Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Wednesday, September 22, 2010

Perpaduan Satu Malaysia

1. Apabila YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak memperkenalkan idea 1 Malaysia saya percaya beliau bertujuan meneruskan kesinambungan gagasan perpaduan yang dibawa oleh Dato Onn Jaafar, dan diusahakan secara berterusan oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussien Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

2. Justeru tidak perlulah diterjemahkan terlalu banyak falsafah dan prinsip sehingga naik pening kepala rakyat di bawah. Satu (1) Malaysia harus mencerminkan makna-makna seperti "bersatu teguh bercerai roboh", Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

3. Masalah perpaduan di negara ini terlalu banyak dipolitikkan. Dibicarakan atas pentas politik dan diwarnai oleh kepentingan politik kepartian. Justeru sukar sama sekali untuk mencapai perpaduan apabila pentasnya ialah pentas politik.

4. Sejak dahulu pentas perpaduan terbaik ialah melalui sukan. Kejayaan dan penyertaan kita dalam pelbagai pertandingan antarabangsa terutamanya dalam acara Badminton, Hoki dan Bola sepak telah mewujudkan ikatan perpaduan antara kaum dan agama. Nama-nama seperti Isa Bakar, Soh Cin Aun, R. Arumugam, Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim, Hasan Sani, M. Karathu adalah nama-nama yang dilihat sebagai pemain bola sepak berjaya tanpa mengira kaum. Demikian juga kejayaan pemain badminton negara seperti Punch Gunalan, Wong Peng Soon, Ooi Teik Hock, Ong Poh Lim, Misbun Sidek dan adik beradik telah mewarnai dunia badminton negara dengan sokongan berbelah bagi tanpa mengira bangsa, agama mahu pun sempadan negeri. Kita juga pernah melahirkan perenang cemerlang bernama Nurul Huda Abdullah, seorang perenang dari kaum Cina dengan nama seperti orang Melayu.

5. Saya fikir sebab itu juga Tun Dr. Mahathir membawa kejohanan sukan yang besar dan diminati rakyat seperti Piala Thomas, Sukan Sea dan Sukan Komanwel. Ia merupakan agenda perpaduan yang tidak perlu disorak dan dilaungkan. Demikian juga dengan laungan "Malaysia Boleh" diucapkan oleh semua kaum setiap kali negara kita mendapat kejayaan sama ada dalam bidang sukan mahu pun pencapaian lain di peringkat antarabangsa.

6. Baru-baru ini saya menonton filem Invictus arahan Clint Eastwood yang diadaptasi daripada kisah benar mengenai usaha Nelson Mandela menghapuskan prasangka antara kaum melalui sukan Ragbi.

7. Saya fikir kerajaan perlu menumpukan usaha-usaha perpaduan melalui sukan terutamanya sukan popular seperti badminton, Sepak Takraw, Hoki dan Bola sepak. Jika laungan Satu Malaysia boleh menggegarkan Stadium Negara seperti mana laungan Malaysia Boleh suatu ketika dahulu tentulah agenda perpaduan ini lebih bermakna.

8. Agenda Satu Malaysia juga boleh dicapai melalui kerja-kerja kemasyarakatan, rekreasi dan usaha mencipta nama negara di luar negara. Ini semua akan dilihat atas kepentingan negara bukannya kepentingan politik.

9. Filem Invictus memaparkan sikap segelintir pemimpin kulit hitam yang menguasai pentadbiran negara apabila Nelson Mandela menang pilihan raya Presiden. Mereka mahu melakukan perubahan-perubahan yang boleh menyinggung perasaan kaum kulit putih. Ini termasuklah usaha menghapuskan warna jersi, lambang dan juga nama "Springbook" daripada pasukan Ragbi Afrika Selatan. Mujurlah ia dihalang oleh Presiden Mandela kerana beliau mahukan perpaduan rakyat bukannya pembalasan dendam.

