Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Wednesday, October 28, 2009

Subsidi: Indah Khabar dari Rupa?

1. Bajet 2010 telah pun dibentangkan. Seperti biasa riuh rendah yang dilihat ialah apa aku dapat dan apa kamu dapat. Hakikatnya jarang sekali Bajet kita tidak memberi rangsangan positif sehingga segala ulasan dan pujian menjadi klise.

2. Sesetengah pengulas pula sudah mula membuat pujian sebelum pembentangan dibuat pun. Dan ada pula yang membuatnya sebaik sahaja selesai mendengar ucapan.

3. Banyak isu boleh dibahaskan dan dipersoalkan termasuk isu pemberian keistimewaan potongan cukai profesional di Iskandar Malaysia tetapi tidak kepada koridor-koridor wilayah yang lain, yang lebih penting dari segi potongan cukai ini kerana berada di luar lingkungan skala ekonomi yang mapan seperti Iskandar Malaysia yang berhampiran Singapura.

4. Jika mahu diberi potongan cukai kepada profesional yang sanggup berkhidmat di koridor (wilayah) ekonomi yang diwujudkan kerajaan tentulah wilayah-wilayah ekonomi di Malaysia Timur, Pantai Timur dan Utara lebih wajar diberi keistimewaan kerana kedudukan geografi dan tumpuan ekonomi yang lebih sukar menarik pelaburan dan tenaga profesional.

Buruk Sangatkah Masyarakat Bersubsidi?

5. Saya bukanlah seorang yang terdidik dalam bidang ekonomi. Justeru secara akademiknya saya tidak layak untuk mengulas kenyataan beberapa pemimpin kerajaan baru-baru ini mengenai subsidi.

6. Namun sebagai orang pernah menjadi Menteri Besar sebuah negeri termaju di Malaysia dan mencatatkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan selama pentadbiran saya, tentulah sedikit sebanyak saya fikir boleh memberi buah fikiran dan pandangan mengenai ekonomi negara.

7. Sejak sebulan yang lalu terdapat dua atau tiga menteri bercakap soal penghapusan subsidi dan pemberian subsidi kepada golongan yang layak sahaja. Mereka bercakap seolah-olah subsidi ini begitu buruk dan tidak sewajarnya berterusan dilaksanakan oleh kerajaan.

8. Pemikiran ini tidaklah ada bezanya dengan pemikiran semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ketika itu kita menyaksikan peningkatan mendadak harga petrol, tol, harga barang dan kos sara hidup.

9. Alasan-alasan yang sama akan terus diulang-ulang iaitu subsidi tidak membawa kemampanan (kekukuhan) ekonomi serta merugikan rakyat dan kerajaan.

10. Alasan-alasan ini dicipta oleh pemikir ekonomi berasaskan pemikiran atas kertas dan ada juga kerana mereka yang telah maju mahu mengekalkan kualiti hidup mereka dengan kesusahan kita. Hakikatnya di Eropah dan Amerika Syarikat sendiri jumlah subsidi mereka mencecah berbilion dollar.

11. Subsidi sungguhpun ada keburukan kepada ekonomi negara namun dalam banyak hal ia juga membantu rakyat dan ekonomi. Ada Subsidi membantu mengawal kestabilan ekonomi dan kos sara hidup sekaligus merancakkan pusingan ekonomi hasil daripada nikmat subsidi seperti mana subsidi petrol.

Subsidi Petrol

12. Saya terkejut dengan kenyataan dua Menteri yang menyatakan subsidi petrol hanya akan diberikan kepada kumpulan sasar yakni rakyat berpendapatan rendah.

13. Secara sepintas lalu saya berpendapat ia bukan sahaja sukar dilaksanakan tetapi juga akan memberi kos tambahan kepada pengurusan kerajaan untuk menjalankan sistem pemberian subsidi, penguatkuasaan dan akhirnya akan wujud pelbagai penyelewengan.

14. Memang benar kerajaan tidak mungkin dapat memberi subsidi petrol yang begitu besar kepada rakyat. Sebab itu hari ini rata-rata rakyat yang rasional menerima keputusan pemberian subsidi 30 sen seliter.

15. Siapakah golongan berpendapatan rendah hari ini? Katakanlah kita ambil mereka yang berpendapatan RM 3, 000 dan ke bawah sebulan? Apakah mereka yang berpendapatan RM 3, 000 sebulan di Alor Setar lebih susah daripada mereka yang berpendapatan RM 5, 000 di Kuala Lumpur? Saya tidak ragu menyatakan bahawa mereka yang berpendapatan RM 5, 000 sebulan di Kuala Lumpur lebih miskin daripada mereka yang berpendapatan RM 3, 000 di Alor Setar.

16. Sebenarnya pemberian subsidi petrol seperti sekarang lebih besar faedahnya kepada kerajaan. Kerajaan mungkin terpaksa berbelanja lebih untuk subsidi petrol, namun ia memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah dan membolehkan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi berbelanja lebih untuk merancakkan ekonomi.

17. Sebagai seorang yang tidak arif dalam ekonomi, saya tertanya-tanya apakah akan terjadi jika golongan berpendapatan sederhana dan tinggi yang terpaksa mengeluarkan begitu banyak wang untuk petrol, cukai pendapatan, cukai jalan mula berjimat, membeli barangan yang sebelum ini hanya untuk golongan bawahan, membeli rumah yang murah dan berhenti berbelanja hujung minggu?

18. Apa akan terjadi kepada putaran ekonomi negara?

19. Pembuat dasar atau polisi tidaklah boleh melihat sesuatu isu ekonomi terutama subsidi barangan penting kepada seluruh rakyat seperti petrol dalam bentuk yang mikro sehingga gagal melihat secara makro.

Subsidi Beras

20. Menyentuh mengenai subsidi ini juga saya tertanya-tanya apakah rasional untuk menghapuskan subsidi kepada pengilang beras yang bertujuan mengawal harga beras ST 15.

21. Menurut Menteri Pertanian, Datuk Noh Omar, penghapusan subsidi ini bertujuan untuk menjimat wang kerajaan sebanyak RM 60 juta sebulan dan mengelakkan mereka yang tidak layak menikmatinya.

