Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Thursday, July 31, 2008

Sekadar Makluman

Asalamualaikum para sahabat bloggers dan rakan-rakan sekalian,
Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato' Mufti Shuib. Kembalinya beliau kerahmatullah merupakan kehilangan besar kepada agama, bangsa, parti dan negara. Bagi saya sendiri, beliau merupakan seorang pemimpin yang banyak memberi panduan dan tunjuk ajar kepada saya. Jasa beliau tidak mungkin dapat dibalas dengan harta benda dan wang ringgit. Semoga Allah merahmati roh allahyarham. al-Fatihah.

Saya mohon maaf kerana tidak dapat menghasilkan tulisan baru untuk blog ini. Saya hanya meluangkan masa untuk menjawab komen-komen yang dihasilkan di dalam tulisan sebelum ini. Ini memandangkan saya berada di Seoul Korea Selatan untuk Mesyuarat Agung Majlis Belia Asia (Asia Youth Council).

Saya amat berterima kasih ke atas respon para sahabat sekalian dalam topik sebelum ini.

Insyallah saya akan kemaskini topik baru untuk blog ini pada Ahad ini atau minggu hadapan.

Bagaimanapun pada 3 Ogos, jam 8.40 malam, jika tiada aral melintang, saya akan muncul di RTM 1 dalam program Blog.

Salam dari
Seoul, Korea Selatan.

Sunday, July 27, 2008

Kontrak Sosial: Habis Madu Sepah Dibuang?

Assalamualaikum para sahabat bloggers dan rakan-rakan sekalian,

Berikutan dua catatan sebelum ini iaitu, Impian Saya dan Perpaduan Melayu Bukan Ancaman, saya dikecam dan dianggap sebagai esktremis Melayu yang tidak memikirkan kepentingan kaum lain. 

Ini tentulah tidak benar sama sekali kerana dasar-dasar semasa pentadbiran saya bukan sahaja mementingkan orang Melayu malah turut mengambil kira kehendak orang Cina dan India.

Misalnya apabila Kerajaan Selangor semasa pentadbiran saya menubuhkan Pusat Kebudayaan Melayu dengan peruntukan RM 20 juta, kaum Cina dan India turut mendapat peruntukan yang sama. 

Malah kerajaan Selangor di bawah pentadbiran saya merupakan yang pertama melancarkan tabung khas untuk pendidikan anak-anak kaum India yang miskin di bawah Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang. Kerajaan Selangor juga menaja lebih 100 orang anak kaum India yang miskin untuk belajar kemahiran di Inspens.

Memang benar saya memberikan peruntukan yang lebih besar untuk perkembangan agama Islam di Selangor kerana ia merupakan agama rasmi negeri dan negara. Selain itu Islam juga mempunyai peruntukan besar dari hasil kutipan zakat. 

Namun jika saudara-saudari masih ingat Selangor merupakan negeri pertama memberikan peruntukan untuk rumah ibadat lain. Apakah ini menunjukkan saya seorang ekstremis kaum atau cauvinis perkauman?

Apa yang saya perjuangkan sekarang ialah hak-hak kedudukan agama Islam dan kepentingan orang Melayu yang telah lama dipersetujui. 

Persetujuan ini bukan pula bersandarkan kekuatan orang Melayu dan menguntungkan orang Melayu semata-mata. Sebaliknya ia merupakan proses memberi dan menerima antara semua kaum dalam membentuk struktur sosial negara pasca penjajahan.

Mungkin bagi generasi muda yang telah lupa pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu saya perturunkan semula kenyataan dua pemimpin kaum Cina dan India pada zaman awal kemerdekaan.

Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin, dilaporkan dalam akhbar tempatan bertajuk "Tun Tan Answers Critics on special Previleges" dalam pada 30 april 1969, berkata:

"The Malays, through UMNO, were generous enough to relax the citizenship laws of this country to such extent that within 12 months of independence, 90 percent were still non-citizens after nearly 100 years of colonial rule in the Malay States. In return for this major concession. the MCA and the MIC agreed to continue the policy of preserving the special position of the Malays while at the same time upholding the legitimate interest of other communities."

[Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu telah menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain.]

- Sumber Tan Sri Khalid Awang Osman, Malaysia - An Anthology, Vantage Press, New York, hal. 38-39.

UCAPAN PRESIDEN MIC merangkapMENTERI KERJAYA RAYA, POS DAN TELEKOM, TUN V.T. SAMBANTHAN DI DEWAN RAKYAT PADA 1 JUN 1965.

