Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Monday, November 23, 2009

Syarikat Insurans: Habis Madu Sepah Dibuang

1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua sahabat terutama yang hadir yang memberi sokongan kepada blog saya ini. Sama ada pendapat positif mahu pun negatif saya terima sebagai satu proses percambahan fikiran yang pada masa akan datang diharap dapat memberi manfaat kepada kita semua. Mohon maaf kerana tidak sempat melayan semua komen memandangkan saya sekarang berada di Mekah menunaikan ibadah Haji. Insyallah apabila pulang nanti kita akan berkomunikasi dengan lebih kerap.

2. Cuma semasa di sini, ketika selang masa beribadah, sempat juga berbual dengan rakan-rakan dari tanah air. Antara topik menarik yang dibincangkan ialah isu insurans kereta lama yang khabarnya telah meningkat berkali ganda secara senyap.

3. Jika beberapa bulan lalu kita mendengar rungutan orang ramai mengenai beberapa syarikat insurans enggan memperbaharui insurans kereta lama yang berusia 15 tahun ke atas, kini premium insurans kereta lama pula ditingkatkan secara mendadak.

4. Pemilik kereta lama yang berusia 15 -20 tahun ke atas tidak lagi dibenarkan mengambil insurans pihak ketiga (third party) seperti lazimnya untuk kereta yang telah melangsaikan hutang dengan bank.

5. Oleh kerana mereka bertukar dari insuran pihak ketiga kepada insuran pihak pertama (first party), mereka tidak akan mendapat sebarang diskaun tanpa tuntutan (No Claim Discount) seperti kelaziman bila kita memperbaharui insurans. Ini bermakna mereka perlu membayar premium yang lebih tinggi.

6. Selain itu, saya difahamkan minimum harga yang perlu dinsuranskan ialah RM 10 ribu, biar pun kereta tersebut mungkin berharga RM 5 ribu sahaja di pasaran. Secara keseluruhan, kos untuk memperbaharui insurans kereta lama yang berusia 15 tahun ke atas telah meningkat sehingga 200%. Malahan lebih serius ada syarikat insurans yang enggan terus melindungi kereta yang berusia 20 tahun ke atas, meskipun selama ini pemilik kereta tersebut menggunakan insuran yang sama.

7. Sekali lagi keadaan seperti ini membebankan pesawah, pak tani, nelayan, penoreh getah dan kebanyakan pesara kerajaan yang tinggal di kampung. Selain itu, golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana di bandar akan turut mendapat tempias kepada musibah ini.

8. Ini bukan salah kerajaan sama sekali. Ini adalah sikap syarikat insurans yang tidak bertanggungjawab. Syarikat insurans sepatutnya melindungi kereta lama ini dengan skim sedia ada memandangkan mereka telah mengaut keuntungan selama 10-15 tahun atas kereta tersebut.

9. Malangnya ini tidak berlaku. Sebaliknya syarikat-syarikat insurans ini bersifat seperti "habis madu sepah dibuang."

10. Mungkin tiba masanya pemilik kenderaan mula memboikot mana-mana syarikat insurans yang enggan terus melindungi kereta yang lama ini. Mengapa harus diberi keuntungan kepada syarikat insurans ini sedangkan lagi sepuluh tahun akan datang mereka akan menolak kereta kita seperti sampah? Jika ini dapat dilakukan ia pasti memberi pengajaran yang sewajarnya kepada mereka.

11. Di pihak kerajaan pula, saya berharap kerajaan dapat mencari jalan mengurangkan beban insurans ini. Saya fikir Bank Negara selaku pengawal selia dan pemberi lesen syarikat insurans tentulah boleh membuat peraturan jika perlu bagi melindungi pemilik kereta lama ini. Apa guna ada kuasa jika tidak digunakan untuk kebaikan rakyat? Bank Negara perlu melindungi kepentingan pemilik kereta lama ini terutamanya mereka yang telah bertahun-tahun dengan syarikat insurans yang sama.

