Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Tuesday, March 2, 2010

MPM atau Suqiu dan Hindraf Yang Lebih Cauvinis?

1. Penubuhan Majlis Perundingan Melayu (MPM)yang mengandungi 76 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu tidak harus dilihat sebagai satu langkah perkauman melampau seperti mana yang cuba digambarkan oleh kumpulan tertentu.

2. Ramai orang Melayu mungkin tidak sedar kewujudan ribuan NGO kaum Cina, yang sama ada secara berselindung atau tidak bertujuan menjadi kumpulan pendesak kepada kepentingan kaum Cina sama ada dalam bidang kebudayaan, pendidikan mahu pun ekonomi.

3. Dalam bidang pendidikan misalnya terdapat dua pertubuhan kaum Cina yang khusus ingin menjaga kepentingan pendidikan Cina iaitu Gabungan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) dan Gabungan Persatuan-persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zhong). Mereka kerap kali membuat kenyataan bersama sehingga dikenali sebagai Dong Jiao Zhong. Semua orang tahu aksi dan reaksi mereka jika ada Sekolah Jenis Cina ditutup atau digabungkan dalam Sekolah Wawasan suatu ketika dahulu.

4. Ketika orang Melayu masih terikat dengan dogma kepartian Pas - UMNO - Anwar Ibrahim, dan menghadapi perpecahan atas sebab peribadi seorang pemimpin, kaum Cina pula secara senyap bersatu melalui pertubuhan bukan kerajaan untuk mengemukakan pelbagai tuntutan menjelang pilihan raya Umum 1999.

5. Hasilnya muncul Suqiu pada 1999 yang mengumpulkan 2095 persatuan dan pertubuhan Cina di Malaysia dan membuat satu tuntutan yang dinamakan "Rayuan Pilihanraya". Mereka mengemukakan 83 tuntutan di bawah 17 Perkara Rayuan. Rayuan ini disifatkan oleh ramai pihak, termasuk Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu, sebagai satu tuntutan melampau dan bersifat terlalu kecinaan.

MPM: Kuasa Ketiga Melayu?

6. Sepuluh tahun selepas kontroversi Suqiu, orang Melayu dan Islam melihat bahawa gerakan politik Pas, PKR dan UMNO sudah gagal sama sekali menjaga kepentingan mereka.

7. Majoriti orang Melayu yang masih berpegang kepada akar agama Islam, budaya dan bahasa Melayu melihat sedikit demi sedikit hak-hak mereka dalam Perlembagaan dan kontrak kemerdekaan sedang dicabar dan dihakiskan atas nama kesamarataan, keadilan, ketelusan, meritokrasi dan persaingan globalisasi.

8. Lebih mengecewakan mereka pula pemimpin Melayu dari semua parti sibuk bercakap mantera-mantera kapitalis seperti kesamarataan, keadilan, ketelusan, meritokrasi dan persaingan globalisasi. Hari ini pemimpin Melayu dalam semua parti politik "mengambil mudah" (take for granted) kedudukan kuasa undi orang Melayu.

9. Mungkin ini kerana orang Melayu telah dicop sebagai taksuban politik. Jika UMNO maka BN lah undinya biar apa pun terjadi. Jika Pas maka Pakatan Rakyatlah undinya biar pun ijtihad tahun - tahun 80 dan 90 -an telah berpusing 180 darjah dalam alaf baru.

10. Selepas taksub kepada parti politik, orang Melayu taksub pula kepada pemimpin. Kalau penyokong Tun mahathir maka mahathirlah beliau sampai mati. Salah benar bukan isu. Sokongan mesti mutlak. Demikian juga jika ia penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, biar terbakar kelambu, asal nyamuk mati puas hatinya. Jika ia penyokong Datuk Nik Aziz Nik Mat, maka hidup matinya bersama Nik Aziz biar pun adakalanya hujahan beliau kontras antara satu sama lain.

11. Maka ketaksuban-ketaksuban kepada parti politik dan pemimpin politik inilah yang menentukan undi orang Melayu. Orang Melayu tiada kumpulan pendesak dan penggerak yang boleh membentuk pola dan mobiliti arus pengundian orang Melayu bersandarkan kepentingan agama dan bangsa.

12. Orang Melayu tiada Suqiu seperti mana orang Cina yang berupaya menggerakan sokongan pengundi Cina kepada BN pada 1999 dan 2004 serta kepada Pakatan Rakyat pada 2008.

13. Demikian juga kaum India mewujudkan Hindraf sebagai kuasa pendesak kaum India yang berjaya menggembleng sokongan kaum India kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu. Hasilnya kaum India dan Cina diangkat dan didewakan oleh Pakatan Rakyat kerana menyedari kepentingan undi mereka yang berubah mengikut kepentingan kaum mereka.

14. Sementara orang Melayu tidak dipedulikan kerana sebahagian besarnya sudah menjadi taksuban parti Pas, UMNO dan PKRM serta juga menjadi taksuban Nik Aziz, Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad.

