Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Monday, September 29, 2008

Selamat Hari Raya

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,

1. Sekali lagi saya mohon maaf atas kelewatan mengemaskini mahu pun menjawab persoalan - persoalan saudara.

2. Saya akan pulang ke tanah air sebentar lagi. Bagaimanapun saya dan isteri serta ahli keluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh sahabat yang selalu mengunjungi blog ini. Semoga amalan dan ibadat kita di bulan puasa ini diterima Allah s.w.t.

3. Saya juga memohon maaf zahir dan batin jika ada terkasar bahasa, tersalah tulis mahu pun mengguris hati sesiapa yang membaca blog ini. Kita manusia biasa tidak dapat lari dari salah dan silap.

4. Pada sahabat sekalian, saya juga telah memaafkan jika ada salah dan silap saudara/i ke atas saya. Saya juga telah pun memaafkan dan melupakan sebarang tuduhan yang tidak tepat, fitnah serta penghinaan-penghinaan yang dibuat oleh segelintir pengunjung ke atas saya. Bagi saya semua ini berlaku, sama ada kesalahan saya atau saudara-saudari adalah kerana kita manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan.

5. Di kesempatan ini juga saya ingin menjemput saudara/i sekalian ke Rumah Terbuka saya di Pekan Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor pada 11 Oktober 2008 dari jam 10 pagi - 4.oo petang. Jika ada kesempatan datang, perkenalkanlah diri saudara/i kepada saya.

Salam Aidilfitri dari Tanah Suci.

Thursday, September 18, 2008

Mimpi Yang Tidak Menjadi Kenyataan

1. Jika beberapa minggu lalu saya dihentam kerana merendah-rendahkan cita-cita dan hasrat Datuk Seri Anwar membentuk kerajaan pada 16 september, dua hari lalu nyata bahawa kata-kata Anwar tidak lebih dari impian dan ilusi ciptaannya sendiri.

2. Jika sebelum ini Anwar sering dianggap sebagai pemimpin yang serba betul, 16 September menjadi titik sejarah bahawa segala retorik politik beliau tersingkap.

3. Saya merasa kasihan kerana Datuk Seri Anwar menambahkan bilangan ahli politik yang menjadi bahan lawak jenaka orang ramai. Saya berasa kasihan kepada beliau kerana sejak 16 September pelbagai jenaka seperti "Datuk Seri Anwar mengangkat sumpah dihadapan potret Yang Di Pertuan Agong," " Anwar telah mendapat 30 kerusi daripada Courts Mammoth dan ikea" dan pelbagai lagi jenaka sms yang termasuk jenaka lucah yang tidak sesuai disiarkan di sini.

4. Saya tidaklah menyalahkan mereka yang membuat lawak ke atas Datuk Seri Anwar sepenuhnya. Ini adalah respon balas kepada riuh rendah pertukaran kerajaan 16 September yang diuar-uarkan Anwar sejak sebulan lalu. Anwar melontarkan pelbagai janji termasuk pengambil alihan kepimpinan negara sehingga riuh rendah politik negara.

5. Politik negara kita sejak pasca pilihan raya umum lalu sudah menjadi semacam boria Pulau Pinang. Riuh rendah dengan madah, janji, sindiran dan harapan palsu. Satu tirai persembahan boria ini telah ditutup sebaik tenggelamnya matahari 16 September lalu.

6. Inilah peringatan kepada diri saya sendiri dan pemimpin politik lain agar tidak mudah berjanji jika sukar atau mustahil dilaksanakan.

7. Saya berharap selepas ini Datuk Seri Anwar berhenti menyanyikan lagu-lagu boria seperti ini kerana ia hanya menyukarkan lagi keadaan ekonomi negara dan mewujudkan ketidakstabilan politik dalam negara. Ekonomi negara sukar dimajukan jika keadaan politik negara tidak stabil akibat dari nyanyian-nyanyian boria menukar kerajaan yang sedia ada.

