Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Tuesday, June 30, 2009

Pencapaian Diutamakan (I) : Biasiswa Nasional dan Hak Bumiputera Harus Seimbang

1. Keputusan kerajaan memperkenalkan Biasiswa Nasional tepat pada masanya sebagai satu bukti jelas usaha memperkukuhkan slogan 1Malaysia, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

2. Sekiranya kita membaca kenyataan YAB Perdana Menteri semalam, jelas bahawa biasiswa ini bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada mereka yang berusaha mendapat pencapaian cemerlang dalam pendidikan.

3. Sungguhpun belum diumum secara jelas idea ini dari segi dasar dab pelaksanaannya, namun pengumuman ini sahaja sudah cukup memberi satu perspektif baru kepada pendidikan nasional.

Garis Panduan Biasiswa Nasional Harus Jelas

4. Satu garis panduan yang jelas harus dikeluarkan dalam menentukan kelayakan pemberian Biasiswa Nasional ini.

5. Bagi mengelakkan sebarang ketidakpuasan hati atau pelbagai andaian, Biasiswa Nasional tidak wajar menentukan jumlah pelajar yang layak mendapatkannya. Sebaliknya tetapkan apakah pencapaian minima dalam SPM dan STPM yang melayakkan mereka menerima biasiswa ini.

6. Misalnya kita ditetapkan semua pelajar yang mendapat 9A ke atas layak mendapat Biasiswa Nasional ini. Jika ada 2, 000 orang yang mendapat 9A dan ke atas maka kerajaan wajar memberi Biasiswa Nasional ini kepada semua mereka.

7. Biasiswa Nasioanal ini jangan lagi mengambil kira isu-isu subjektif seperti pencapaian ko-kurikulum dan sebagainya. Ia harus menumpukan kepada kejayaan dalam peperiksaan semata-mata. Dengan cara ini tidak perlu lagi sebarang pertikaian mahu pun perbalahan mengenai mengapa pelajar ini dapat dan pelajar ini tidak dapat.

Skim Biasiswa Pelajar Bumiputera

8. Kita belum pasti apakah kedudukan skim biasiswa sedia ada dengan pengenalan Biasiswa Nasional ini.

9. Perlu diingatkan bahawa sungguhpun kerajaan bebas memberi biasiswa kepada sesiapa sahaja, namun skim biasiswa untuk penuntut bumiputera merupakan satu yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

10. Seiring dengan pembentukan Biasiswa Nasional ini, adalah wajar Skim Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam yang beberapa tahun lalu diagihkan mengikut kuota kaum dikembalikan kepada pelajar bumiputera sahaja.

11. Jumlah biasiswa ini juga tidak harus dikurangkan untuk memberi ruang kepada Biasiswa Nasional kerana kedudukan biasiswa bumpiutera ini dijamin oleh Perlembagaan dan Majlis Raja-raja Melayu.

12.Biasiswa bumiputera juga merupakan sebahagian persetujuan kemerdekaan yang perlu dihormati dan dikekalkan tanpa sebarang perbincangan lagi.

13. saya juga berharap selepas diperkenalkan Biasiswa Nasional ini, jangan lagi dipertikaikan biasiswa JPA khas untuk bumiputera.

Monday, June 22, 2009

Orang Melayu Akan Terus berpecah Selagi Dengar Cakap Anwar

1. Nampaknya isu "Kerajaan Perpaduan" masih belum tamat. Saya fikir sudah tidak terkira banyak pendapat, kata-kata, kejian dan pujian dilontarkan dalam isu ini. Mungkin kerana tiada isu politik besar lain maka ia diterus diputar, dinyanyikan dan didendangkan mengikut citarasa masing-masing.

2. Demikianlah susahnya sikap dan pemikiran orang Melayu yang mengamalkan politik berasaskan kebencian bukannya berasaskan kepentingan. Politik sepatutnya dijadikan alat untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara telah berubah menjadi alat untuk menunjuk siapa kuat, berkuasa dan berpengaruh. Siapa yang duduk di atas dan siapa pula duduk di bawah.

