Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Wednesday, October 28, 2009

Subsidi: Indah Khabar dari Rupa?

1. Bajet 2010 telah pun dibentangkan. Seperti biasa riuh rendah yang dilihat ialah apa aku dapat dan apa kamu dapat. Hakikatnya jarang sekali Bajet kita tidak memberi rangsangan positif sehingga segala ulasan dan pujian menjadi klise.

2. Sesetengah pengulas pula sudah mula membuat pujian sebelum pembentangan dibuat pun. Dan ada pula yang membuatnya sebaik sahaja selesai mendengar ucapan.

3. Banyak isu boleh dibahaskan dan dipersoalkan termasuk isu pemberian keistimewaan potongan cukai profesional di Iskandar Malaysia tetapi tidak kepada koridor-koridor wilayah yang lain, yang lebih penting dari segi potongan cukai ini kerana berada di luar lingkungan skala ekonomi yang mapan seperti Iskandar Malaysia yang berhampiran Singapura.

4. Jika mahu diberi potongan cukai kepada profesional yang sanggup berkhidmat di koridor (wilayah) ekonomi yang diwujudkan kerajaan tentulah wilayah-wilayah ekonomi di Malaysia Timur, Pantai Timur dan Utara lebih wajar diberi keistimewaan kerana kedudukan geografi dan tumpuan ekonomi yang lebih sukar menarik pelaburan dan tenaga profesional.

Buruk Sangatkah Masyarakat Bersubsidi?

5. Saya bukanlah seorang yang terdidik dalam bidang ekonomi. Justeru secara akademiknya saya tidak layak untuk mengulas kenyataan beberapa pemimpin kerajaan baru-baru ini mengenai subsidi.

6. Namun sebagai orang pernah menjadi Menteri Besar sebuah negeri termaju di Malaysia dan mencatatkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan selama pentadbiran saya, tentulah sedikit sebanyak saya fikir boleh memberi buah fikiran dan pandangan mengenai ekonomi negara.

7. Sejak sebulan yang lalu terdapat dua atau tiga menteri bercakap soal penghapusan subsidi dan pemberian subsidi kepada golongan yang layak sahaja. Mereka bercakap seolah-olah subsidi ini begitu buruk dan tidak sewajarnya berterusan dilaksanakan oleh kerajaan.

8. Pemikiran ini tidaklah ada bezanya dengan pemikiran semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ketika itu kita menyaksikan peningkatan mendadak harga petrol, tol, harga barang dan kos sara hidup.

9. Alasan-alasan yang sama akan terus diulang-ulang iaitu subsidi tidak membawa kemampanan (kekukuhan) ekonomi serta merugikan rakyat dan kerajaan.

10. Alasan-alasan ini dicipta oleh pemikir ekonomi berasaskan pemikiran atas kertas dan ada juga kerana mereka yang telah maju mahu mengekalkan kualiti hidup mereka dengan kesusahan kita. Hakikatnya di Eropah dan Amerika Syarikat sendiri jumlah subsidi mereka mencecah berbilion dollar.

11. Subsidi sungguhpun ada keburukan kepada ekonomi negara namun dalam banyak hal ia juga membantu rakyat dan ekonomi. Ada Subsidi membantu mengawal kestabilan ekonomi dan kos sara hidup sekaligus merancakkan pusingan ekonomi hasil daripada nikmat subsidi seperti mana subsidi petrol.

Subsidi Petrol

12. Saya terkejut dengan kenyataan dua Menteri yang menyatakan subsidi petrol hanya akan diberikan kepada kumpulan sasar yakni rakyat berpendapatan rendah.

13. Secara sepintas lalu saya berpendapat ia bukan sahaja sukar dilaksanakan tetapi juga akan memberi kos tambahan kepada pengurusan kerajaan untuk menjalankan sistem pemberian subsidi, penguatkuasaan dan akhirnya akan wujud pelbagai penyelewengan.

14. Memang benar kerajaan tidak mungkin dapat memberi subsidi petrol yang begitu besar kepada rakyat. Sebab itu hari ini rata-rata rakyat yang rasional menerima keputusan pemberian subsidi 30 sen seliter.