15. Ini semua kerana ketiadaan NGO Melayu yang perkasa sebagai kuasa pendesak ketiga (the third force)seperti kaum Cina dan India.

MPM atau Suqiu dan Hindraf Yang Cauvinis?

16. Justeru jika tiada kaum cina dan India yang mengecam dan menuduh Suqiu dan Hindraf sebagai perkauman sempit dan jahat mengapa pula Majlis Perundingan Melayu (MPM) harus dilihat dari sudut yang negatif?

17. MPM hanya bertujuan menjaga kepentingan Bumiputera, Melayu dan Islam seperti mana yang diperuntukan dalam Perlembagaan.

18. Ini sangat bertentangan dengan Suqiu dan Hindraf yang menuntut beberapa perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan untuk kepentingan akum Cina dan India?

19. Jadi siapa yang lebih bersifat perkauman dan cauvinis MPM atau Suqiu dan Hindraf?

20. Saya fikir penubuhan MPM ini memberi makna besar kepada orang Islam dan Melayu keseluruhannya di negara ini. Sudah tiba masanya kita berhenti bersikap menang sorak kampung tergadai.

21. Kita gah menjadi Perdana Menteri, kita gah menjadi Menteri Besar, kita gah Menjadi Ketua Pembangkang, kita gah menjadi Ulama besar, kita gah menjadi Menteri tapi hakikatnya, nasib dan masa depan agama dan bangsa kian kabur dan gelap kerana semuanya dilihat mahu menarik undi bukan Melayu.

22. Orang Melayu tidak menafikan hak dan kepentingan kaum lain di negara ini. Orang Melayu juga tidak menafikan tanggungjawab kerajaan memberi bantuan dan sokongan kepada golongan miskin tanpa mengira kaum mahu pun agama.

23. Apa yang orang Melayu dan juga seluruh bumiputera lihat ialah usaha membantu itu dengan mengorbankan apa yang hak kepada mereka.

Majlis Permuafakatan Bumiputera?

24. Saya juga ingin mencadangkan agar MPM ini dapat pula mengadakan kerjasama dengan NGO-NGO Bumiputera lain tanpa mengira batas agama membentuk Majlis Permuafakatan Bumiputera.

25. Dengan ini selain menjaga kepentingan Melayu dan agama Islam melalui MPM, MPB pula boleh menjaga kepentingan semua kaum yang diiktiraf sebagai bumiputera di negara ini.

26. Ini penting kerana kadang kala apabila kita bercakap hak Melayu, ada kaum bumiputera di sabah dan Sarawak tidak faham bahawa perjuangan tersebut membabitkan hak mereka juga. Ada yang salah faham melihat itu bukan isu mereka sedangkan perjuangan mempertahankan hak pendidikan, biasiswa dan perkongsian ekonomi orang Melayu sebenarnya turut merangkumi kaum pribumi lain.

33 comments:

  1. Kalau MPM perkauman pun apa salahnya? saya rasa kita perlu berhenti dari terus bersikap apologetik. saya setuju dgn pendapat Zulkifli Noordin. dan sangat setuju juga dengan pendapat Allahyarham dato'Mohd Rahmat "Orang melayu ada pisau, tapi hulu bagi pada orang, kita pegang mata...."

    ReplyDelete
  2. minda tajdid adalah penting untuk umat melayu, agar mereka lebih kenal mana tongkoi kayu dan mana ubi kayu...

    ReplyDelete
  3. Salam Dato seri,

    sekarang ni orang melayu tersepit diantara perjuangan-perjuangan orang melayu yang tak berapa sedar dia melayu sendiri.

    Bila orang melayu memperjuangkan melayu, ada orang tuduh melayu rasis. Tapi bila kaum lain keluar kenyataan melayu rasis, bukankah itu juga berkait rapat dengan rasis?

    Sekarang ni cuma NGO Melayu saja yang berani bersuara untuk membela melayu. Kalau ada pihak dari UMNO bersuara, habis la kena hentam nanti. Soo macam mana? cakap salah, tak cakap pun salah!

    KedahKeKL.blogspot.com

    ReplyDelete
  4. Ini sangat bertentangan dengan Suqiu dan Hindraf yang menuntut beberapa perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan untuk kepentingan akum Cina dan India?

    Tolong jelas berasaskan fakta apa yang mereka tuntut yang bertentangan perlembagaan. Kalau tak boleh, tolong diam.

    ReplyDelete
  5. Tidak menjadi masalah kiranya melayu perkauman sekalipun kerana melayu mempertahankan islam agama rasmi dan hak bumiputera berdasarkan perlembagaan.Kalau bukan melayu yang mempertahankan islam bangsa apa lagi yang hendak berbuat demikian. Cina atau India berpolitik berdasarkan pemikiran perkauman mereka dalam cina ada Budha dan Kristian dalam India juga ada Hindu dan Kristian mereka berjuang semata-mata atas dasar perkauman mereka. Melayu berjuang atas dasar agama Islam tetapi kerana islam itu majoritinya melayu maka adilkah ia dikatakan perkauman.

