Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Thursday, July 29, 2010

Pasir: Kemusnahan Alam Sekitar, Penyelewengan dan Kerajaan Kartun

1. Selasa lepas saya membawa sekumpulan pemberita untuk melawat sebuah kawasan perlombongan pasir di Kambing Susu berhampiran Berjuntai Bestari dan Rawang. Ia bukan perlombongan haram seperti yang dilaporkan oleh sesetengah akhbar. Ia merupakan kawasan perlombongan yang ada permit tetapi melanggar undang-undang dan dipercayai ada unsur penipuan yang serius.

2. Permit melombong pasir di Kambing Susu diberikan kepada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) sepanjang 10 KM sejak pertengahan tahun lalu. Saya dimaklumkan KSSB pula membahagikan kawasan ini kepada 6 kontraktor yang berdaftar dengannya. Ada yang dapat 1KM ada yang dapat 2 KM. Mereka ini diberi kebenaran mengeluarkan pasir sungai.

3. Dalam masa yang sama KSSB juga mengeluarkan permit mengeluarkan pasir atas tanah atau lombong berhampiran kawasan tersebut.

4. Lawatan ke kawasan tersebut menunjukkan tidak ada satu kawalan alam sekitar dibuat dengan terancang. KSSB dengan sewenang-wenangnya mengubah aliran sungai Selangor masuk ke dalam lombong miliknya. Sebahagian sungai Selangor telah terputus kerana aliran sungai tersebut diubah ke dalam kawasan perlombongan berhampiran.

5. Saya difahamkan apabila berlaku hujan lebat, air sungai akan mengalir dengan deras sambil membawa pasir masuk ke dalam lombong tersebut. Ini membolehkan kontraktor untuk pasir lombong mengaut pasir sungai. Kontraktor terbabit juga menggunakan dua kaedah lombong iaitu dengan mengorek dan menyedut.

6. Kaedah menyedut ini sangat bahaya kerana orang biasa tidak akan mengetahui ke dalaman yang telah dibuat oleh kontraktor terbabit. Jika terlalu dalam, maka pada masa akan datang akan berlaku banyak kejadian tanah runtuh di sekeliling. Malah tidak mustahil tompokan tanah yang tinggal sedikit sahaja di tengah kawasan perlombongan pasir tersebut boleh runtuh. Ini akan menyebabkan pencawang elektrik di tanah tersebut akan turut tumbang.

7. Dua isu alam sekitar yang sangat serius di sini ialah kemusnahan aliran Sungai Selangor dan ke dalaman lombong yang mungkin sehingga mencecah 50 kaki boleh menyebabkan tanah runtuh. Sebahagian Sungai Selangor tersebut telah mati kerana terputus aliran air. Saya cabar mana-mana konsultan alam sekitar yang berkomplot dengan kerajaan negeri Selangor agar turun ke sana dan mengulas isu ini.

8. Saya juga dimaklumkan bahawa kontraktor-kontraktor yang dilantik oleh KSSB di Kambing Susu tidak diberi panduan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP - Environmental Management Plan)seperti yang sepatutnya. Kerajaan negeri Selangor sebelum ini memperkenalkan EMP bagi setiap projek pembangunan mahu pun pengeluaran hasil bumi seperti pasir ini. Baru-baru ini juga YB. Elizabeth Wong menyatakan bahawa kerajaan negeri masih menggunakan EMP untuk perlombongan pasir ini. Malangnya EMP tersebut tidak diberikan kepada kontraktor yang terbabit. Jadi apa guna EMP tersebut?

Penyelewengan KSSB

9. Satu lagi isu serius di Kambing Susu ialah dakwaan penyelewengan oleh KSSB. Saya mendapat dokumen yang menunjukkan KSSB hanya membayar doket sebanyak RM 12, 000 kepada pejabat Tanah dan Galian Hulu Selangor antara Mei - Disember 2009 bagi permit melombong pasir sungai sepanjang 10 KM Sungai Selangor di mukim Sungai Tinggi - Serendah.

