Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Tuesday, November 9, 2010

TEKS PERBAHASAN BELANJAWAN 2011 **

Nota: ** Teks ini merupakan draf ucapan yang mungkin berbeza dari ucapan saya yang sebenar di dalam Dewan Negeri Selangor.
- adalah dimaklumkan dalam ucapan tadi terdapat banyak celahan dan banyak huraian di luar teks terutamanya mengenai isu air. Justeru saya tertinggal para 89 daripada ucapan saya tadi. Harap maklum.


Tuan Speaker dan Sidang Dewan yang mulia,


Assalamualaikum warrahmatullah hiwabarakatuh, salam sejahtera, salam Satu Malaysia.

Terlebih dahulu terima kasih kerana memberi laluan kepada Sungai Panjang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang yang bertajuk “Suatu Enakmen bagi Penggunaan Sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi tahun 2011, dan peruntukan wang itu bagi perkhidmatan pada tahun tersebut” yang telah dibentangkan oleh Y.A.B. Dato Seri Menteri Besar semalam.

Tuan Speaker dan sidang Dewan sekalian,

1. Sungai Panjang ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Menteri Besar yang membentangkan satu belanjawan yang berimbang dengan anggaran pendapatan sebanyak SATU RIBU EMPAT RATUS TIGA PULUH JUTA RINGGIT (RM 1, 430 JUTA) dan perbelanjaan sebanyak SATU RIBU EMPAT RATUS TIGA PULUH JUTA RINGGIT (RM 1, 430 JUTA).

2. YAB Menteri Besar dengan bangganya mengisytihar bahawa belanjawan kali ini merupakan belanjawan berimbang yang merupakan kesinambungan kepada Belanjawan Negeri Selangor pada 2009 dan 2010.

3. Sebenarnya tidak wujud belaanjawan berimbang seperti yang di dakwa oleh YAB Menteri Besar pada tahun 2009 dan 2010.

4. Telah dua tahun berturut-turut Selangor mengalami Belanjawan Defisit biarpun semasa pembentangannya menunjukkan ia merupakan belanjawan yang berimbang. Pada 2009, Kerajaan Negeri membentangkan satu Belanjawan berimbang dengan jumlah SATU RIBU EMPAT RATUS JUTA RINGGIT.

5. Namun dalam sidang Dewan Negeri Selangor penggal kedua dan ketiga tahun 2009 kerajaan negeri telah membentangkan Belanjawan Tambahan sebanyak dua kali yang kesemuanya berjumlah RM 578, 445, 168.68 (LIMA RATUS TUJUH PULUH LAPAN JUTA, EMPAT RATUS EMPAT PULUH LIMA RIBU, SERATUS ENAM PULUH LAPAN RINGGIT DAN ENAM PULUH LAPAN SEN)

6. Justeru keseluruhan Belanjawan 2009 ialah SATU RIBU SEMBILAN RATUS TUJUH PULUH LAPAN JUTA, EMPAT RATUS EMPAT PULUH LIMA RIBU, SERATUS ENAM PULUH LAPAN RINGGIT DAN ENAM PULUH LAPAN SEN (RM 1, 978, 445, 168.80)

7. Kerajaan negeri bernasib baik apabila berlaku pertambahan dalam pendapatan negeri dan juga atas silap mata “round tripping” hutang Talam, maka pada akaun akhir tahun 2009 kerajaan negeri mengalami defisit sebanyak RM 65.96 juta (ENAM PULUH LIMA JUTA, SEMBILAN PULUH ENAM RIBU RINGGIT). Jika tidak defisit yang dicatatkan pastinya lebih besar.

8. Trend ini sangat membimbangkan kerana kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional telah pun berjaya mewujudkan belanjawan berimbang dan mempunyai lebihan, atau dengan izin, surplus, dalam akaun kerajaan negeri sejak 2006.

9. Pada 2006 akaun kerajaan negeri mempunyai lebihan sebanyak RM 72.51 juta. Ia kemudiannya meningkat kepada 131.88 juta pada 2007. Namun pada tahun 2008, tahun transisi pentadbiran dari Barisan Nasional kepada Pakatan, akaun kerajaan negeri mempunyai lebihan yang berkurangan kepada hanya RM 49.1 juta.

10. Akhirnya pada tahun 2009, akaun kerajaan negeri mengalami defisit sebanyak RM 65.96 juta. Hampir-hampir sama pula dengan hutang Ijok kepada Bank Islam yang sedang dibicarakan di Mahkamah.

11. Apabila Belanjawan 2010 dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini pada November 2009 dengan anggaran pendapatan dan perbelanjaan berjumlah Satu Ribu Tiga Ratus Juta Ringgit (RM 1.3 bilion), saya menyatakan bahawa ia belanjawan yang realistik.

12. Namun saya turut mengingatkan bahawa keadaan yang sama dilakukan dalam Belanjawan 2009 tetapi akhirnya lain yang berlaku. Peruntukan tambahan demi peruntukan tambahan diminta.

13. Ketika itu, Bukit Antarabangsa dengan pantas menyanggah saya dalam satu portal berita internet, saya petik kata Hulu Kelang, “We do not spend more than what we (have). We get RM 1.3 bilion, we spend RM 1.3 bilion”. Namun, kita semua tahu apa yang Bukit Antarabangsa pertahankan itu, akhirnya beliau sendiri terpaksa menelannya kembali.

Tuan Speaker dan ahli-ahli Yang Berhormat Sekalian,

14. Ketika saya digantung, Dewan ini telah membentangkan dua Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan 2010.

15. Dalam sidang Dewan pada bulan April lalu peruntukkan tambahan sejumlah RM 69 juta telah dipohon dan diluluskan. Pada bulan Julai pula, satu lagi Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan 2010 dibentangkan dengan permohonan peruntukan sebanyak RM 117 juta. Kini dalam sidang November ini, satu lagi peruntukan tambahan dipohon dengan jumlah RM 8 juta. Keseluruhan belanjawan tambahan tahun ini ialah RM 194 juta.