8. Sungguhpun sebagai pemimpin politik beliau boleh menaruh harapan menjadi Perdana Menteri, Namun janganlah terlalu taksub untuk menjadi Perdana Menteri sehingga merosakkan negara dan rakyat.

9. Cukuplah sekali memberi harapan palsu kepada penyokong sendiri.

----------------------------------------------------------------------
Nota Kaki: Saya akan mengerjakan ibadah umrah mulai 19 - 28 Ramadhan ini. Mohon maaf kiranya blog ini tidak dikemaskini dengan cepat dan ada komen-komen yang lama terperap.

Monday, September 8, 2008

Krisis Kepimpinan: Pisau dan Mentimun Di Tangan Kita

Negara kita merupakan sebuah negara yang masih muda. 51 tahun merdeka adalah suatu usia yang amat muda bagi sebuah negara. Lebih-lebih lagi untuk sebuah tamadun.

2. Sungguhpun begitu negara ini telah melalui beberapa proses pembetulan selepas berlaku krisis kepimpinan di dalam parti pemerintah yang menyebabkan kerajaan mengambil langkah drastik membetulkan keadaan melalui reformasi dasar-dasar yang pasti mengambil keperluan tuntutan semasa dan memastikan tiada kaum yang tertinggal.

3. Krisis kepimpinan yang paling penting ialah ketika mana negara menghadapi pertelingkahan kaum pada 13 Mei 1969 antara Melayu dan cina.

4. Krisis ini telah membawa korban kerana lewatnya proses pembetulan dalam kerajaan dan lewatnya tindakan reform yang sepatutnya diambil oleh kepimpinan ketika itu, ditambah lagi dengan umur kemerdekaan yang terlalu muda dan kurangnya pengalaman rakyat, akhirnya meletakkan undang-undang di tangan mereka sehinggakan berlaku tumpah darah dan berakhir dengan pengisytiharan darurat dan proses peralihan kuasa berlaku.

5. Sekarang ini juga saya merasakan negara sedang mengalami krisis kepimpinan dan mirip dengan apa yang berlaku pada 1969. Cuma rakyat lebih matang dan tidak mengambil tindakan melampaui batasan undang-undang. Sebab itulah tidak berlaku pertelagahan antara kaum sehingga hari ini.

6. Masalah UMNO, Barisan Nasional dan negara hari ini ialah kita mempunyai pemimpin yang lemah untuk memimpin. Kelemahan kepimpinan ini menyebabkan berlaku krisis keyakinan yang luar biasa sehingga mencetuskan keputusan yang luar dugaan dalam pilihan raya lalu. Kekalahan di Permatang Pauh dengan majoriti yang lebih tinggi mengesahkan lagi masalah krisis kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan UMNO dan BN.

7. Negara sudah tiada driven leader. UMNO tidak lagi menyediakan pemimpin yang boleh memimpin (lead)dan memacu (drive) pembangunan negara ini. Ini menyebabkan UMNO dan BN ditolak dalam pilihan raya lalu. Situasi yang sama berlaku pada 1969 apabila Almarhum Tunku Abdul Rahman dilihat semakin lemah dan tiada kekuatan daya kempimpinan bagi memacu kemajuan negara dan menguruskan hubungan antara kaum.

8. Semua pemimpin ada kelebihan dan kelemahan. Saya sendiri bukan manusia atau pemimpin yang sempurna. Demikian juga Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan lain-lain. Tiada yang sempurna walaupun imej yang demikian cuba diberikan oleh penyokong PKR kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

9. Tun Dr. Mahathir juga bukan pemimpin yang sempurna. Namun dalam kepimpinan beliau tertonjol kekuatan kepimpinan, dinamika visi dan keupayaan menguruskan isu antara kaum. Ini membolehkan UMNO dan BN mendapat kemenangan yang selesa dalam setiap kali pilihan raya.

10. Masalah hari ini ialah pemimpin sedia ada sudah dilihat terlalu lemah untuk menguruskan negara dan parti. Rakyat sebahagian besarnya sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan negara. Sebahagian besar yang menyokong BN dalam pilihan raya lalu hanya berasaskan kesetiaan mereka kepada parti. Malangnya kesetiaan ini juga kian menipis di bawah sana.

