapat kepercayaan rakan politiknya. Atas dasar itulah pemimpin Barisan Nasional perlu menganggap perkara ini lebih serius. Tindakan tertentu perlu diambil.

Dalam politik segalanya berkemungkinan. Bagi mereka yang merancang dengan baik kemungkinan itu akan berpihak kepada mereka.