"Now, in 1955 we won the elections with a great majority. Then we obtained freedom in two years time. During this period, we had to discuss citizenship and various other things. Now what did the Malays do - since we are speaking on racial lines - what did the Malay leadership do? The had 88 percent of the electorate still with them. What did they do with citizenship?

If we look around in Asia and East Asia, particularly, you will find that my race the indian race, is not welcomed in Ceylon, is not welcomed in Burma. Look at my brother Chinnese race, it is not welcomed in Thailand, in Vietnam, in Cambodia, in all the other areas. What help do they get for citizenship in all these territories? In Burma, as we know, Indian have been send packing, in Ceylon they refused them citizenship and in Burma it is likewise. I know it, you know it. And yet in Malaya what happened? Here we found that the Malay leadership said, "We shall tkae them unto ourselves as brothers, we shall give them full opportunity to live in this country, we shall give them every opportunity to become citizens." And so, in 1957, for the whole year, we waived language qualifications, and tens of thousand of Indians, Chinnese, Ceylonese and others became citizens...

As I said, it has been my great good fortune to have born in this country. Where else can you find a more charitable, a more polite, a more decent race than Malay race? Where else can you get such politically decent treatment for any immigrant race? Where else in the history of the world? I ask you. These are the facts. Who are you to safeguards us? I am 10 percent minority race here. But I am happy here."


[Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian.

Dalam jangka masa itu kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh Orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu?

Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan?

Jika jita lihat di serata negara Asia dan asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Dam lihat saudara kita kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain.

Dan apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka perolehi di semua wilayah tersebut?

Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. saya tahu dan anda juga tahu. dan dalam pada itu apa yang sedang berlaku di Malaya?

Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, "Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan lehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara."

Dan seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara.

Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain dari Bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini."]
- Sumber Tan Sri Khalid Awang Osman, Malaysia - An Anthology, Vantage Press, New York, hal. 60

Apakah natijah daripada kenyataan ini? Ini menunjukkan bahawa orang Melayu melakukan pengorbanan yang terbesar dengan memberi kerakyatan kepada lebih sejuta kaum imigran yang datang ke sini.

Kesannya kaum Cina dan India menerima hak pendidikan, keselamatan, peluang pekerjaan, peluang ekonomi dan yang paling penting peluang untuk mengundi dan menentukan arus kepimpinan negara ini bersama-sama orang Melayu.

Justeru adakah jahat dan tidak adil jika saya dan orang Melayu lain mempertahankan sedikit hak agama dan bangsa yang telah dipersetujui sejak dahulu.

Lihatlah bagaimana pemimpin-pemimpin terdahulu melihat masa depan pelbagai kaum dengan perasaan yang ikhlas. Malangnya generasi hari ini mungkin kerana banyak terdidik di Barat telah lupa susur galur pembentukkan masyarakat pelbagai kaum negara ini.

Bagi saya tiada salah memperjuangkan kepentingan kaum tertentu, yang menjadi kesalahan ialah bila memburukkan kaum lain atau pun menuduh kaum lain tidak berlaku adil terhadap mana-mana kaum dalam negara berbilang kaum seperti negara kita.

Mengapa perlu dipertikaikan "kontrak sosial" ini sedangkan saya melihat tidak pula orang Melayu menguasai ekonomi sehingga menindas bukan Melayu.

Jika dikatakan terdapat orang India dan Cina yang miskin, saya percaya jumlah orang Melayu dan Bumiputera yang miskin lebih ramai daripada mereka. Ini bukan bermakna kaum bukan bumiputera tidak perlu dibantu. Terdapat pelbagai bantuan telah disalurkan melalui kerajaan, MCA, MIC dan pelbagai NGO.

Mungkin terdapat kelemahan dalam pelaksanaan bantuan tetapi ini bukan bermakna ia memberi ruang untuk pihak tertentu untuk mempertikaikan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan kedudukan orang Melayu yang telah dipersetujui sejak dahulu.

Saya berharap rakan-rakan kita bukan Melayu tidaklah bersikap habis madu sepah dibuang.

Thursday, July 24, 2008

Perpaduan Melayu Bukan Ancaman

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,

1. Terima kasih kerana memberi respon yang pelbagai kepada catatan "Impian Saya".Ini memberi saya ruang untuk melihat pendapat pelbagai golongan.

