Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Monday, June 30, 2008

Telunjuk Lurus Kelingking Berkait

Kenyataan Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah, semalam (dilaporkan oleh NST -hari ini- 30 Jun 2008, m.s. 11) mengenai tindakan saya meroboh kuil di Rimba Jaya mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab beliau sebagai pemimpin kerajaan dan Ketua UMNO Bahagian.

Sepatutnya sebagai pemimpin UMNO yang baik beliau perlu memeriksa fakta sebelum membuat sebarang kenyataan yang bukan sahaja tidak benar malah jelas mempunyai niat jahat.

Saya tidak kisah dikritik mahu pun dicerca oleh sesiapa sahaja jika ia menggunakan fakta yang betul. Malangnya apa yang diperkatakan oleh Timbalan Menteri adalah tidak benar.

1. Kes kuil Rimba Jaya telah dibawa ke Mahkamah sejak tahun 1998 lagi. Ia dibina secara haram atas tanah persendirian. Kerajaan negeri telah membuat perbincangan dengan pentadbir kuil dan mereka bersetuju menerima pampasan sebanyak RM 40 ribu dan juga diberi tapak baru.

2. Keputusan merobohkan kuil Rimba Jaya adalah keputusan Mahkamah bukannya keputusan saya mahu pun kerajaan negeri. Mahkamah memutuskan kuil dan setinggan disitu hendaklah diribohkan. Mahkamah telah menolak rayuan 11 orang penduduk yang enggan berpindah.

3. Saya, selaku Menteri Besar ketika itu, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam hanya melaksanakan keputusan Mahkamah.

4. Proses perobohan dilakukan oleh MBSA dua hari sebelum Deepavali. setinggan, Surau telah dirobohkan. Sampai sahaja di pagar kuil, Hidraf telah membantah dan mengadakan demontrasi. Saya menangguhkan penguatkuasaan tersebut apabila Datuk Seri Samy Vellu minta diadakan perbincangan terlebih dahulu.

5. perbincangan pada hari tersebut berlangsung di Hotel Bluewave, Shah Alam. Ia dilakukan bersama antara YAB Perdana Menteri, Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi, DS Samy Vellu dan saya.

6. Keputusan yang dicapai ialah kuil akan diroboh dua hari selepas Deepavali. Ia perlu dilakukan oleh Jawatankuasa kuil sendiri. Samy Vellu turut bersetuju dengan keputusan ini kerana keputusan merobohkan setinggan di Rimba Jaya merupakan keputusan Mahkahmah Rayuan.

7. Bagaimanapun kuil tersebut tidak diruntuhkan dua hari selepas Deepavali seperti yang dipersetujui. Kuil tersebut hanya diruntuhkan oleh MBSA pada pagi 15 November 2007, 10 hari selepas Deepavali. Ini pun setelah Datuk Seri Samy Vellu menelefon saya pada malam tersebut kerana beliau khuatir kemungkinan isu kuil ini akan menjadi lebih sukar kerana sudah dikuasai oleh Hindraf.

8. Semua fakta ini boleh diperolehi daripada Datuk Bandar Shah Alam.

9. Justeru kenyataan Datuk Ahmad Husni bahawa saya tidak menghormati kaum India dengan merobohkan kuil sebelum Deepavali bukan sahaja tidak benar malah berunsur menipu. Malahan dibawah pentadbiran saya, Selangor merupakan negeri pertama yang mewujudkan beberapa insentif khas untuk belia India termasuk peruntukan khas bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran di Inspens. Selangor juga merupakan negeri pertama yang mewujudkan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang.

10. Saya tidak berniat memanjangkan isu perobohan kuil ini kerana ia menyentuh banyak pimpinan Barisan Nasional. Saya juga dinasihatkan sebelum ini agar tidak bertelagah di media massa dengan pemimpin UMNO lain.

11. Namun saya fikir adalah penting saya mengulas semula isu ini kerana fakta dan kenyataan yang dibuat tidak benar dan berunsur fitnah.

13. Mungkin beliau menyatakan dengan ikhlas untuk kepentingan parti. Namun buatlah penyelidikan terlebih dahulu sebelum bercakap. Jangan nampak seperti telunjuk lurus tetapi rupanya kelingking berkait.

