Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Thursday, June 24, 2010

UPSR dan PMR Penghalang Kegiatan Ko-Kurikulum?

1. Cadangan Kementerian Pelajaran untuk menghapuskan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) harus diteliti dengan mendalam sebelum dilaksanakan. Fahami dahulu keperluan peperiksaan ini dan teliti apa kelemahan sistem pendidikan sedia ada sebelum membuat perubahan besar ini.

2. Tujuan sistem peperiksaan kebangsaan adalah untuk mewujudkan satu keadaan yang memastikan para pelajar memberi tumpuan kepada sukatan pelajaran yang disediakan dan guru-guru pula tidak mengabaikan tugas mereka.

3.Beberapa peringkat peperiksaan seperti UPSR, PMR, SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) membolehkan ujian tersebut dilakukan secara berperingkat dan tidak membebankan pelajar untuk dinilai sepanjang 11 tahun di peringkat persekolahan dengan satu peperiksaan sahaja. Kewujudan sistem peperiksaan di peringkat UPSR dan PMR juga membolehkan ibu bapa, guru dan kerajaan menilai keberkesanan sistem pendidikan dari semasa ke semasa dan mencari jalan membantu pelajar yang lemah.

4. Penghapusan kedua-dua peperiksaan ini akan menyebabkan tiada mekanisme kawalan dan dorongan memastikan para pelajar menguasai ilmu pengetahuan yang diajar kepada mereka. Dalam keadaan kewujudan sistem peperiksaan pun ramai pelajar yang ketinggalan kerana mengambil sikap sambil lewa dan tidak peduli, maka bayangkanlah kalau UPSR dan PMR dihapuskan.

5. Kewujudan kedua-dua sistem peperiksaan ini mendorong pelajar berusaha menguasai ilmu yang diajar dan membolehkan kementerian mengawal selia keberkesanan sistem pembelajaran di sekolah di peringkat awal lagi. Jika dihapuskan, ibu bapa dan kerajaan sendiri tidak akan mengetahui tahap pengetahuan para pelajar di sekolah sehinggalah mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

6. Dalam jangka masa panjang ia boleh menjadi bom jangka apabila kita mendapati para pelajar yang lulus dari sekolah menengah mempunyai pengetahuan yang sangat terhad dan tidak menguasai dengan baik ilmu yang sepatutnya mereka kuasai untuk persaingan dunia dewasa mereka.

7. Pada hemat saya, masalah yang berlaku sekarang bukan kerana kewujudan peperiksaan. Sebaliknya, sikap dan polisi kementerian pelajaran yang sejak dahulu hanya menumpukan kepada pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang menyebabkan ibu bapa dan guru hanya memberi fokus kepada peperiksaan.

8. Misalnya semua sekolah berasrama penuh menawarkan tempat kepada pelajar yang cemerlang tetapi tidak ada sekolah khusus yang diadakan untuk membantu murid yang lemah. Sepatutnya, pelajar-pelajar yang lemah dan gagal dalam peperiksaan ini dihantar ke sekolah berasrama bagi tujuan membantu mereka semula. Peperiksaan tidak salah, sebaliknya sikap kita yang memberi tumpuan kepada pelajar cemerlang semata menyebabkan mereka yang gagal dalam peperiksaan tercicir dan sebahagiannya menimbulkan masalah sosial kepada negara.

9. Dahulu kita wujudkan sistem pendidikan vokasional untuk mengambil pelajar yang lemah dalam bidang akademik bagi memasuki bidang kemahiran namun, akhirnya kemasukan ke sekolah vokasional juga sudah mengambil kira keputusan peperiksaan yang baik.

10. Selain itu, Kementerian perlu menjelaskan apa masalah dengan sistem peperiksaan kebangsaan sedia ada? Antara yang dapat kita fahami ialah terdapat pandangan bahawa pendidikan berorientasikan peperiksaan menyekat kreativiti dan pembangunan sahsiah anak-anak. Ibu bapa terlalu menekan dan memfokuskan usaha membantu anak-anak mendapat keputusan cemerlang sehingga mengabaikan kegiatan-kegiatan lain seperti sukan, seni dan proses sosialisasi anak-anak.

