Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Thursday, December 23, 2010

Jangan Pandang Enteng Janji Pakatan Rakyat

1. Pada hemat saya, Barisan Nasional tidak boleh memandang enteng sebahagian janji Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang yang terkandung dalam Buku Jingga bertajuk, "Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!"

2. Sungguhpun sebahagian janji tersebut tidak realistik namun terdapat janji-janji yang boleh mempengaruhi rakyat memberi undi kepada mereka terutamanya kenaikan gaji guru sebanyak RM 500.

3. Terdapat kira-kira 400 ribu guru sekarang ini dan tidak mustahil sebahagian besar mereka akan menilai tawaran tersebut dengan serius. Ini kerana kebanyakan guru mempunyai pegangan politik yang agak bebas. Tidak ramai yang membuat keputusan menyokong mana-mana parti politik sejak awal lagi.

4. Kenaikan kos sara hidup yang kian menjadi-jadi sejak wujudnya makmal rasionalisasi subsidi boleh menjadikan sebahagian besar rakyat menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh Pakatan biar pun mereka mungkin tidak mampu melaksanakan sepenuhnya.

5. Saya percaya jentera kerajaan terutamanya Menteri "jaga makmal" boleh memberi penjelasan yang logik, rasional dan sangat akademik kepada rakyat bagi menjustifikasikan kenaikan harga barang, petrol dan pengenaan pelbagai cukai termasuk kemungkinan pelaksanaan GST.

6. Saya juga percaya kerajaan mempunyai kebolehan untuk menjelaskan mengapa Menteri "jaga letrik" mengumumkan kerajaan bersetuju kenaikan tarif letrik tapi masa belum sesuai. Tentulah kerajaan juga mampu menjelaskan mengapa Tenaga Nasional Berhad bercakap soal kekurangan untung (bukan rugi) jika tarif tidak dinaikkan seolah-olah TNB ini berniaga menggunakan duit sendiri bukannya duit rakyat.

7. Menurut sebahagian rakyat termasuk guru-guru yang menjadi sasaran kempen Pakatan sekarang, "sekurang-kurangnya ada harapan dengan Pakatan berbanding Barisan Nasional yang asyik bercakap soal mengurangkan subsidi dan menaikkan tarif yang sekaligus menambah perbelanjaan dan hutang mereka."

8. Jadi, ketika kita boleh menjelaskan untung rugi, logik dan rasional setiap tindakan namun yang jarang ditanya apakah keputusan dan penjelasan kerajaan mampu meyakinkan rakyat yang akhirnya akan diterjemahkan ke dalam peti undi dengan memberi undi kepada Barisan Nasional?

9. Sungguhpun kita boleh mendakwa banyak janji Pakatan di Selangor belum tertunai namun saya percaya ia akan mula dilaksanakan menjelang pilihan raya akan datang bagi menggula-gulakan pengundi.

10. Tidak mustahil pada tahun hadapan kerajaan negeri Selangor akan mengurangkan cukai pintu premis kediaman sebanyak 20% dan cukai pintu premis perniagaan sebanyak 10% seperti yang dijanjikan dalam manifesto mereka sebelum ini. Ini akan memberi "pukulan hebat" kepada Barisan Nasional.

11. Masalah Barisan Nasional (BN) lebih besar daripada Pakatan Rakyat (PR). BN sebagai pemerintah tidak boleh berjanji sebaliknya perlu melaksanakan kerana ia memegang tampuk pemerintahan.

12. Majoriti rakyat tidak meminta "bulan dan bintang" seperti dalam janji-janji PR. Namun rakyat juga tidak boleh terus memberi sokongan kepada kerajaan yang tidak boleh memberi mereka apa-apa harapan.

13. Barisan Nasional harus datang dengan pelan yang meyakinkan majoriti rakyat. Kalau pun tidak seindah Pakatan namun pelan BN jika baik dan cantik ia boleh mendapat kepercayaan rakyat kerana kemampuan BN telah terbukti.

14. Maka ketika kekalahan dan kejatuhan banyak parti dan pemerintah sama ada secara demokrasi atau autokratik sebenarnya bukanlah kerana isu demokrasi, ketelusan dan prestasi tinggi tetapi kerana suara golongan majoriti dalam negara tersebut tidak didengari.

15. Lihatlah banyak sejarah kejatuhan parti dan pemerintah kebanyakannya berpunca daripada kenaikan kos sara hidup, petrol dan pengenaan pelbagai cukai yang akhirnya membosankan majoriti rakyat (middle class dan lower class) dan mengambil keputusan menghumbankan mereka jatuh dari tampuk pemerintahan. Saya tidak perlu menyebut contoh namun kenaikan kos sara hidup sudah cukup menghumban beberapa pemimpin parti negara jiran dan eropah sejak berdekad-dekad lalu.

16. Ketika kita tidak menafikan kepentingan kerajaan menjadi telus, anti rasuah dan bijak menguruskan ekonomi negara yang menjadi mantera golongan elit perniagaan, elit politik dan elit akademik, namun majoriti rakyat jika terhimpit dan terdesak tidak akan mempedulikan semua itu ketika membuang undi.

17. BN hanya ada satu pilihan, memuaskan hati golongan majoriti yang berpendapatan rendah dan sederhana yang menjadi isu "bread and butter" sebagai tanda aras kepuasan mereka.

18. Sepatutnya KPI kerajaan hari ini ialah kepuasan hati majoriti rakyat bukan untung rugi perniagaan GLC, hebat dan gahnya jenama transformasi ekonomi atau berapa ratus juta yang boleh dikutip oleh "saman ekor".

19. Saya memberi pandangan ini agar kita tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada 2008, yang mana saya sendiri tidak mengambil berat manifesto Pakatan ketika itu dan menyebabkan Selangor jatuh ke tangan Pakatan. saya berharap pisang tidak berbuah dua kali.

Tuesday, December 21, 2010

Fakta Sebenar Berkenaan Surau Al-Hidayah, Rawang

1. Kenyataan Kerajaan Negeri bahawa tanah Kampung Melayu Rawang dijual oleh kerajaan Negeri pada 2002 adalah tidak benar. Kelulusan penjualan tanah kepada SAP Holdings dibuat sebelum tahun 2000 lagi, yang mana ini bermakna ia dibuat
sebelum pentadbiran saya.

2. Bagaimanapun, memang benar isu mengenai pembangunan kawasan tersebut dibuat oleh pentadbiran saya. Namun setelah menerima bantahan daripada penduduk setempat, saya telah mengunjungi dan bersolat di Surau Al-Hidayah, Kampung Melayu, Rawang pada tahun 2003 .

3. Setelah mendengar pandangan penduduk setempat dan melihat lokasi surau terbabit, Kerajaan Negeri pada 2003 telah membuat keputusan projek pembangunan atas tanah tersebut boleh dibuat dengan syarat surau tersebut hendaklah dikekalkan di tapak sedia ada.

4. Kerajaan Negeri boleh menyemak minit mesyuarat Majlis Mesyuarat kerajaan negeri (EXCO) Selangor pada 2003 dan 2004 (saya tidak pasti tarikh sebenar keputusan tersebut dibuat)sebelum membuat tuduhan melulu.

5. Tindakan kerajaan negeri mengutarakan keputusan 2002 dan mengabaikan keputusan pada 2003 atau 2004 menimbulkan tanda-tanya apakah mereka mempunyai kepentingan untuk menyembunyikan keputusan mengekalkan surau sedia ada. Apakah ada udang sebalik batu antara kerajaan negeri hari ini dengan pemaju?

6. Kerajaan negeri hari ini juga boleh membatalkan projek tersebut jika mereka berpendapat ia tidak wajar dijalankan. Pisau dan mentimun di tangan, gunakanlah sebaik mungkin.

Tuesday, December 14, 2010

Usah Terlalu Ghairah Dengan Pendedahan WikiLeaks

1. WikiLeaks yang sebelum ini mencetuskan kekecohan di banyak negara akhirnya tiba juga di Malaysia sejak beberapa hari lalu. Nama seperti Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin muncul dan mendapat liputan meluas.

2. Sungguhpun WikiLeaks memberi kelebihan kepada Barisan Nasional dalam isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun kita semua harus memahami bahawa dokumen-dokumen dalam WikiLeaks hanyalah nota-nota diplomatik yang belum tentu benar dan sah.

3. Malahan dalam sesetengah keadaan saya melihat ianya tidak lebih daripada "gosip diplomatik" yang dibuat oleh negara-negara yang bersaing dengan Malaysia. Apa yang dicatat dalam nota diplomatik terbabit merupakan perbincangan dan gosip umum di Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

4. Hanya kerana ianya diucap semula oleh pemimpin negara Singapura kepada diplomat negara lain dan kemudiannya dijadikan laporan perisikan dan diplomatik oleh Amerika Syarikat tidak bermakna ianya satu kebenaran, apatah lagi satu fakta.

5. Nota-nota diplomatik yang didedahkan dalam beberapa isu membabitkan negara ini lebih merupakan catatan persepsi dan pandangan diplomat, duta dan pemimpin negara tertentu yang belum tentu sah dan benar. Apatah lagi kenyataan-kenyataan dari pemimpin Singapura tersebut langsung tidak disertakan bukti dan fakta.

6. Keghairahan beberapa pihak memperkatakan isu-isu dalam WikiLeaks membabitkan kepimpinan negara dan kes mahkamah di negara ini boleh memberi implikasi yang serius kepada masyarakat biasa.

7. Saya khuatir akan ada rakyat yang keliru dengan WikiLeaks ini dan menganggapnya ia satu kebenaran sehingga mempengaruhi mereka membuat keputusan dalam sesuatu isu.

8. Satu-satunya kebaikan WikiLeaks ialah ia membolehkan kita memahami bagaimana Amerika Syarikat dan sekutunya merangka polisi dan dasar luar mereka berdasarkan maklumat-maklumat daripada negara dan pemimpin tertentu.

Thursday, December 9, 2010

Tiada Lagi Komen Mengenai Kes

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Atas nasihat Peguam saya, tiada lagi komentar dan komen akan dibuat mengenai kes ini bagi mengelakkan adanya unsur menghalang keadilan atau menghina mahkamah. sub judice. Saya menghormati prosedur undang-undang dan akan cuba mematuhi sebaik mungkin.

- Harap maklum.

Nota: Saudara/i juga boleh baca Pandangan Peguam Negara dalam Berita Harian hari ini.

Monday, December 6, 2010

Peluang Menjelaskan Diri Di Mahkamah

1. Pagi tadi saya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan mendapatkan untuk saya dan isteri suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

2. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaraya yang menghadapkan saya ke mahkamah kerana ini memberi peluang saya mmenjelaskan isu ini dalam Mahkamah dan membersihkan diri saya.

3. Ini juga bermakna rumah saya bukanlah berharga RM 24 juta seperti yang dituduh oleh Pakatan.

4. Saya membeli rumah saya dengan harga pasaran semasa yang dinilai oleh beberapa penilai hartanah dan melalui pinjaman bank, justeru saya tidak takut untuk ke Mahkamah menjelaskannya.

5. Apa yang saya harapkan ialah perbicaraan ini dilakukan secepat mungkin bukannya ditangguh-tangguhkan bagi menghalang saya dari bergiat dalam politik.

6. Saya akan melepaskan jawatan Ketua Pembangkang Selangor berkuatkuasa serta merta.

7. Berkenaan jawatan dalam parti ia terserah kepada pucuk pimpinan parti. Jika ia menjadi masalah besar kepada parti saya rela mengundur diri. Namun sebagai wakil rakyat saya akan terus berkhidmat walau atas platform mana pun sehingga Mahkamah membuat keputusan.

Nota: Sila Rujuk Penjelasan saya sebelum ini untuk memahami isu rumah saya.

Thursday, December 2, 2010

Kenaikan Tarif Air: Antara Realiti dan Agenda Politik

1. Ahad ini Kerajaan negeri Selangor akan mengadakan demontrasi jalanan untuk menghantar memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong untuk membantah kenaikan tarif air yang diminta oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

2. Mengikut perjanjian penswastaan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Syabas yang dirangka oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 2005, tarif air dijangka akan naik sebanyak 37% pada 2009, 25% pada 2012, 20% pada 2015, 10% pada 2018 dan 5% pada 2021. Dijangkakan selepas 2021 tiada lagi kenaikan berikutan kos pembinaan dan penggantian infrastruktur seperti paip dan loji air tiada lagi.

3. Untuk rekod, sebelum perjanjian ditandatangani, kerajaan negeri pernah menyatakan kurang senang mengenai kenaikan seperti ini, namun perancang ekonomi menyatakan bahawa perjanjian yang membabitkan kenaikan seperti ini perlu bagi membolehkan Syabas mendapatkan dana sama ada melalui bon atau pinjaman bagi membiayai proses penggantian paip air lama sepanjang 6000 KM dan membabitkan kos sebanyak RM 2 bilion.

4. Namun beberapa syarat telah dikenakan kepada Syabas termasuk syarat yang mengkehendaki Syabas menggunakan paip buatan tempatan dan mengadakan tender terbuka untuk kerja-kerja penggantian paip. Pada 2007, saya telah menyatakan kepada umum bahawa Syabas melanggar syarat konsesi dengan membeli paip dari Indonesia dan memberi tender secara runding terus. Ini terbukti dalam laporan Audit Negara 2009.

5. Atas asas ini sahaja Syabas tidak layak meminta kenaikan tarif air sebanyak 37% yang sepatutnya berlaku pada 2009. Malahan, saya juga ragu-ragu Syabas telah berjaya mengatasi isu kehilangan air atau non-revenue water (NRW)seperti yang disyaratkan.

6. Kenaikan Tarif Air seperti yang diuar-uarkan oleh kerajaan negeri hanyalah satu mainan politik kerana sebarang kenaikan tarif air perlu dipersetujui oleh Panel Penentuan Tarif Air yang membabitkan wakil Kerajaan Negeri, Persekutuan dan Syabas.

7. Justeru walau apa tuntutan dan dakwaan Syabas, tidak mungkin akan berlaku kenaikan tarif sebelum ia diluluskan oleh Panel ini. Saya juga tidak fikir Kerajaan Persekutuan pun akan bersetuju dengan kenaikan tarif ini.