    ReplyDelete
  6. Salam Doc,
    MPM ini akan gagal kerana digerakkan oleh orang-orang yang tidak mempunyai personaliti yang mengkagumkan...bahkan ada personaliti yang hampeh la mudah kata..

    Saya rasa orang2 di sebalik gerakan mansuhkan PPSMI dahulu adalah lebih dipercayai dan berkaliber..

    ReplyDelete
  7. hindraf, suqiu dan MPM tu termasuk perkauman laaa, sbb hanya ada 1 bangsa ja yg jadik ahli..

    ReplyDelete
  8. Bila orang melayu ke orang india ke orang china ke nak bukak dia punya sendiri punya NGO peduli dia la tapi jangan sampai keharmonian negara digugat atas nama keturunan (race) - semua orang ada hak dia untuk hidup di tanah yang telah disediakan oleh tuhan untuk rakyat jelata bukan seseorang kaum sahaja.

    Bila hak dirampas kita suarakan ketidak puasan kita bukanya mencabar dan mengkritik kaum lain - tolong jangan jadi bodoh. Jangan nak asyik bandingkan dengan kaum lain aje cuba perbaiki diri sendiri.

    Khir saya rasa awak tak layak langsung untuk mempertengahkan isu isu seperti ini orang yang korup to the core macam awak ni patut ada dalam penjara bukan menulis!!!1

    ReplyDelete
  9. "Lebih mengecewakan mereka pula pemimpin Melayu dari semua parti sibuk bercakap mantera-mantera kapitalis seperti kesamarataan, keadilan, ketelusan, meritokrasi dan persaingan globalisasi."

    Sesungguhnya sistem ekonomi negara kita adalah kapitalisme walaupun sebelum merdeka lagi. Perbendaharaan kata bagi sistem kapitalisme juga ditambah mengikut peredaran zaman. Jadi tidak hairanlah kalau para pemimpin Melayu turut membaca mantera-mantera kapitalis terkini.

    "Hari ini pemimpin Melayu dalam semua parti politik "mengambil mudah" (take for granted) kedudukan kuasa undi orang Melayu."

    Dalam hal ini saya kurang bersetuju kerana kedudukan kuasa undi orang Melayu sudah dikurangkan pada tahun 2003 melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya yang menyebabkan orang bukan Melayu berperanan sebagai pengundi penentu. Masyarakat minoriti India pun sudah jadi pengundi penentu di 65 hingga 70 kawasan pilihanraya, jadi entah berapa banyak kawasan pilihanraya di mana masyarakat Cina sudah menjadi pengundi penentu.

    "Jadi siapa yang lebih bersifat perkauman dan cauvinis MPM atau Suqiu dan Hindraf?"

    Persoalan pokok yang lebih penting ialah adakah nasib kaum yang diperjuangkan benar-benar terbela. Kita mungkin akan mentertawakan Hindraf yang pemimpin tertingginya pun bertelagah sesama sendiri, tetapi usah kita lupa bahawa beberapa NGO Melayu sendiri bertindak menyokong ISA yang sedang menahan orang-orang Melayu. Tidak perlulah membincangkan tentang orang Melayu Terengganu yang mendapat wang ehsan dalam bentuk masjid indah tapi tanpa permastautin cukup untuk mendirikan solat Jumaat, adakah orang Melayu Terengganu benar-benar mendapat faedah dan nikmat pembangunan hasil dari 5% wang royalti minyak dari tahun 1975 sehingga 1999?

    "Saya juga ingin mencadangkan agar MPM ini dapat pula mengadakan kerjasama dengan NGO-NGO Bumiputera lain tanpa mengira batas agama membentuk Majlis Permuafakatan Bumiputera."

    Cadangan ini wajar diterima secara positif dan bukan sekadar untuk mengelak tuduhan bahawa Majlis Permuafakatan Melayu menentang aspirasi 1Malaysia. Kita harus lihat bukannya perbezaan tetapi persamaan bukan sekadar antara orang Melayu Islam dan bumiputera bukan Islam yang beragama Kristian tetapi mengamalkan tradisi Ibrani seperti tidak memakan daging babi, tetapi juga bumiputera bukan Melayu tetapi beragama Islam dan turut meraikan Hari Gawai sebagai sambutan bangsa mereka (sebab kita mungkin terlupa yang tidak semua orang Islam di negara kita mengamalkan budaya Melayu).

    ReplyDelete
  10. saudara bodoh,

    Mengapa saya katakan Hindraf perkauman, sila baca http://rockybru.com.my/2007/11/why-i-didnt-walk-yesterday.html

    ReplyDelete
  11. Saudara NKP777,

    Kesukaan org seperti saudara membuat tuduhan tanpa buktilah yang menyebabkan keadaan politik negara ini penuh dengan sifat bermusuhan dan kebencian.