14. Pesan saya kepada Timbalan Menteri, eloklah bila mahu bercakap ingat pesanan orang tua-tua dahulu, "cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Takut nanti "kerana pulut santan binasa." Jangan sampai kerana mulut parti kacau bilau.

Tuesday, June 24, 2008

Anwar Ibrahim dan Mimpinya

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyebabkan senario dan lanskap politik negara bertukar sama sekali. Perubahan ini berpusat daripada dua faktor iaitu faktor Anwar dan faktor yang menentukan pembebasan Anwar.

Pendedahan saudara Ezam Mohd Noor mengenai usaha pembebasan Datuk seri Anwar membabitkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantu beliau, Khairy Jamaluddin membawa satu lagi persoalan baru kepada orang ramai khususnya pemimpin politik UMNO. Saya biarkanlah ia menjadi tanda tanya kita semua.

Saya juga akui kenyataan Ezam mengenai perjumpaan beliau dengan saya adalah benar dan memang ketika itu saya mencadangkan supaya Ezam kembali kepada UMNO.

Ini kerana saya melihat hubungan beliau dengan Anwar tidak akan kekal. Dan ternyata perkara tersebut berlaku. Sungguhpun begitu kembalinya Ezam agak terlewat dan penuh kontroversi kerana ia dibuat berdekatan dengan pemilihan UMNO.

Namun faktor Anwar sendiri perlu diberi perhatian.

Anwar sudah diketahui umum sebagai ahli politik yang licik dan mempunyai banyak helah, bertopengkan pelbagai wajah, namun menyembunyikan agenda sebenarnya.

"Cuti sabatikal" Anwar selama enam tahun di Sungai Buloh turut memberi beliau ruang dan peluang untuk memikir dan merangka strategi politiknya.

Ramai pemimpin UMNO tersalah baca gerak politik Anwar Ibrahim. Saya mula menyedari kelicikan beliau apabila berdepan secara terbuka dalam pilihan raya kecil DUN Ijok lalu.

Saya melihat kekuatan Anwar ialah mengenai keupayaan beliau memanipulasi isu dan melakukan character assassination. Anwar juga mempunyai kebolehan menukar "wajah-wajahnya" mengikut kaum yang menghadiri ceramahnya.

Bagi Anwar nilai sebuah perjuangan adalah kemenangan peribadi. Sebab itu saya melihat pergerakan politik Anwar sejak sebelum pilihan raya lalu telah dirancang dengan teliti untuk meletakkan dirinya sebagai pemimpin nombor satu negara.

Landasan Kedua Menuju Puncak

Anwar hampir di puncak sebelum jatuh kerana tersalah perancangan. Anwar kali kedua menuju puncak sudah mempelajari pelajaran dan pengajaran sejarah lalu.

Juteru untuk kembali mengepalai landasan menuju puncak. Anwar perlu melakukan beberapa perancangan dan manipulasi dalam politik.

Fasa pertamanya ialah pilihan raya ke 12. Beliau menggunakan menggunakan segala kelicikannya melakukan manipulasi politik melalui penawaran jawatan dan kedudukan bagi menyatukan parti-parti politik yang bukan sahaja berbeza ideologi tetapi bertentangan sama sekali.

Retorikal dan manipulasi politik Anwar telah berjaya menanggap imaginasi pengundi-pengundi di kawasan bandar sehinggalah gabungan longgar ini mampu mengambil alih lima negeri (termasuk Wilayah Persekutuan).

Beliau berjaya meyakinkan Dap dan Pas untuk mengadakan satu kerjasama longgar. Yang untung pastinya Dap kerana hari ini mereka sudah boleh berhujah bahawa ada orang Melayu yang menyokong perjuangan "cauvinis" mereka. Malah mereka juga dilihat menguasai dua buah negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar Melayu.

Pas yang terjebak dengan imej parti Islam telah cuba untuk mengurangkan persepsi tersebut dengan tema-tema perjuangan baru seperti kesamarataan dan menjadi parti kebajikan. Melalui kerjasama longgar ini, pas diberi kerusi Menteri Besar di Perak biarpun merupakan parti paling sedikit memenangi kerusi.

