Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Wednesday, October 6, 2010

BAJET 2011: Berikan Tumpuan Khusus Kepada Pelajar Tercicir

1. Saya berharap peruntukan Pendidikan dalam Bajet 2011 yang akan diumumkan nanti akan memberi fokus yang besar kepada isu pendidikan kemahiran dalam bidang vokasional, teknologi maklumat, teknik dan komunikasi kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang gagal memasuki institusi pengajian tinggi.

2. Ini kerana saban tahun peruntukan pendidikan banyak bertumpu kepada pendidikan pra-sekolah, sekolah dan pendidikan tinggi. Yang selalu diabaikan atau nampak seolah-olah terabai ialah pendidikan pelajar yang tercicir dari pendidikan tinggi atau pendidikan lepasan sekolah. Setiap tahun tahun hampir 600 ribu pelajar mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia(STPM). Daripada jumlah tersebut dianggarkan hanya 300 ribu orang yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Selebihnya ke mana hala tuju mereka?

3. Jika kebolehan dan kemampuan golongan ini tidak dapat ditingkatkan saya khuatir hasrat negara meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia dalam konteks "jurang yang cetek" sukar dilaksanakan.

4. Peningkatan pendapatan per kapita tanpa mengambil kira jurang pendapatan antara rakyat tidak akan membantu menjana kemakmuran negara. Sebab itu kerajaan dalam cadangan Model Ekonomi Baru (MEB) mahu menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan golongan miskin dan sederhana kepada berpendapatan tinggi. Tiada gunanya melahirkan 3-4 juta rakyat berpendapatan tinggi tetapi lebih 10 juta lagi berada di bawah paras kemiskinan. Inilah yang kita khuatir akan berlaku pada masa akan datang jika tiada usaha meningkatkan kemahiran pelajar yang gagal ke universiti.

5. Selain memberi tumpuan kepada kumpulan orang miskin dan kurang upaya, keciciran pelajar sekolah saban tahun juga perlu diberi perhatian serius. Sekiranya kumpulan ini terus tercicir setakat pencapaian SPM dan STPM mereka akan terus menjadi pekerja berpendapatan rendah. Apabila berkeluarga sebahagiannya akan memenuhi ruang kategori kumpulan orang miskin pula.Pusingan ini akan berterusan sekiranya usaha secara seriush meningkatkan kemahiran kumpulan pelajara ini tidak diberi perhatian serius.

6. Tidak banyak peruntukan dan peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran vokasional dan teknik untuk semua kaum. Tidak silap saya hanya terdapat tidak lebih 70 kolej komuniti di negara ini bagi menampung ramai pelajar yang tamat SPM dan STPM tetapi tidak dapat melanjutkan pelajaran ke pendidikan universiti.

7. Pada pemerhatian saya, kita juga tidak mempunyai sebarang pelan khusus bagi meningkatkan kemahiran komunikasi untuk kumpulan ini bagi membolehkan mereka mendapatkan jawatan separuh profesional di syarikat-syarikat muti-nasional yang beroperasi di negara ini.

8. Jika kumpulan ini dapat dilatih sehingga mahir beberapa bahasa, terutamanya bahasa Inggeris, sudah pasti peluang mereka mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih baik terbuka luas. Ini juga akan membantu Malaysia menarik lebih banyak syarikat antarabangsa membuka Pejabat Kawasan (regional office) mereka di negara ini kerana ada bekalan tenaga kerja bawahan yang mampu berkomunikasi dalam bahasa inggeris dengan baik.

9. Saya fikir selain latihan vokasional, teknik dan IT, kerajaan juga perlu menawarkan peluang pembelajaran intensif bagi kemahiran komunikasi kepada pelajar tercicir ini. Kewujudan kem latihan kemahrian komunikasi ala PLKN mungkin boleh melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang mempunyai kemahiran komunikasi bahasa Inggeris dan bahasa antarabangsa lain dengan baik.

10. Langkah mewujudkan pelan pembangunan modal insan di kalangan mereka yang gagal memasuki IPT ini juga akan dapat mengelakkan lambakan tenaga kerja kurang mahir yang terlalu awal dalam pasaran sehingga mewujudkan pengangguran. Ini kerana negara kita bukan lagi tumpuan pelabur yang memerlukan tenaga kerja murah secara besar-besaran. Malahan jika ada pun kebanyakannya diisi oleh tenaga kerja asing.

11. Pengalaman saya di Selangor sendiri, kumpulan ini jika tidak diuruskan dengan segera akan mewujudkan lebih banyak gejala sosial seperti mat rempit, bohsia, peragut, penagih dadah dan penjenayah kecil-kecilan. Sebab itu kerajaan negeri dahulu berusaha mewujudkan pelbagai institusi kemahiran belia kepada semua kaum.
Antaranya termasuklah Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Sabak Bernam yang sekarang ini telah ditutup. Selain itu pada 2006 juga Industri Pendidikan Negeri Selangor (INPENS) telah memfokuskan sepenuhnya kepada pendidikan vokasional dan keperluan industri.

12. Adalah menjadi harapan agar kerajaan memberi perhatian serius kepada kumpulan ini dengan menyediakan kemahiran hidup yang diperlukan untuk masa depan mereka dan juga negara. Kem PLKN mungkin membentuk sahsiah diri yang baik, namun jika bertahun-tahun selepas kem tersebut mereka terus terawang-awangan tanpa hala tuju dan pekerjaan yang baik, maka segala yang moral dan disiplin yang diterapkan dalam kem tersebut hanya menjadi seperti mencurah air di daun keladi.

3 comments:

  1. DS, bukan sahaja tumpuan bajet harus diberi kepada pelajar yang tercicir, perlu juga ada pengkususan kepada keperluan dalam sesuatu bidang kritikal yang diperlukan dalam membina negara.

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Saya bersetuju dgn YB Dato Seri, pelajar yg teercicir ni perlu dibimbing agar ia tidak terjerumus dengan perkara yg tidak sihat. Berikan ilmu kemahiran agar boleh digunakan untuk menjamin kehidupan mereka. Seperti kemahiran membaiki kenderaan, tidaklah hanya bergantung kepada kaum lain yg telah mendominasikan bidang ini.

    Harapnya budget tahun 2011 ni juga tidak melupakan golongan petani dan penduduk luar bandar agar tidak ketinggalan pembangunan ict memandangkan ia amat penting dimasa ini.

    ReplyDelete
  3. Pendaftar Pengundi Baru: BN Losing Ground

    sila baca di: www.suararakyatselangor.blogspot.com

    ReplyDelete