22. Kerajaan khabarnya akan mengurangkan kos subsidi beras gred ST15 (15 peratus hancur) sebanyak RM51.5 juta apabila pelaksanaan kupon beras percuma kepada 200,000 keluarga miskin di seluruh negara dilaksanakan bermula 1 Disember ini.

23. Pada masa ini harga sekilo beras ST 15 ialah RM 1.80. Ini bermakna sekampit (10 kilo) beras ST 15 berharga RM 18.00. Dan mengikut maklumat ia akan naik kepada RM 24 sekampit.

24. Berdasarkan harga semasa dan harga tanpa subsidi yang dinyatakan kerajaan, ini bermakna rakyat perlu menampung kenaikan sebanyak RM 6 sekampit. Berasaskan penggunaan biasa, satu isi rumah mungkin memerlukan sekitar 20 kilogram beras sebulan. Sebanyak RM 12 sebulan perlu ditambah dalam perbelanjaan bulanan.

25. Mungkin bagi kabinet kenaikan ini tampak kecil namun ia memberi banyak kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

26. Berasaskan penggunaan purata 20 kilogram sebulan, susbsidi kerajaan sebanyak RM 60 juta sebulan; maka dianggarkan terdapat 5 juta rumah yang menggunakan beras jenis ini, (5 juta x RM 12).

27. Katakanlah terdapat kegunaan untuk kedai makan dan asrama, anggaran kovensional ialah sekitar 2 juta rumah yang menggunakannya. Jika terdapat dua hingga tiga orang di dalam rumah tersebut, maka kerajaan BN telah menyebabkan kemarahan hampir 3 juta rakyat yang akan diterjemahkan dalam pilihan raya akan datang.

28. Jika mereka mampu membeli beras yang lebih baik grednya tentulah mereka ini tidak membeli beras ST15. Bayangkan bila kenaikan ini berlaku.

29.Demikian juga di kalangan industri makanan seperti asrama dan kedai makan kecil yang margin keuntungan tidak seberapa terpaksa menanggung kos kenaikan ini?

30. Masalah ini akan berlarutan pula kepada proses pemberian dan pengambilan kupon subsidi. Ahli Parlimen akan mendapat beban politik kerana akan ada yang marah kerana tidak dapat kupon tersebut.

31. Pemberian kupon di Sabah dan Sarawak akan lebih bermasalah. Keadaan geografi dan pengangkutan di kawasan pendalaman mungkin menyebabkan kos pengangkutan untuk mereka yang miskin mendapat kupon lebih tinggi daripada harga kupon sendiri.

32. Ini belum lagi masalah keengganan peruncit untuk menerima kupon.

33. Jika kerajaan mahu menghapuskan subsidi beras ini maka kerajaan juga perlu menghapuskan sebarang kawalan ke atas idustri beras termasuk pemilikan permit masuk dan pelbagai sekatan untuk membawa masuk beras luar?

34. Kerajaan tidak boleh melakukan dua perkara yang kontradik dalam masa yang sama. Dalam keadaan kerajaan tidak mahu menanggung beban kewangan, kerajaan pula mahu bertindak sebagai penguasa yang menghalang rakyat mendapat barangan murah.

35. Kita semua ada membuat kesilapan baik semasa mentadbir mahu pun semasa membuat kenyataan, namun gunakanlah pengalaman tersebut untuk membetulkannya bukannya meneruskan kenyataan-kenyataan tidak berpijak kepada realiti rakyat banyak.

36. Janganlah jadi seperti seorang bekas menteri baru-baru ini membuat kenyataan bahawa beliau terkejut dengan begitu banyak kadar tol yang perlu dibayar sedangkan beliau berada di dalam kabinet semasa membuat keputusan menaikkan kadar tol.

37. Ketika saya menulis sebelum ini bahawa kita tidak mengharapkan kerajaan menjadi sebuah negara kebajikan tetapi negara sejahtera, tentulah saya tidak sama sekali bermaksudkan kerajaan perlu menarik subsidi-subsidi penting seperti petrol dan beras.

38. Kerajaan terlalu banyak membantu golongan miskin dan orang tua sehingga melupakan golongan muda dan berpendapatan sederhana sedangkan mereka ini merupakan majoriti pengundi hari ini.

39. Dalam pilihan raya lalu, Barisan Nasional hampir kalah kerana polisi-polisinya mengabaikan kelompok pengundi terbesar iaitu orang muda dan kumpulan berpendapatan sederhana.

40. Bagaimanakah boleh menjadi sebuah negara sejahtera jika kumpulan majoriti terabai? Jangan nanti subsidi yang diberikan indah khabar dari rupa.

Nota: Saya gembira jika ramai tidak bersetuju dengan pandangan saya kali ini kerana ia akan menunjukkan polisi dan keputusan kerajaan betul dan diterima rakyat.

44 comments:

  1. Dskt, inilah sedihnya pembuat dasar. Mereka gagal memahami kemelut politik hari ini berpunca dari dasar yg flip flop pemimpin yg lemah. Apakah DSN akan meneruskan idea ini atau apakah DSN mendapat nasihat dari org yg sama yg pernah menasihati PM sebelum beliau. Dalam keadaan rakyat mula menaruh keyakinan kpd kerajaan pimpinan DSN, maka dibuat keputusan melulu tanpa memikir denyut nadi rakyat melayu bandar.

    Atas kertas budget nampak indah dan baik, tetapi bila sampai peringkat perlaksanaan maka hasilnya kelak akan lebih menyusahkan. Lihat sahaja kenaikkan harga minyak semasa Tun Abdullah menerajui negara, sebagai ganti dan bantuan kpd golongan berpendapatan rendah maka bayaran rebate semasa memperbaharui cukai jalan diberi. Tidakkah kos pembayaran rebate jauh lebih tinggi berbanding subsidi dan faedah hanya dirasai oleh segelintir rakyat sahaja. Dan akhirnya sistem tersebut didapati tidak mencapai matlamat serta rakyat mengajar pemerintah melalui PRU12.

    Tak mahu belajar lagikah regim 1Malaysia ini kepada pengelaman yang lalu.