12. Kerajaan juga boleh mewujudkan satu skim insurans khas kepada kereta lama yang berusia 20 tahun ke atas di bawah seliaan bank negara atau bank yang mempunyai kaitan dengan kerajaan. Mungkin kos sedikit tinggi namun ini haruslah dilihat tanggungjawab sosial kerajaan untuk rakyat.

13. Selain itu, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan memberi beberapa insentif kepada syarikat insurans yang terus melindungi kereta berusia 15 tahun ke atas ini seperti dari dasar percukaian atau menyedia dana khusus sekiranya tuntutan kemalangan kereta terbabit di luar labialiti yang dikenakan oleh syrikat insurans.

14. Seterusnya, saya juga berharap kerajaan meneruskan skim penukaran kereta lama dengan kereta keluaran Proton dengan insentif RM 5, 000. Ini akan menggalakkan rakyat menukar kereta sekaligus mengurangkan kereta lama di jalan raya terutama di bandar-bandar. Cuma bagi mengurangkan beban kerajaan, usia kereta wajar ditingkatkan dari 10 tahun ke 15 tahun ke atas.

15. Banyak lagi isu-isu dalam industri permotoran tidak ditangai dengan tuntas oleh Dasar Automotif Negara (DAN), ini termasuk isu pengharaman import alat ganti terpakai yang selama ini banyak membantu mengurangkan kos baik pulih kenderaan.

18. Memandangkan kerajaan masih gagal melaksanakan pengangkutan awam yang cekap, maka kereta masih merupakan satu kemestian dan keperluan kepada setiap keluarga termasuk di kalangan mereka berpendapatan sederhana dan rendah. Justeru sebarang dasar yang membabitkan industri permotoran harus mendahulukan rakayat berbanding konglomerat industri permotoran.

17. Mungkin kerajaan perlu menilai semula DAN dan melihat dari persepektif rakyat bawahan sama, bukan sekadar mengambil pandangan "pemain" industri yang ingin menjaga perniagaan mereka sahaja.

18. "Rakyat Didahulukan" harus menjadi panduan kepada pembuat polisi sebelum mengumumkan sesuatu polisi baru bukannya sekadar slogan untuk dilontarkan oleh bahagian perhubungan awam semata.

Friday, November 13, 2009

Bajet Selangor: Bangkai Gajah Mahu Ditutup Dengan Nyiru

1. Bajet yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar semalam menimbulkan pelbagai tanda-tanya dan keraguan. Saya sekali lagi tertanya-tanya sama ada Menteri Besar mahu mengelirukan (mislead) rakyat seperti mana dalam bajet 2009.

2. Setakat ini MB berjaya mengelirukan YB Azmin Ali yang percaya Bajet yang dibentangkan merupakan bajet seimbang dari segi pendapatan dan perbelanjaan. Bercakap kepada Malaysiakini.com, Azmin menyatakan, "We do not spend more than what we (have). We get RM 1.3 bilion, we spend RM 1.3 bilion.”

3. Ya, pada tahun depan memang bajet seimbang. Namun pengumuman ini sekadar usaha menutup bangkai gajah dengan nyiru sahaja. Mana mungkin ia tidak dapat dihidu. Hakikatnya mengapa kerajaan tidak menerangkan kepada umum mengenai bajet 2009 yang mengalami defisit sebanyak RM 900 juta sehingga hari ini?

4. Pada tahun lalu YAB Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim membentang Bajet 2009 bernilai RM 1.4 bilion dengan anggaran pendapatan juga RM 1.4 bilion.

5. Namun pada Julai 2009, Kerajaan Negeri membentang satu lagi Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 yang berjumlah RM 120 juta. Kemudiannya pada sesi November ini, Kerajaan Negeri sekali lagi membentangkan Bajet tambahan sebanyak RM 458, 445, 168.80 (RM 458.5juta).

