Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Saturday, March 28, 2009

Kalah Menang Adat Bertanding

1. Keputusan pemilihan UMNO telah pun diketahui. Demikian juga keputusan sayap-sayap UMNO, Pemuda, Wanita dan Puteri. Secara peribadi saya terima kekalahan ini sebagai satu lagi cabaran dan dugaan sebagai ahli politik. Kita hanya boleh merancang dan berdoa tetapi perancangan Allah jua yang maha bijaksana.

2. Ada yang mempertikaikan mengapa saya tidak berada di dalam dewan sewaktu pengumuman keputusan. Saya bukanlah Perwakilan ke Persidangan Pemuda UMNO tahun ini justeru saya tidak berhak berada di dalam dewan tersebut. Kehadiran saya semasa awal persidangan hanyalah sebagai pemerhati sahaja.

3. Jadi tidak usahlah membuat andaian tidak benar bahawa saya takut menghadapi kekalahan. Walaupun kalah saya tetap menghadiri Perhimpunan Agung UMNO sehingga tamat. Jawatan hanyalah satu plaform untuk berkhidmat. Tanpa jawatan juga kita boleh menyumbang kepada parti dalam bentuk yang lain.

4. Kekalahan ini tidak akan melunturkan semangat saya untuk terus membantu memperkukuhkan parti demi membangunkan agenda agama dan bangsa. Insyallah saya akan terus menjalankan tugas-tugas saya sebagai ADUN Sungai Panjang, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Ketua Pembangkang Selangor dan apa sahaja peranan-peranan lain jika diberi tanggungjawab oleh parti pada masa akan datang.

5. Saya juga percaya gandingan mantap Presiden dan Timbalan Presiden serta Naib-naib Presiden yang menang berupaya memberi harapan baru dan membawa pembaharuan dalam parti. Memang benar ada terdapat nama-nama tertentu mungkin tidak popular di luar parti tetapi menang dalam pemilihan kali ini. Ini lumrah politik. Mustahil kita dapat mencari semua pemimpin disukai oleh semua orang dalam satu-satu masa. Jika dalam setandan pisang hanya ada satu dua yang buruk janganlah pula dianggap semua pisang tersebut buruk belaka. Lihatlah banyak yang elok berbanding buruk.

6. Menang dan kalah adat pertandingan. Jatuh dan bangun asam garam politik. Jika tidak sedia dilanda ombak, tentulah saya tidak berumah di tepi pantai.

Sunday, March 22, 2009

Perhimpunan Orang Melayu

1. Minggu ini akan berlangsung Perhimpunan Agung UMNO yang merupakan salah satu perhimpunan penting kepada orang Melayu dan juga negara kita. Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa mahu pun agama akan memberi perhatian lebih dengan apa yang akan berlaku dalam pemilihan kali ini kerana keputusan-keputusan pemilihan parti dan ucapan penggulungan Timbalan Presiden akan memperlihatkan hala tuju UMNO, Barisan Nasional dan Malaysia buat beberapa tahun akan datang.

2. Masa depan UMNO juga banyak bergantung kepada barisan kepimpinan yang akan di pilih kali ini. Apakah UMNO mampu menampilkan satu barisan kepimpinan yang dinamik membawa imej Melayu dan Islam sambil tidak mengenepikan kepentingan kaum-kaum lain.

Berani Berubah, Pembaharuan (Reform) dan Orang Melayu yang Cemas

3. Hari ini juga Mingguan Malaysia membawa wawancara yang cukup menarik membabitkan tiga orang tokoh pemimpin UMNO iaitu mantan Perdana Menteri, Perdana Menteri sekarang dan Perdana Menteri akan datang.

4. Pak Lah dengan gesaan orang Melayu mesti Berani Berubah, Datuk Seri Najib menyatakan keazaman membentuk pasukan Pembaharuan (reform) dan Tun Mahathir pula melontarkan kegelisahan orang Melayu hari ini terhadap kelemahan UMNO dan masalah-masalah dalamannya. Pak Lah bercakap soal hari ini, Datuk Seri Najib bercakap soal masa depan dan Tun Mahathir bercakap soal dilema orang Melayu hari ini dan akan datang.

5. Bayangkan jika selepas perhimpunan akan datang, ketiga-tiga tokoh ini dapat duduk semeja mencari jalan mengukuhkan semula UMNO dan memajukan negara ini. UMNO pasti akan kembali kukuh dan kuat. Politik negara juga akan menjadi lebih stabil dan prospek ekonomi juga pasti akan menjadi lebih baik.


Fitnah, Tohmahan dan Adu Domba melalui SMS

6. Sungguhpun semua calon dari Timbalan Presiden sehinggalah ke jawatan-jawatan EXCO dalam sayap UMNO berikrar untuk bertanding secara kekeluargaan, namun fitnah dan tohmahan tetap berlaku. Jika sepuluh atau dua puluh tahun lalu fitnah dan adu domba ini dilakukan melalui surat layang dan bisik-bisik hari ini ia dilakukan melalui sistem pesanan ringkas (sms) dan laman blog.

7. Paling ketara hari ini ialah kebanjiran "sms-sms layang" yang entah dari mana datangnya untuk mengadu-dombakan pemimpin UMNO. Jika apa yang dikatakan itu benar mungkin bukan masalah. Sebaliknya bila yang disebarkan itu merupakan cerita palsu ia boleh menjadikan hubungan sesama pemimpin renggang atau terputus.