    ReplyDelete
  2. salam..tq kerana ambil peduli tentang bajet yang terbaru ini..

    sebaik sahaja bajet tersebut dibentangkan,ianya membuatkan saya termenung panjang memikirkan percaturan-percaturan baru yang perlu dibuat bagi mengimbangi ekonomi sekeluarga.

    penat memikir dan bertambah hairan kerana terlintas difikiran kenapa kerajaan mengambil jalan yang membebankan dengan pengubahsuaian kaedah atau sistem subsidi yang diamalkan seperti sebelum ini..sekadar percubaan ataupun perjudian nasib yang sangat memenatkan semua pihak.

    kepada menteri-menteri yang sudah lupa diri itu,mungkin anda sudah selesa dan bermewah-mewah dengan menolak dan beranggapan sinis terhadap penerima subsidi.Anda harus sedar bahawa gaji dan elaun anda datangnya dari hasil wang rakyat.

    rakyat berhak menerima subsidi kerana masing-masing mempunyai peranan yang tersendiri dalam memajukan negara.

    mungkin terlalu awal untuk saya menjangkakan kesan bajet tersebut.Sama ada positif atau negatif.sama-sama kita lihat dan berdoa agar tiada udang disebalik batu..bagi puak yang panjang akal dan pembelit pasti gembira dengan bajet mewah yang telah dibentangkan itu..wallahualam

    Hadis menerangkan maksud “Pemimpin
    yang paling baik adalah pemimpin yang kamu kasihi dan pemimpin itu mengasihi
    kamu. Pemimpin yang tidak baik ialah mereka
    yang kamu benci dan ia membenci
    kamu.

    ReplyDelete
  3. Saya sangat bersetuju dengan pandangan dato seri, apalah sangat berpendapatan seisi rumah sebanyak rm 5,000.00 untuk hidup ditengah kepesatan bandaraya ini.Beruntunglah rakan-rakan yang hidup di bandar-bandar kecil, kami ni celik mata saja dah kena keluar duit!!!

    ReplyDelete
  4. Syabas Dato' Seri diatas keberanian menongkah arus.Ada logiknya kata2 YB namun bagi kami golongan pendapatan rendah ini , lebih suka jikalau subsidi minyak ditambah lagi.

    ReplyDelete
  5. Salam DS,

    Lama saya menunggu ulasan DS berkaitan Bajet 2010. Saya amat bersetuju dengan posting DS ini. Setiap kali pembentangan bajet golongan orang tua dan miskin sahaja yang selalu dibincangkan. Golongan pertengahan dan sederhana mereka tak ingat. Perbandingan DS tentang siapa sebenarnya "golongan berpendapatan rendah" sangat tepat. Jika banyak subsidi ditarik atau dikurangkan maka akan banyak lagi kawasan akan jatuh ke tangan lawan dalam pilihanraya akan datang.

    ReplyDelete
  6. YB Dato,

    Saya bersetuju sungguh dengan pandangan ini,jika pihak kerajaan tidak menguruskan pemberian subsidi ini dengan bijak lebih lebih lagi subsidi beras itu,ianya akan menyemarakkan lagi api kebencian rakyat terhadap BN,seperti di Sabah(KOTA BELUD)rakyat bawahan telah mula mengomel perihal subsidi ini..semoga riak riak kecil itu bukan tsunami!

    ReplyDelete
  7. Ybhg DS Dr:

    Dlm mencari ruang untutk tidak bersetuju dengan pandangan DSDr saya tidak dapat tidak terpaksa bersetuju dengannya. Di kalangan rakan2 juga saya selalu menyebut di mana2 pembelaan dilaksanakan ke atas golongan miskin dan fakir sedangkan golongan menengah dan menengah rendah ini yg sebenarnya menanggung kos sarahidup yang menyiksakan sedangkan mereka tidak layak mendapat bantuan2 yg disediakan untuk golongan miskin dan fakir.

    Dan saya sangat bersetuju dengan pandangan DSDr bahawa barangan asas seperti beras dan petrol itu perlu disubsidikan untuk setiap rakyat supaya tidak membebankan lagi kos sarahidup yg telah sedia tinggi sekarang ini.

    Kalau pun kerajaan yg ada sekarang tidak peduli tentang PRU13 sekurang2nya pedulikanlah rintihan majoriti rakyat yg makin tersepit hidupnya sekarang oleh kos kehidupan yg amat2 tinggi dan membebankan hasil drp "kebijaksanaan" pentadbiran TAAB dulu.

    ReplyDelete
  8. Pendirian DS amat dialukan. Bajet terbaru menghampakan kepada golongan berpendapatan sederhana yang kian hari sesak dengan peningkatan kos hidup dan pendapatan yang tidak meningkat selaras dengan kos hidup.

    Perubahan cara hidup yang disyorkan amat tidak praktical dan ianya tidak dipraktikkan oleh para pemimpin. Para pemimpin agak tidak sensitif. Komen seperti, "Takkan RM50 pun tidak boleh di bayar" - sebagai cukai perkhidmatan bagi kad credit amat mendukacitakan. RM50 boleh memenuhi tangki kereta untuk seminggu,RM50 boleh membeli makan tengah hari untuk seminggu dan sebagainya. Bagi golongan berpendapatan sederhana yang tinggal di Lembah Kelang, walaupun berkelulusan tinggi, pendapatan RM4-5k tidak memberikan sebarang keistimewaan, hidup hanya dari bulan ke bulan. Keluarga perlu ditampung, duit rumah perlu dibayar, sesak di jalan - membazir petrol, perlu membayar tol tetapi kesesakkan di jalanraya masih menjadi-jadi.

    Bukannya hidup mewah, bukannya hidup di rumah besar maupun kereta mewah. Berkerja kuat setiap hari, mendapat pendapatan setiap bulan tetapi hanya hidup bulan ke bulan. Harga rumah melambung tinggi, rumah baru tak terbeli, terlalu mahal harganya. Walaupun rumah dibina jauh dari pusat bandar, harga masih tinggi.

    Adakah para pemimpin terfikir akan perkara perkara ini atau terlalu khusyuk dengan percaturan politik masing-masing hingga leka dengan tanggungjawab mereka?

    Pemimpin berjiwa rakyak nampak kurang, ramai hanya menanam tebu di bibir.Slogan sering dilaungkan tapi apa yang diimplementasikan sering tidak menyeluruh.

    Tidak dinafikan ada juga perubahan positif yang berlaku tetapi kesannya tidak seberapa.

