Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Monday, June 8, 2009

Kerajaan Perpaduan Tidak Penting, Agama dan Bangsa Yang Utama

1. Muktamar Pas yang berakhir semalam memberi satu nafas baru kepada kedudukan Islam dan orang Melayu di negara ini. Ini kerana tokoh-tokoh yang menang seperti YB Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang (Presiden), YB Nasharuddin Mat Isa (Timbalan Presiden), Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden), Saudara Nasrudin Hassan (Ketua Pemuda) dan beberapa pimimpin utama Pas lain mempunyai pandangan dan pendirian mengutamakan agama dan bangsa berbanding kuasa.

2. Saya ditanya oleh sahabat-sahabat mengenai isu kerajaan perpaduan ini. Mungkin pertanyaan tersebut bersandarkan kedudukan saya sebagai salah seorang pelopor penubuhan kerajaan BN-Pas di Selangor tempoh hari.

3. Bagi saya pembentukan Kerajaan Perpaduan tidak lagi penting hari ini memandangkan semua negeri telah pun membentuk kerajaan. Cakap-cakap mengenainya hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik di dalam Pas dan UMNO sendiri. Ini kerana apabila kita bercakap soal kerajaan perpaduan, maka rakyat melihat ia melibatkan soal kuasa dan pengaruh politik.

4. Sebaliknya, apa yang lebih penting ialah kesepakatan dan kesepaduan pimpinan UMNO dan Pas untuk menjaga kepentingan umat Islam dan orang melayu di negara ini yang tampaknya kian terumbang-ambing.

5. Misalnya, pernahkah terfikir kepada kita ada pemimpin Pas sanggup berucap di dalam Gereja dan menyokong usaha pihak tertentu menggunakan nama Allah sebagai ganti nama tuhan dalam Bible bahasa Melayu? Alahamdulillah pemimpin seperti ini ditolak dalam Muktamar Pas yang berakhir semalam.

6. Pas sungguhpun melaungkan perjuangan Islam sebagai perjuangan tunggalnya, mereka tetap tidak dapat menolak hakikat bahawa 90% daripada "pemegang saham" parti tersebut merupakan orang Melayu dan Bumiputera.

7. Justeru mahu tidak mahu Pas perlu juga memikirkan kepentingan orang Melayu. Mungkin kerana itu juga ada usul dari Dewan Pemuda Pas sendiri menggesa agar dipertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera terutamanya membabitkan kuota 30% dalam ekonomi negara.

8. Saya tidak boleh memberi pandangan mewakili kepimpinan UMNO. Namun sebagai seorang Muslim dan Melayu, saya lebih mengharapkan Pas akan menjadi sebuah parti yang mempertahankan prinsip dan kepentingan Islam, Melayu dan bumiputera melebihi kuasa dan pengaruh.

9. Hanya dengan ini, jika UMNO lemah, orang Melayu mempunyai Pas untuk diharapkan. Jika Pas lemah, orang Melayu mempunyai UMNO untuk diharapkan. Bukan seperti sekarang ini, orang Melayu seolah-olah tiada lagi tempat berteduh. UMNO kuat tetapi nampak lemah, Pas lemah tetapi nampak kuat.

10. UMNO kuat kerana terus menjadi tunggak Barisan nasional dan kerajaan. Namun kelihatan amat lemah dengan serangan bertali arus dari parti komponen mahu pun parti lawan.

11. Pas pula lemah dari segi kekuatan kerusi, namun kelihatan kuat kerana kompromi tertentu dalam Pakatan Pembangkang. Persepsi di kalangan orang Melayu, kerajaan campuran pimpinan Pas di Perak sebelum ini gagal sama sekali menjaga kepentingan agama dan bangsa. Mengapa? Ini kerana Pas hanya kelihatan kuat atas "kertas" sebagai Menteri Besar tetapi tiada kuasa majoriti sama ada dalam Mesyuarat EXCO mahu pun Sidang DUN Perak.

12. Ketika parti-parti politik Melayu tampak lemah inilah maka ada orang cuba mengambil kesempatan untuk terus menekan dan membuat pelbagai permintaan yang bukan-bukan.

13. Hari ini, pengarang akhbar Melayu seperti Utusan pun ditekan dan dituduh pelbagai tuduhan hanya kerana memetik pesanan-pesanan pemimpin negara semasa kemerdekaan dahulu. Kuota biasiswa, peluang pendidikan dan perniagaan untuk orang Melayu dan bumiputera lain juga dipertikaikan kerana ada pemimpin Melayu yang sanggup menjual agama dan bangsanya demi kuasa.

