Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Monday, July 19, 2010

EKM 2010 SATU PERUBAHAN KOSMETIK

Sidang Dewan Negeri Selangor minggu lalu telah membahaskan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010. Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada jentera propaganda kerajaan negeri yang tidak putus-putus dengan idea-idea yang tampak muluk dan indah di hadapan rakyat tetapi realitinya kosong belaka.

Saya fikir ramai daripada kita akan beranggapan Enakmen Kebebasan Maklumat (EKM 2010) akan mewujudkan satu keadaan ketelusan dan pertanggungjawaban yang dilaung-laungkan oleh Pakatan selama ini. Ada juga yang melahirkan kebimbangan kepada saya kononnya ini satu lagi agenda Pakatan untuk memburukkan kerajaan yang lalu terutamanya ketika pentadbiran saya.

Saya jawab kepada kawan-kawan bahawa tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana saya percaya setiap keputusan dan tindakan yang dibuat oleh pentadbiran saya dahulu berasaskan undang-undang dan mengikut peraturan kerajaan yang sedia ada. Saya juga tidak khuatir sekiranya didedahkan kesemua keputusan-keputusan saya secara telus kerana saya percaya tidak ada apa yang perlu diselindungi.

Namun saya juga berkira-kira untuk mencabar agar kerajaan negeri hari ini agar bukan sahaja mendedahkan semua kertas EXCO semasa saya tetapi juga Kertas EXCO kerajaan hari ini. Pendedahan kertas-kertas EXCO hari ini lebih penting kerana kita dapat menegur dan membetulkan mana yang salah.

EKM 2010 : Kebebasan Maklumat atau Pengawalan Maklumat

Malangnya, andaian orang ramai mengenai EKM 2010 ini salah sekali. EKM 2010 antara lain menyatakan bahawa ia tidak boleh mendedahkan dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan mana-mana dokumen yang dianggap menjejaskan dengan teruk perumusan atau pembangunan dasar kerajaan negeri yang berkesan.

Ini bermakna kerajaan negeri dengan sewenang-wenangnya akan menghalang akses terhadap sebarang dokumen yang boleh menjejaskan imej pentadbiran hari ini termasuk dokumen-dokumen yang dianggap membabitkan kroni-kroni mereka.

Jika sebelum ini segala butiran dan dokumen di Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi kerajaan yang tidak tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi boleh diperolehi oleh orang awam tanpa melakukan sebarang kesalahan, dengan pengenalan enakmen ini, dokumen-dokumen ini boleh dianggap satu rahsia kerajaan sehingga ia dibebaskan oleh Pegawai Maklumat yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Apakah ini satu kebebasan maklumat atau satu lagi bentuk pengawalan maklumat? Sebagai contoh, keputusan tender dan pemberian kontrak kepada mana-mana syarikat bukan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan mana-mana individu yang mendedahkan maklumat tersebut tidak dianggap melakukan kesalahan.

Namun dengan wujudnya EKM 2010, semua ini akan dianggap rahsia kerajaan sehingga Pegawai Maklumat Kerajaan Negeri membenarkan dokumen tersebut didedahkan. Untuk pengetahuan umum juga EKM tidak boleh mendedahkan mana-mana dokumen yang diisytiharkan Rahsia oleh kerajaan negeri.

Jika demikian, apa maknanya EKM 2010 ini kepada rakyat? Jawapannya, tiada. Sidang Dewan Negeri dijadikan batu loncatan dan alat untuk menunjukkan imej baik Pakatan di mata rakyat semata-mata tanpa mengambil kira kepentingan negeri.

Apa pula keburukannya kepada rakyat dan negeri? Tidak mustahil jika mulut disuap pisang, punggung kita pula dicucuk onak.

Pendedahan Data Peribadi Rakyat

Perkara utama yang membimbangkan ialah mengenai hak kerahsiaan data peribadi rakyat. Orang ramai yang selama ini mempunyai kehidupan peribadi yang biasa tanpa diketahui mengenai pemilikan hartanah mungkin akan menjadi sasaran orang tertentu yang mempunyai niat tidak baik. Apakah jaminan data-data maklumat hak milik tanah atau rumah orang biasa tidak terdedah kepada umum? Jika terdedah kepada umum bukankah ia boleh memberi peluang untuk mereka yang berniat tidak baik terutama penjenayah merancang tindakan?

Maklumat orang ramai yang tidak membayar cukai pintu, cukai tanah, ada saman dengan Pihak Berkuasa Tempatan dan sebarang bantahan ke atas jiran atau sebagainya juga akan terdedah. Apakah ini semua yang dimahukan oleh kita?

