Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Wednesday, February 10, 2010

Kerajaan Tidak harus Bebankan Bil Elektrik Kepada Sekolah

1. Saya berterima kasih kepada Menteri pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini memberi respon yang baik mengenai kritikan terhadap Sekolah Berprestasi Tinggi, Skim baucer Tuisyen dan masalah pengurangan bajet Makanan di Sekolah Berasrama.

2. Namun pada minggu lalu saya dimaklumkan oleh Guru Besar dan Pegawai Pendidikan Daerah di kawasan saya bahawa mulai sekarang sekolah-sekolah dikehendaki membayar sendiri bil air dan elektrik.

3. Saya tertanya-tanya mengapa sekolah yang sepatutnya sebagai tempat belajar dan guru sebagai pengajar harus dibebani dengan kerja-kerja sebegini sedangkan sebelum ini penyelesaian bil-bil ini dibuat di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah.

4. Lebih serius ialah pentadbiran sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)perlu mencari dana untuk membayar bil elektrik dan air sekolah masing-masing.

5. Sesetengah sekolah telah memulakan langkah berjimat cermat termasuk mengehadkan penggunaan kipas angin, penghawa dingin, komputer dan makmal. Malahan dalam satu majlis perasmian mesyuarat PIBG, Guru Besar secara terbuka menyatakan bahawa sekolah perlu mengurangkan penggunaan makmal komputer dan perpustakaan bagi mengurangkan kos elektrik.

6. Bagi sekolah di bandar-bandar besar yang PIBGnya mempunyai kewangan yang kukuh ia mungkin bukan satu hal yang besar. Namun bagi sekolah di luar bandar bebanan mencari dana untuk membayar bil elektrik merupakan satu isu besar.

7. Saya khuatir usaha mengehadkan penggunaan elektrik di sekolah-sekolah akan menjejaskan waktu, suasana dan kemudahan pembelajaran. Ini sekaligus akan menjejaskan kualiti pelajar pada masa akan datang.

8. Tentulah pihak pentadbiran sekolah tidak boleh dipersalahkan kerana mereka dibebankan dengan perkara yang tidak sepatutnya menjadi tanggung jawab mereka.

9. Justeru saya berharap kerajaan atau lebih tepat Kementerian Pelajaran menarik balik arahan supaya sekolah membayar sendiri bil elektrik. Ia sepatutnya kembali kepada sistem asal iaitu di bayar oleh PPD.

10. Mungkin kementerian juga boleh berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membayar bil elektrik secara pukal pada setiap bulan membabitkan semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

11. Saya juga merayu kepada Tan Sri Muhyiddin agar meneliti lebih mendalam cadangan-cadangan yang dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran sebelum dilaksanakan agar ia tidak menjadi beban politik kepada beliau dan juga Barisan Nasional kemudiannya.

12. Akhirnya sebelum sesuatu polisi dilaksanakan perhalusilah implikasinya secara serius. Jika ia membabitkan kepentingan rakyat banyak, bawalah berbincang di peringkat Majlis Tertinggi UMNO dan Barisan Nasional terlebih dahulu.

13. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Jangan kerana kerosakan yang sedikit seperti ini akan merosakkan kebaikan besar kita perbuat selama ini.

27 comments:

  1. YB Dato' Seri,

    Inilah yang sebenarnya mengapa rakyat tidak akan faham akan langkah kerajaan BN. yang bakal menganggung beban akhirnya ialah ibu bapa. Lagi teruk lagi ibu bapa yang sedia miskin. Dari mana mereka hendak mencari punca membayar sedikit kelak, sebab sekarang ini pun tidak cukup.

    Saya nampak Kementerian Pendidikan kini tidak sensitif dan responsif kepada masyarakat.

    Ini belum lagi diceritakan berkenaan pengurangan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada para pelajar miskin di sekolah - sekolah. Hak orang miskin jangan diambil. Patutnya dibela.

    Nampaknya UMNO senyap sahaja akan isu ini. Pemuda UMNO lagilah senyap. Kita semua kena maklum bahawa masih ramai lagi rakyat susah yang perlu dibantu.

    Tolonglah Dato' Seri untuk hebahkan dan buat tindakan susulan agar diperbetulkan dimana yang perlu.