16. Jadi keseluruhan Belanjawan 2010 ialah sebanyak SATU RIBU EMPAT RATUS SEMBILAN PULUH JUTA RINGGIT atau secara ringkasnya, RM 1.494 BILION. Ini bermakna kerajaan negeri pada tahun ini, secara atas kertasnya, akan mengalami defisit sebanyak RM 194 juta.

Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat Sekalian

17. Menurut anggaran, kerajaan negeri dijangka mampu meningkatkan pendapatan sehingga RM 1.35 bilion pada tahun ini. Namun sehingga 30 September 2010, kerajaan negeri khabarnya baru mengutip pendapatan sebanyak RM 1.03 bilion. Ini bermakna ia masih jauh daripada pendapatan yang dianggarkan iaitu RM 1.35 bilion pada tahun 2010. Saya ragu-ragu ia mampu dicapai menjelang hujung tahun ini. Jika tercapai pun ia masih jauh dari keseluruhan Belanjawan tahun ini sebanyak RM 1.494 bilion.

18. Justeru pada tahun hadapan kita akan melihat akaun kerajaan negeri tahun 2010 dalam keadaan defisit sebanyak hampir RM 144 juta iaitu kira – kira 10% daripada belanjawan keseluruhan.

Tuan Speaker dan sidang dewan yang dihormati,

19. Tahun 2009 Selangor mengalami defisit RM 65.98 juta, tahun 2010 dijangka akan defisit RM 144 juta atau mungkin lebih. Apa akan terjadi pada tahun 2011? Saya khuatir menjelang pilihan raya umum akan datang pada 2013, Selangor akan termasuk dalam muflis kerana perbelanjaan tidak berhemah ini.

20. Jika dahulu Selangor menjadi kontroversi dengan isu babi mungkin akan datang Selangor akan dibandingkan sebagai, dengan dengan izin, PIGS Countries. PIGS Countries ini bukanlah merujuk kepada negara penternakan babi tetapi merujuk kepada Portugal, Ireland, Greece dan Sepanyol (PIGS) yang berhadapan dengan masalah kewangan dengan serius.

21. Justeru kita khuatir Belanjawan ini merupakan satu lagi anggaran palsu dan tidak jujur memandangkan angka-angka yang hampir sama dibentangkan dalam Belanjawan 2009 dan 2010 tetapi kemudiannya peruntukan tambahan demi peruntukan tambahan dipohon sehingga menyebabkan berlakunya Belanjawan defisit.

22. Apakah makna Belanjawan 2011 ini? Ia tidak lebih daripada belanjawan angan-angan politik semata-mata di bawah slogan dulunya Merakyatkan Ekonomi Selangor sekarang ini Hasil Negeri Untuk Rakyat.

Kerajaan Persekutuan Lebih Jujur

Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat Sekalian,

23. Berbanding kerajaan Negeri Selangor, tampaknya kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak lebih jujur dan ikhlas dalam membentangkan Belanjawan 2011.

24. Beliau tidak segan silu membentangkan belanjawan defisit biarpun tahu akan menjadi mangsa kritikan dan hentaman pembangkang. Dalam pembentangan Bajet negara di Dewan Rakyat baru-baru ini, ramai dari pakatan yang mengkritik Bajet defisit kerajaan persekutuan sebanyak 5.1%.

25. Ini tidak dapat dielakkan kerana tanpa perlu melaungkan slogan merakyatkan ekonomi negara, Kerajaan Persekutuan memberi subsidi yang begitu banyak kepada rakyat sama ada dari segi bantuan kepada rakyat miskin, biasiswa, subsidi petrol dan gas, subsidi petani dan nelayan, subsidi gula, geran penyelidikan, perniagaan dan lain-lain lagi. Pada tahun lalu sahaja kerajaan membelanjakan hampir RM 75 bilion untuk pelbagai jenis subsidi, geran dan peruntukan sosial. Siapakah sebenarnya yang merakyatkan ekonomi?

26. Kerajaan persekutuan juga perlu membelanjakan banyak wang untuk menjana pembangunan negara dan meningkatkan infrastruktur luar bandar termasuk di negeri-negeri yang ditadbir oleh kerajaan Pakatan.

27. Namun kerajaan Persekutuan yang dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak bersikap hipokrit seperti kerajaan negeri Selangor. Anggaran dan perancangan Bajet yang dibuat berasaskan keperluan dan angka-angka yang realsitik. Justeru biarpun tahu akan menelan kritikan dan hentaman, kerajaan persekutuan tetap membentangkan satu bajet yang defisit.

28. Inilah bentuk kerajaan yang diperlukan oleh rakyat, kerajaan yang jujur membentangkan anggaran bajet biar pun nampak tidak cantik.

29. Sebaliknya kerajaan negeri membentangkan satu belanjawan yang berimbang agar nampak cantik indah dari segi politik tetapi setiap sidang Dewan, kerajaan negeri akan meminta belanjawan tambahan.

Tuan Speaker,

30. Sungai Panjang juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan sejumlah lebih Lima Ratus Enam Puluh Tiga Juta Ringgit (RM 563, 211, 131.00) kepada kerajaan Negeri Selangor pada 2009. Pada 2010 sahaja sebanyak RM 480 juta telah disalurkan sehingga 30 September 2010.

31. Tanpa peruntukan Persekutuan ini, pastinya defisit kerajaan negeri akan bertambah banyak. Biarpun peruntukan ini diberi mengikut lunas undang-undang dan hubungan Persekutuan-Negeri, jadilah seperti budaya Melayu, orang berbudi kita berbahasa. Janganlah amalkan sikap seperti dedalu api hinggap ke pohon kayu.

32. Ada juga ucapan-ucapan pemimpin Pakatan yang mendakwa sumbangan Persekutuan kepada Selangor sedikit berbanding sumbangan Selangor kepada Persekutuan. Terlebih dahulu perlulah dimaklumkan jumlah yang diterima oleh kerajaan hari ini dengan sebelum ini lebih kurang sama sahaja. Tiada berlakuknya anak tiri atau sebagainya.