14. Atas sebab inilah, saya percaya yang lebih penting kepada agama Islam dan orang Melayu hari ini ialah perpaduan idea dan pegangan antara Pas dan UMNO, bukannya kerajaan perpaduan.

26 comments:

  1. Sebenarnya depa x dapat nak contact Islam dan Melayu dalam contact yang sebenar...

    ReplyDelete
  2. perlu dikaji sedalam-dalamnya, adakah benar dan sejauh mana keihklasan dan kejujuran kedua_dua belah pihak ingin bersatu.Jangan slogan "demi Agama Dan Bangsa" ini dengar hanya seketika sahaja dimana jauh disudut hati ada agenda dan niat yg lain.Umat Islam Dan Kaum MELAU di malaysia ini amat menanti-nantikan agar niat yg murni ini diizinkan oleh ALLAH....

    ReplyDelete
  3. perlulah diperhalusi dan dikaji sedalam-dalamnya hajat kedua-dua belah pihak agar tujuan sebenar hanyalah perpaduan utk agama & bangsa. Janganlah ada agenda disebalik tujuan sebenar yg lebih berkepeningan kuasa dan peribadi...

    ReplyDelete
  4. akm..dr.khir...
    saya mendoakan dr.sihat...
    Bagi saya melayu yang mengundi umno pada tahun 2004 lah pada 2008 mengundi PAS.
    Tiada orang lain, Umno menang pon kerana pengundi melayu mengundi mereka dan Pas menang pon kerana melayu itu juga.
    Memang pemimpin PAS dalam di lema, di telan mati mak di luah mati ayah, maka di kebam..
    Dilema untuk menjaga pengundi melayu dan menarik sokongan bukan melayu..
    Tapi Pas harus ingat pengundi cina bijak dalam percaturan politik..mereka tak perlu tebang buluh atau pon panjat pokok kelapa gantung bendera.
    Tapi mereka meraih untung politik. Mereka gantung dr.khir dan lima adun maka hilang lah kuasa PAS di Selangor..Pas dah tak boleh ugut Dap dan PKR.maka sudah hilang harga pas dalam PR.

    ReplyDelete
  5. Dr.,
    Saya amat bersetuju dengan pandangan Dr. berkenaan dengan hal ini. Sudah tiba masanya parti2 tunjang melayu ini (UMNO & PAS) memperhalusi persefahaman masing2 di dalam modus operandi mereka in term of kedudukan Islam dan melayu (Muslim) sebagai tunjang identiti negara kita. Kita tidak mahu perpecahan org Melayu menjadi begitu buruk sehinggakan isu Islam dan Melayu terpaksa bergantung kepada 'show of hand' (suara majority) berbanding dengan bersandarkan kepada Al-Quran dan Hadis.
    Di alaf baru ini UMNO tidak lagi boleh mengharapkan its dominan position sebagai senjata utama to dictate its surrounding. Given the population growingly more critical nowadays, tidak dapat tidak its power will slowly being distributed to various party/faction with no apparent majority. Putting aside the allegations that UMNO is corrupt, saya boleh terima jika UMNO held tha majority of the seats in D.Rakyat or DUN. Given that PAS are able to lead the country, saya juga tak kisah if they control the majority of the D.Rakyat or DUN. What concern me the most is the 'in-between' where PAS pun lemah and UMNO pun tak cukup kerusi with respect to BN. Dlm situasi inilah perpaduan/persefahaman org Melayu itu penting utk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah multiracial Muslim Malay majority country. Dan bagi saya inilah mesej yang cuba disampaikan oleh Hj. Hadi di mana PAS dan UMNO tidak perlu bergabung tapi seperti kata tuan, Agama dan Bangsa itu lebih penting.

    ReplyDelete
  6. Salam DSKT

    Dalam keadaan sekarang kerajaan perpaduan memang tak perlu di wujudkan cuma setiap parti politik orang melayu harus BERUBAH dari parti yang cuma mengutuk atau menghina sesama bangsa kepada parti yang membangunkan bangsa.

    Buang segala sikap dengki mendengki dan hasut menghasut, cari idea atau cara bagaimana untuk membangunkan bangsa Melayu dan agama Islam itu sendiri.

