Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Tuesday, February 2, 2010

Mana Lebih Penting, SBT atau Anak-anak Di Pedalaman?

1. Pengumuman 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Kementerian Pelajaran baru-baru ini menimbulkan tanda tanya dan sinisan daripada sebahagian rakyat terutamanya yang berada di luar bandar.

2. Sekolah-sekolah yang diumumkan memang diakui mempunyai tradisi dan sejarah kecemerlangan tersendiri. Dengan kata lain kita tiada sebab untuk mempertikaikan mahu pun meminta kerajaan menilai semula pemilihan sekolah-sekolah ini.

3. Tanpa menafikan dedikasi dan budaya pembelajaran yang hebat di sekolah-sekolah ini, bukanlah ilusi bahawa kecemerlangan sekolah-sekolah ini juga turut dipengaruhi oleh kedudukan di kawasan bandar dan kebanyakan pelajarnya datang daripada keluarga yang berpendidikan dan berpendapatan tinggi. Manakala sebahagian lagi pula merupakan sekolah asrama penuh yang sememangnya telah melakukan pemilihan ke atas pelajar terbaik dari seluruh negara.

4. Orang ramai tertanya-tanya, apakah langkah pengwujudan SBT ini satu usaha meningkatkan kualiti pendidikan atau menjarakkan lagi kualiti pendidikan bandar dan luar bandar?

5. Hari ini pun ada ibu bapa yang berebut-rebut untuk memasukkan anak mereka ke sekolah tertentu yang mempunyai sejarah kecemerlangan. Ada ibu bapa sanggup menghantar anak mereka ke sekolah yang jauh dari rumah semata-mata untuk memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak. (Lihat sahaja jika di musim cuti sekolah banyak kawasan yang selalunya mengalami kesesakan lalu lintas akan menjadi biasa sahaja.)

6. Dengan pengenalan SBT ini makin ramailah yang akan berusaha menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini, terutamanya sekolah harian. Maka pelbagai lobi, surat sokongan serta "hubungan baik" akan digunakan untuk membolehkan anak-anak mereka masuk ke sekolah tersebut.

7. Malahan tidak mustahil pula bagi mereka yang tinggal berhampiran sekolah tersebut tidak mendapat tempat kerana telah penuh. Juga tidak mustahil akan ada sekolah ini yang memilih pelajar tertentu sahaja bagi memastikan prestasi sekolah terus kekal sedemikian. Akhirnya hanya segelintir akan bergembira, ramai yang tidak berpuas hati.

8. Kita telah pun ada Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)yang menumpukan kepada kualiti pembelajaran. Suatu ketika SBP dan MRSM bertujuan memberi peluang kepada pelajar luar bandar yang cemerlang mendapat pendidikan, penginapan dan makanan yang baik. Hari ini ramai juga di kalangan anak mereka yang berpendapatan tinggi turut masuk ke sekolah ini.

9. Walaupun begitu, mereka ini terpilih menikmati satu sistem yang berbeza kerana telah melalui ujian dan peperiksaan serta lulus dengan cemerlang. SBP dan MRSM bertujuan menyediakan satu langkauan pendidikan bagi mereka yang cemerlang. Mereka telah lepasi ujian yang diperlukan.

10. Namun pengenalan SBT sangat mengelirukan. Ia memberi kelebihan kepada pelajar tertentu tanpa perlu melalui ujian atau tapisan yang sewajarnya. Kelebihan yang diperolehi adalah berdasarkan "nasib baik" mereka bersekolah di sekolah berkenaan.

11. Pemberian beberapa kelonggaran dan peruntukan yang besar kepada SBT ini menimbulkan pertanyaan dan kemarahan kepada ibu bapa yang berada di kampung mahu pun yang gagal memasukkan anak-anak mereka ke sekolah ini.

12. Bagaimana pula dengan nasib anak-anak sekolah lain terutamanya di luar bandar. Lebih menyedihkan ialah bagaimana nasib anak-anak di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak yang masih lagi di sesetengah kawasan belajar dalam keadaan daif?

13. Terdapat banyak rungutan guru-guru bahawa pengurangan bajet Kementerian Pelajaran kepada sekolah-sekolah menyebabkan banyak aktiviti pendidikan dan sokongan tidak dapat dijalankan.

14. Namun dalam masa yang sama Kementerian pengumumkan setiap SBT mendapat RM 700 ribu setahun. Ini menimbulkan persoalan baru, mengapa Kementerian pelajaran memotong bajet untuk sekolah biasa tetapi boleh pula memberi peruntukan sedemikian besar kepada SBT.

15. Apakah kecemerlangan anak-anak di SBT lebih utama berbanding anak-anak di seluruh negara yang tiada peluang berada di SBT? Seperti yang saya nyatakan di atas bahawa SBT ini sungguhpun sebahagiannya sekolah harian merupakan sekolah di bandar dan kebanyakan ibu bapa merupakan golongan berada. Justeru mereka mampu menyediakan pendidikan tambahan kepada anak-anak mereka berbanding ibu bapa di sekolah biasa terutamanya di luar bandar.