    Penurunan cukai pendapatan 1% tidak memberi kesan kepada ramai. Sepatutnya relief anak perlu ditingkatkan, RM1,000 setahun tidak seberapa? Kos makanan bayi, penjagaan dan lain-lain sudah meningkat.

    Kalau hendak dikata banyak yang boleh ditulis.......

    ReplyDelete
  9. Apakah pandangan DS tentang Polisi Automobil Nasional?

    ReplyDelete
  10. Saya amat bersetuju dengan pandangan Datuk Seri,mungkin rakyat akan memberontak dengan cara tidak mengundi Kerajaan pada pilihanraya akan datang,dengan pelbagai kenaikan dan penghapusan byk subsidi.Pembuat dasar sepatutnya menyelongkar segala masaalah dan payah jerih rakyat sebelum membuat sesuatu dasar yang baru,bukan hanya sekadar baik pada pemikiran diorang dan beranggapan baik untuk semua.Dan PM seharusnya meneliti setiap dasar baru yang dibentangkan supaya tidak menjadi buah mulut rakyat dan akan diterjemahkan pada Pilihanraya akan datang.Kerana saya sayangkan akan kerjaaan BN..

    ReplyDelete
  11. http://pkrpasdap.blogspot.com

    itu hanya cadangan...
    kita tak perlu kecoh sangat...

    bagaimana orang indo boleh dapat subsidi?
    dah lah air percuma dapat free bila sewa rumah...

    ReplyDelete
  12. Assalammualaikum DS Dr Khir.
    Alhamdulilah.. DSDr, cuba memahami masalah rakya. hakikatnya rakyat dibelenggu dengan kos sara hidup yang amat tinggi. saya juga setuju dengan pandangan DSDr.
    Cuma saya inggin bertanya pendapat DSDr berkenaan dengan penambahan bayaran bagi pemegang Card Credit..?

    ReplyDelete
  13. Cth paling mudah macam ni Datuk Seri,

    Kepada semua menteri, sila guna duit sendiri untuk bayar tol dalam masa dua bulan. Gunalah kemudahan seperti Touch n Go, seminggu, Smart Tag seminggu dan guna lorong tunai seminggu, tengok sakit ke tidak kepala.

    Kalau subsidi minyak untuk golongan pendapatan rendah, nak nilai dari sudut mana? slip gaji? kalau slip gaji, gaji bersih atau gaji kasar?

    lembu la pembuat dasar budget 2010 ni.

    ReplyDelete
  14. salam.....

    Dapat disimpulkan bajet 2010 bagi golongan
    dari lepasan sekolah menengah yg tidak dapat
    melanjutkan pelajaran mula berjinak kealam
    pekerjaan,mereka yg mula memikirkan umur telah
    meningkat mencongak untuk berkahwin serta mereka
    yg telah ada 2,3 anak kecil...termenung memikirkan
    dan bertanya apakah kebaikan ia dapat dari bajet tersebut...sedang merekalah bakal
    pengundi dan majoriti pengundi penentu kelangsungan
    parti pemerintah....

    Adakah pemimpin UMNO peduli?

    ReplyDelete
  15. Dato saya sokong kata-kata Dato. Inilah rakyat suka. Inilah rakyat sokong. Dato lah hati rakyat.

    Subsidi Petrol
    1. Kerajaan kata kereta dari Singapura & Thailand pun dapat subsidi so kerajaan seharus kenakan tol terhadap kenderaan ini sebanyak RM30 sebelum masuk ke Malaysia. Ini juga sama dengan kenderaan Malaysia yang masuk ke Singapura dikenakan ERP sebanyak SGD$20 (RM 45).

    Keuntungan TOL RM 30

    1. Dengan tidakan ini kerajaan boleh megawal lain-lain subsidi seperti gula, beras, susu & minyak makan. Tiada kenderaan asing masuk maka mereka tidak dapat bawa barang-barang subsidi keluar dari Malaysia.
    2. Kerajaan memperolehi pendapatan. Dari pendapatan ini kerajaan boleh gunakan lain-lain project.

    ReplyDelete
  16. Dato,
    Saya amat setuju dengan Dato, saya rasa terkilan dengan Bajet 2010 sebb ianya LEBIH mengutamakan golongan miskin dan kakitangan kerajaan semata2. Kalau hendak membantu sekalipun bajet perlu mengutamakan pada bahagian bagaimana menjana ekonomi untuk golongan miskin dan kakitangan kerajaan dan bukan pemberian imbuhan semata2...

    ReplyDelete
  17. Salam Perjuangan,

    Saya begitu bersetuju dengan pendapat DSKT berkenaan hal ini... pemikir, perancang & Pentadbir perlu melihat jauh dan terkehadapan
    bagi menilai kesan tindakan mereka sekarang... apakah mereka tidak belajar dari bahana kejatuhan era PAK LAH (from hero to TKO) yg terjadi akibat polisi dan pendekatan yg sama sekali membebankan rakyat & ternyata salah...

    kita maklum org yg sama (zaman Pak Lah) masih ada dalam pentadbiran najib yg hanya tahu bercakap berdegar-degar tp hanay disokong pemikiran & teori atas kertas shj - namun yg ternyata tidak praktikal & memberikan bebanan & liabiliti kepada kerajaan untuk dipersalahkan pada masa hadapan... takkan DS Najib tak belajar kut dr apa yg terjadi pd Pak Lah???

    Sesetengah menteri & pembuat dasar tidak langsung dapat membuat unjuran impak masa hadapan keputusan mereka hari ini... mereka seperti snegaja menggali lubang kubur untuk akhirnya nanti kerajaan dipersalahkan rakyat... rasanya mereka golongan Anwar yg sabotaj kerajaan dari dalam... talam 1000 muka

    Kini mangsanya yg tersepit adalah dari golongan marhaen seperti kita... APA YG RAKYAT SANGAT-SANGAT MAHUKAN??? buat pengetahuan DS Najib RAKYAT HANYA mahukan PEMBELAAN.... itu sahaja...
    1. satu tindakan pembelaan yg dapat dibuat secara berskala besar - membantu kesemua golongan sederhana ke bawah
    2. tindakan yg dapat dirasakan impaknya dengan segera terutama membantu dari segi kedudukan ekonomi
    3. satu tindakan yg dapat dilaksanakan terus tanpa birokrasi ketat atau ruang penyelewengan - tanpa kupon etc
    4. tindakan yg tidak meletakkan kerajaan sebagai penanggung liabiliti secara langsung - sbg kambing hitam yg mudah dipersalahkan...
    5.satu tindakan yang segera, tepat & terlus namun impaknya berpanjangan dirasai rakyat

    bersama kita fikirkan & DSKT serta DS Najib pun fikirkanlah... mungkin gaji minima golongan rendah, penurunan drastik kadar tol atau lain-lain lagi...