33. Memang benar Selangor banyak menyumbang kepada pendapatan negara. Namun apakah Pakatan lupa bahawa Persekutuan juga banyak membelanjakan wang membangunkan prasarana dan infrasturktur yang bertaraf dunia di Lembah Klang yang akhirnya turut dinikmati oleh Selangor. Saya fikir sejak dahulu sehingga sekarang telah berpuluh bilion ringgit dibelanjakan oleh Persekutuan untuk membangunkan Selangor secara langsung atau tidak langsung.

34. Pembangunan jalan raya, keretapi, komuter, LRT, Pelabuhan, pemberian pengecualian cukai, pusat pentadbiran Putrajaya, Lapangan Terbang Subang dan kemudiannya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Cyberjaya, Universiti-universiti tempatan di Selangor merupakan peruntukan Persekutuan. Banyak lagi kalau mahu disebutkan.

35. Selangor harus mengakui jika Persekutuan memilih untuk memajukan kawasan lain terlebih dahulu maka belum tentu Selangor semaju ini, apatah lagi jika ditadbir oleh mereka yang perasan pandai tetapi tidak tahu berbuat apa-apa untuk meningkatkan ekonomi negeri.

36. Justeru janganlah dihasut dan diapi-apikan semangat kenegerian yang tidak tentu hujung pangkal sehingga menafikan sumbangan Persekutuan dan Barisan Nasional kepada Selangor.

Tuan Speaker,

37. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, manusia mana yang tiada kelemahan. Atas prinsip itu saya akui bahawa kerajaan yang lalu bukan sebuah kerajaan sempurna. Namun yang di sebelah sana sedarlah bahawa apa yang dikecapi oleh rakyat Selangor hari ini termasuk pemimpin Pakatan hasil sumbangan Persekutuan dan parti pemerintah kerajaan negeri terdahulu.

38. Saya hanya mampu berdoa agar pimpinan negeri hari ini tidak menjadi seperti monyet mendapat bunga atau si kudung mendapat cincin.

Laporan Audit Negara Mengenai Selangor Membimbangkan

Tuan Speaker

39. Dalam pembentangan semalam, Ijok menegaskan 4 strategi dalam belanjawan 2011. Sungguhpun diulas tampak cantik dan bergaya, namun bila ditilik dan diteliti banyak retorik dari isi.

40. Strategi pertama menguruskan sumber negeri secara bijaksana sangat meragukan berdasarkan angka-angka yang telah saya nyatakan tadi mengenai pengurusan belanjawan dan juga kewangan negeri.

41. Ini disokong pula oleh Laporan Audit Negara 2009 yang baru diterbitkan telah memberi beberapa petunjuk atau indikator yang sangat merisaukan kita terutamanya membabitkan sumber negeri.

42. Dalam dewan yang mulia ini dua tahun tahun lalu, YAB Menteri Besar berjanji untuk meningkatkan kutipan hasil pasir kepada RM 150 juta setahun. Setelah dua tahun penubuhan Kumpulan Semesta Sdn Bhd hasil yang diperolehi tidak seberapa berbanding pemerkosaan tanah milik kerajaan negeri.

43. Apabila teguran dan pandangan dibuat mengenai masalah perlombongan pasir ini kerajaan negeri mengatakan mereka telah mengatasi isu curi pasir ini dan pendapatan kerajaan negeri dari hasil pasir meningkat jauh lebih tinggi daripada kerajaan lalu.

44. Lalu dengan tidak segan silu kerajaan hari ini mendakwa kerajaan lalu gagal mendapatkan hasil pasir yang sepatutnya. Seantero negeri mereka mendakwa mereka lebih hebat daripada kerajaan lalu dan ada juga membuat komentar kononnya kerajaan lalu bersubahat dengan pencuri pasir.

45. Fakta yang tidak pernah berani diakui oleh Kerajaan Negeri ialah kerajaan Selangor di bawah Barisan Nasional telah menghetikan sebarang perlombongan pasir atas tanah kerajaan sejak 2005 lagi. Kerajaan juga membenarkan pasir di bawa masuk dari negeri lain demi menjaga muka bumi Selangor ini agar suatu hari nanti rakyat Selangor tidak terpaksa tinggal di dalam kawah-kawah lombong pasir.

46. Saya percaya jika kerajaan lalu memberi permit yang begitu intensif seperti hari ini untuk perlombongan atas tanah milik kerajaan nescaya pendapatan pasir ini lebih besar daripada yang didapati oleh kerajaan negeri hari ini.

47. Anehnya, tiada pula badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan Alam Sekitar memekik dan melolong mendesak kerajaan negeri menarik balik permit perlombongan pasir hari ini. Agaknya kerana Bukit Lanjan di dalam kerajaan hari ini, semuanya yang dulu kononnya pejuang alam sekitar sehingga menebang pokok untuk buat rumah dan jalan pun tidak boleh, sekarang hanya memejam sebelah mata terhadap pendedahan Utusan Malaysia beberapa bulan lalu terhadap kawah-kawah besar di atas muka bumi Selangor.

48. NGO-NGO ini sudah menjadi seperti tikus di dalam jelapang padi. Bumi Selangor diperkosa untuk hasil tidak sampai RM 10 juta setahun. Sudah papa kedanakah negeri Selangor sejak dua tahun kebelakangan ini?


49. Laporan Audit mengenai hasil pasir juga sangat menakutkan. Menurut laporan Audit Negara, kewujudan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) tidak mencapai matlamat. Hasil pasir Selangor pada tahun 2009 hanyalah RM 4.62 juta sahaja. Ini sangat mengejutkan memandangkan kawasan-kawasan yang diteroka begitu besar.

50. Sejak awal tahun ini kami di pihak pembangkang telah membangkitkan banyak isu mengenai pasir dan KSSB ini termasuk jumlah kutipan royalti yang tidak setimpal dengan keluasan tanah kerajaan yang dirosakkan.

51. Bila dicuit KSSB ini, saya pun hairan kerana bukannya YAB Menteri Besar atau EXCO terbabit yang melatah tapi Sri Muda yang tampak menggelabah. Tidaklah tahu saya mengapa, mungkin ada sesuatu yang tidak kena.