16. Jadi di mana keutamaan Kementerian Pelajaran? Kementerian sepatutnya menumpukan sekolah yang tertinggal terlebih dahulu, berbanding memberi bantuan kepada sekolah yang telah cemerlang dan mempunyai budaya pembelajaran yang sudah cukup baik serta sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang kuat.

17. Menurut YAB Tan Sri Muhyiddin, "Kita ada ranking kesemua 10,000 sekolah, baik di Sabah, Sarawak dan Semenanjung dan tahu daripada jumlah itu di tahap mana prestasi sekolah-sekolah itu."

18. Justeru bukankah lebih baik dan afdal Kementerian menumpukan kepada sekolah-sekolah yang berada di rangking terbawah terlebih dahulu supaya mereka mampu melahirkan pelajar yang cemerlang sama seperti sekolah yang telah sedia cemerlang.

19. Berilah tumpuan kepada sekolah-sekolah luar bandar dan pendalaman dahulu. Jika ada masa misalnya bawalah pegawai-pegawai kerajaan pembuat polisi mengembara dari Sandakan ke Tawau dan ke Kota Kinabalu menggunakan kenderaan agar mereka sendiri boleh melihat mana yang lebih perlu diutamakan dalam sistem pendidikan kita.

20. Tujuan untuk mewujudkan budaya bersaing dan budaya kecemerlangan patut disanjung. Namun persaingan harus adil dan setara antara luar bandar dan bandar.

21. Justeru ia tidak pula harus mengorbankan golongan yang lebih memerlukan lebih perhatian kerana menjadi mangsa keadaan hidup dan lokasi di luar bandar. Keutamaan harus kepada sekolah luar bandar dengan menyediakan infrastruktur, bantuan kelas tambahan, komputer dan tenaga pengajar supaya ia sama taraf dan keupayaan dengan sekolah di bandar.

22. Sepatutnya sekolah menjadi satu institusi yang mampu melahirkan individu cemerlang biarpun ia bersekolah di pedalaman sekalipun. Ini kerana sekolahlah yang memainkan peranan besar sama ada melahirkan manusia berguna atau hantu-hantu raya yang penuh dengan masalah sosial.

23. Saya tahu tulisan ini juga mungkin akan menjadi seperti beberapa tulisan sebelum ini yang akan mendapat kritikan keras segelintir pegawai kerajaan. Khabarnya ada pegawai kanan kerajaan mengkritik blog saya, dalam satu talikmat polisi kerajaan baru-baru ini, sebagai tidak membantu kerajaan dan Barisan Nasional dengan mengambil contoh kritikan saya terhadap Skim Subsidi Beras (Subur).

24. Saya berharap mereka tidak terlalu mengambil berat kritikan blog saya ini. Sebagai bekas Menteri Besar yang dituduh dengan pelbagai fitnah, pengaruh saya tidaklah sebesar mana. Yang mereka perlu risaukan ialah pandangan rakyat di bawah. Jangan nanti rakyat melihat kerajaan hari ini membuat polisi yang tidak ubah seperti tikus membaiki labu.

32 comments:

  1. DS,
    saya sokong 100% apa yang diperkatakan.Kebanyakan idea yang DS lontarkan amat bernas.Semoga DS terus berani untuk berjuang.

    ReplyDelete
  2. Salam doc,

    1. Saya masih ingat lagi intipati ucapan doc, "Allah telah berfirman di dalam Al-Quran: “….Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka….” (Ar-Ra’du:11)”

    “hanya dengan pelajaran sahajalah maka kita dapat mengubah nasib anak anak dimasa hadapan dan mereka tidak lagi mewarisi kemiskinan yang kita ada”

    2. Sekarang ni trend SBT, MRSM, tidak lagi seperti dahulu. Ibubapa yang tidak berkemampuan terpaksa berfikir berkali-kali untuk memasukan anak mereka ke sekolah ini. (kalau boleh nak pilih yang dekat dgn rumah)

    Masakan tidak bagi mereka yang mempunyai pendapatan tetap pun mengeluh apabila anak mereka bersekolah disini…. Pada awal tahun ini, mereka dikejutkan oleh Pengetua sekolah yang anak mereka terpaksa balik setiap minggu kerana kerajaan tidak lagi memperuntukan makanan pada hujung minggu…. Tergelincir gak budget mak bapak.

    Sebelum ini anak mereka terpaksa balik pada setiap bulan dan cuti panjang.

    Kalau dizaman persekolahan saya, pelajar hanya balik pada cuti penggal. (terima kasih YAYASAN SELANGOR - dapat saya belajar di VI sekolah elit walaupun tak tersenarai dalam SBT)

    3. Berbalik kepada ucapan doc, apakah kepimpinan sekarang ini tidak lagi memberi galakan kepada bangsanya yang tertinggal untuk mengubah nasib mereka

    Ataupun didalam percaturan politik golongan ini harus dibiarkan ujud sebagai “dependent group” (golongan yang memerlukan), kerana dengan keadaan nasib mereka yang susah ini dan masih memerlukan bantuan, mereka harus memberi sokongan/undi pada kerajaan.