Fasal 13 (1) Enakmen ini menyatakan, “setiap jabatan boleh untuk enggan menunjukkan sama ada ia mempunyai maklumat, atau enggan untuk menyampaikan maklumat, di mana jika berbuat demikian ia akan melibatkan penzahiran tidak munasabah maklumat peribadi orang perseorangan pihak ketiga.”

Fasal ini memberi kuasa yang sangat besar kepada Pegawai Maklumat tanpa melindungi kepentingan orang ramai. Ia menyatakabn Jabatan boleh untuk memberi tetapi tidak melarang jika Pegawai maklumat tersebut hendak memberi. Fasal ini sepatutnya melarang terus sebarang pendedahan maklumat peribadi orang perseorangan. Adalah tidak wajar kepentingan dan hak peribadi orang ramai terletak di atas tangan para Pegawai Maklumat yang tidak mempunyai satu entiti disiplin dan keselamatan seperti Polis. Apakah rakyat bersedia mengorbankan isu rahsia peribadi mereka ini?

Sekatan Kebebasan Perbincangan?

Pada April 2009 berlaku pertikaian antara Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya Derek Fernandez dengan Suresh R Menon. Frenandez mengugut untuk membuat laporan Polis berikutan penyebaran Minit Mesyuarat Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang membabitkan keputusan papan iklan gergasi (billboard). Dikatakan salinan minit mesyuarat tersebut diedarkan kepada ADUN-ADUN Pakatan di Selangor.

Untuk makluman, kedua-dua ahli majlis ini ialah lantikan Pakatan. Jika tidak silap saya Fernandez sendiri merupakan antara peguam yang selalu meminta didedahkan dokumen-dokumen MBPJ semasa kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional. Anehnya, perjuangan ketelusan dan keterbukaan itu hilang apabila beliau memegang jawatan.

Saya tidak menyalahkan beliau seratus peratus. Sudah tentu kerahsiaan diperlukan bagi membolehkan ahli majlis atau mana-mana pihak berbincang secara bebas dalam sesuatu isu. Saya khuatir apabila semuanya menjadi terlalu terbuka dan telus, tiada siapa lagi akan memberi pandangan yang jujur dan baik untuk rakyat dan pembangunan negeri kerana khuatir ia menjadi kontroversi. Malah dalam sesetengah kes ia mungkin diancam oleh mereka yang terjejas dengan keputusan yang dibuat. Dan tidak mustahil dalam membuat keputusan-keputusan yang mungkin membabitkan kegiatan gangster seperti menghapuskan judi haram, rumah urut dan pusat pelacuran tiada ahli Majlis akan sanggup bersuara dan menghadapi risiko diancam oleh kumpulan ini.

Peningkatan Kos Pengurusan Kerajaan Tanpa Kewajaran

Ketika kerajaan negeri mencatatkan defisit Bajet tahun ketiga berturut-turut, Enakmen ini mencadangkan perlantikan Pegawai Maklumat di setiap jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan negeri Selangor. Berapakah kos pengurusan negeri yang akan ditanggung dengan kewujudan sejumlah besar jawatan Pegawai Maklumat?

Saya percaya jawatan-jawatan ini kemungkinan diwujudkan untuk memberi jawatan politik kepada juak-juak politik parti komponen Pakatan. Perlantikan ini akan membabitkan kos gaji, elaun, pencen atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, insuran pekerja dan isu-isu kebajikan. Jika terdapat 500 orang sahaja pegawai maklumat akan dilantik nanti ia sudah akan mengambil sekitar RM 1 juta sebulan dan RM 12 juta setahun.

Lembaga Rayuan pula terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan enam orang ahli. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi akan dilantik dari kalangan bekas Hakim atau peguam bela. Siapakah mereka ini? Kita akan lihat nama-nama mereka nanti kemungkinan besar merupakan orang yang sama membantu pemimpin Pakatan dalam kes-kes mahkamah mereka. Ini telah berlaku dalam banyak kes di Selangor di mana kerajaan negeri mengambil khidmat peguam yang jelas penggerak parti mereka. Apakah ini bukan amalan kronisme?

Tapi yang lebih penting ialah berapakah elaun atau gaji mereka ini. Sudah tentulah gaji mereka ini akan setaraf dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang mencecah angka RM 10 ribu ke atas. Bertambah lagi kos pengurusan kerajaan negeri atas perkara yang remeh-temeh dan juga bertambahnya birokrasi dalam kerajaan negeri.

Kesimpulan

Saya berpendapat sistem sedia ada sudah mencukupi bagi mewujudkan satu kerajaan yang bertanggung jawab, efektif dan efisyen. Soalnya sejauh mana kerajaan jujur untuk melaksanakan apa yang mereka laung-laungkan sebagai ketelusan era pentadbiran baru.

