Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Friday, November 28, 2008

12 Peratus Milik Siapa?

Assalamualaikum dan salam sejahtera para bloggers sekalian,

1. Hari ini orang Melayu diasak oleh segelintir pemimpin politik bukan Melayu yang mahu segala dasar pro bumiputera dihapuskan. Alasan mereka dalam zaman globalisasi ini, dasar-dasar yang membantu kaum atau golongan yang lemah atau "kurang kuat" untuk bersaing sebagai sesuatu yang tidak sihat dan menjadikan ekonomi negara tidak kompetitif.

2. Bagi kumpulan ini, apa sahaja keistimewaan atau dasar pro Bumiputera haruslah dihapuskan sepenuhnya. Mereka mahu orang Melayu dan Bumiputera bersaing sendiri tanpa mengambil kira bahawa orang Melayu telah ditindas selama lebih 400 tahun oleh penjajah.

3. Malahan kumpulan ini juga mengabaikan fakta bahawa 100 tahun terakhir sebelum merdeka juga penjajah British memberi banyak ruang kepada kaum imigran untuk membentuk perniagaan mereka. Manakala kaum pribumi dicurigai sebagai pejuang kemerdekaan dan "pengacau" pentadbiran Kerajaan Inggeris.

4. Apabila merdeka sehingga tahun 1970, orang Melayu sukar bersaing dalam bidang perniagaan, pendidikan dan pekerjaan kerana ketiadaan ruang dan peluang. Peluang perniagaan ketika itu banyak dimnopoli oleh kaum Cina yang telah lama bertapak membina rangkaian perniagaan sesama mereka. Peluang pendidikan tinggi kepada orang melayu juga terhad kecuali di kalangan anak-anak kerabat diraja dan beberapa kerat orang kaya Melayu.

5. Gabungan ketiadaan peluang dalam bidang perniagaan dan pendidikan menyebabkan orang Melayu hanya menjadi peon, kerani dan guru sekolah biasa. Selepas kemunculan DEB lah orang Melayu mula diberi peluang untuk mendapat pendidikan yang lebih baik sehingga ramai layak memasuki universiti tempatan dan luar negara.

6. Hari ini kehidupan orang Melayu sudah jauh berbeza. Golongan Melayu kelas menengah sudah menjadi satu pandangan biasa di negara ini. Sungguhpun orang Melayu sudah berjaya menjadi usahawan, golongan profesional dan pentadbir tinggi, namun ia masih jauh dari matlamat DEB.

7.Harapan untuk melihat Melayu dan bumiputera menguasai 30% kekayaan negara belum tercapai lagi. Menguasai hanya 30% walaupun jumlah penduduk pribumi mencecah 70% merupakan satu permintaan yang amat konservatif dan rendah diri. Namun itulah sifat orang Melayu yang merupakan kaum majoriti peribumi negara ini.

8. Malangnya, ini pun mahu dipertikaikan. Alasan mereka setelah lebih 30 tahun DEB masih gagal memenuhi matlamat 30% tersebut, jadi elok dihapuskan semua polisi yang membantu bumiputera.

10. Hari ini dikatakan orang Melayu dan bumiputera hanya menguasai 18% kekayaan negara. Sudahlah masih belum mencapai matlamat, ada pula yang mahu ia dihapuskan terus. Sepatutnya pemimpin politik ini cuba mencari jalan untuk membantu kaum bumiputera mencapai sasaran 30% yang dirancang oleh DEB bukannya mencari jalan untuk merebut jumlah yang 18% ini pun.

11. Mungkin orang Melayu sendiri perlu bertanya semula, siapakah yang mengambil 12% lagi kek ekonomi yang sepatutnya milik bumiputera. Saya tidak berniat menyalahkan kaum lain dalam isu kegagalan memenuhi sasaran 30% penguasaan ekonomi ini. Cuma saya fikir tidak wajar pemimpin bukan Melayu mempersoalkan isu ini.