3. Kerajaan Perpaduan tidak akan berjaya. UMNO ada komitmen mereka kepada Barisan Nasional dan Pas ada komitmen mereka kepada Pakatan Rakyat.

4. Secara lahiriahnya ia tidak akan berjaya kerana komitmen Pas kepada Pakatan Rakyat cukup kuat sehingga mereka telah meninggalkan banyak asas perjuangan mereka.
Pas telah berkompromi dalam banyak isu yang membabitkan Islam di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

5. UMNO juga tidak boleh meninggalkan parti-parti komponen Barisan Nasional sesuka hati kerana mereka bertanggungjawab menjaga kepentingan masyarakat majmuk negara ini yang memberi sokongan kepada Barisan Nasional (dulu Perikatan) sejak 1951 lagi. Lebih daripada itu, banyak atau sedikit bukan Melayu dalam Barisan Nasional, mereka tetap komited terhadap Perlembagaan Negara dan persetujuan-persetujuan para pembentuk negara pada 1957 dahulu.

6. Lupakan kerajaan perpaduan [Lihat tulisan saya sebelum ini "Kerajaan Perpaduan Tidak Penting, Agama dan Bangsa Yang Utama"]. Yang penting ialah dua buah parti orang Islam dan Melayu terbesar di negara ini boleh duduk semeja bercakap, bermuzakarah dan bertukar pendapat mengenai isu-isu Islam dan orang Melayu.

7. Ia tidak harus dilihat sebagai isu perkauman mahu pun isu yang menggugat keharmonian perpaduan antara kaum. Kita tahu MCA, Gerakan dan DAP juga mempunyai hubungan menerusi Dong Jiao Zhong dalam menentukan agenda kaum mereka. MCA, Gerakan dan DAP juga duduk dalam pentas yang sama melalui persatuan peniaga dan usahawan mereka. Kumpulan-kumpulan inilah yang membentuk pendapat dan corak politik mereka.

8. Ini tidak ada kepada orang Melayu. Sukar sama sekali kita melihat ada NGO Islam mahu pun Melayu yang didalamnya ada pemimpin Pas dan UMNO bersama memikirkan isu-isu orang Melayu dan Islam. Orang Melayu bukan sahaja terpisah dalam politik UMNO - Pas, malah mereka juga terpisah dalam NGO, pertubuhan pendidikan dan persatuan peniaga. Malahan dalam pertubuhan sukan pun berlaku perpisahan dan pertentangan.

9. Politik kebencian ini cukup lama berakar umbi kerana kepimpinan negara selama ini dianggap milik orang Melayu. Justeru dua kumpulan Melayu ini berusaha menjadi kuat dan berkuasa tanpa memikirkan pun bahawa kemungkinan mereka akan menjadi pemerintah tanpa "kuasa".

10. Hari ini kemungkinan itu telah terjelma. Sebab itu ramai tokoh Islam dan Melayu di negara ini bercakap soal penyatuan orang Islam dan Melayu. Mereka ini terdiri daripada pemimpin politik, mufti, pemimpin NGO dan juga tokoh-tokoh Islam bukan Melayu.

11. Mereka tidak bercakap soal kerajaan perpaduan, soal kuasa tetapi mereka bercakap soal kepentingan agama.

12. Ada orang teruja dengan cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar UMNO memohon maaf kepada Pas terlebih dahulu. Apakah mencari siapa salah dan siapa betul lebih penting? UMNO akan tetap mempertahankan tindakannya betul. Demikian juga Pas.

13. Bagi mereka yang teruja hanya perlu bertanya, apakah yang beliau lakukan semasa menjadi Ketua Pemuda UMNO, Naib Presiden UMNO dan Timbalan Presiden UMNO untuk menyatukan orang Islam dan Melayu di negara ini?