6. Ketika menang dalam pilihan raya 2008, kerajaan Pakatan ketika itu memohon Bajet tambahan sebanyak RM 178.3 juta kerana kononnya kerajaan negeri semasa BN melakukan pembaziran dan boros sehingga bajet tidak mencukupi.

7. Jadi tahun ini siapa pula salah sehingga terpaksa membentang bajet tambahan sebanyak dua kali? Malahan bajet tambahan 2009 mencecah RM 600 juta.

8. Keseluruhan bajet 2009 mencecah RM 2 bilion (atau secara tepatnya RM 1, 978, 445, 168.80). Manakala pendapatan kerajaan negeri sehingga Oktober 2009 hanyalah RM 1 bilion (RM1, 003, 802, 215.00). Jadi di mana kenyataan dan retorik kononnya kerajaan negeri melaksanakan bajet yang berimbang dan tidak berbelanja lebih?






9. Berasaskan pendapatan kerajaan negeri sehingga Oktober 2009, kerajaan negeri defisit sebanyak RM 900 juta. Berasaskan tren kutipan hasil dan pendapatan, saya menganggarkan kerajaan negeri akan kekurangan sekitar RM 450 juta bagi melaksanakan keseluruhan bajet 2009.

10. Ini bermakna kerajaan negeri perlu mengeluarkan wang simpanan negeri sebanyak RM 500 juta bagi menampung defisit bajet 2009.

11. Dari segi pengurusan sahaja menunjukkan kerajaan negeri melaksanakan pentadbiran bersifat ad-hoc dan tidak mempunyai perancangan sehingga terpaksa memohon bajet tambahan dalam masa tidak sampai enam bulan. Saya lihat kerajaan negeri tidak menggunakan sepenuhnya kepakaran kakitangan kerajaan negeri yang memang telah mahir dalam membuat anggaran bajet.

12. Perlulah dingatkan juga bahawa simpanan (reserved) kerajaan negeri yang ditinggalkan oleh BN sebanyak RM 1.4 bilion tidak akan bertahan lama jika trend pengurusan kewangan seperti ini berterusan.

13. Simpanan ini penting bagi membolehkan kerajaan negeri mendahulukan wang untuk perbelanjaan semasa memandangkan bajet yang dipraktiskan ialah bajet semasa iaitu perbelanjaan berasaskan anggaran pendapatan semasa.

14. Misalnya Bajet 2009 dibuat berasaskan anggaran pendapatan 2009. Justeru untuk melaksanakan perbelanjaan 2009 ia memerlukan kerajaan negeri menggunakan simpanan terlebih dahulu sebelum memasuk kembali kutipan hasil ke dalam simpanan negeri. Jika tiada simpanan yang mencukupi kerajaan negeri akan mengalami banyak masalah untuk melakukan pembayaran dan menjejaskan ekonomi negeri.

15. Saya khuatir beberapa tahun akan datang kerajaan negeri tidak lagi mempunyai simpanan yang mencukupi untuk membayar gaji kakitangan dan belanja pengurusan sebelum mendapat pendapatan semasa. Jika tidak ditangani mungkin akan menyebabkan Selangor dari negeri maju menjadi negeri muflis.

16. Masalah ini timbul kerana kerajaan Pakatan membuat bajet berasaskan andaian bukannya anggaran.

17. Dalam ucapan saya di sidang DUN yang lalu saya telah mengingatkan kerajaan negeri bahawa ekonomi berasaskan andaian bukannya anggaran akan menjerumus kerajaan negeri dalam krisis kewangan pada masa akan datang.

18. Jika bajet dibuat berasaskan anggaran maka kita akan membuat kiraan realistik berasaskan trend pendapatan beberapa tahun dan juga usaha-usaha yang dibuat bagi meningkatkan pendapatan. Ini akan menghasilkan satu angka yang munasabah dan hampir tepat.