11. Masalah dengan aktiviti ko-kurikulum terbahagi kepada dua iaitu prasarana dan polisi kementerian.

12. Dari segi prasarana atau kemudahan Kementerian perlu melihat masalah infrastruktur dan guru. Kebanyakan sekolah di bandar tidak mempunyai padang yang mencukupi untuk kegiatan sukan. Habis padang dibina bangunan tambahan sekolah. Nisbah guru dan murid serta sekolah dan murid cukup besar menyebabkan guru tidak boleh memberi perhatian bagi melatih dan mengembangkan bakat-bakat ko-kurikulum para pelajar. Ada sekolah mempunyai sehingga 1, 500 orang pelajar dalam satu sesi. Ia bukan suasana yang kondusif kepada para pelajar dan guru untuk kegiatan ko-kurikulum dan pengembangan kreativiti para pelajar.

13. Kementerian juga perlu mengkaji polisi dan sukatan pelajaran. Terlalu banyak subjek yang mahu diajar sehingga tiada masa lagi untuk ko-kurikulum. Jika dihapuskan peperiksaan kebangsaan tetapi sekolah masih mengadakan ujian bulanan, dan peperiksaan setiap penggal maka keadaan tetap sama sahaja.

14. Apa yang perlu Kementerian lakukan sekarang ini bukanlah menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR tetapi mengurangkan bebanan peperiksaan tersebut dengan mengurangkan subjek peperiksaan dan juga jumlah kertas yang perlu dijawab. Cukuplah sekadar jawapan secara objektif dan sedikit subjektif.


15. Kementerian juga perlu berhati-hati untuk memberi kuasa kepada guru membuat penilaian langsung ke atas pelajar. Saya khuatir ia hanya mewujudkan satu lagi peringkat pilih kasih, kronisme dan juga kontroversi. Tidak mustahil suatu hari nanti akan berlaku pertikaian dan perselisihan antara ibu bapa dan guru akibat daripada perbezaan pendapat dalam penilaian prestasi anak mereka. Ambil iktibar daripada kontroversi sistem penilaian tahunan prestasi kakitangan awam oleh ketua jabatan.

16. Saya fikir kerajaan tidak perlu memansuhkan UPSR dan PMR tetapi lebih menumpukan kepada pengurangan bebanan subjek peperiksaan, dan mengubah polisi pendidikan sedia ada serta menyediakan sistem dan suasana yang kondusif untuk kegiatan bukan akdemik di sekolah. Jangan sampai kita berhadapan dengan suasana yang dikendong keciciran yang dikejar terlepas dari genggaman. Sebarang sesalan akan meninggalkan kesan yang amat buruk pada masa depan negara.

15 comments:

  1. DSKT,
    Kementerian Pelajaran buat hal lagi. Idea mengarut sekolah berprestasi Tinggi (SBT) pun belum "settle" dah buat idea bodoh baru. Apa nak jadi TPM kita ni? Sejak menerajui Kementerian Pelajaran byk sgt idea mengarut, nak lawan idea PM ker?
    Kalau dah semua nak dihapuskan (UPSR, PMR), yg tinggal peringkat Nasional hanya SPM, STPM. Jadi sekolah (atau peringkat daerah dan negeri) kena sediakan satu peperiksaan sendiri. Sapa pulak nak "monitor" peperiksaan ni. Nanti ada la soalan "Sejak bila Nik Aziz jadi MB"..contoh soalan kat kelantan la.
    Persoalan la, ada ke guru yg berkualiti yg berupaya menyediakan soalan yg berkualiti? Peperiksaan kat SBT atau Asrama Penuh mesti berkualiti, sekolah kat kampung/pedalaman mcm mana?? Apabila sampai peperiksaan peringkat Nasional (SPM), anda sudah tahu pelajar manakah yg cemerlang. Yg pasti anak Pak-Pak Menteri mesti masuk SBT!!!
    Ko-kurikulum? Nak tanya sikit, dulu Pak-Pak menteri, pegawai kementerian HEBAT ke kegiatan Ko-Ko diaorang? Ataupun KO.
    Rasanya pegawai kementerian atau Pak Menteri buat la "spot-check" kat sekolah, anda boleh nampak ada guru yg duduk terpacak melihat anak murid membuat aktiviti bebas didewan atau padang ketika hari ko-kurikulum!