2. Saya tidak fikir orang bukan Melayu atau bukan Islam perlu merasa bimbang atau gundah gulana apabila ada usaha orang Melayu untuk berdialog mencari arah tuju perpaduan baru bagi menjaga kepentingan hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan dan persetujuan kemerdekaan.

3. Belum pernah ada dalam sejarah, perpaduan atau kesatuan Melayu membawa kepada penindasan ke atas kaum bukan Melayu. Hakikatnya orang Melayu terkenal dengan sikap bertolak ansur, lebih banyak memberi daripada mengambil. Seingat saya tiada satu pun tanah atau harta orang bukan Melayu dirampas apabila negara ini bebas dari pemerintahan penjajah seperti yang berlaku di beberapa negara dunia ketiga lain.

4. Namun orang bukan Melayu harus berasa bimbang jika orang Melayu mulai merasai bahawa hak dan kepentingan agama Islam dan bangsanya tercabar. Ini terjadi pada 1969 yang mengakibat satu tragedi hitam kepada sejarah perpaduan negara.

5. Tragedi ini berlaku kerana ketika hak agama Islam dan orang Melayu terancam tiada usaha pemimpin Melayu ketika itu untuk menenangkan keadaan orang Melayu. Tiada usaha mewujudkan suasana yang meyakinkan orang Melayu bahawa tiada ancaman terhadap mereka walaupun ada usaha mencabar isu-isu orang Melayu dan agama Islam.

6. Justeru orang bukan Melayu dan bukan Islam patut melihat pertemuan dan perbincangan antara orang Melayu ini dari sudut yang positif. Jika ada persefahaman di kalangan pemimpin Melayu untuk terus menjaga kepentingan agama dan bangsa, pasti ini lebih mententeramkan arus kerisauan di bawah. Ini sekaligus dapat menstabilkan keadaan politik kita.

7. Ada juga andaian bahawa saya dan pemimpin Pas yang berbincang untuk menubuhkan kerajaan campuran sebagai tidak menghormati kehendak rakyat. Ada pula yang mendakwa bahawa perbincangan tersebut bertujuan menyelamatkan UMNO.

8. Saya fikir ini adalah andaian yang tidak tepat. Keputusan pilihan raya umum ke 12 menunjukkan BN merupakan parti yang mendapat kerusi terbanyak sebanyak 20 kerusi, diikuti oleh PKR 15, DAP 13 dan Pas 8. Malah jika sebagai parti secara sendiri pun UMNO masih merupakan parti yang paling banyak menang kerusi di DUN Selangor 18 kerusi.

9. Perlu diingat Pas, PKR dan DAP bertanding secara parti masing-masing bukannya atas tiket Pakatan Rakyat. Malahan di kampung-kampung Pas tidak pernah mengakui kerjasama mereka dengan DAP. Justeru, dalam keadaan tiada parti yang mendapat majoriti, mana-mana parti berhak mengadakan rundingan untuk menubuhkan kerajaan campuran. Ini adalah keadaan biasa di mana-mana negara yang mengamalkan amalan demokrasi berbentuk banyak parti.

10. Kebimbangan bahawa kerajaan campuran BN-Pas satu cubaan menidakkan kerajaan berbilang kaum adalah tidak tepat. Ini kerana BN masih mempunyai MCA yang tentu akan diberi jawatan EXCO.

11. Saya tidak akan menarik balik kenyataan bahawa DAP dan Hindraf mewakili pandangan ekstremis kaum mereka. Apakah bagi parti seperti DAP yang sejak penubuhannya mempertikaikan hak-hak keistimewaan orang Melayu, memperjuangkan kedudukan sama rata agama Islam dengan agama-agama lain ia bukan mewakili ekstremis Cina? Apakah bagi parti yang bercakap soal Malaysian Malaysia apabila mahu mencabar kedudukan orang Melayu tetapi menolak konsep Sekolah Wawasan bukan eksteremis kaum?

12. Bagi Hindraf pula, sungguh pun yang bersimpati dengan mereka bukanlah semuanya ekstremis tetapi tuntutan-tuntutan mereka (sila baca di sini) adalah tuntutan ekstremis perkauman.

Janganlah takut kepada penyatuan mana-mana bangsa sekalipun kerana penyatuan sesuatu bangsa belum tentu membawa mudarat kepada bangsa lain. Jika dilihat sejarah politik negara pun, penyatuan orang Melayu (atau kurangnya persengketaan politik Melayu) akan diikuti oleh kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara.

Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana perbincangan agenda penyatuan Melayu masih dalam ruang lingkup menjaga kedudukan agama Islam dan orang melayu dalam Perlembagaan Negara.

Janganlah sebahagian kita takut dengan bayang-bayangnya sendiri.

Sunday, July 20, 2008

Impian Saya

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat blogers sekalian,

Mohon maaf kerana lama blog ini tidak dikemaskini. Ini disebabkan saya banyak mendapat jemputan untuk penerangan isu-isu semasa bagi mengukuhkan kembali kedudukan UMNO. Insyaallah, saya akan cuba kemaskini blog ini sekerap mungkin.

Saya tertarik dengan usaha-usaha mengadakan muzakarah UMNO-Pas kali ini.

Mungkin ini akan merealisasikan Impian saya ialah untuk melihat orang Melayu bersatu menjadkan kuasa Melayu itu kuasa yang dapat menentukan masa depan agama, bangsa dan negara.

Kita sedar 60% rakyat negara kita ialah orang Melayu dan bumiputera tetapi ia tidak memberi sebarang makna dalam negara demokrasi seperti negara kita kerana kita telah dipecahkan kepada tiga parti. Orang Melayu berada di dalam UMNO, Pas dan PKR.

Perpecahan Melayu ini bukan sahaja dari segi ideologi politik tetapi telah membarah dalam hati nurani kita. Kita lihat orang Melayu berpecah sehingga kita lupa bahawa dalam Islam kita bersaudara dan menjaga tali persaudaraan merupakan satu kewajipan dalam Islam. Semua ini berlaku kerana politik kebencian yang diamalkan oleh kita, politik fitnah yang amat memalukan pemimpin dan keluarganya. Politik dendam yang mengakari pemikiran kita.

Semua ini telah menyukarkan kita untuk kembali bersatu.

Walaupun begitu saya optimis kita masih ada ruang untuk bersatu walaupun akan mengambil masa yang panjang. Pertamanya kita perlu meleraikan orang Melayu daripada politik kebencian, fitnah dan dendam. Ia perlu bermula di kalangan generasi baru yang melihat majoriti Melayu akan hanya memberi makna jika kita bersatu untuk menentukan jatuh bangunnya agama, bangsa kita.

Saya gembira bila mendengar telah ada perbincangan di antara kepimpinan Melayu dalam UMNO dan Pas. Kegembiraan ini kerana inisiatif ini telah saya mulakan di Selangor sebaik sahaja berakhir Pilihan raya Umum ke 12 yang lalu. 

Saya telah mencadangkan agar diadakan satu kerjasama antara Pas dan Barisan Nasional di Selangor.

Saya juga telah membawa pemimpin tertinggi Pas bermuzakarah dengan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Saya juga mencadangkan agar Pas diberi jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar serta 4 EXCO. Malahan saya menolak sebarang jawatan bagi mengelakkan dianggap menguasai EXCO yang bakal dibentuk.

Saya lakukan ini kerana percaya bahawa gabungan Pas dan BN akan memastikan kepentingan agama Islam dan orang Melayu tidak akan diperkotak-katikkan. Bagi saya yang penting ialah kepentingan agama Islam dan orang melayu terjaga bukan siapa yang menjadi pemimpin utama.

Malangnya, pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pas, melalui Setiausaha Agungnya, Kamaruddin Jaafar, telah menggagalkan usaha tersebut. Saya yakin selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan penting dalam Pakatan rakyat, muzakarah tersebut tidak akan memberi sebarang kesan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim memang tidak mahu Melayu bersatu kerana itulah beliau tubuhkan Pakatan Rakyat yang berjuang atas prinsip kesamarataan, menyamakan taraf agama Islam dengan agama lain, menyamaratakan kedudukan orang Melayu dengan bangsa lain, walaupun memiliki status bumiputera. Sebab itulah Anwar dapat menarik sokongan yang besar daripada golongan ekstremis Cina melalui DAP dan ekstremis India melalui Hindraf.

Cadangan untuk mengadakan muzakarah mengenai agenda Islam dan orang Melayu nampak lebih baik sekarang. Saya percaya Pas sekarang sudah mulai sedar bahawa mereka kian tersisih dalam membicarakan isu Islam dan orang Melayu di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat. Ini ditambah lagi dengan masalah peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang ini.

Saya tidak mengimpikan Pas dan UMNO bersatu dalam bentuk fizikal parti atau ideologi politik. Tapi saya mengimpikan kesatuan orang Melayu dalam erti mempertahankan kedudukan dan agenda Islam dan Melayu di negara ini. 