14. Orang Melayu tidak akan bersatu selagi mendengar cakap Anwar. Anwar telah menetapkan agenda peribadi beliau sendiri jauh lebih penting dari lain-lain agenda termasuk agenda Islam dan Melayu.

15. Semua kita boleh menilai sendiri sama ada melalui sejarah lampau mahu pun apa yang berlaku sejak April 2008. Nilai dan kemudian tanyalahlah diri kita apakah Anwar boleh menjaga kepentingan agama dan bangsa kita?

Monday, June 15, 2009

Rakyat Didahulukan (II): Wujudkan Skim Perumahan Nasional

1. Nampaknya isu Tol terus mendapat respon daripada pengunjung blog ini mahu pun di kalangan pembuat dasar. Saya tertarik dengan satu komen oleh "Palati.sepi" yang antara lain mempersoalkan siapa yang berada dalam syarikat-syarikat kosensi ini.

2. Adalah tidak benar kerajaan merahsiakan siapa pemegang saham mahu pun pemilik syarikat-syarikat ini. Syarikat-syarikat kosensi Tol merupakan syarikat awam yang sebahagiannya tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur. Justeru ia bukanlah satu yang rahsia mahu pun sulit untuk di ketahui. Kebanyakan pemegang saham utama syarikat ini terdiri daripada GLC dan juga tabung-tabung seperti KWSP, Kumpulan Wang Persaraan (diperbadankan), Khazanah Nasional dan lain-lain.

Tol Bandar RM 1

3. Saya berkesempatan membangkitkan dua isu utama kepada YAB Dato' Seri Najib ketika beliau mempengerusikan mesyuarat Perhubungan UMNO Selangor sabtu lalu.

4. Pertamanya saya mencadangkan agar kerajaan mencari jalan menurunkan semua tol dalam bandar kepada RM 1.00 sahaja (bagi yang sekarang ini mengenakan RM 1 ke atas). Ini bukan sahaja mengurangkan beban rakyat tetapi juga mengurangkan kesesakan di plaza tol akibat dari urusan pertukaran wang kecil.

5. Bagi mengatasi masalah kadar faedah hutang syarikat terbabit, kerajaan mungkin boleh mepertimbangkan cadangan agar ia mengambil alih hutang-hutang syarikat ini dan membayar mengikut struktur sedia ada dengan bank.

6. Manakala syarikat terbabit pula membayar hutang tersebut kepada kerajaan dalam struktur yang baru dengan jangka masa yang lebih panjang.

Skim Perumahan Nasional

7. Keduanya saya mencadangkan agar Perdana Menteri memberi perhatian khusus kepada masalah perumahan dengan mewujudkan Skim Perumahan Nasional.

8. Ini bertujuan untuk menyediakan satu skim perumahan mampu milik yang dibiayai secara berkongsi diantara kerajaan dengan pembeli. Skim ini hanya perlu diberikan kepada mereka yang belum mempunyai rumah sendiri di seluruh negara.

9. Antara perkongsian yang boleh difikirkan ialah kerajaan menangung kos tanah dan infra, manakala pembeli membayar kos bangunan.

10. Kerajaan juga harus bekerjasama dengan bank-bank bagi mewujudkan skim skim khas bagi pembeli rumah pertama terutamanya dari segi syarat pinjaman yang lebih longgar, kadar faedah yang lebih rendah dan tempoh bayaran yang panjang.

11. Penyusunan semula penempatan perumahan juga perlu dilakukan di luar bandar. Jika kita lihat hari ini keadaan rumah yang berselerak dan tidak tersusun menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja tinggi untuk menyediakan kemudahan infrastruktur dan kemudian kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi.

12. Kaedah perumahan ala mini estet diikuti dengan pengurusan sawah dan kebun juga secara mini estet adalah satu program yang perlu difikir dan dlaksanakan untuk menghadapi cabaran masa depan.