10. Sungguhpun tidak sama, namun apa yang terjadi dalam filem tersebut sedikit sebanyak boleh dikaitkan dengan apa yang terjadi kepada negara kita pasca pilihan raya 2008.

11. Kemunculan kaum bukan bumiputera sebagai penentu kekuatan pemerintah di beberapa negeri telah membuka ruang untuk segelintir pemimpin bukan Melayu yang bersifat ultra untuk menuntut perubahan terhadap perkara-perkara yang membabitkan bumiputera. Pemimpin bukan Melayu yang bersikap sederhana sebelum ini juga turut menyertainya kerana bimbang hilang sokongan.

12. Kaum bumiputera, khususnya orang Melayu, pula melihat ini sebagai satu usaha menangguk di air yang keruh. Apabila tuntutan-tuntutan ini menggunakan pula laungan Satu Malaysia sebagai satu alat untuk mendesak tuntutan mereka dipenuhi, maka prasangka orang Melayu terhadap 1 Malaysia kian buruk.

13. Agenda Satu Malaysia tidak mungkin tercapai jika ia terus dijalankan atas landasan politik. Hari ini Satu Malaysia digunakan sebagai alat politik. Pemimpin politik kaum Cina dan India melihat Satu Malaysia sebagai satu alat untuk menuntut penghapusan perkara-perkara yang dianggap pro - bumiputera dan telah dipersetujui sejak merdeka lagi.

14. Tuntutan-tuntutan yang ingin menghakis kepentingan bumiputera berselindung di sebalik pentas 1 Malaysia pula menyebabkan kaum bumiputera berprasangka buruk terhadap usaha perpaduan menerusi agenda 1 Malaysia. Lalu ramai yang skeptikal dan pesimis terhadap agenda perpaduan menerusi slogan 1 Malaysia ini. Ini kerana tuntutan-tuntutan atau pandangan yang dibuat menerusi kaca mata politik.

15. Dalam rumah Terbuka UMNO Selangor baru-baru ini saya sempat bercakap dengan Pengerusi MCA Selangor, Dato' Donald Lim. Saya nyatakan bahawa MCA terlalu melihat isu pembahagian ekuiti dan pembabitan bumiputera sebanyak 30% dalam perniagaan. Ini ialah isu-isu ahli perniagaan yang tidak mungkin berpuas hati sampai bila-bila pun. MCA tidak boleh menjadi parti yang pro ahli perniagaan semata.

16. Bagi saya MCA dan juga parti komponen BN yang sepatutnya melihat isu-isu rakyat banyak seperti pengangguran, kos sara hidup, pendidikan, penagihan dadah, kesihatan dan kemiskinan yang merentasi batas kaum. Apabila isu-isu ini dibincangkan tanpa membabitkan hak kaum bumiputera barulah isu kerenggangan kaum ini dapat dielakkan.

17. Selagi kita melihat 1 Malaysia melalui kaca mata politik selagi itulah rakyat yang pelbagai kaum ini akan saling curiga-mencurigai antara satu sama lain.

18. Saya melihat setakat ini 1 Malaysia bukan sahaja gagal merapatkan hubungan antara kaum tetapi makin menjarakkannya kerana ia digunakan oleh pemimpin politik kerajaan dan pembangkang untuk menuntut dihapuskan perkara-perkara tertentu yang menjadi polisi sebelum ini. Kaum bumiputera marah kerana mereka seolah-olah "digertak", manakala yang bukan bumi pula marah kerana 1 Malaysia tidak mengubah kedudukan polisi-polisi pro-bumiputera yang sedia ada.

19. Justeru adalah penting agenda perpaduan 1 Malaysia ini diterjemahkan dalam bentuk di luar kerangka politik seperti mana kita pernah menyatukan rakyat di bawah slogan "Malaysia Boleh" dan kempen "Bersatu Teguh Bercerai Roboh".