Saya impikan biar parti mana pun yang menang pilihan raya, kedudukan agama Islam dan Orang Melayu kekal dan terus dipertahankan. Bukan seperti sekarang ini sudah terdapat "penggadaian" terhadap status quo Islam dan Melayu dalam usaha membeli pengaruh dan sokongan bukan Melayu.

Impian saya ialah suatu hari nanti kita semua dapat melihat YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datin Seri Wan Azizah dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang duduk semeja.

Impian saya juga untuk melihat Melayu kembali menjadi tunjang politik negara yang akan menstabilkan politik tanah air, menjadi kenyataan. Saya berdoa semoga semuanya ini akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Biduk berlalu, kiambang bertaut. Bagai aur dan tebing kita bersama. Yang ringan sama kita jinjing, yang berat sama dipikul, hati nyamuk sama dicecah, hati gajah sama dilapah. 

Bangsa ini, bangsa berdaulat kembalikan kedaulatan tersebut.

Sunday, July 13, 2008

Tepuk Dada Tanya Selera

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,

Saya telah membaca komen-komen yang dihantar. Saya faham dan maklum kegelisahan sebahagian besar saudara/i yang sayangkan UMNO.

Adalah penting untuk difahami bahawa peralihan kuasa ini merupakan satu persetujuan antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Datuk Seri Najib Tun Razak. Memang benar ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT) telah berbincang panjang lebar. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Namun akhir keputusan telah diambil untuk menyokong pelan peralihan kuasa ini.

Memang benar saya antara yang menggesa diadakan pelan peralihan kuasa diadakan segera. Namun saya juga akur dengan keputusan MT UMNO. Lebih lagi saya akur dengan keputusan Datuk Seri Najib sendiri yang menerima tarikh tersebut.

Adalah tidak manis saya terlebih sudu dari kuah dalam isu peralihan kuasa ini memandangkan tuan empunya badan telah bersetuju.

Berhubung dengan komen mengenai tindakan MT yang seolah-olah membelakangkan keputusan ahli. ia adalah tidak benar. Persetujuan mengenai pelan peralihan kuasa ini hanyalah sebagai panduan sahaja.

Terserah kepada bahagian sama ada mahu menerima pelan peralihan kuasa ini atau mencalonkan sesiapa sahaja untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden mahu pun mana-mana jawatan di dalam UMNO.

Ahli UMNO tentu mempunyai pandangan tersendiri terhadap pemilihan. Bagi saya, sejak dahulu saya berpendirian bahawa Bahagian bebas mencalonkan sesiapa sahaja. Tiada mana-mana individu waima MT sekalipun boleh menghalang sebarang pencalonan.

Tepuk dada tanyalah selera. Cuma diharapkan jangan sampai selera kita merosakkan agama, bangsa dan negara.

Bagi saya memenuhi keperluan rakyat lebih penting dari berbahas dan berkelahi soal berapa lama paling baik untuk melakukan peralihan kuasa ini.

Kita harus memikirkan apakah kesan yang boleh dinikmati oleh rakyat dalam menghadapi himpitan hidup hasil dari inflasi yang meningkat akibat kaedah menangani harga minyak yang bagi saya tidak begitu tepat.

Hari ini, sepatutnya pemimpin mula berbicara bagaimana untuk reform polisi ekonomi yang membolehkan ekonomi diagihkan kepada rakyat dengan lebih luas lagi.

Friday, July 11, 2008

Biduk Berlalu Kiambang Bertaut

1. Pasca pilihan raya UMUM 2008 menyaksikan kedudukan politik negara sentiasa sahaja dalam keadaan tidak tenteram dan kadang-kadang hilang rasionalitinya. Ugutan lompat parti, undi tidak percaya dan masalah keyakinan rakyat terhadap kepimpinan parti dan negara telah banyak menjejaskan pentadbiran negara dan parti.

2. Justeru pengumuman peralihan kuasa semalam, yang akan dilakukan pada Jun 2010, bukan sahaja memberi sinar baru kepada UMNO malah seluruh rakyat Malaysia.

3. Jika saudara-saudari masih ingat, beberapa bulan lalu saya menggesa diadakan satu exit plan yang jelas bagi membolehkan UMNO, BN dan negara bergerak ke hadapan. Sungguhpun ketika itu ramai yang marahkan kenyataan saya tersebut, namun hari ini ternyata ia diterima baik oleh pucuk pimpinan.