15. Siapakah golongan berpendapatan rendah hari ini? Katakanlah kita ambil mereka yang berpendapatan RM 3, 000 dan ke bawah sebulan? Apakah mereka yang berpendapatan RM 3, 000 sebulan di Alor Setar lebih susah daripada mereka yang berpendapatan RM 5, 000 di Kuala Lumpur? Saya tidak ragu menyatakan bahawa mereka yang berpendapatan RM 5, 000 sebulan di Kuala Lumpur lebih miskin daripada mereka yang berpendapatan RM 3, 000 di Alor Setar.

16. Sebenarnya pemberian subsidi petrol seperti sekarang lebih besar faedahnya kepada kerajaan. Kerajaan mungkin terpaksa berbelanja lebih untuk subsidi petrol, namun ia memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah dan membolehkan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi berbelanja lebih untuk merancakkan ekonomi.

17. Sebagai seorang yang tidak arif dalam ekonomi, saya tertanya-tanya apakah akan terjadi jika golongan berpendapatan sederhana dan tinggi yang terpaksa mengeluarkan begitu banyak wang untuk petrol, cukai pendapatan, cukai jalan mula berjimat, membeli barangan yang sebelum ini hanya untuk golongan bawahan, membeli rumah yang murah dan berhenti berbelanja hujung minggu?

18. Apa akan terjadi kepada putaran ekonomi negara?

19. Pembuat dasar atau polisi tidaklah boleh melihat sesuatu isu ekonomi terutama subsidi barangan penting kepada seluruh rakyat seperti petrol dalam bentuk yang mikro sehingga gagal melihat secara makro.

Subsidi Beras

20. Menyentuh mengenai subsidi ini juga saya tertanya-tanya apakah rasional untuk menghapuskan subsidi kepada pengilang beras yang bertujuan mengawal harga beras ST 15.

21. Menurut Menteri Pertanian, Datuk Noh Omar, penghapusan subsidi ini bertujuan untuk menjimat wang kerajaan sebanyak RM 60 juta sebulan dan mengelakkan mereka yang tidak layak menikmatinya.

22. Kerajaan khabarnya akan mengurangkan kos subsidi beras gred ST15 (15 peratus hancur) sebanyak RM51.5 juta apabila pelaksanaan kupon beras percuma kepada 200,000 keluarga miskin di seluruh negara dilaksanakan bermula 1 Disember ini.

23. Pada masa ini harga sekilo beras ST 15 ialah RM 1.80. Ini bermakna sekampit (10 kilo) beras ST 15 berharga RM 18.00. Dan mengikut maklumat ia akan naik kepada RM 24 sekampit.

24. Berdasarkan harga semasa dan harga tanpa subsidi yang dinyatakan kerajaan, ini bermakna rakyat perlu menampung kenaikan sebanyak RM 6 sekampit. Berasaskan penggunaan biasa, satu isi rumah mungkin memerlukan sekitar 20 kilogram beras sebulan. Sebanyak RM 12 sebulan perlu ditambah dalam perbelanjaan bulanan.

25. Mungkin bagi kabinet kenaikan ini tampak kecil namun ia memberi banyak kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

26. Berasaskan penggunaan purata 20 kilogram sebulan, susbsidi kerajaan sebanyak RM 60 juta sebulan; maka dianggarkan terdapat 5 juta rumah yang menggunakan beras jenis ini, (5 juta x RM 12).

27. Katakanlah terdapat kegunaan untuk kedai makan dan asrama, anggaran kovensional ialah sekitar 2 juta rumah yang menggunakannya. Jika terdapat dua hingga tiga orang di dalam rumah tersebut, maka kerajaan BN telah menyebabkan kemarahan hampir 3 juta rakyat yang akan diterjemahkan dalam pilihan raya akan datang.

28. Jika mereka mampu membeli beras yang lebih baik grednya tentulah mereka ini tidak membeli beras ST15. Bayangkan bila kenaikan ini berlaku.

29.Demikian juga di kalangan industri makanan seperti asrama dan kedai makan kecil yang margin keuntungan tidak seberapa terpaksa menanggung kos kenaikan ini?

30. Masalah ini akan berlarutan pula kepada proses pemberian dan pengambilan kupon subsidi. Ahli Parlimen akan mendapat beban politik kerana akan ada yang marah kerana tidak dapat kupon tersebut.

31. Pemberian kupon di Sabah dan Sarawak akan lebih bermasalah. Keadaan geografi dan pengangkutan di kawasan pendalaman mungkin menyebabkan kos pengangkutan untuk mereka yang miskin mendapat kupon lebih tinggi daripada harga kupon sendiri.