15 comments:

  1. Assalamualaikum pada semua dan Selamat Aidilfitri...

    Memang jelas terdpt perbezaan antara filem Invictus tu dgn keadaan suasana perpaduan di negara kita pd masa ini. Apa yang terjadi dan keaadaan di Afrika Selatan sebelum Presiden Nelson Mandela memerintah amatlah jauh sekali dgn Malaysia kerana kita bukan mengamalkan dasar apartheid. Amatlah sedih dan dukacita kiranya ada yg b'fkrn dasar kita selama ini adalah sama.

    Di Afrika Selatan, orang putih menguasai keseluruhan negara dan mengamalkan penindasan terhadap penddk asal. Sama dgn yang berlaku sebelum Tanah Melayu merdeka, walaupun bukan semua serupa namun keadaan nya tdk byk berbeza.

    Ketika Tanah Melayu ingin merdeka, ada di kalangan pemimpin Melayu menyuarakan agar bukan melayu tidak diberi kerakyatan, pihak British mendesak agar negara ini dibentuk dgn rakyat pelbagai kaum di mana hak bumiputera dijaga. Sungguhpun terpaksa menerima syarat sebegitu, org2 Melayu akhirnya akur dan setelah mendapat kemerdekaan, tdk pula org Melayu ini menekan bukan bumiputera seperti hamba. Malah bersama2 membangunkan negara Malaysia seperti yang ada seperti hari ini. Masing2 mempunyai hak untuk menganuti agama serta mengamalkan budaya masing2 tanpa ada sekatan tdk seperti kebanyakan negara lain di dunia. Cuma, hak keistimewaan bumiputera (yg merangkumi org melayu, pribumi di Semenanjung, Sabah & Sarawak)membezakan dgn kaum2 yang lain. Persoalannya, adakah dgn keistimewaan ini menyeksa, menganiaya, menekan dan menghalang rakyat yg bkn bumiputera dari makan, minum atau hidup selesa untuk maju?

    Isu perbezaan kaum atau secara kasar nya "perkauman" ini telah menjadi 'duri dalam daging' dan 'api dalam sekam' di mana apabila dipetik sedikit sahaja, akan menjadi 'parah' dan 'marak'. Siapa, mengapa dan apa tujuan ianya dibangkitkan? Maaf cakap kebanyakannya datang dari org politik itu sendiri, baik dari pemerintah mahupun pembangkang. Sbb itu semasa dari sekolah lagi, guru saya menyatakan politik itu tdk 'kotor', tetapi individu yg berpolitik itulah yg menentukan perjalanan politiknya itu menjadi kotor atau bersih. Sungguh menyedihkan bila mana kebanyakan org2 politik masa kini terpaksa dinilai dan dipilih bukan dgn ketokohan, kredibiliti serta intergritinya, tetapi dinilai berapa kurangnya ke'kotor'an dan kemudaratan yg bakal dibawa apabila berkuasa.

    Keadaan cerca marba kini sudah tentu lah hasil dari apa yg telah diusahakan sebelum ini, cuma ianya tdk perlu tunggu lama seperti ketika kita ingin membina perpaduan yg harmoni sebelum ini.
    Tentu ramai yg berkata, perpaduan yg kita kecapi selama ini adalah hasil dr pemerintahan Diktatator atau kuku besi yg menggunakan akta ISA bg menghumban musuh2 politik, tetapi saya rasa lebih ramai yang setuju keadaan itu diperlukan dalam negara majmuk ini sekiranya kebanyakan ahli2 politik di negara ini tdk reti menjg tatasusila berpolitik di Malaysia. Kerana akta ISA tdk mengira kaum, sesiapa yg boleh mencetuskan suasana tegang dan mengganggu keharmonian negara patut diberi 'bilik darjah' sj di situ.

    Kenang2kanlah dan hargailah suasana keharmonian dan rasa perpaduan yg telah wujud dan sesama kita bina/semai selama separuh abad ini, jgn disebabkan isu2 yg dibangkitkan oleh segelintir org politik yg berkepentingan 'perut'nya sendiri, hbs tergadai keseluruhan usaha satu negara. Tiada apa yg tinggal nanti untuk generasi kita yg akan datang. Nauzubillah.