10. Pada Mei 2009, KSSB membayar sebanyak RM 5, 400.00 bagi kebenaran mengeluarkan hasil pasir berjumlah 1800 meter padu di kawasan 10 KM bagi bulan Jun - Ogos 2009. Pada Ogos 2009, KSSB membayar lagi RM 3, 000.00 bagi kawasan yang sama bagi menyambung permit mengeluarkan pasir untuk 1 ribu meter padu pasir. Pada Oktober 2009 KSSB membayar sebanyak 3, 600 lagi untuk mengeluarkan 1200 meter padu pasir sehingga Disember 2009.

11. Namun berdasarkan dokumen yang dihantar kepada saya dan disahkan pula oleh salah satu kontraktor KSSB, sebuah syarikat yang mendapat permit di situ Jendela Teguh Sdn Bhd telah membayar KSSB sebanyak RM 171, 400.00 dalam tempoh Jun - Disember 2009. Berdasarkan pembahagian royalti sebanyak RM 4 kepada KSSB dan RM 3 kepada PTG bagi setiap meter padu yang dikeluarkan (171, 400.00/7 x 3), PTG sepatutnya menerima tidak kurang daripada RM 73, 457.00 bagi permit pengeluaran pasir kawasan tersebut dari Jun - Disember 2009.

12. Ini hanya bagi 1KM milik syarikat tersebut. Ada lagi 9 KM yang diberikan kepada syarikat lain. Jika dibuat kiraan kasar 1KM boleh menghasilkan RM 73 ribu, maka 10 KM boleh menghasilkan sekitar RM 730 ribu kepada Pejabat Tanah dan Hulu Selangor. Apakah ini bukan penyelewengan dan korupsi.

13. Penyelewengan ini berpunca daripada kaedah pengawasan dan pengurusan yang dilakukan oleh KSSB bukannya PTG. Dahulu kuasa mengira dan menentukan jumlah kutipan ditentukan oleh PTG melalui buku doket. Mereka yang diberi kebenaran pasir perlu membayar doket terus kepada PTG dan ia dalam bentuk buku beserta no siri. Ini mengelakkan sebarang penyelewengan.

14. Malangnya hari ini, KSSB membeli doket kepada PTG dan kemudiannya mengeluarkan doket sendiri melalui cetakan komputer. Ini membolehkan pelbagai manipulasi dibuat kerana ia dilakukan oleh sebuah entiti swasta.

15. Menurut maklumat yang ada pada saya, sehingga Jun 2010 Jendela Teguh telah membayar sebanyak RM 910, 000 kepada KSSB. Namun jumlah yang dibayar kepada PTG hanyalah RM 213, 000.00. Berdasarkan nisbah pembahagian, PTG sepatutnya menerima RM 390, 000.00.

16. Jumlah bayaran KKSB kepada PTG sebanyak RM 213, 000.00 merupakan jumlah keseluruhan perlombongan pasir di Kambing Susu ini d. Jumlah yang dibayar oleh Jendela Teguh hanyalah untuk 1 KM kawasan pengeluaran pasir yang peruntukkan kepadanya. Bayangkan apa yang terjadi kepada kawasan seluas 9 KM lagi. Satu sen pun tidak masuk kepada PTG. Jika benar maklumat ini maka kita tertanya-tanya siapa yang dapat laba?

17. Saya tidak kata saya benar 100 peratus dalam isu ini. Namun angka-angka yang ada menunjukkan satu siasatan secara serius perlu dilakukan bukan sekadar menafikan atau membuat tuduhan kebudak-budakkan kepada "pembawa mesej" seperti saya.

Kerajaan Kartun

18. Saya terbaca kenyataan YB Elizabeth Wong dalam The Star hari ini kononnya ia perlombongan pasir haram dan mencemarkan alam sekitar. Isu perlombongan pasir haram tidak timbul kerana saya tidak menyatakan ia perlombongan haram. Apa yang saya katakan ialah berlaku penyelewengan dan kemusnahan alam sekitar.

19. Beliau mendakwa EMP dibuat sebelum permit dikeluarkan. Tapi mengapa kontraktor terbabit tidak mendapat EMP? Apakah YB Elizabeth faham beza antara EMP dengan EIA - Kajian Kesan Alam Sekitar? Apa guna ada pelan pengurusan alam sekitar tetapi tidak memberikan kepada kontraktor terbabit supaya alam sekitar terjaga?