Apa yang penting dalam proses pertanggungjawaban dan ketelusan kerajaan ialah mengumumkan keputusan pemberian tender, kontrak, rundingan dan perlantikan kontraktor serta kos sesuatu projek secara terbuka. Jika ada sesuatu yang tidak kena maka rakyat akan membuat laporan Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.

Adalah tidak masuk akal untuk mendedahkan segala-galanya dalam jabatan kerajaan sehingga menimbulkan keributan awam dan mewujudkan perbalahan yang tidak berkesudahan di kalangan masyarakat.

Pendedahan keputusan-keputusan agensi kerajaan tidak memerlukan penambahan pegawai dan entiti baru yang akan menambahkan kos pengurusan dan karenah birokrasi. Sebaliknya kerajaan negeri boleh sahaja mengeluarkan arahan yang standard meminta semua agensi kerajaan negeri mengeluarkan laporan tahunan mereka. Laporan tahunan yang memuatkan semua maklumat yang kerajaan negeri cadang untuk dedahkan dan dimuat naikkan ke dalam laman web agensi terbabit serta dijual dalam bentuk CD kepada sesiapa yang berminat.

Unit perhubungan awam juga boleh digunakan untuk menyalurkan maklumat yang diperlukan ini. Jadi mengapa harus menambahkan kos pentadbiran jika ia boleh dilaksanakan dengan lebih efektif melalui jentera sedia ada?

Enakmen ini juga langsung tidak menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk mendedahkan kertas-kertas Mesyuarat EXCO dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) yang dijalankan oleh kerajaan negeri hari ini. Awal-awal lagi terdapat pelbagai sekatan dan peraturan dalam Fasal 2 (a), (b), (c) dan (d).

Jadi enakmen ini hanyalah satu lagi pentas sandiwara politik yang akan melihat Pakatan menyerang Barisan Nasional dan Barisan Nasional akan mempertahankannya. Semuanya akan berkisar kepada isu yang lalu, yang jika ada kesilapan pun tidak mungkin dapat dibetulkan lagi.

Sebaliknya, isu-isu kerajaan hari ini tidak akan didedahkan dan akan tertanam sehingga kita menukar kerajaan negeri. Ketika itu kita berbalah lagi, BN pula menyerang, Pakatan pula mempertahankannya. Sekali lagi kita berbicara isu lama tetapi dalam masa yang sama kerajaan semasa akan terus berbuat silap tanpa dipantau dengan teliti. Apa keuntungan kepada negari?

Jika Pakatan benar-benar mahukan ketelusan ia tidak memerlukan EKM 2010 ini. Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menukar status atau mendeklasifikasikan (declassified) sesuatu dokumen negeri supaya menjadi dokumen awam. Soalnya, apakah Tan Sri Khalid bersedia melakukannya ke atas dokumen-dokumen yang membabitkan kerajaan negeri hari ini? Jawapannya jelas sekali seperti mana mereka tidak bersedia membincangkan isu penyelewengan Pasir yang cuba diusulkan oleh ADUN Kuang, YB Shukor Idrus dalam sidang Dewan Negeri kali ini.

Justeru bagi Ahli Dewan Undangan Barisan Nasional Selangor, keseluruhan Enakmen ini tidak lebih daripada perubahan-perubahan kosmetik semata-mata bagi menutup “bangkai gajah” yang semakin besar dalam pentadbiran hari ini, baik dari segi kronisme mahu pun dari segi kelemahan pentadbiran dan pembangunan negeri. Inilah kerajaan yang dikatakan, “telunjuk lurus, kelingking berkait.”

*Artikel ini telah tersiar dalam Sinar Harian 18 Julai 2010

2 comments:

  1. Jika sebelum ini YB Manikavisagam, MP Kapar membuat tuduhan dan kes tersebut telah dibawa kepada SELCAT. Malangnya YB PKR sendiri dinafikan hak untuk membawa saksi beliau. Jadi dimana ketelusan serta kebebasan maklumat yang cuba diketengahkan oleh PR sedangkan pendengaran awam yang diketuai oleh speaker dewan pun menafikan kebenaran. Saya percaya MKM2010 hanya akan membuat pendedahan terpilih dan digunakan sebagai senjata politik mendedahkan pihak lawan. Jika kelemahan kerajaan yang lalu sahaja didedahkan maka tiada gunanya MKM2010 kerana rakyaat jelata tidak dapat membuat penelitian atau teguran berkenaan isu semasa. akhirnya semua ini boleh dikatakan p mai-p mai tang tu jugak.

    ReplyDelete
  2. Banyak juga musuh dalam selimut.. lebih2 lagi ramai yang pandai bermuka-muka.... selagi PHD tidak dpt dikikis, mmmm... habisle....

    ReplyDelete