Kerajaan Negeri Menipu Rakyat

8. Justeru mengapa perlu berdemontrasi dan menghantar memorandum ke Istana Negara? Jelas ia hanyalah agenda politik Pakatan yang sekarang ini terdesak dengan konflik dalaman dan mahu mengalih fokus umum daripada masalah dalaman parti dan pimpinan mereka.

9. Namun persoalan yang sepatutnya rakyat tanya ialah benarkah Kerajaan Negeri ada kemampuan kewangan untuk mengambil alih semua syarikat dalam industri air ini? Dan persoalan lebih penting ialah apakah kerajaan negeri boleh memberi jaminan ia mampu melakukan proses penggantian paip lama, merawat air dan menyediakan perkhidmatan yang efisyen tanpa sebarang kenaikan tarif?

10. Persoalan ini perlu ditanya kerana saya mengesan telah beberapa kali kerajaan negeri memberi pendirian yang berbeza dalam isu air ini.

11. Misalnya kerajaan negeri mengajak rakyat keluar menghantar memorandum kepada Agong membantah kenaikan tarif air. Ia memberi gambaran seolah-olah tiada kenaikan tarif jika kerajaan negeri mengambil alih.

12. Namun dalam risalah "Kenapa Selangor Mahu Urus Air Sendiri" [Selangorkini, Edisi Ringkas, Bilangan 3] yang diterbitkan oleh Kerajaan negeri, ia menyatakan, "Kerajaan Negeri Selangor Menawarkan "model Holistik" yang tidak membebankan rakyat.
"Melalui model ini, kenaikan tarif air boleh dibuat tidak melebihi 12 peratus setiap tiga tahun."


13. Jika syarat dengan Syabas, kenaikan akan berlaku hanya sehingga 2021, namun melalui kerajaan negeri kenaikan 12% setiap tiga tahun ini seolah-olah tiada had tempoh dan boleh menjadi berpuluh kali ganda lebih tinggi dari perjanjian sedia ada.

14. Pada bulan Sepetember 2010, Tan Sri Khalid Ibrahim dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri menentang kenaikan tarif tetapi tidak menolak kemungkinan kenaikan tarif air sebanyak 10-15%.

"If we restructure the management of water services, the price of water will be sustained and even if there is a hike, it would only be about 10%-15%," he said.
- The Sun
.

15. Dalam satu sidang akhbar selepas sidang Dewan Negeri Selangor yang lalu, Khalid sekali lagi menyatakan kemungkinan kenaikan tarif air sebanyak 15%.

"Jika harga (air) sekarang 57 sen, had kenaikan saya ialah 15 peratus, kata Khalid pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini."
- themalaysianinsider.com


16. Justeru adalah satu pembohongan untuk Khalid mendakwa dan menyeru rakyat keluar berdemontrasi dan menyokong usaha kerajaan negeri mengambil alih industri air jika tidak mahu tarif air dinaikkan. Khalid sendiri beberapa kali memberi kenyataan yang membawa maksud bahawa kenaikan tarif air satu kemestian.

Air Lebih Murah Di Bawah PAAB

17. Pada hemat saya, sekiranya Perbadanan Aset Air Berhad dibenarkan mengambil alih semua aset air kerajaan negeri dan Akta Industri Air 2006 dapat dilaksanakan mulai 1 Januari 2011 seperti yang dirancang semua isu kenaikan tarif air dalam perjanjian konsesi dengan Syabas tidak lagi relevan dan tidak akan dilaksanakan.

18. Ini kerana kos pengurusan dan penyelenggaraan aset air akan dilakukan oleh PAAB dan boleh melalui proses subsidi kerajaan sekaligus ia akan mengurangkan kos keseluruhan industri air terawat ini.

19. Selain itu, melalui Akta ini, Kerajaan Persekutuan akan mengeluarkan lesen baru kepada pengendali air di seluruh negara. Ini bermakna syarat dan perjanjian baru akan dilaksanakan dan kemungkinan besar kenaikan tarif yang sangat minima di bawah 10% boleh dilakukan oleh pengendali air di Lembah Klang.

20. Justeru saya berharap janganlah kerajaan negeri memeperalatkan rakyat dan mengelirukan fakta seolah-olah mereka mampu mengekalkan tarif air sedia. Jangan kelirukan masyarakat dengan isu air sedangkan hakikat sebenar ialah mereka mahu menutup kepincangan parti mereka dan pentadbiran negeri Selangor hari ini.

Tuesday, November 30, 2010

Menggadai Agama dan Bangsa Demi Politik?

1. Perlukah usaha meraih kuasa dilakukan dalam apa cara sekali pun walaupun terpaksa menggadaikan agama Islam dan bangsa Melayu? Jika ini direlakan, apakah lagi yang tinggal kepada kita dan anak-anak kita pada masa akan datang?

2. Pertanyaan ini saya lontarkan berikutan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor semalam yang menyatakan kekesalan baginda terhadap sikap sebahagian orang Melayu yang hari ini sudah malu mengaku Melayu dan kalau boleh mahu menghapuskan identiti Melayu itu sendiri.


3. Menurut Baginda Sultan Selangor seperti dilaporkan oleh Berita Harian, "...ada segelintir individu yang berhijrah ke negeri itu, terutama orang Melayu, sanggup mempersoalkan peranan institusi Raja Melayu serta kedudukan dan hak keistimewaan bangsa Melayu."

4. Cabaran-cabaran terhadap kedudukan orang Melayu bukanlah timbul dari hati nuraini tetapi lebih kepada usaha menarik undi bukan Melayu. Ini dilema yang dihadapi apabila merebut kuasa menjadi agenda segala-galanya dalam percaturan politik.

5. Justeru itu tidak hairan dalam perhimpunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) beberapa hari lalu, Presidennya mencadangkan dihapuskan Ketuanan Melayu. Jika dihapuskan ketuanan Melayu ini bermakna ingin menghapuskan institusi Raja-Raja Melayu kerana itulah maksud ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu tiada kena mengena dengan kuasa politik negara kerana orang Melayu bila-bila masa boleh kehilangan kuasa politik. Namun ketuanan Melayu ialah kedudukan institusi raja-raja Melayu yang menjaga kepentingan agama Islam, orang Melayu dan peribumi lain, bahasa Melayu dan tanah Melayu.

6. Malangnya kerana keghairahan untuk menarik sokongan bukan Melayu, isu-isu ini terus diputarbelitkan dan dijadikan batu loncatan politik semata-mata.

7. Dalam beberapa hari ini juga kita mendengar di Kongres Parti Keadilan Rakyat bagaimana seorang bukan Islam sewenang-wenangnya menafsir ayat al-Quran sehingga terkeluar dari maksud asalnya.

8. Ini bukan kali pertama ahli politik bukan Islam menggunakan petikan-petikan ayat al-Quran untuk kepentigan politik tertentu sehingga boleh mencemarkan ukhuwah orang Islam di negara ini. Sebelum ini dalam kempen pilihan raya Bukit Gantang juga berlaku isu yang sama apabila pemimpin DAP sewenang-wenangnya memetik ayat al-Quran dalam ceramah politik mereka menghentam orang Islam lain.

9. Bagi saya tidak salah jika bukan Islam mahu membaca atau mendalami maksud al-Quran, namun amat tidak wajar apabila bukan Islam menggunakan teks-teks al-Quran untuk berkempen bagi menimbulkan kebencian orang Islam dalam parti tertentu kepada orang Islam yang berlainan parti politik.

10. Malangnya mereka yang terdiri daripada bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Kebangsaan PelajarIslam Malaysia (PKPIM) dan Jemaah Islam Malaysia (JIM) yang berada dalam perhimpunan PKR itu tidak menyatakan sebarang teguran mahu pun menyanggah keadaan ini.

11. Saya nasihatkan kepada pemimpin bukan Islam dalam PKR marilah memeluk agama Islam terlebih dahulu sebelum menggunakan ayat al-quran untuk menghukum orang Islam lain. Amatlah tidak masuk akal dan kurang ajar bagi mereka yang tidak percaya kepada agama Islam tetapi sewenang-wenangnya mengguna dan mentafsir al-Quran kepada umum.

12. Jika untuk mendapat kuasa sudah banyak yang sanggup mereka gadaikan, bayangkan jika mahu mengekalkan kuasa nanti. Jika belum berkuasa tidak banyak dapat dilakukan namun jika berkuasa bayangkan berapa banyak yang dapat mereka lakukan untuk menjahanamkan agama Islam dan bangsa Melayu demi mengekalkan kuasa yang mereka pegang.

13. Kita boleh berbeza pendapat dalam politik tapi janganlah biarkan agama Islam dan bangsa Melayu dijadikan bahan politik tidak bertempat.

14. Sebahagian orang bukan islam sendiri mungkin seronok melihat keterbukaan PKR dan mungkin merasakan inilah peluang mereka mendapat lebih daripada apa yang ada sekarang.

15. Namun cubalah tanya hati nurani anda, apakah mereka yang sanggup mengkhianati agama dan bangsa sendiri tidak akan mengkhianati anda apabila anda tidak lagi diperlukan?

Monday, November 15, 2010

Bahaya Kerajaan Suka Berbohong

1. Antara inti pati ucapan saya dalam sidang Dewan Negeri Selangor yang lalu ialah mengingatkan kerajaan negeri agar memberi fakta dan angka yang benar dan bukan membuat anggaran tanpa realiti.

2. Setelah saya menerangkan secara panjang lebar mengenai isu-isu dalam industri air dalam sidang Dewan Negeri Selangor, Tan Sri Khalid mengumumkan kesediaan untuk tidak mengambil sesen pun dari aset yang kononya bernilai hampir RM 10 bilion itu. Tan Sri Khalid juga dilaporkan berkata kerajaan negeri berpendapat kenaikan sebanyak 15% memadai bagi membolehkan industri air kekal berdaya saing.

3. Nah, dari tidak setuju naik langsung dan kononnya kenaikan ini agenda Barisan Nasional mengkayakan kroni, tiba-tiba Khalid bersetuju pula kenaikan 15%. Sebab itu kata orang berfikir dulu sebelum bercakap.

4. Mengenai isu air ini juga saya terbaca beberapa kenyataan kerajaan negeri yang kononnya Pakatan Rakyat mencadangkan konsensi air negeri Selangor ini diberikan kepada satu syarikat sahaja bagi menjimatkan kos. Ini merupakan satu lagi pembohongan kerana kajian untuk menstrukturkan semula industri air ini telah dilakukan oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)atas permintaan kerajaan negeri sejak 2006 lagi.

5. Jika dibaca dalam artikel saya sebelum ini Sokong Penstrukturan semula air Selangor saya telah membri bukti yang jelas mengenai kewujudan kajian dan juga usaha-usaha menyatukannya (consilidation) telah dijalankan sejak 2007 lagi yakni sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih lagi.

6. Justeru amatlah aneh dan pelik sekali bila dalam risalah-risalah mengenai air yang mereka keluarkan menyatakan bahawa mereka yang mencadangkan usaha penstrukturan semula industri air ini. Malah kerajaan persekutuan juga telah merancang penstrukturan semula air ini sejak 2006 dengan menubuhkan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan iaitu Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

7. Kerajaan Negeri juga menyatakan saluran air dari pahang tidak perlu kerana mereka mampu membersihkan Sungai Klang. Saya khuatir jika ini juga menjadi satu lagi kenyataan "tidak boleh pakai" daripada kerajaan Selangor.

8. Membersihkan sungai Klang bukan satu kerja mudah, murah dan dapat dilakukan dalam waktu yang singkat. Sungai Klang bukan sahaja menghadapi masalah pencemaran sampah sarap tetapi juga bahan buangan klinikal, industri dan kumbahan. Ini menjadikan air sungai Klang sangat tidak selamat dan sukar dibersihkan. Sungai Thames London yang dianggap sungai mati pada tahun 50-an mengambil masa lebih 20 tahun untuk dipulihkan. Bolehkah industri bekalan air bersih di Lembah Klang mengambil masa yang sama sedangkan kajian menunjukkan kita akan menghadapi masalah bekalan air bersih pada 2014?

9. Apa akan jadi jika projek ini gagal dan dalam masa yang sama loji air Langat 2 tidak dibina? Jika dilihat banyak kenyataan kerajaan negeri yang berdolak dalik termasuk dalam isu pembersihan sungai Klang yang diuar-uar sejak dua tahun lalu, saya fikir banyak masalah akan timbul dalam beberapa tahun mendatang.

10. Dalam sidang Dewan Negeri Selangor yang lalu juga YAB Menteri Besar beberapa kali menyatakan sokongan beliau terhadap KL Greater dan Menara Warisan semasa berucap di dalam Dewan. Anehnya beberapa hari kemudian keluar pula kenyataan akhbar Pejabat Menteri Besar kononnya Tan Sri Khalid tidak bersetuju dengan pembinaan menara warisan 100 tingkat tersebut.

11. Justeru saya tertanya-tanya siapakah yang menentukan pendapat dan pandangan Menteri Besar Selangor sekarang? Tan Sri Khalid atau orang di sekeliling terutamanya Setiausaha Politik beliau.

12. Saya berharap pimpinan kerajaan negeri Selangor hari ini segera sedar bahawa mereka bukan lagi pembangkang tetapi kerajaan yang memerintah. Kenyataan dan pandangan yang dibuat harus mengambil kira fakta dan kebenaran agar kredebiliti kerajaan negeri tidak dipertikaikan.

13. Jika sesiapa yang membaca Sinar Harian hari jumaat lalu (19 November 2010) mengenai kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar bahawa pendapatan Negeri Selangor ialah RM 11 bilion dan hanya RM 600 ribu diperuntukkan kepada belanja pengurusan, ia merupakan kenyataan yang sangat mengelirukan.

14. Mengikut maklumat pendapatan tahun ini hanyalah sekitar RM 1.03 bilion (sehingga September 2010). Manakala anggaran pendapatan tahun hadapan yang dibentangkan oleh Tan Sri Khalid hanyalah RM1.43 bilion. Daripada jumlah itu, sebanyak RM830 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, mankala sebanyak RM600 juta selebihnya diperuntukkan untuk pembangunan negeri.

15. Justeru saya tertanya-tanya pendapatan tahun bila yang dinyatakan oleh kerajaan negeri sebanyak RM 11 bilion ini dan dari mana pula datang kononnya belanjawan pengurusan hanyalah RM 600 ribu?