Tuan Speaker,

52. Beberapa hari selepas keluarnya laporan audit, YAB Menteri Besar, membuat penjelasan mengenai hasil pasir negeri. Beliau mendakwa hasil pasir sebenar pada tahun 2009 ialah RM 13.7 juta dan pada tahun ini, sehingga Jun 2010 ialah RM 15.3 juta.

53. Berdasarkan sikap dan tingkah laku kerajaan negeri yang sering memberi kenyataan yang mengelirukan, saya lebih mempercayai laporan Audit Negara. Apatah lagi laporan tersebut dihantar oleh kerajaan negeri sendiri. Apa yang berlaku dalam kenyataan beberapa hari lalu ialah tindakan menyelamatkan diri.

54. Sebenarnya angka yang disebut oleh Menteri Besar minggu lalu bukanlah sesuatu yang luar biasa. Berdasarkan keluasan dan “kerajinan” pengusaha pasir sejak 2009 sehingga sekarang dan bukti-bukti fizikal kawah muka bumi seperti di bulan berada di Selangor, jumlah sebenarnya mungkin jauh lebih besar dari RM 13 juta dan 15 juta tersebut.

55. Namun mengapa dengan tiba-tiba sahaja akaun hasil pasir berjumlah RM 4.62 juta pada 2009 boleh menjadi RM 13.76 juta? Mengikut maklumat, pengusaha pasir ini perlu membayar dahulu sebelum dikeluarkan doket jadi bagaimanakah kerajaan negeri Selangor menyatakan ia merupakan pembayaran lewat pada 2009?

56. Adakah ada pengusaha tertentu mendapat permit dan doket tanpa membayar terlebih dahulu? Jika benar mengapa terjadi begitu?

57. Satu lagi kemungkinan ialah wang sebanyak RM 9.14 juta yang tidak dikesan oleh Audit Negara merupakan wang yang berada di dalam KSSB. Nampak gayanya “syarikat orang tengah” mendapat lebih berbanding tuan punya tanah. Ini diakui sendiri di dalam ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar semalam.

Tuan Speaker dan sidang dewan sekalian,

58. YAB Menteri Besar juga berjanji akan membaik pulih semua tanah kerajaan yang telah dilombong pasirnya. Sehingga hari ini kita belum mendengar sabarang langkah pemulihan dirangka dan diumumkan. Dalam Belanjawan 2011 juga tiada sebarang peruntukan khusus bagi membaik pulih tanah-tanah bekas tapak perlombongan pasir ini. Inikah yang dikatakan strategi menguruskan sumber negeri yang berkesan? Berkesan untuk siapa?

59. Alangkah anehnya, ketika beliau membuat kesimpulan bahawa pentadbiran beliau telus dan berazam membetulkan kesilapan-kesilapan pentadbiran lalu, apa yang menjadi realiti ialah pentadbiran beliau bukan sahaja tidak terurus malah cemerkap dan gagal memberi maklumat yang tepat kepada Audit Negara.

60. Mungkin YAB Menteri Besar perlu jelaskan berapa banyak permit lombong pasir atas tanah kerajaan negeri yang dikeluarkan pada 2006 dan 2007 berbanding 2008 dan 2009. Barulah boleh dibuat perbandingan yang jelas kecekapan kerajaan negeri. Tanah-tanah milik negeri di lombong sesuka hati sekarang ini sedangkan semasa BN dahulu kita tidak lagi mengeluarkan permit melombong atas tanah kerajaan.

Tuan speaker dan ahli-ahli yang berhormat sekalian,

61. Walau apa pun cakap-cakap politik pihak sebelah sana, angka-angka menunjukkan Pakatan mengambil Kerajaan negeri ketika kedudukan kewangan yang sangat kukuh dalam sejarah negeri. Justeru kita mengalu-alukan strategi kedua belanjawan kali ini untuk memantau pengurusan perbelanjaan yang cekap.

62. Namun jika bersandarkan Laporan Audit Negara 2009, baki wang tunai di akhir akaun yang menunjukkan peningkatan yang konsisten sejak 2005 sehingga 2007, telah menunjukkan trend penurunan mulai 2008.

63. Wang tunai kerajaan meningkat dari RM 415.63 juta pada 2005 kepada RM 570.54 juta pada 2006 dan RM 776.44 juta pada 2007.

64. Namun apabila Pakatan mengambil alih pentadbiran jumlah wang tunai makin berkurangan. Bagi akaun berakhir tahun 2008, kerajaan negeri hanya mempunyai wang tunai sebanyak 733.44 dan seterusnya hanya tinggal RM 617.20 juta pada akhir akaun 2009. Berasaskan trend belanjawan defisit yang melampau dilaksanakan oleh kerajaan negeri maka saya jangkakan apabila akaun 2010 ditutup jumlah wang tunai kerajaan negeri akan susut dengan lebih banyak lagi.

65. Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2011 ini saya tidak nampak bagaimana kerajaan negeri akan mampu meningkatkan wang tunai kerajaan. Lagi tiga hingga empat tahun mungkin kerajaan negeri tiada lagi wang tunai.

66. Bagaimanakah kerajaan negeri boleh memantau Pengurusan perbelanjaan yang cekap sekiranya pejabat Menteri Besar sendiri sentiasa memohon peruntukan tambahan? Agaknya terlebih belanja memasang papan-papan iklan gergasi mempromosi muka YAB Menteri Besar.

Tuan Speaker

67. Sebagai menyahut strategi ketiga Belanjawan Kerajaan Negeri iaitu mendorong pembangunan modal Insan, saya ingin mencadangkan agar dewan ini merakamkan ucapan takziah dan memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa banjir di utara terutamanya Kedah yang masih dalam keadaan teruk dan serius.

68. Ini adalah satu bentuk tindakan yang boleh menjadi contoh dan ikutan generasi muda agar terus subur semangat kemanusiaan dan keinsanan dalam membantu mangsa-mangsa bencana alam.