12. Orang Melayu sendiri tidak menerima bantuan yang banyak dari kerajaan. Sebaliknya mereka menerima banyak peluang dari kerajaan bagi membantu mencapai sasaran DEB ini. Peluang-peluang ini perlu kerana terdapat usaha sejak dahulu lagi menghalang secara senyap pembabitan bumiputera dalam perniagaan, pembinaan, peruncitan dan sebagainya.

13. Ini berlaku kerana terdapat hanya satu kaum yang menguasai rangkaian ekonomi sama ada dari segi pembekalan, pemborong, peruncit mahu pun kekuatan kuasa beli. Tanpa campurtangan kerajaan melalui DEB untuk membuka ruang dan peluang pasti orang Melayu akan terus ketinggalan biarpun berkebolehan.

14. Sungguhpun ada suara-suara yang memutarkan istilah-istilah ekonomi yang mengujakan mengenai sistem yang lebih terbuka dan isu persaingan yang sihat, namun saya melihat cadangan ini tidak lebih daripada kembali ke zaman dahulu, yang Kuat Menjadi raja, Yang Lemah Menjadi Mangsa.

15. Dasar membantu orang Melayu dan bumiputera harus diteruskan bagi mewujudkan keseimbangan ekonomi dan stratafikasi sosial antara kaum.

16. Namun dalam keadaan yang sama kerajaan juga harus mempunyai dasar "membantu" golongan miskin kaum lain secara lebih sistematik. Dengan ini, selain memperbaiki jurang kekayaan antara kaum, jurang pendapatan antara miskin dan kaya juga dapat dirapatkan.

17. Usaha ini perlu kerana jika terdapat kumpulan yang terpinggir dari menikmati kekayaan negara maka akan wujud juga pelbagai gejala sosial dan jenayah seperti ragut, kongsi gelap, vandalisme dan pelacuran.

18. Ini merupakan cabaran kepada Barisan Nasional pada masa akan datang. BN harus mencari satu formula baru yang bukan sahaja merapatkan jurang pendapatan antara kaum tetapi juga jurang "nikmat kehidupan" antara kelas masyarakat.

Dengan kata lain, hati gajah biarlah kita sama lapah, hati nyamuk sama dicicah. Sikit sama rasa, banyak sama kenyang.

Tuesday, November 18, 2008

Antara Politik Berasaskan Kaum dan Politik Perkauman

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,

1. Minggu lalu saya berkesempatan berbicara isu antara politik berasaskan kaum dan politik perkauman dengan Setiausaha Agung PKR Datuk Salahuddin Hashim dalam rancangan Sudut Pandangan di rangkaian Astro Awani.

2. Saya bertolak dari premis bahawa UMNO dan BN bukan parti sekumpulan manusia politik yang bersifat perkauman. Sebaliknya UMNO dan BN lebih merupakan kepada ideologi politik berasaskan kaum.

3. Sungguhpun dicanangkan oleh PKR bahawa dalam pilihan raya lalu, isu-isu kaum tidak lagi penting atau sudah ketinggalan zaman, namun hakikatnya PKR sebagai sebuah parti politik yang "menolak" agenda kaum hanya menguasai sekitar 13% daripada jumlah kerusi Parlimen. Selebihnya ia masih lagi dikuasai oleh parti yang berasaskan kepentingan kaum tertentu. Ini termasuk parti DAP dan Pas.

4. Manakala parti-parti yang dikatakan multiracial seperti Gerakan (?) dan Parti Progresif Penduduk (PPP) jelas hilang kekuatan. DAP sungguhpun kononnya memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia, namun jelas bahawa agenda perjuangan mereka banyak berlegar di kalangan kaum Cina. Demikian juga Pas sungguhpun membawa ideologi Islam namun ia masih berasaskan kepentingan orang Melayu sebagai penganut agama Islam terbesar di negara ini.

5. Adalah tidak salah kita memperjuangkan agenda kaum tertentu asalkan ia tidak menindas dan menzalimi kaum yang lain.

6. Bagi saya, politik perkauman ialah ideologi atau tindakan yang mementingkan sesuatu kaum dengan menindas, membenci malah menyakiti kaum lain. Kumpulan ini sanggup melakukan apa sahaja sama ada huru-hara atau menimbulkan pertelingkahan kaum demi memenuhi agenda politik dan kepentingan kaum sendiri.