    kepada Allah Berserah

    www.idealismalaysia.blogspot.com

    ReplyDelete
  18. saudara abg mie terjah,

    Memang benar kadang kala kita fikir tidak adil pekerja asing turut menikmati subsidi asas ini. Namun fikirkan pula apakah yang akan terjadi jika mereka terpaksa membayar lebih sedangkan gaji lebih mereka sangat murah.

    kesannya:

    1. mereka mungkin meninggalkan negara ini kerana gaji murah tetapi kos sara hidup tinggi. Ini akan menyebabkan berlaku kekurangan tenaga kerja yang serius, sekaligus menganggu ekonomi negara.

    2. akan berlaku pelbagai masalah sosial dan jenayah kecil-kecilan. Untuk menampung kos sara hidup yang tinggi tidak mustahil ada akan membuat jenayah kecil-kecilan seperti ragut dan rompak. Yang perempuan pula tidak mustahil akan membuat kerja sampingan lain yang boleh membawa gejala sosial yang lebih serius.

    Jika tidak mahu pekerja asing mendapat subsidi keperluan asas elok kita cari alternatif kurangkan tenaga kerja asing. Ini kerana mereka juga manusia yang ada keperluan asas.

    Kita bukan bercakap soal subsidi kereta, motor atau barangan biasa. Kita bercakap soal subsidi beras, keperluan asas manusia.

    ReplyDelete
  19. Saudara jiwakita,

    pemimpin UMNO peduli masalah rakyat. Cuma kadang-kadang penggubalan polisi tidak mencerminkan kepedulian ini. Inilah tanggungjawab kita memberitahu pembuat polisi. Mereka juga insan biasa yang ada kekurangan dan kelemahan untuk kita tegur dan beri pandangan bukannya herdik dan membenci.

    ReplyDelete
  20. Sdr Vaanan dan sahabat gloggers lainnya,

    Baginsayandasar automotif yang baaru diperkenalkan akan memberi kesan kepada golongan pertengahan dan pendapatan rendah.

    Bagi saya yang lebih penting adalah kegagalan kerajaan menyediakan sistem pengangkutan awam yang cekap adalah punca asas yang menyebabkan terlalu banyak kereta diatas jalan,dan peningkatan kos hidup rakyat negara kita.

    Kerajaan perlu melakukan sesuatu yang drastik dalam penyediaan pengangkutan awan yang cekap dan murah sekalipon terpaksa berbelanja besar kerana faedahnya amat baik dalam jangka panjang akan menguntungkan kerajaan.

    ReplyDelete
  21. Teramat setuju dengan pandangan DS berkenaan keperluan perubahan DRASTIK pengangkutan awam.
    Patutnya dalam RMK10 ni Malaysia harus merancang aspek perbandaran dan penempatan kediaman penduduk yang lebih sejahtera agar tidak hanya tertumpu di lembah kelang sahaja.. Orang yang menetap di Seremban, Klang, Rawang dll misalnya boleh dah menggunakan keretapi dengan cekap untuk ke pejabat. Tak perlu hadapi jem dan tol yang memenatkan setiap hari..

    ReplyDelete
  22. syabas dato kerana bersama kami rakyat kecil. sememangnya kami tidak menerima langsung 3 tindakan kerajaan kali ini.

    Sebenarnya banyak masalah akan berlaku apabila subsidi ditarik balik. Sebenarnya saya sendiri ragu ragu kemana perginya keuntungan petronas, hasil cukai arak dan rokok setiap tahun?

    kalau nak dikatakan banyak pembangunan dijalankan, sebenarnya tidak. Yang banyak adalah penyelewengan yang dilakukan oleh pegawai kerajaan, kontraktor yang dilantik kerajaan dan orang orang tertentu yang mempunyai kaitan dengan "orang besar"

    Mereka inilah yang sebenarnya merugikan duit kerajaan setiap tahun. Tai yang kena musibah adalah rakyat kecil yang tidak mempunyai hubungan langsung dengan kerajaan.

    Selain itu, roadtax kereta hanya akan diberi setelah kereta berusia 15 tahun melalui semakan puspakom juga adalah tidak wajar.

    Alasan yang diberikan adalah kerana berlaku banyaknya kemalangan. Apa cerita ni?

    Cuba tengok balik kereta yang eksident tu. Semuanya kereta baru dan yang diubahsuai. Sebenarnya tak ada kaitan langsung kereta berusia 15 tahun ke atas dengan kemalangan.

    Kereta lama kebanyakkan hanya digunakan dikawasan kampung, pekan kecil yang tidak ada kaitan langsung dengan kemalangan.

    Rakyat hanya dibebankan kerana nak pergi puspakom. Selain itu, mungkin akan berlaku penyelewengan diantara "orang kerajaan" dengan puspakom.

    Apa kes servis kereta perdana di terengganu dulu? semuanya senyap sekarang.

    Kalau kerajaan tidak mengambil langkah bijak, kerajaan BN akan tumbang sepenuhnya di PRU 13 nanti.

    ReplyDelete
  23. Kali ini saya bersetuju dengan datuk walaupun saya bukan penyokong datuk. Saya ucapkan tahniah di atas buah fikiran dan pendapat datuk...

    ReplyDelete
  24. syabas DSKT di atas keperihatinan terhadap rakyat. Moga DSKT menjadi pemimpin yang berjiwa rakyat.

    ReplyDelete
  25. salam....

    RAKYAT KESELURUHANNYA HENDAKKAN SETIAP
    BAJET YG DIBUAT OLEH KERAJAAN 'MENGENA'
    PADA TEMPAT DAN GOLONGAN SASAR.....
    BUKAN SASAR ITU PADA ORANG MISKIN, OKU ,
    IBU TUNGGAL ATAU ORANG TUA SAHAJA...DARI
    DULUPUN MEREKA DAPAT KEISTIMEWAAN YG ORANG
    TIDAK BOLEH PERTIKAI..
    SETIAP INSAN BERNYAWALAH PERLU UBAT
    PELEGA DARI KERAJAAN...