Penampilan yang charming dan kekuatan orator telah memberikan kelebihan kepada Anwar dalam keadaan negara sedang membuat penilaian gaya kepimpinan baru Datuk Seri Abdullah berbanding gaya Tun Dr. Mahathir. Penampilan Pak Lah yang bersahaja telah membolehkan Anwar mengambil kesempatan menonjolkan diri.

Fasa kedua manipulasi politik Anwar sedang berlangsung sekarang ini. Anwar menyerang kredebiliti kepimpinan bagi memarakkan lagi krisis keyakinan itu. Anwar mengadakan pelbagai rundingan bagi dan melakukan tawar-menawar dengan Ahli Parlimen BN bagi menarik orang tertentu lompat parti.

Serangan manipulasi kedua yang sedang dilancar ialah untuk menjatuhkan kredebiliti Datuk Seri Najib Tun Razak. Serangan ini ternampak jelas melalui salah seorang blogger, yang sememangnya pendokong setia Anwar Ibrahim. Tujuan Anwar ialah untuk menunjukkan Barisan Nasional tidak lagi mempunyai pemimpin yang credible.

Kenyataan lompat parti ahli-ahli parlimen merupakan dendangan lanjutan manipulasi tersebut.

Sehinggakan hari ini kepimpinan negara dan rakyat tidak berfikir untuk maju ke hadapan tetapi merasa hidup dalam resah gelisah mencari kepastian sama ada kerajaan ini akan kekal atau sebaliknya.

Taktik Anwar bukan sangat mahu menubuhkan kerajaan secara segera. Buat masa ini beliau hanya mahu mengukuhkan imejnya sebagai pemimpin berkarisma yang lebih dominan dan perancang kepada rentak politik tanah air.

Dendangan lompat parti ini telah dialunkan oleh pemimpin PKR sahaja bukan DAP dan Pas. Parti seperti SAPP adalah parti opportunis, pasti gembira untuk libatkan diri dalam manipulasi Anwar Ibrahim ini.

Berdasarkan respon di blog saya dan laman-laman web lain, UMNO harus sedar bahawa manipulasi Anwar pada tahap kedua sudah berjaya. Ramai yang melihat bahawa Anwar Ibrahim adalah pemimpin harapan negara, manakala pemimpin UMNO dilihat sebagai pemimpin yang tidak berupaya.

UMNO wajar mencari formula untuk melumpuhkan manipulasi Anwar Ibrahim. Kaedah terbaik ialah UMNO perlu kuat dan bersatu supaya peralihan kuasa berlaku dalam UMNO dahulu, bukan di Parlimen.

Semua tindakan peralihan itu perlu dirangka dan dikongsi bersama oleh seluruh kepimpinan UMNO setiap peringkat, dan keputusan itu akan menjadi tangkal untuk UMNO terus kuat dan menghancurkan manipulasi Anwar Ibrahim.

Jika UMNO tidak berupaya memulihkan keyakinan terhadap kepimpinan, kesempatan ini akan diambil oleh Anwar Ibrahim melakukan manipulasi fasa ketiga. Beliau akan cuba menonjolkan dirinya sebagai pemimpin alternatif negara dengan menggunakan empat negeri Pakatan Rakyat sebagai landasan untuk meyakinkan rakyat bahawa beliaulah pemimpin terbaik untuk didokong dan disokong walaupun penuh helah.

Masalah Anwar

Malangnya Anwar sendiri berada dalam kedaan goyang apabila Sambutan 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat di Shah Alam telah menunjukkan pergeseran dalam parti-parti komponen PR.

Saya dimaklumkan Pas tidak menyertai perhimpunan ini kerana sesuatu sebab dalaman. Jika kita lihat dari segi fizikal pun, tiada bendera Pas dan Dap kelihatan di sekitar Stadium Melawati tempat penganjuran majlis sambutan. Malah saya difahamkan krisis kian meruncing apabila tiga Menteri Besar Pas dikatakan telah "ditegah" oleh pucuk pimpinan Pas dari menghadri majlis tersebut.