7. Sejarah politik perkauman ini sebenarnya berakar umbi di Eropah dan Amerika Syarikat. Ideologi anti-Yahudi dan white Supremacy merupakan contoh-contoh terbaik politik perkauman.

8. Mungkin contoh politik perkauman yang paling mudah ialah kemunculan Nazi di Jerman yang membunuh jutaan orang Yahudi yang dianggap telah merampas kekayaan orang jerman.

10. Di Eropah, kumpulan anti orang asia atau anti bukan kulit putih masih wujud sehingga hari ini. Mereka ini dikenali sebagai kumpulan neo-nazi. Mereka bukan sahaja tidak bersetuju secara idea atau akademik mengenai kehadiran bangsa lain tetapi turut mengambil tindakan menghasut agar orang ramai membenci bangsa asing. Malah di sesetengah tempat serangan fizikal dan vandalisme harta benda kaum pendatang berlaku secara teratur dan sistematik.

11. Di Amerika sendiri terdapat beberapa bentuk politik perkauman. Sebaik ditamatkan penghambaan di negara tersebut terdapt undang-undang baru diperkenalkan yang jelas menunjukkan politik perkauman. Jim Crow laws pada 1876-1965 telah mengasingkan sekolah awam, pengangkutan awam, restoran dan tandas awam antara kulit putih dan kulit hitam.

12. Salah satu organisasi yang telah terkenal dalam melaksanakan politik berasaskan kebencian ini ialah kumpulan Ku Klax Klan di Amerika Syarikat. Ku Klax Klan ini bukan sahaja menyebarkan ideologi membenci kaum pendatang terutamanya kulit hitam, malah mereka melakukan pelbagai keganasan dan kekerasan bagi memberi tekanan kepada bukan kulit putih dan yahudi.

13. Selain kumpulan Ku Klax klan, orang kulit putih di Amerika juga mewujudkan pelbagai sistem berasaskan politik perkauman yang mengasingkan terus sekolah, kedai dan ruang pengangkutan awam antara mereka dengan kulit hitam dan lain-lain bangsa. Di Malaysia juga sudah ada ciri-ciri perkauman apabila ada sebuah pertubuhan kaum tertentu yang menuduh pemimpin Melayu melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas kaum India di Malaysia.

14. Politik Perkauman merupakan satu idea dan usaha untuk mengangkat bangsanya menjadi paling hebat, kuat dan berkuasa sama ada dalam bentuk kedudukan politik mahu pun kekuatan ekonomi dan sosial dengan cara menimbulkan kebencian, mengenakan tekanan emosi dan fizikal serta mewujudkan sistem-sistem yang secara sistematik merampas kekayaan dan kehidupan sosial kaum lain.


Politik berasaskan kaum

15. Politik berasas kaum lebih merupakan bentuk politik Malaysia sejak merdeka lalu. Iaitu parti-parti politik ditubuhkan berasaskan kaum tertentu bagi memperjuangkan kepentingan dan kebajikan kaum tersebut. Misalnya UMNO ditubuhkan untuk menjaga kepentingan orang Melayu dari segi agama Islam, bangsa Melayu itu sendiri dan tanah air atau negara. Kemudiannya peranan UMNO ditambah dengan usaha menjaga kepentingan bumiputera lain.

16. MCA ditubuhkan bagi menjaga kepentingan kaum Cina di negara ini. Demikian juga MIC yang menjaga kepentingan kaum India. Parti-parti ini bukan sahaja memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

17. Terdapat juga parti-parti yang membuka keahlian kepada semua bangsa tetapi asas perjuangan mereka masih tertumpu kepada kaum mana yang mendominasi parti politik tersebut. Kita lihat sungguhpun DAP terbuka keahlian kepada semua namun asas perjuangan mereka masih lagi tertumpu kepada kepentingan orang Cina. Demikian juga Pas yang terbuka kepada semua orang Islam tetapi ia masih berasaskan politik Melayu.