19. Malangnya kerana mahu mendapat publisiti yang bagus dan pujian-pujian media dan rakyat maka kerajaan negeri sekarang ini membuat bajet berasaskan andaian. Mereka tidak berpijak di bumi nyata dengan mengandaikan akan mengutip hasil pasir sebanyak RM 200 juta setahun. Akhirnya yang dikutip tidak sampai 10% daripada andaian.

20. Dalam sidang DUN sekarang sekali lagi mereka membuat andaian. Mereka menyatakan akan mengutip hutang daripada Talam sebanyak RM 392 juta dalam masa tiga bulan. Ini adalah andaian bukan anggaran. Jika anggaran mereka akan mengambil kira kemampuan Talam dan kedudukan kewangan syarikat tersebut sebelum membuat kenyataan seperti itu.

21. Demikian juga janji pelaburan RM 10 bilion untuk Sungai Klang sehingga hari ini tidak menampakkan sebarang hasil. Pada awalnya dikatakan pelabur dari Timur Tengah, kemudiannya dikatakan pelabur dari Singapura dan yang terbaru dikatakan pelabur dari Korea Selatan.

22. Keghairahan membuat kenyataan yang tidak mempunyai asas dan sering kali berubah-ubah ini boleh memberi kesan negatif kepada pentadbiran kerajaan negeri dan juga ekonomi negeri.

23. Saya juga keliru dengan pemberian subsidi air yang dijanjikan oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri mengumumkan memberi subsidi air kepada semua pemilik meter individu kediaman. Sepatutnya kerajaan negeri yang membayarnya. Namun sekarang ini Kumpulan darul Ehsan Berhad (KDEB) yang membayarnya melalui pinjaman daripada kerajaan negeri.

24. Saya difahamkan, sehingga kini sebanyak RM 100 juta telah dipinjamkan kepada KDEB untuk menampung subsidi air. Apa akan terjadi kepada KDEB pada masa akan datang? Bolehkah syarikat ini berkembang dan mendapat rakan niaga yang baik jika ia dibebani hutang beratus juta?

25. Bajet yang dikemukakan untuk 2010 memperuntukkan RM 1.3 bilion dengan anggaran pendapatan juga RM 1.3 bilion. Anggaran ini adalah realistik. Namun saya percaya akan ada lagi pembentangan bajet tambahan pada tahun hadapan yang akhirnya memerlukan lagi wang simpanan negeri dikeluarkan tanpa diganti.

26. Justeru saya berharap, kerajaan negeri dapat memberi fokus yang jelas kepada usaha meningkatkan kewangan negeri dan pertumbuhan ekonomi bukannya berusaha memburukkan Barisan Nasional setiap masa sehingga lupa tanggungjawab sebenar.

27. Saya khuatir ketika media massa ghairah memberi publisiti terhadap retorik-retorik bajet rakyat dan sebagainya, kita lupa masalah sebenar terhadap pengurusan kewangan negeri.

28. Ramai yang menguar-uarkan bajet seimbang 2010 tetapi lupa pada masa yang mereka juga memuji-muji bajet seimbang 2009yang akhirnya mengalami defisit begitu besar.

29. Pada hemat saya, pentadbiran Pakatan hari ini lebih kepada menang sorak tapi Selangor mungkin tergadai pada masa akan datang.

Nota:

i)Semalam YB Azmin Ali mempersoalkan mengapa saya tidak berbuat apa-apa untuk mengutip hutang daripada Talam. Jika beliau membaca blog saya dengan teliti tentulah beliau tahu bahawa usaha mengutip hutang tersebut telah pun ada dan sedang berjalan sehinggalah berlaku perubahan pemerintahan.

ii). Sekarang kita lihatlah adakah kerajaan negeri mampu mengutip hutang tersebut secara tunai memandangkan kewangan Talam dalam keadaan yang teruk. Cuma saya berharap dalam usaha menekan Talam jangan sampai pembeli rumah teraniaya. Dengar khabarnya sekarang ini MB enggan menandatangani sebarang kebenaran pindah milik daripada Talam kepada Pembeli. Jika benar, wajarkah pembeli menjadi mangsa?

