Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Monday, September 28, 2009

Mencari Wakil Rakyat atau Wakil Parti?

1. Apa yang dicari dalam pilihan raya? Imej parti atau kehendak rakyat? Ini tentulah seperti diluah mati bapak, ditelan mati emak.

2. YB Lim Guan Eng dipenjara selama 18 bulan di bawah dua Akta, iaitu Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, menjalani hukuman dan akhir menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

3. Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara selama enam tahun atas kesalahan salah guna kuasa. Dibebaskan dari hukuman liwat kerana Mahkamah Persekutuan mendapati bukti-bukti yang dikemukakan tidak cukup kukuh untuk mensabitkan kesalahan biarpun hakim-hakim tersebut percaya wujud kejadian tersebut dan mahkamah sebelumnya telah mensabitkan kesalahan ke atasnya. Hari ini beliau menang di Parlimen Permatang Pauh dan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

4. Mengapa mereka masih menang biarpun sudah didapati bersalah oleh Mahkamah dan menjalani hukumannya? Jawapannya tentulah kerana rakyat di kawasannya mahukan beliau menjadi wakil mereka. Biar apa pun pandangan undang-undang dan masyarakat terhadap mereka namun mereka tetap menjadi pilihan rakyat di kawasan mereka.

5. Ada juga wakil rakyat bukan UMNO yang ditangkap berkhalwat dengan isteri orang kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah atas sebab teknikal telah juga menang pilihan raya beberapa kali selepasnya.

6. YM Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) pernah dituduh terbabit dengan skandal BMF, bertanding atas tiket S46, tetapi masih menang di Gua Musang. Malah saya percaya walau apa pun tuduhan dan tohmahan terhadap Ku Li beliau tetap akan menang di Gua Musang kerana perkhidmatannya yang baik kepada rakyat di sana.

7. Bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Harun Idris didapati bersalah oleh Mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa, menjalani hukuman penjara dan kemudiannya mendapat pengampunan yang Di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Jika tidak silap saya Allahyarham turut memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat selama 3 tahun sehingga 1984.
8. Beliau kemudiannya di pilih oleh Ku Lu untuk bertanding dalam Pilihan raya kecil Parlimen Ampang Jaya pada 1989 atas tiket Semangat 46 dan disokong oleh Pas. Sungguhpun kalah beliau tetap mendapat undi yang memberangsangkan.

8. Tujuan saya membentangkan beberapa fakta ini bukanlah untuk menceritakan keaiban sesiapa, mahu pun menyatakan tidak salah kita membuat salah asalkan rakyat terus menerima kita. Bukan pula saya mengatakan mereka yang telah didapati bersalah juga boleh secara bebas dan sewenang-wenangnya dipilih menjadi calon Barisan Nasional.

9. Cuma fakta-fakta ini menimbulkan persoalan dan polemik apakah ahli politik yang pernah berbuat salah dan telah menjalani hukuman tidak wajar diberi peluang kedua jika rakyat di kawasannya masih mahukan khidmat beliau?

10. Dalam konteks inilah kita perlu menilai isu pemilihan calon DUN Bagan Pinang minggu hadapan.

11. Apakah jika Tan Sri Isa dipilih maka ia akan memburukkan imej parti di peringkat nasional? Kepada sebahagian mereka yang memilih untuk membenci UMNO dan Barisan Nasional, mereka akan menggunakan alasan ini untuk terus memburukkan parti. Kumpulan ini akan memburukkan sesiapa sahaja yang menggunakan lambang Barisan Nasional.

12. Semua orang harus berlaku adil kepada Tan Sri Isa Samad. Beliau didapati bersalah dari segi etika pemilihan parti oleh Lembaga Disiplin UMNO. Beliau digantung selama tiga tahun dan telah menjalani hukuman tersebut. Kesalahan beliau adalah kesalahan politik bukannya kesalahan jenayah. Beliau juga dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin UMNO bukannya Mahkamah dan Undang-undang negara.