13. Kita hari ini lihat masalah perumahan di kalangan pasangan muda amat serius sama ada di bandar mahu pun di luar bandar. 50% rumah hari ini didiami lebih dari satu pasangan kelamin. Keadaan ini akan bertambah kronik di masa akan datang.

14. Kita mungkin tidak sedar namun masalah rumah untuk pasangan muda lebih serius di luar bandar dan felda. Banyak pasangan muda bukan sahaja tidak mampu memiliki rumah tetapi juga tidak mempunyai rumah untuk dibeli dalam lingkungan kemampuan pendapatan mereka.

15. Inilah antara punca mengapa orang muda tidak berpuas hati dengan kerajaan.

16. Saya berharap dengan wujudnya Skim Perumahan Nasional akan memberi peluang kepada semua pasangan muda memiliki rumah sendiri dan menikmati cabaran hidup berkeluarga dengan lebih berdikari.

17. Inilah masanya untuk membuktikan bahawa rakyat memang didahulukan seperti mana janji YAB Perdana Menteri. Janganlah nanti rakyat menganggap slogan yang ada sekadar menanam tebu dibibir.

Tuesday, June 9, 2009

SIS: Tukar Nama Lebih Baik Dari Haramkan

1. Selain perbahasan dan perdebatan mengenai kerajaan perpaduan yang tampak hampir "memecah belahkan" Pas, isu lain yang tidak kurang menarik kepada saya ialah soal desakan pengharaman Sisters In Islam.

2. Pertamanya, saya fikir kita perlu akui sumbangan dan kerja kemasyarakatan oleh Sisters in Islam (Berhad) ini. Mereka bukan NGO tunggal yang membantu golongan wanita Islam yang berada dalam kesusahan dan kesukaran, namun sumbangan mereka juga besar dalam hal ini. SIS juga banyak membantu dari segi idea dan percambahan pendapat bagi meningkatkan kedudukan dan pencapaian wanita Islam.

3. Namun saya juga mengakui bahawa kemarahan Pas ada rasionalnya. Kadang kala SIS bertindak di luar dogma dan pemikiran umat Islam di negara ini dan pandangan jumhur ulama. Inilah yang menimbulkan persoalan, ketidakpuasan hati dan kemarahan sesetengah umat Islam di negara ini.

4. Lebih serius, kadang kala SIS dilihat berselindung di sebalik nama-nama besar pemimpin tertentu untuk mengukuhkan fahaman dan aliran pemikiran Islam mereka.

5. Saya fikir umat Islam di negara ini termasuk Pas bukanlah anti perbahasan dan perbincangan agama. Namun perbincangan mengenai Islam haruslah dalam keadaan ilmu bukannya mencari kontroversi dan populariti.

6. Masalah SIS ialah adanya nama Islam dalam pertubuhan tersebut yang menimbulkan pelbagai tafsiran. Ada dikalangan pemimpin Islam khuatir nama tersebut dianggap sebagai satu punca yang berautoriti (berkelayakan dari segi ilmu dan kedudukan)untuk bercakap mengenai agama Islam.

7. Namun mengharamkannya juga adalah tidak wajar kerana ini hanya menunjukkan umat Islam di negara ini sebagai jumud dan tidak bersedia berwacana mengenai ilmu agama.

8. Jalan terbaik ialah dengan menukar nama Sister in Islam kepada nama lain yang tidak menggunakan nama Islam secara langsung. Dengan ini impak dan natijah daripada sebarang kenyataan atau pandangan kumpulan ini tidak lagi menimbulkan kesan gelisah dan resah di kalangan umat Islam di negara ini.

9. Tanpa menggunakan perkataan atau nama Islam, pertubuhan ini tidak akan terlalu diperhati dan "dihakimi" sehingga setiap kenyataannya yang kontroversi akan menjadi polemik keterlaluan di kalangan orang Islam.

10. Mungkin juga sudah tiba masanya, kerajaan menghalang sebarang pertubuhan baru dari mendaftar nama Islam sewenang-wenangnya. Sebarang pendaftaran pertubuhan baru yang ingin menggunakan nama Islam haruslah diluluskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan mendapat perkenan Majlis Raja-raja terlebih dahulu.