    Mustapha Kamal Kamaruddin

    ReplyDelete
  2. Salam DSKT,
    Tolong la sound sikit kat TSMY tu...Jangan dia ingat semua yang dia cadangkan dan hendak buat tu betul belaka... Kata nak rasakan denyut nadi rakyat...So, janganlah buat nadi rakyat tak berdenyut plak. Entahla kadang2 bunyi cadangan dan dasar macam nak tolong rakyat tp kalau ditelusuri macam nak cekik rakyat ada la ..Janganalah kerana hendak lihat "popular" rakyat jadi mangsa...Tak sudah2 ke dan masih tak faham ke "signal" yang telah rakyat sampaikan ari tu...T kasih DSKT atas bantuan dan tindakan susulan nanti.

    ReplyDelete
  3. Nak berjimat kerana Kerajaan tak ada duit pun.. kena lah kena pada tempatnya... ni makanan pelajar dan bil api/air sekolah pun nak kena potong... macam mana nasib pelajar miskin yg kebanyakannya Melayu??? adakah mereka terpaksa berlapar dan hidup dengan mee maggi semasa makanan tidak disediakan di asrama??? nak balik rumah, jauh dan perlukan duit tambang.. nak beli , diaorg miskin, tak ada duit..

    Sekolah luar bandar kena berjimat bil api/air... maka masa pelajar komputer pun terjejas padahal mereka ni pakai komputer hanyalah masa di sekolah...

    Konon berdengar dengar buat demo kata Melayu ditindas PR.. tapi dasar ini menyebabkan melayu terus ditindas... oleh UMNO

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum pada semua...

    Mmg la yuran exam dah mansuh, tapi banyak kedengaran memacam yuran plak yg kena bayar...
    Jadi pas nie dah tentu yuran elektrik dan air plak yg timbul... Ada juga pihak sekolah nanti yang buka kaunter depan tandas... hehehe..

    ReplyDelete
  5. salam DSKT

    saya amat menyokong apa yang telah di katakan oleh saudara asri.

    ReplyDelete
  6. Dato Sri..saya amat bersetuju dengan langkah kementerian mengarahkan pihak sekolah membayar bil letrik sekolah masing-masing...Ini lah sebenarnya Kerajaan yg mengamalkan Slogan Tradisi Membela Rakyat dan 1Malaysia...Jadi tak perlu lah kita nak bantah itu ini...

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum dr

    Kalau begitulah caranya untuk berjimat..saya cadangkan supaya murid murid tak payah kesekolah..mereka perlu belajar dirumah melalui tv sahaja.Kerajaan dapat jimat dan ibu bapa juga tak perlu belanja lebih.

    ReplyDelete
  8. Malam nie anak saya minta duit lagi. Dari awal pembukaan sekolah sampailah ke hari ini paling tidak akan berkisar kepada isu duit yuran, duit aktiviti dan paling baik adalah minta duit tanpa bagi penjelasan duit tersebut diperlukan untuk apa. Saya mempunya 5 orang anak dan kesemua mereka bersekolah. Sudahlah pendapatan semakin sesak, perbelanjaan semakin meningkat dan tak lama lagi pibg pula akan minta setiap ibubapa bagi lagi duit. Saya ingin cadangkan kpd TSMY, kalau pihak kementerian sudah habis idea atau kering kantung peruntukan, carilah jalan lain bagi menambah dana utk pelajaran. Bab pendidikan melibatkan semua lapisan masyarakat, dari yg paling kaya sampai paling miskin akan kena akibatnya. Janganlah sesuatu tindakkan atau dasar dibuat tidak memikirkan untung rugi politik. TSMY sebagai menteri dan beliau juga merupakan TPM, apakah beliau cuba nak sabotaj slogan Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. sabarlah TSMY, jika nak naik jadi PM sekalipun.. ikutlah tangga, jgnlah guna password mudah saja. MOKHTAR.

    ReplyDelete
  9. Pelik bin ajaib... masa bentang bajet 2010 baru-baru ni semua akhbar komen puji melangit... impak maksima la... terbaik la... and so on... pastu minta komen dari wakil BN, Menteri Besar, KM yang memang kaki ampu... tapi realitinya rakyat makin senak perut dan sesak nafas...

    Ada sekolah dah mula kutip bayaran utiliti... Dah la sesekali je guna makmal komputer di sekolah.. kena reduce lagi... Pelajar pintar di bandar akan semakin pandai dan maju ke depan while pelajar luar bandar akan terus tercicir.