16. Adalah Amat berbahaya apabila pelabur dan rakyat terpaksa menunggu beberapa hari untuk melihat sama ada kenyataan awal kerajaan negeri akan berubah atau tidak dalam sekeip mata kemudiannya.

17. Lebih merbahaya jika rakyat tidak lagi boleh mempercayaai kenyataan kerajaan negeri kerana masih terbawa-bawa sikap suka memutar belit fakta dan berbohong sama seperti ketika tidak memegang kuasa dahulu.

18. Teringat saya bidalan orang tua-tua dahulu, "siakap senohong, gelama ikan duri, sikap suka berbohong, lama-lama jadi pencuri."

Tuesday, November 9, 2010

TEKS PERBAHASAN BELANJAWAN 2011 **

Nota: ** Teks ini merupakan draf ucapan yang mungkin berbeza dari ucapan saya yang sebenar di dalam Dewan Negeri Selangor.
- adalah dimaklumkan dalam ucapan tadi terdapat banyak celahan dan banyak huraian di luar teks terutamanya mengenai isu air. Justeru saya tertinggal para 89 daripada ucapan saya tadi. Harap maklum.


Tuan Speaker dan Sidang Dewan yang mulia,


Assalamualaikum warrahmatullah hiwabarakatuh, salam sejahtera, salam Satu Malaysia.

Terlebih dahulu terima kasih kerana memberi laluan kepada Sungai Panjang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang yang bertajuk “Suatu Enakmen bagi Penggunaan Sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi tahun 2011, dan peruntukan wang itu bagi perkhidmatan pada tahun tersebut” yang telah dibentangkan oleh Y.A.B. Dato Seri Menteri Besar semalam.

Tuan Speaker dan sidang Dewan sekalian,

1. Sungai Panjang ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Menteri Besar yang membentangkan satu belanjawan yang berimbang dengan anggaran pendapatan sebanyak SATU RIBU EMPAT RATUS TIGA PULUH JUTA RINGGIT (RM 1, 430 JUTA) dan perbelanjaan sebanyak SATU RIBU EMPAT RATUS TIGA PULUH JUTA RINGGIT (RM 1, 430 JUTA).

2. YAB Menteri Besar dengan bangganya mengisytihar bahawa belanjawan kali ini merupakan belanjawan berimbang yang merupakan kesinambungan kepada Belanjawan Negeri Selangor pada 2009 dan 2010.

3. Sebenarnya tidak wujud belaanjawan berimbang seperti yang di dakwa oleh YAB Menteri Besar pada tahun 2009 dan 2010.

4. Telah dua tahun berturut-turut Selangor mengalami Belanjawan Defisit biarpun semasa pembentangannya menunjukkan ia merupakan belanjawan yang berimbang. Pada 2009, Kerajaan Negeri membentangkan satu Belanjawan berimbang dengan jumlah SATU RIBU EMPAT RATUS JUTA RINGGIT.

5. Namun dalam sidang Dewan Negeri Selangor penggal kedua dan ketiga tahun 2009 kerajaan negeri telah membentangkan Belanjawan Tambahan sebanyak dua kali yang kesemuanya berjumlah RM 578, 445, 168.68 (LIMA RATUS TUJUH PULUH LAPAN JUTA, EMPAT RATUS EMPAT PULUH LIMA RIBU, SERATUS ENAM PULUH LAPAN RINGGIT DAN ENAM PULUH LAPAN SEN)

6. Justeru keseluruhan Belanjawan 2009 ialah SATU RIBU SEMBILAN RATUS TUJUH PULUH LAPAN JUTA, EMPAT RATUS EMPAT PULUH LIMA RIBU, SERATUS ENAM PULUH LAPAN RINGGIT DAN ENAM PULUH LAPAN SEN (RM 1, 978, 445, 168.80)

7. Kerajaan negeri bernasib baik apabila berlaku pertambahan dalam pendapatan negeri dan juga atas silap mata “round tripping” hutang Talam, maka pada akaun akhir tahun 2009 kerajaan negeri mengalami defisit sebanyak RM 65.96 juta (ENAM PULUH LIMA JUTA, SEMBILAN PULUH ENAM RIBU RINGGIT). Jika tidak defisit yang dicatatkan pastinya lebih besar.

8. Trend ini sangat membimbangkan kerana kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional telah pun berjaya mewujudkan belanjawan berimbang dan mempunyai lebihan, atau dengan izin, surplus, dalam akaun kerajaan negeri sejak 2006.

9. Pada 2006 akaun kerajaan negeri mempunyai lebihan sebanyak RM 72.51 juta. Ia kemudiannya meningkat kepada 131.88 juta pada 2007. Namun pada tahun 2008, tahun transisi pentadbiran dari Barisan Nasional kepada Pakatan, akaun kerajaan negeri mempunyai lebihan yang berkurangan kepada hanya RM 49.1 juta.

10. Akhirnya pada tahun 2009, akaun kerajaan negeri mengalami defisit sebanyak RM 65.96 juta. Hampir-hampir sama pula dengan hutang Ijok kepada Bank Islam yang sedang dibicarakan di Mahkamah.

11. Apabila Belanjawan 2010 dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini pada November 2009 dengan anggaran pendapatan dan perbelanjaan berjumlah Satu Ribu Tiga Ratus Juta Ringgit (RM 1.3 bilion), saya menyatakan bahawa ia belanjawan yang realistik.

12. Namun saya turut mengingatkan bahawa keadaan yang sama dilakukan dalam Belanjawan 2009 tetapi akhirnya lain yang berlaku. Peruntukan tambahan demi peruntukan tambahan diminta.

13. Ketika itu, Bukit Antarabangsa dengan pantas menyanggah saya dalam satu portal berita internet, saya petik kata Hulu Kelang, “We do not spend more than what we (have). We get RM 1.3 bilion, we spend RM 1.3 bilion”. Namun, kita semua tahu apa yang Bukit Antarabangsa pertahankan itu, akhirnya beliau sendiri terpaksa menelannya kembali.

Tuan Speaker dan ahli-ahli Yang Berhormat Sekalian,

14. Ketika saya digantung, Dewan ini telah membentangkan dua Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan 2010.

15. Dalam sidang Dewan pada bulan April lalu peruntukkan tambahan sejumlah RM 69 juta telah dipohon dan diluluskan. Pada bulan Julai pula, satu lagi Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan 2010 dibentangkan dengan permohonan peruntukan sebanyak RM 117 juta. Kini dalam sidang November ini, satu lagi peruntukan tambahan dipohon dengan jumlah RM 8 juta. Keseluruhan belanjawan tambahan tahun ini ialah RM 194 juta.

16. Jadi keseluruhan Belanjawan 2010 ialah sebanyak SATU RIBU EMPAT RATUS SEMBILAN PULUH JUTA RINGGIT atau secara ringkasnya, RM 1.494 BILION. Ini bermakna kerajaan negeri pada tahun ini, secara atas kertasnya, akan mengalami defisit sebanyak RM 194 juta.

Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat Sekalian

17. Menurut anggaran, kerajaan negeri dijangka mampu meningkatkan pendapatan sehingga RM 1.35 bilion pada tahun ini. Namun sehingga 30 September 2010, kerajaan negeri khabarnya baru mengutip pendapatan sebanyak RM 1.03 bilion. Ini bermakna ia masih jauh daripada pendapatan yang dianggarkan iaitu RM 1.35 bilion pada tahun 2010. Saya ragu-ragu ia mampu dicapai menjelang hujung tahun ini. Jika tercapai pun ia masih jauh dari keseluruhan Belanjawan tahun ini sebanyak RM 1.494 bilion.

18. Justeru pada tahun hadapan kita akan melihat akaun kerajaan negeri tahun 2010 dalam keadaan defisit sebanyak hampir RM 144 juta iaitu kira – kira 10% daripada belanjawan keseluruhan.

Tuan Speaker dan sidang dewan yang dihormati,

19. Tahun 2009 Selangor mengalami defisit RM 65.98 juta, tahun 2010 dijangka akan defisit RM 144 juta atau mungkin lebih. Apa akan terjadi pada tahun 2011? Saya khuatir menjelang pilihan raya umum akan datang pada 2013, Selangor akan termasuk dalam muflis kerana perbelanjaan tidak berhemah ini.

20. Jika dahulu Selangor menjadi kontroversi dengan isu babi mungkin akan datang Selangor akan dibandingkan sebagai, dengan dengan izin, PIGS Countries. PIGS Countries ini bukanlah merujuk kepada negara penternakan babi tetapi merujuk kepada Portugal, Ireland, Greece dan Sepanyol (PIGS) yang berhadapan dengan masalah kewangan dengan serius.

21. Justeru kita khuatir Belanjawan ini merupakan satu lagi anggaran palsu dan tidak jujur memandangkan angka-angka yang hampir sama dibentangkan dalam Belanjawan 2009 dan 2010 tetapi kemudiannya peruntukan tambahan demi peruntukan tambahan dipohon sehingga menyebabkan berlakunya Belanjawan defisit.

22. Apakah makna Belanjawan 2011 ini? Ia tidak lebih daripada belanjawan angan-angan politik semata-mata di bawah slogan dulunya Merakyatkan Ekonomi Selangor sekarang ini Hasil Negeri Untuk Rakyat.

Kerajaan Persekutuan Lebih Jujur

Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat Sekalian,

23. Berbanding kerajaan Negeri Selangor, tampaknya kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak lebih jujur dan ikhlas dalam membentangkan Belanjawan 2011.

24. Beliau tidak segan silu membentangkan belanjawan defisit biarpun tahu akan menjadi mangsa kritikan dan hentaman pembangkang. Dalam pembentangan Bajet negara di Dewan Rakyat baru-baru ini, ramai dari pakatan yang mengkritik Bajet defisit kerajaan persekutuan sebanyak 5.1%.

25. Ini tidak dapat dielakkan kerana tanpa perlu melaungkan slogan merakyatkan ekonomi negara, Kerajaan Persekutuan memberi subsidi yang begitu banyak kepada rakyat sama ada dari segi bantuan kepada rakyat miskin, biasiswa, subsidi petrol dan gas, subsidi petani dan nelayan, subsidi gula, geran penyelidikan, perniagaan dan lain-lain lagi. Pada tahun lalu sahaja kerajaan membelanjakan hampir RM 75 bilion untuk pelbagai jenis subsidi, geran dan peruntukan sosial. Siapakah sebenarnya yang merakyatkan ekonomi?

26. Kerajaan persekutuan juga perlu membelanjakan banyak wang untuk menjana pembangunan negara dan meningkatkan infrastruktur luar bandar termasuk di negeri-negeri yang ditadbir oleh kerajaan Pakatan.

27. Namun kerajaan Persekutuan yang dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak bersikap hipokrit seperti kerajaan negeri Selangor. Anggaran dan perancangan Bajet yang dibuat berasaskan keperluan dan angka-angka yang realsitik. Justeru biarpun tahu akan menelan kritikan dan hentaman, kerajaan persekutuan tetap membentangkan satu bajet yang defisit.

28. Inilah bentuk kerajaan yang diperlukan oleh rakyat, kerajaan yang jujur membentangkan anggaran bajet biar pun nampak tidak cantik.

29. Sebaliknya kerajaan negeri membentangkan satu belanjawan yang berimbang agar nampak cantik indah dari segi politik tetapi setiap sidang Dewan, kerajaan negeri akan meminta belanjawan tambahan.

Tuan Speaker,

30. Sungai Panjang juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan sejumlah lebih Lima Ratus Enam Puluh Tiga Juta Ringgit (RM 563, 211, 131.00) kepada kerajaan Negeri Selangor pada 2009. Pada 2010 sahaja sebanyak RM 480 juta telah disalurkan sehingga 30 September 2010.

31. Tanpa peruntukan Persekutuan ini, pastinya defisit kerajaan negeri akan bertambah banyak. Biarpun peruntukan ini diberi mengikut lunas undang-undang dan hubungan Persekutuan-Negeri, jadilah seperti budaya Melayu, orang berbudi kita berbahasa. Janganlah amalkan sikap seperti dedalu api hinggap ke pohon kayu.

32. Ada juga ucapan-ucapan pemimpin Pakatan yang mendakwa sumbangan Persekutuan kepada Selangor sedikit berbanding sumbangan Selangor kepada Persekutuan. Terlebih dahulu perlulah dimaklumkan jumlah yang diterima oleh kerajaan hari ini dengan sebelum ini lebih kurang sama sahaja. Tiada berlakuknya anak tiri atau sebagainya.

33. Memang benar Selangor banyak menyumbang kepada pendapatan negara. Namun apakah Pakatan lupa bahawa Persekutuan juga banyak membelanjakan wang membangunkan prasarana dan infrasturktur yang bertaraf dunia di Lembah Klang yang akhirnya turut dinikmati oleh Selangor. Saya fikir sejak dahulu sehingga sekarang telah berpuluh bilion ringgit dibelanjakan oleh Persekutuan untuk membangunkan Selangor secara langsung atau tidak langsung.

34. Pembangunan jalan raya, keretapi, komuter, LRT, Pelabuhan, pemberian pengecualian cukai, pusat pentadbiran Putrajaya, Lapangan Terbang Subang dan kemudiannya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Cyberjaya, Universiti-universiti tempatan di Selangor merupakan peruntukan Persekutuan. Banyak lagi kalau mahu disebutkan.

35. Selangor harus mengakui jika Persekutuan memilih untuk memajukan kawasan lain terlebih dahulu maka belum tentu Selangor semaju ini, apatah lagi jika ditadbir oleh mereka yang perasan pandai tetapi tidak tahu berbuat apa-apa untuk meningkatkan ekonomi negeri.

36. Justeru janganlah dihasut dan diapi-apikan semangat kenegerian yang tidak tentu hujung pangkal sehingga menafikan sumbangan Persekutuan dan Barisan Nasional kepada Selangor.

Tuan Speaker,

37. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, manusia mana yang tiada kelemahan. Atas prinsip itu saya akui bahawa kerajaan yang lalu bukan sebuah kerajaan sempurna. Namun yang di sebelah sana sedarlah bahawa apa yang dikecapi oleh rakyat Selangor hari ini termasuk pemimpin Pakatan hasil sumbangan Persekutuan dan parti pemerintah kerajaan negeri terdahulu.