11. Dengan cara ini usaha memanipulasi agama Islam untuk kepentingan tertentu dapat dikawal dengan lebih baik.

Monday, June 8, 2009

Kerajaan Perpaduan Tidak Penting, Agama dan Bangsa Yang Utama

1. Muktamar Pas yang berakhir semalam memberi satu nafas baru kepada kedudukan Islam dan orang Melayu di negara ini. Ini kerana tokoh-tokoh yang menang seperti YB Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang (Presiden), YB Nasharuddin Mat Isa (Timbalan Presiden), Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden), Saudara Nasrudin Hassan (Ketua Pemuda) dan beberapa pimimpin utama Pas lain mempunyai pandangan dan pendirian mengutamakan agama dan bangsa berbanding kuasa.

2. Saya ditanya oleh sahabat-sahabat mengenai isu kerajaan perpaduan ini. Mungkin pertanyaan tersebut bersandarkan kedudukan saya sebagai salah seorang pelopor penubuhan kerajaan BN-Pas di Selangor tempoh hari.

3. Bagi saya pembentukan Kerajaan Perpaduan tidak lagi penting hari ini memandangkan semua negeri telah pun membentuk kerajaan. Cakap-cakap mengenainya hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik di dalam Pas dan UMNO sendiri. Ini kerana apabila kita bercakap soal kerajaan perpaduan, maka rakyat melihat ia melibatkan soal kuasa dan pengaruh politik.

4. Sebaliknya, apa yang lebih penting ialah kesepakatan dan kesepaduan pimpinan UMNO dan Pas untuk menjaga kepentingan umat Islam dan orang melayu di negara ini yang tampaknya kian terumbang-ambing.

5. Misalnya, pernahkah terfikir kepada kita ada pemimpin Pas sanggup berucap di dalam Gereja dan menyokong usaha pihak tertentu menggunakan nama Allah sebagai ganti nama tuhan dalam Bible bahasa Melayu? Alahamdulillah pemimpin seperti ini ditolak dalam Muktamar Pas yang berakhir semalam.

6. Pas sungguhpun melaungkan perjuangan Islam sebagai perjuangan tunggalnya, mereka tetap tidak dapat menolak hakikat bahawa 90% daripada "pemegang saham" parti tersebut merupakan orang Melayu dan Bumiputera.

7. Justeru mahu tidak mahu Pas perlu juga memikirkan kepentingan orang Melayu. Mungkin kerana itu juga ada usul dari Dewan Pemuda Pas sendiri menggesa agar dipertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera terutamanya membabitkan kuota 30% dalam ekonomi negara.

8. Saya tidak boleh memberi pandangan mewakili kepimpinan UMNO. Namun sebagai seorang Muslim dan Melayu, saya lebih mengharapkan Pas akan menjadi sebuah parti yang mempertahankan prinsip dan kepentingan Islam, Melayu dan bumiputera melebihi kuasa dan pengaruh.

9. Hanya dengan ini, jika UMNO lemah, orang Melayu mempunyai Pas untuk diharapkan. Jika Pas lemah, orang Melayu mempunyai UMNO untuk diharapkan. Bukan seperti sekarang ini, orang Melayu seolah-olah tiada lagi tempat berteduh. UMNO kuat tetapi nampak lemah, Pas lemah tetapi nampak kuat.

10. UMNO kuat kerana terus menjadi tunggak Barisan nasional dan kerajaan. Namun kelihatan amat lemah dengan serangan bertali arus dari parti komponen mahu pun parti lawan.

11. Pas pula lemah dari segi kekuatan kerusi, namun kelihatan kuat kerana kompromi tertentu dalam Pakatan Pembangkang. Persepsi di kalangan orang Melayu, kerajaan campuran pimpinan Pas di Perak sebelum ini gagal sama sekali menjaga kepentingan agama dan bangsa. Mengapa? Ini kerana Pas hanya kelihatan kuat atas "kertas" sebagai Menteri Besar tetapi tiada kuasa majoriti sama ada dalam Mesyuarat EXCO mahu pun Sidang DUN Perak.