69. Jika kerajaan negeri boleh berhabisan dalam meletakkan papan-papan iklan besar, dengan izin billboard, muka YAB Menteri Besar seantero Selangor hanya untuk mengucapkan selamat hari raya dan juga beberapa iklan lain, apalah salahnya menggunakan sedikit peruntukan pejabat Menteri Besar menghantar bantuan kepada mangsa banjir.

70. Menurut laporan beberapa blog, telah berjuta ringgit dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk untuk memasang billboard yang dipaparkan gambar YAB Menteri Besar. Ada billboard Selamat Hari Raya, ada billboard isu air, ada billboard Tabung Warisan dan macam-macam lagilah billboard yang semuanya ada muka YAB Menteri Besar di seluruh negeriSelangor ini.

71. Tidak salah memasang billboard ini cuma lihatlah kepentingannya. Saya akui zaman saya juga ada billboard ini tapi ia bertujuan mengiklan nombor telefon, alamat pejabat dan maklumat wakil rakyat di kawasan terbabit. Mudah untuk rakyat mengetahui bagaimana hendak berhubungan dengan wakil rakyat mereka. Bukan macam sekarang lebih mudah akhbar menghubungi wakil rakyat Pakatan berbanding rakyat biasa.

72. Namun ketika itu bukan main lagi jerit pekik pihak sebelah sana menyatakan pembaziran dan sebagainya. Hari ini, mengata dulang, paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Tuan speaker dan sidang dewan yang dimuliakan

73. Sungguhpun saya menyokong strategi pembangunan modal insan ini namun saya lihat apa yang kerajaan negeri perkatakan tidaklah serupa yang dilakukan. Agaknya modal insan yang bagaimana mahu dibangunkan jika sekarang ini di segenap pelusuk Selangor penuh dengan rumah urut, pub, pusat hiburan, pusat perjudian berlindung di sebalik kafe siber dan spa. Yang merisaukan saya ialah maklumat yang saya dapati menunjukkan sebahagian besar pusat-pusat hiburan dan kesihatan sekarang ini tidak segan silu menawarkan aktiviti pelacuran.

74. Pandamaran boleh menegakkan benang basah mengatakan tiada permit baru diluluskan. Kononnya yang ada hanyalah 700 yang diluluskan oleh kerajaan negeri dahulu. Hakikatnya sesiapa sahaja di jalanan boleh membuat penilaian betapa pusat-pusat ini tumbuh bagai cendawan selepas hujan sejak akhir 2008. Malah di kawasan-kawasan luar bandar termasuk Sabak Bernam, Sungai Besar dan Sekinchan sudah ada pub dan rumah urut.

75. Ini bukan sekadar isu orang Islam kerana pusat-pusat seperti ini merosakkan remaja tanpa mengira bangsa mahu pun agama. Malahan banyak juga keluarga bukan Islam yang hancur kerana suami lebih membuang masa bersama gadis-gadis di pusat-pusat hiburan ini.

76. Pusat hiburan dan aktiviti kurang sihat ini bertambah berkali ganda berbanding zaman Barisan Nasional, namun Gombak Setia boleh pula mendiamkan diri. Malah tidak segan silu mengisytiharkan negeri ini sebagai Baldatun Toyyibatun WaRabbun Ghafur. Semalam Ijok dah jelaskan maknanya.

77. Kalau Gombak Setia tak boleh jawab mungkin Bangi boleh tolong bantu, bagaimanakah sebuah negeri yang dianggap sebagai Baldatun Toyyibatun WaRabbun Ghafur mensasarkan pendapatan dari pusat hiburan meningkat sehingga RM 30 juta pada tahun hadapan?

78. Untuk menutup isu ini kerajaan negeri melancarkan kempen anti zina. Malangnya kempen ini hanya menimbulkan jenaka di kalangan rakyat kerana ada Ahli Jawatan Kuasa kempen ini pun dikatakan mempunyai hubungan luar nikah dengan suami orang. Ada juga yang hadir dalam pelancaran tersebut orang yang pernah menghalang pihak berkuasa menutup sebuah pusat pelacuran di Puchong.

79. Mungkin inilah konsep "Baldatun Toyyibatun WaRabbun Ghaffur" baru yang dirangka oleh Gombak Setia, seorang pakar motovasi islam yang termahsyur suatu ketika dahulu.

80. Betul atau tidak hanya tuan empunya diri yang tahu. Inilah masalah jika terlalu kerap mencari kesalahan orang sehingga lupa mengurus rumah sendiri.

Tuan Speaker dan sidang dewan yang dimuliakan,

81. Sungai Panjang juga menyokong usaha melestarikan pembangunan negeri Selangor atas semangat mahu melihat negeri yang dibangun dan dimajukan oleh Barisan Nasional sebelum ini tidak terus tertinggal seperti setahun dua kebelakangan ini.

82. Justeru bagaimanakah kerajaan negeri mahu melestarikan pembangunan jika kerajaan negeri tidak berusaha meningkatkan pelaburan asing dan domestik dengan giat. Berdasarkan belanjawan semalam kita tidak nampak strategi yang jelas bagi menarik pelaburan asing.

83. Kerajaan negeri tidak menyatakan sebarang fokus dalam menangani cabaran menarik pelaburan pada tahun hadapan. Apakah-apakah keistimewaan atau bidang tumpuan kerajaan negeri dalam menarik pelaburan luar dan tempatan pada tahun hadapan?

84. Sungguhpun diumumkan mengenai minatnya pelabur China untuk membuka universiti dan hospital di Hulu Selangor namun tidak ada satu bukti konkrit pun yang nampak di mata rakyat setelah hampir dua tahun setengah memerintah.

85. Jika tidak silap saya sejak mengambil alih kerajaan negeri, ini sahajalah yang dijaja dan diumumkan oleh Bandar Kinrara yang bertanggung jawab mengenai pelaburan. Namun sehingga hari ini belum dengar sebarang MOU mahu pun perbincangan yang serius antara kerajaan negeri dengan pelabur terbabit.