13. Ini seharusnya memberi perspektif yang berlainan daripada kes-kes di atas tadi. Saya tidak mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin UMNO kerana Lembaga bertujuan menjaga etika pemilihan parti bukannya membuat keputusan atas kesalahan jenayah. Justeru sistem dan kaedah perbicaraan Lembaga Disiplin UMNO lebih longgar dan berbeza dengan Mahkamah dari segi beban pembuktian dan kekuatan bukti.

14. Dari segi moral pun kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh Tan Sri Isa jauh lebih kecil dari contoh-contoh ahli politik yang saya nyatakan di atas. Justeru adakah wajar Tan Sri Isa terus dihukum walapun selepas beliau telah menjalani hukuman?

15. Apakah sudah hilang konsep peluang kedua dan memaafkan perkara lalu dalam kehidupan kita? Apakah sekali salah maka selama-lamanya menanggung kesalahan tersebut sehingga tiada peluang menebusnya?

16. Apa yang penting ialah majoriti pengundi di Bagan Pinang mahukan Tan Sri Isa, Jika kajian dan soal selidik parti menunjukkan ini kehendak rakyat di sana maka Barisan Nasional harus membuat keputusan yang sewajarnya.

17. Bukankah Datuk Seri Najib sendiri telah menyatakan bahawa zaman kerajaan atau parti tahu segalanya sudah berakhir dan rakyat perlu didahulukan? Justeru jika keputusan UMNO Bahagian dan kehendak pengundi Bagan Pinang tidak diterjemahkan dalam pemilihan calon nanti apa ertinya segala slogan dan janji?

18. Pemimpin Barisan Nasional perlu sedar bahawa masalah terbesar parti dan kerajaan hari ini bukan masalah imej tetapi masalah polisi dan perjalanan kerajaan. Parti pemerintah akan sentiasa ada masalah imej kerana kita akan sentiasa diserang dan berada dalam keadaan situasi mempertahankan diri.

19. Tiada manusia dan parti yang tidak membuat kesilapan. Namun yang menjatuhkan kebanyakan parti pemerintah ialah apabila rakyat bosan dengan polisi dan perjalanan kerajaan yang tidak membantu kehidupan mereka.

20. Imej parti dan kerajaan lebih buruk pada 1998 berbanding 2008 namun mengapa kita kalah teruk pada 2008 berbanding 1999? Ia berlaku apabila rakyat diletakkan dalam keadaan tiada rugi sedikit pun jika mereka mengambil risiko menukar kerajaan. Apabila rakyat dibebani oleh isu perut, tembolok dan kelangsungan (survival) kehidupan maka ketika itu berlakulah seperti apa yang berlaku pada 2008.

21. Maka Barisan Nasional harus bertanya mahu memperbaiki imej atau mahu memenuhi kehendak rakyat?

Friday, September 18, 2009

Ramadhan Berlalu, Syawal Menjelma

Assalamualaikum dan Salam sejahatera sahabat sekalian,

1. Saya menerima satu surat ugutan bunuh kerana dikatakan cuba menjatuhkan kerajaan Pakatan di Selangor hari ini. Surat bertulis tangan tersebut antara lain mengugut untuk menembak saya sama ada di Sungai Panjang, Sungai Haji Doraini, Sungai Besar mahu pun di Shah Alam.

2. Atas nasihat rakan-rakan saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam tengahari semalam.

3. Ancaman dan ugutan bukanlah sesuatu yang luar biasa kepada ahli politik terutamanya yang dilihat cuba mengganggu gugat aktiviti-aktiviti "underworld". Ugutan-ugutan seperti ini juga saya terima ketika turun bersama pihak berkuasa membanteras pusat pelacuran dan perjudian di Selangor antara 2001-2003 dahulu.

4. Bukanlah ingin membuat spekulasi, namun ugutan ini menjadi-jadi pula sejak saya menyatakan terdapat lebih 4,000 tempat judi, hiburan dan spa beroperasi secara haram sejak pakatan pembangkang memerintah negeri Selangor.