Dap sungguhpun hadir tetapi tidak menunjukkan komitmen yang sewajarnya kepada Anwar Ibrahim.

Ketika Anwar sibuk menggangu Barisan Nasional, ilusi politik Pakatan rakyat ciptaan Anwar juga tampaknya seumpama retak menanti belah.

Pengajaran Kepada Kita

Kita harus belajar daripada sahabat-sahabat rapat Anwar Ibrahim yang dulunya sanggup tenggelam timbul bersama, akhirnya mengambil keputusan meninggalkan beliau. Kita juga harus sedar manipulasi ini tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada rakyat. Bagi saya Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah opportunist yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat kuasa.

Janganlah kita membenarkan perjuangan politik yang berasaskan resam si Kitol, Mendeliar, atau menjadi si Tanggang yang merosakkan perjuangan sebuah bangsa kerana kepentingan diri.


Thursday, June 19, 2008

Antara Undi Tidak Percaya dan Kepentingan Rakyat

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Ramai orang yang berasa bimbang dengan kenyataan Parti Maju Sabah (SAPP) yang mungkin menyaksikan ketidakstabilan politik negara pada minggu depan. SAPP dilaporkan akan mengadakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Namun saya fikir amat sukar untuk usul ini menjadi kenyataan,

Peraturan Mesyuarat 27 menyatakan notis untuk sebarang usul hendaklah dikemukakan secara bertulis 14 hari lebih awal.

Manakala bagi usul tergempar, mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (1) ia memerlukan syarat-syarat tertentu sebelum boleh diluluskan. Syarat itu antaranya menuntut sesuatu perkara yang hendak dijadikan usul tergempar perlu melibatkan kepentingan orang ramai yang perlu disegerakan.

Mengikut kedua peraturan di atas undi tidak percaya kepada Perdana Menteri hanya akan berlaku sekiranya Speaker Dewan setuju untuk menjalankan proses tersebut dengan alasan kepentingan awam. Memandangkan speaker merupakan lantikan kerajaan ia akan menyukarkan lagi proses tersebut.

Apakah undi tidak percaya terhadap kepimpinan terlalu mendesak sehingga menyerongkan tumpuan para ahli parlimen terhadap mid-term review untuk bajet dalam sidang kali ini?

Bagi saya, buat masa ini yang penting adalah bagaimana untuk mengatasi masalah inflasi yang semakin meningkat menyebabkan kos hidup bertambah tinggi. Ini juga bakal meningkatkan jumlah rakyat yang dikategorikan sebagai miskin tegar dan miskin relatif.

Saya amat berharap kepimpinan akan melihat mid-term review budget sebagai satu jalan keluar untuk menyelesaikan krisis keyakinan terhadap kepimpinan negara. Saya juga berharap kerajaan tidak memekakkan telinga dengan rintihan rakyat yang amat terdesak dengan kenaikan harga petrol 41% baru-baru ini.

Walau apa pun alasan yang diberikan, semua sedia maklum bahawa negara kita merupakan net exporter. Jika harga minyak naik, logiknya keuntungan akan meningkat sejajar dengan kenaikan minyak dunia. Dan hasilnya bolehlah digunakan untuk mengurangkan kos bebanan hidup rakyat.

Mid-term review yang sekarang sedang dijanlankan haruslah berupaya mengurangkan tekanan hidup rakyat; kos hidup mesti dikurangkan, kemudahan awam seperti pengangkutan awam dan lain-lain hendaklah ditingkatkan.

Projek-projek mega infrastruktur pertanian hendaklah dibanyakkan kerana ia akan mengurangkan kadar kemiskinan di kampung-kampung, di mana rata-ratanya adalah orang Melayu dan bumiputera.

Projek koridor yang mungkin membawa keuntungan kepada negara untuk jangka panjang, tetapi tidak dalam jangka pendek, perlu dinilai semula. Jika boleh projek tersebut hendaklah dilaksanakan oleh syarikat swasta tanpa membebankan kewangan negara. Ia boleh dilaksanakan dengan kaedah memberi beberapa insentif istimewa kepada syarikat-syarikat besar tersebut. Dengan ini ia tidak membantutkan pembangunan koridor tersebut.

