1. Bajet yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar semalam menimbulkan pelbagai tanda-tanya dan keraguan. Saya sekali lagi tertanya-tanya sama ada Menteri Besar mahu mengelirukan (mislead) rakyat seperti mana dalam bajet 2009.
2. Setakat ini MB berjaya mengelirukan YB Azmin Ali yang percaya Bajet yang dibentangkan merupakan bajet seimbang dari segi pendapatan dan perbelanjaan. Bercakap kepada Malaysiakini.com, Azmin menyatakan, "We do not spend more than what we (have). We get RM 1.3 bilion, we spend RM 1.3 bilion.”
3. Ya, pada tahun depan memang bajet seimbang. Namun pengumuman ini sekadar usaha menutup bangkai gajah dengan nyiru sahaja. Mana mungkin ia tidak dapat dihidu. Hakikatnya mengapa kerajaan tidak menerangkan kepada umum mengenai bajet 2009 yang mengalami defisit sebanyak RM 900 juta sehingga hari ini?
4. Pada tahun lalu YAB Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim membentang Bajet 2009 bernilai RM 1.4 bilion dengan anggaran pendapatan juga RM 1.4 bilion.
5. Namun pada Julai 2009, Kerajaan Negeri membentang satu lagi Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 yang berjumlah RM 120 juta. Kemudiannya pada sesi November ini, Kerajaan Negeri sekali lagi membentangkan Bajet tambahan sebanyak RM 458, 445, 168.80 (RM 458.5juta).
6. Ketika menang dalam pilihan raya 2008, kerajaan Pakatan ketika itu memohon Bajet tambahan sebanyak RM 178.3 juta kerana kononnya kerajaan negeri semasa BN melakukan pembaziran dan boros sehingga bajet tidak mencukupi.
7. Jadi tahun ini siapa pula salah sehingga terpaksa membentang bajet tambahan sebanyak dua kali? Malahan bajet tambahan 2009 mencecah RM 600 juta.
8. Keseluruhan bajet 2009 mencecah RM 2 bilion (atau secara tepatnya RM 1, 978, 445, 168.80). Manakala pendapatan kerajaan negeri sehingga Oktober 2009 hanyalah RM 1 bilion (RM1, 003, 802, 215.00). Jadi di mana kenyataan dan retorik kononnya kerajaan negeri melaksanakan bajet yang berimbang dan tidak berbelanja lebih?
9. Berasaskan pendapatan kerajaan negeri sehingga Oktober 2009, kerajaan negeri defisit sebanyak RM 900 juta. Berasaskan tren kutipan hasil dan pendapatan, saya menganggarkan kerajaan negeri akan kekurangan sekitar RM 450 juta bagi melaksanakan keseluruhan bajet 2009.
10. Ini bermakna kerajaan negeri perlu mengeluarkan wang simpanan negeri sebanyak RM 500 juta bagi menampung defisit bajet 2009.
11. Dari segi pengurusan sahaja menunjukkan kerajaan negeri melaksanakan pentadbiran bersifat ad-hoc dan tidak mempunyai perancangan sehingga terpaksa memohon bajet tambahan dalam masa tidak sampai enam bulan. Saya lihat kerajaan negeri tidak menggunakan sepenuhnya kepakaran kakitangan kerajaan negeri yang memang telah mahir dalam membuat anggaran bajet.
12. Perlulah dingatkan juga bahawa simpanan (reserved) kerajaan negeri yang ditinggalkan oleh BN sebanyak RM 1.4 bilion tidak akan bertahan lama jika trend pengurusan kewangan seperti ini berterusan.
13. Simpanan ini penting bagi membolehkan kerajaan negeri mendahulukan wang untuk perbelanjaan semasa memandangkan bajet yang dipraktiskan ialah bajet semasa iaitu perbelanjaan berasaskan anggaran pendapatan semasa.
14. Misalnya Bajet 2009 dibuat berasaskan anggaran pendapatan 2009. Justeru untuk melaksanakan perbelanjaan 2009 ia memerlukan kerajaan negeri menggunakan simpanan terlebih dahulu sebelum memasuk kembali kutipan hasil ke dalam simpanan negeri. Jika tiada simpanan yang mencukupi kerajaan negeri akan mengalami banyak masalah untuk melakukan pembayaran dan menjejaskan ekonomi negeri.
15. Saya khuatir beberapa tahun akan datang kerajaan negeri tidak lagi mempunyai simpanan yang mencukupi untuk membayar gaji kakitangan dan belanja pengurusan sebelum mendapat pendapatan semasa. Jika tidak ditangani mungkin akan menyebabkan Selangor dari negeri maju menjadi negeri muflis.