32. Ini belum lagi masalah keengganan peruncit untuk menerima kupon.

33. Jika kerajaan mahu menghapuskan subsidi beras ini maka kerajaan juga perlu menghapuskan sebarang kawalan ke atas idustri beras termasuk pemilikan permit masuk dan pelbagai sekatan untuk membawa masuk beras luar?

34. Kerajaan tidak boleh melakukan dua perkara yang kontradik dalam masa yang sama. Dalam keadaan kerajaan tidak mahu menanggung beban kewangan, kerajaan pula mahu bertindak sebagai penguasa yang menghalang rakyat mendapat barangan murah.

35. Kita semua ada membuat kesilapan baik semasa mentadbir mahu pun semasa membuat kenyataan, namun gunakanlah pengalaman tersebut untuk membetulkannya bukannya meneruskan kenyataan-kenyataan tidak berpijak kepada realiti rakyat banyak.

36. Janganlah jadi seperti seorang bekas menteri baru-baru ini membuat kenyataan bahawa beliau terkejut dengan begitu banyak kadar tol yang perlu dibayar sedangkan beliau berada di dalam kabinet semasa membuat keputusan menaikkan kadar tol.

37. Ketika saya menulis sebelum ini bahawa kita tidak mengharapkan kerajaan menjadi sebuah negara kebajikan tetapi negara sejahtera, tentulah saya tidak sama sekali bermaksudkan kerajaan perlu menarik subsidi-subsidi penting seperti petrol dan beras.

38. Kerajaan terlalu banyak membantu golongan miskin dan orang tua sehingga melupakan golongan muda dan berpendapatan sederhana sedangkan mereka ini merupakan majoriti pengundi hari ini.

39. Dalam pilihan raya lalu, Barisan Nasional hampir kalah kerana polisi-polisinya mengabaikan kelompok pengundi terbesar iaitu orang muda dan kumpulan berpendapatan sederhana.

40. Bagaimanakah boleh menjadi sebuah negara sejahtera jika kumpulan majoriti terabai? Jangan nanti subsidi yang diberikan indah khabar dari rupa.

Nota: Saya gembira jika ramai tidak bersetuju dengan pandangan saya kali ini kerana ia akan menunjukkan polisi dan keputusan kerajaan betul dan diterima rakyat.

Monday, October 19, 2009

Bajet 2010 : Negara Kebajikan, Negara Sejahtera dan GST

1. Bajet 2010 yang akan dibentangkan beberapa minggu lagi merupakan bajet pertama di bawah YAB Datuk Seri Najib Tun Razak. Selepas beberapa polisi yang dilancarkan segera sebaik memegang jawatan, pembentangan Bajet 2010 merupakan satu kayu ukur atau penanda aras terpenting untuk melihat sejauh mana kesungguhan kepimpinan baru "mengota apa yang dikata, menunai apa yang dijanji."

2. Sejak beberapa bulan lalu banyak tuntutan, permintaan dan cadangan yang dibuat untuk pembentangan bajet ini. Ada yang realistik, ada yang bombastik dan ada pula yang terlalu bersifat futuristik kepada realiti semasa.

3. Pembentangan Bajet kali ini sukar dan getir dari segi kepentingan ekonomi negara dan juga kedudukan politik Barisan Nasional selaku parti pemerintah negara.

4. Dari segi ekonomi, sungguhpun wujud tanda-tanda pemulihan namun banyak pihak terutama pelabutr asing (dan juga tempatan) masih bersikap tunggu dan lihat terutamanya apakah polisi dan hala tuju ekonomi negara yang akan dibentangkan di dalam Bajet 2010.

5. Dari segi politik, Barisan Nasional menghadapi dilema kerana Pakatan parti-parti lawan menawarkan segala-galanya untuk mendapat sokongan. Ini termasuk janji-janji kebajikan yang nampak manis dalam jangka masa singkat tetapi akan memberi kesan dalam jangka masa panjang kepada ekonomi negara.

6. Di bawah slogan negara kebajikan, mereka menjanjikan pemberian subsidi yang luar biasa kepada harga petrol, penghapusan harga tol, air percuma, pendidikan percuma sehingga universiti dan gaji minima yang tinggi. Malahan cara mereka berhujah seolah-olah tiada seorang pun akan miskin sekiranya mereka memerintah.