    ReplyDelete
  12. Kaum bukan Melayu beria-ia mahu sebarang bentuk kuota yang diperuntukkan kepada kaum bumiputera dihapuskan. Tidak adil kononnya. Tetapi pada masa yang sama mereka meminta diberi kuota kepada mereka menjawat jawatan awam, memasuki MTD. Sungguh terserlah sikap cauvinis dan mementingkan diri sendiri mereka. Dan yang lebih malang PM dengan senang hati mengikut setiap permintaan mereka. Saya berasa amat kesal dengan sikap PM. Saya tidak nampak satu dasar pun yang dibuat untuk kesejahteraan kaum bumiputera. Yang terus menerus dibuat beliau adalah menghapuskan segala macam dasar yang telah dibangunkan secara teliti oleh pemimpin terdahulu. Dengan sewenang-wenangnya beliau merobohkan kesemua dasar tersebut. PM harus ingat bahawa kaum bumiputeralah yang telah memberi kemenangan kepada BN dalam pilihanraya dahulu. Inikah balasan yang diberi?

    ReplyDelete
  13. setuju dgn Abg. kalau MPM boleh menarik keahlian atau sokongan dari penggerak PPSMI, mungkin ramai yang memberi kepercayaan kepada MPM untuk menerajui kepentingan dan bicara orang Melayu.

    ReplyDelete
  14. DSK, dah lama orang melayu merasa terpinggir dalam arus pembinaan negara, walaupun dikala umno dilihat amat gagah. Hari ini, umno semakin kurang semangat membela melayu kerana beberapa faktor selepas tsunami politik era Pak Lah. Jika DSN Najib terus dilihat tidak mengutamakan melayu melalui dasar MEB beliau maka apa lagi pilihan yang ada buat orang melayu. Kepada pemimpin MPM, ayuh daftarkan sahaja MPM sebagai parti politik agar orang melayu akan ada tempat untuk bertaut dan bergantung harap.

    ReplyDelete
  15. Mereka yang membangkang dan menghentam bila kita bercakap atas kepentingan orang melayu ibarat manusia lupa daratan. Kononnya atas kesamarataan serta dunia moden mereka lupa susur galur keturunan. Sedarlah anda semua, cina dan india tetap berbangga dengan keturunan mereka dan akan mereka pertahankan kepentingan kaum mereka.
    Hanya melayu yang merasa dirinya hebat sahaja malu mengaku dan mempertahankan identiti melayu.

    ReplyDelete
  16. salam DSK...

    Saya setuju dgn apa yg DSK dan Kulaan Niring sampaikan. Sekarang ni saya rasa org melayu sakarang patutnya perlu bersatu tanpa mengira perbezaan idea atau politik ni.Sehinggakan melibatkan rukun agama dan majlis2 keramaian. Kan pelik satu surau/masjid sampai 2 imam(ia benar2 pernah berlaku!!). 1 imam dari parti pembangkang dan 1 lg dari kerajaan pemeerintah. Pelik tu!!!!

    Dimanakan sikap profesionalisma kita????Dgn adanya pertubuhan ngo ni dapatlah kita mempertahankan negara yg kita cintai....bak kata pepatah...."BERSATU KITA TEGUH...BERCERAI KITA ROBOH...."Ini bukanlah menyokong perkauman tetapi adakalanya di dalam sesuatu hal kita perlu bersikap perkauman supaya bangsa2 lain tidak mudah memijak-mijak dan menangguk dari air yg keruh!!!!!!

    Andai kata kata2 saya mengguris hati mana2 pihak, saya memohon ampun dan maaf dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.....

    ReplyDelete
  17. Amat bersetuju dgn saudara Rakyat...Tak guna ada MPM kalau masih ada pemimpin tertinggi melayu (PM/TPM/MB) yg masih meminggirkan bangsa di Tanah Air sendiri! Adakah 1 undi mereka bersamaan dgn 2 undi bangsa melayu. Ditatang bagai minyak yg penuh...Siapa lagi yg boleh org melayu harapkan? AI/TGNA/KI/Ust. Azizan??? LGE kut? Jadi BERUBAH lah...PRU13 makin hampir...

    ReplyDelete
  18. Salam DSKT,
    Dalam isu ini semuanya adalah perkauman, di mana semua pertubuhan hendak menjaga kepentingan kaum masing2. Tak mungkin pertubuhan Cina hendak jaga hak Melayu dan begitulah sebaliknya yang diharapkan. Yang penting di sini ialah PM kita iaitu DSN kena "pintar" untuk memenuhi segala kehendak pertubuhan2 yang tertentu. Boleh sahaja dipenuhi tetapi dengan SYARAT jangan korbankan hak kaum lain.Mana yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, jangan dilayan samasekali jika ada yang hendakkannya. Kita tidak mahu pada satu masa kita menuduh org lain untuk dapatkan undi bukan Melayu dengan cara mereka sendiri, TETAPI sedar atau tidak kerajaan DSN juga berbuat benda yang sama. Banyak contoh yang boelh diketengahkan dalam hal ini. Ingatlah jangan kerana 1 slogan yang kita rasakan "baik" itu, segala-galanya kena kita penuhi. Semoga DSKT terus sejahtera untuk memanjangkan komen2 disini kepada DSN. Wassalam.