    RASANYA KERAJAAN BELUM PERNAH BERTINDAK
    RADIKAL.....DALAM SETIAP BAJET!

    TIAP KALI BAJET DIBENTANG SAHAJA..PARA PELABUR,
    PEMAIN INDUSTRI,PENIAGA AMAT MEMUJI...SEBALIKNYA
    MEREKA SEBENARNYA'MENGEJI ATAU MENGEJEK PEKERJANYA....GAJI RENDAH,ELAUN POTONG,O.T DIBENAR 100JAM KEBAWAH SAHAJA..TETAPI SYARIKAT
    MENAMBAH ASET DENGAN MEMBUKA CAWANGAN ATAU GEDUNG LEBIH BESAR...!

    KERAJAAN HARUS PERKENALKAN GAJI POKOK MINIMA RM1500...INI DIANGGAP SEBAGAI SUMBANGAN SOSIAL KEPADA PEKERJANYA....BAGI PEKERJA TELAH LAMA BERHIDMAT TAPI MASIH BERGAJI DIBAWAH GAJI POKOK
    MINIMA KENAIKAN 20-30% MANDATORI DIBERI!

    APA PANDANGAN DATO'?

    ReplyDelete
  26. salam....

    setiap bajet ada peruntukan kepada pembangunan,
    tetapi pembangunan macamana yg boleh memberi
    impak sekala besar kepada golongan sasar.. itu
    lebih penting...contoh projek mega akhirnya
    tidak memberi apa2 makna lebih2 lagi jika runtuh
    atau terbengkalai..eloklah bajet diperuntuk kpd
    apa yg telah ada seperti projek rumah terbengkalai! atau tambahkan rangkaian lebuhraya
    percuma (tanpa tol)....yg bertolpun orang tersiksa!akhirnya kerajaan dibenci!

    bayangkanlah pembangunan yg tidak terancang..
    sedang warga semakin bertambah,tanah,hutan dan bukit bukau semakin mengecil (semakin tepu)?

    ReplyDelete
  27. Salam DSKT....

    Bocahkampong ingin berkongsi sedikit pandangan mengenai budget kali ini....walaupun tak berapa pandai pasal ekonomi ni....

    Dasar yang dibuat oleh kerajaan biasanya untuk kepentingan rakyat dan soal subsidi nipun ditujukan untuk rakyat juga.

    Soalnya apakah perlaksanaannya akan menyeluruh dan semua yang terbabit akan berpuas hati dan siapakah yang akan menapis untuk menentukan kelayakan yang akan mendapat subsidi.

    Dasar memang senang dibuat tapi perlaksanaannya apakah sesenang membuat dasar,kita ambil contoh seperti undang undang yang dilaksanakan apakah cukup penguatkuasaannya ataupun undang undang dibuat hanya sekadar untuk di langgar supaya senang nak saman.

    Bagi yang ada duit,okeyla..

    ReplyDelete
  28. LAGI SATU.....

    Kereta yang lebih 15 tahun kena check puspakom sebelum menghidupkan cukai......

    Apakah ini akan dapat mengurangkan kemalangan?
    Ataupun hanya sekadar untuk menambahkan keuntungan puspakom...Siapakah yang banyak memiliki kenderaan yang sejenis ini..

    TAKTAHU PLAK KALAU RAKYAT MALAYSIA NI BANYAK YANG KAYA,,BLEH LA SEMUA TUKAR KETA BARU...

    ReplyDelete
  29. salam....

    BAJET 2010 ...'MENJANA IMPAK PENDAPATAN TINGGI'
    TANG MANA TU..KEPADA RAKYAT,KERAJAAN ATAU PELABUR?
    SEDANG RAKYAT SEMAKIN SESAK UNTUK BERNAFAS?

    ReplyDelete
  30. Assalamualaikum dr

    Bagi kerajaan adalah bagaimana untuk mendapat lebihan pendapatan untuk dijana semuala bagi memudahkan rakyat.Untuk rakyat menikmati sepenuhnya pemberian kerajaan, agak mustahil semua akan dapat menikmati secara 100%,mungkin ada yg akan terima 50% ada yg dapat kurang dan sebagainya,tapi secara keseluruhannya adalah baik.

    Dimanakah kerelaan kita berkorban untuk negara

    Yang penting bajet akan dapat mengalir hingga kepada sasaran tanpa ada ketirisan dimana mana,pelaksana dasar dapat mendengar denyut nadi rakyat yang dahagakan pembelaan.

    Kita tidak mahu lagi mendengar setiap kali lapuran dari Ketua Audit Negara,perkara yang sama masih juga berlaku.
    Rata rata ketua agensi yang berkenaan di jawat oleh orang MELAYU.(betul kah orang Melayu boleh dibeli? atau orang Melayu memang mudah lupa?)

    ReplyDelete
  31. Assalamualaikum dr

    Memang sepatutnya kerajaan memberikan tumpuan untuk menaik taraf pengangkutan awam yang sedari dulu masih tidak kemana.
    Mungkin Kementerian tersebut perlu diterjui oleh PM sendiri.

    ReplyDelete
  32. 1)Kalau sekarang pun nak periksa kereta atau lori mengambil masa sehari suntuk, dan kadang2 dua hari, dengan tambahan 1 juta kereta 15 tahun ke atas ini, berapa hari pulak baru Puspakom boleh siap periksa. Seminggu? Pada yang bergantung semata-mata dengan kenderaan itu, tak payah cari makan lah seminggu. Buatlah persediaan dan siapkan prasarananya selengkap-lengkapnya kalau pun nak buat polisi baru.

    2) Bila harga petrol naik tempohari, semua barangan, perkhidmatan dan sewa pun naik mendadak (kesan Domino). Bila harga petrol turun, ianya turut turun tapi ciput je. Kononnya nak kurangkan jumlah subsidi petrol yang kerajaan tanggung tapi sudahnya, kos yang lain meningkat. Semua benda melibatkan pengangkutan. Pengangkutan melibatkan petrol. Harga petrol naik, harga semua barang/benda pun akan naik. Sudah-sudahnya rakyat merana. Dimana nak lepas marah? PRU. Lalu kerajaan BN tumbang.