5. Sungguhpun bimbang namun saya fikir perjuangan harus diteruskan. Ajal maut di tangan Allah s.w.t. Yang boleh dibuat hanyalah mengambil langkah berjaga-jaga dan berdoa untuk keselamatan diri.

6. Sempena hari raya ini juga saya berharap kita semua dapat memandu secara berhati-hati agar tiada kemalangan atau tragedi berlaku ke atas keluarga kita semua.

7. Saya berasa khuatir apabila ada syarikat kosensi tol yang menawarkan diskaun pada waktu tertentu 12 - 7 pagi sahaja. Ini akan menyebabkan ramai orang memandu lewat malam bagi mendapatkan diskaun. Kekhuatiran saya ialah apabila sebahagian besar nanti bukanlah pemandu yang biasa memandu lewat malam dan boleh "tahan mata" di waktu sedemikian.

8. Ini tidak mustahil akan menyebabkan berlaku lebih banyak kemalangan dalam tempoh diskaun ini. Saya berharap kita semua dapat merancang perjalanan dengan baik. Jika tidak mampu memandu lewat malam jangan ambil risiko hanya untuk diskaun sekitar 20%.

9. Pihak kosensi juga harus lebih rasional dan waras. Jika mahu memberi diskaun beri sahaja kepada semua pengguna tanpa perlu mengambil kira masa perjalanan. Ini akan membolehkan pengguna memilih masa yang sesuai dengan keupayaan mereka untuk melakukan perjalanan.

10. Sempena hari raya ini saya dan keluarga menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada semua pembaca dan orang ramai jika ada salah dan silap, terkasar bahasa atau tersalah kata. Sesungguhnya saya juga insan biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan yang mungkin mengguris hati mana-mana pihak.

11. Saya juga ingin menjemput saudara/saudari ke rumah terbuka hari raya saya di Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor pada 27 September 2009 ini. Rumah terbuka ini akan diadakan mulai jam 9 pagi sehingga 4 petang.

12. Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih sepada saudara/i yang sering melayari blog ini terutamanya kepada 467 sahabat yang mendaftar sebagai followers blog ini.

12. Ramadhan berlalu bermakna telah berakhirlah satu bulan yang penuh keberkatan dan peluang menambah ganjaran untuk amal ibadat kita. Pemergian Ramadhan diikuti oleh kedatangan Syawal yang merupakan bulan perayaan umat Islam dan juga bulan bermaaf-maafan sesama kita.

Selamat pulang ke pangkuan keluarga. Berhati-hati di jalan raya. Semoga ikatan persaudaraan sesama keluarga dan muslim dapat dieratkan lagi di hari raya ini.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.

Tuesday, September 15, 2009

Berani Kerana Benar

Assalamualaikum dan salam sejahtera saudara/i sekalian,

1. Semalam saya telah disoal siasat hampir enam jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)di ibu pejabat mereka di Putrajaya berhubung dengan pembelian dan pengubahsuan rumah saya di Seksyen 7, Shah Alam yang dikatakan di luar kemampuan saya.

2. Saya juga disoal siasat mengenai bayaran tiket penerbangan anak dan orang gaji saya ke luar negara yang dikatakan dibayar oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

3. Selama disoal siasat selama enam jam tersebut saya memberi dokumen dan bukti yang kepada pegawai penyiasat sebagai menyokong keterangan saya. Ini termasuklah resit pembayaran tiket penerbangan yang saya bayar sendiri bukannya PNSB. Dalam isu rumah saya memberi butiran mengenai perjanjian jual beli, laporan penilai hartanah, surat kelulusan pinjaman bank selama 23 tahun dan butiran pendapatan saya yang membolehkan saya membayar pinjaman tersebut sekarang.

4. Saya agak terkejut dengan tindakan Gerakan Anti Korupsi (Gerak) menggesa siasatan ke atas saya diselesaikan segera. Apa yang mereka perjuangkan? Keadilan atau motif politik pihak tertentu? Biarkan SPRM menjalankan siasatan mereka. Telah banyak pemimpin Barisan Nasional termasuk Menteri, Menteri Besar, EXCO, malah Timbalan Perdana Menteri didakwa oleh mereka, namun sehingga kini belum seorang pun pemimpin Pakatan dihadapkan ke Mahkamah biarpun dikatakan ada kes kukuh.