7. Oleh kerana tawaran-tawaran ini bersifat luar biasa, ditambah pula dengan bebanan kos sara hidup rakyat yang sangat tinggi di bandar maka banyak kawasan-kawasan bandar jatuh ke tangan parti lawan dalam pilihan raya yang lalu.

8. Sebagai pemerintah, BN tidak boleh menawarkan sesuatu yang luar biasa dan tidak realistik kerana ia akan memberi kesan buruk pada masa akan datang bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada negara.

9. Justeru Bajet 2010 tidak seharus menjadi alat untuk menunjukkan siapa yang lebih berkebajikan atau berlumba-lumba memberi subsidi sehingga negara mengalami defisit dan menjurus kepada krisis perbendaharaan pada masa akan datang.

10. Bagi membezakan negara kebajikan dan negara sejahtera ini mungkin pesanan lama boleh dijadikan panduan. Sejak dahulu kita dingatkan bahawa jika sayang anak dan keluarga berilah kail bukannya ikan kepada mereka.

11. Jika diberi ikan habis dimakan, maka diminta lagi sehingga kita pun boleh kehabisan ikan. Sebaliknya jika diberi kail atau pancing, mereka akan mendapat lebih banyak ikan malah membantu orang lain pula. Justeru jika kita berterusan mengharapkan negara kebajikan maka terjadilah kisah memberi ikan bukannya pancing atau kail. Akhirnya negara tidak lagi mempunyai daya tahan kerana kekurangan sumber.

Bajet 2010 Ke Arah Negara Sejahtera

12. Dalam membentuk Bajet 2010 untuk negara sejahtera, saya berharap kerajaan memberi tumpuan seimbang antara Pembangunan Ekonomi dan Pembangunan Sosial.

13. Ukuran kejayaan pembangunan negara tidak seharusnya tertumpu kepada statistik ekonomi semata-mata seperti pendapatan perkapita rakyat dan angka-angka pelaburan.

14. Kerajaan harus ada Indeks Sosial Negara yang melihat kualiti hidup rakyat terutamanya di bandar besar. Indikator sosial ini pula janganlah disempitkan seperti mana sebuah parti politik yang hanya gemar membicarakan isu akhlak dan moral.

15. Sebaliknya indikator sosial negara harus mengambil kira kualiti hidup dalam bentuk kesihatan, keselamatan, pendidikan, kemiskinan tegar dan orang kurang upaya.

16. Misalnya apakah tahap kualiti hidup kita jika kita terpaksa membayar kawalan keselamatan tambahan setiap bulan untuk menjadikan kawasan perumahan sebagai "gated community". Di samping itu pula kita memasang lagi penggera keselamatan ruma dan sebagainya. Di kawasan-kawasan tertentu yang dianggap maju seperti di USJ, Damansara dan Subang Jaya, anak-anak tidak lagi bebas bermain di luar kerana banyak sekali jenayah.

17. Demikian juga apakah kualiti indikator sosial apabila ramai pelajar universiti terpaksa membayar pinjaman pendidikan berjumlah puluhan ribu sebaik tamat pengajian. Pertanyaan-pertanyaan indikator sosial juga akan menjurus kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, peluang pekerjaan untuk orang kurang upaya dan ibu tunggal serta program pembasmian kemiskinan secera menyeluruh. Bagaimana pula dengan hala tuju pembangunan belia? Apakah pula usaha kerajaan meningkatkan kualiti kehidupan golongan warga emas?

18. Justeru pada pendapat saya Bajet 2010 harus ke arah menjadikan negara ini sebuah negara yang sejahtera. Kerajaan harus bertanggungjawab secara serius, bukan sekadar ada atau sambil lewa, terhadap perkara-perkara asas yang penting seperti kesihatan, keselamatan, pendidikan, tenaga kerja dan peluang ekonomi untuk menjadikan sebuah negara sejahtera.

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

19. Salah satu perkara yang perlu diberi perhatian serius ialah cadangan melaksanakan Good and Service Tax (GST).

20. Saya difahamkan GST dicadangkan sebagai satu langkah menambah hasil negara yang akan berkurangan akibat liberalisasi dan kemunculan kawasan-kawasan perdagangan bebas termasuk ASEAN Free Trade Area (AFTA)yang sedaya upaya mengurang atau menghapuskan cukai impot.