    * sememangnya permulaan tahun baru 2010 tidak banyak menyebelahi BN

    ReplyDelete
  3. Kerajaan melalui gagasan Pencapaian Diutamakan, rakyat didahulukan sepatutnya mengkaji semula peruntukkan kewangan kementerian. sebagai contoh, hentikan sementara projek pembangunan / infra dan salurkan peruntukkan kepada pembangunan insan. wujudkan peluang pekerjaan baru bagi lepasan sekolah menengah atau lepasan universiti yang saban tahun peratusan menganggur amat tinggi. Menaik taraf sekolah kepada SBT memang baik tetapi hanya melibatkan segelintir sekolah. Bagaimana pula dengan sekolah yang jauh dipendalaman serta kekurangan dari segi alat bantuan mengajar. Tidakkah jika peruntukkan yang sama disalurkan kepada mereka dan ditempatkan guru-guru yang mencapai standard tinggi maka pencapaian yang sama atau lebih baik dapat dihasilkan. Dalam rakyat menghadapi kengkangan ekonomi yang ketat, penambahbaikan dapat disalurkan terus kepada rakyat diluar bandar / pendalaman, maka saya yakin ianya akan memberi impak yang baik dari segi politik kepada pemerintah.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum wbk. Dato Seri,

    Saya amat berterima kasih kepada Dato Seri kerana megenegahkan isu ini. Saya adalah dari segelintir golongan yang amat terkilan dengan apa yang berlaku. Anak-anak dinafikan peluang untuk mendapatkan pendidikan terbaik hanya kerana ibubapa yang mengikut peraturan dan mematuhi segala arahan yang ditetapkan.

    Perkara yang sama telah berlaku kepada saya dan anak sulong saya yang bersekolah di kawasan luar bandar, lebih tepat lagi. Sekolah Kebangsaan Kuang, Selangor. Dengan kemudahan yang separa lengkap, anak saya telah memperolehi keputusan 5A disamping sepuluh anak-anak yang bertuah lain dari sekolah yang sama.

    Pengalaman buruk bermula apabila keputusan SBP diumumkan oleh kementerian Pelajaran.Anak saya telah diumumkan tidak berjaya, saya terima dengan hati terbuka walaupun sebelum itu anak saya telah dipanggil untuk temuduga oleh salah sebuah sekolah yang tersenarai sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT) sebulan sebelum keputusan permohonan SBP diumumkan, saya redha ketentuan Allah swt.

    Menjadi tanda tanya kepada saya apabila, salah seorang rakan saya yang berjawatan tinggi di sebuah GLC memaklumkan bahawa anak kepada rakan beliau mendapat tawaran ke SBT yang sama tanpa melalui proses temuduga pada hari yang sama, tetapi seminggu sebelum keputusan SBP dikeluarkan olek Kementerian Pelajaran. Saya tergamam, kecewa dan memikirkan apa yang telah berlaku. Seperti firasat Dato Seri saya sedar saya hanya seorang rakyat yang tidak melobi,tidak mengunakan surat sokongan serta tiada hubungan baik dengan orang-orang tertentu.

    Jika alasan pendapatan diambilkira, saya tidak berpendapat tinggi. Jika alasan luar bandar, anak saya bersekolah dengan anak-anak orang kampung yang tiada berpendapatan tetap di kawasan luar bandar. Di mana silapnya? Salahkan saya mempunyai latarbelakang pelajaran yang baik dan mempunyai pendapatan yang sekadar cukup untuk menampung keluarga sehingga dikira sebagai orang berada dan dinafikan hak untuk memberi pendidikan yang terbaik untuk anak saya.

    Kelmarin, keputusan permohonan MRSM dikeluarkan. Anak saya masih gagal mendapat tempat. Berulang lah lagi skrip sepertimana yang di atas. Cuba perhatikan cuti hujung minggu di sekolah berprestasi tinggi (SBT), kenderaan yang menjemput pelajar SBT, SBP dan MRSM untuk pulang bercuti. Maha hebat berbanding dengan saya yang hanya boleh berbangga memandu kenderaan buatan Malaysia keluaran tahun 2000 proton WIRA.

    ReplyDelete
  5. Salam Datuk. Kemungkinan besar menteri pelajaran yang juga timbalan perdana menteri tersalah dapat nasihat. Seharusnya pendekatan yang datuk syorkan ini adalah yang betul. Sepatutnya kementerian pelajaran berusaha mengurangkan jurang antara sekolah berprestasi tinggi dengan sekolah yang masih mundur dan daif.

    SBT akan menjadi faktor membesarnya jurang-jurang ini. Contoh.. sekolah harian misalnya.. di Kota Belud Sabah umpamanya.. bagaimana anak-anak kita mampu bersaing.. sedangkan guru-guru yang disediakan adalah guru-guru yang kurang berpengalaman kerana latar belakang pendidikan mereka yang "pas-pasan". Mata pelajaran bahasa inggeris mislanya.. guru yang mengajar bahasa itu, tidak menguasai bahasa itu.