20. Saya juga terkejut apabila beliau menafikan berlakuknya masalah perubahan aliran sungai dan runtuhan ban sungai di Kambing Susu sedangkan puluhan wartawan dan lensa kamera menyaksikannya sendiri kejadian tersebut.

21. Lebih melucukan YAB Menteri Besar semalam (seperti dilaporkan oleh Sinar Harian hari ini) turut mengakui fakta ini dan berjanji untuk memperbaikinya.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri menyiasat dakwaan ban tersebut dipecahkan oleh pihak berkepentingan.

“Kita sudah siasat dan jawapannya ban itu perlu dibetulkan dan KSSB akan menanggung kos tersebut. Kita juga menghantar jurutera untuk melihat keadaan tersebut,” katanya. - Sinar Harian

22. Bukankah ini merupakan kerajaan kartun? Menteri Besar mengakui, EXCO Menafikan? Saya kata ada berlaku kemusnahan alam sekitar dan penyelewengan di kawasan perlombongan Kambing Susu, Elizabeth pula kata ia bukan kawasan pengeluaran pasir haram. Janganlah buat cerita kartun banyak sangat. Lagi pun isu haram atau halam perlombongan pasir bukan di bawah potfolio beliau, jadi mengapa terlebih sudu dari kuah? Ada apa-apakah?

23. Tindakan melatah Elizabeth seolah-olah membuktikan bahawa perjuangan beliau terhadap alam sekitar dahulu bukan ikhlas tetapi hanya alat untuk memburukkan kerajaan lalu. Bagaimana seorang pejuang alam sekitar seperti YB. Elizabeth boleh menafikan tanpa menyiasat terlebih dahulu? Nampaknya kepentingan diri dan parti sudah lebih penting daripada kepentingan rakyat dan alam sekitar.

24. Sekarang ini tidak banyak kita saksikan kartun-kartun berinspirasikan "lawan bodoh". Tapi kerajaan negeri hari ini sangat komited untuk meneruskannya. Mereka mendakwa hasil pendapatan pasir zaman saya sangat kurang berbanding sekarang. Memanglah kurang kerana pengeluarannya kurang dan dilakukan atas tanah persendirian.

25. Dahulu PTG hanya mengutip RM 3 setiap meter padu daripada pengusaha pasir kerana ia adalah tanah persendirian. Sekarang ini kerajaan negeri mengutip RM 7 kerana ia dilakukan atas tanah kerajaan. Yang tidak pernah dijelaskan ialah berapa banyak pasir dikeluarkan sekarang berbanding zaman saya dahulu? Kalau hendak dapat duit banyak dari pasir, koreklah satu Selangor ini maka akan bertambah dengan banyaklah pendapatan hasil pasir.

26. Hendak tingkatkan pendapatan pasir tidak perlu KSSB atau tokoh korporat terkemuka, pegawai PTG pun tahu sebab yang perlu dibuat ialah keluarkan permit banyak-banyak dan kutip cukai RM 3 untuk satu meter padu. Soalnya, apakah ini pengurusan hasil negeri yang betul? Meningkatkan hasil pasir dengan melombong secara besar-besaran? Apa kata selepas ini kita buat pula pembalakan secara besar-besaran? Tentulah jumlah hasil balak Selangor akan meningkatkan dengan banyak dan bolehlah kerajaan negeri mendabik dada berjaya meningkatkan hasil balak pula.

27. Saya harap kerajaan negeri tidak terus buat cerita kartun untuk memperbodohkan orang ramai.

22 comments:

  1. Maaf Dato Seri kerana lari tajuk.

    Dulu pernah saya memuatkan komen mengenai nasib pembeli-pembeli rumah dan tanah lot di Alam Perdana.

    Khabar terbaru saya dengar adalah kerajaan Negeri akan merampas semula tanah-tanah di situ ari pihak pemaju yang telah lama meninggalkan projek Alam Perdana itu.

    Apa tindakan yang perlu diambil utk membela nasib malang pembeli-pembeli? Sudahlah menanggung hutang untuk hartanah yang masih belum nampak kelibatnya setelah lebih 7/8 tahun menunggu. Kini harta tersebut hendak dirampas pula. Habis macamana dengan wang yang pihak pembeli telah kerugian selama ini?

    Apa gunanya perjanjian jual beli?

    ReplyDelete
  2. YB Eli and MB khalid memang sama-sama kartun doremon..