    2)Subsidi beras kepada golongan sasar? Sekarang pun penyampaian subsidi-subsidi lain sediada amat lemah dan amat disalahgunakan. Subsidi beras yang sediaada dah amat sesuai sekali. Golongan menengah dan atasan tak gunapun beras 15% hancur. Boleh dikatakan semua golongan ini guna 5% hancur, beras wangi dan import.

    3) Yang selalu saya dengar, alasan subsidi ini mahu ditarik balik kerana tidak adil warga asing menikmati subsidi. Berapa ramai sangat warga asing berbanding warga negara? Yang busuk perut sangat tu kenapa? Menjadi kewajipan kerajaan untuk subsidi warganegara setelah kami rakyat menyerahkan sebahagian duit hempas pulas tulang empat kerat kami melalui cukai pendapatan dan cukai perniagaan. Kepada bukan warganegara tu, kira sedekahlah, makmurlah negara. Kenapa? Tak percaya kepada fadilat sedekah?

    4) Kata negara nak jadi maju. Negara maju tak ada subsidi ke? Selama 7 tahun dulu di Amerika , saya tak pernah bayar duit air. Air percuma secara total. Di sini, air kena bayar. Letrik pula punya lah melambung tinggi tarifnya. Sebelum kenaikan tempoh hari, bil letrik rumah saya hanya sekitar RM190. Selepas kenaikan, ianya menjadi RM450. Pada kadar sebelum ini, kita mampu untuk guna penghawa dingin tapi selepas kenaikan, penghawa dingin kena kopak balik dan jual. Gaji suami pula hanya naik 4% tapi letrik naik lebih 250%. Ni pun ada ura2 nak naik tarif letrik lagi. Selepas petrol naik, gerenti tarif letrik naik. Mampus lah golongan menengah pertengahan seperti kami. Semua perbelanjaan pun meningkat. Sudahnya kemana kemarahan ini hendak dilepaskan? PRU lah. Tumbang BN nanti.

    Saya sayang BN tapi semenjak 1Malaysia dilancarkan, yang saya nampak, Rakyat Majoriti Tidak didahulukan, tetapi Minoriti Didahulukan. Pencapaian? Pencapaian apa?

    ReplyDelete
  33. Tahniah dan syabas DSKT, YB amat memahami denyut nadi rakyat. Semoga DS dapat memanjangkan pandangan rakyat secara ikhlas kpd pengubal dasar, agar slogan Rakyat diutamakan benar-benar menepati maksudnya

    ReplyDelete
  34. Salam DS,
    Saya berpendapat kerajaan sememangnya dahaga sekarang kerana wang tak sebegitu mencukupi,akan tetapi bajet kali ini kena tekannya pada kekurangan yg telah lama merana seperti....
    1)Pengangkutan awam--tak nampak keberkesanan bajet kali ini menyentuh masalah ini!!!Adakah PM menaiki pengankutan awam sebelum ini adalah sekadar wayang kulit???
    2)Setiap bejet yg telah diperuntukkan kena lah ada satu pasukan dari Kementerian Kewangan utk audit adakah wang disalurkan betul2 sampai ke org yg diperlukan?????Membuat sesuatu projek sememangnya senang,akan tetapi memastikan wang tersebut sampai ke org yg diperlukan adalah amat sukar sekali...ini yg selalu rakyat yg tiada kepentingan politik ni merungut selama ini!!!
    3)Kereta berusia....sememangnya kereta sebegini patut kena periksa,dan charge nya sepatutnya diberi diskaun dan kerajaan tidak boleh menggunakan cara sebegini memaksa pengguna kereta berusia supaya mereka membli kereta baru dgn syarat NAP sistem tidak sepatutnya mengenakan tax yg banyak keatas kereta import...biar bebas dari tax...!!

    ReplyDelete
  35. Salam DSKT,

    Tahniah DSKT. Walaupun dah lama saya tak masuk alam comment ni memandangkan kelainan dasar DSKT deangan saya tentang PPSMI, tapi untuk budget 2010 ni saya sangat menyokong DSKT. Teruskan perjuangan DSKT. Saya percaya insyaallah satu hari DSKT akan menjadi orang yang penting di parlimen kelak.

    ReplyDelete
  36. Setuju dgn Pencinta Pantai Bersih...

    Dulu bill TNB rumah saya average RM40 - RM50 while rumah parents kat kampung RM70 - RM80... Lately rumah jadi RM50 - RM60 while kat kampung RM120 - RM140.... Apa kejadahnya tu... pastu ura-ura nak naik lagi.. tak ke bangang tu...

    Every year budget mesti ada allocation untuk public transport... bukan berjuta tapi berbillion.. saya yang naik komuter and Rapid KL since 2004 dapat rasakan service bukan menaik tapi merundum mcm sial... I'm not riding for free OK coz I'm pay the fare... Again my tax money going untraceble to the drain...

    ReplyDelete
  37. Saya amat setuju apa yg ditulis ...Diharap apa yg DSKT tulis ini sampai kepada pihak PM untuk tindakan yg sepatutnya...

    ReplyDelete
  38. Salam DSKT,

    Pandangan DSKT memang banyak kebenarannya. Kenaikan harga barang yang semakin melambung ketika ini akan bertambah kronik selepas budget kali ini. Yang akan menjadi mangsanya adalah rakyat kebanyakan terutamanya yang duduk di bandar2 besar. Saya juga hairan dengan pembuat dasar terutamnya para menteri ini. Mereka mewakili rakyat tetapi dasar yang dibuat tidak banyak mengambil kira beban yang terpaksa ditangung oleh rakyat ketika ini. Tidakkah mereka turun padang melihat sendiri kesusahan yang ditanggung rakyat ketika ini? Jika hanya menyedari selepas tidak menjadi menteri lagi sudah terlambat! Kenaikan harga petrol, barang keperluan, beras dll disertai dengan kadar gaji yang cukup2 makan akan menambahkan lagi beban rakyat. Ia bukan hanya akan menimbulkan masalah dari segi ekonomi semata2 malah turut memberi impak kepada taraf sosial rakyat. Justeru, kami amat memerlukan pemimpin yang benar2 memahami keperitan hidup rakyat ini seperti DSKT. Harapan saya agar kerjaan BN akan lebih memahami keperitan hidup rakyat ketika ini semasa mereka masih ditampuk kekuasaan dan jangan selepas menjadi pembangkang barulah mereka mahu sedar akan kesilapan mereka suatu ketika dulu. Pada masa tersebut nasi sudah menjadi bubur. Janganlah asyik berpolitik sahaja kerana menjadi pemimpin mempunyai amanah yang besar malah akan disoal di akhirat kelak. Justeru itu, tunaikanlah amanah kepada rakyat agar rakyat merasa selesa dan tidak merasa tertekan setiap masa. Masih ramai rakyat yang diluar sana yang sentiasa menangis memikirkan bebanan hidup yang semakin membebankan.