    ReplyDelete
  19. betul tu dato sri. masalah yang kita hadapi adalah kekeliruan bagi masyarakat sabah dan sarawak berkaitan isu bumiputera. mereka kurang jelas dengan apa yang dimaksudkan dengan hak melayu (padahalnya, melibatkan mereka juga). mungkin kita perlu memberi mereka kesedaran. agar mereka tahu yang kita juga 'bercakap' pasal mereka (kaum bumiputera)dan bukan hanya melayu sahaja.

    ReplyDelete
  20. Assalamualaikum dr

    Setuju,setuju,setuju...selagi kita tidak mencabul hak hak orang lain mengapakah kita mesti takut.Mereka juga telah meminta minta yang bukan hak mereka dari kita,mestikah kita berasa bersalah untuk mempertahankan hak kita.

    Ini adelah untuk kesinambungan generasi kita masa hadapan,jika kita tidak menyediakannya siapa lagi yang boleh diharapkan?.Selagi kita punya kuasa dan mampu melakukannya ayuh teruskan perjuangan..kami tetap menyokong.

    ReplyDelete
  21. Salam Sejahtera DS,

    Setuju sangat dengan artikel ini.

    Saya mengharap kehadiran DS atas jemputan sebuah pertubuhan MELAYU pada hujung bulan ini. Hadir tanda sokongan.

    Saya menanti kehadiran DS

    HIDUP MELAYU!!!!!
    Walau dasarnya kita Orang Jawa

    ReplyDelete
  22. Hari ini ramai melayu lupa nikmat yang Allah beri, mereka lupa untuk berterima kasih. Mereka tidak sedar yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Semuanya yang dinikmati hari ini bukanlah usaha kita semata-mata.

    ReplyDelete
  23. Salam Dr Khir,
    Semua masalah yg wujud seperti yang dinyatakan oleh DS adalah keterbukaan pemimpin kita menerima segala syarat yg ditetapkan oleh British untuk mencapai kemerdekaan seterusnya penubuhan Malaya dan Malaysia.

    Lihat dua jiran kita yang terdekat;
    Thailand - rakyat menggunakan satu nama Thai sahaja tidak kira apa bangsa samada Cina atau Melayu Pattani; Mereka hanya ada sekolah SATU aliran sahaja (aliran thai); TIADA sekolah Tamil, tiada sekolah Cina, tiada sekolah Melayu Pattani.

    Mereka menggunaka SATU BAHASA Rasmi dan SATU Tulisan Thai sahaja....tiada bahasa/tulisan Melayu, tiada bahasa Cina tiada bahasa Tamil.
    Sahabat saya seorang berbangsa Melayu Pattani nama rasminya adalah nama Thai; nama Melayu Islam hanya sekadar dipanggil dirumah atau di kampung sahaja!!

    Lihat Indonesia; SATU Bahasa, SATU Nama, SATU aliran Sekolah; kalau DS ingat pemain badminton terkenal Rudy Hartono adalah berbangsa Cina!!!

    Agaknya kalau Malaysia ditakdirkan dulu melaksanakan SATU aliran seperti itu, maka nama Samy Vellu - Samad?, Ong Tee Kiat - Osman? Koh Soo Koon - Kasim?

    (-:

    ReplyDelete
  24. Salam Dato' Seri,

    Kewujudan sebuah badan pendesak bagi menjaga kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam sememangnya diperlukan.

    Ia akan bertindak sebagai check and balance kepada kerajaan atau pemerintah supaya mengambil kira kepentingan-kepentingan mereka dalam membuat sebarang dasar negara.

    Jika suara-suara ini tidak kedengaran, maka pemerintah atau kerajaan sama ada diperingkat negeri atau persekutuan akan dilalaikan oleh pihak-pihak yang lain yang lebih kuat bersuara.

    MPM yang wujud khususnya di peringkat kepimpinannya hendaklah bebas daripada sebarang pengaruh politik bagi memastikan ia lebih efektif dan mendapat sokongan semua pihak.

    Kumpulan pendesak hak dan kepentingan Melayu/Isalm sebenarnya wujud dalam mana-mana parti politik seperti UMNO dan PAS. Hanya ia tidak boleh disuarakan dengan lantang di luar. Dengan adanya badan NGO seperti ini akan menggabungkan mereka dalam satu kumpulan yang sama dan bebas daripada ikatan kepartian.