    Kena belajar bagaimana orang2 cina berpolitik,tak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang jika memberikan kelebihan pada bangsa mereka,mereka akan bersatu hati.

    Begitu juga dalam politik Melayu,tak kira PAS atau UMNO harus berjuang untuk memajukan bangsa Melayu walaupun dari pihak pembangkang mahupun pihak kerajaan.Biarpun jalan yang berlainan tapi arah tujuan yang sama.

    Jika ini boleh dilakukan percayalah bangsa Melayu akan terus menjadi lebih gagah dan kuat dan akan terus bersaing untuk menjadi bangsa yang maju.Kepercayaan harus diterapkan dan sejarah telahpun membuktikan bahawa bangsa Melayu adalah satu bangsa yang bijak dan berkuasa.

    ReplyDelete
  7. Pemimim UMNO perlu menghakis persepsi parti "bangsawan" parti "elities" parti "keturunan" agar dapat di terima semula.

    ReplyDelete
  8. Salam DS
    Perkara yang DS bincangkan ini adalah kudis kepada kumpulan Melayu yang hanya mementingkan diri dan kuasa dari bangsa dan agamanya sendiri.Setiap hari ada saja suara-suara sumbang Melayu yang mempersendakan Melayu sendiri seperti apa saja kita utarakan tidak pernah menjadi bahan untuk difikirkan apa lagi untuk dipraktikkan oleh golongan ini.

    Pepatah ada mengatakan Menang Sorak Kampong Tergadai..lalu jadilah kita sebagai bangsa yang boleh diajak tidur diatas jalan dan mengangkat bendera yang tidak pernah dibuat oleh melayu sebelum ini.

    Orang lain sudah jauh meninggalkan kita lalu mereka tersenyum sambil menepuk tangan dengan gelagat Melayu yang terus menerus berdendam ,maki hamun ,fitnah dan sanggup jadikan jalan raya sebagai tempat tidur.apa kita dapat dan apa pula mereka dapat ????

    Kita kena bangun dari mimpi yang dibuai oleh pemimpin Melayu yang hanya pentingkan diri dan kuasa hinggakan bangsa sendiri mahu digadai maruahnya ..maka itulah saya merasakan pemimpin PAS dan perwakilan dalam muktamar mereka baru-baru ini menyedari bahawa mereka telah dipermainkan oleh sikap Raja Mandeliar dizaman kemasyuran Melayu Melaka .

    ReplyDelete
  9. Saya kira pandangan Dato' Seri amatbertepatan dalam senario politik hari ini. Soal kerajaan perpaduan bukan bermaksud satu parti menguasai parti lain. Soal pokok ialah bila ianya melibatkan kepentingan agama, bangsa dan negara maka kedua-dua pihak haruslah bersama-sama mempertahankannya. Jika ini boleh dilakukan, insyaallah tak akan ada lagi pihak yg bersikap seperti Belanda minta tanah, diberikan betis hendakkan peha.

    ReplyDelete
  10. Saya amat bersetuju dengan pendapat Datuk Seri Nik Abdul Aziz.

    Saya undi PAS pada pilihan raya yang lepas kerana saya tidak undi untuk UMNO.

    Saya undi PAS kerana saya ingin beri peluang kepada PAS supaya untuk memerintah dengan saksama.

    Sekiranya PAS ingin bersama dengan UMNO yang mengamalkan perkauman saya tidak teragak-agak untuk tidak mengundi PAS pada pilihan raya yang akan datang!

    Regards,

    Malaysian Come First
    GoMalaysian.Blogspot.Com

    ReplyDelete
  11. Salam DSKT,
    UMNO dgn MALAYSIAnya & PAS dgn ISLAMnya.Apakah tidak boleh dicari titik pertemuan yg dapat mengwujudkan sebuah negara MALAYSIA yg lebih ISLAMIK tanpa meminggirkan kaum2 lain mcm zaman RASULULLAH dahulu.....

    ReplyDelete
  12. Salam Dato' Seri, saya ada soalan, Apakah Salah dan berdosa Pemimpin PAS berucap didalam Gereja???? Ada hadis @ dalil mengenai larangan tersebut???? klu ada, saya dgn rs rendah diri ingin mengetahuinya.

    ReplyDelete
  13. Ws asmifaisal,

    Tiada salah berucap di dalam gereja. Saya cuma kata tidak pernah terbayang sebelum ini. Yang penting ialah frasa kedua iaitu tindakan menyokong tuntutan untuk menggunakan nama Allah sebagai ganti God dalam kitab Bible bahasa Melayu.