8. Perwakilan haruslah bijak menilai antara kebenaran fakta atau tohmahan untuk menjatuhkan kredebiliti mana-mana calon. Lebih teruk lagi kadang-kadang nama pemimpin UMNO dan bekas pemimpin UMNO turut digunakan. Kononnya mereka ini kecewa dengan calon ini atau mereka ini menyokong calon tertentu.

9. Selain sms layang yang menggunakan nombor atas nama warga asing, saya difahamkan kini juga terdapat teknologi sms berasaskan laman web yang membolehkan kita mengklon nombor telefon. Ini bermakna sesorang yang mahir dalam bidang ini boleh menghantar pesanan sms menggunakan nombor telefon saya tanpa perlu memiliki telefon bimbit saya pun. Ini amat merbahaya kerana ia boleh disalah gunakan disaat-saat akhir pertandingan.

10. Saya berharap para perwakilan bijak membuat pertimbangan dan tidak mudah terpedaya dengan taktik-taktik sebegini.

Kesimpulan

11. Yang penting dalam dalam politik UMNO kita harus memastikan yang menang tidak menjadi arang dan yang kalah tidak menjadi abu. Hadapilah pertandingan ini dengan berlapang dada.

12. Kepada para perwakilan saya berharap kita semua dapat membuat solat isytiqarah untuk mencari barisan kepimpinan yang mampu menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.

Sunday, March 8, 2009

Bermuhasabah Dengan Titah Tuanku Sultan Selangor


1. Selamat menyambut Maulidur Rasul kepada para pembaca sekalian. Sambutan maulidur rasul atau hari keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. merupakan antara hari keraian umat Islam yang sekarang ini tampaknya sudah tidak lagi dihayati secara menyeluruh oleh orang Islam.

2. Kebanyakan kita menyambut maulidur rasul dengan program-program rasmi oleh kerajaan dan persatuan tertentu sehinggakan penghayatannya tidak lagi menyelusuk dalam sebahagian generasi muda Melayu.

3. Kepada sesetengah orang, sambutan maulidur rasul tidak lebih satu lagi cuti umum, hari untuk berehat bersama keluarga. Ada juga yang menghabiskan malam cuti dengan hiburan yang keterlaluan sehingga mencemarkan sambutan yang amat besar maknanya kepada umat Islam ini.

4. Sirah perjuangan, kepimpinan dan dakwah Rasulullah sudah tidak lagi dihayati oleh kebanyakan kita sehingga perpaduan umat Islam di negara ini menjadi amat rapuh sekali akibat adu domba, fitnah, cercaan dan penghinaan yang tiada penghujungnya. Kita boleh menunding jari menyalahkan antara satu sama lain sebagai pihak yang bersalah. Hakikatnya semua pihak yang berpecah dalam politik sehingga tidak boleh bersatu dalam isu agama harus menanggung kesalahan ini.

5. Mungkin sebab itu Tuanku Sultan Selangor memilih hari Jumaat sebelum sambutan Maulidur Rasul ini untuk memberi satu titah peringatan yang keras dan mungkin perlu dijadikan satu peringatan kepada orang Melayu dan umat Islam di negara. Intipati titah Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah antara lain menyatakan:

* orang Melayu yang terus mempersoalkan kedudukan raja-raja dan bangsanya sendiri sebagai biadap.

* Golongan ini juga disifatkan baginda sebagai tidak berbudi bahasa dan tidak ada perasaan malu kerana mempertikaikan perkara berkaitan kedudukan raja-raja dan hak orang Melayu secara terbuka.

* Kemajuan dan pembangunan yang dicapai boleh hancur jika orang Melayu terus bercakaran, disebabkan terlalu ghairah merebut kuasa.

* Tidak ada gunanya bangsa Melayu kekal di dunia tetapi tidak bertamadun, tidak dihormati dan boleh dipermainkan serta diperalatkan.

* Orang Melayu perlu bersatu apabila timbul isu-isu yang melibatkan kepentingan mereka dan Islam.

6. Sebagai pelindung ("the custodian") kepentingan Islam dan Melayu di negara ini, titah baginda jumaat lalu hendaklah diberi perhatian serius dan dilihat satu cabaran kepada seluruh saf kepimpinan Islam di negara ini untuk mencari titik persamaan dalam perjuangan untuk agama Islam.

7. Titah baginda tersebut amat tepat sekali apabila melihat bahawa demi kuasa dan kedudukan sebahagian pemimpin Melayu tampak sudah bersedia untuk mengorbankan beberapa keistimewaan agama Islam seiring dengan kedudukannya sebagai agama persekutuan.

8. Baik di dalam UMNO mahu pun di dalam Pas dan PKR, sudah ada mereka yang sanggup mengorbankan beberapa isu agama demi memastikan parti masing-masing terus mendapat sokongan bukan Islam.

9. Malahan terdapat pemimpin Melayu yang sebelum ini dianggap ortodok agama; konservatif dan fundementalis Islam (dalam tafsiran asal, bukannya lambang pengganas)hari ini dilihat memberi pandangan yang begitu "liberal" mengenai Islam.

10. Sempena sambutan Maulidur Rasul ini marilah kita semua umat Melayu dan Islam bermuhasabah diri mencari titik persamaaan dalam menjaga kepentingan agama yang dibawa oleh junjungan besar kita, nabi Muhammad s.a.w.