Tuan Speaker dan sidang dewan yang dimuliakan,

86. Baru-baru ini Setiausaha Politik Menteri Besar membuat kenyataan bahawa saya menyebabkan kerugian sebanyak RM 8 bilion ketika mengadakan perundingan dengan Syabas. Malangnya tidak pula diterangkan bagaimana saya menyebabkan kerugian ini. Inilah masalah dengan kerajaan yang suka berbohong kepada rakyat dan cakap ikut sedap mulut.

87. Perlu diingat rundingan isu air ini dilakukan oleh Kerajaan Persekutun dan Syabas kerana hutang Jabatan Bekalan Air Selangor masih berhutang sebanyak RM 786 juta. Ia dilakukan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang mempunyai kepakaran dan pemahaman yang mendalam mengenai industri air bukannya sekadar loyar cabuk yang pandai berkata-kata.

88. Ini pun diketahui oleh kerajaan negeri kerana mereka mempunyai akses kepada dokumen. Tapi kerana sifat perangai suka menipu, mereka suka menyiarkan cerita bohong untuk memburukkan musuh politik mereka sesuka hati tanpa fakta, maka tuduhan dan fitnah dibuat sesuka hati.

89. Saya cabar YAB Menteri Besar buktikan bagaimana saya menyebabkan kerugian RM 8 bilion seperti makna dakwaan Setiausaha Politik beliau. Atau mungkin benar seperti cakap di luar sana bahawa Setiausaha Politik Menteri Besar lebih berkuasa daripada Menteri Besar. Semuanya perlu melalui Setiausaha Politik beliau. Jika PKR ada pemimpin de facto mungkin Selangor juga sudah ada Menteri Besar de facto.

90. Baru-baru ini timbul pula pengumuman baru. Kerajaan negeri mengumumkan aset air negeri berjumlah lebih kurang RM 10 bilion. Nilaian ini dijangka akan dituntut oleh kerajaan negeri kepada Persekutuan apabila berlakunya penstrukturan semula air. Apakah nilaian RM 10 bilion ini? Adakah ia termasuk empangan dan kawasan simpan sekitarnya? Jika demikian apakah ini bukan menjual hak milik kerajaan negeri?

91. Ada juga berpendapat anggaran RM 10 bilion ini termasuk aset yang dinilai oleh kerajaan negeri sebanyak RM9.7 bilion termasuk 1,601 tangki air bernilai RM1 bilion yang sebahagiannya dibangunkan oleh pemaju perumahan yang telah pun dibayar oleh pembeli rumah, dan lebih 24,000 km paip bernilai RM7.8 bilion yang mana sebahagian besarnya diserahkan oleh pemaju-pemaju perumahan juga sebenarnya telah dibiayai oleh pembeli-pembeli rumah bagi kawasan tersebut.

92. Jika semua ini dijual kepada kerajaan persekutuan, maka Perbadanan Aset Air Berhad tiada pilihan kecuali melepaskan kos ini kepada pengendali air. Pengendali air pula akan melepaskan kos terbabit kepada pengguna. Ini bermakna pengguna perlu membayar sekali lagi untuk paip-paip mereka yang telah mereka biayai melalui pembelian rumah dan premis sebelum ini. Inilah cerita kartun abad ini yang dicipta oleh tokoh-tokoh propaganda sebelah sana.

93. Sehingga hari ini kerajaan negeri tidak mendedahkan bagaimana ia memperolehi anggaran tersebut. Walau apa pun perkiraan dan anggaran, jika kos menstrukturkan semula air di Lembah Klang berharga RM 10 bilion, siapakah yang akan mampu menguruskannya. Jika ini dijadikan panduan, kos menstrukturkan semula air seluruh semenanjung akan memakan jumlah hampir RM 100 bilion.

94. Apakah ini menjaga kepentingan pengguna atau menjaga kantung pemimpin Pakatan di Selangor? Apakah pada pandangan kerajaan negeri yang bijaksana, RM 10 bilion ini tidak akan dikembalikan kosnya kepada pengguna? Memanglah kalau mahu meletak harga RM 20 bilion pun kita boleh letak. Namun persoalannya siapa akan membiayai dan apa kos kepada rakyat.

95. Saya terbaca kononnya ada sebuah syarikat berminat mengambil alih industri air Selangor sebanyak RM 10.8 bilion. Tapi apakah ada jaminan harga tarif air kekal seperti hari ini atau lebih rendah seperti janji kerajaan Persekutuan? Saya tidak fikir ada bank akan membiayai pembelian sebesar itu dengan harga tarif air hari ini. Jika ada pastinya bekas tokoh korporat terkemuka sudah melakukannya melalui KDEB.

96. Perlu juga saya jelaskan bahawa cadangan penstrukturan semula melalui KDEB ini telah dirancang sejak 2006 lagi. Jadi janganlah pula barisan kepimpinan yang ada di sebelah sana hari ini perasan sebagai idea hebat dan dengan izin “brilliant” bekas tokoh korporat GLC sahaja ini.

97. Ada juga yang baru menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar tidak sampai beberapa bulan sudah mahu tunjuk pandai macam berada dalam pentadbiran kerajaan berpuluh tahun. Kadang-kadang hendak jawab pun malas sebab terasa memperbodohkan diri sendiri.

98. Jika dilihat kenyataan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, nyata Kerajaan Negeri telah beberapa kali berdolak dalik dalam isu penstrukturan semula ini. Saya dimaklumkan Kementerian telah memberi laluan kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) untuk mengetuai penstrukturan air di Selangor ini ini tetapi ia gagal dilaksanakan.

99. Pastinya KDEB pun gagal sebab mana mungkin penstrukturan ini mampu dijalankan jika kita mahu membekalkan air murah kepada rakyat tetapi perlu membayar RM 10 bilion kepada kerajaan negeri. Agak-agak bila boleh dapat pulangan modal tersebut? Siapa mahu memberi pinjaman RM 10 bilion untuk industri yang dikawal harganya ini?