16. Masalah ini timbul kerana kerajaan Pakatan membuat bajet berasaskan andaian bukannya anggaran.
17. Dalam ucapan saya di sidang DUN yang lalu saya telah mengingatkan kerajaan negeri bahawa ekonomi berasaskan andaian bukannya anggaran akan menjerumus kerajaan negeri dalam krisis kewangan pada masa akan datang.
18. Jika bajet dibuat berasaskan anggaran maka kita akan membuat kiraan realistik berasaskan trend pendapatan beberapa tahun dan juga usaha-usaha yang dibuat bagi meningkatkan pendapatan. Ini akan menghasilkan satu angka yang munasabah dan hampir tepat.
19. Malangnya kerana mahu mendapat publisiti yang bagus dan pujian-pujian media dan rakyat maka kerajaan negeri sekarang ini membuat bajet berasaskan andaian. Mereka tidak berpijak di bumi nyata dengan mengandaikan akan mengutip hasil pasir sebanyak RM 200 juta setahun. Akhirnya yang dikutip tidak sampai 10% daripada andaian.
20. Dalam sidang DUN sekarang sekali lagi mereka membuat andaian. Mereka menyatakan akan mengutip hutang daripada Talam sebanyak RM 392 juta dalam masa tiga bulan. Ini adalah andaian bukan anggaran. Jika anggaran mereka akan mengambil kira kemampuan Talam dan kedudukan kewangan syarikat tersebut sebelum membuat kenyataan seperti itu.
21. Demikian juga janji pelaburan RM 10 bilion untuk Sungai Klang sehingga hari ini tidak menampakkan sebarang hasil. Pada awalnya dikatakan pelabur dari Timur Tengah, kemudiannya dikatakan pelabur dari Singapura dan yang terbaru dikatakan pelabur dari Korea Selatan.
22. Keghairahan membuat kenyataan yang tidak mempunyai asas dan sering kali berubah-ubah ini boleh memberi kesan negatif kepada pentadbiran kerajaan negeri dan juga ekonomi negeri.
23. Saya juga keliru dengan pemberian subsidi air yang dijanjikan oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri mengumumkan memberi subsidi air kepada semua pemilik meter individu kediaman. Sepatutnya kerajaan negeri yang membayarnya. Namun sekarang ini Kumpulan darul Ehsan Berhad (KDEB) yang membayarnya melalui pinjaman daripada kerajaan negeri.
24. Saya difahamkan, sehingga kini sebanyak RM 100 juta telah dipinjamkan kepada KDEB untuk menampung subsidi air. Apa akan terjadi kepada KDEB pada masa akan datang? Bolehkah syarikat ini berkembang dan mendapat rakan niaga yang baik jika ia dibebani hutang beratus juta?
25. Bajet yang dikemukakan untuk 2010 memperuntukkan RM 1.3 bilion dengan anggaran pendapatan juga RM 1.3 bilion. Anggaran ini adalah realistik. Namun saya percaya akan ada lagi pembentangan bajet tambahan pada tahun hadapan yang akhirnya memerlukan lagi wang simpanan negeri dikeluarkan tanpa diganti.
26. Justeru saya berharap, kerajaan negeri dapat memberi fokus yang jelas kepada usaha meningkatkan kewangan negeri dan pertumbuhan ekonomi bukannya berusaha memburukkan Barisan Nasional setiap masa sehingga lupa tanggungjawab sebenar.
27. Saya khuatir ketika media massa ghairah memberi publisiti terhadap retorik-retorik bajet rakyat dan sebagainya, kita lupa masalah sebenar terhadap pengurusan kewangan negeri.
28. Ramai yang menguar-uarkan bajet seimbang 2010 tetapi lupa pada masa yang mereka juga memuji-muji bajet seimbang 2009yang akhirnya mengalami defisit begitu besar.
29. Pada hemat saya, pentadbiran Pakatan hari ini lebih kepada menang sorak tapi Selangor mungkin tergadai pada masa akan datang.
Nota:
i)Semalam YB Azmin Ali mempersoalkan mengapa saya tidak berbuat apa-apa untuk mengutip hutang daripada Talam. Jika beliau membaca blog saya dengan teliti tentulah beliau tahu bahawa usaha mengutip hutang tersebut telah pun ada dan sedang berjalan sehinggalah berlaku perubahan pemerintahan.
ii). Sekarang kita lihatlah adakah kerajaan negeri mampu mengutip hutang tersebut secara tunai memandangkan kewangan Talam dalam keadaan yang teruk. Cuma saya berharap dalam usaha menekan Talam jangan sampai pembeli rumah teraniaya. Dengar khabarnya sekarang ini MB enggan menandatangani sebarang kebenaran pindah milik daripada Talam kepada Pembeli. Jika benar, wajarkah pembeli menjadi mangsa?