Ahli Parlimen wajar melihat mid-term review ini sebagai asas ke arah menyelesaikan masalah rakyat dengan cadangan yang bernas. Gunakanlah peluang ini kerana ianya tidak selalu berlaku.

Kewangan kerajaan perlu ditumpukan ke arah mengurangkan beban hidup rakyat. Sidang Parlimen patut menumpukan ke arah perkara tersebut.

Jika cadangan telah diberikan dan dipersetujui dalam sidang Parlimen tetapi gagal dilaksanakan oleh pucuk pimpinan, maka barulah tampak wajar kepada mana-mana parti melaksanakan proses undi tidak percaya terhadap pucuk pimpinan.

Saya cuma khuatir gajah sama gajah berkelahi, pelanduk mati ditengah.

Wednesday, June 18, 2008

Rakan Pasir dan Rakan Pencuri Pasir?

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Saya rasa geli hati dengan kenyataan EXCO Pertanian Selangor yang mengatakan bahawa tiada tindakan yang diambil oleh kerajaan terhadap kecurian pasir sejak 20 tahun yang lalu.

Mungkin beliau "memboikot" media arus perdana yang telah memaparkan berpuluh tindakan yang telah diambil oleh kerajaan negeri. Malah berjuta ringgit telah dipungut hasil daripada tindakan penguatkuasaan. Saya harap beliau rujuk semula jumlah kompaun dan denda yang telah dikenakan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebelum ini.

Saya merasa bertambah geli hati apabila membaca kenyataan beliau menubuhkan pasukan Rakan Pasir yang akan beri maklumat mengenai kegiatan curi pasir kepada beliau dan PTG.

Dalam kenyataan yang sama beliau mengakui terdapat kejadian pencurian pasir secara haram di belakang kampus UNISEL, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Puchong.

Malangnya tiada sebarang tindakan diambil sehingga hari ini. Ini bermaksud Rakan Pasir memberi maklumat yang tepat kepada kerajaan negeri tetapi mengapa tindakan undang-undang tidak diambil?

Mungkin tidak salah saya berpandangan kerajaan negeri hari ini, mungkin exco terlibat, turut menjadi "rakan pencuri pasir".

Rakyat Selangor diarah untuk menjadi rakan pasir tetapi kerajaan bertindak sebagai rakan pencuri pasir. Renungkanlah!

Pandai bercakap, bertindak jauh sekali

Thursday, June 12, 2008

Air Percuma Di Selangor, Tercapaikah Matlamat?

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Pertamanya saya ucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Selangor atas kejayaan mereka melaksanakan pemberian air sebanyak 20 meter padu secara percuma. Tampak selepas mendapat desakan, kerajaan negeri berjaya melaksanakan skim tersebut.

Kepada rakyat Selangor, janganlah kita gunakan kesempatan untuk membazir air. Walaupun ia percuma tetapi tidak sepatutnya dibazirkan. Kita harus belajar untuk menjimatkan penggunaan air bersih ini kerana saya percaya suatu hari nanti kita akan menghadapi krisis air yang berpanjangan.

Memandangkan projek pengaliran air dari Pahang ke Selangaor masih lagi tertangguh, saya khuatir kita akan mengalami krisis air suatu ketika nanti. Melalui pengalaman saya berbincang dengan beberapa pakar, dipercayai Lembah Klang akan mengalami krisis air pada 2012 jika projek air Pahang-Selangor tidak dapat disiapkan.

Dalam satu pembentangan isu air, perunding yang dilantik oleh Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi berpendapat jika projek ini gagal dilaksanakan pada tahun ini, maka ia akan gagal disiapkan pada 2012. Kemungkinan ia hanya siap pada 2016.

Justeru, saya harap kerajaan negeri meneruskan usaha yang telah dibuat kerajaan terdahulu dengan mencari sumber air alternatif dan juga menjalankan kempen secara aggresif supaya pengguna menggunakan air dengan cermat.