    ReplyDelete
  3. hanya pelombong pasir haram yang bersara sahaja tahu hal lombong pasir haram di selangor.

    ReplyDelete
  4. Saya amat bersetuju dan geli hati apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim melabelkan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, sebagai “pesara lombong pasir haram”, dalam bahasa jawanya "retirees illegal sand mining".

    Dakwaan Datok yang menuduh syarikat milik kerajaan negeri - Kumpulan Semesta Sdn Bhd KSSB) membayar royalti yang berkurangan berbanding ketika datok mentadbir Selangor, Tan Seri Khalid menjawap dengan sinis.

    “Khir Toyo tahu semua butirannya. Saya fikir dia mesti terbabit dalam perniagaan melombong pasir sebelum ini - kemungkinan besar yang beroperasi secara haram. Saya tidak mahu komen pelombong pasir haram yang sudah bersara itu,” katanya.

    Datok mendakwa KSSB hanya membayar royalti RM12,000 kepada kerajaan negeri di sebalik memungut hasil RM734,000 tahun lalu.

    Maka apabila saya membaca artikel datok di atas, maka sudah terang lagi bersuluh, apa yg dikatakan oleh Tan Seri Khalid ada kebenarannya. Datok cukup tahu selok belok perlombongan haram itu. Datok dan penyokong tegar datok (blogger2 pengampu - anda satu sen pun tak dapat habuan, sebagaimana kroni2 di zaman Datok Seri Khir jadi MB) berkokok diblog ini.. siapa peduli, sebab ekor datok bergelumang tahi.

    Kepada para blogger pengampu, anda harus ingat, anda mungkin menjadi penyokong, tetapi sokong membawa rebah. Anda perlu pandai membaca politik semasa, anda harus ingat, di Selangor negeri tumpah darahku ini, ada satu lagi team UMNO yg mahu melihat Datok seri Khir padam dalam arena politik UMNO negeri.. lihatlah PRU13 nanti..

    ReplyDelete
  5. YB Dato,

    Say dengar cerita KG taukehpasir menyondol pasir tak henti henti hingga sampai kekawasan paya beurmput EW barulah ia berhenti..

    Kah kah kah kah..

    ReplyDelete
  6. saudara Sangkatula, saya tidak bercakap soal perlombongan haram dalam hal ini. Saya bercakap soal penipuan dan penyelewengan yang ada dokumennya. Mengapa saudara begitu takut dan perlu mengalih isu seperti juga MB? Apakah saudara ada sesuatu yang mahu disembunyikan?

    ReplyDelete
  7. salam..
    bila nak selesai isu pasir nie..
    muak dah dato' seri
    kalau dah kerajaan negeri tak boleh buat apa,apa yg kerajaan pusat boleh buat..takkan buat tak tahu jerr..

    satu pihak semesta,manakala satu pihak lagi PTG..jika dilihat sama sahaja..masing2 ada kepentingan..sampai bila nie..

    bila wujud 2 entiti nie makin rumit pulak..senang nak taichi..

    ReplyDelete
  8. Ada demand ada la supply... Pasir yang di lombong dekat Wet Land tu dihantar ke tapak projek new LCCT..... Beribu-ribu tan diperlukan.. Semua takut nak isu stop of works takut nanti pasir takde and kerja LCCT akan delayed (EOT,) LAD dan terbengkalai.... SPRM, Polis pun tutup mata je lah..... Ya lah.... tak kan tak tahu siapa main con LCCT....

    ReplyDelete
  9. Soalannya apa yang datuk dan Umno Selangor dan BN buat ni muingkin sekadar celah gigi untuk orang yang dah nak kebulur - too little too late

    Anwar says Ling Liong Sik is not a big enough fish for MACC: Who does Anwar want MACC to go after? read all about it HERE

    ReplyDelete
  10. salam dr khir

    sebagai bekas menteri besar ,pengetahuan tuan dalam isu perlombongan pasir dan hasil pasir saya boleh terima.

    menteri besar yang pandai mesti tahu perkara ini kerana ia melibatkan hasil kerajaan negeri atau duit rakyat negeri selangor.