    Sibuk dengan SBT.... mcm lah satu Malaya tak tahu yang sekolah mcm MCKK, STF, TKC sekadar contoh memang dah amat cemerlang, tapi still akan dapat extra RM700 as SBT.... Sekolah lain dapat habuk je.... Then sibuk dengan PERMATA... dapat berjuta-juta...

    Sekolah rendah anak saya yang No. 1 & 2 @ Selangor, baru siap last year tapi work manship di very poor dan ada lobang sana sini and kopak sana sini... while sekolah anak bongsu saya lagi teruk.... bila tanya guru besar bila nak repair.. budget maintenance kena potong encik... Tapi pada masa yang sama bila saya masuk ke kelas saya terkejut bila setiap kelas dipasang dengan LCD projektor dan lagi terkejut dah siap pasang 3 tahun tapi tak pernah guna. Every year highlight kat mesyuarat PIBG kata tak boleh nak guna sebab wayar pendek, trip, over load, main cont lari etc... Now semua LCD (dewan kuliah UTM 91-96 pun takde menatang tu)dah jadi mcm besi beruk... Tunggu jugak bila benda tu nak masuk dalam AG Report.

    Untuk pendidikan dan pelajaran anak-anak, ibu bapa diminta bekorban, tapi untuk trip pegawai dan orang kementerian and Pak Menteri pergi official visit oversea boleh tibai 1st Class and business class which cost up to RM100k per trip utk satu gerombolan. With that amount boleh bayar bill api dan air untuk berapa sekolah ya... (kira sendiri la...)...

    Saya tetap tidak akan menarik balik statement yang TMY memang dungu.... Pak Menteri kita tahu ke berapa harga sepinggan nasi yang dia senduk ...???

    1 Malaysia slogan tinggal slogan je lah...

    ReplyDelete
  10. Sejak akhir-akhir ni, Menteri Pelajaran suka bikin panas. TAPI pak menteri!!....kalu bikin panas dan buat org melayu menyampah, tanggung sendiri la akibatnya...Dah elok org nak sokong UMNO (bukan BN ye)..tetiba ada pulak Pak Menteri yg mcm ni...TPM pulak lagi tu...

    Saya ada 3 anak bersekolah, tahu akan dtg ada lagi yg nak ke sekolah...Kalau skrang anak mintak duit.."ayah, cikgu nak derma jogkathon,hari kantin"....saya bagi la.
    Tapi kalu anak saya cakap,"Ayah, cikgu bagi surat derma bil api, air, repair tandas". Saya nak jawab apa??

    Rasanya la, baik belajar sekolah cina atau tamil...for sure goverment bagi sponsor (samada k'jaan BN atau PR).

    ReplyDelete
  11. doc,

    tak banyak yang saya bole katakan
    "THE GOVERMENT" memulakan 2010 dengan satu permulaan yang silap.

    * sambil saya berborak kosong dgn rakan2 guru,
    "profession perguruan (bermaksud yang mengajar disekolah) banyak kemudahan dinafikan majikan"

    yang paling simple penafian itu "pen sebatang pun guru kena keluar duit sendiri" sedangkan kakitangan disektor lain pen tersebut dibekalkan

    ReplyDelete
  12. Peruntukan berlebihan utk PERMATA, jadi kerajaan potong peruntukan ke Sekolah2. PERMATA hanyalah satu pembaziran mega. Tadika KEMAS sediada dah molek sangat dah...

    ReplyDelete
  13. Kan bagus jika dulu DS bertanding sebagai ahli MT. Dapat juga disuarakan terus rintihan rakyat dibawah nie. Dah tenat nie DS, dan Menteri Pelajaran macam tak berapa minat nak jadi menteri saja.

    ReplyDelete
  14. Sekolah tanggung sendiri
    Bil air dan elektrik bebani
    Amalan terdahulu dihenti
    Banyak negative persepsi

    ReplyDelete
  15. DSKT,

    Nampaknya kita kena tukar Menteri Pelajaran sedia ada untuk kelangsungan kerajaan sedia ada.

    Pasti jawapan menteri yang sedia ada, sedia dikritik untuk langkah-langkah yang tidak popular.

    Masalah pembelajaran serta pendidikan anak-anak bangsa bukan masalah popular. Ini masalah asas yang kerajaan patut pikirkan secara mendalam. Naik kan lah cukai apa pun...tapi jangan membebankan sistem persekolhan sedia ada.

    wassalam.