18. Gerakan juga sungguhpun parti multi racial tetapi masih bersikap parti orang Cina. Politik berasaskan kaum lebih merupakan politik tolak ansur antara kaum yang dipraktikkan dalam negara berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia. Politik ini berjaya mengelakkan pertumpahan darah dan konflik antara kaum yang berlaku di banyak negara-negara pelbagai kaum lain seperti di negara-negara balkan suatu ketika dahulu.

19. Politik berasaskan kaum tidak menindas mana-mana kaum atau mengambil hak mana-mana kaum mahu pun mengenakan sebarang tindakan mendiskriminasi mana-mana kaum. Misalnya hak-hak istimewa melayu, kedudukan bahasa Melayu, agama Islam dan raja-raja Melayu merupakan sebahagian tolak ansur dan power bargain kemerdekaan yang turut memberikan hak kerakyatan, hak mengundi, hak mengamalkan adat istiadat dan budaya serta pendidikan berasaskan bahasa-bahasa kaum lain. Justeru ia tidak boleh dilihat sebagai tindakan satu kaum menindas kaum lain.

20. DEB juga bukan satu polisi perkauman tetapi merupakan polisi berasaskan kaum demi kepentingan sosial. Contoh – Peruntukan 30% ekuiti bumiputera, biasisiwa dan kuota universiti untuk bumiputera tidak merampas hak kaum lain. Ini kerana jumlah yang diperuntukan lebih kecil atau setara daripada jumlah penduduk bumiputera di negara ini.

21. DEB juga tidak pernah melakukan perampasan harta bukan Melayu untuk dijadikan harta kaum Melayu. Politik berasaskan kaum ini tidak pernah menindas mana-mana kaum bukan peribumi dari mencapai kedudukan, kuasa mahu pun penguasaan ekonomi.

22. Bahkan politik berasaskan kaum seperti di Malaysia ini telah melahirkan ramai jutawan dari kaum cina dan India.

23. Ini jelas berbeza dengan politik perkauman yang melakukan tekanan, dan diskriminasi secara sistematik bagi menaikkan bangsanya dengan memusnahkan bangsa lain.

24. Tiada apa yang perlu digundah gulanakan apabila kita dilabelkan pejuang bangsa. Yang kita khuatir ialah jika perjuangan bangsa digunakan untuk memusnahkan bangsa lain. Ini tidak akan berlaku di Malaysia selagi Barisan Nasional kekal memerintah dengan konsep politik berasaskan kaum ini. Ini kerana politik menjaga kepentingan kaum tertentu ini diikuti oleh tolak ansur dan persefahaman yang akhirnya menghasilkan situasi menang-menang kepada semua kaum.

25. Memang secara idealnya politik yang tidak berasaskan kaum merupakan satu hujah akademik yang cantik molek. Namun realitinya ia tidak seindah digambarkan. Ia akhirnya akan menjadi keadaan di mana kaum yang kuat dan gagah dari segi ekonomi membolot segala kekayaan dan keselesaan manakala yang lemah dan kurang kekuatan akan terus ketinggalan.

Monday, November 10, 2008

Islam, Melayu dan UMNO

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat blogers sekalian,

1. Soalan yang sering ditanya di kalangan orang Melayu ialah apakah tujuan menyertai parti-parti politik di negara kita? Apakah erti menyokong UMNO, Pas atau PKR?

2. Jika ditanya kepada penyokong Pas, pastinya matlamat mereka ialah untuk Islam sungguhpun kadang-kadang perilaku tidak mencerminkan perjuangan. Suatu ketika lalu, ada juga yang melihat ia sebagai jalan ke syurga.

3. Jika ditanya orang Melayu yang menyokong PKR, mereka secara mudahnya menjawab mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

4. Bagi UMNO pula, ramai generasi muda hari ini sudah tidak lagi boleh bercakap apa sebab mereka menyertai UMNO. Idealisme perjuangan agama dan bangsa sudah jarang diutarakan.