11. Ironinya, krisis ini juga melibatkan individu dalam parti UMNO yang ada kaitannya dengan krisis 13 Mei lalu. Keadaan penerimaan kepada kepimpinan Pak Lah hampir sama dengan sokongan yang diterima oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969.

12. Watak kedua ialah Datuk Seri Najib yang merupakan anak sulung allahyarham Tun Abdul Razak mempunyai ciri-ciri kesamaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi dan kemampuan memimpin yang lebih baik serta mendapat lebih sokongan di dalam parti dan di kalangan rakyat banyak.

13. Keadaan ini bertambah resah apabila peralihan kuasa yang mengambil masa terlalu lama iaitu sehingga Jun 2010. Malah ramai rakyat semakin kurang yakin kepada kepimpinan yang ada.

14. Watak ketiga ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat rakus untuk berkuasa sehinggakan sanggup menghalalkan cara membentuk kerajaan melalui pintu belakang walaupun beliau sendiri tahu perkara itu cukup tidak bermoral. Sungguhpun saya masih kurang yakin beliau dapat membentuk kerajaan pada 16 September ini, tetapi rancangan itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa beliau adalah seorang insan yang rakus kuasa dan sanggup menggadaikan prinsip perjuangan yang telah diperjuangkannya sebelum ini.

15. Watak keempat ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, orang yang terlibat secara langsung dalam peralihan kuasa 13 Mei 1969. Ketika itu tidak berkuasa dan keadaan yang sama juga dialami oleh Tun Dr. Mahathir hari ini. Saya amat berharap agar Tun Dr. Mahathir menggunakan pengalaman beliau selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, terlibat sendiri dengan peristiwa 13 Mei dan melibatkan diri sama pada krisis kepimpinan yang ada pada hari ini memainkan peranan yang lebih jelas untuk menyelamatkan parti dan juga negara. Saya berharap Tun Dr. Mahathir akan kembali kepada UMNO bagi membantu pemulihan parti.

16. Saya bimbang jika kita lewat melakukan sesuatu, peristiwa rakyat berada di jalan akan berulang dan ia akan mengeruhkan lagi keadaan.

17. Saya berharap pucuk pimpinan sedar dan mengambil langkah yang lebih berani dalam memastikan parti akan terus kukuh, negara akan dapat diselamatkan dari ketidakstabilan politik.

18. Tidak dapat dinafikan, ketika mana negara dan parti ditinggalkan oleh Dr. mahathir, ia berada dalam keadaan baik. Sebab itu pilihan raya ke 11, BN menang besar, ditambah pula dengan kepimpinan baru yang dilihat mesra rakyat. Tetapi nampaknya parti semakin lemah dan pilihan raya ke 12 menjadi satu ingatan kepada UMNO dan BN untuk melakukan sesuatu langkah berani. Keadaan bertambah kusut selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh dan akan bertambah kusut lagi dengan pengosongan Parlimen Pensiangan akibat keputusan Mahkamah pagi tadi.

19. Suka atau tidak, saya berpandangan peralihan kuasa perlu disegerakan. Parti perlu diutamakan, keresahan rakyat perlu diredakan, Reform perlu dijalankan. Krisis yang bermula dalam UMNO kini telah merebak dalam BN, dan saya bimbang ledakan ini tidak dapat ditampung dengan kekuatan yang ada sama ada dalam UMNO mahupun dalam BN.

20. UMNO memerlukan pemimpin baru bagi memberi nafas baru kepada parti dan juga rakyat. Bagi saya antara pemimpin dan parti, parti perlu lebih penting. Namun sanggupkah kita di bawah ini bersama melakukan perubahan?

21. Kita di persimpangan antara taat kepada pemimpin atau mengukuhkan parti. Pisau dan mentimun ditangan kita.

Tuesday, September 2, 2008

Bajet: Seriuskah Membasmi Kemiskinan?