    ReplyDelete
  2. bukan susah nak menghancurkan Malaysia , cuit sahaja isu yang membabitkan bumiputra akan tercetuslah perang ketidak puasan hati...

    saya gembira dato menegur MCA tentang peranan mereka kepada rakyat, mereka sudah lupa golongan bawahan dan memikirkan ahli koporat dengan isu remeh temeh...walhal peruncit cina mengharapkan pelanggan melayu untuk memajukan mereka..jika tidak terkuburkan peruncit cina dikawasan melayu...

    MCA sudah menjadi parti ahli perniagaan besar2 sahaja...UMNO wajib merubah pandangan dan gerak kerja dalam memenangi hati orang melayu, dan sekarang ramai melayu mula sedar, Pas tidak mampu mewakili mereka...UMNO perlu kembali kepada asal membela agama dan bangsa..persetankan pemimpin UMNO yang mengatakan malaysia dahulu kemudian melayu...walhal kepimpinan tertinggi UMNO mengutamakan bangsa kerana bangsa tunjang negara

    ReplyDelete
  3. ada ramai yg tidak berminat dgn politik tetapi orang politik jgn memandang sinis dgn kumpulan yg tidak berminat dgn politik kerana ada kalanya kumpulan dan golongan inilahlah yg mempunyai pengaruh dalam kumpulan yg adakala tidak mampu dikuasai oleh orang politik jika orang politik tidak faham atau bijak menggunakan kuasa politik......."untuk apa & mengapa"....jgnlah sehingga nasi benar2 sudah jadi bubur baru hendak menyesal...!biar pahit untuk ditelan...!jika ia mampu mengubati luka yg ada....mengapa tidak?

    saya rasa ds khir faham apa yg sepatutnya dilakukan....samalah seperti apa gunanya memberi penyapu dahulu.....ramai yg tidak faham mengapa itu dan bukan ini kita lakukan.....

    kumpulan yg tidak berminat untuk berpolitik sebenarnya tahu orang berkuasa dalam politik amat diperlukan kerana hanya orang2 inilah yg mempunyai suara dalam menyalurkan segala kuasa material untuk menjayakan sesuatu acara samada berbentuk sukan yg menyatukan dan memperkukuhkan ikatan perpaduan kita semua.....cuma pada perkiraan saya ramai yg gagal dalam mengharungi karenah birokrasi...ada diantara kumpulan tertentu yg terlalu taksub bila mana jawatan menjadi alasan untuk berbirokrasi....persolannya berapa ramai yg mampu menghadapinya?...alhamdulillah kepimpinan yg telah diuji berjaya mempermudahkan usaha masyarakat yg ingin sedikit kegembiraan dan bersatu didalam sukan...tahniah..!

    sukan tanpa politik sebenarnya tetap boleh dilakukan oleh rakyat biasa tetapi kesan dan sinisnya akan ada pada orang politik...!inilah yg perlu difahami oleh orang politik...diamnya rakyat diam memendam....jgnlah luka pru12 berulang kembali oleh kerana sikitol2 yg ada pada orang politik..!

    pendek kata orang politik mesti faham denyut dan kias masyarakat biasa kerana orang politik jika berjaya mengembirakan mereka yg sinis tidak berminat dengan politik ....mereka2 ini mungkin sebenarnya yg akan mengukuhkan mana2 parti politik didalam negara kita ini dgn cara mereka sendiri tanpa diketahui dari mana kekukuhan dan perpaduan itu datang!

    jgnlah orang politik hanya melihat dan mentafsir ...hanya orang politik yg perlu diutamakan dengan alasan orang yg tidak berminat dgn politik biarkan sahaja & diabaikan ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan....kan kita orang politik..! mesti kuat..! mesti buat apa yg kita mahu!,rakyat hanya ikut sahaja..!.....