Lembah Klang merupakan daerah yang menggunakan jumlah air yang tertinggi di dunia dan keadaan ini tidak boleh diteruskan. Jika tidak rakyat harus menerima hakikat menghadapi krisis air berpanjangan di masa akan datang.

Berhubung dengan air percuma 20 meter padu, saya telah menimbulkan perkara ini agar diadakan satu mekanisme khusus supaya semua unit rumah-rumah pangsa kos rendah, kos sederhana mahu pun kondominium juga mendapat pengurangan tersebut walaupun mereka menggunakan meter bersepadu (bulk meter).

Jika kaedah pengebilan sedia ada digunakan hari ini, pengurangan hanya diberikan 20 meter padu yang pertama kepada setiap bil-bil air. Jika ini diteruskan, maka sesebuah flat yang mempunyai 200 unit hanya akan mendapat pengurungan 20 meter padu pertama sahaja. Ini kerana mereka diberikan satu bil yang sama seperti rumah teres.

Saya cadangkan bagi rumah pangsa yang menggunakan meter sepadu ini, supaya diadakan pengiraan khas, iaitu pengurangan hendaklah diberikan sebanyak 20 meter padu didarab dengan jumlah unit yang ada di blok tersebut.

Dan pengurangan hendaklah diberikan mengikut RM 11.40 X unit yang ada. Jika ini tidak dibuat, maka niat kerajaan negeri untuk membantu golongan berpendapatan rendah tidak tercapai. ia hanya akan bersifat window dressing sahaja. Bak kata perpatah, manis kata di mulut, kesannya tiada makna.

Saya faham, saya akan ditempelak dengan artikel ini tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain kerana saya telah didatangi oleh beberapa persatuan penduduk rumah-rumah pangsa di sekitar Selangor.

Ingin saya jelaskan sekali lagi, tugas saya bukan untuk mencari salah kerajaan negeri. jauh sekali menegur kerajaan yang baru ini. Saya hanya memperjuangkan hak rakyat yang telah menemui saya. Jika saya tidak laksanakan saya pasti dituduh oleh pendokong Pakatan rakyat sebagai pemimpin yang tidak sensitif terhadap tuntutan rakyat.

Saya berharap pemimpin pakatan rakyat tidak tersinggung, jauh sekali menjadi bongkak dengan pandangan ini.

Eloklah kita mengikut resam padi, makin berisi makin tunduk. Jangan jadi lalang, isi tiada, sombongnya berdiri tegak tanpa sebarang erti.

Saturday, June 7, 2008

Tangani Subsidi Dengan Bijak

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.

Kenaikan harga petrol sebanyak RM 0.78 seliter sememang amat tinggi dan sukar untuk rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana menerimanya. Sebagai ahli MT saya pun terkejut kerana ia tidak pernah dibincang dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO untuk melihat dari perspektif kepentingan rakyat banyak.

Memang tidak dapat dinafikan pengurangan subsidi petrol ini merupakan satu kebaikan jangka masa panjang dari segi kestabilan dan kekukuhan ekonomi negara. Namun jika ia tidak dilaksanakan dengan bijak dan cermat, saya khuatir ia bukan akan mengukuhkan ekonomi tetapi menghancurkan terus kerancakan pembangunan negara.

Saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula kenaikan drastik ini. Mungkin jika ia dapat dikurangkan separuh daripada kenaikan hari ini pun ia cukup bermakna kepada rakyat dan industri kecil dan sederhana.

Namun jika kerajaan berpendapat ini merupakan jalan terbaik, beberapa perkara harus dilaksanakan segera bagi mengurangkan beban rakyat.

Pertamanya kerajaan patut melihat masalah pengurangan subsidi petrol dan kenaikan harga ini dari sudut yang menyeluruh. Saya fikir kerajaan perlu kumpulkan semua jumlah subsidi sedia ada, kenal pasti berapa jumlahnya. Kemudian gunakan jumlah tersebut untuk mengurangkan kenaikan harga petrol ke tahap yang difikirkan tidak membebankan semua rakyat.