12. Ketika parti-parti politik Melayu tampak lemah inilah maka ada orang cuba mengambil kesempatan untuk terus menekan dan membuat pelbagai permintaan yang bukan-bukan.

13. Hari ini, pengarang akhbar Melayu seperti Utusan pun ditekan dan dituduh pelbagai tuduhan hanya kerana memetik pesanan-pesanan pemimpin negara semasa kemerdekaan dahulu. Kuota biasiswa, peluang pendidikan dan perniagaan untuk orang Melayu dan bumiputera lain juga dipertikaikan kerana ada pemimpin Melayu yang sanggup menjual agama dan bangsanya demi kuasa.

14. Atas sebab inilah, saya percaya yang lebih penting kepada agama Islam dan orang Melayu hari ini ialah perpaduan idea dan pegangan antara Pas dan UMNO, bukannya kerajaan perpaduan.

Wednesday, June 3, 2009

SPM: Tidak Wajar Ada Had Subjek



1. Cadangan Kementerian Pelajaran untuk mengehadkan jumlah subjek (mata pelajaran) yang boleh diambil dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada 10 sahaja adalah tidak praktikal dan tidak sesuai.

2. Dalam usaha kerajaan meliberalisasikan sektor pendidikan, mendahulukan kehendak rakyat dan mengutamakan pencapaian rakyat, para pelajar dan ibu bapa harus bebas menentukan berapa banyak subjek yang mereka mahu pelajari dan berapa banyak yang mereka mahu hadapi dalam SPM.

3. Menetapkan maksimum 10 subjek sahaja untuk diambil dalam peperiksaan SPM hanya menghalang kebolehan dan kemampuan sesetengah pelajar untuk menguasai banyak ilmu.

4. Saya percaya ramai pelajar yang belum membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang tertentu. Justeru mereka lebih berminat mengambil banyak subjek agar lebih banyak bidang atau jurusan yang boleh dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

5. Dengan mengehadkan mata pelajaran ia sekaligus mengecilkan skop pemilihan jurusan semasa memohon ke universiti atau kolej universiti.

6. Dalam masa yang sama kerajaan juga menghadapi dilema keghairahan kunmpulan tertentu mempertikaikan pemberian biasiswa kerana ada yang menggunakan jumlah A yang diperolehi sebagai benchmark atau tanda aras mempertikaikan pemberian biasiswa.

7. Hakikatnya bukan semua sekolah menawarkan belasan subjek untuk diambil dalam SPM. Jika ini digunakan sebagai tanda aras pemberian biasiswa, maka banyaklah anak-anak di luar bandar tidak akan mendapat biasiswa.

8. Justeru saya berharap Kementerian Pelajaran menimbangkan semula cadangan mengehadkan jumlah maksimum mata pelajaran yang boleh diambil di dalam SPM.

9. Sebaliknya, Kementerian Pelajaran boleh mengeluarkan garis panduan pemberian biasiswa yang jelas. Ini termasuk menentukan hanya 10 mata pelajaran terbaik; atau 10mata pelajaran wajib yang ditentukan oleh Kementerian, akan diambil kira dalam pertimbangan pemberian biasiswa.

10. Dengan ini ia tidak menyekat kebebasan anak-anak muda untuk mengambil seberapa banyak mata pelajaran pun. Ia juga mengelakkan kementerian dipersalah di masa hadapan jika ada anak-anak ini yang gagal masuk ke universiti kerana gagal mengambil mata pelajaran tertentu.