Tuan speaker dan sidang Dewan yang dihormati sekalian,

100. Selain itu, dalam Belanjawan semalam, YAB Menteri Besar menyatakan peruntukan sebanyak RM 34.5 juta untuk menampung bayaran 20 meter padu percuma dan RM 8 juta bagi menampung subsidi kupon bagi meter pukal. Peruntukan sebanyak ini mencerminkan anggaran belanjawan yang tidak realistik. Kerajaan membuat andaian berdasarkan kemungkinan penstrukturan semula air mengikut cadangan kerajaan negeri. Ia belum tentu berjaya lagi atau diselesaikan dalam masa terdekat ini.

101. Jika pada tahun lalu sahaja kerajaan negeri memerlukan RM 100 juta dengan anggaran jumlah pemilik meter individu makin bertambah, bagaimana kerajaan boleh membuat anggaran yang berkurangan? Inilah antara contoh-contoh yang saya sangat khuatir akan menyebabkan belanjawan tahun hadapan akan menjadi pisang yang berbuah berkali-kali.

Tuan Speaker dan sidang dewan yang dihormati sekalian

102. Akhir sekali, saya khuatir pembentangan belanjawan yang tidak jujur seperti ini akan mengelirukan rakyat biasa. Rakyat akan berpendapat segala-galanya indah belaka dalam kerajaan hari ini, jika bersandarkan pembentangan Belanjawan setiap tahun.

103. Kekhuatiran ini ada asasnya kerana Ahli Parlimen Shah Alam sendiri berpendapat Selangor mempunyai belanjawan lebihan atau “surplus” dengan izin. Baru-baru ini, Ahli Parlimen Shah Alam tersebut dipetik oleh Malaysiakini.com sebagai mempersoalkan keputusan kerajaan Persekutuan memberi bayaran bantuan RM 500 kepada kakitangan kerajaan dalam keadaan belanjawan defisit. Beliau berkata Selangor mampu berbuat demikian kerana mempunyai belanjawan lebihan.

104. Jika Ahli Parlimen Shah Alam yang merupakan antara pakar strategi Pakatan pun boleh tertipu dengan Kerajaan Negeri apatah lagi rakyat biasa.

105. Adalah menjadi harapan saya agar Belanjawan 2011 ini tidak lagi akan menjadi seperti belanjawan 2009 dan 2010. Saya berharap tidak ada lagi Rang Undang-undang Peruntukan Tambahan 2011 dikemukakan dalam dewan yang mulia ini pada tahun hadapan. Jika ada, nyatalah belanjawan 2011 ini pun tidak lebih daripada belanjawan mat jenin.

Sekian, wabillah hitaufik wahidayah, wassalamualaikum warrahmatullah
hiwabarakatuh. Terima kasih.

22 comments:

  1. assalamualaikum wbt...

    amat menarik ucapan ini...saya amat berminat dgn ucapan ini...semoga berjaya ye dato'...

    riffzam.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Terlalu panjang untok dianalisa..
    Once said in the DUN, it is there for debate,
    I guess, Dato Sri has the RM Selangor to elaborate the above speech. Dato' Sri is fortunate to have the access to the State radio (?)eventhough Dato Sri is no longer the MB..Looking forward to your Thurday morning slot with JR.

    ReplyDelete
  3. Nasihat saya Kpd Zaid Ibrahim,lihat lah wakil dari UMNO/BN yg menjadi Pembangkang di Negeri Selangor. Ini lah kualiti Pembangkag yg kita harap dan dahagakan.Baru lah prinsip untuk menjadikan Demokarasi dan Pentadbiran Malaysia akan lebih jaya dan gemilang.. Tidak mcm Pembangkang, Pktn Pmbkg.Dlm dewan Hancur,mcm budak dan beruk.

    ReplyDelete
  4. Salam,nampaknya UMNO/BN bukan saja berjaya sebagai pemimpin malahan sebagai Pembangkang pun cemerlang.. Jadi Pktn Pmbkg kena lah belajar bagaimana berhujah dan menjaga adab didlm Dewan.
    DS Khir,tak perlu melalak utk mengakui yg dirinya berprinsip dlm menegakkan Demokrasi yg lebih baik kpd landskap politik Tanah Air,seperti mana pengakuan Zaid Ibrahim,yg akhirnya menunjukkan yg dia lah manusia yg paling tak berprinsip.

    ReplyDelete
  5. tahun ini sampai 2 kali buat pembentangan budget tambahan, tahun depan mahu sampai 5 kali...sebab semua angka yang dijangka dapat itu semuanya pembohong....

    ReplyDelete
  6. cayalah dato sri....

    mantap

    hassan ali terkebil-kebil, khalid terkinjal-kinjal, ronnie terlompat-lompat, elizabeth pula menggeletik dgn ucapan tersebut.

    tahniah datuk seri kerana berjaya memainkan peranan sbg ketua pembangkang yg berkesan tanpa mementingkan dimana kedudukan datuk seri sebelum ini.

    ReplyDelete
  7. dornag ni xpandai nak berkerajaan, cuma pandai bising-bising membangkang,
    jadi eloklah mereka ini ditukar sebagai pembangkang semula, coz rasanya masa dorang jd pembangkang banyak isu dan perkara yg bernas dibangkitkan, tp dah jadi kerajaan haram semua tak menjadi, dan asik salahkan orang lain

    ReplyDelete
  8. Salam Dato' Sri. Moga Dato' Sri dan keluarga sentiasa di bawah lindungan Allah swt hendaknya.

    Alhamdulillah perbahasan yang dengan izin 'marvelous'terkesan sungguh. Siapa yang makan cili dia yang terasa pedasnya.

    Sebagai anak Selangor tentunya kita terkejut dengan pembentangan bajet 2011 ini di mana kita melihat Selangor mengalami defisit yang tinggi berdasarkan pada fakta-fakta yang lepas.

    Kerajaan negeri (PR) mengambil alih pentadbiran negeri Selangor dari kerajaan BN dahulu dengan tunai yang banyak tetapi makin lama makin susut.
    Adakah kerana tak reti nak urus atau terlalu banyak penyamun-penyamun yang memang sudah berniat untuk menyamun duit kerajaan negeri.