    ReplyDelete
  14. Waalaikumussalam Saudara Steelbos,

    Masalah negara islam yang lebih Islamik adalah masalah persepsi. Pas dan UMNO sebagai dua buah parti politik yang bersaing untuk menegakkan pandangan politik masing-masing tentulah ada perbezaan. Saya cuma mengharapkan ada titik persamaan dan persefahaman antara pas dan UMNO agar apa yang kita umat Islam ada selama ini tidak hilang lagi.

    Jika Pas boleh meberikan lebih baik kepada Islam tiada salahnya. Demikian juga jika UMNO boleh berbuat demikian. Persoalan yang perlu kita fikirkan sekarang ialah, apakah realiti geo politik pasca 2008 memberi kedudukan yang lebih baik atau sekurang-kuranganya sama seperti dahulu kepada Islam, Melayu dan Bumiputera?

    Melihat kekayaan, taraf hidup dan pendidikan, Saya tidak fikir orang bukan Islam dipinggirkan dalam negara ini.

    Soal negara Islam seperti zaman rasulullah adalah soal yang sukar untuk kita aplikasi kembali. Ini kerana sistem, cara hidup, teknologi dan hidup bernegara sudah lain sama sekali.

    Namun prinsip-prisnsip keadilan dan nafas pemerintahan Islam belum terhapus di bumi bertuah ini. Cuma untuk mencari kesempurnaan tentulah satu kerja yang sukar.

    ReplyDelete
  15. Saudara Malaysian,

    Bercakap soal Islam dan Melayu bukanlah isu perkauman. Saya tidak fikir UMNO menindas kaum lain seperti yang cuba saudara gambarkan. Demikian juga saya tidak fikir Pas hari ini berkuasa seperti yang saudara dakwa.

    ReplyDelete
  16. Dah tersepit baru nak minta bantuan PAS. Umno mudah lupa macam mana umno memperlekehkan dan memperbodohkan PAS. Jangan bercakap pasal Islam kalau akhlak pemimpin umno sendiri pun banyak yg menyimpang. Ingat, isu wang royalti minyak di Trengganu?, macam mana umno menidakkan hak rakyat dan kerajaan PAS ketika itu. Banyak lagi isu yg tidak berakhlak Islam yg dilakukan pemimpin umno terhadap PAS. Tok Guru Nik Abd Aziz pasti banyak menyimpan isu-isu ini.

    ReplyDelete
  17. Saudara Slyderrose,

    Sebab itu saya katakan ada orang tidak faham mengenai kuasa orang Melayu. Secara politiknya UMNO tidak tersepit kerana kerusi yang dimenangi oleh UMNO cukup banyak. Apatah lagi apabila dicampur dengan BN.

    Demikian juga Pas tidak kuat bersandarkan kerusi yang dimenanginya. Justeru ia tidak berkuasa memimpin atau mempengaruhi pendapat dalam pakatan rakyat.

    Yang lemah dan tersepit hari ini ialah orang Islam dan orang Melayu. Jika saudara tidak sedar di bahagian ini, saya tidak boleh berkata apa-apa lagi.

    Soal UMNO buat pada Pas. Bagi saya itu hanya soal politik. Manusia politik yang besar jiwanya akan melihat kepentingan agama, bangsa dan negaranya lebih daripada isu perselisihan dua parti politik.

    Jika mahu dikira perasaan, UMNO tentu lebih banyak terguris dengan fatwa-fatwa Pas yang sampai di satu masa, kenduri ahli UMNO pun haram di makan. Imam yang menjadi ahli UMNO juga diboikot oleh sebahagian ahli Pas. malaha ada insiden-insiden di mana suami isteri bercerai berai gara-gara fatwa dan ceramah pemimpin Pas yang memburuk dan membenci pemimpin UMNO.

    Namun apakah kita orang Islam di negara ini akan terus bergaduh membabitkan isu-isu ini sehingga melupakan kepentingan ummah hari ini.

    ReplyDelete
  18. Dr Khir

    Ini lah harapan yang ditunggu-tunggu oleh Umat Melayu selama ini. Walau apa pun istilah yang digunakan, yang penting niat kesepakatan itu sudah terbit di dalam diri setiap pemimpin. UMNO dan PAS + BN perlu istiqamah dalam menghalakan niat suci murni ini.