    ReplyDelete
  6. Salam Dato seri,

    Saya sendiri tidak faham dengan polisi yang dijalankan oleh kerajaan sekarang. Banyak projek perlaksanaan kerajaan yang semakin pelik dan membelakangkan rakyat.

    Sepatutnya kerajaan mengkaji dahulu sesuatu benda yang hendak dibuat. Biar rakyat tentukan, baru la buat. Jangan sampai jadi macam projek syok sendiri.

    Ohh. . menteri-menteri yang tak boleh terima kritik tu, sebenarnya nak membodek je lebih. Setiap benda yang kita buat, bukan semuanya bagus. Jadi tak salah kalau ada teguran yang membina.

    http://kedahkekl.blogspot.com

    ReplyDelete
  7. bravo Dato Seri. keep it up...I heard that the subsidy system which is expected to be launch this may was provided/proposed by one of the prominent Bank in Malaysia .....unbelievable if it is true .....

    ReplyDelete
  8. Akum dato, saya amat setuju dgn pandangan dato. Isu nya mudah jer nak faham. Yg pandai akan semakin cerdik yg kurang cerdik akan terus jadi bodoh. Akhirnya yg kaya akan terus mewah yg miskin akan jadi papa kedana. Salam 1malaysia dato.

    ReplyDelete
  9. DS Khir,

    Yes, DS. You nail it on the head! Straight to the point. Dont bother of all the comments made by those senior govt officials. They are NOT the best we have. They know nothing and its good that you challenge them to visit the interior schools in Sabah by road. Nice. Very nice. Cheers! DS.

    ReplyDelete
  10. salam,
    Satu kesilapan besar Menteri Pelajaran...benarkah hanya 20 sekolah itu benar-benar berprestasi tinggi?? apa standard yg digunapakai oeleh menteri??Satu kenyataan yg pasti menyinggung perasaan...org kpg, ibubapa malahan para guru....Yang pasti makin byk lah ibubapa pasang kabel supaya anak mereka berjaya memasuki sekolah SBT...sebagaimana yg berlaku sekarang ini (utk memasuki sekolah berasrama penuh.)

    ReplyDelete
  11. KE 2-2 NYE PENTING DATO SRI...
    TP YG PALING PNTING ADLAH KESEIMBANGAN YG TEGUH...
    HIDUP DATO SRI !!!
    ~(SYA ORG SG.BESAR)~

    ReplyDelete
  12. Salam DSKT,
    Tahniah DSKT kerana mengenengahkan isu ini. Tidak syak lagi saya pasti ramai rakan mahupun lawan blogger setuju. Benar pelajaran itu penting..bagi mereka yang datang dari keluarga yang sederhana dan kebawah, hanyalah ilmu yang dapat mengubah hidup. Namun begitu dalam keghairahan gomen untuk memberi yang terabik untuk rakyat dari aspek pendidikan spt pengwujudan SBT ini, sebahagian rakyat lagi masih jauh ketinggalan. Kalau TSMY kata semuanya akan dapat yang terbaik, maka bohonglah dia...saya tak mahu ulas lebih lanjut lagi...cukuplah apa yang telah diutarakan di atas. Mmg benar tidak semua akan dapat merasainya tetapi janganlah sampai nampak begitu ketara perbezaannnya. Pendek kata, walaupun bukan keseluruhannya, yang berada/ senang akan terus senang dan yang susah akan terus susah. Saya rasa (pendapat saya la) isu2 seperti inilah yang akan menjadikan UMNO/BN dipandang serong oleh rakyat bawahan. Sekadar mengambil kata2 MP Sri Gading, janganlah buat satu dasar yang GILA...Walau apapun tahniah sekali lagi kepada DSKT dan semoga sejahtera selalu dan terus dan istiqamahlah untuk benar2 mendahulukan rakyat. Wassalam.

    ReplyDelete
  13. Ingatkan TPM as Menteri Pelajaran ni OK tapi dungu jugak.. Maaf ya....

    Ada beberapa statement from TPM mengelirukan. As reported by media arus perdana, setiap sekolah memang dapat RM700k dan SBT akan dapat extra RM700k means RM1.4 million. Wow banyak tu... Tapi apa yang menegejutkan, masa day 1 di sekolah anak saya guru besa announced yang budget penyelenggaraan dipotong, makanan tambahan utk pelajar miskin dimansuh, baucer tusyen mansuh, subsidi uniform pun mansuh.. So betul ke setiap sekolah dapat RM700k... banyak tu... Masa daftar tahun 1 dah bayar yuran (dia tak panggil yuran.. katanya bayaran tambahan dan PIBG) RM50.. pastu hari Jumaat ni kena bayar lagi RM40 sebagai yuran sekolah (yang Pak Lah canang.. mansuh yuran sekolah)... Utk anak saya Tahun 1 je... buku tulis + buku kerja, uniform dan accessories hampir RM500. Fine saya boleh bayar.... bukan nak riak memandangkan it's my obligation. Pada masa sama, isteri saya ada mengeluh bukan sebab kena bayar, katanya macam mana orang kampung, orang bandar yang dok flat PPRT atau mereka yang gaji bawah RM1k nak sediakan bayaran persekolahan.... yang anak 4 - 5 orang sure mengeluh.... Yang bergaji besar pula jangan sangka kami tak bayar cukai... Belum lagi kos anak sulung dan no. 2 darjah 5 dan 4... Cerita pun tak guna....