    "Malang sungguh anak-anak kami dijadikan bahan ujikaji........"

    BRAVO Muhiddin..

    ReplyDelete
  2. ......nak tambah sikit, TPM kita ni takde penasihat yg bagus ker? Jgn buat penyokong menyesal la. PRU13 dah hampir..

    ReplyDelete
  3. Peperiksaan

    1-Saya sokong 100% pendapat YB.

    2-Ko-korikulum di samakan ilmu asas untuk pelajar-pelajar ialah suatu yang tidak dapat diterima.

    3-Sebagai seorang bapa kepada anak yang belajar di sekolah terpilih, saya dapati guru-guru seringkali tidak berada di kelas. Juga terdapat guru pelatih mengajar subjek penting. Pelajar yang dapat nombor tercurut dan kedua tercurut dibawah di tukar kekelas yang leboh baik kerana kroni.

    4-Apa yang perlu ditukarkan ialah sistem prestasi guru-guru, bukan sistem prestasi pelajar-pelajar.

    5-Kini akan diberi kebebasan kepada guru besar untuk meningkatkan prestasi sekolah. Ini adalah merupakan perbuatan khianat kepada pelajar-pelajar.

    6. Semua orang tahu prestasi pelajar di sekolah bukan kerana guru-guru cemerlang, tetapi prestasi 'guru tuisen cemerlang'.

    ReplyDelete
  4. Salam Datuk,

    Saya setuju dengan pendapat Datuk. Spt yg Datuk sebut, walau dgn adanya UPSR dan PMR pun ramai yang tercicir, apa lagi lah kalau prestasi murid2 ini dinilaikan setelah 11 tahun belajar. Ramai lagi lah yang melarat tak habis sekolah dan menjadi masalah sosial kepada negara.

    Bagi saya, yang tersangat kurang sekarang ini ialah guru-guru yang berwibawa dan ikhlas dalam menjalankan tugas memberi didikan dan ilmu kepada anak2. Banyak yang saya nampak sekarang ni, ialah mereka terpaksa menjadi guru setelah tidak dapat mencari pekerjaan didalam bidang yang mereka pelajari di Universiti, lalu memohon KPLI. Mengajar sekadar untuk mendapat gaji, bukan kecintaan yang sebenar terhadap bidang mendidik anak bangsa. Dengan sebab itu, mengajar pun ala kadar.

    Anak2 saya dan semua rakan2 mereka disekolah sekarang ini menjadi mangsa guru-guru spesies ini yang hanya masuk ke kelas , ajar lebih kurang, lepas tu suruh murid salin 5-6 helai mukasurat dalam buku teks. Apa ke jadahnya? Sudahnya, anak2 terpaksa bersengkang mata hingga ke satu pagi hendak menyiapkan kerja sekolah menyalin buku teks. man masa mereka untuk mengulangkaji pelajaran siang tadi atau menyelak2 topik yang akan diajar hari esok? Itu baru satu subjek, selalunya tak kurang dari 3 subjek yang terpaksa di salin.

    Bayangkan keadaan anak2 yang agak lemah dan terpaksa dihantar tuisyen pada malam hari, sekolah agama di sebelah pagi dan sekolah kebangsaan di sebelah petang. Bas sekolah hantar anak samapai kerumah hampri 7.30 malam. Mandi, solat, makan, pergi tuisyen. Balik dah pukul 10 mlm, sambung buat kerja sekolah bodoh, salin buku teks. Tidur pukul satu pagi, esok 6.30 dah bangun, solat Subuh, pergi sekolah agama. Balik, mandi , makan, tukar baju, pergi pulak sek.kebangsaan....