4. Memang benar ada suara yang masih tidak berpuas hati kerana mahukan perubahan kuasa secara segera. Saya juga pernah menyeru diadakan peralihan kuasa segera bagi mengelakkan berlaku isu lompat-melompat parti dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan.

5. Namun senario sejak beberapa minggu lalu ternyata telah berubah. Ancaman kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi sekencang dahulu. Pakatan Rakyat sendiri berhadapan dengan pelbagai masalah dalaman, pentadbiran dan isu antara agama yang sedang menjadi api dalam sekam sekarang ini.

6. Atas sebab ini saya fikir, peralihan kuasa yang diumumkan ini bukan sahaja elok dan molek malah akan dilihat sebagai satu kebijaksanaan politik UMNO jika ia disusuli oleh beberapa tindakan dalam parti dan kerajaan yang memperlihatkan kejujuran kedua-dua pemimpin.

7. UMNO sentiasa mengamalkan kebijaksanaan politik dalam memastikan kekuatan parti terus utuh biarpun dilambung ombak dan taufan. Proses transisi kepimpinan sentiasa dilakukan secara berhemah. Biarpun kadang-kala ada kelihatan ada gerakan aggresif namun peralihan yang berlaku tidak lebih daripada kocakan air di dalam cawan atau revolusi senyap tanpa "pertumpahan darah".

8. Inilah hakikat yang berlaku dalam peralihan kuasa dari Tunku Abdul Rahman Putra kepada Tun Razak, dari Tun Hussien Onn kepada Tun Dr. Mahathir dan dari Dr. Mahathir kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Semuanya dilakukan dengan penuh ketertiban Melayu di mata umum sungguhpun dalam sesetengah hal terdapat kocakan di belakang tabir.

9. Demikian juga proses transisi yang akan berlaku dalam masa dua tahun ini. Memang benar ada ahli UMNO yang pesimis dan skeptikal sama ada ia akan terlaksana menjelang 2010. Sudah tentulah kita tidak boleh menilai kejujuran manusia bersandarkan kata-kata sahaja, namun sebagai muslim saya sentiasa bersangka baik.

10. Berdasarkan perbincangan di dalam Majlis Tertinggi dan perjumpaan dengan ketua-ketua empat peringkat, saya percaya kedua-dua pemimpin kita ini ikhlas untuk melaksanakan peralihan kuasa ini. Malahan kesanggupan Datuk Seri Abdullah menerima pandangan Majlis Tertinggi dalam retreat yang lalu, yang meminta diumumkan pelan peralihan kuasa sebelum Mesyuarat UMNO, mencerminkan keikhlasan beliau untuk memulihkan semula parti dan negara.

11. Namun kejujuran dalam melaksanakan proses peralihan kuasa ini akan diukur berdasarkan perubahan-perubahan yang akan berlaku sehingga Perhimpunan Agung UMNO ini dan selepasnya. Saya percaya selepas ini akan ada lagi perubahan-perubahan dalam kerajaan seperti mana yang berlaku ketika proses transisi Tun Dr. Mahathir kepada Datuk Seri Abdullah.

12. Atas sebab inilah saya menyeru agar ahli UMNO sama ada ahli biasa mahu pun pemimpin di Cawangan dan Bahagian bersabar dan menerima peralihan kuasa ini rela hati. Berilah peluang kepada Datuk Seri Najib menyesuaikan diri dan menampilkan diri di peringkat antarabangsa. 

13. Sabarlah, tidak akan lari gunung dikejar. Apa guna menang sorak kampung tergadai? Ingatlah ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Jadikanlah segala pertelingkahan sebelum inisebagai carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua.

14. Saya bersyukur UMNO sudah memulakan satu lagi proses perubahan dan kematangan semoga ia akan sekali lagi menjadi sebuah parti yang disayangi oleh orang Melayu dan juga dihormati oleh bukan Melayu dalam membangunkan agama, bangsa dan negara. Setiap kali biduk berlalu kiambang pasti bertaut kembali.

15. Rakyat dahagakan reform dalam parti dan kerajaan yang akan memberi harapan baru dalam kita menghadapi krisis makanan dan krisis tenaga dunia. Reform dalam sistem agihan ekonomi amat kritikal pada saat ini bagi memberikan kepuasan kepada kaum bumiputra dan bukan bumiputra. Jika ini gagal disusun atur dengan baik ia akan memberi kesan yang buruk kepada peralihan kuasa ini. Begitu juga dengan reform dalam hubungan antara agama di Malaysia tanpa mengorbankan agama Islam sebagai agama rasmi.