    RM1.4m @ 20 = RM28m, plus PERMATA dapat RM100m... baik duit RM128m digunakan untuk maintenance sekolah dan upgrade...

    Bukan nak menyembah subsidi atau merayu subsidi, tapi untuk pelajaran dan perubatan sepatutnya kena percuma pada rakyat atau pada kos minima...

    Lagi satu pelik dgn konsep Klinik 1 Malaysia... Covert ajalah hospital dan klinik kerajaan mcm konsep klinik 1 Malaysia....

    OK Dato'... sesekali rasa bagus jugak Dato' jadi ketua pembangkang... banyak isu bernas di utarakan... he he he he ... still support mana yang benar....

    ReplyDelete
  14. Salam DS,
    Saya setuju dgn kenyataan DS mengenai perkara diatas.....Saya pun pelik dgn Klinik 1MALAYSIA yg sebenarnya membazir duit rakyat....Apa salahnya klinik desa and hospital yg sediada meningkatkan tahap mutu dan qualitynya???!!!SAYA CUKUP HAIRAN GARA2 MALAYSIA NI YG APA PM UTARAKAN SEMUANYA BAGUS.....TIADA KOMEN,CUKUP BAGUS......yg pasti 1Malaysia tunjukkan lambangnya...bazir tak bazir itu belakang kira...menteri2 semua pun cakap 'YA'yesman for all the ministers....!!!Siapa lawan PM,dia akan kena!!!
    APAKAH PEMIKIRAN SEBEGINI MASIH WUJUD DI ZAMAN SEKARANG???APAKAH MENTERI2 TIADA PENDIRIAN MASING2???
    APAKAH KLINIK DESA DAN HOSPITAL SEMUA TAK BOLEH PAKAI LAGI???

    SLOGAN TETAP ADALAH SLOGAN,FINANCIAL CONTROL PERLU DIUTAMAKAN.

    Sekian

    ReplyDelete
  15. Saudara Ricky,

    Klinik 1Malaysia ni ada bagusnya. Ia membolehkan orang ramai mendapat bekalan ubat asas seperti demam, sakit kepala dll dengan cepat dan pada harga kos yang rendah. Ia sebagai tampungan klinik sedia ada. Bagi sakit yang serius dan memerlukan rawatan doktor maka perlulah orang ramai ke klinik biasa.

    ReplyDelete
  16. salam....

    duit rakyat diguna untuk klinik 1malaysiapun
    dianggap membazir duit rakyat? otak beku betul!

    kenapa tak tak kata peruntukan duit untuk
    pendidikan membazir juga?

    atau duit rakyat untuk bayar penjawat kerajaanpun satu pembaziran?

    atau duit rakyat yg keluar untuk apa sekalipun tak dianggap pembaziran juga?

    kalau membazir simpan je lah kat pembendaraan
    sampai kiamat!

    ReplyDelete
  17. Saya tidak bersetuju dengan pandangan Dr ini. Sejak kerajaan menerima tekanan yang amat hebat dari pihak-pihak tertentu agar segala bentuk bantuan terhadap orang Melayu dihapuskan atau dikurangkan, saya rasa inilah langkah pertama kerajaan yang membanggakan dan melegakan perasaan saya. Masih ada juga perasaan simpati kerajaan terhadap orang Melayu. Saya berkata begitu kerana majoriti yang menuntut di 20 sekolah merupakan orang Melayu. Memang sekolah-sekolah tersebut memegang tradisi pencapaian yang membanggakan. Hanya itu sajalah cara yang kerajaan boleh lakukan untuk "menyelamatkan" sekolah-sekolah tradisi yang amat saya banggakan itu. Jangan lupa bahawa ramai budak kampung yang menghadiri sekolah-tersebut. Jadi janganlah pula sampai ada yang mengatakan bahawa pendidikan orang kampung akan terabai. Saya mengucapkan tahniah kepada TPM. Setelah sekian lama menanti khabar gembira untuk Melayu, akhirnya kedengaranlah satu. Saya berasa gembira dan sebak kerana ada juga usaha pihak kerajaan untuk menyelamatkan sekolah-sekolah tersebut. Syabas Tan Sri Muhyiddin Yassin. I love you. I'm proud of you.

    ReplyDelete
  18. Salam Dato MKT
    1malaysia bagi merangka polisi brdasarkan seluruh malaysia tidak mengambil kira luar bandar atau dibandar, tidak mengira bangsa atau
    ugama kepentinganya adalah utk semua, keburukan atau kebaikan kita terima bersama

    ReplyDelete
  19. Dr. Khir,

    Dalam politik Malaysia, percaturan yang penting adalah majoriti. Majoriti membolehkan pindaan undang-undang. Majoriti membolehkan bajet diluluskan.