    Itulah punca kerosakan minda anak2 sekarang, sampai dah naik malas nak pergi sekolah. Penat terlampau. Puncanya, cikgu tidak berkaliber dan tidak memikirkan masalah murid.

    Maaf, kepada cikgu2 yang tidak termasuk dalam kategori cikgu pemalas ini. Bagi cikgu yang ikhlas mendidik, syabas daripada saya sekeluarga. Teruskan dengan kerja mulia anda.

    TS Muhyiddin, tolong fikir2kan, tak perlulah dimansuhkan UPSR dan PMR, cuma perlu kurangkan matapelajaran, ajar yang penting sahaja dulu.

    ReplyDelete
  5. Saya sangat bersetuju dengan pendapat Dato' Seri. Sebagai seorang pelajar, saya fikir eloklah jika kita mengubah sistem pembelajaran dan bukannya memansuhkan terus peperiksaan-peperiksaan ini semata-mata.

    ReplyDelete
  6. Lawak lagi TPM yang jaga bab pendidikan anak2 bangsa ni.. Ya la dulu dok jaga lembu dan tanaman so bila nak jaga anak bangsa tu yang kalut sakan...

    Sewaktu TPM announced nak wajibkan pelajar ada option sukan pun saya dah tergelak sakan... Anak2 saya bersekolah di 2 sekolah berbeza di kawasan Bangi. Bila hari Rabu adalah hari ko-kurikulum sibuk bawa reket bandminton sebab dia ambil option badminton... Tanya main kat dewan ada net ke...??? Takde share dengan game lain lepas tu letak kerusi kat tengah... adoyai.... itu baru badminton... Beli reket ping pong sepatah haram tak pernah guna sebab takde facilitis.. Padang bola ada tapi dah jadi mcm padang motor cross.. padahal sekolah baru siap 2 tahun lepas (after 3 years EOT)... Macam mana cikgu nak monitor 1,000 pelajar yang nak bergiat dalam sukan...???.. Squash, tenis, futsal, renang, gimrama mana ada kemudahan kat sekolah... Ini sekolah di bandar, bagaimana sekolah di pedalaman Kelantan, Pahang, Perak atau Sabah Sarawak...!!!

    Daripada sibuk buat pengumuman baru yang boleh undang polemik dan kutukan, masalah beg sekolah berat tak selesai lagi.... Yang mak-bapak hantar sampai pintu kelas OK.. yang usung beg naik bas sekolah, basikal kesian kat bebudak.... Anak pak menteri ada driver yang tolong angkat beg....

    Entahlah... sick and tired....

    ReplyDelete
  7. Saya sokong n sgt bersetuju. Fikirkan dulu n jgn la trus buat ulasan n panggil press. UPSR bagus untuk melihat prestasi anak kita untuk pergi ke peringkat menengah.

    Cuba la buat perancangan yang bukan menurunkan undi. Jgn la sakitkan lagi hati rakyat. Kita kn nak sokongan akar umbi.

    Harap YAB. Timb. PM dapat berbincang dgn baik dengan pelbagai pihak sebelum mengeluarkan kenyataan.

    ReplyDelete
  8. Kementerian Pelajaran buatlah apa dasar pendidikan, saya sentiasa menyokong. Yang jadi masalahnya adalah setiap dasar yang dibuat perlulah diselidik dan diperhalusi secara teliti sebelum dilaksanakan. Saya kecewa bila setiap dasar dibuat tanpa perancangan dan akhirnya pelajar yang akan menjadi mangsa.

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum Dato Ser KT,

    Saya setuju dengan pandangan Dato'.cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia perlu diteliti secara mendalam.

    Kementerian Pelajaran Malysia perlu mencari kaedah baru dalam meningkatkan mutu pendidikan negara kita.