22. Masalah dengan GST ialah ia meletakkan beban kepada pengguna akhir. Pengeluar, pemborong dan peruncit akan mengenakan caj GST yang dikenakan kepada mereka. Akhirnya pengguna akhir yang menanggung kos ini sepenuhnya.

23. GST akan lebih memberi kesan kepada pengguna luar bandar di mana lebih banyak transaksi barang berlaku sebelum sampai kepada pengguna akhir.

24. GST sungguhpun bertujuan untuk hasil negara bagi menguruskan kerja pentadbiran dan pembangunan namun saya tidak dapat menolak dari melihat dari sudut yang "jahat".

25. Jika tidak dilaksanakan dengan baik, GST tidak lebih daripada satu alat untuk memindahkan cukai daripada kapitalis kepada pengguna. Ia hanya menguntungkan pengeluar, pemborong, peruncit, firma perakaunan dan kerajaan. Ia langsung tidak menguntungkan rakyat sebagai majoriti pemegang saham negara.

26. Kepada rakyat, GST hanya akan meningkatkan lagi kos sara hidup sekaligus akan menjejaskan kualiti hidup rakyat terutama dari rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

27. Namun GST boleh dilaksanakan dalam keadaan menguntungkan rakyat dan menjadikan negara sejahtera sekiranya kerajaan bersedia:

a. mengurangkan kadar potongan cukai pendapatan;
b. meningkatkan jumlah gaji minima yang dikenakan potongan cukai daripada RM 2, 500 ke atas kepada RM 5, 000 ke atas
c. Mengecualikan GST ke atas barangan keperluan asas seperti beras, gas, petrol dan beberapa lagi barangan yang dianggap perlu. Untuk menampung kekurangan ini kerajaan boleh mengenakan GST dalam dua lapisan, di mana GST bagi barang mewah dikenakan lebih tinggi dari barangan biasa.

28. Jika benar kerajaan berhasrat mewujudkan negara sejahtera kepada rakyat maka sebarang perubahan yang dibuat harus mementingkan keadaan rakyat masa kini terlebih dahulu berbanding kepentingan lain.

Monday, October 12, 2009

Bagan Pinang: Apabila Suara Rakyat Didahulukan


1. Tahniah kepada Tan Sri Isa Samad yang berjaya memenangi kerusi DUN Bagan Pinang dengan majoriti yang lebih besar. Tan Sri Isa memperolehi 8,013 undi menewaskan calon Pas Zukefly Mohamad Omar hanya memperoleh 2,578 undi.

2. Apa yang menarik perhatian saya ialah kemampuan Tan Sri Isa meraih sokongan begitu banyak sehingga mencatat undi majoriti sebanyak 5, 435 undi. Saya difahamkan ini merupakan majoriti undi terbanyak pernah dicatatkan oleh mana-mana parti dalam pilihan raya DUN Bagan Pinang.

3. Lebih menarik ialah calon Pas kalah di semua 18 saluran mengundi. Ini juga jarang-jarang berlaku dalam mana-mana pilihan raya kecil sebelum ini.

4. Pada hemat saya, keputusan pilihan raya DUN Bagan Pinang ini terhasil kerana Barisan Nasional dan UMNO mendengar dan mendahulukan suara dan kehendak rakyat berbanding pemimpin, penganalisis politik dan pembangkang.

5. Jika ditanya kepada sebahagian pemimpin veteran UMNO, penganalisis politik dan pembangkang, pastinya Tan Sri Isa tidak layak menjadi calon. Seolah-olah tiada lagi peluang kedua ke atas mereka yang pernah dihukum atas apa kesalahan sekalipun.

6. Namun Barisan Nasional dan Datuk Seri Najib Tun Razak melihat bahawa kehendak dan suara pengundi Dun Bagan Pinang lebih penting kerana mereka yang akan memilih siapa wakil mereka dalam DUN Negeri Sembilan.

7. Justeru apabila hasil kaji selidik, laporan risikan politik dan juga pandangan seluruh parti komponen BN di Teluk Kemang menunjukkan Tan Sri Isa dianggap mememnuhi aspirasi pengundi Bagan Pinang; maka BN membuat keputusan mencalonkannya.