    Bercakap tentang majoriti, adakah majoriti rakyat menerima manfaat dari SBT ini?

    Buat masa ini, saya tidak fikir BN adalah kerajaan yang cekap dalam mendengar denyut nadi rakyat.

    ReplyDelete
  20. hari ini (4/2), dlm akhbar, seorang menteri muda s'wak mahukan sekolah SBT dipilih di negeri tersebut. Atas alasan, ada sekolah SBT, maka lebih byk bantuan akan diperolehi...Tak lama lagi negeri-negeri lain pun akan meminta sekolah SBT. Lagi bertambah celaru...bila ada permintaan SBT sekolah kebangsaan, sekolah Tamil, sekolah Cina...Jadi utk memenuhi kepentingan politik, semangat 1Malaysia, maka tuntutan ini akan dipenuhi...Akhirnya Kementerian Pelajaran akan menjadi lawak 1 Malaysia...

    Memang benar kata Dr, sepatutnya bantuan bermula dari bawah (pendalaman), baru la dijolok ke atas (bandar). Kalau di atas dapat dahulu, jika gagal, yg bawah takkan merasa langsung...

    ReplyDelete
  21. Salam DS,
    Adakah klinik desa ataupun Hospital tak fungsi langsung ataupun memang tiada ruang untuk improve lagi sehingga kerajaan perlu membayar kos lebih kepada klinik 1malaysia???
    Ya,sememangnya klinik 1malysia mendapat sambutan diluar jangkaan,tapi DS perlu ingat kenapa majoriti rakyat memilih klinik biasa untuk mendapat rawatan???Cepat,senang dan kebanyakkan masa tidak perlu menunggu lama.....Kerajaan boleh jamin yg klinik 1malaysia ni tidak akan sesak dgn org ramai???lama-kelamaan ia akan di tinggalkan sebegini kerana ramai akan merungut dgn keadaan sesak...!
    Saya cadangkan supaya klinik2 desa ataupun hospital yg merawat pesakit biasa ditukar nama kepada klinik 1malaysia....tingkatkan service dan efficiency.....habis citer!!!Kerajaan dapat apa yg so called Klinik 1MALAYSIA,rakyat pun happy dgn service yg telah ditnigkatkan!!!
    Kepada DS.....Penubuhan klinik 1malaysia mencerminkan kelemahan klinik desa & hospital yg sediada...adakah ini pihak pengurusan selama ini memang tak kisah???APAKAH TANGGAPAN RAKYAT TERHADAP KLINIK DESA & HOSPITAL,ADAKAH Kementerian kesihatn buat tinjauan untuk mendapat komen mereka???

    ReplyDelete
  22. TPM, sekiranya TPM membaca komen-komen di sini, janganlah peduli dengan perkataan-perkataan tidak baik yang mereka kata, seperti "dungu", "tersalah mendapat nasihat", whatsoever. TPM telah melakukan apa yang terbaik untuk orang Melayu setelah asyik melayan kerenah pihak-pihak tertentu sahaja sejak akhir-akhir ini. Kerenah itu jika dilayan tidak akan berkesudahan. Kuatkan semangat dan jangan mudah merasa gentar dengan ugutan.

    ReplyDelete
  23. salam..

    sy merupakan seorg guru dr semnnjg y bkhidmt di srwk.sy bstuju dgn pndpt Dr.utk memastikan pendidikn di Msia lebih cemerlg,bermula lah dr bwh.tp yg berada di ats ttp menjadi slh 1 keutamaan kita.

    memberikan bajet yg sgt byk kpd SBT dan memotong peruntukan2 lain utk skolah2 harian biasa pd ms yg sama,bnde ni xharus berlaku.di skola sy sndri byk y tidak lengkap.ade kls yg msh tiada bekalan elktrik,ketiadaan mkmal sains,dan bermacam2 lg amat menyukarkan guru2 utk mengajar dgn selesa.kabajikan guru2 di sbh n srwk juga tdk di jga.mendiami rumah yg kurg serba serbi,ttp elaun rumah tetap dipotong.kuaters guru di smnjg,dan kuaters guru di kwsn luar bndr n pdlmn srwk bagai langit dan bumi bezanya.

    diharap,pihak atsan sblum membuat keputusan rujukla dlu pd yg lebih memahami kehendak rakyat.

    ReplyDelete
  24. Salam DS...
    Dasar pemerintahan BN memang semakin pelik dan mengelirukan. Anak pendokong parti kebanyakannya di kampung-kampung ibarat dapat makan tulang ikan,sementara anak orang yang tak sokong BN yang dapat makan daging ikan. Tahniah! Sokong BN lagi...

    ReplyDelete
  25. dulu sekolah kluster...sekrang sbt..agenda...kebanyakan skolah same je yang dapat..budak2 kampung terus ketinggalan..