    Kepada Dato' Seri KT dan rakan-rakan yang lain.anda semua dipelawa menjadi pengikut di blog saya http://kalammindamuiz.blogspot.com/ dan http://my.opera.com/muiz5339/blog/

    ReplyDelete
  10. kesian cikgu dan cikgi kena label pemalas. cikgu pun manusia jugak.... tak terlepas sari kesilapan... berpuluh ribu setiap tahun masuk ipta/ipts senua adalah buah tangan cikgu dan cikgi

    bila berjaya ke ipta/ipts dan dapat kerja bagus... tak nak plak declare, cikgu yang ajar...
    tapi bila ada kes dan bermacam cerita buruk cikgu juga yang dapat.

    saya setuju UPSR/PMR dirombak....... perkukuhkan ko ko diperingkat sekolah rendah hingga ting 3

    ReplyDelete
  11. amat setuju dgn cadangan KPM.

    yang tak reti-reti dan tak paham-paham @ bahalol..
    baca Mingguan Malaysia pada semalam ahad.

    kalau tak paham juga pegi tukar kerakyatan.

    ReplyDelete
  12. YBDSMKT,

    Suatu pendapat yang amat baik. Tetapi saya berpendapat patut ada satu jalan penilaian yang lain untuk menilai pencapaian anak anak dalam pelajaran mereka sebelum SPM.

    Ini bagi mengelakkan mereka leka.

    Semuga SISTEM pendidikan kita akan bertambah baik.

    ReplyDelete
  13. salam..

    TPM dah bg kenyataan bahawa benda tu dalam peringkat cadangan dan berharap pandangan dan cadangan dari semua pihak.

    tidak adil sekiranya ramai yang menghentam daripada memberi cadangan yang bernas.

    ada baiknya juga sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan ini diubah kerana jika dilihat dari segi kuantiti sememangnya merugikan kita..Rata-rata melayu yang gagal dalam peperiksaan ketinggalan dalam soal persaingan hidup dan terjebak dalam masalah sosial yang serius..

    saya berharap pendidikan yang menguntungkan umat islam dipraktikkan dan dikaji agar dapat memberi kebaikkan kepada semua umat islam di malaysia.

    saya kagum dengan TPM dan menghormati beliau.. dan paling penting suka dengan cara beliau berfikir dan bekerja.

    ReplyDelete
  14. Anak saya tahun 4. Awal Januari saya bagi dia masuk sukan, kokurikulum dan kelas Kafa. Selepas 3 bulan, dia tak larat nak ulangkaji pelajaran walaupun sudah diberi makan bermacam-macam vitamin. Keputusan peperiksaan sangat lemah.Sebenarnya budak2 sk rendah tak larat nak bersukan atau Ko ko yang kadang - kadang tak buat apa pun. dok lengak aje. Kadang2 dia nak p main dgn kawan2.Selepas April, saya larang dia p semua aktiviti, hanya tumpu kat pelajaran. Pertengahan tahun result, Sains, English & Math dapat 80 keatas.kesimpulan nya, murid2 sk rendah tak larat coz mrk tak ada stamina seperti mrd2 sk menengah. saya pun tak setuju UPSR & PMR dimansuhkan. Kasihan in la mereka, bg la mereka peluang utk bermain dan berkawan selama sejam sehari.

    ReplyDelete
  15. salam..

    Kalau dah tiada peperiksaan UPSR dan PMR macam mana nak tentukan prestasi pelajar. Nak harap peperiksaan yg dilaksanakan sekolah? rasanya tak relevan. Kerajaan perlu mengkaji perkara ini dengan mendalam sebelum memutuskan sesuatu keputusan. Jangan kerana ingin mengejar nama, pelbagai idea2 pelik diketengahkan. akibat dari keputusan yg tak betul oleh kerajaan, rakyat yg jadi mangsa. DS Najib ada menyatakan utk meningkatkan taraf pendidikan rakyat kerana kini hanya sekitar 23% tenaga kerja tempatan memiliki kelulusan lebih dari SPM tapi adakah beliau sedar masih ada IPTA (UNIVERSITI AWAM) yg ditubuhkan untuk menyokong dasar kerajaan masih bergelut dengan masalah ijazah yg tak diiktiraf oleh kerajaan sendiri.

    ReplyDelete