    ingatlah...!!!!!! dunia sudah berubah...rakyat sentiasa memerhati dan melihat perkembangan samada menguntungkan rakyat kebanyakkan atau menguntungkan kantung yg kekadang menyusahkan rakyat.....!

    jika ditanya mana2 pemimpin yg berkuasa kepada saya.....apakah jenis pemimpin yg dikehendaki oleh kamu?....

    nescaya saya akan berkata tanpa syak wasangka.."PEMIMPIN YG DAHULU PERNAH TERSALAH LANGKAH KETIKA BERKUASA PUN,JIKA SEKARANG MEREKA SEDAR DAN INGIN MENEBUS KEMBALI KEKURANGAN2 YG TIDAK DISEDARI DAHULU....PEMIMPIN ITULAH YG KAMI AKAN TERIMA DAN ANGKAT KEMBALI....

    rugi rasanya jika pemimpin yg ada dan berpengalaman tidak digunakan oleh rakyat kebanyakan seperti kami untuk mengembirakan hati rakyat negara kita semua dari terus dikelirukan oleh kumpulan2 ekstrem dari pakatan rakyat...!

    Agak mustahil jika ros yg ingin dipetik tanpa tertusuk durinya....begitulah kita umat melayu..agak mustahil jika kita ingin mencapai perpaduan yg hakiki tanpa kita berani bersuara dan bertindak kearah penyatuan.....

    kumpulan yg tidak berminat duduk berbincang
    mencerminkan prinsip BERCERAI ROBOH

    kumpulan yg menyuarakan kesediaan untuk berbincang mencerminkan BERSATU TEGUH

    banyak yg tersirat dalam tersurat yg harus dihayati oleh golongan muda hari ini....salam

    ReplyDelete
  4. pandangan yang baik ..kami sokong tulisan Dato' ini lah realiti yang dihadapi sekarang.....

    ReplyDelete
  5. salam Dato,

    perpaduan di malaysia sebenarnya memang ujud tetapi malang nya ketika ini ia kelihatan sangat rapuh dan diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk memburukan lagi keadaan.

    pemerintah pula tidak peka dengan segala apa yang berlaku dan kelihatan lemah serta gagal mengambil tindakan yang berkesan.

    berkenaan 1 malaysia saya eloklah tidak diteruskan lagi jika ia memberi ruang untuk disalah erti/gunakan.lagi pun ia hanyalah slogan.jika tak tak ada pun tidak mengapa.ada banyak slogan lain lagi kita boleh gunakan.

    ReplyDelete
  6. DS, kupasan yang baik serta mampu menyedarkan segelintir masyarakat yang taksub kepada mana-mana parti yang mereka sertai. Pandangan DS dalam isu ini diharap mampu membuka mata pemimpin negara agar setiap perancangan serta tindakkan kelak mampu mengstabilkan keadaan yang semakin kacau bilau.

    ReplyDelete
  7. Saya rasa niat DS Najib mengenai IMalaysia adalah baik dan murni.Jangan lupa beliau mengambil alih jawatan PM di dalam keadaan yang hampir sama dengan keadaan semasa ayahandanya Allahyarham Tun Razak mengambil alih jawatan PM daripada Almarhum Tunku Abd Rahman - suasana politik dan ekonomi yang tidak menentu dan tidak stabil. Oleh itu gagasan IMalaysia ini diperkenalkan untuk menstabilkan politik negara supaya lebih penumpuan diberi terhadap usaha meningkat ekonomi negara supaya keadaan hidup rakyat menjadi lebih selesa.