    Perlu juga diberi perhatian, kesepakatan ini bukanlah satu cara menidakkan hak kaum lain, malah mungkin ia menjadi lebih subur dari sebelum ini. Jika dilihat sejarah, semasa pemerintahan BN, kaum-kaum lain hidup selesa, mewah dan aman.

    Perlu ada situasi menang-menang,jangan letak sebarang syarat. Yang penting ikhlas, istiqamah dan mempunyai azam yang kuat. Ingat, idea ini datang dari PAS, bukan UMNO..demi survival umat Melayu, marilah sama-sama kita bersatu di bawah payung Islam dan Melayu.

    ReplyDelete
  19. Salam DSKT, terima kasih di atas jawapan tersebut. mmg laa x penah terfikir benda ni sbb di Malaysia ni benda baru tapi bagi negara seperti Indonesia dan ada lagi negara bukan menjadi perkara aneh.

    Berkenaan penggunaan kalimah Allah ni, adakah ia eksklusif utk org Islam sahaja yg menggunakannya???? ada setgh pendapat dari Alim Ulama yg menyatakan sebaliknya. Apa yg penting di sini ialah pendekatan dakwah dalam hal2 sebegini.

    ReplyDelete
  20. sahabat orang2 pas dengar sini saya nak cakap sikit.....

    penyokong pas baik dan pas adalah satu wadah pengimbang untuk kuasa melayu islam...itulah pada pendapat saya.....tapi umno pun baik dan besar jasanya sehinggakan jika saya benci dan marahpun pada umno akhirnya saya tetap akan bersama umno...

    mudah2an yang lain akan kembali bersama umno...buanglah yang keruh dan ambil yang jernih

    pada saya bukalah selama ini umno ni teruk sangat tetapi anggaplah kita sebagai adik beradik yang selalu bergaduh tapi kita kan adik beradik.....bergaduh dan berbeza pendapat tak salah tapi biarlah kita orang melayu islam makin kuat dan memberi kebaikan kepada anak bangsa kita dimasa akan datang...ada kala menang dan ada kala kalah dan akhirnya saya percaya orang muda tahu apa mereka akan sokong bila tiba masa...

    kami sekarang sedang berjuang untuk mengukuhkan ekonomi tak berapa sempat nak beriya2 sekarang...tunggulah pru13 nanti...ds dan rakan2 pemimpin teruskan berubah dan mendekati golongan muda....kalau ds dan pemimpin lain rajin bersama mereka....mereka pun tahu juga mengenang jasa...bukanlah orang muda ini lupa semua jasa pemimpin umno cuma pemimpin umno jangan selalu melaung2kan apa jasa mereka pada orang muda kerana nanti orang muda naik meluat dan langsung tak balik2.

    apa yang penting.....kerjasama

    untuk blogger semua
    saya rasa kita patut menghayati penjelasan dan lontaran buah fikiran ds...banyak yang perlu difahami dan dihayati oleh kita.
    saya terima panjelasan ds pada slyderrose

    ReplyDelete
  21. ds kata...

    "Yang lemah dan tersepit hari ini ialah orang Islam dan orang Melayu. Jika saudara tidak sedar di bahagian ini, saya tidak boleh berkata apa-apa lagi.

    Soal UMNO buat pada Pas. Bagi saya itu hanya soal politik. Manusia politik yang besar jiwanya akan melihat kepentingan agama, bangsa dan negaranya lebih daripada isu perselisihan dua parti politik.

    Jika mahu dikira perasaan, UMNO tentu lebih banyak terguris dengan fatwa-fatwa Pas yang sampai di satu masa, kenduri ahli UMNO pun haram di makan. Imam yang menjadi ahli UMNO juga diboikot oleh sebahagian ahli Pas. malaha ada insiden-insiden di mana suami isteri bercerai berai gara-gara fatwa dan ceramah pemimpin Pas yang memburuk dan membenci pemimpin UMNO.