5. Ini bukan kali pertama saya dipanggil ke Putrajaya untuk disiasat atas aduan dan tuduhan kepada saya. Semasa menjadi Menteri Besar dahulu pun saya perlu menjawab soalan-soalan SPRM selama 8-9 jam. Walaupun soalan berulang kali diutarakan saya berpendapat SPRM menjalankan tugas mereka dengan profesional bagi mencari kebenaran kepada setiap tuduhan.

6. Saya juga berharap selepas ini SPRM turut juga memanggil Menteri Besar Selangor dan para EXCO Selangor sekarang menjawab tuduhan-tuduhan ke atas mereka. Janganlah pula kita takut dengan siasatan SPRM sehingga membuat pelbagai peraturan yang di luar bidang kuasa kita hanya untuk menyusahkan siasatan SPRM.

7. Rentetan daripada soal siasat ini terdapat akhbar yang mendakwa saya melarikan diri daripada wartawan. Saya adalah orang yang terbuka kepada wartawan. Seingat saya tidak pernah saya menengking atau memarahi wartawan walaupun banyak kali laporan segelintir mereka kadang-kadang tampak cuba memburukkan saya tanpa asas.

8. Bagi saya wartawan juga manusia seperti kita semua yang tidak lepas daripada kesilapan dan juga perasaan prejudis tertentu. Saya sendiri tidak boleh menggembirakan semua orang, apatah lagi wartawan yang sentiasa mengejar tuntutan dateline.

9. Namun laporan bahawa saya cuba mengelakkan diri dari wartawan ketika keluar dari pejabat SPRM adalah tidak bertanggungjawab dan seolah-olah saya ingin menyembunyikan fakta bahawa saya disoal siasat oleh SPRM.

10. Tiada siapa pun yang menghubungi saya untuk mengadakan sidang akhbar di sana bagaimana boleh dikatakan saya melarikan diri? Memang benar saya tidak melalui pintu utama kerana saya tidak mahu terlalu ramai yang memerhati, namun tiada sebab saya mahu mengelakkan wartawan kerana isu ini telah diketahui sejak beberapa hari lalu.

11. Bagi saya soal siasat SPRM bukanlah satu bahan untuk dipolitikkan seperti mana yang dilakukan oleh parti lawan seperti bertongkat, berkerusi roda dan sebagainya bagi menarik simpati. Tidak perlu untuk saya melakukan satu senario pembelaan melalui media mahu pun mewujudkan situasi "trial by media" bagi membersihkan diri saya.

12. Saya juga ingin menafikan laporan akhbar The Star Jumaat lalu bahawa saya akan disiasat berkenaan dengan penyelewengan akaun Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis). Bagaimana saya boleh dituduh menyeleweng akaun Balkis sedangkan saya bukan ahli mahu pun pemegang amanah badan tersebut?

13. Malahan soal siasat semalam juga jelas membuktikan bahawa ia tiada kena mengena dengan akaun Balkis. Saya telah menghantar surat guaman menuntut permohonan maaf dari The Star dan memaklumkan tindakan undang-undang saman malu sebanyak RM 10 juta akan dibuat.

14. Hari ini The Star mengulangi kenyataan yang sama. Jika Jumaat lalu mungkin salah faham kerana soal siasat belum berlangsung. Namun hari ini ia masih membuat tuduhan yang sama.

15. Apa motif akhbar ini? Saya tidak peduli jika The Star cuba mensensasikan dan memburukkan saya. Namun janganlah sampai memutar belitkan fakta sehinggakan apabila dibetulkan pun masih mahu menegak benang basah.

Friday, September 4, 2009

Pakatan Yang Makan Nangka, Mengapa BN yang Kena Getah?

Assalamualaikum dan salam sejahtera saudara /i rakan bloggers sekalian.