Selebihnya barulah diagihkan semula ke sektor-sektor yang akan memberi kebajikan yang tinggi kepada rakyat seperti kepada nelayan, petani dan golongan pekerja berpendapatan rendah di bandar.

Saya difahamkan pada masa ini, subsidi dikategorikan dalam peruntukan pengurusan. Jika subsidi meningkat maka kerajaan perlu meminjam atau menyerahkan kepada rakyat untuk membayar bagi mengelakkkan pinjaman kewangan untuk pengurusan. Yang pastinya akan memberi impak negatif kepada imej negara.

Justeru pada hemat saya, peruntukan subsidi ini sewajarnya diasingkan daripada wang yang digunakan untuk pengurusan.

Sepatutnya wang subsidi ini disatukan dengan jumlah peruntukan pembangunan. Dengan ini, jika berlaku penambahan subsidi maka peruntukan pembangunan samada dikurangkan atau dikekalkan dengan membuat pinjaman.

Keduanya, kerajaan juga harus mencari jalan membantu pekerja sektor swasta. Antara yang boleh dibuat ialah memberi potongan cukai khas kepada syarikat korporat yang menaikkan gaji kakitangan bawahan dan peringkat pertengahan pada peratus tertentu.

Ketiga, kerajaan harus menurunkan tarif elektrik bagi mengimbang kenaikan kos akibat harga petrol. Saya fikir tidak ada salahnya buat masa ini kerajaan memberi subsidi kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Janganlah terlalu dipentingkan keuntungan beratus juta syarikat berkaitan kerajaan (Government Link Company - GLC) sehingga rakyat di bawah menderita. Apa penting diumumkan keuntungan besar syarikat ini tetapi rakyat tidak merasai apa-apa?

Petronas dan semua GLC negara perlu mengumumkan keuntungan kepada kabinet sebelum kabinet memutuskan jumlah bonus yang perlu di berikan kepada mereka. Masa ini semua pengurusan GLC di lakukan oleh CEO masing-masing.

Mereka menikmati bonus yang tinggi sehingga 9 bulan tetapi tidak menyumbang kepada wang disatukan negara. Pengalaman saya di Selangor, semua GLC hendaklah menyumbang kepada wang disatukan negeri sebagai satu punca pendapatan, samada secara terus atau melalui tabung tertentu. Jika GLC ingin memberikan bonus kepada kakitangan, mereka perlu membuat sumbangan kepada Kerajaan Negeri di samping menyelesaikan pinjaman mengikut jadual.

Jika dilaksanakan di peringkat Persekutuan, Petronas yang pasti memperolehi keuntungan hasil dari kenaikan harga minyak mentah dunia dapat menyumbang kepada pendapatan negara secara langsung. Wang ini bolehlah di gunakan untuk mengurangkaan bebanan rakyat atau pun program basmi kemiskinan tegar sebelum 2010.

Kesan kenaikan minyak ini hampir pasti akan menggagalkan rancangan membasmi kemiskinan 2010, malah akn turut menggagalkan hasrat kerajaan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Sudah tiba masanya kerajaan melihat sistem pengangkutan awam secara menyeluruh di seluruh negara. Saya berpandangan kerajaan perlu melaksanakan satu sistem pengangkutan awam yang berkesan dengan segera. Janji kerajaan untuk mengadakan sistem pengangkutan ynag sempurna telah lama didendangkan, tetapi tidak mencapai matlamat.

Kerajaan juga perlu melabur dengan membina infrastruktur pertanian seperti sistem saliran yang sempurna di kawasan yang di kenalpasti boleh di majukan sebagai kawasan tanaman padi seperti Projek Barat Laut Selangor yang telah berjaya meningkatkan "yield" padi dari 2 -3 tan per hektar kepada 7-9 tan per hektar. Sabah, Sarawak memiliki kawasan yang luas dan cukup sesuai untuk tujuan tersebut.

Ramai pemimpin mengatakan minyak naik harga bukan masalah, yang saya bimbang rakyat "naik minyak" kerajaan akan hadapi masalah yang lebih parah lagi bila rakyat sanggup jadi "orang minyak" mengambil tindakan di tangan mereka tanpa mengendahkan kesan kepada negara. Fikirkanlah.