38. Saya hanya mampu berdoa agar pimpinan negeri hari ini tidak menjadi seperti monyet mendapat bunga atau si kudung mendapat cincin.

Laporan Audit Negara Mengenai Selangor Membimbangkan

Tuan Speaker

39. Dalam pembentangan semalam, Ijok menegaskan 4 strategi dalam belanjawan 2011. Sungguhpun diulas tampak cantik dan bergaya, namun bila ditilik dan diteliti banyak retorik dari isi.

40. Strategi pertama menguruskan sumber negeri secara bijaksana sangat meragukan berdasarkan angka-angka yang telah saya nyatakan tadi mengenai pengurusan belanjawan dan juga kewangan negeri.

41. Ini disokong pula oleh Laporan Audit Negara 2009 yang baru diterbitkan telah memberi beberapa petunjuk atau indikator yang sangat merisaukan kita terutamanya membabitkan sumber negeri.

42. Dalam dewan yang mulia ini dua tahun tahun lalu, YAB Menteri Besar berjanji untuk meningkatkan kutipan hasil pasir kepada RM 150 juta setahun. Setelah dua tahun penubuhan Kumpulan Semesta Sdn Bhd hasil yang diperolehi tidak seberapa berbanding pemerkosaan tanah milik kerajaan negeri.

43. Apabila teguran dan pandangan dibuat mengenai masalah perlombongan pasir ini kerajaan negeri mengatakan mereka telah mengatasi isu curi pasir ini dan pendapatan kerajaan negeri dari hasil pasir meningkat jauh lebih tinggi daripada kerajaan lalu.

44. Lalu dengan tidak segan silu kerajaan hari ini mendakwa kerajaan lalu gagal mendapatkan hasil pasir yang sepatutnya. Seantero negeri mereka mendakwa mereka lebih hebat daripada kerajaan lalu dan ada juga membuat komentar kononnya kerajaan lalu bersubahat dengan pencuri pasir.

45. Fakta yang tidak pernah berani diakui oleh Kerajaan Negeri ialah kerajaan Selangor di bawah Barisan Nasional telah menghetikan sebarang perlombongan pasir atas tanah kerajaan sejak 2005 lagi. Kerajaan juga membenarkan pasir di bawa masuk dari negeri lain demi menjaga muka bumi Selangor ini agar suatu hari nanti rakyat Selangor tidak terpaksa tinggal di dalam kawah-kawah lombong pasir.

46. Saya percaya jika kerajaan lalu memberi permit yang begitu intensif seperti hari ini untuk perlombongan atas tanah milik kerajaan nescaya pendapatan pasir ini lebih besar daripada yang didapati oleh kerajaan negeri hari ini.

47. Anehnya, tiada pula badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan Alam Sekitar memekik dan melolong mendesak kerajaan negeri menarik balik permit perlombongan pasir hari ini. Agaknya kerana Bukit Lanjan di dalam kerajaan hari ini, semuanya yang dulu kononnya pejuang alam sekitar sehingga menebang pokok untuk buat rumah dan jalan pun tidak boleh, sekarang hanya memejam sebelah mata terhadap pendedahan Utusan Malaysia beberapa bulan lalu terhadap kawah-kawah besar di atas muka bumi Selangor.

48. NGO-NGO ini sudah menjadi seperti tikus di dalam jelapang padi. Bumi Selangor diperkosa untuk hasil tidak sampai RM 10 juta setahun. Sudah papa kedanakah negeri Selangor sejak dua tahun kebelakangan ini?


49. Laporan Audit mengenai hasil pasir juga sangat menakutkan. Menurut laporan Audit Negara, kewujudan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) tidak mencapai matlamat. Hasil pasir Selangor pada tahun 2009 hanyalah RM 4.62 juta sahaja. Ini sangat mengejutkan memandangkan kawasan-kawasan yang diteroka begitu besar.

50. Sejak awal tahun ini kami di pihak pembangkang telah membangkitkan banyak isu mengenai pasir dan KSSB ini termasuk jumlah kutipan royalti yang tidak setimpal dengan keluasan tanah kerajaan yang dirosakkan.

51. Bila dicuit KSSB ini, saya pun hairan kerana bukannya YAB Menteri Besar atau EXCO terbabit yang melatah tapi Sri Muda yang tampak menggelabah. Tidaklah tahu saya mengapa, mungkin ada sesuatu yang tidak kena.

Tuan Speaker,

52. Beberapa hari selepas keluarnya laporan audit, YAB Menteri Besar, membuat penjelasan mengenai hasil pasir negeri. Beliau mendakwa hasil pasir sebenar pada tahun 2009 ialah RM 13.7 juta dan pada tahun ini, sehingga Jun 2010 ialah RM 15.3 juta.

53. Berdasarkan sikap dan tingkah laku kerajaan negeri yang sering memberi kenyataan yang mengelirukan, saya lebih mempercayai laporan Audit Negara. Apatah lagi laporan tersebut dihantar oleh kerajaan negeri sendiri. Apa yang berlaku dalam kenyataan beberapa hari lalu ialah tindakan menyelamatkan diri.

54. Sebenarnya angka yang disebut oleh Menteri Besar minggu lalu bukanlah sesuatu yang luar biasa. Berdasarkan keluasan dan “kerajinan” pengusaha pasir sejak 2009 sehingga sekarang dan bukti-bukti fizikal kawah muka bumi seperti di bulan berada di Selangor, jumlah sebenarnya mungkin jauh lebih besar dari RM 13 juta dan 15 juta tersebut.

55. Namun mengapa dengan tiba-tiba sahaja akaun hasil pasir berjumlah RM 4.62 juta pada 2009 boleh menjadi RM 13.76 juta? Mengikut maklumat, pengusaha pasir ini perlu membayar dahulu sebelum dikeluarkan doket jadi bagaimanakah kerajaan negeri Selangor menyatakan ia merupakan pembayaran lewat pada 2009?

56. Adakah ada pengusaha tertentu mendapat permit dan doket tanpa membayar terlebih dahulu? Jika benar mengapa terjadi begitu?

57. Satu lagi kemungkinan ialah wang sebanyak RM 9.14 juta yang tidak dikesan oleh Audit Negara merupakan wang yang berada di dalam KSSB. Nampak gayanya “syarikat orang tengah” mendapat lebih berbanding tuan punya tanah. Ini diakui sendiri di dalam ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar semalam.

Tuan Speaker dan sidang dewan sekalian,

58. YAB Menteri Besar juga berjanji akan membaik pulih semua tanah kerajaan yang telah dilombong pasirnya. Sehingga hari ini kita belum mendengar sabarang langkah pemulihan dirangka dan diumumkan. Dalam Belanjawan 2011 juga tiada sebarang peruntukan khusus bagi membaik pulih tanah-tanah bekas tapak perlombongan pasir ini. Inikah yang dikatakan strategi menguruskan sumber negeri yang berkesan? Berkesan untuk siapa?

59. Alangkah anehnya, ketika beliau membuat kesimpulan bahawa pentadbiran beliau telus dan berazam membetulkan kesilapan-kesilapan pentadbiran lalu, apa yang menjadi realiti ialah pentadbiran beliau bukan sahaja tidak terurus malah cemerkap dan gagal memberi maklumat yang tepat kepada Audit Negara.

60. Mungkin YAB Menteri Besar perlu jelaskan berapa banyak permit lombong pasir atas tanah kerajaan negeri yang dikeluarkan pada 2006 dan 2007 berbanding 2008 dan 2009. Barulah boleh dibuat perbandingan yang jelas kecekapan kerajaan negeri. Tanah-tanah milik negeri di lombong sesuka hati sekarang ini sedangkan semasa BN dahulu kita tidak lagi mengeluarkan permit melombong atas tanah kerajaan.

Tuan speaker dan ahli-ahli yang berhormat sekalian,

61. Walau apa pun cakap-cakap politik pihak sebelah sana, angka-angka menunjukkan Pakatan mengambil Kerajaan negeri ketika kedudukan kewangan yang sangat kukuh dalam sejarah negeri. Justeru kita mengalu-alukan strategi kedua belanjawan kali ini untuk memantau pengurusan perbelanjaan yang cekap.

62. Namun jika bersandarkan Laporan Audit Negara 2009, baki wang tunai di akhir akaun yang menunjukkan peningkatan yang konsisten sejak 2005 sehingga 2007, telah menunjukkan trend penurunan mulai 2008.

63. Wang tunai kerajaan meningkat dari RM 415.63 juta pada 2005 kepada RM 570.54 juta pada 2006 dan RM 776.44 juta pada 2007.

64. Namun apabila Pakatan mengambil alih pentadbiran jumlah wang tunai makin berkurangan. Bagi akaun berakhir tahun 2008, kerajaan negeri hanya mempunyai wang tunai sebanyak 733.44 dan seterusnya hanya tinggal RM 617.20 juta pada akhir akaun 2009. Berasaskan trend belanjawan defisit yang melampau dilaksanakan oleh kerajaan negeri maka saya jangkakan apabila akaun 2010 ditutup jumlah wang tunai kerajaan negeri akan susut dengan lebih banyak lagi.

65. Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2011 ini saya tidak nampak bagaimana kerajaan negeri akan mampu meningkatkan wang tunai kerajaan. Lagi tiga hingga empat tahun mungkin kerajaan negeri tiada lagi wang tunai.

66. Bagaimanakah kerajaan negeri boleh memantau Pengurusan perbelanjaan yang cekap sekiranya pejabat Menteri Besar sendiri sentiasa memohon peruntukan tambahan? Agaknya terlebih belanja memasang papan-papan iklan gergasi mempromosi muka YAB Menteri Besar.

Tuan Speaker

67. Sebagai menyahut strategi ketiga Belanjawan Kerajaan Negeri iaitu mendorong pembangunan modal Insan, saya ingin mencadangkan agar dewan ini merakamkan ucapan takziah dan memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa banjir di utara terutamanya Kedah yang masih dalam keadaan teruk dan serius.

68. Ini adalah satu bentuk tindakan yang boleh menjadi contoh dan ikutan generasi muda agar terus subur semangat kemanusiaan dan keinsanan dalam membantu mangsa-mangsa bencana alam.

69. Jika kerajaan negeri boleh berhabisan dalam meletakkan papan-papan iklan besar, dengan izin billboard, muka YAB Menteri Besar seantero Selangor hanya untuk mengucapkan selamat hari raya dan juga beberapa iklan lain, apalah salahnya menggunakan sedikit peruntukan pejabat Menteri Besar menghantar bantuan kepada mangsa banjir.

70. Menurut laporan beberapa blog, telah berjuta ringgit dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk untuk memasang billboard yang dipaparkan gambar YAB Menteri Besar. Ada billboard Selamat Hari Raya, ada billboard isu air, ada billboard Tabung Warisan dan macam-macam lagilah billboard yang semuanya ada muka YAB Menteri Besar di seluruh negeriSelangor ini.

71. Tidak salah memasang billboard ini cuma lihatlah kepentingannya. Saya akui zaman saya juga ada billboard ini tapi ia bertujuan mengiklan nombor telefon, alamat pejabat dan maklumat wakil rakyat di kawasan terbabit. Mudah untuk rakyat mengetahui bagaimana hendak berhubungan dengan wakil rakyat mereka. Bukan macam sekarang lebih mudah akhbar menghubungi wakil rakyat Pakatan berbanding rakyat biasa.

72. Namun ketika itu bukan main lagi jerit pekik pihak sebelah sana menyatakan pembaziran dan sebagainya. Hari ini, mengata dulang, paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Tuan speaker dan sidang dewan yang dimuliakan

73. Sungguhpun saya menyokong strategi pembangunan modal insan ini namun saya lihat apa yang kerajaan negeri perkatakan tidaklah serupa yang dilakukan. Agaknya modal insan yang bagaimana mahu dibangunkan jika sekarang ini di segenap pelusuk Selangor penuh dengan rumah urut, pub, pusat hiburan, pusat perjudian berlindung di sebalik kafe siber dan spa. Yang merisaukan saya ialah maklumat yang saya dapati menunjukkan sebahagian besar pusat-pusat hiburan dan kesihatan sekarang ini tidak segan silu menawarkan aktiviti pelacuran.

74. Pandamaran boleh menegakkan benang basah mengatakan tiada permit baru diluluskan. Kononnya yang ada hanyalah 700 yang diluluskan oleh kerajaan negeri dahulu. Hakikatnya sesiapa sahaja di jalanan boleh membuat penilaian betapa pusat-pusat ini tumbuh bagai cendawan selepas hujan sejak akhir 2008. Malah di kawasan-kawasan luar bandar termasuk Sabak Bernam, Sungai Besar dan Sekinchan sudah ada pub dan rumah urut.

75. Ini bukan sekadar isu orang Islam kerana pusat-pusat seperti ini merosakkan remaja tanpa mengira bangsa mahu pun agama. Malahan banyak juga keluarga bukan Islam yang hancur kerana suami lebih membuang masa bersama gadis-gadis di pusat-pusat hiburan ini.

76. Pusat hiburan dan aktiviti kurang sihat ini bertambah berkali ganda berbanding zaman Barisan Nasional, namun Gombak Setia boleh pula mendiamkan diri. Malah tidak segan silu mengisytiharkan negeri ini sebagai Baldatun Toyyibatun WaRabbun Ghafur. Semalam Ijok dah jelaskan maknanya.

77. Kalau Gombak Setia tak boleh jawab mungkin Bangi boleh tolong bantu, bagaimanakah sebuah negeri yang dianggap sebagai Baldatun Toyyibatun WaRabbun Ghafur mensasarkan pendapatan dari pusat hiburan meningkat sehingga RM 30 juta pada tahun hadapan?

78. Untuk menutup isu ini kerajaan negeri melancarkan kempen anti zina. Malangnya kempen ini hanya menimbulkan jenaka di kalangan rakyat kerana ada Ahli Jawatan Kuasa kempen ini pun dikatakan mempunyai hubungan luar nikah dengan suami orang. Ada juga yang hadir dalam pelancaran tersebut orang yang pernah menghalang pihak berkuasa menutup sebuah pusat pelacuran di Puchong.