    ReplyDelete
  16. Tan sri muhyiddin sibuk sampai tak sempat nak pikir. last2 dengar nasihat orang kanan yang hampas belaka termasuk feriz omar yang gila populariti sedangkan ngo dia tak dak orang pun.

    ReplyDelete
  17. Salam DSKT dan rakan2 semua,

    Dah terang lagikan bersuluh. Inikan petunjuk bahawa kerajaan tak cukup pitis atau - antara yg lebih boleh dipercayai dr sumber kwn Petronas - duit ada tapi salah urus dan salah keutamaan.

    Dengan arahan belanja berhemah di semua jbtn kerajaan ia seakan menyorokkan status kewangan negara sekarang.

    Seperti biasa, ahli politik banyak retorik, cakap lain buat lain. Saya yakin rakyat tidak lagi mudah untuk percaya kata-kata pemimpin. 'Seeing is believing'.. Utk rakyat percaya pemimpin kerajaan mestilah kotakan apa yang mereka telah putuskan sbg dasar, keputusan dan slogan.

    Justeru masih adakah baki harapan rakyat terhadap slogan Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan?

    ReplyDelete
  18. Menteri Pelajaran dalam kabinet lepas jaga lembu. Jangan pula jadikan murid sekolah kita lembu.

    ReplyDelete
  19. DS, mohon dipanjangkan komen kpd YAB TMY, agar beliau dapat mengambil perhatian atas keluhan rakyat dibawah

    ReplyDelete
  20. Salam DSKT

    Implikasi cadangan ini boleh menyebabkan sokongan rakyat akan merosot.Ini bukan omongan kosong, kerana rakyat melihat dan menilai setiap tindakan yang diambil kerajaan, apatah lagi ia melibatkan sistem pendidikan terutama untuk golongan luar bandar atau lebih tepat lagi penindasan rakyat miskin secara halus.

    Jika sebelum ini,kerajaan menanggung semua kos pendidikan,adakah satu bebanan jika ia perlu diteruskan untuk keselesaan rakyat?Atau kerajaan kekurangan sumber kewangan?Tiadakah cara lain yang boleh kerajaan jimat selain mengganggu sekolah-sekolah yang kantungnya kecil terutama diluar bandar?

    Ini adalah masa untuk menuai kepercayaan rakyat, janganlah jadi kisah Petani Moden yang bersungguh-sungguh membaja tanaman namun kambing dibelakang asyik memakan tanaman itu.

    ReplyDelete
  21. TPM takdelah anggap murid sekolah mcm lembu....cuma anggap mcm tikus makmal je kot....

    Lepas ni cikgu kalu ada kursus hanya boleh dpt nasi bungkus and no more buffet set for lunch or dinner. Coffee break cuma boleh 1 jenis kuih je.... Kursus or seminar buat kat dewan sekolah je.... kesian anak bangsaku....

    Dari dulu lagi gomen suruh jimat guna product or kereta tempatan.... Bila kat highyway banyak kementerian mcm kesihatan, JKR, Audit etc guna X-Trail,Innova, Harrier, Fortuner, Lexus, Sorento... utk kegunaan jabatan or unit.... Rakan sebelah cuit saya.... kata duit cukai kita tu beli transport dia org... saya kerja GLC cuma guna SAGA BLM je as pool company car...

    ReplyDelete
  22. Salam DSKT. itulah kalau pemimpin tak leh fikir.Dah la baru aje org. nak balik sokong Umno.Tup2 ada pemimpin Umno sendiri yang buat rakyat biasa marah (org kaya banyak tak ambil pusing pun hal politik pasal depa banyak duit perlu ingat!!!) Kesian la bansa sendiri yang miskin dan dok sokong Umno Dari Dulu Kini Dan Selam-lamanya.

    ReplyDelete
  23. salam...tsmy banyak bercakap..banyak idea..tapi malangnya tidak ada satu pun yang boleh memberi manafaat kepada pelajar ataupun guru... setiap gerak kerja guru kena tanggung..beban guru makin banyak..kpi ..nkra...semua cakap kosong.. orang ramai sekarang dah faham....rakyat didahulukan (rakyat kena tanggung beban kos dahulu)pencapaian diutamakan.(cakap kosong sahaja) setiap kali ada majlis rasmi ada peruntukan berjuta masuk (nak tunjuk kita faham masalah rakyat ...tapi mana duitnya???????