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum dr

    Jangan takut dr, untuk menelanjangkan kebobrokan mereka, kerana ketua mereka pon suka telanjang dan suka main belakang.hehehehehehe

    Rakyat sekarang bukannya bebal untuk menilai mane yang betul dan mane yang salah, biarkan mereka menentukannya, hanya dr. perlu bongkarkan penyelewengan mereka dengan fakta.

    Pr akan tetap menafikannya dengan hujah bodoh mereka, biarkan biarkan si luncai terjun dengan labu labunya.Bila tiba PRU13 nanti barulah mereka rasakan ditelan bekas lombong berhantu, hehehehehehehe.

    ReplyDelete
  12. Salam Dato' Sri, semoga Dato' Sri dan keluarga sentiasa di bawah lindungan Allah swt hendaknya.

    1. Isu pasir memang kita sudah maklum dan ianya pasti akan berterusan. Inilah masanya kerajaan PR akan mengerjakan hasil bumi Selangor selagi boleh. Akan datang belum tentu lagi mereka akan berkuasa lagi.

    2. Selagi boleh ding-dong dan merry-go-round, mereka akan tetap sedut dan korek pasir yang ada. Tentunya Tuan Penasihat Ekonomi sudah bagi jalan mana tempat yang boleh buat duit banyak.

    3. YB Elizabeth apa yang nak dihairankan sangat Dato' Sri. Dia sendiri pun ada masalah moral. "Alam Sekitar" dia sendiri pun dia tak boleh nak jaga. Inilah kerajaan PR sekarang yang sanggup mengekalkan EXCO yang ada masalah moral. Malu sungguh saya sebagai anak Selangor.

    4. Saya bukanlah pengampu atau suka bodek cuma apa yang saya mahu sebagai anak jati Selangor ialah sebuah kerajaan yang senang cakap bukan kerajaan kartunla.

    5. Kita tengokla sekarang sudah ada pihak yang mahukan diskaun untuk beli rumah bagi kaum bumiputra dimansuhkan. Apa agenda mereka sebenarnya? Bagi orang-orang Melayu, jika itu anda masih tidak nampak lagi memang anda bukan orang Melayu yang berdarah patriotik.

    6. Kepada Dato' Sri, teruskan perjuangan Dato' Sri. Bongkar dan serang habis-habisan. Rasanya ini baru fasa pertama. Bagi YAB MB kita tak senang duduk. Parti-parti pakatan di Selangor pun sekarang masing-masing bermasalah. Inilah masanya. Biar kita orang Melayu kembali berkuasa mentadbir Selangor bukannya menjadi "Jalut" kepada bangsa lain...

    ReplyDelete
  13. Salam blogger

    Saya tidak suka nak komen tulisan Datok yang nyata ada agenda tersembunyi. Saya lebih suka menulis tentang perkara yang melibatkan rakyat terbanyak iaitu issu air.

    Saya melihat kerajaan pusat bukan sahaja gagal membantu rakyat Selangor (atas semangat federalsime) mendapatkan kemudahan air yg murah malah gagal mengambil tindakan ke atas Datok yg telah memberi konsesi secara cuai kepada syarikat kroni.

    Saya bersetuju dengan kenyatan Setpol kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin bahawa Kerajaan Persekutuan harus ingat kemelut air di negeri ini bermula apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dibenarkan menaikkan tarif air tanpa mengambil kira beban tanggungan rakyat yg masih merangkak di dalam kemelut ekonomi global.

    Kerajaan BN yg dipimpin oleh Khir telah menandatangani perjanjian konsesi air dengan Syabas di mana syarikat itu dibenarkan menaikkan tarif sehingga 37% pada 2009, 25% (2012), 20% (2015), 10% (2018) dan 5% (2021).

    Datok sepatutnya berasa malu untuk bercakap soal kepentingan rakyat Selangor DALAM APA-APA TOPIK SEKALIPUN, (hidung tak mancung pipi tersorong-sorong) baik air mahupun pasir kerana kecuaiannya telah menghalang hak rakyat Negeri Selangor daripada mendapatkan perkhidmatan air yg terbaik.