79. Mungkin inilah konsep "Baldatun Toyyibatun WaRabbun Ghaffur" baru yang dirangka oleh Gombak Setia, seorang pakar motovasi islam yang termahsyur suatu ketika dahulu.

80. Betul atau tidak hanya tuan empunya diri yang tahu. Inilah masalah jika terlalu kerap mencari kesalahan orang sehingga lupa mengurus rumah sendiri.

Tuan Speaker dan sidang dewan yang dimuliakan,

81. Sungai Panjang juga menyokong usaha melestarikan pembangunan negeri Selangor atas semangat mahu melihat negeri yang dibangun dan dimajukan oleh Barisan Nasional sebelum ini tidak terus tertinggal seperti setahun dua kebelakangan ini.

82. Justeru bagaimanakah kerajaan negeri mahu melestarikan pembangunan jika kerajaan negeri tidak berusaha meningkatkan pelaburan asing dan domestik dengan giat. Berdasarkan belanjawan semalam kita tidak nampak strategi yang jelas bagi menarik pelaburan asing.

83. Kerajaan negeri tidak menyatakan sebarang fokus dalam menangani cabaran menarik pelaburan pada tahun hadapan. Apakah-apakah keistimewaan atau bidang tumpuan kerajaan negeri dalam menarik pelaburan luar dan tempatan pada tahun hadapan?

84. Sungguhpun diumumkan mengenai minatnya pelabur China untuk membuka universiti dan hospital di Hulu Selangor namun tidak ada satu bukti konkrit pun yang nampak di mata rakyat setelah hampir dua tahun setengah memerintah.

85. Jika tidak silap saya sejak mengambil alih kerajaan negeri, ini sahajalah yang dijaja dan diumumkan oleh Bandar Kinrara yang bertanggung jawab mengenai pelaburan. Namun sehingga hari ini belum dengar sebarang MOU mahu pun perbincangan yang serius antara kerajaan negeri dengan pelabur terbabit.

Tuan Speaker dan sidang dewan yang dimuliakan,

86. Baru-baru ini Setiausaha Politik Menteri Besar membuat kenyataan bahawa saya menyebabkan kerugian sebanyak RM 8 bilion ketika mengadakan perundingan dengan Syabas. Malangnya tidak pula diterangkan bagaimana saya menyebabkan kerugian ini. Inilah masalah dengan kerajaan yang suka berbohong kepada rakyat dan cakap ikut sedap mulut.

87. Perlu diingat rundingan isu air ini dilakukan oleh Kerajaan Persekutun dan Syabas kerana hutang Jabatan Bekalan Air Selangor masih berhutang sebanyak RM 786 juta. Ia dilakukan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang mempunyai kepakaran dan pemahaman yang mendalam mengenai industri air bukannya sekadar loyar cabuk yang pandai berkata-kata.

88. Ini pun diketahui oleh kerajaan negeri kerana mereka mempunyai akses kepada dokumen. Tapi kerana sifat perangai suka menipu, mereka suka menyiarkan cerita bohong untuk memburukkan musuh politik mereka sesuka hati tanpa fakta, maka tuduhan dan fitnah dibuat sesuka hati.

89. Saya cabar YAB Menteri Besar buktikan bagaimana saya menyebabkan kerugian RM 8 bilion seperti makna dakwaan Setiausaha Politik beliau. Atau mungkin benar seperti cakap di luar sana bahawa Setiausaha Politik Menteri Besar lebih berkuasa daripada Menteri Besar. Semuanya perlu melalui Setiausaha Politik beliau. Jika PKR ada pemimpin de facto mungkin Selangor juga sudah ada Menteri Besar de facto.

90. Baru-baru ini timbul pula pengumuman baru. Kerajaan negeri mengumumkan aset air negeri berjumlah lebih kurang RM 10 bilion. Nilaian ini dijangka akan dituntut oleh kerajaan negeri kepada Persekutuan apabila berlakunya penstrukturan semula air. Apakah nilaian RM 10 bilion ini? Adakah ia termasuk empangan dan kawasan simpan sekitarnya? Jika demikian apakah ini bukan menjual hak milik kerajaan negeri?

91. Ada juga berpendapat anggaran RM 10 bilion ini termasuk aset yang dinilai oleh kerajaan negeri sebanyak RM9.7 bilion termasuk 1,601 tangki air bernilai RM1 bilion yang sebahagiannya dibangunkan oleh pemaju perumahan yang telah pun dibayar oleh pembeli rumah, dan lebih 24,000 km paip bernilai RM7.8 bilion yang mana sebahagian besarnya diserahkan oleh pemaju-pemaju perumahan juga sebenarnya telah dibiayai oleh pembeli-pembeli rumah bagi kawasan tersebut.

92. Jika semua ini dijual kepada kerajaan persekutuan, maka Perbadanan Aset Air Berhad tiada pilihan kecuali melepaskan kos ini kepada pengendali air. Pengendali air pula akan melepaskan kos terbabit kepada pengguna. Ini bermakna pengguna perlu membayar sekali lagi untuk paip-paip mereka yang telah mereka biayai melalui pembelian rumah dan premis sebelum ini. Inilah cerita kartun abad ini yang dicipta oleh tokoh-tokoh propaganda sebelah sana.

93. Sehingga hari ini kerajaan negeri tidak mendedahkan bagaimana ia memperolehi anggaran tersebut. Walau apa pun perkiraan dan anggaran, jika kos menstrukturkan semula air di Lembah Klang berharga RM 10 bilion, siapakah yang akan mampu menguruskannya. Jika ini dijadikan panduan, kos menstrukturkan semula air seluruh semenanjung akan memakan jumlah hampir RM 100 bilion.

94. Apakah ini menjaga kepentingan pengguna atau menjaga kantung pemimpin Pakatan di Selangor? Apakah pada pandangan kerajaan negeri yang bijaksana, RM 10 bilion ini tidak akan dikembalikan kosnya kepada pengguna? Memanglah kalau mahu meletak harga RM 20 bilion pun kita boleh letak. Namun persoalannya siapa akan membiayai dan apa kos kepada rakyat.

95. Saya terbaca kononnya ada sebuah syarikat berminat mengambil alih industri air Selangor sebanyak RM 10.8 bilion. Tapi apakah ada jaminan harga tarif air kekal seperti hari ini atau lebih rendah seperti janji kerajaan Persekutuan? Saya tidak fikir ada bank akan membiayai pembelian sebesar itu dengan harga tarif air hari ini. Jika ada pastinya bekas tokoh korporat terkemuka sudah melakukannya melalui KDEB.

96. Perlu juga saya jelaskan bahawa cadangan penstrukturan semula melalui KDEB ini telah dirancang sejak 2006 lagi. Jadi janganlah pula barisan kepimpinan yang ada di sebelah sana hari ini perasan sebagai idea hebat dan dengan izin “brilliant” bekas tokoh korporat GLC sahaja ini.

97. Ada juga yang baru menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar tidak sampai beberapa bulan sudah mahu tunjuk pandai macam berada dalam pentadbiran kerajaan berpuluh tahun. Kadang-kadang hendak jawab pun malas sebab terasa memperbodohkan diri sendiri.

98. Jika dilihat kenyataan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, nyata Kerajaan Negeri telah beberapa kali berdolak dalik dalam isu penstrukturan semula ini. Saya dimaklumkan Kementerian telah memberi laluan kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) untuk mengetuai penstrukturan air di Selangor ini ini tetapi ia gagal dilaksanakan.

99. Pastinya KDEB pun gagal sebab mana mungkin penstrukturan ini mampu dijalankan jika kita mahu membekalkan air murah kepada rakyat tetapi perlu membayar RM 10 bilion kepada kerajaan negeri. Agak-agak bila boleh dapat pulangan modal tersebut? Siapa mahu memberi pinjaman RM 10 bilion untuk industri yang dikawal harganya ini?

Tuan speaker dan sidang Dewan yang dihormati sekalian,

100. Selain itu, dalam Belanjawan semalam, YAB Menteri Besar menyatakan peruntukan sebanyak RM 34.5 juta untuk menampung bayaran 20 meter padu percuma dan RM 8 juta bagi menampung subsidi kupon bagi meter pukal. Peruntukan sebanyak ini mencerminkan anggaran belanjawan yang tidak realistik. Kerajaan membuat andaian berdasarkan kemungkinan penstrukturan semula air mengikut cadangan kerajaan negeri. Ia belum tentu berjaya lagi atau diselesaikan dalam masa terdekat ini.

101. Jika pada tahun lalu sahaja kerajaan negeri memerlukan RM 100 juta dengan anggaran jumlah pemilik meter individu makin bertambah, bagaimana kerajaan boleh membuat anggaran yang berkurangan? Inilah antara contoh-contoh yang saya sangat khuatir akan menyebabkan belanjawan tahun hadapan akan menjadi pisang yang berbuah berkali-kali.

Tuan Speaker dan sidang dewan yang dihormati sekalian

102. Akhir sekali, saya khuatir pembentangan belanjawan yang tidak jujur seperti ini akan mengelirukan rakyat biasa. Rakyat akan berpendapat segala-galanya indah belaka dalam kerajaan hari ini, jika bersandarkan pembentangan Belanjawan setiap tahun.

103. Kekhuatiran ini ada asasnya kerana Ahli Parlimen Shah Alam sendiri berpendapat Selangor mempunyai belanjawan lebihan atau “surplus” dengan izin. Baru-baru ini, Ahli Parlimen Shah Alam tersebut dipetik oleh Malaysiakini.com sebagai mempersoalkan keputusan kerajaan Persekutuan memberi bayaran bantuan RM 500 kepada kakitangan kerajaan dalam keadaan belanjawan defisit. Beliau berkata Selangor mampu berbuat demikian kerana mempunyai belanjawan lebihan.

104. Jika Ahli Parlimen Shah Alam yang merupakan antara pakar strategi Pakatan pun boleh tertipu dengan Kerajaan Negeri apatah lagi rakyat biasa.

105. Adalah menjadi harapan saya agar Belanjawan 2011 ini tidak lagi akan menjadi seperti belanjawan 2009 dan 2010. Saya berharap tidak ada lagi Rang Undang-undang Peruntukan Tambahan 2011 dikemukakan dalam dewan yang mulia ini pada tahun hadapan. Jika ada, nyatalah belanjawan 2011 ini pun tidak lebih daripada belanjawan mat jenin.

Sekian, wabillah hitaufik wahidayah, wassalamualaikum warrahmatullah
hiwabarakatuh. Terima kasih.

Thursday, November 4, 2010

Laporan Audit Negara: Kerajaan Negeri Menegakkan Benang Basah?


1. Penjelasan oleh Kerajaan Negeri Selangor mengenai kedudukan kewangan negeri bagi mengawal kerosakan akibat Laporan Audit Negara sangat mengelirukan dan menimbulkan pelbagai tanda tanya lagi.

Pengurusan Kewangan Yang Cemerkap

2. Laporan Audit Negara 2009 dengan jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri mengalami defisit sebanyak RM 65.96 juta. Ini bukan perkara yang aneh kerana sejak 2008 lagi saya telah mengingatkan kerajaan negeri bahawa pengurusan kerajaan negeri yang yang lemah akan memberi kesan kepada kewangan negeri.

3. Jika dilihat prestasi kerajaan negeri, Selangor berjaya meletakkan satu tanda aras yang sangat baik selepas defisit pada pada 2005. Pada tahun-tahun seterusnya kerajaan negeri telah meningkatkan kewangan Kumpulan Wang Disatukan dan akaun Hasil Disatukan. Ini berikutan kerajaan negeri membuat beberapa pembetulan pengurusan dan hasilnya pada 2006 kumpulan wang disatukan dan akaun hasil disatukan meningkat. Hasil daripada Bajet yang disediakan dengan teliti kerajaan negeri berjaya meningkatkan lebihan dalam kewangan negeri setiap tahun sejak 2006.

4. Terdesak dengan laporan Audit Negara yang menunjukkan kelemahan pentadbiran kewangan kerajaan negeri sejak 2008, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim membuat kenyataan mendakwa turun naik rezab Akaun Hasil Disatukan ini adalah perkara biasa. Bayangkan jika ia berlaku di bawah pentadbiran Barisan Nasional, sudah tentulah tuduhan rasuah, penyelewengan dan lain-lain lagi dilontarkan.

5. Bagi menunjukkan kehebatan palsu kerajaan negeri, Tan Sri Khalid mendakwa pada tahun 2010, rezab akaun hasil disatukan akan berada dalam kedaaan positif atau lebihan kerana telah berjaya meningkatkan kutipan hasil kepada 876.19 sehingga Jun 2010. Kenyataan ini mungkin benar jika penilaian sekadar dibuat melihat peningkatan jumlah hasil disatukan antara setahun ke setahun. Namun apa yang tidak dijelaskan ialah ukuran utama dalam pengiraan ini ialah lebihan akhir tahun dalam akaun bukannya peningkatan jumlah pendapatan semata.

6. Kenyataan akhbar MB yang mengira konsep lebihan berdasarkan perbandingan kutipan hasil antara tahun 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2010 (lihat gambarajah) adalah tidak tepat dan sangat melucukan.
[Sumber:Kenyataan Akhbar Tan Sri Khalid Ibrahim Pada 27 Okt 2010: Laporan Audit Bukti Kesungguhan Selangor Urus Kewangan Dengan Telus Dan Bertanggungjawab]

7. Sebaliknya, laporan Audit Negara ialah mengenai prestasi kewangan kerajaan negeri secara keseluruhan tidak dijelaskan kepada umum. Laporan Audit menunjukkan kerajaan negeri mempunyai lebihan yang makin berkurangan berasaskan perbelanjaan mengurus (Bajet).

8. Biarpun akan berlaku peningkatan pendapatan hasil kerajaan negeri, namun pengurusan kewangan menunjukkan jumlah perbelanjaan melebihi pendapatan pada 2009. Hasil kerajaan negeri termasuk wang disatukan dan lain-lain ialah sebanyak RM 1, 763.86 tetapi perbelanjaan kerajaan negeri ialah sebanyak RM 1, 892.82 juta yakni defisit sebanyak RM 65.96 juta. Kali terakhir kerajaan negeri mengalami defisit sedemikian besar ialah pada 2005.