8. Ini harus menjadi tanda aras baru dalam menentukan calon-calon pilihan raya BN akan datang. Ia haruslah mengambil kira secara serius pandangan penduduk setempat dan juga parti komponen di peringkat bahagian. Jangan lagi ada calon-calon ditunjukkan dari atas sewenang-wenangnya sehingga menimbul masalah di peringkat bawah terutamanya di kawasan luar bandar.

9. Ini kerana khidmat masyarakat dan kebolehan bergaul bersama rakyat merupakan kriteria utama pengundi di luar bandar.

10. Ia berlainan sekali di kawasan-kawasan bandar utama negara yang lebih kepada pertentangan polisi ekonomi, undang-undang, pentadbiran dan polisi-polisi negara menjadi tanda aras pengundi.

11. Selain faktor calon, saya juga percaya keputusan ini dibuat kerana pengundi juga sudah bosan dengan ketidakstabilan politik yang berlarutan hampir setahun setengah. Sebahagian pengundi mungkin melihat jika BN kalah dalam pilihan raya kecil kali ini ia akan menyebabkan ketidakstabilan politik di Negeri Sembilan berdasarkan perbezaan kerusi yang kecil antara BN dengan Pakatan.

12. Kemenangan BN di peti undi yang majoriti kaum India dan Cina juga menunjukkan ada perubahan sokongan terhadap BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Pengundi kaum India dan Cina dilihat yakin polisi-polisi pentadbiran Datuk Seri Najib dan ingin menunjukkan sokongan mereka.

13. Kemenangan besar ini juga turut disumbangkan oleh kesungguhan jentera pilihan raya BN sama ada di peringkat negeri mahu pun Pusat yang bekerja keras bagi memberi satu kemenangan yang cukup bermakna kepada parti.

14. Segala hiruk-pikuk dan kontroversi pemilihan calon dilupakan apabila keputusan telah di buat. Tiada unsur sabotaj dan cakap belakang di buat oleh mana-mana pemimpin UMNO dan ini menunjukkan satu proses kematangan baru dalam parti pasca pilihan raya umum ke 12 yang lalu.

15. Saya percaya Pakatan dan media yang pro mereka akan terus memainkan isu bahawa kemenangan Isa menunjukkan UMNO merestui rasuah dan salah guna kuasa. Mereka masih tidak amhu menerima hakikat bahawa kesalahan Isa ialah isu Etika Berkempen dalam UMNO. Malahan Isa telah melepaskan semua jawatannya dan kemudian digantung dari memegang jawatan selama tiga tahun. Beliau telah menjalani hukuman tersebut.

16. Pengamal media ini hanya membesarkan isu rasuah ini apabila kena ke batang hidung UMNO tetapi "buat-buat tak tahu" apabila membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pun mana-mana pemimpin Pakatan. Ini kerana mereka bukan memperjuangan isu rasuah mahu pun ketelusan tetapi memperjuangkan ideologi dan agenda Pakatan.

17. Akhirnya, saya fikir kemenangan ini amat manis kepada Tan Sri Isa yang menghadapi pelbagai dugaan sepanjang lima tahun lalu.

18. Kemenangan ini juga tentulah sangat bermakna kepada Datuk Seri Najib yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai kritikan kerana memilih Tan Sri Isa sebagai calon. Terbukti pendekatan beliau untuk mendahulukan suara rakyat membawa hasil yang yang terbaik kepada parti.

Tuesday, October 6, 2009

Menyuburkan Demokrasi Di dalam UMNO

1. Pada 30 September - 2 Oktober yang lalu, seluruh kepimpinan UMNO Bahagian, Ahli Majlis Tertinggi, EXCO Wanita, Pemuda dan Puteri telah berkumpul di Janda Baik, Pahang. Para penggerak UMNO ini berkampung selama 3 hari 2 malam bagi membincangkan isu-isu rakyat dan parti bersama Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

2. Banyak isu-isu yang dibincangkan tetapi tidak dapat diceritakan di sini kerana ia membabitkan strategi parti pada masa akan datang. Boleh dikatakan setiap sesi begitu panas dan banyak pandangan yang kritis dilontarkan oleh pemimpin UMNO di peringkat bahagian. Saya fikir ini akan dijadikan panduan oleh kepimpinan Tertinggi UMNO dalam merangka dasar serta polisi yang selari dengan perjuangan UMNO dan BN untuk agama, bangsa dan Tanah air.