    Akibatnya, Kerajaan PR hari ini terpaksa berhadapan dengan syarikat konsesi kroni yg tamak dan berani menuntut jumlah yg terlampau jika kerajaan negeri mahu mengambilalih pengurusan air Selangor yg bertujuan untuk memberi perkhidmatan air yg baik dengan harga yg berpatutan kepada rakyat. Begitu juga dengan pengusaha pasir kroni yg terpekik terlolong macam kena rasuk roh kerajaan UMNO/BN dahulu

    Bagi saya kerajaan negeri sentiasa merai pandangan pelbagai pihak berkaitan pentadbiran dan dasar-dasar termasuk dasar pemberian diskaun, insentif dan sebagainya.
    Bagi saya apa yg penting ialah akhirnya rakyat Selangor yg layak, dapat menikmati hasil dari dasar dan ketetapan tersebut. Ini tidak terkecuali di dalam mencari jalan terbaik mengenai permasalah air atau apa sahaja di negeri ini.

    Rakyat Selangor berhak untuk mengetahui cerita sebenar dan Datok seharusnya dihalang dari segi moral untuk memberi pandangan terutama dalam hal tatacara mentadbir negeri ini.

    Saya sangat bersetuju apabila kerajaan negeri menggesa agar mendeklasifikasikan dokumen perjanjian air dan segala laporan audit yg berkaitan agar rakyat tahu perkara yg sebenar.
    Saya berdiri teguh justeru kerajaan negeri yg tidak gentar dengan ugutan saman mahkamah RM1 bilion yg dilakukan oleh Syabas walaupun mereka mendapat sokongan Kerajaan Pusat.

    Saya sangat bersetuju apabilakKerajaan negeri sentiasa membuka pilihan untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Syabas di atas kegagalannya memenuhi perjanjian konsesi dengan penuh tanggungjawab yg telah mengakibatkan kerugian tidak kurang dari RM8 billion.

    Kerajaan negeri diharap terus mengambil langkah-langkah wajar untuk memberi kefahaman kepada rakyat Selangor bagaimana kerajaan terdahulu telah menganiaya rakyat melalui pemberian konsesi kepada syarikat kroni.

    ReplyDelete
  14. DSKT mmg panadai harap2 dpt jd semula MB selangor itupun kalo menang dlm PRU13, tapi jgn khuatir semua rakyat selangor tahu DSKT boleh idup 100 tahun sbg ketua pembangkang hanya dengan makan tempe....

    ReplyDelete
  15. Dato Seri,

    Saya terkilan dengan berita bagaimana kerajaan Selangor di bawah pimpinan Dato Seri pada satu ketika dahulu memeterai perjanjian air dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas)yang sekaligus meranapkan harapan rakyat Selangor untuk menikmati bekalan air pada harga yang berpatutan. Perjanjian yang Dato Seri memeteraikan dengan Syabas merangkumi kesediaan kerajaan Selangor di bawah pimpinan Dato Seri sendiri untuk Syabas menaikkan tarif harga air pada kadar 39% untuk tahun 2009, 25% untuk tahun 2012, 20% untuk 2015, 10% untuk tahun 2018 dan 5% untuk 2021. Tidakkah Dato Seri merasakan kenaikkan sebitu rupa akan megakibatkan rakyat Selangor menangung bebanan yang tinggi? Atau apakah Dato Seri merasakan ekonomi negeri Selangor akan terus maju pada angka-angka tersebut dan seterusnya rakyat Selangor akan lebih kaya dan mampu membeli air pada kadar yang tinggi?

    Ada baiknya jika Dato Seri mengulas secara terperinci mengenai perjanjian tersebut yang kini menjadi satu bebanan politik dan perundangan untuk kerajaan Selangor yang ada pada hari ini.

    ReplyDelete
  16. Pasir bukan sebarang pasir. banyak pasir di sana sini. Pasir Panjang di Singapura, Pasir Mas dan Pasir Putih di Kelantan, Pasir Berdengung dalam cerita lama P Ramlee. Namun demikian, di Selangor kini ialah Pasir Roboh, Pasir Runtuh dan Korek Pasir.