    ReplyDelete
  24. setuju hampir semua response di atas..
    Bekalan api/air nie memang isu besar sekarang ni..
    TSMY tu tak sedar ke semua ibubapa/penjaga anak2 sekolah menyampah dan pelik dengan tindakan berjimat yg beliau buat..Banyak lagi cara lain kalau kerajaan nak berjimat..
    MEMANG NAK LINGKUP LA BN NIE..

    ReplyDelete
  25. Terlebih dahulu saya nak ucap kan Tahnia kepada Datok Seri Mohd Khir Toyo, kerana ada angin perubahan untuk membela nasib Rakyat. Cadangan saya macam ini, di mana jua di Dunia yang amat penting Pendidikan. Jadi harapan Rakyat Malaysia semuga Peruntukan Pendidikan bukan di kurangkan, tetapi harus di tambah agar tidak memberi tekanan dan bebanan kepada Guru2 dan Ibu Bapa. Di sini saya nak cadangkan kepada Kerajaan untuk mendapatkan wang untuk dapat menampung kos Pendidikan Negara. Cadagan saya macam ini, semua YB2 Menteri2 dari BN di kurang kan Gaji, Alauns atau Bonos sebanyak 50% sumbang kepada Kementerian Pendidikan, dan hadkan Menteri2 ke luar Negara, dan semua kenderaan Kerajaan simpan di Pejabat lepas kerja, dan yang paling bagus, Semu orag yang tersenarai terkaya di Malaysia suruh menyumbang kepada Pendidikan Malaysia sebab wang tidak akan di bawa mati. saya percaya semua masallah dapat di atasi. Saya berharap demi jenarasi kita yang akan datang, jangan ubah dasar Pendidikan sedia ada.

    ReplyDelete
  26. salam DS Dr. KT.

    saya ingin mulakan bicara saya dengan menarik perhatin semua pembaca, pengikut dan DS sendiri berkenaan berjimat cermat alaf kini.

    rakyat yang susah dan miskin ini terus menerus dipayah oleh segerembolan atau sekumpulan orang yang menggelarkan jenama mereka ini juara rakyat.

    boleh dilihat dengan jelas contoh,
    DAN yang mensyaratkan semua keta lama hendaklah diperiksa bagi menjamin keselamatan di jalan raya. bagi gerembolang JR x menjadi masalah kerana mereka akan menukarkan kereta mereka seban tahun dengan model terkini. bagi pegawai tinggi kerajaan pula, mereka disediakan kereta, petrol, servis kereta dan pemandu sekali. tamat tempoh kontrak, boleh pula beli kereta berkenaan dengan harga yang tidak masuk akal murahnya.

    Menjadi tanda tanya, mereka semua ini yang mendapat upah belasan ribu dan puluhan ribu secara tetap dan konsisten setiap bulan adakah mereka ini tidak mampu untuk membeli kereta sendidi dan mengisi minyak sendiri.

    saya percaya dan yakin bahawa semasa DS menjadi MB selangor dahulu, pasti DS mengetahui pekerja yang menghantar surat juga mampu membeli atau membuat pinjaman bank untuk sebuah kereta nasional setidak-tidaknya.

    belum lagi diulas keistimewaan yang lain serta yang layak lagi lawak untuk golongan berkenaan.contoh keluar negara tiket kelas pertama, diberi wang bagi membeli pakaian panas, insurans walau urusan peribadi, hotel 5 lapisan, telefon bimbit dan bilnya dibiaya, segala bil utiliti juga dibiaya, makan seadanya selepas mesy, rumah dan kelengkapan ala kadar dan berbagai lagi.

    yang miskin terus kelaparan kerana alasan x cukup peruntukan dan TERPAKSA DICATU.


    mungkin kumpulan berkenaan perlu menukar slogan mereka kepada melaysia kita, yang kaya terus dikayakan, yang miskin terus di cut cost kan.

    Tahniah kepada JUARA RAKYAT dan PAKATAN RAKYAT.
    Kerana satu pun x tidak berorentisikan rakyat.

    ReplyDelete
  27. Salam

    Siapa yang kaut untung dari bil letrik ni kalo tidak IPP. Siapa yang di belakang YTL , MALAKOF dll tu kalo bukan juak juak U....

    Mengapa x di kaji balik Contract IPP yg berat sebelah dan membebankan Kerajaan dan Rakyat tetapi mengutungkan segelitir crony?

    Betul ke tradisi membela rakyat tu?

    ReplyDelete