Monday, June 1, 2009

Kesudahan Taktik Politik "Bogeyman" Di Penanti

1. Tahniah kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berjaya mempertahankan kerusinya di DUN Penanti. Keputusan pilihan raya DUN Penanti menyaksikan YB Mansor Othman menang dengan mendapat undi 6,052 undi. Manakala tiga calon bebas - Aminah Abdullah mendapat 392 undi, Khan Ari (494) dan Kamarul Ramizu Idris (56). Beliau menang dengan majoriti 5,558 undi.

2. Hanya 46.15% keluar mengundi dan PKR menyalahkan BN kerana ramai yang tidak keluar mengundi. Kata mereka ketiadaan BN menyebabkan ramai tidak berminat keluar mengundi. Ada pula yang mendakwa BN menghalang orang ramai keluar mengundi. Lebih dahsyat ada yang membuat kenyataan bahawa BN atau lebih tepat UMNO menaja rombongan keluar dari Penanti.

3. Sungguh melucukan ada pula pemimpin muda mereka yang bersedia menghalang mana-mana bas keluar dari Penanti ketika hampir hari pembuangan undi. Jika dulu mereka kata pengundi hantu lalu halang bas masuk ke kawasan pilihan raya kecil. Hari ini mereka mahu halang bas keluar pula kononnya hendak halang pengundi yang sah dari keluar kawasan pilihan raya. Mereka menentukan peraturan, mereka membuat keputusan dan mereka melaksanakan penguatkuasaan.

4. Kita perhatikan hampir saban hari sepanjang tempoh kempen pilihan raya lalu, PKR tetap menghentam dan "menyerang" UMNO dan BN. Mungkin simpulan bahasa yang mungkin sesuai dengan PKR ialah "gila talak."

5. Namun apabila diperhatikan polemik dan politik PKR dan parti-parti sekutunya sejak menang beberapa negeri sehingga sekarang ini, kenyataan paling sesuai bagi cara mereka mentadbir dan berpolitik ialah "politik bogeyman".

6. Mereka menjadikan BN dan UMNO sebagai boogeyman atas apa sahaja mala petaka, nasib malang dan kegagalan mereka mahu pun sesiapa sahaja yang boleh mengundi. Kempen mereka, kenyataan mereka dan ceramah mereka meletakkan apa sahaja kesalahan atau kekurangan atas BN.

7. Jika kita masih ingat suatu ketika dahulu masalah jerebu juga salah pemimpin BN yang kononnya membiarkan maksiat berleluasa. Sudah tentu idea tersebut tidak lagi digunakan sekarang. Ceramah dan hasutan mereka dalam bentuk baru tetapi hantunya atau boogeyman tetap BN.

8. Jika ada orang kena bunuh pun maka mereka mencari pemimpin BN untuk dijadikan boogeymannya. Jika ada jalan berlopak pun mereka menunjuk jari kepada pemimpin BN sungguhpun jalan tersebut di bawah kendalian PBT negeri yang mereka tadbir. Malah jika ada anak gagal mendapat tempat di institut pengajian tinggi yang mereka mahu juga salah pemimpin BN.

9. Justeru sungguhpun BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Penanti, nama BN tetap di sebut kerana politik mereka ialah politik menyalahkan orang lain.

10. Saya andaikan politik boogeyman ini mungkin ada sedikit sinar dalam beberapa tahun akan datang sebelum rakyat mulai meluat dan menyampah.

11. Kecenderungan ini sudah nampak dalam pilihan raya di DUN Penanti. Sungguhpun media alternatif seperti Malaysiakini dan Harakahdaily memaparkan kenyataan bahawa PKR menang besar, namun realitinya sungguh berbeza.

12. Selain jumlah keluar mengundi yang rendah, jumlah undi kepada PKR juga merosot lebih seribu undi. Pada 2008, Fairus dari PKR mendapat 7,346 undi, menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Majid yang mendapat 5,127 undi.

13. Realitinya, sokongan terhadap PKR di kubu kuatnya sendiri sudah berkurangan. Mungkin sudah ramai yang bosan dengan taktik kempen menjadikan BN sebagai boogeyman ini. Hanya masa akan menentukan.