    ReplyDelete
  25. Assalamualaikum kepada ds & sahabat blogger semua,


    Bersiap sedia semua orang melayu...kerana dimasa akan datang mana2 pemimpin yg ada didalam umno perlu dilihat sebagai pemimpin kepada semua kaum...bukan hanya dilihat tetapi beliau mesti ikhlas ingin membantu semua rakyat bukanb hanya utamakan melayu/umno

    kepimpinan umno akan datang akan menjadi semakin sukar dan komplek untuk menjadi pemimpin kerana pemimpin umno akan datang perlu memilih samada ingin terus terdesak dengan desakan menjadi juara kaumnya sahaja atau terpaksa menerima hakikat yg pemimpin umno akan datang mesti kelihatan pemimpin kepada semua kaum.

    pada saya jika kepimpinan umno tidak berubah menonjolkan diri sebagai pemimpin kepada semua kaum berkemungkinan besar ia agak menyukarkan pemimpin dalam umno untuk terus kekal relevan dimasa akan datang.

    perubahan ini walaupun ada yg terpinga-pinga tetapi jika bijak mensesuaikan diri sebagai pemimpin yg mesra semua kaum..pemimpin dalam umno akan kekal relevan buat rakyat malaysia..percayalah..kita telah ada contoh TUN MAHATHIR...NAJIB pun nampak ok juga...kita perlu pelapis jadi harapan saya terutamanya kepada ds khir agar melakukan comeback dengan lebih kerap mendekati semua kaum...sayang jika pemimpin melayu yg ada hari ini tidak berubah...tak ramai pun pemimpin melayu seperti TUN mAHATHIR...ULTRA MELAYU tapi kaum cina dan india dan lain2 suka beliau..mana lagi...kita dahagakan pemimpin seperti ini...jadi yg ada sekarang perlu berubah sebelum rebah..!

    kita sudah nampak parti berasaskan kaum ini memang betul untuk 50thun yg lepas tetapi sejak pru12 yg sudah kita perlu mengambil kira signal oleh rakyat iaitu jika UMNO ingin terus berkuasa ia perlu memilih satu antara dua:
    1.umno + pas
    2.BN jadi satu parti sahaja

    kita juga telah melihat kecenderungan pilihan diatas...iaitu BN MENUJU KEPADA SATU PARTI SAHAJA...ini mesti dilakukan walaupun ada orang melayu dalam umno yg tidak bersetuju kerana ini sahaja yg akan membuatkan melayu2 yg mesra kepada umno untuk menonjolkan diri didalam BN.

    oleh sebab itu jugalah kita wajib menyokong penubuhan MPM ini kerana jika ini tidak dilakukan segera..berkemungkinan besar apabila BN melakukan apa yg sedang berlaku kearah satu parti(perlu diingat ini terpaksa dilakukan demi survival BN)....ada ramai melayu akan mengambil sikap tunggu dan lihat dan akan ada menyebabkan pas menjadi parti orang melayu terbesar pula dimasa akan datang(tetapi tetap tidak kan mampu menjadi pemerintah)

    olehkerana jika ini berlaku orang melayu akan menjadi semakin terpinggir....kita memerlukan satu lagi pertubuhan ngo yg bebas tetapi mesra BN...ia akan menjadi pengimbang dan pendesak hal2 berkaitan dengan agama islan dan bangsa melayu kepada kerajaan pemerintah

    jadi molek benarlah jika kita menyokong penubuhan MPM ini.biarlah ia menjadi pertubuhan yg berpengaruh...sertailah MPM ini

    apa pun yg berlaku kita tetap mengutamakan survival orang melayu baik didalam umno..bn..pas..pkr....& ngo/MPM....ini semua kita lakukan agar kekal relevan dan kekal diterima rakyat semua kaum....

    BERSEDIA MENERIMA PERUBAHAN JIKA KITA TIDAK MAHU REBAH TERSUNGKUR DIBUMI SENDIRI...SALAM

    ReplyDelete
  26. Kepada nkp777 :

    1. saya rasa tidak adil menuduh DS DR Khair “korup to the core”.

    2. Walaupun saya sendiri tertanya-tanya tentang isu rumah agam beliau (sebagai rakyat biasa). Namun saya tetap mempertahankan hak DS DR Khair untuk menyuarakan pendapat dan pandangannya.

    3. Cuba saudara baca apa komen Dr. Asri Mantan Mufti Perlis lewat artikel beliau :

    4. Walaupun zina itu salah dan hukum hududnya wajib direjam setelah cukup syarat tetapi perbuatan pegawai agama skodeng penzina adalah salah.

    5. Kalau dalam konteks itu pun diambil kira saya merasakan biarlah pendapat DS DR Khair dinilai berdasarkan factor isu yang cuba beliau bicarakan.

    6. Jika ada baik dan manfaatnya pada akal budi kita ambillah jika bercanggah dengan akal budi kita maka berdebatlah dengan cara yang hikmah.