9. Dalam membela diri beliau, Khalid mendakwa Audit Negara tidak mengambil kira pendapatan hasil disatukan untuk tahun 2010. Sememangnya Audit Negara tidak akan mengambil kira pendapatan tahun 2010 kerana ia adalah laporan audit 2009 dan berdasarkan angka sebenar bukannya angka andaian tahun semasa.

10. Kerajaan negeri dalam menegakkan benang basah mereka mengeluarkan kenyataan menunjukkan peningkatan kutipan hasil kerajaan negeri pada 2010 yang didakwa telah berjaya mengutip RM 876.19 juta sehingga Jun 2010. Namun apa yang Khalid tidak nyatakan ialah perbelanjaan kerajaan negeri juga meningkat dengan lebih besar pada 2010.

11. Saya percaya kerajaan negeri pada 2010 akan mengalami defisit sekitar RM 144 juta biarpun berjaya meningkatkan hasil negeri seperti dakwaan Tan Sri Khalid. Tan Sri Khalid sebagai tokoh korporat sepatutnya faham bahawa yang menjadi ukuran pengurusan kewangan bukan sekadar pendapatan tetapi cara menguruskan kewangan negeri.

12. Jika perbelanjaan sentiasa melebihi pendapatan apakah ia satu yang baik kepada kerajaan negeri? Anehnya, mengapa Khalid hanya menjawab isu kejatuhan akaun Hasil Disatukan Selangor pada 2009 bukannya isu defisit perbelanjaan negeri 2009 yang jauh lebih serius.

Pasir

13. Penjelasan Tan Sri Khalid mengenai hasil pasir negeri juga merupakan satu pembohongan. Mungkin kerana beliau berpendapat tidak ramai yang membaca laporan audit negara, Tan Sri Khalid telah menukar statistik pendapatan hasil pasir.

14. Dalam kenyataan media beliau, Tan Sri Khalid mendakwa hasil pasir Selangor pada 2009 ialah sebanyak RM 13.76 juta sedangkan laporan audit menyatakan hanya RM 5.4 juta dikutip sejak Julai 2008 - Disember 2009.

15. Jika kenyataan Khalid adalah benar, apakah ini bermakna kerajaan negeri menghantar maklumat tidak benar kepada Audit Negara dan sekarang cuba menukar jumlah sebenar bagi menjaga air muka mereka?

16. Alangkah anehnya, ketika beliau membuat kesimpulan bahawa pentadbiran beliau telus dan berazam membetulkan kesilapan-kesilapan pentadbiran lalu, apa yang menjadi realiti ialah pentadbiran beliau bukan sahaja tidak terurus malah cemerkap dan gagal memberi maklumat yang tepat kepada Audit Negara.

17. Hakikatnya peningkatan hasil pasir dari sekitar RM 4 juta lebih semasa BN dahulu kepada sekitar RM 8- 15 juta semasa Pakatan bukanlah kerana kecekapan pentadbiran tetapi lebih kepada pemerkosaan tanah kerajaan negeri.

18. Mungkin Khalid perlu jelaskan berapa banyak permit lombong pasir atas tanah kerajaan negeri yang dikeluarkan pada 2006 dan 2007 berbanding 2008 dan 2009. Barulah boleh dibuat perbandingan yang jelas kecekapan kerajaan negeri. Tanah-tanah milik negeri dilombong sesuka hati sekarang ini sedangkan semasa BN dahulu kita tidak lagi mengeluarkan permit melombong atas tanah kerajaan.

19. Apapun kenyataan Khalid beliau perlu mengakui bahawa beliau gagal menunaikan janji beliau di hadapan Tuanku dan DUN Selangor untuk mendapatkan hasil pasir sekitar RM 150 juta setahun. Beliau boleh terus menunding jari terhadap pentadbiran lama tetapi realitinya ada di depan mata.

20. Satu-satunya kecekapan kerajaan negeri pimpinan Pakatan di Selangor ialah kecekapan jentera perhubungan awam mereka menjawab isu dan memutar belit fakta kepada orang ramai. Ini perlu kita akui dan beri pengiktirafan. Pakatan sangat cekap dalam "menegakkan benang basah."

Monday, October 25, 2010

Sokong Penstrukturan Semula Air Selangor

1. Salah satu perbincangan hangat sekarang ialah mengenai masa depan industri air bersih di Lembah Klang. Ramai yang berasa khuatir dan bimbang Lembah Klang akan mengalami krisis air yang lebih serius daripada 1998 jika kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak sebelum ini menjadi kenyataan.

2. Kajian oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini menunjukkan Lembah Klang akan mengalami krisis air yang serius pada 2014 jika tiada usaha bersepadu mendapatkan bekalan air mentah dari luar Lembah Klang. Pelbagai kajian dilakukan termasuk mendapatkan air di Perak, namun akhirnya kos mendapatkan air dari Pahang yang paling murah.

3. Justeru kerajaan Persekutuan telah bersetuju membiayai Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor yang bernilai sekitar RM3.936 bilion. Sebahagian besar pembiayaan projek adalah melalui pinjaman Japan International Cooperation Agency (JICA) dan selebihnya dibiayai geran Kerajaan Persekutuan. Perjanjian pinjaman yang ditandatangani pada 31 Mac 2005 memperuntukkan bahawa JICA akan menanggung sebanyak 75 peratus daripada kos kerja pembinaan manakala baki 25 peratus lagi akan ditanggung Kerajaan Pusat.

4. Justeru apabila kerajaan negeri berusaha menangguhkan pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat, kerajaan persekutuan perlu menanggung beban kewangan termasuk peningkatan kadar faedah daripada pinjaman.

5. Tindakan kerajaan negeri bermain politik dalam isu air ini sangat tidak munasabah. Penstrukuturan air, kenaikan harga air dan pembinaan loji pembersihan air di Hulu Langat adalah isu yang berasingan. Khalid Ibrahim memperjudikan nasib penduduk lembah klang hanya untuk menunjukkan beliau menjadi juara rakyat dalam masa yang singkat tetapi merosakkan masa depan rakyat untuk mendapat bekalan air bersih.

Sejarah Industri Air Selangor

6. Sebelum menunding jari kepada kerajaan Pusat atau mana-mana pemimpin kita perlu memahami sejarah industri air di Selangor terlebih dahulu. Pada awalnya semua industri air dikawal selia oleh Jabatan Bekalan Air Selangor (JBAS). Kemudiannya timbul keperluan untuk meningkatkan kualiti rawatan air akibat banyak kritikan ketika itu. Justeru itu pada 1997, kerajaan negeri melantik Puncak Niaga sebagai pengendali 27 loji rawatan air di Selangor.

7. Pada 1998, berlaku satu krisis air yang serius di Lembah Klang. Ini menyebabkan kerajaan negeri mencari kaedah untuk menambah jumlah empangan. Pada 1999, Konsortium ABBAS telah dilantik untuk membina dan mengendalikan empangan dan loji air Sungai Semenyih. Pada tahun yang sama satu lagi syarikat, Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH)telah diberi tanggungjawab membina dan mengendali Loji air Sungai Badung, Selangor yang berharga lebih RM 2 Bilion.

8. Pada 2001, semasa dibawah pentadbiran saya, terdapat banyak aduan dan kritikan mengenai kualiti air. Selain itu JBAS juga mengalami kerugian kerana kehilangan air yang tidak digunakan (Non revenue water [NRW]) sekitar 45%. NRW yang tinggi ini juga menyebabkan JBAS rugi kerana jumlah air yang dibayar oleh pengguna kurang daripada jumlah air yang dibayar oleh JBAS kepada pengendali loji.

9. Setelah kajian dijalankan didapati kedua-dua masalah ini berpunca daripada sistem paip lama yang berkarat dan bocor. Untuk menggantikan keseluruhan paip lama sepanjang 6, 000 KM daripada keseluruhan 24 ribu KM paip dan ini memerlukan kos yang tinggi iaitu kira-kira RM 2.6 bilion. JBAS tidak mampu melakukannnya secara bersendirian. Justeru JBAS diperbadankan dengan nama Perbadanan Air Negeri Selangor (PUAS). Selepas Puas diperbadankan, ia berusaha mendapatkan pinjaman daripada kerajaan persekutuan sebanyak RM 2 bilion bagi program penggantian paip lama. Bagaimanapun ia ditolak kerana JBAS masih mempunyai hutang sebanyak RM 756 juta kepada Pusat.

10. Kerajaan Persekutuan mencadangkan agar PUAS diswastakan kepada Syabas dengan hasrat Syabas menanggung kos penggantian paip-paip tersebut.

11. Satu perjanjian antara kerajaan negeri dan Syabas telah disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri. Walaupun terdapat fasal-fasal mengenai kenaikan tarif air namun ia mesti dipersetujui secara bersama antara Kerajaan Negeri, Persekutuan dan Syabas setiap kali ada permintaan untuk menaikkan tarif tersebut. Kerajaan negeri telah meminta diwujudkan Panel Penentuan Tarif Air yang membabitkan wakil negeri, persekutuan dan Syabas dan juga Jawatankuasa Teknikal bagi mengkaji setiap asepek sebelum permohonan kenaikan tarif diluluskan.

12. Selain itu, perjanjian tersebut turut mensyaratkan Syabas melakukan penggantian paip sepanjang 2400 KM menggunakan barangan tempatan, mengurangkan NRW kepada bawah 25% dan meningkatkan kualiti air sebelum boleh membuat sebarang tuntutan kenaikan tarif. Semua ini gagal dipenuhi oleh Syabas.

Penstrukturan Semula Air Selangor

13. Apabila Syabas gagal memenuhi syarat perjanjian termasuk menggunakan paip buatan tempatan dalam penggantiannya, kerajaan negeri memutuskan untuk menstrukturkan semula industri air di Selangor. Pada 2006, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) memulakan pelan pengambil alihan semua syarikat yang terbabit dalam industri air di Selangor seperti Abbas, Splash, Puncak Niaga dan Syabas.

14. Usaha penstrukturan semula ini berlaku pada 2007 apabila KDEB telah mengambil alih ABBAS dan mula berunding untuk mengambil alih Splash, Puncak Niaga dan Syabas. (lihat laporan THE EDGE MALAYSIA pada 12 Nov 2007). Tujuan penstrukturan semula ini bagi membolehkan syarikat yang menguruskan air mendapat keuntungan lebih dan mengurangkan tarif air pada masa akan datang melalui cross subsidization. Dalam keadaan sekarang hanya pengendali loji yang mendapat keuntungan maksimum, manakala pembekal air terpaksa menanggung kerugian akibat NRW dan kegiatan "curi air". Pembekal terpaksa membayar penuh kepada pengendali loji tetapi berhadapan kerugian 45% berdasarkan NRW.

15. Usaha penstrukturan semula ini sewajarnya dikendalikan sepenuhnya oleh KDEB memandangkan ia anak syarikat milik penuh kerajaan negeri. Namun ia mungkin sukar dilaksanakan pada masa sekarang memandangkan KDEB sendiri mempunyai hutang beratus juta kepada kerajaan negeri hasil pelaksanaan sistem subsidi air yang dijalankan sejak dua tahun lalu. Kerajaan negeri dilaporkan telah meminjamkan sejumlah RM 200 juta kepada KDEB untuk dibayar kepada Syabas bagi skim subsidi 20 meter padu air percuma. Sehingga kini hanya RM 28.2 juta dibayar semula oleh KDEB kepada kerajaan negeri. Dari segi prestasi kewangan sukar sama sekali KDEB mendapat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan bagi membiayai proses pengambil alihan Syabas dan lain-lain syarikat.

16. Penstrukturan semula ini juga selari dengan penubuhan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) dan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) di peringkat Pusat. SPAN akan mengawasi keseluruhan industri air negara dan mengeluarkan lesen kepada pengendali air negeri-negeri. Manakala PAB akan mengambil alih semua infrastruktur air negeri-negeri dan menyewakan semula kepada pengendali air negeri-negeri. Melalui kaedah ini, isu-isu penggantian paip, pembinaan empangan dan loji rawatan akan berada di bawah PAB dan pengurusan kewangan Persekutuan. Ini akan memberi kualiti pengurusan air yang lebih baik pada masa akan datang.

Politik Air Pakatan Rakyat

17. Perubahan tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri yang suka bermain politik daripada menyelesaikan isu ini secara profesional menyebabkan segala-galanya terganggu dan terencat sekarang ini.

18. Saya tidak nampak mengapa kerajaan negeri harus mengugut untuk tidak meluluskan pembinaan loji di Hulu Langat sekiranya mereka gagal menstrukturkan semula industri air Selangor.

19. Ia adalah dua isu yang berasingan dan membabitkan pihak yang berlainan. Pembinaan infrastruktur penyaluran bekalan air mentah dari Pahang ke Selangor adalah projek Persekutuan. Manakala penstrukturan ini membabitkan syarikat-syarikat Berhad.

20. Jadi bagaimana kerajaan negeri ingin bermain logik mengugut kerajaan Persekutuan sedangkan mereka "bergaduh" dengan sebuah syarikat berstatus berhad yang mereka sendiri ada 30% saham? Bolehkah kita yang rasional menerima sikap kerajaan negeri yang menangguhkan kelulusan pembinaan loji kerana mereka gagal mengambil alih sebuah syarikat? Wajarkah projek yang bernilai berbilion ringgit ini dijadikan taruhan dan menyebabkan kerajaan Persekutuan perlu berbelanja lebih, yang tentunya membabitkan wang rakyat?

21. Alasan kenaikan tarif air ini hanyalah sandiwara kerajaan negeri kerana syarat-syarat sedia ada sudah cukup menjaga kepentingan pengguna. Seperti yang saya jelaskan tadi, tarif air tidak boleh dinaikkan tanpa persetujuan panel penilai yang dianggotai oleh kerajaan negeri, persekutuan dan wakil Syabas.

22. Ketika saya menyokong usaha kerajaan negeri meneruskan kerja-kerja menyusun semula industri air Selangor, saya kecewa melihat sikap kerajaan negeri menangguhkan projek pembinaan loji air di Hulu Langat.