5. Selepas tewas beberapa negeri dalam pilihan raya umum yang lalu, terdapat pandangan dan suara-suara yang menyatakan UMNO perlu berani melakukan perubahan. Malangnya tidak ramai yang membicarakan apakah bentuk perubahan yang perlu dilakukan.

6. Adakah ia merupakan perubahan struktur organisasinya,atau perubahan prinsip perjuangannya atau berubah rupa bentuk keahliannya atau hanya perubahan pucuk pimpinan? Justeru saranan perubahan ini menimbulkan polemik dan kegelisahan di kalangan orang Melayu. Ada yang tertanya-tanya, apakah perubahan yang dilaung-laungkan itu akan menjejaskan visi atau idealisme perjuangan UMNO untuk Agama Islam, Bangsa Melayu dan Negara Malaysia?

7. Bagi saya UMNO perlu berani berubah untuk kembali kepada asal-usul tujuan penubuhannya. UMNO hari ini walaupun masih bermatlamatkan untuk agama, bangsa dan negara tetapi dilihat tidak lagi mencerminkan idealisme perjuangan tersebut.

8. Sebenarnya perjuangan UMNO adalah jelas sejak ia ditubuhkan iaitu UMNO berjuang mengangkat martabat agama Islam dan UMNO berjuang utk mengangkat harakat bangsa melayu.

9. UMNO mengangkat martabat agama Islam ialah bila mana UMNO terlibat dalam pembetukkan perlembagaan negara, pemimpin UMNO dengan jelas meletakan Agama Islam sebagai agama persekutuan dgn membenarkan agama lain diamalkan secara aman termaktub dalam perkara 3 perlembagaan negara. Kita lihat waima negara Indonesia merupakan negara Islam teramai jumlah umat Islamnya pun tidak meletakkan Islam sebagai agama persekutuan negara tersebut.

10. Apa yang tidak nampak di mata orang Melayu hari ini ialah hasil daripada perjuangan UMNO itulah membolehkan agama Islam mendapat pelbagai peruntukan untuk membangun dan mengembangkan dakwah Islam. Demikian juga kedudukan bangsa Melayu hari ini ialah hasil perjuangan UMNO.

11. Bukti UMNO berjuang mengangkat harakat bangsa,ialah dinyatakan dgn jelas dalam perlembagaan seperti dalam perkara 32,kedudukan DYMM Agong dan kedudukan raja raja berperlembagaan, Perkara 152, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; Perkara 153, hak istimewa orang orang Melayu. Tidak banyak negara yang sanggup melakukan semua ini demi menjaga kesejahteraan peribumi mereka. Namun UMNO dengan jelas melakukan satu tindakan yang cukup jelas dan berani melakukan semua ini kerana ia selari dengan penubuhannya untuk agama dang bangsa.

12. Cuma akhir-akhir ini UMNO tidak ternampak jelas memperjuangkan keperluan dan kepentingan agama Islam dan juga ternampak kendur dalam mempertahankan hak bangsa Melayu. Ini kerana UMNO berasa selesa kerana semua ini dilaksanakan menerusi jentera kerajaan sedia ada hasil pembentukan perkara-perkara dalam Perlembagaan yang diperjuangakn oleh UMNO sebelum ini. Sikap menyerahkan semunya kepada kerajaan telah memberi imej kurang baik kepada UMNO dan menyebabkan orang Melayu mula menjauhkan diri dari UMNO.

13. UMNO hari ini juga diberi imej sebagai sebagai parti yang tubuhkan untuk mengaut kekayaan negara. Dilabelkan sebagai parti kroni, parti perkauman dan sebagainya. Semua ini terjadi bukan kerana ia tidak lagi memperjuangkan agenda tiga perkara tersebut tetapi kerana jurang kepimpinan yang terlalu jauh telah mewujudkan persepsi sedemikian.