    7. Salam dan berkat untuk semua.

    ReplyDelete
  27. Salam semua,

    1. Saya merasa amat lah tidak kena apabila MPM ini dan mereka2 yang konon2nya menyokong kepentingan kaum Melayu (seperti Dr. Khir) terus menerus berdiam dan menidakkan hak orang-orang Melayu di Kelantan dari mendapat royalti minyak. Dimanakah Ibrahim Ali ketika Tengku Razaleigh seorang diri berdiri mempertahankan hak2 semua negeri pengeluar minyak didalam Malaysia ini (termasuk Kelantan & Terengganu) untuk mendapat royalti minyak seperti mana yang di peruntukan dalam akta petroleum?

    2. Dimanakah MPM ini bila kerajaan negeri Melaka dengan sewenang2nya dibawah Datuk Seri Muhammad Ali Rustam mengeluarkan arahan untuk membatalkan kontak panel2 guaman Melayu & kontraktor Melayu yang disyaki menyokong pihak pembangkang?

    3. Dimanakah MPM ini dalam memperjuangkan hak2 orang Melayu yang terpinggir di kawasan luar bandar terutamanya dikawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan yang menjadi kubu kuat pihak pembangkang? Saya pernah melihat dengan kepala mata saya sendiri, bagaimana pembangunan jalan tar dan tiang letrik berhenti betul2 di sempadan sebelum memasuki kawasan yang menjadi kubu kuat PAS. Adakah Dato Seri pura2 tidak tahu akan perkara ini?

    4. Dimankah MPM ini bila UMNO dengan ghairahnya memalukan Sultan2 Melayu sewaktu berlakunya krisis perlembagaan dizaman Dr. Mahathir Mohd yang mana ianya telah mengakibatkan kuasa2 imuniti Sultan2 Melayu telah dihapuskan dan kuasa untuk meluluskan (atau tidak) sebarang rang undang2 yang telah diluluskan oleh parlimen. Hasil dari perjuangan UMNO inilah maka kuasa Agong sekarang tidak ubah sebagai rubberstamp kepada parlimen. Tahukah saudara2 sekelian bahawa apa yang telah UMNO lakukan telah menyebabkan bahawa sebarang akta2 yang diluluskan oleh Parlimen, jika tidak diperkenankan oleh Agong sekalipun dalam masa 60 hari, ianya akan tetap diluluskan?

    Jadi saya ingin bertanya kepada pihak Dato Seri dan mereka2 yang melaung2kan kata semangat ingin memperjuangkan nasib kaum Melayu dan Bumiputera ini, adakah mereka sanggup untuk bersama2 dengan PAS & PKR jika diadakan usul di dewan Parlimen untuk mengembalikan semula sebahagian kuasa yang dahulunya telah diperuntukkan kepada Agong kita sebelum pindaan perlembaggan 1993, terutamanya yang melibatkan kuasa Agong untuk meluluskan sebarang akta yang yang telah diluluskan oleh Parlimen?

    Apa pandangan dato seri kita?

    ReplyDelete
  28. Dr Khir,

    Mengapa kita menubuh MPM sekarang? Kenapa tidak 10 tahun dulu. Masa UMNO kuat, kita lupa nasib orang melayu dan lihat apa dah jadi dengan penang. Masa tu kita sibok berdemontrasi sana sini dan tuduh kerjaan negeri tak adil, tindas orang melayu dan macam2 lagi. Dah terlambat...
    Ingat le, orang sekarang pandai menilai buruk dan baik dan tidak senang ditipu. Saya setuju sekira penubuhannya 10 tahun dulu dan bukan sekarang kerana semuanya dilakukan atas agenda politik sempit. Kalau nak berjuang dan membela nasib orang melayu masukle UMNO

    ReplyDelete
  29. Salam buat semua...

    Kesian kan org Melayu la nie... Buat apa pun semua kata 'racist'.. Bila org lain yang buat ada kita kisah sangat.. Mana nak kisah kan sebab nya sesama sendiri pun dah tak mahu ambil kisah..

    Memang rasanya dari saya lahir dan boleh faham apa yang didengar dan diceritakan oleh masyarakat sekeliling, bangsa Melayu nie memang suka meng'isu'kan hal2 yang banyak menjatuhkan sesama bangsa dan seagama.. Diakui kehidupan kita dalam setiap perkara itu banyak pandangan dan pendapat yang akan disuarakan, tapi janganlah sampai sanggup caci-mencaci, maki hamun sepak terajang.. Yg lucu nya cuma nak menentukan permulaan puasa dan hari raya jer barulah nampak nya seiya sekata.. Betul tak? (kalo ada yg bantah pun terus je JAKIM label sesat/menderhaka pada majlis raja2)

    Jadi nak diringkaskan cerita, apa kata bila dah ada yang nak buat MPM nie kita fikirlah positif dulu, ikut serta dan berkongsi pandangan dengan cara yang berhemah dan rasa ukhwah... Jangan cerita la tajuk tentang perihal perubahan bangsa Melayu yg besar2 dulu, yang kena diberi perhatian adalah perubahan sikap setiap individu itu sendiri..