Tuesday, November 10, 2009

Silap Mata Kerajaan Negeri Selangor: RM 392 juta berpusing-pusing, RM 1 juta lesap?

1. Semalam YAB Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika memohon Bajet Tambahan mengumumkan bahawa Menteri Besar Incorporated (MBI) akan mengambil alih hutang Talam Corporation kepada anak syarikat negeri yang berjumlah RM392 juta.

2. Dakwaan Menteri Besar bahawa kerajaan lalu tidak mengambil sebarang tindakan hanya menunjukkan sama ada beliau menipu atau tidak mengambil tahu apa yang berlaku. Saya lebih percaya beliau cuba mengelirukan (mislead) rakyat.

3. Hakikatnya, pada 2006 atau 2007 lagi, Kerajaan Negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan semua anak syarikat terbabit bagi mengutip hutang Talam kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri.

4. Antara tindakan yang dalam proses ketika itu ialah rundingan pengambil alihan aset-aset dan hartanah Talam seperti Kelab Golf Bukit Beruntung dan beberapa hartanah lain. Selain itu tekanan juga dibuat dengan membekukan projek-projek "akan datang" yang membabitkan syarikat tersebut sehingga hutang mereka kepada kerajaan negeri dilangsaikan.

5. Kerajaan Negeri sebelum ini tidak mengambil alih hutang-hutang Talam daripada anak syarikat kerajaan negeri kerana mahukan CEO-CEO yang dibayar gaji bertanggungjawab terhadap setiap perjanjian yang mereka buat dengan pemaju termasuk Talam.

6. Ketika mengumumkan semalam, Menteri Besar memberi gambaran seolah-olah ia hanya merupakan peralihan pengurusan hutang tanpa apa-apa kos mahu pun niat terselindung.

7. Namun di sebalik kata-kata muluk manis Menteri Besar mengenai pengurusan aset hutang negeri ini, apa yang diumumkan oleh Menteri Besar semalam merupakan satu strategi perakaunan untuk memanipulasi rekod keuntungan organisasi tanpa mencerminkan nilai sebenar.

8. Dalam bahasa kewangan dan perakaunan ia dipanggil round-tripping, yang dianggap sebagai satu usaha "distortion" untuk memberi gambaran positif terhadap akaun. Walaupun tidak menyalahi undang-undang namun ia mempunyai tujuan yang kurang mulia iaitu memberi gambaran keuntungan atau pendapatan yang tidak tulen.

9. Antara strategi round-tripping ialah "a company selling an unused asset to another company while at the same time agreeing to buy back the same or similar assets at about the same price."

10. Apakah tujuan round-tripping ini? Ia bertujuan untuk menunjukkan peningkatan untung dalam akaun biar pun tiada untung sebenar. Banyak dilakukan oleh syarikat-syarikat di Bursa Saham untuk memberi keyakinan kepada pelabur.

11. Apa yang Tan Sri Khalid buat ialah untuk menunjukkan tambahan pendapatan besar dalam akaun kerajaan negeri biarpun secara realiti ia merupakan satu ilusi. Bahayanya ialah Kerajaan Negeri akan mempunyai kecenderungan untuk membelanja lebih dari sumber yang ada.

12. Menurut pemahaman saya dan maklumat yang diperolehi, pengumuman semalam merupakan satu usaha terancang dan bijaksana untuk meningkatkan pendapatan kerajaan negeri sebanyak RM 392 juta dan juga memberi peluang kepada orang tertentu membuat bisnes konsultansi dan guaman.

13. Kerajaan Negeri mengumpul semua hutang-hutang Talam Corporation kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri seperti Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Universiti Selangor (UNISEL). Jumlah hutang tersebut ialah sebanyak RM 392 juta.