1. Terima kasih kerana banyak mendoakan kesejahteraan saya semasa mengerja umrah.

2. Semasa berada di Mekah, beberapa wartawan menghubungi saya bagi mendapatkan komen dan penjelasan mengenai isu kuil di Selangor atau khususnya masalah di Seksyen 23. Terdapat juga seorang rakan di laman ini, saudara Mack membuat kenyataan seolah-olah saya menipu kononnya menyediakan tapak untuk kuil di Seksyen 18.

Kata beliau, "Saya membaca komen dato tentang isu kuil yang berpanjangan kerana perbuatan umno. Dato ada sebut seksyen 18 shah alam tapi mana ada tapak kosong lagi. Dato sebut siap dengan kemudahan nya sekali tapi saya rasa dato ini pemimpin yang jenis tak turun padang cakap main sedap mulut ajer"

3. Petang tadi saya bersama bekas ADUN Batu Tiga dan juga bekas Datuk Bandar Shah Alam, Dato Salamon Selamat dan bekas ADUN Kota Anggerik, Dato Nawawi Md Zin telah membawa pemberita sendiri turun ke tapak yang disediakan oleh kerajaan negeri pada 2007 di Seksyen 18 dengan kos RM 600 ribu.

4. Ketika itu kebanyakan pemilik kuil bersetuju untuk berpindah ke tapak ini dan juga tapak di Seksyen 22. Jika tidak silap saya infrastruktur di Seksyen 18 telah siap pada penghujung 2007. Selepas itu perbincangan untuk proses pemindahan telah berjalan. Namun keputusan pilihan raya umum lalu yang menyaksikan pertukaran kerajaan telah menyebabkan perubahan polisi.

5. Tidak semena-mena kerajaan Pakatan telah memberi keizinan pembinaan kuil di tapak Seksyen 23 tanpa mengambil kira pandangan penduduk berhampiran dahulu.

6. Ini bermakna kerajaan negeri sendiri yang mencipta masalah pembinaan kuil di Seksyen 23. Jadi jika masalah mereka cipta sewajarnya mereka menyelesaikannya bukannya menyalahkan kerajaan lalu sebagai tidak berusaha menyelesaikan

7. Justeru tuduhan bahawa kerajaan negeri sebelum ini tidak prihatin dengan keperluan penganut bukan Islam adalah tidak betul dan berniat jahat kerana tapak untuk menempatkan rumah ibadat telah disediakan.

8. Lokasi di Seksyen 18 itu juga tidak jauh dari Seksyen 23 iaitu hanya kira-kira 3-5 kilometer sahaja. Kerajaan negeri ketika itu yakin tapak ini yang terbaik. Malah di kedudukannya yang tidak berdekatan dengan perumahan membolehkan ativiti keagamaan dilakukan 24 jam tanpa sebarang gangguan atau rungutan penduduk.

9. baru-baru ini YB Ronnie Liu turut menyalahkan kerajaan yang lalu sebagai tidak mempunyai data mengenai rumah ibadat di Selangor. Saya juga ingin menasihatkan YB Ronnie Liu agar banyak membaca dan bertanya kepada pegawai tadbir kerajaan bagi mencari maklumat mengenai pembangunan negeri. Kesemua data rumah ibadat yang sah dan haram telah dikumpulkan sejak 2006 lagi oleh pihak berkuasa tempatan.

10. Pada 2007 terpadat 146 kuil hindu berdaftar. Manakala kuil yang tidak berdaftar lebih 600 buah. Sejumlah 800 orang pengerusi kuil Hindu berdaftar dan tidak berdaftar di Selangor hadir dalam perjumpaan bersama saya di rawang pada Januari 2008. Jadi tentulah aneh YB Ronnie tidak berjumpa data-data ini.

11. Kerajaan Pakatan harus bertanggungjawab terhadap keputusan yang mereka buat dalam isu pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23. Menuduh kerajaan sebelum ini sebagai punca masalah ini samalah seperti orang lain yang makan nangka orang lain yang terkena getah.