    ReplyDelete
  26. walau apa pun dasar yg kerajaan yg ingin laksanakan terutamanya terhadap sistem pendidikian negara, saya mengambil sikap bersetuju dan menyokong sepenuhnya..

    namun disamping bersetuju, ada juga penambaikkan yg perlu dilakukan oleh kerajaan terhadap mana-mana sekolah terutamanya yg berada diluar bandar.

    murid2 luar bandar tidak terdedah kepada budaya ilmu seperti yg melanda pusat bandaar. malahan ada lagi dikalangan mereka takut untuk memetik kekunci komputer!!!!

    kenyataan Dato' Seri ada benarnya..sekolah luar bandar amat memerlukan perhatian drp pihak kerajaan agar jurang pencapaian pelajarnya sama dengan sekolah di bandar.

    perkara ini bukan sahaja berlaku di sabah & sarawak..tetapi ianya masih tetap terjadi di neger-negeri semenanjung..

    saya yg bersekolah kampung sememangnya amatg mengerti akan hal ini...susah senang usaha untuk menuntut ilmu amat lah perit sakali..

    ReplyDelete
  27. Kepada cikgu Arien Azreen;
    Saya cadangkan menulislah dengan menggunakan ejaan secara penuh dan bukannya dengan ejaan SMS. Tunjukkan lah contoh yang baik. Amat malanglah kalau guru-guru juga terikut-ikut dengan cara penulisan SMS.

    DSKT; saya amat setuju dengan pendapat DS kali ini. Bagi saya TPM telah melakukan 3 kesilapan setakat ini. 1) PPSMI, 2)SBT, 3) komen nya 'UMNO lebih penting berbanding Kelantan' mengenai isu royalti petroleum. 3 kesilapan tersebut telah cukup untuk saya tidak mengundi UMNO dalam PRU13 akan datang.

    ReplyDelete
  28. Assalamualaikum DS,

    Pendapat saya mengenai kemelut masalah kewangan yang dihadapi oleh sekolah berasrama sekarang ini. Selama berpuluh-puluh tahun tidak pernah kedengaran sekolah kita menghadapi masalah kewangan sehinggalah BN hampir kalah dalam pilihan raya baru2 ini. Kita dapat hidup dan belajar dengan tenang dan aman di asrama, tidak perlu selalu berulang-alik dari asrama ke rumah, jadi prestasi pelajaran juga amat baik sekali.

    Puak-puak yang melihat keadaan kerajaan UMNO yg desperate mencari sokongan mengambil kesempatan ini untuk kepentingan pihak mereka sahaja. Satu demi satu dasar kerajaan yang digubal oleh pemimpin-pemimpin terdahulu untuk membantu orang Melayu tumbang. Puak-puak ini memilih satu dasar, mengatakannya tidak adil untuk kaum mereka, mereka menyalak-nyalak di akhbar The Star dan di internet. Kerajaan tunduk pada kehendak mereka, mereka senyap sekejap. Tidak berpuas hati dengan kejayaan itu, mereka memilih lagi satu dasar, menyalak-nyalak lagi, kerajaan tunduk, mereka senyap seketika. Lagi dan lagi. Itulah trend yang saya perhatikan sehingga sekarang saya sudah tidak membaca lagi The Star kerana ia amat menyakitkan hati saya.

    Apa yang saya nampak sekarang bantuan kepada SJK amatlah banyak sekali. Adakah ini punca kerajaan memotong bantuan kepada SK? Sekolah aliran kebangsaan dianak tirikan berbanding sekolah yang hanya di”enjoy” oleh beberapa kerat golongan. Seolah-olah negara ini diperintah oleh mereka yang kuat menyalak. Orang Melayu, walau bagaimanapun “hukuman” yang mereka terima mereka akan hanya berdiam diri. Tidak pandai untuk menyalak. Keputusan SPM akan keluar tidak lama lagi. Jika pembahagian biasiswa JPA tidak banyak memihak kepada mereka, percayalah mereka akan menyalak lagi. Seolah-olah mereka sajalah yang cemerlang di bumi Malaysia ini.

    Saya percaya 20 sekolah ini dipilih supaya mereka tidak mendapat kesan akibat dari ketamakan golongan ini yang kononnya memperjuangkan kesamarataan. Mereka tahu sebenarnya “kesamarataan” yang dilaung-laungkan oleh mereka sebenarnya hanya akan memberikan advantage kepada mereka. Saya bukan lahir semalam untuk menelan bulat2 alasan-alasan yang diberi mereka. Pada suatu ketika saya merasakan bahawa Menteri pelajaran sebenarnya adalah WKS dan bukan MY. Saya berdoa agar TPM MY akan mendengar kelohan dan kesengsaraan penghuni asrama yang asyik berulang-alik ke rumah. Sudah tentu pembelajaran mereka akan terjejas. Pulihkanlah keadaan asrama seperti masa lalu. Pulihkan kembali ketenteraman dan keamanan belajar di asrama supaya kecemerlangan dapat diteruskan.