14. Salah satu punca jurang kepimpinan di atas dengan di peringkat akar umbi ialah UMNO sudah hampir menjadi seperti parti Kongres di India dan Golkar di Indonesia pada tahun 90-an. Barisan kepimpinan kedua-dua parti ini diakhir hayatnya tidak lagi datang daripada para pejuang rakyat dan mewakili pelbagai lapisan masyarakat di bawah. Sebaliknya ia di pimpin oleh lapisan kepimpinan parti berasaskan kumpulan keluarga dan rangkaian keturunan pemimpin sebelum ini. Ini menyebabkan parti tersebut menjadi parti elit yang tidak lagi dijiwai oleh rakyat bawahan seperti dahulu.

15. Sungguhpun UMNO belum lagi menjadi sebuah parti elit seperti itu, namun imej-imej tersebut kian menampakkan wajahnya. Di sesetengah tempat, UMNO sudah menjadi parti anak beranak yang menguasai hampir ke semua jawatan utama parti. Apakah ini akan menambah sokongan kepada UMNO atau sebaliknya? saya percaya jika ini berleluasa akhirnya sokongan kepada UMNO akan kian mengecil.

16. UMNO hanya akan kuat kembali jika semua pemimpinnya kembali kepada tujuan asal penubuhan UMNO. Ia juga harus memberi ruang kepimpinan kepada semua lapisan masyarakat. Imej pemimipin yang menerajui UMNO harus mencerminkan orientasi perjuangan agama, bangsa dan tanah air (negara).

17. Saya yakin jika ini dapat diusahakan UMNO akan kembali kukuh. Memanglah kita akan menerima tekanan dari parti lawan mahu pun parti dalam komponen BN sendiri, tetapi pengukuhan UMNO adalah merupakan pengukuhan BN.

Saturday, November 1, 2008

Politik Jaga Hati

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

1. Keputusan untuk menilai semula ekuiti bumiputra 30% oleh YAB Timbalan Perdana Menteri adalah merupakan pandangan peribadi kerana ia tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Pandangan ini telah mendapat berbagai-bagai reaksi, malah ramai ahli MT juga tidak setuju .

2. Bagi saya masalah jumlah ekuiti tidak timbul,yang menjadi masalahnya ialah kegagalan kita untuk mencapai jumlah pegangan tersebut.Jalan penyelesaian perlu dicari dan kaedah terbaik perlu dilaksanakan agar orang Melayu tidak merasa mereka dipinggirkan dari arus ekonomi negara.

3. Saya sedar dalam keadaan politik jaga hati yang berlaku hari, pemimpin umno didesak untuk jaga hati parti komponen BN yang lain, hinggakan ia akan melukakan hati orang orang Melayu adalah suatu tindakan yang dangkal dan perlu ditimbang semula. Saya tak mahu berlaku keadaan yang dikendung dicicirkan yang dikejar terlepas dari pandangan.

4. Saya berpandangan tindakan yang lebih berhemah ialah kita perlu perteguhkan pendirian kita terhadap perjuangan asas UMNO, iaitu kembali kepada perjuangan memartabatkan agama dan bangsa Melayu, orang Melayu akan kembali bersatu dan akan menjadi teras kekuatan dalam BN,seperti sebelumnya.

5. Masalah agihan ekonomi yang hangat diperbincangkan oleh semua hari adalah disebabkan saiz ekonomi negara yang mengecil oleh berbagai bagai faktor dalam dan luar negara. Bila saiz eknomi mengecil ia akan menjadi rebutan dan dalam perebutan itulah wujud suasana kurang puas hati antara rakyat dan kita mula mencari kelemahan dalam sistem agihan ekonomi tersebut.

5. Kaedah yang saya anggap lebih praktikal ialah kerajaan perlu mengambil pendekatan untuk membesarkan kek ekonomi negara dgn berusaha mewujudkan lebih banyak peluang peluang ekonomi kepada rakyat. Mengurangkan kebergantungan negara terhadap barang impot dgn menyediakan peluang kepada rakyat menghasilkannya sendiri adalah satu kaedah yang wajar difikirkan bersama.