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian

1. Beberapa hari lalu telah dibentangkan Bajet 2009. Tidak banyak yang dapat dikomen dalam bajet ini memandangkan bajet ini sama seperti bajet sebelumnya.Sungguh diuar-uarkan sebagai satu Bajet yang terbaik namun ia tidak banyak memberi kesan kepada majoriti rakyat iaitu golongan berpendapatan sederhana.

2. Tiadanya penurunan harga petrol sedangkan harga minyak dunia telah menurun sekitar USD 115 setong jelas menunjukkan tiada usaha serius kerajaan bagi mengurangkan beban hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana terutamanya di bandar.

3. Melalui pengamatan saya bajet ini juga tidak akan dapat merapatkan jurang pendapatan antara miskin dan kaya dalam negara ini.

4. Komitmen kerajaan untuk menjayakan kemiskinan tegar sifar menjelang 2010 amat baik. Namun saya tidak melihat adanya program serius yang dibentangkan bagi mengatasi masalah ini. Ini kerana kurangnya program-program khusus bagi membantu peningkatan ekonomi golongan berpendapatan rendah.

5. Masalah kemiskinan akan bertambah berikutan kejatuhan harga komoditi asas seperti kelapa sawit dan getah. Pada masa yang sama berlaku pula kenaikan kos harga baja dan racun. Ini akan menjejaskan pendapatan para petani kecil di negara ini. Ini sekaligus akan memberi kesan kepada usaha membasmi kemiskinan.

4. Subsidi RM 20 bil elektrik juga tidak memberi kesan besar kepada kumpulan sasaran. Ini memandangkan jumlah pengguna bil elektrik di bawah RM 20 terlalu sedikit. Jika sesebuah rumah itu memiliki lampu, peti sejuk, televisyen, radio dan kipas rata-rata jumlah bil yang perlu dibayar lebih daripada RM 20. Sedangkan kemudahan ini merupakan perkara asas kepada rakyat Malaysia hari ini.

5. Geran Industri kecil dan sederhana (IKS) juga tidak memadai. Ini akan menurangkan jumlah orang miskin yang dapat dibantu bagi memlukan perniagaan kecil.

6. Peruntukan untuk golongan yang memerlukan iaitu rumah, oku, ibu tunggal masih tidak mencukupi memandangkan hasrat kerajaan untuk basmi miskin tegar pada 2010 iaitu hanya tinggal satu pembentangan Bajet (2010) lagi.

7. Menurut laporan dalam Bajet, terdapat 38,400 isi rumah miskin tegar. Saya percaya perangkaan ini dibuat sebelum kenaikan harga petrol secara mendadak beberapa bulan lalu. Malah saya khuatir jika statistik ini merupakan statistik lama yang tidak mengambil kira kenaikan inflasi yang bermaharajalela sejak setahun yang lalu.

8. Penumpuan Bajet juga tidak menjelaskan berapa ramai keluarga miskin tegar akan bebas dari lingkaran tersebut pada hujung tahun hadapan. Saya kurang yakin peruntukan yang akan diberikan mampu menyelesaikan sekurang-kurangnya 50% miskin tegar yang ada hari ini.

9. Sungguhpun begitu, masalah yang paling besar yang akan dihadapi oleh kerajaan ialah masalah pelaksanaan. Kurangnya daya kepimpinan tegas akan melembabkan lagi pelaksanaan projek di seluruh negara. Saya berharap semua Menteri bertindak sebagai seorang driver yang baik, yang mampu memandu, mengendali dan membawa kementerian masing-masing ke tahap yang telah dipersetujui bersama oleh kerajaan.

10. Saya juga masih menunggu akan satu lagi bajet yang akan dibentang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas 16 september ini jika beliau mampu membentuk kerajaan secara "pintu belakang".

11. Sungguhpun saya berpendapat penungguan ini tidak lebih dari pungguk rindukan bulan, namun kalau tidak di Parlimen, tentulah beliau boleh membentangkan di sidang akhbar Pakatan Rakyat.