    ReplyDelete
  29. Sekali lagi saya amat terkilan dengan hujah Dato Seri dalam hal ini kerana kita tidak boleh menafikan peluang pembelajaran yang lebih bermutu dan cemerlang kepada mereka yang terpilih. Memang saya setuju banyak lagi sekolah sekolah di merata negara yang masih daif dan tidak menepati keperluan asas; tetapi salah siapa? Bukan salah sekolah sekolah SBT yang menyebabkan ketandusan dan betapa ketinggalannya sekolah sekolah luar bandar mahupun sekolah sekolah di Sabah dan Serawak! Salah siapa?Selepas 52 tahun negara merdeka masih hendak Dato Seri mengangap pertubuhan SBT tidak wajib dan tidak tepat pada masanya? Habis bila? Tunggu lagi 50 tahun?? Sungguh cetek permikiran Dato..Lihat jiran kita Singapura...tapi kita malu hendak berbanding dengan mereka di segi pembelajaran. Kalau usaha murni kerajaan pusat ini tidak disokong, malang sungguhlah anak-anak kita semua...

    ReplyDelete
  30. Walau apa pun memang mustahil untuk memenuhi kehendak semua orang. SBT perlu tapi sekolah-sekolah yang lain juga tidak boleh diketepikan! Visi 1Malaysia - Rakyat didahulukan, Pencapaian DiUtamakan - memang bagus tapi mengapa bajet dikurangkan, sehinggakan lebih 30% tapi PERMATA mendapat RM200,000,000 seperti telah dinyatakan oleh YAB PM. Adakah perlu PERMATA dalam saat-saat negara sedang mengalami krisis defisit? Berapa orang pelajar yang mendapat nikmat dari PERMATA jika dibandingkan dengan mereka yang lebih memerlukan. RM200juta satu jumlah yang besar! Tapi hanya 'diperuntukkan' untuk kepentingan beberapa kerat saja! Jumlah yang sebesar ini mampu menggantikan banyak bangunan sekolah yang dah uzur dan bobrok, daif lebih teruk dari kandang kambing. Kalau tak percaya pergilah lawati sekolah-sekolah di pendalaman Sabah dan Sarawak sana. Adakah anak-anak pendalaman tidak berhak menikmati keselesaan dibandingan dengan PERMATA dan apa yang dinikmati di Semenanjung? Jika isu 'kos pembinaan yang tinggi' di pendalaman dijadikan alasan nampaknya visi 1Malaysia hanya indah kabar dari rupa, lebih baik ditukar pada 'kata-kata keramat yang lain. Itu belum lagi perihal anak-anak pra-sekolah yang cuma makan biskut kering setiap pagi! Sedangkan YAB TPM dan Timbalan Menteri Pelajaran sering menjaja itu dan ini yang kementerian Pelajaran amat mengambil berat kekurangan di pendalaman, tapi dilihat tidak adapun pelan tindakan segera untuk golongan ini. Sayang seribu kali sayang, pengundi setia BN kerap di'gula-gula'kan. Perlu diingat bahawa kesabaran pengundi ada hadnya. Jangan sampai bila 'nasi dah jadi bubur' baru nak bertindak. Ini bukan ugutan tapi anggaplah ia satu nasihat jika masih sayangkan BN. Pemimpin-pemimpin BN perlu kembali kepada realiti abad 21. PRK Sibu akan tiba dan PRU13 hapir di ambang pintu. Pengundi-pengundi di pendalaman semakin celik mata dan minda mereka...Jangan terlalu percaya lapuran PPD kerana ramai antara mereka tak pernah sampai pun ke sekolah-sekolah perndalaman yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Menteri atau Timbalan Menteri sendiri buat 'spot-check' lawati sendiri...Jangan naik Helikopter tapi seselaki cuba naik feri dan perahu panjang...alami sendiri kesusahan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh guru-guru dan murid-murid...baru boleh mengaku 'Pemimpin Berjiwa Rakyat'. Tentang elaun pendalaman P1, P2, dan P3 tu bukan besar sangat sehingga boleh jadikan guru-guru di pendalaman kaya! Kerana dengan duit itulah mereka menampung kos pengangkutan, harga barang yang tinggi dan mereka juga terpaksa alat-alat keperluan pengajar yang harganya tak semurah seperti di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang. Akhirkata supaya utamakan rakyat marhaen,mereka juga pembayar cukai kepada kerajaan malahan dalam banyak hal mereka juga terpaksa menanggung kos kepada kemudahan yang tak pernah mereka nikmati. Teri kasih.

    ReplyDelete
  31. Saya setuju dgn huraian Dato di atas. Ketidak adilan berlaku. Pada penduduk luar bandar.ketidak samaan peluang pembelajaran akan menjadi sgt ketara. Saya seakan takut melihat 'rat race' di kalangan ibu bapa. Antara sebab saya menghantar anak saya ke sekolah swasta yg menggunakan kbsr . Penat melihat ibu bapa mengguna segala kabel yg ada. Penduduk patut mendapat hak yg sama lebih2 lagi d luar bandar. Tk.

    ReplyDelete