    Malangnya gagasan IMalaysia ini telah diberi pelbagai tafsiran mengikut kepentingan kaum,puak dan kumpulan tertentu oleh ahli-ahli politik dan pemimpin yang mewakili kepentingan tersebut. Oleh itu pelbagai tuntutan dibuat mengikut tafsiran tersebut atas nama gagasan IMalaysia walaupun tuntutan tersebut jelas sekali bertentangan dengan prinsip IMalaysia contohnya tuntutan untuk mengiktiraf sijil peperiksaan UEC setaraf dengan sijil STPM yang boleh digunakan sebagai syarat kelayakan masuk IPTA dan memohon jawatan sektor awam. Lebih malang lagi apabila tuntutan-tuntutan ini mendapat sokongan atau tidak disanggah secara bersungguh-sungguh oleh sebahagian besar pemimpin Melayu/Islam di dalam PR dan segelintir pemimpin Melayu/Islam di dalam UMNO sendiri. Semuanya ini terjadi adalah kerana hendak menjaga dan menarik undi bukan Melayu/Islam di dalam PRU13 nanti sekalipun tindakan ini amat melukakan hati kebanyakan orang Melayu/Islam di peringkat bawahan.

    Sebab itulah semakin ramai orang Melayu/Islam lebih tertarik kepada Perkasa yang lebih lantang memperjuangkan hak orang Melayu/Islam dari dipertikai dan diperlekeh oleh bukan Melayu/Islam. Ini kerana kebanyakan pemimpin UMNO sudah tidak begitu berani dan lantang mempertahankan kepentingan Melayu/Islam seperti yang telah pernah dilakukan sebelum ini. Manakala PAS yang dahulunya begitu istiqomah memperjuangkan Islam ( dan kadang kala memperjuangkan Melayu juga ) sudah jauh berubah menjadi sangat liberal setelah semakin dikuasai oleh puak Erdogan dan pemimpin Pro Anwar dan juga setelah bersekutu dengan DAP dan PKR serta mengambil ahli dari kalangan bukan Islam yang dikumpulkan di bawah Kelab Penyokong Pas. Malah Mursyidul Amnya pun sudah mengaku tidak berbangga@malu di lahirkan sebagai Melayu. Manakala pemimpin PAS dari kalangan ulama yang lain pun sudah semakin kehilangan suara.

    Jadi sekiranya gagasan IMalaysia ini gagal mencapai matlamat atau menyebabkan lebih banyak kepentingan Melayu/Islam tergadai maka ia tidak boleh diletakkan di atas bahu DS Najib seorang sahaja. Malah pemimpin UMNO yang lain serta para pemimpin Melayu/Islam di dalam PAS,PKR dan DAP(?) haruslah juga memainkan peranan mempertahankan hak-hak Melayu/Islam ini. Manakala para pemimpin bukan Melayu/Islam khususnya daripada DAP begitu ghairah hendak menghapuskan apa sahaja kepentingan atau dasar yang memihak kepada orang Melayu/Islam tetapi pada masa yang sama membuat pelbagai tuntutan yang sentiasa menguntungkan kaum mereka. Walaupun situasi politik dan ekonomi negara semasa DS Najib mula menjadi PM adalah hampir sama seperti semasa almarhum ayahandanya mula menjadi PM tetapi suasananya agak berbeza kerana pada zaman 70an belum ada ledakan teknologi maklumat melalui Internet seperti hari ini dan secara umumnya gennerasi pada masa tersebut agak kurang berpendidikan.Manakala pada hari ini sember maklumat berada di hujung jari dan generasi hari ini lebih pintar(walau puntidak semestinya bijak) dan lebih berpendidikan. Jadi cabaran yang dihadapi oleh DS Najib adalah jauh lebih besar berbanding almarhum ayahandanya.

    Namun saya tetap berpendapat semua yang di atas ini tidak akan berlaku sekiranya tidak terdapat seorang pemimpin bernama Anwar Ibrahim yang begitu rakus dan ghairah hendak menjadi PM Malaysia yang sanggup berbuat apa sahaja aslakan cita-citanya tercapai.