23. Inilah yang dikatakan "lain Bengkak, lain Bernanah, lain yang yang Sakit, lain pula yang diubati."

24. Saya berharap kerajaan negeri Selangor tidak bermain politik dalam isu bekalan air bersih di Lembah Klang. Tindakan Tan Sri Khalid Ibrahim mengaitkan isu pembinaan loji di Hulu Langat dengan penstrukturan semula pengendali bekalan air bersih di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah tidak masuk akal dan boleh menjejaskan bekalan air bersih pada masa akan datang.

25. Memang kerajaan negeri berhak untuk membantah kenaikan air yang dicadangkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan saya ingin nyatakan sokongan penuh terhadap bantahan tersebut. Namun mengapa mahu dikaitkan dengan pembinaan loji yang merupakan projek masa depan untuk rakyat?

26. Kos bekalan air di Selangor akan meningkat lebih tinggi sekiranya kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membina loji rawatan air di Pahang bagi menggantikan loji di Hulu Langat. Jika itu berlaku, apabila berlaku krisis bekalan air nanti, Selangor perlu membeli harga air bersih dari Pahang yang harganya jauh lebih tinggi.

27. Alasan Tan Sri Khalid kononnya masalah bekalan air bersih di Lembah Klang tidak akan berlaku pada 2014 tetapi pada 2019 tidak pernah disokong oleh fakta atau mana-mana data penyelidikan. Sampai hari ini kita tertanya-tanya siapakah yang dilantik oleh Tan Sri Khalid bagi menjalankan penyelidikan tersebut?

28. Namun persoalan lebih releven ialah, jika berbeza 5 tahun sahaja mengapa kita perlu tangguhkan sedangkan masalah tetap akan timbul. Dalam industri pembinaan, penangguhan beberapa tahun sahaja sudah boleh menyebabkan kos pembinaan meningkat berkali ganda. Apakah kerajaan negeri akan menanggung kenaikan kos ini? Jika mahu pun mampukah kerajaan negeri?

29. Rakyat harus bijak membuat penilaian dan mendapat semua fakta bukan sekadar mempercayai sandiwara dan lakonan politik kerajaan negeri. Ini kerana mereka yang berhadapan dengan krisis kuasa dan melihat tiada masa depan politik akan mengambil pendekatan populis. Peduli apa dengan apa yang berlaku lima enam tahun lagi kerana mereka mungkin sudah tiada ditampuk kuasa untuk berhadapan dengan kemarahan rakyat.

30. Kerana benci kepada Barisan Nasional dan pemimpin tertentu ada orang sanggup menerima apa sahaja tohmahan kerajaan negeri tanpa berfikir dengan rasional dan melihat fakta yang ada. Hakikatnya kos menguruskan air bersih di Lembah Klang sangat tinggi hingga mencecah berbilion ringgit. Dan ia perlu ditangani dengan cermat dan berhati-hati agar rakyat tidak terbeban dengan kos yang tinggi sama ada melalui tarif air mahu pun melalui subsidi kerajaan yang akhirnya merupakan wang rakyat juga.

31. Malangnya, kerajaan Selangor hari ini yang masuk dalam keadaan segala-galanya telah tersedia, seperti kata orang hanya "cuci kaki sahaja", ingin pula menunjukkan jaguh tanpa mengambil kira kesan jangka panjang. Sikap kerajaan negeri hari ini tidak ubah seperti beruk mendapat bunga.

Monday, October 18, 2010

Cabaran Bajet 2011: Menterjemah Perancangan Kepada Realiti

1. Bajet yang dibentangkan minggu lalu menampakkan kesungguhan Kerajaan menjaga kepentingan rakyat dan juga menyediakan jalan pantas mencapai Wawasan 2020.

2. Saya fikir antara perkara yang paling baik ialah peruntukan hampir RM 1.3 bilion untuk program-program meningkatkan kemahiran rakyat. Sebanyak RM 500 juta bagi proses peningkatan kemahiran dan mempelajari kemahiran baru di bawah Program Latihan 1 Malaysia. Peruntukan ini penting dalam melatih semula golongan pekerja sedia ada terutamanya yang berpendapatan rendah meningkatkan kemahiran tertentu seterusnya membolehkan mereka meningkatkan taraf pekerjaan dan pendapatan mereka.

3. Selain itu, seperti mana yang harapkan oleh blog ini minggu lalu, kerajaan turut memperuntukkan hampir setengah bilion ringgit (RM)untuk mereka yang tidak dapat ke institusi pengajian tinggi mendapatkan peluang pembelajaran dalam bidang teknikal dan vokasional.

4. Adalah menjadi harapan agar anak-anak muda yang berada di luar sana dapat meninggalkan aktiviti yang tidak berfaedah dan mengambil peluang ini bagi meningkatkan kebolehan dan kemampuan diri. Saya percaya jika peruntukan sedia ada habis digunakan, kerajaan boleh memberi peruntukan tambahan dengan syarat ia dibelanjakan dengan baik dan menampakkan hasil yang baik.

Belanja Pengurusan Yang Tinggi
5. Selain itu, apa yang meriasaukan saya ialah dalam Bajet 2011 ialah peruntukan pengurusan yang begitu tinggi berbanding peruntukan pembangunan. daripada RM 212 bilion Bajet 2011, sebanyak RM 162.8 bilion ringgit digunakan sebagai bajet pengurusan. Hanya RM 49.2 bilion digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

6. Adalah penting pada masa hadapan kerajaan dapat meningkatkan perbelanjaan pembangunan dan mengurangkan perbelanjaan pengurusan bagi membolehkan ekonomi negara berkembang dengan lebih pesat.

7. Kerajaan juga perlu mempertimbangkan perbelanjaan untuk subsidi terutamanya membabitkan subsidi dalam bidang pertanian dan subsidi petrol sebagai perbelanjaan untuk pembangunan bukannya pengurusan. Ini kerana subsidi seperti ini bertujuan merancakkan pembangunan ekonomi negara.

8. Secara keseluruhannya Bajet 2011 merupakan satu janji yang sangat cantik dan menarik untuk rakyat. Cuma kekhuatiran ramai orang ialah apakah ia akan dilaksanakan secantik dibentangkan.

9. Ini semua memerlukan sokongan dan iltizam bukan sahaja kabinet tetapi juga pelaksana utama agenda Bajet ini, yakni kakitangan kerajaan. Tanpa kesungguhan, komitmen dan kejujuran kakitangan kerajaan dari Ketua Setiausaha Negara sehingga ke pekerja am, maka Bajet 2011 ini sekadar cantik di Parlimen tetapi tidak memberi impak besar kepada rakyat.

10. Amatlah malang jika apa yang dirancang ini dan sepatutnya menjadi pemangkin kemajuan negara gagal menjadi kenyataan kerana sikap "tidak apa" dan "business as usual" di kalangan pegawai tertinggi kerajaan.

11. Saya bukan mahu menyalahkan pegawai kerajaan 100 peratus atau mencari musuh di kalangan pelaksana polisi. Namun adalah penting untuk para pegawai kerajaan memahami aspirasi dan kehendak kerajaan kerana Menteri sahaja tidak mungkin mampu menjayakan setiap polisi yang dirangka jika tidak mendapat komitmen kumpulan pelaksana.

12. Kerajaan mungkin tidak memberi bonus kepada kakitangan kerajaan kali ini. Namun pemberian bantuan kewangan sebanyak RM 500 bagi pegawai gred 54 dan ke bawah merupakan satu usaha kerajaan mengurangkan beban kakitangan awam terutamanya yang bergaji rendah.

13. Memang benar kakitangan kerajaan tidak mendapat bonus sebulan gaji seperti yang dituntut oleh Ceupacs. Namun dengan perbelanjaan pengurusan yang telah membesar sedemikian rupa kakitangan kerajaan tidaklah boleh mengharap bonus setiap tahun.

14. Berbanding majoriti rakyat Malaysia, mereka yang memasuki jawatan kerajaan merupakan kumpulan yang paling bertuah. Di luar perkhidmatan kerajaan mereka terpaksa bekerja keras untuk menyara kehidupan tanpa faedah kesihatan, pendidikan dan jaminan jawatan seperti mana yang dinikmati oleh kakitangan kerajaan. Pada bila-bila masa mereka boleh kehilangan jawatan biarpun bertungkus lumus bekerja. Sebaliknya dalam kerajaan jarang sekali kehilangan jawatan kecuali jika melakukan jenayah.

15. Justeru saya berharap kakitangan kerajaan dapat melupakan isu bonus ini dan memberi perkhidmatan yang terbaik bagi meningkatkan pendapatan negara. Insyallah, jika ada kemajuan lebih baik mungkin pada masa akan datang kerajaan akan memberi bonus mengikut kemampuan.

16. Apa yang penting melaksanakan Bajet 2011 dengan jayanya.

Wednesday, October 6, 2010

BAJET 2011: Berikan Tumpuan Khusus Kepada Pelajar Tercicir

1. Saya berharap peruntukan Pendidikan dalam Bajet 2011 yang akan diumumkan nanti akan memberi fokus yang besar kepada isu pendidikan kemahiran dalam bidang vokasional, teknologi maklumat, teknik dan komunikasi kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang gagal memasuki institusi pengajian tinggi.

2. Ini kerana saban tahun peruntukan pendidikan banyak bertumpu kepada pendidikan pra-sekolah, sekolah dan pendidikan tinggi. Yang selalu diabaikan atau nampak seolah-olah terabai ialah pendidikan pelajar yang tercicir dari pendidikan tinggi atau pendidikan lepasan sekolah. Setiap tahun tahun hampir 600 ribu pelajar mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia(STPM). Daripada jumlah tersebut dianggarkan hanya 300 ribu orang yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Selebihnya ke mana hala tuju mereka?

3. Jika kebolehan dan kemampuan golongan ini tidak dapat ditingkatkan saya khuatir hasrat negara meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia dalam konteks "jurang yang cetek" sukar dilaksanakan.

4. Peningkatan pendapatan per kapita tanpa mengambil kira jurang pendapatan antara rakyat tidak akan membantu menjana kemakmuran negara. Sebab itu kerajaan dalam cadangan Model Ekonomi Baru (MEB) mahu menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan golongan miskin dan sederhana kepada berpendapatan tinggi. Tiada gunanya melahirkan 3-4 juta rakyat berpendapatan tinggi tetapi lebih 10 juta lagi berada di bawah paras kemiskinan. Inilah yang kita khuatir akan berlaku pada masa akan datang jika tiada usaha meningkatkan kemahiran pelajar yang gagal ke universiti.

5. Selain memberi tumpuan kepada kumpulan orang miskin dan kurang upaya, keciciran pelajar sekolah saban tahun juga perlu diberi perhatian serius. Sekiranya kumpulan ini terus tercicir setakat pencapaian SPM dan STPM mereka akan terus menjadi pekerja berpendapatan rendah. Apabila berkeluarga sebahagiannya akan memenuhi ruang kategori kumpulan orang miskin pula.Pusingan ini akan berterusan sekiranya usaha secara seriush meningkatkan kemahiran kumpulan pelajara ini tidak diberi perhatian serius.

6. Tidak banyak peruntukan dan peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran vokasional dan teknik untuk semua kaum. Tidak silap saya hanya terdapat tidak lebih 70 kolej komuniti di negara ini bagi menampung ramai pelajar yang tamat SPM dan STPM tetapi tidak dapat melanjutkan pelajaran ke pendidikan universiti.

7. Pada pemerhatian saya, kita juga tidak mempunyai sebarang pelan khusus bagi meningkatkan kemahiran komunikasi untuk kumpulan ini bagi membolehkan mereka mendapatkan jawatan separuh profesional di syarikat-syarikat muti-nasional yang beroperasi di negara ini.

8. Jika kumpulan ini dapat dilatih sehingga mahir beberapa bahasa, terutamanya bahasa Inggeris, sudah pasti peluang mereka mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih baik terbuka luas. Ini juga akan membantu Malaysia menarik lebih banyak syarikat antarabangsa membuka Pejabat Kawasan (regional office) mereka di negara ini kerana ada bekalan tenaga kerja bawahan yang mampu berkomunikasi dalam bahasa inggeris dengan baik.

9. Saya fikir selain latihan vokasional, teknik dan IT, kerajaan juga perlu menawarkan peluang pembelajaran intensif bagi kemahiran komunikasi kepada pelajar tercicir ini. Kewujudan kem latihan kemahrian komunikasi ala PLKN mungkin boleh melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang mempunyai kemahiran komunikasi bahasa Inggeris dan bahasa antarabangsa lain dengan baik.

10. Langkah mewujudkan pelan pembangunan modal insan di kalangan mereka yang gagal memasuki IPT ini juga akan dapat mengelakkan lambakan tenaga kerja kurang mahir yang terlalu awal dalam pasaran sehingga mewujudkan pengangguran. Ini kerana negara kita bukan lagi tumpuan pelabur yang memerlukan tenaga kerja murah secara besar-besaran. Malahan jika ada pun kebanyakannya diisi oleh tenaga kerja asing.

11. Pengalaman saya di Selangor sendiri, kumpulan ini jika tidak diuruskan dengan segera akan mewujudkan lebih banyak gejala sosial seperti mat rempit, bohsia, peragut, penagih dadah dan penjenayah kecil-kecilan. Sebab itu kerajaan negeri dahulu berusaha mewujudkan pelbagai institusi kemahiran belia kepada semua kaum.
Antaranya termasuklah Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Sabak Bernam yang sekarang ini telah ditutup. Selain itu pada 2006 juga Industri Pendidikan Negeri Selangor (INPENS) telah memfokuskan sepenuhnya kepada pendidikan vokasional dan keperluan industri.

12. Adalah menjadi harapan agar kerajaan memberi perhatian serius kepada kumpulan ini dengan menyediakan kemahiran hidup yang diperlukan untuk masa depan mereka dan juga negara. Kem PLKN mungkin membentuk sahsiah diri yang baik, namun jika bertahun-tahun selepas kem tersebut mereka terus terawang-awangan tanpa hala tuju dan pekerjaan yang baik, maka segala yang moral dan disiplin yang diterapkan dalam kem tersebut hanya menjadi seperti mencurah air di daun keladi.