    ReplyDelete
  39. salam DSKT...
    Saya setuju 100% pandangan DSKT. Semasa peralihan kuasa DSNajib dgn Paklah, memang subsidi petrol lah yg saya mahukan ada perubahan.. Selain masalah kepimpinan, rakyat sekarang lebih hidup susah sejak Paklah berkuasa sehingga skrg.
    Dalam pemerhatian saya, sejak era paklah hingga kini akan meningkatkan lagi kadar kemiskinan di negara kita. Manakala pandang pakar ekonomi negara, seolah-olah hanya membantu kemarahan rakyat terhadap UMNO dan BN kerana harga kenaikkan barang yg tidak terkawal semakin meningkat harganya di pasaran.
    Sebenarnya punca utama pemimpin kita tidak merasai keperitan rakyat ialah kerana mereka masih lagi duduk di kerusi yg selesa dan bilik berhawa dingin. Jika mereka sudah tidak terpilih suatu hari nanti dan duduk dlm suasana rakyat biasa, mungkin pada masa itulah mereka akan sedar.
    Oleh itu, kembalikan subsidi minyak yg telah diberikan pd era Tun M agar rakyat kembali reda kemarahan mereka kpd kerajaan. Insya'Allah, saya berkeyakinan rakyat akan kembali semula kpd kerajaan.
    Kesilapan pemimpin kita juga pada hari ini yang terlalu ego pada diri sendiri kerana hendak menunjuk pandai. Jika saya menjadi Paklah dan DSNajib, saya akan teruskan usaha2 yg telah dilakukan Tun M dan menambahkan pembaharuan yg tidak dilakukan oleh Tun M. Sebab pemikiran Tun M, tiada tandingannya oleh pemimpin2 Malaysia kini. Mungkin DSKT pun setuju kot..
    http://selempangmerah69.blogspot.com/

    ReplyDelete
  40. salam,

    discussion yg menarik, byk relevan. cuma ada satu perkara perlu saya nyatakan di sini. harap maaf.

    statement DS (38) yg mengatakan gol tua dan miskin terlalu byk diutamakan/bantuan, sedangkan majoriti pengundi ialah dari gol muda dan berpendapatan sederhana: saya kurang bersetuju. Bagi saya, bantuan dan subsidi kerajaan persekutuan, tidak sewajarnya digunakan utk memancing undi, tetapi sebagai amanat utk meringankan beban rakyat yg kurang bernasib baik. Ikhlas dalam pemberian, rakyat pandang dan faham.

    statement (39), saya rasa polisi kerajaan itu bukan merujuk kepada pemberian subsidi, kerana gol muda (terutama yg intelek), lebih kritis, dan tidak sangat mengharapkan bantuan kerajaan.

    Sekiranya DS ingin membantu gol muda ini, bantulah dari segi pendidikan.. saya kurang arif dasar kerajaan memberi tajaan berdasarkan merit itu, cuma saya harap hendaklah merit itu comes after parents income.. susah org miskin yg serba kekurangan ingin melawan gol kaya yg penuh kecukupan dan keselesaan (secara umum)

    ReplyDelete
  41. AKUM DSKT= Saya amat setuju dengan pandangan DSKT berkenaan apa yang DSKT utarakan berkenaan bajet 2010 yang pasti nama DSKT tidak akan dicalunkan untuk PRU 13 nanti kalau tidak percaya tunggu dan lihat ya DSKT tapi saya tabik dan hormat pada DSKT kerana berpegang teguh kepada amalan mulia iaitu rakyat mesti didahulukan betul tak kawan2. Dibarat ada masyrakat kebajikan yang segalanya disumbang oleh kerajaan yang memerintah dan dimalaysia ada masyarakat subsidi yang dinikmati oleh keseluruhan rakyat termasuklah yang kaya raya bahkan yang bergelar bilionair atau milionair bahkan yang miskin ketahap papa kedana pun sama juga mendapat faedah nya betul ker tanggapan saya DSKT apa yang saya katakan ini.Contoh nya subsidi minyak subsidi gula tepung apakah orang bilionair atau milionair ada perbezaan semasa membeli barang2 tersebut? tentu tidak maknanya subsidi dinikmati oleh semua pihak termasuk DSKT bahkan ketua pembakang DSAI juga merasai nikmat nya. Yang penting apakah isu nya ialah ketidak adilan berlaku dalam hal2 tertentu yang sepatutnya yang sepatutnya mendapat tapi tidak mendapat itulah masaalahnya yang berlaku seperti subsidi untuk memiliki rumah pendidikan dan perubatan inilah sepatutnya keperluan yang perlu kerajaan fikirkan untuk kesejahteraan rakyat yang majorotinya masih mengharapkan bentuk subsidi atau bantuan. ok lah saya dah penat lain kali saya tulis lagi. JUMPA LAGI WSLM DSKT

    ReplyDelete
  42. terima kasih datuk seri..kerana berfikir untuk kami rakyat dibawah....

    ReplyDelete
  43. Salam DSKT,
    Pandangan DS memang mengena, tepat, padat dan jelas....
    Teruskan perjuangan DS demi maruah bangsa keramat kita.
    Jangan takut kepada pembodek-pembodek dalam UMNO dan BN.
    Tegakkan kebenaran agar Malaysia terus melangkah jauh di mata dunia tanpa Pemimpin-pemimpin yang "tidak pandai" memimpin dan penuh dengan tamak haloba tu...
    TAHNIAH DSKT

    ReplyDelete