16. Ini merupakan cabaran kepada Datuk Seri Abdullah dan Datuk Seri Najib untuk bekerjasama dalam proses peralihan kuasa ini. Biarlah yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing; hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama dilapah.

Saturday, July 5, 2008

Anwar Ibrahim, Lain Bengkak Lain Bernanah?

Dalam tulisan saya sebelum ini (lihat Anwar Ibrahim dan Mimpinya), saya menyentuh mengenai tingkah laku Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dalam mencatur dan memporak-perandakan senario politik negara.

Seperti yang dijangka beliau menjadikan YAB. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sasarannnya.

Cuma kali ini, serangan Anwar terhadap DS Najib sudah menjadi strategi serampang dua mata. Jika sebelum ini beliau hanya bertujuan untuk menjatuhkan kredebiliti semua pemimpin UMNO, kali ini ia juga bertujuan mengalih perhatian umum dari isu skandal seks beliau.

Anwar sentiasa mencari jalan untuk mengalih isu-isu terhadap dirinya kepada orang lain. Apabila muncul isu tuduhan liwat dan salah guna kuasa terhadap beliau pada 1998, Anwar membuat tuduhan-tuduhan rasuah, kronisme dan "kaki perempuan" kepada pemimpin politik lain dalam UMNO.

Bagi Anwar, jika beliau buruk pun biarlah ia menjadi yang terbaik di kalangan yang terburuk.

Kali ini ketika Anwar sibuk memukul gendang lompat parti dan harga minyak, tiba-tiba sahaja orang lain pula memukul gendang ke atas beliau. Pembantu peribadi beliau membuat laporan Polis bahawa beliau diliwat beberapa kali oleh Anwar.

Ini merupakan satu laporan yang serius dan berat tuduhannya.

Yang aneh dan melucukan, mengapa Anwar perlu lari ke kedutaan Turki bagi menyembunyikan diri?

Bukankah ini gimik politik kononnya diri beliau tidak lagi selamat di Malaysia? Jika benar beliau percaya dirinya tidak selamat, mengapa sekarang beliau tidak takut pula? Apakah jaminan Datuk Seri Abdullah sahaja menjadikan beliau terus selamat?

Jika benar ada orang telah diupah untuk membunuh Anwar tentulah beliau tidak akan selamat hanya dengan satu jaminan Perdana Menteri sahaja.

Bagi saya, Anwar bersembunyi di Kedutaan Turki hanya bagi mengelak sebarang pertanyaan umum dan cuba merangka strategi baru bagi menghadapi tuduhan liwat kali ini.

Apabila beliau keluar dari persembunyian, maka serangan bertali arus dilakukan ke atas mangsa dan beberapa pihak lain bagi menenggelamkan isu sebenarnya.

Bagi mereka yang begitu taksub kepada DSAI, tentulah tuduhan dan dakwaan kali kedua ini juga tidak diterima. Sikap sedemikianlah yang merosakkan pemimpin dan masyarakat. Setia membuta tuli sehinggakan pemimpin terus melakukan kesilapan yang sama berkali-kali kerana percaya beliau akan terus lepas dari perbuatannya.

Saya cuma berharap penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang memperjuangkan ketelusan dan konsep ketuanan rakyat agar tidak menghina dan mencerca mangsa yang membuat laporan.

Bagaimanakah mahu memperjuangkan ketuanan rakyat jika mangsa tidak boleh mendapat pembelaan hanya kerana ia membabitkan pemimpin besar mereka? Apakah beliau sebagai mangsa (jika benar berlaku kejadian ini) tidak berhak mendapat pembelaan? Jangan nanti rakyat melihat Pakatan Rakyat telah berubah arus perjuangan dari ketuanan rakyat kepada Ketuanan Anwar Ibrahim.

Jika kali pertama dulu mungkin ada yang ragu-ragu sungguhpun fakta dan hujah sudah di depan mata. Namun kali ini lebih sukar untuk Anwar menepiskannya. Tuduhan kali ini datang daripada pembantu peribadi beliau sendiri.

Jika dulu dikatakan agenda politik untuk menjatuhkan beliau, kali ini agenda apa pula?