    Namun apakah kita orang Islam di negara ini akan terus bergaduh membabitkan isu-isu ini sehingga melupakan kepentingan ummah hari ini.

    saya nak luahkan pada ds....rakyat bawahan ni ramai yang sayang dan tahu jasa umno pada melayu dan negara kita...mereka ni ada kala keliru bila memikirkan nak jaga kuasa demi anak cucu dan adakala mereka meluat sampai tak terkata2 dengan lidah untuk menegur sikap pemimpin.

    saya percaya apa yang ds katakan dan saya percaya rakyat bawahan ,marhaen dan yang kurang pendidikan macam saya ni pun sayang pada umno...tapi ds tahu tak agak2 punca utama atau punca besar apa sebenarnya yang menyebabkan perubahan besar pru12 tempohari.

    jangan kita mudah lupa atau buta sejarah pru12 yang sudah....apa puncanya....?

    nak kata rakyat tak betul atau tak fikir panjang?...betul ke...atau apa punca

    rakyat ke salah atau pemimpin atasan lupa diri..

    buat projek megasana mega sini..sibuk dengan pelancaran besar2an....tapi dalam diam barang naik,minyak naik...tindakan hanya dilakukan bermusim...lepas tu senyap..rakyat mana yang boleh tahan....lain kali nak buta apa2 mega pun mestilah ada pasukan yang betul2 memantau dan mengutamakan hati dan perasaan rakyat bawahan.

    apa yuang saya kata ni dah pun berlalu....saya tahu ds akan kata kita akan berubah.....saya dan rakan2 yang lain hanya dan sedang melihat dan cuba merasai perubahan itu...adakah hanya momokan atau lakonan atau ia datang dari dalam hati yang ikhlas dan tidak ada sifat talam dua muka..

    dulu ds pernah tanya saya...perubahan macxamnama yang diinginkan....

    saya masih dan tetap sama...iaitu pemimpin yang ada ni pun saya terima cuma biarlah kalini orang2 keliling pemimpin pula berubah....berubah jangan harap pemimpin sahaja berubah....orang keliling juga harus berubah pendekatan untuk menserasikan diri dengan rakyat.....jangan diharap rakyat yang kena menserasikan diri dengan kita....

    maaflah jika ada yang tidak suka dengan sikap saya ini,tapi saya tengok dan diam selama ini kerana saya rasa orang politik lebih arif dan tahu apa mereka buat....kalau kita bersuara lain dari apa yang orang politik buat kita kena herdik.....sungguh malang anak bangsa kita.

    mungkin dalam umno ni ds seorang yang tahu bagaimana untuk mendekati rakyat jika tidak masakan ds diterima dan menang dengan majoriti yang banyak dikawasan ds?...tapi bagaimana dengan kawasan lain diselangor dibawah pentadbiran ds?....

    ds jaguh dikampung tapi dipentas lebih besar seperti selangor ds tewas....inilah yang ds harus belajar mengenal orang disekeliling kita...bila kita dipuncak kita disanjung dan cakappun semua yang baik2 pada ds...padahal...hampehh..baik depan ds tapi dengan rakyat dikawasan masing2 adakah mereka diterima?....

    golongan berkerjaya dibandar tiada tempat untuk cakap secara tertutup untuk pemimpin harapan dan kesayangan saya tetapi blog adalah satu wadah mudah cepat dan kita boleh berbicara tanpa ds dihadapan,mungkin ketika saya menulis , ds sedang bersama rakyat dikawasan atau makan tengahari dengan orang kampung.

    doa saya semoga kita saling membantu demi kebaikan dan kesejahteraan semua pihak...yang penting marilah kita sama2 mempertingkatkan kembali mertabat anak bangsa kita semua....tak kira samada yang dikampung atau dibandar,sama sajaha..hidup ds hiduplah perjuang tradisi membela rakyat.

    ReplyDelete
  22. Salam, DS;
    Alangkah baik lontaran suara dengan pendirian yang neutral seikhlas ini terlontar semasa DS berkuasa. Kala ini, tatkala tanpa kuasa, lontaran ini sekadar pendirian, bukan arahan.

    Saya berdoa, kala kembali berkuasa kelak, jika diizinkan Allah, lontaran dan pegangan serupa direalisasikan walau terpaksa mengeluarkan urat dan halkum.

    ReplyDelete
  23. YB Datuk Seri

    Pada hemat saya

    Saya amat bersetuju dengan apa yang di utarakan oleh YB Datuk Seri

    Kiranya kita tidak perlu membagi bagi
    rakyat kepada beberapa parti

    Satu parti sahaja di Malaysia ini sudah mencukupi gitu.

    Bagi kaum lain, walaupun mereka itu ada pelbagai parti, tapi hati mereka tetap '1'

    Malang bagi kita, lain parti lain hatinya

    oleh itu adalah wajar jika kita hanya ada satu parti, iaitu parti Melayu Malaysia.