14. Aset hutang ini dijual kepada sebuah syarikat milik PKNS, Selangor Industrial Corporation Sdn. Bhd (SIC), dengan Harga RM 392 juta.

15. Bagi membiayai pembelian ini, SIC membuat pinjaman dengan jumlah yang sama kepada sebuah bank. Saya difahamkan bank tersebut ialah CIMB Bank. Pinjaman ini dibuat menerusi SIC kerana sebagai syarikat sendirian berhad SIC tidak memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan untuk membuat pinjaman berbanding PKNS, KDEB dan PNSB.

16. Walaupun aset-aset hutang Talam ini merupakan milik anak syarikat kerajaan negeri namun ia dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri sebagai bayaran hutang mereka kepada kerajaan negeri.

17. Mengapa ia dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri? Ini untuk menunjukkan akaun kerajaan negeri mempunyai pendapatan yang lebih baik berbanding tahun lalu dan juga lebih baik dari anggaran pendapatan dalam Bajet 2008.

18. Ini bermakna akaun kerajaan negeri tahun ini akan mencatat tambahan RM 392 juta biarpun ia sebenarnya merupakan wang pinjaman dari bank bukannya aset atau wang pendapatan yang sebenar.

19. Kerajaan Negeri pula memberi geran sebanyak RM 392 juta ini kepada Perbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated - MBI) Selangor.

20. MBI menggunakan geran ini untuk membeli kembali aset hutang Talam daripada SIC dengan harga yang sama. RM 392 juta. SIC kemudiannya menggunakan wang tersebut untuk melangsaikan hutang dengan CIMB Bank.

21. Hari ini MBI akan menguruskan kutipan hutang talam sebanyak RM 392juta. Lebih mengelirukan, sungguhpun ia diletak di bawah pentadbiran MBI, Menteri Besar, mengikut laporan Malaysiakini.com, masih mengarahkan anak syarikat kerajaan negeri seperti KDEB dan PNSB mengutip hutang tersebut dalam masa tiga bulan.

22. Jadi mengapa perlu membuat perubahan pengurusan hutang jika ia seperti keadaan asal?

23. Selain mengelirukan rakyat mengenai pendapatan kerajaan negeri melalui round-tripping ini, saya difahamkan SIC juga menanggung kos guaman dan konsultansi sebanyak RM 700, 000.00. (Tujuh Ratus Ribu Ringgit Sahaja). Siapakah peguam dan konsultan yang menguruskannya? Apakah kriteria pemilihan mereka?

24. Selain itu SIC juga menanggung beban faedah sekitar RM 70 ribu sehari untuk jangka masa antara 3 hari sehingga seminggu dari proses pembelian hutang Talam kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri oleh SIC, sehinggalah kepada SIC membayar semula hutang tersebut kepada bank.

25. Saya jangkakan kerajaan negeri dan SIC membelanjakan sekitar RM 1 juta untuk melaksanakan round-tripping ini. RM 1 juta digunakan untuk mengabui mata rakyat dan media kononnya kewangan kerajaan negeri berada dalam keadaan mantap dan terbaik?

26. Apakah kaedah-kaedah silap mata seperti ini juga yang dipraktiskan oleh Menteri Besar sekarang sehingga dikatakan terhutang Bank Islam sebanyak RM 66.67 juta ketika membeli saham Guthrie?

27. Janji untuk mengutip hutang dari Talam dalam masa tiga bulan ini juga sungguh baik. saya berharap ia dapat dilaksanakan. Cuma bila dilihat bagaimana hasil kutipan pasir yang jauh dari janji dan anggaran; janji pelaburan RM 10 bilion ke atas Sungai Klang yang telah beberapa kali diungkapkan namun masih tiada tanda; dan banyak lagi janji-janji yang belum menampakkan hasilnya, maka saya was-was sama ada ini satu lagi janji manis sewaktu pembentangan bajet dan sidang DUN sahaja.