    ReplyDelete
  8. Salam DSKT

    Lama benar saya tak komen di halaman DSKT. Alangkah baiknya jika DSKT menjadi PM. Pandanag DSKT saya lihat amat menyeluruh dan mempertimbangkan semua isu samada yang 'significant' mahupun yang tak 'significant' terutamanya seruan DSKT pada pengubal misi kerajaan yang terlampau fikirkan KPI.
    Pada pandangan saya dalam hal ini, seorang presiden atau PM perlu kuat dan tegas dalam membuat keputusan. Mungkin juga masalahnya, bila kita yang berada di luar, lebih jelas nampak akan masalah ini akan tetapi bila kita di dalam masalah ini nampak bercelaru dan berpusing dalam satu kotak.
    Seorang pemimpin yang berfikiran 'Out of the Box' amat (trilion X) di perlukan. Bagi saya DSKT mempunyai nilai ini selain TUN M yang amat 'brilliant' dalam pemerintahan negara. Selain dari sifat 'Out of The Box' ini kita juga perlu mempunyai intergriti yang amat tinggi seperti TUN M juga. Kalau asyik fikir poket sendiri pun tak bagus juga...
    Kalau seorang pemimpin yang bersifat sebegini habuan yang amat besar di akhirat kelak di bandingkan dengan habuat rakyat jelata..
    Harapan saya agar DSKT yang dah pun mempunyai satu nilai kepimpinan yang diperlukan dapat membentuk satu lagi nilai kepimpinan yang boleh di bentuk, cuma perlukan pembersihan hati dari sifat yang membawa kecelakaan dunia akhirat dan bila dah di tahap sedemikian, saya 200% vote for DSKT untuk di calunkan menjadi bakal PM M'sia seterusnya.

    ReplyDelete
  9. Salam...

    Saya rasa DS perlu juga ulas sedikit dgn hal ini walaupun ini berkaitan dgn hal Kementerian...

    http://drmaza.com/home/?p=1230

    ReplyDelete
  10. Dato Sri,
    kita konon-kononya dah maju (selangor le..) tapi banyak amalan pentadbiran kita macam dunia "kempat"..Kita tidak ada "political will" untuk mengurangkan accident dan jumlah saman pada musim perayaan.Data Opss sikap tidak memberikan kita sebarang pengajaran dan tindakun yang bermakna. Turun naik nya jumlah saman dan accident tidak terhasil dari tindakkan yang "bold and serous".. Ia hanyalah fenomena fluktuasi statistik..

    ReplyDelete
  11. Bila Nawawee bangkit isu perkauman... siap publish satu dunia... takde tindakan pun... Bila nak ambil tindakan.. parti Cina atau NGO Cina akan support Nawawee habis-habisan....

    Bila kes Guru Besar kat Kulai cakap pasal perkauman, teruk guru tu kena hentam tapi takde pulak parti politik Melayu, NGO atau PERKASA tolong backing guru tu..... kelakar pulak rasanya....

    ReplyDelete
  12. apa apa pun saya harap negara kita kekal aman dan damai.

    ReplyDelete
  13. Salam DS,
    Saya menyokong sepenuhnya program 1MALAYSIA yg diilhamkan oleh PM kita yg tercinta!!!Saya rasa ini adalah satu perjalanan untuk PM kearah negara 1MALAYSIA yg tercinta!!!
    SAYA HARAP BILA BN MEMEGANG SEMULA KUASA DI PRU13 NANTI...HAPUSKAN SEGALA RASUAH,HAPUSKAN KRONISM(TIDAK MEMIHAK KEPADA PARTI POLITIK SAHAJA)TERBUKA KEPADA SEMUA RAKYAT YG TIADA KEPENTINGAN POLITIK!!!DENGAN CARA INI BN MAMPU MEMEGANG TEGUH KE PRU SETERUSNYA......AKAN TETAPI SAYA TIDAK YAKIN BN AKAN DAPAT SEMULA PENANG...MALAH MUNGKIN GAGAL DALAM NEGERI PERAK JUGAK!!!

    ReplyDelete
  14. salam dr khir, harap link ini dapat memberi maklumat tambahan
    http://mistisfiles.blogspot.com/2009/03/alter-terahsia-bangsa-melayu-bhg-1.html

    ReplyDelete