3. Namun dalam himpunan kali ini juga, kepimpinan UMNO bahagian dapat merasai kesungguhan Presiden parti untuk menjadikan UMNO sebuah parti yang lebih demokratik berasaskan penyertaan yang lebih besar ahli dalam membuat keputusan.

4. Datuk Seri Najib meminta kami yang hadir kursus membantu meluluskan usul mengubah proses pemilihan kepimpinan parti yang akan dibentangkan nanti.

5. Pemilihan kepimpinan UMNO di peringkat Bahagian dan Pusat akan dijalankan serentak di seluruh negara pada satu hari yang akan dikenali sebagai hari UMNO.

6. Ini bermakna pengundian untuk jawatan Jawatankuasa Bahagian sehingga ke Presiden UMNO akan dilakukan di peringkat bahagian. Semua perwakilan cawangan ke Bahagian akan berhak mengundi calon-calon pilihan mereka bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Berdasarkan itu kira-kira 60, 000 orang ahli UMNO akan menjadi pemilih untuk jawatan UMNO di peringkat Pusat berbanding sekarang ini hanya sekitar 2, 600 orang.

7. Bagi jawatan Presiden UMNO misalnya, setiap bahagian mempunyai satu undi. Setiap calon akan bertanding di Bahagian. Kemenangan di Bahagian akan memberi satu undi kepada calon tersebut. Keseluruhan 191 undi bahagian menentukan kemenangan sesuatu jawatan Presiden.

8. Secara asasnya proses ini seperti proses pencalonan oleh Bahagian. Namun proses pengundian berbeza. Sekiranya pencalonan bahagian dilakukan secara angkat tangan atau kosensus, pengundian untuk pemilihan ini dilakukan secara undi sulit dan akan diaudit oleh auditor bertauliah.

9. Keterbukaan Presiden parti memang mengejutkan apabila beliau juga mahu agar tiada lagi sebarang proses pencalonan daripada bahagian untuk sesiapa yang mahu bertanding apa-apa jawatan di peringkat pusat. Tiada lagi sebarang kuota pencalonan diperlukan. Cadangan untuk adakan syarat khidmat sepenggal di peringkat Majlis Tertinggi UMNO sebelum bertanding jawatan Presiden juga tidak dipersetujui Presiden.

10. Sebaliknya sesiapa sahaja yang mahu bertanding apa-apa jawatan pun hanya terus mendaftar dengan ibu pejabat UMNO untuk proses percetakan kertas undi.

10. Selalunya Presiden sesebuah badan politik mahu pun NGO kerap membuat pelbagai peraturan bagi menjaga kedudukannya. Namun ini berbeza dengan Datuk Seri Najib yang sanggup membuang segala peraturan yang merumitkan orang mencabar beliau. Bagi beliau ahli UMNO sudah cukup matang untuk membuat keputusan yang wajar dalam memilih kepimpinan parti.

11. Sayap-sayap UMNO juga akan mengikuti proses yang sama.

12. Ketika proses meluaskan proses pendemokrasian dalam pemilihan UMNO ini menunjukkan kesediaan UMNO menjadi parti masyarakat sekali lagi, ia juga tidak dapat lari daripada dimanipulasi dan dipergunakan oleh orang tertentu untuk mempengaruhi ahli UMNO.

13. Tidak mustahil ada penulis, pengarang, pemilik portal berita dan akhbar mengambil kesempatan membentuk pemikiran perwakilan UMNO bagi memastikan kemenangan calon tertentu dan menjatuhkan calon tertentu.

14. Justeru menjelang pemilihan akan datang ahli UMNO harus menjadi mereka yang sentiasa membaca pelbagai sumber dan mencari pelbagai meklumat agar keputusan-keputusan yang bakal dibuat adalah atas pertimbangan yang terbaik setelah menyelidik dan mengkaji setiap calon yang bertanding.

15. Sungguhpun pelbagai lontaran negatif dibuat oleh pelbagai pihak mengenai proses pendemokrasian oleh UMNO ini, saya percaya bahawa sudah tiba masanya UMNO melebarkan jaringan pembuat keputusan berbanding memberi hak ekslusif kepada perwakilan ke Perhimpunan Agung Tahunan UMNO sahaja yang tidak sampai 10% pun daripada jumlah ahli UMNO.

Jika tidak dipecahkan ruyung, masakan mendapat sagunya.