    ReplyDelete
  17. Salam,
    Tahniah kepada Ketua Pembangkang di atas kesungguhan mengenengahkan isu pasir ini.
    Inilah tugas sebenar pembangkang,mencari isu2 yang boleh diketengahkan.So,kini barulah anda tau mcmna perasaan bila jd pembangkang.Bagus!teruskan usaha anda untuk "memancing" semula undi utk PRU13 nnt.
    Pasir..pasir..tulah masalahnya bila bangunan besar2 dibina.Termasuklah istana yang katanya bernilai puluhan juta yang dibina oleh bekas menteri besar dr UMNO di salah sebuah negeri yang kini dikuasai PR.Pembaziran betul tu.Tp itu hanya mungkin omongan kosong kedai kopi je.Apa pun..teruskanlah usaha anda mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Be End.

    ReplyDelete
  18. Sdr sangkatula dan sahabat sahabat bloggers lainnya,

    Khalid Ibrahim telah mengumumkan peruntukan rm 15 juta utk kempen mempertahankan kerusi menteri besarnya,saya jangkakan sdr akan lebih aktif menegakkan benang basahnya.

    saya hairan kenapa duet rakyat bukan duet KSSB?.
    Nampaknya khalid Ibrahim beria ia benar mempertahankan KSSB,seolah olah ada sesuatu yang tersembunyi antara mereka.Saya dah jangkakan Khalid Ibrahim akan marah pada saya dan akan menuduh macam macam terhadap saya bagi mengalihkan pandangan rakyat,tapi saya hairan kenapa tak disertakan dukumen dan bukti bukti yang mudah mereka dapati dari simpanan kerajaan.

    Saya didatangi ramai yang memberikan saya dokumen berkait dgn penyelewengan KSSB dan juga bagaimana kejadian lombong pasir dilakukan tanpa mengambilkira siapa yang akan memulihknnya selepas habis pasir dikorek.Malah dalam perjanjian dgn sub kontraktor tiada disebut langsung siapa yang akan memulihkan kerosakkan yang berlaku,kita tak mahu selangor jadi negeri yang dipenuhi dgn lubang lubang besar dan kawasan yang boleh dibangunkan berkurangan samada utk kediaman ataupun utk pertanian.

    Baguslah Khalid Ibrahim terus mempertahankan KSSB dan terus bersikap bongkak sombong,kerana dia tahu bahawa hanya KSSB akan memberi sokongan padanya pada pilihanraya akan datang bukannya rakyat selangor,teruskanlah agenda mengkronikan hasil pasir ini,kerana ia baik utk negeri selangor.

    ReplyDelete
  19. Salam Dato Seri,

    Pandai sungguh Dato Seri cuba mengumpan isu pasir yang mana semua sedia maklum bukanlah sebesar yang cuba Dato Seri war-warkan.

    Adalah amat tidak cerdik sekali apabila Dato Seri cuba bercerita berkenaan isu pembalakan pula, kerana umum sedia maklum siapakah yang bertanggung jawab dahulu memperkosa hasil hutan seperti tragedi yang berlaku di Bukit Cherakah.

    Apakah Dato Seri sudah lupa atau sengaja buat2 lupa? Memang benarlah kata2 Dr. M, Melayu memang mudah lupa :)

    ReplyDelete
  20. Sdra PR dan Sangtulah, dah habis modal ka nak jawab pendedahan lawan. Kalau hanya setakat kambing biri-biri jangan cuba menjadi harimau. Lain yang orang maksudkan lain yang dibalas, nampak sangat ketandusan jawapan kerana benang yang basah terendam dipaya Eli tak mampu nak diluruskan

    ReplyDelete
  21. Kalau benar bagai dikata, kenapa tidak disertakan gambar-gambar semasa lawatan ke lombong pasir tersebut? Agar terang dan jelas.

    "16. Jumlah bayaran KKSB kepada PTG sebanyak RM 213, 000.00 merupakan jumlah keseluruhan perlombongan pasir di Kambing Susu ini d. Jumlah yang dibayar oleh Jendela Teguh hanyalah untuk 1 KM kawasan pengeluaran pasir yang peruntukkan kepadanya. Bayangkan apa yang terjadi kepada kawasan seluas 9 KM lagi. Satu sen pun tidak masuk kepada PTG. Jika benar maklumat ini maka kita tertanya-tanya siapa yang dapat laba?"
    Lagi satu, merujuk point 16 di atas, bagaimana Dato' dengan yakin mengatakan bahawa baki 9km kawasan perlombongan pasir tersebut, 1 sen pun tidak masuk ke PTG?

    ReplyDelete