    Beri air percuma umpama memperbodohkan rakyat Selangor. 'Air untuk rakyat Selangor' (billboard besar). Mana yang taksub memanglah akan menyanjung tinggi kerajaan PR tetapi hakikatnya duit makin susut. Defisit makin bertambah dan adakah Selangor bakal BANKRAP?

    Dato' Sri,teruskan dengan perjuangan Dato' Sri. Bongkarkan segala kepincangan dan kelemahan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan PR di Selangor ini kepada rakyat.Biarkan mereka tak senang duduk. Cakap tak serupa bikin punya PR.

    Pesanan saya pada ahli (ADUN) YB BN, kalau berselisih dengan SETPOL MB, jgn sampai terlanggar lututnya.. Renung-renungkan dan selamat beramal..

    ReplyDelete
  9. ni belum lagi tentang projek 'Datum Jelatek' di Datuk Keramat. YB Bkt Antarabangsa yg dulu exco Selangor dah undur diri. Poket dah penuh baik keluar cepat.

    ReplyDelete
  10. salam..

    berkaitan orang berbudi kita berbahasa..

    perlu diingat dato seri duit belanjawan kerajaan persekutuan itu bukan duit UMNO tetapi duit rakyat.oleh itu apa kah maksud berbudi dan berbahasa itu..

    lebih tepat kiranya berbahasa kepada rakyat kerana rakyat yang berbudi membayar cukai..

    ReplyDelete
  11. salam

    bagus dan tahniah ketua pembangkang yg cermelang. begini lah yg kita mahu sebagai pembangkang sentiasa sensitif.mane ade ketua pembangkang yg bawa isu boleh masuk muka depan akhbar harian?

    saya harap DS terus kekal sebagai ketua pembangkang untuk tahun2 seterus nye sebagai check and balance terhadap kerajaan negei selangor

    ReplyDelete
  12. Salam dan semoga sihat Dato' Seri.

    Saya tertarik dengan hujah mengenai nilai aset dan penstrukturan air di Selangor. Kita perlu lebih agresif mendesak Khalid and the gang (err termasuk Faekah) mengenai kaedah yang digunapakai dalam membuat anggaran nilaian aset air tersebut. Saya juga mencari fakta yang Dato' Seri timbulkan mengenai kaedah tersebut, namun tidak dijumpai.

    Saya sarankan agar Dato' Seri anjurkan debat dengan Khalid mengenai penstrukturan air di negeri Selangor sebelum PRU13. Minta Selangorkini yang organize..Fuhh, mesti meletop punya!

    Inilah bukti Kerajaan Negeri Selangor cuba mengelirukan dan memperbodohkan rakyat. Maklumlah berapa juta hari tu telah diperuntukkan untuk menjalankan kegiatan penerangan dan propaganda di Selangor.

    Mereka nak berbangga dengan belanjawan berimbang, padahal tahun 2008 dah 2009 hampeh. Sekadar numbers on paper boleh la woiii..

    ReplyDelete
  13. Semoga sihat Ketua Pembangkang Selangor!

    Dato' Seri, I nak minta penjelasan sikit daripada Dato' Seri mengenai isu air di Selangor. Sekiranya Selangor berjaya ditadbir oleh BN, bagaimanakah penstrukturan air dibawah pentadbiran BN? Adakah masih mengekalkan seperti sebelum ini atau akan ada beberapa perubahan besar?

    Apakah pandangan Dato' Seri sekiranya air diletakkan dibawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, adakah perkhidmatan yang ditawarkan oleh mereka lebih baik dan apakah corak pentadbiran yang sesuai untuk memastikan tidak berlaku konflik kepentingan dan lain-lain lagi.

    Saya juga bimbang mengenai kelewatan Khalid Ibrahim dalam menyelesaikan isu air di Selangor. Ia akan menyebabkan banyak kesan sampungan yang lain terutamanya yang melibatkan kos dan kepentingan pengguna.

    Saya harap Dato' Seri dapat menjadi pembangkang konstruktif di dewan dan memperbetulkan salah laku Ahli Dewan yang lain.

    ReplyDelete
  14. patut disebarkan ucapan ini secara meluas kpd rakyat selangor .ucapan yg ringkas dan padat dgn fakta .tahniah dato seri..

    ReplyDelete
  15. ..tahniah DS Khir....seorang yang mempunyai sengatan yang tajam, biar padan muka pembangkang (pakatan)tu....
    rakyat nak ditipu....2008 boleh lah...tggu lah PRK nnt....pasti Selangor milik BN

    ReplyDelete
  16. terima kasih atas penjelasan dato'....sesekali dato' ronda2 kat bandar2 utama selangor...lihat landscape yg semakin terbiar...

    ReplyDelete
  17. Salam buat DS dan semua...

    Tahniah dan ALHAMDULILLAH di atas ucapan belanjawan DS. Sememangnya terlalu banyak kebenaran, dan sudah tentu ia menjadi kepahitan pada setiap penipuan dan pembohongan yg telah dilakukan selama ini.

    Sekiranya kerajaan yg ada pada hari ini sudah bersedia pada awal2 lagi, sudah tentu tdk terjadi seperti hari ini. Apa yg ditunjukkan mmg nmpk seolah mereka hanya bersedia utk mengaut sgl yg ada dan sempat sementara berkuasa sahj gayanya.

    Dihrp prestasi dan momentum para pembangkang DUN Selangor senantiasa konsisten dan berpengaruh lagi dgn idea bernas. InsyaALLAH segala usaha yg dijalankan dgn baik akan menghasilkan perkara yg terbaik juga.

    Tahniah sekali lg buat DS dan ahli DUN pembangkang Selangor.

    ReplyDelete
  18. Salam DS Khir.

    Ucapan yang bernas. Perbahasan penuh fakta.
    Kita tidak sama seperti mereka dan nyata kita cemerlang walau di sebelah mana kita berada.

    Azli
    ex-yayasan selangor.

    ReplyDelete
  19. Salam YB DSMKT.. Tahniah atas ucapan yg holistik dan menyengat untuk direnung bersama..satu kajian yg menarik..

    ReplyDelete