28. Jika ayam bertelur sebiji, riuh sekampung, Kerajaan selangor hari ini belum "bertelur" riuh senegara. Jangan nanti kokok berdegar-degar tapi ekor bergelumang najis.

Tuesday, November 3, 2009

Kereta Lama, Peraturan Baru

1. Keputusan kerajaan mewajibkan kenderaan berusia 15 tahun ke atas menjalani pemeriksaan tahunan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dengan alasan untuk mengelakkan kemalangan menimbulkan suasana yang kurang senang dari kalangan masyarakat.

2. Dalam Bajet 2010 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan mulai 1 Januari tahun depan, semua kenderaan penumpang berusia 15 tahun ke atas wajib membuat pemeriksaan tahunan di Puspakom sebagai syarat memperbaharui cukai jalan.

3. Ada dua alasan yang dapat saya garap dari kenyataan beberapa pemimpin negara:

A. Ia sebahagian langkah baru yang diperkenalkan di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) bagi meningkatkan daya saing industri automotif tempatan

B. Ia untuk memastikan kenderaan di atas jalan raya berada dalam keadaan yang selamat dan sesuai.

4. Alasan pertama tersebut jelas sekali tidak memikirkan kepentingan rakyat banyak tetapi hanya mengutamakan penjual kereta. Ini akan memberi kesan imej yang tidak baik kepada kerajaan. Seolah-olah kerajaan ingin memaksa rakyat menukar kereta baru setiap lima belas tahun.

5. Mungkin di beberapa negara maju ia boleh dilaksanakan. Namun dalam konteks di Malaysia ada yang berhutang sehingga 9 tahun untuk membeli sebuah kereta. Apakah mereka perlu dibebankan dengan satu lagi hutang kereta enam tahun selepasnya?

6. Demikian juga isu untuk menjaga tahap keselamatan kereta dengan mewajibkan pemeriksaan Puspakom.

7. Ramai rakyat tertanya apakah pemeriksaan Puspakom dapat menjamin tahap keselamatan kereta atau sekadar satu lagi cara agensi tersebut membuat wang.

8. Apakah tidak mustahil nanti kita tetap akan melihat kereta yang sudah daif masih di atas jalan dan diluluskan oleh Puspakom, seperti mana lori dan bas yang berasap tebal masih lepas bebas di jalan raya biar pun perlu menjalani pemeriksaan setiap enam bulan?

9. Selebihnya kerajaan juga perlu memikirkan bahawa majoriti pemilik kenderaan yang berusia 15 tahun ke atas ini tinggal di luar bandar. Mereka bukan sahaja berpendapatan rendah malah tinggal jauh dari Puspakom.

10. Untuk ke bandar-bandar utama untuk mengadakan pemeriksaan di Puspakom dan mengeluarkan bayaran antara RM 40 - 60 tentulah merupakan satu bebanan.

11. Ramai juga yang tertanya-tanya inikah cara kerajaan BN mahu membalas sokongan kuat pengundi luar bandar dalam pilihan raya lalu?

12. Saya tidak fikir pembuat polisi mengambil kira isu penduduk luar bandar ini. Mungkin kerana ternampak beberapa kereta buruk di dalam bandaraya Kuala Lumpur maka ada pegawai tertentu membuat saranan ini.

13. Justeru kajian semula perlu dilakukan ke atas keputusan ini. Jika mahu dilaksanakan juga saya cadangkan agar kerajaan menanggung kos pemeriksaan kereta ini atau mengenakan bayaran minima antara RM 5 - 10.

14. Pemeriksaannya pula hendaklah setiap 5 tahun bukannya setiap tahun. Ini akan mengurangkan bebanan rakyat berpendapatan rendah.

Untuk melaksanakan sesuatu dasar bagi manfaat semua biarlah ibarat menarik rambut dari tepung, rambut jangan putus, tepung jangan selerak.