    Buka minda, lapangkan hati untuk menegur dan ditegur, jangan terlalu emosi (memaki itu ini sampe lupa apa dan siapa yang dimaki), fikir la apa yang boleh sama2 disumbangkan pada masyarakat bukan asyik fikir apa yang boleh dapat je dari orang...

    Hentikan lah nak melabel orang Melayu nie tuan tanah kedaung ala2 Serbia, orang cina nie kongsi gelap ala2 komunis gak, orang India nie samseng mabuk ala2 lupa diri... Kita kena ingat kalo sungguh pun, itu bukan bangsa punya hal tapi individu tu yang bermasalah..

    Yang nak jadi pemimpin pun, tolong lah.. Jgn suruh rakyat jer yg ubah sikap, anda semua tu yang kena dulu berubah..Tunjukkan lah bahawa anda yang berwibawa dan layak untuk memimpin serta membawa besar manfaat pada negara, bukan dipilih hanya disebabkan pembawa mudarat yang minimum berbanding pesaing anda..

    Pada semua rakyat Malaysia, anda semua tak rindu ke atau hendakkan kepada kemakmuran, keharmonian, rasa selamat tinggal di bumi Malaysia ini..

    Salam

    ReplyDelete
  30. Dato Seri,
    Saya berpendapat bahawasanya kaum bumiputera khususnya orang melayu harus keluar dari pemikiran asyik hendak mengharap bantuan. Mungkin pendapat saya bertentengan dgn segilintir pihak. Tapi saya rasakan bahawa orang melayu harus berusaha untuk berdikari. Tidak salah untuk mendapatkan bantuan kerjaan, tapi janganlah asyik memintah saja. Jika kita lihat hampir kesemua usahawan melayu yang kaya-raya mendapatkan projek daripada kerajaan. Dan yang kaya raya hasil usaha tanpa bantuan atau projek kerajaan amat sedikit jika dibandingkan dgn yang mendapat projek/job kerajaan.

    Mereka yang dapat projek pun ada org² tertentu sahaja. Kebanyakkannya merupakan ahli UMNO. Walaupun benar masih ramai ahli UMNO yang tidak dapat projek, tetapi pemikiran mereka ialah masuk UMNO untuk dapat projek dan kenalan. Memang tidak salah, tapi agihan projek² ini tidak diagihkan dengan adil. Contohnya, ada yang layak dan ada juga yang tidak layak menerima. Ada yang layak tapi jual atau subcon pada orang lain.

    Manakala, org² melayu yang layak berusaha berhempas pulas naik turun pejabat kerajaan untuk mendapatkan projek tidak dipedulikan, kerana kebanyakkan tender yang offer telah pun DIKHAS-KAN untuk para perlobby yang kebanyakkannya ada link dengan UMNO.

    Dan jika pun sesuatu projek itu diberikan kepada orang² biasa, orang biasa itu akan dikacau atau mendapat tekanan oleh para perlobby UMNO ini. Dan akhirnya orang² biasa itu give up dan akhirnya business span mereka tidak tahan lama. Diantara contohnya memperbaruhi lesen, sekatan loan bank, atau bayaran fee dari pihak pemberi projek. Yang paling menyedihkan diherdik pula oleh kakitangan kerajaan yang mempunyai favour terhadap para-perlobby UMNO tersebut.Seolah-olah mcm ada dendam kesumat jika projek tidak diberikan.

    Kenyataan ini mungkin pada dato seri dan para pembaca lain tidak akan setuju, atau menyangka ianya hanya rekaan semata-mata. Tapi ini lah hakikat sebenarnya.

    Pada pendapat saya UMNO itu tidak bersalah, tetapi ahli²nya yang telah mencemarkan nama United Malays National Organisation itu. UMNO merupakan nama yang cukup sinonim dan mempunyai branding yang baik. Jika disebut sahaja perkataan UMNO ianya bunyi yang exclusive dan prestige..tapi sekarang bile disebut saje, orang akan kata banyak pembodek,perasuah, perlobby, dll...

    Jadi apakah harus yang dilakukan oleh UMNO? Pd pendapat saya..bersihkan lah UMNO, cukup² lah dgn tabiat melobby, membodek, sombong dan bongkaknya. Kembalikan UMNO kepada rakyat..sekian terima kasih

    ReplyDelete
  31. Salam Dato',

    Amatlah susah untuk bangsa melayu itu bersatu,berbagai syarat dan halangan diletakkan.Kisah jatuhnya Singapura tidak dijadikan teladan...Memang benar kata hikmah Pejuang bangsa Dr.Mahathir Mohammad bahawa MELAYU MUDAH LUPA!

    ReplyDelete