Tuesday, September 28, 2010

Rayuan Kepada PM: Tolong Hapuskan Saman Ekor Tertunggak

1. Usaha menyenaraihitamkan mereka yang mempunyai saman ekor tertunggak ditangguhkan sehingga awal tahun depan. Penangguhan ini mengurangkan rungutan dan kemarahan orang ramai tetapi tidak menyelesaikan masalah. Tahun hadapan masalah ini akan disebut lagi dan kesan-kesan yang sama akan berulang lagi. Apakah hubungan rakyat dan kerajaan hari ini menjadi seperti penukul dan pahat, Sekali rakyat merungut, sekali kerajaan bergerak?

2. Saman ekor ini merupakan satu pilihan kepada pihak berkuasa dalam menguatkuasa peraturan had laju. Kaedah ini digunakan kerana ia lebih cekap dari segi penggunaan tenaga penguatkuasa dan juga mengelakkan kesesakan jalan raya. Satu lagi kaedah ialah mengadakan perangkap had laju dan menahan pemandu beberapa kilometer kemudian.

3. Saya percaya saman ekor diperkenalkan dengan tujuan baik iaitu untuk mendisiplinkan pemandu dan mengurangkan kemalangan jalan raya. Namun kaedah pelaksanaannya sangat meragukan dan menimbulkan kemarahan rakyat.

4. Berbanding saman secara bersemuka yang menyaman pemandu atau lebih tepat mereja yang melakukan kesalahan, saman ekor lebih banyak menganiaya orang ramai. Banyak kes mereka yang tidak bersalah mendapati telah disaman memandu melebihi had laju. Antara isu utama ialah orang lain memandu kereta dan pemalsuan plat kenderaan. Ini menyebabkan banyak tuan punya kereta yang tidak bersalah terpaksa menanggung beban yang tidak sepatutnya.

5. Masalah bertambah serius apabila mereka yang disaman tidak mengetahui saman tersebut sehingga beberapa bulan dan ada juga yang memakan masa beberapa tahun. Ini bukan sahaja menyebabkan ia tertunggak malah menafikan peluang pembelaan. Jika kesalahan enam bulan lalu, baru diketahui hari ini, bagaimanakah mereka yang disaman mahu mempertahankan diri? Saya dapati ada juga yang hanya mengetahui mempunyai saman ekor yang dilakukan pada tahun lalu atau beberapa tahun lalu.

6. Terdapat juga individu yang menemui saya menunjukkan saman ekor yang beliau dapat di sebatang jalan di Sarawak sedangkan kereta beliau berdaftar di Kuala Lumpur dan masih berada di Kuala Lumpur sehingga hari ini. Jangankan kereta, tuan punya kereta pun belum pernah sampai ke negeri bumi kenyalang tersebut.

7. Maka untuk mempertahankan diri tuan empunya kereta ini terpaksa menulis surat dan mengemukakan bukti. Jika mahu gambar kena pula membuat permohonan kepada polis dan membayar jumlah tertentu. Nampaknya penguatkuasa kerja senang, rakyat pula yang terpaksa bersusah payah mempertahankan diri akibat kelemahan dan kecuaian penguatkuasaan undang-undang.

8. Oleh kerana terdapat banyak kecuaian dan kelemahan penguatkuasaan dalam kes saman ekor ini saya ingin mendesak agar kerajaan menghapuskan semua saman ekor yang tertunggak.

[Sesiapa yang mempunyai masalah saman ekor dan yang bersimpati dengan mereka yang disaman dengan cara ini diharap dapat memberi komen atau rayuan secara bersopan di bawah ini agar dapat saya hantar kepada YAB Perdana Menteri. Mereka yang ada saman ekor dan berharap kerajaan menghapuskannya hendaklah menyertakan Nama dan Nombor kereta (nama boleh dikecualikan jika rasa terganggu dengan pendedahan dalam ruang siber ini) serta sedikit nota atau rayuan.]


9. Saya juga berharap YAB Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri melihat semula isu saman ekor ini. Saman ekor hanya bertujuan menguatkuasa peraturan had laju seolah-olah kelajuanlah punca utama kemalangan jalan raya. Sedangkan sebahagian besar kemalangan berpunca daripada kecuaian, memandu secara semberono dan keletihan, bukannya melanggar had laju semata-mata.

10. Berdasarkan pengalaman memandu selama lebih 20 tahun, saya percaya hampir 80% daripada kita pernah melebihi had laju yang ditetapkan pada satu-satu ketika kerana mahu memotong atau berada di lebuh raya yang lengang. Namun bukan semua memandu terlalu laju sehingga membahayakan pengguna lain atau di luar kemampuan kenderaan.

11. Saya tidak menafikan bahawa peraturan tetap peraturan dan yang melanggarnya perlulah menanggung akibat. Namun janganlah diborongkan berat kesalahan memandu melebihi had ini dengan memandu dengan terlalu laju. Ada beza besar antara mereka yang memandu melebihi had laju dalam julat 20-30 km sejam berbanding yang memandu dalam julat 50 km sejam dan ke atas melebihi had laju yang ditetapkan. Malangnya ini tidak diambil kira oleh mekanisme saman ekor.

12. Justeru jika saman ekor mahu diteruskan saya berharap beberapa perubahan besar perlu dilakukan bagi menunjukkan saman ekor ini bertujuan mendisiplin pemandu dan mengurangkan keselamatan jalan raya bukannya menambah kantung kerajaan.

13. Antara perubahan yang perlu dilakukan ialah:

a. Setiap saman ekor yang dikeluarkan hendaklah sampai kepada mereka yang didakwa melakukan kesalahan tidak lebih daripada 14 hari dari tarikh kesalahan tersebut. Saman hendaklah disampaikan mengikut kaedah dan peraturan penyampaian sapina atau saman mahkamah.

b. Setiap saman ekor yang dikeluarkan hendaklah disertakan bukti bergambar secara otomatik tanpa sebarang bayaran. Kaedah sekarang yang memerlukan mereka yang kena saman membuat permohonan dan dikenakan bayaran harus dihapuskan. Adalah menjadi tanggungjawab penguatkuasa membuktikan bahawa mereka yang disaman telah melakukan kesalahan bukan sebaliknya. Konsep seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu dipraktikkan.

c. Jumlah kompaun hendaklah mengikut lebihan KM berbanding had laju bukannya pukul rata sehingga tiada beza antara mereka yang memandu 120 km sejam dengan 200 km sejam. Ini wajar kerana dari segi risiko kemalangan juga berbeza antara mereka yang memandu 120 km sejam dengan 200 km sejam biarpun kedua-duanya melanggar had laju yang ditetapkan.


14. Saya berharap cadangan ini dapat dipertimbangkan agar bukan sahaja kerajaan akan dilihat lebih bertanggungjawab tetapi rakyat juga merasa senang hati kerana mengetahui kerajaan sentiasa mengutamakan keadilan kepada mereka.

Nota: Saya membenarkan "anonymous" komen dalam artikel ini bagi membolehkan lebih ramai mereka yang tiada "akaun atau "id" memberi komen dan rayuan dalam artikel ini.

Wednesday, September 22, 2010

Perpaduan Satu Malaysia

1. Apabila YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak memperkenalkan idea 1 Malaysia saya percaya beliau bertujuan meneruskan kesinambungan gagasan perpaduan yang dibawa oleh Dato Onn Jaafar, dan diusahakan secara berterusan oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussien Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

2. Justeru tidak perlulah diterjemahkan terlalu banyak falsafah dan prinsip sehingga naik pening kepala rakyat di bawah. Satu (1) Malaysia harus mencerminkan makna-makna seperti "bersatu teguh bercerai roboh", Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

3. Masalah perpaduan di negara ini terlalu banyak dipolitikkan. Dibicarakan atas pentas politik dan diwarnai oleh kepentingan politik kepartian. Justeru sukar sama sekali untuk mencapai perpaduan apabila pentasnya ialah pentas politik.

4. Sejak dahulu pentas perpaduan terbaik ialah melalui sukan. Kejayaan dan penyertaan kita dalam pelbagai pertandingan antarabangsa terutamanya dalam acara Badminton, Hoki dan Bola sepak telah mewujudkan ikatan perpaduan antara kaum dan agama. Nama-nama seperti Isa Bakar, Soh Cin Aun, R. Arumugam, Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim, Hasan Sani, M. Karathu adalah nama-nama yang dilihat sebagai pemain bola sepak berjaya tanpa mengira kaum. Demikian juga kejayaan pemain badminton negara seperti Punch Gunalan, Wong Peng Soon, Ooi Teik Hock, Ong Poh Lim, Misbun Sidek dan adik beradik telah mewarnai dunia badminton negara dengan sokongan berbelah bagi tanpa mengira bangsa, agama mahu pun sempadan negeri. Kita juga pernah melahirkan perenang cemerlang bernama Nurul Huda Abdullah, seorang perenang dari kaum Cina dengan nama seperti orang Melayu.

5. Saya fikir sebab itu juga Tun Dr. Mahathir membawa kejohanan sukan yang besar dan diminati rakyat seperti Piala Thomas, Sukan Sea dan Sukan Komanwel. Ia merupakan agenda perpaduan yang tidak perlu disorak dan dilaungkan. Demikian juga dengan laungan "Malaysia Boleh" diucapkan oleh semua kaum setiap kali negara kita mendapat kejayaan sama ada dalam bidang sukan mahu pun pencapaian lain di peringkat antarabangsa.

6. Baru-baru ini saya menonton filem Invictus arahan Clint Eastwood yang diadaptasi daripada kisah benar mengenai usaha Nelson Mandela menghapuskan prasangka antara kaum melalui sukan Ragbi.

7. Saya fikir kerajaan perlu menumpukan usaha-usaha perpaduan melalui sukan terutamanya sukan popular seperti badminton, Sepak Takraw, Hoki dan Bola sepak. Jika laungan Satu Malaysia boleh menggegarkan Stadium Negara seperti mana laungan Malaysia Boleh suatu ketika dahulu tentulah agenda perpaduan ini lebih bermakna.

8. Agenda Satu Malaysia juga boleh dicapai melalui kerja-kerja kemasyarakatan, rekreasi dan usaha mencipta nama negara di luar negara. Ini semua akan dilihat atas kepentingan negara bukannya kepentingan politik.

9. Filem Invictus memaparkan sikap segelintir pemimpin kulit hitam yang menguasai pentadbiran negara apabila Nelson Mandela menang pilihan raya Presiden. Mereka mahu melakukan perubahan-perubahan yang boleh menyinggung perasaan kaum kulit putih. Ini termasuklah usaha menghapuskan warna jersi, lambang dan juga nama "Springbook" daripada pasukan Ragbi Afrika Selatan. Mujurlah ia dihalang oleh Presiden Mandela kerana beliau mahukan perpaduan rakyat bukannya pembalasan dendam.

10. Sungguhpun tidak sama, namun apa yang terjadi dalam filem tersebut sedikit sebanyak boleh dikaitkan dengan apa yang terjadi kepada negara kita pasca pilihan raya 2008.

11. Kemunculan kaum bukan bumiputera sebagai penentu kekuatan pemerintah di beberapa negeri telah membuka ruang untuk segelintir pemimpin bukan Melayu yang bersifat ultra untuk menuntut perubahan terhadap perkara-perkara yang membabitkan bumiputera. Pemimpin bukan Melayu yang bersikap sederhana sebelum ini juga turut menyertainya kerana bimbang hilang sokongan.

12. Kaum bumiputera, khususnya orang Melayu, pula melihat ini sebagai satu usaha menangguk di air yang keruh. Apabila tuntutan-tuntutan ini menggunakan pula laungan Satu Malaysia sebagai satu alat untuk mendesak tuntutan mereka dipenuhi, maka prasangka orang Melayu terhadap 1 Malaysia kian buruk.

13. Agenda Satu Malaysia tidak mungkin tercapai jika ia terus dijalankan atas landasan politik. Hari ini Satu Malaysia digunakan sebagai alat politik. Pemimpin politik kaum Cina dan India melihat Satu Malaysia sebagai satu alat untuk menuntut penghapusan perkara-perkara yang dianggap pro - bumiputera dan telah dipersetujui sejak merdeka lagi.

14. Tuntutan-tuntutan yang ingin menghakis kepentingan bumiputera berselindung di sebalik pentas 1 Malaysia pula menyebabkan kaum bumiputera berprasangka buruk terhadap usaha perpaduan menerusi agenda 1 Malaysia. Lalu ramai yang skeptikal dan pesimis terhadap agenda perpaduan menerusi slogan 1 Malaysia ini. Ini kerana tuntutan-tuntutan atau pandangan yang dibuat menerusi kaca mata politik.

15. Dalam rumah Terbuka UMNO Selangor baru-baru ini saya sempat bercakap dengan Pengerusi MCA Selangor, Dato' Donald Lim. Saya nyatakan bahawa MCA terlalu melihat isu pembahagian ekuiti dan pembabitan bumiputera sebanyak 30% dalam perniagaan. Ini ialah isu-isu ahli perniagaan yang tidak mungkin berpuas hati sampai bila-bila pun. MCA tidak boleh menjadi parti yang pro ahli perniagaan semata.

16. Bagi saya MCA dan juga parti komponen BN yang sepatutnya melihat isu-isu rakyat banyak seperti pengangguran, kos sara hidup, pendidikan, penagihan dadah, kesihatan dan kemiskinan yang merentasi batas kaum. Apabila isu-isu ini dibincangkan tanpa membabitkan hak kaum bumiputera barulah isu kerenggangan kaum ini dapat dielakkan.

17. Selagi kita melihat 1 Malaysia melalui kaca mata politik selagi itulah rakyat yang pelbagai kaum ini akan saling curiga-mencurigai antara satu sama lain.

18. Saya melihat setakat ini 1 Malaysia bukan sahaja gagal merapatkan hubungan antara kaum tetapi makin menjarakkannya kerana ia digunakan oleh pemimpin politik kerajaan dan pembangkang untuk menuntut dihapuskan perkara-perkara tertentu yang menjadi polisi sebelum ini. Kaum bumiputera marah kerana mereka seolah-olah "digertak", manakala yang bukan bumi pula marah kerana 1 Malaysia tidak mengubah kedudukan polisi-polisi pro-bumiputera yang sedia ada.

19. Justeru adalah penting agenda perpaduan 1 Malaysia ini diterjemahkan dalam bentuk di luar kerangka politik seperti mana kita pernah menyatukan rakyat di bawah slogan "Malaysia Boleh" dan kempen "Bersatu Teguh Bercerai Roboh".