    Wasalam

    ReplyDelete
  24. DS,
    Bila cakap pasal perpaduan melayu komen komen yang saya baca dalam akbar akbar bahasa melayu yang konon nya mengajak melayu bersatu semuanya tak ikhlas dan mempunyai agenda tersendiri.semua atikal atikal ini ditulis olih kroni kroni jadi sebab itu seruan mereka untuk melayu bersatu semua macam masuk telinga kanan keluar telinga kiri.tak ada kredibiliti.kalau kita betul betul ikhlas mahu melayu bersatu pemimpin pemimpin melayu perlu duduk semeja dan berunding dengan ikhlas.ini termasuklah pemimpin dari Umno,pas dan juga keadilan seperti dato Anwar ibrahim.kalu tidak dijermput dato Anwar memang perbincangan ini akan gagal.

    ReplyDelete
  25. Panduan Dari “Muqaddimah” Ibn Khaldun rh

    Pada tahap pertamanya iaitu tahap kejayaan mengatasi penentangan dan berjaya mendapat kekuasaan, pihak penguasa menjadi model bagi rakyatnya dengan sifat-sifat baiknya; dalam membuat keputusan-keputusannya rakyat ikut serta dalam usaha demikian kerana itulah yang dituntut oleh semangat perpaduan. Dan sifat itulah yang menyebabkan tercapainya kemenangan dan dengan sifat itu pula dinasti itu akan berterusan.

    Tahap kedua ialah tahap bila penguasa akan bertindak sewenang-wenang dan membuat keputusan-keputusan tanpa diikut serta oleh mereka yang dipimpin. Pada tahap ini pihak penguasa akan berusaha untuk menghimpunkan pengikut yang ramai untuk mendiamkan pendapat lain dan aspirasi lain. Maka seluruh kuasa berada di tangan keluarganya. Maka timbul usaha untuk menggemilangkan keluarganya sahaja.

    Tahap ketiga tahap senang sentosa, bila hasil daripada kedaulatan itu dicapai: harta, kekuasaan, nama yang masyhur, adanya monumen-monumen. Demikian seterusnya. Anugerah diberikan kepada wakil-wakil asing, juga kepada rakyat sendiri. Tahap ini tahap terakhir pihak penguasa bertindak sewenang-wenang terhadap mereka yang diperintahnya.

    Tahap keempat tahap puas hati. Dia hidup damai dengan mereka yang menjadi sahabat sepemerintahannya. Tradisi dan kebiasaan diteruskan.

    Tahap kelima tahap boros yang berlebihan. Pada tahap ini pihak penguasa menjadi perosak apa yang terbina sebelumnya. Ia menuju kepada pemuasan hawa nafsu, kesenangan, hiburan diri bersama dengan kaumnya, menunjuk-nunjukkan kedermawanan kepada orang-orangnya; ia mengambil mereka yang berwatak jahat untuk bertugas dengannya. Akhirnya orang ramai membenci pihak penguasa yang membawa kepada kejatuhan dinasti berkenaan.

    ReplyDelete
  26. OUR PHILOSOPHY OF INDEPENDENCE IS OUR BELIEF AND CONVICTION, COUPLED WITH UNCEASING AND CONTINUOUS STRUGGLE AND ITS FULFILLMENT, THAT OUR NATION IS INDEPENDENT AND FREE FROM ALL KINDS OF PRESSURE, OPPRESSION, AND NEGATIVE INFLUENCES IN REALISING OUR POTENTIALITIES INTELLECTUALLY, MORALLY, SPIRITUALLY AND PHYSICALLY, IN BUILDING OUR CULTURE AND CIVILIZATION IN ACCORDANCE WITH OUR WORLD-VIEW, OUR EPISTEMOLOGY, AND OUR AXIOLOGY, BASED ON OUR BELIEF IN GOD; AND WE HAVE THE CAPABILITY TO MAINTAIN OUR IDENTITY AND INDEPENDENCE WITH FULL HONOUR. WE NOT ONLY ARE ABLE TO MAINTAIN OUR IDENTITY AND INDEPENDENCE IN THE PROCESS OF GLOBALIZATION, BUT ALSO WE PLAY OUR ROLE IN DETERMINING THE DIRECTIONS OF THE GLOBALIZATION PROCESS AMONG THE NATIONS OF THE WORLD

    ReplyDelete