Anwar bukanlah seseorang yang memegang jawatan besar untuk dijatuhkan buat kali kedua. Malahan lebih mudah mematikan pengaruh politik Anwar melalui perubahan dasar kerajaan berbanding mewujudkan konspirasi seperti ini.

Bagi mengurangkan tumpuan kepada isu skandal seks dan jenayah beliau ini, Anwar telah "menyerang" Datuk Seri Najib dengan membuat sidang akhbar mengenai kenyataan bersumpah penyiasat persendirian yang mengaitkan Najib dengan mangsa pembunuhan bernama Altantuya.

Penyiasat tersebut akhirnya menarik balik akuan bersumpah itu; beliau mendakwa akuan bersumpah tersebut dibuat dalam keadaan terpaksa dan ditekan. Malangnya kerosakan telah berlaku.

Saya telah melihat akuan bersumpah tersebut, kesemuanya lebih merupakan dengar cakap atau hearsay penyiasat tersebut.

Ini jauh berbeza dengan dakwaan Saiful yang beliau sendiri menjadi mangsa dalam kes liwat.

Akuan bersumpah bersandarkan gosip, dengar cakap orang lain dan fakta-fakta pihak ketiga dianggap benar oleh penyokong Anwar. Malangnya mereka menolak sekeras-kerasnya aduan mangsa liwat Anwar.

Bukankah ini bersikap setia membuta tuli, taksub tidak bertempat?

Saya tidak pasti apakah berlaku kejadian liwat seperti yang didakwa oleh Saiful. Namun saya fikir pengadu berhak mendapat keadilan dan perlindungan sebagai seorang mangsa yang tidak berdaya.

Adalah tidak wajar jika dalam kebanyakan kes, kita mahu polis menyiasat sedalam-dalamnya sebarang kes jenayah seperti rogol dan liwat demi membela mangsa, tetapi kali ini kita memilih untuk berada di sebelah pemangsa terlebih dahulu.

Jika sepuluh hakim kes Anwar terdahulu percaya Anwar terbabit dalam aktiviti tidak bermoral ini, maka sukar saya untuk menolak mentah-mentah dakwaan Saiful.

Bagi mengalih tumpuan juga Anwar telah membuat laporan ke atas Ketua Polis Negara dan Peguam Negara. Beliau mendakwa kedua-dua mereka ini telah memalsukan laporan awal mengenai kejadian mata lebamnya sepuluh tahun lalu.

Apakah tujuan Anwar membuat laporan ini?

Anwar boleh membuat laporan tersebut bila-bila masa sahaja sejak 1999 sehingga awal 2008. Sama ada ketika beliau di dalam penjara mahu pun ketika telah keluar penjara. Sama ada ketika negara ditadbir oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu pun ketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebaliknya Anwar hanya membuat laporan ke atas kedua-dua tokoh ini sebaik sahaja ada dakwaan liwat ke atas beliau.

Melihat senario ini, saya melihat bahawa laporan Saiful ini mungkin benar. Tindakan-tindakan Anwar membuat laporan ke atas peristiwa sepuluh tahun lalu meletakan kedudukan beliau seperti orang yang sedang lemas. Apa sahaja boleh dicapai akan dicapainya bagi membantu diri keluar dari arus yang deras.

Bagi saya, Anwar perlu mempertahankan dirinya melalui proses undang-undang. Dan sebagai ahli politik, beliau juga berhak mempertahankan dirinya kepada umum atau public opinion.

Namun mempertahankan diri dalam kes ini bukan dengan menyerang pemimpin parti politik lawan, membawa fakta-fakta palsu dalam kes mahkamah lain dan menganggu siasatan polis terhadap dakwaan ke atasnya.

Beliau perlu membuktikan kepada umum bahawa beliau tidak melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Pembersihan imej dan nama baik beliau perlu dilakukan berasaskan diri beliau dan Saiful, bukannya menimbulkan isu-isu lain.

Bersumpah bukanlah jalan penyelesaian mutlak. Ini kerana orang yang melanggar larangan-larangan Allah tentulah tidak takut untuk bersumpah apa sahaja.

Semakin banyak Anwar bersikap "lain yang bengkak, lain bernanah", maka makin jelas Anwar berada dalam keadaan terdesak dan tersepit. Mampukah beliau melepaskan jerat ciptaannya sendiri kali ini?

Bagi para penyokong Anwar, mereka perlu melihat jalan-jalan alternatif lain selepas ini. Setia kita biar bertempat, jangan setia membuta tuli.