Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Thursday, February 25, 2010

Selamat Menyambut Maulidur Rasul

Assalamualaikum,

Selamat menyambut maulidur rasul. Sesungguhnnya jasa dan sumbangan Nabi Muhammad s.a.w. ke atas kita amat besar. Biarpun pesuruh Allah, namun rasulullah tetap melalui keperitan dan kesusahan ketika berdakwah. Ingatlah jasa baginda dalam membantu kita semua mencari jalan yang benar dan menjadi manusia yang beriman serta bertamaddun.

Nota:
Sejak pagi tadi blog saya mengalami masalah isu "security" menyebabkan kehilangan banyak artikel dan spam lucah dibahagian komen. Namun sebahagian besar telah mempunyai "back up". Sahabat saya sedang membantu memulihkan semula blog ini. Namun sebahagian komen bagi artikel terbaru tidak sempat dibuat salinan dan terus hilang. Mohon maaf kepada semua sahabat yang telah memberi komen.

Ruangan komen juga akan ditutup buat sementara waktu. Insyallah blog ini akan beroperasi semula pada hari isnin nanti.

Harapan Dan Pandangan

Petrol

1. Saya berharap kerajaan tidak melaksanakan sistem yang kompleks dan rumit dalam pemberian subsidi petrol. Petrol merupakan barang keperluan semua rakyat. Sebarang kenaikan petrol akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang akhirnya hanya akan menyusahkan lagi rakyat.

2. Cadangan saya kerajaan mengekalkan janji untuk memberi subsidi 30 sen seliter untuk RON 95. Bagi RON 97 adalah wajar juga kerajaan menunaikan janji menjual pada harga pasaran.

3. Ini lebih praktikal berbanding memberi subsidi mengikut pendapatan, jenis kereta dan juga penggunaan mykad. Saya khuatir nanti yang untung bukan kerajaan tetapi pembekal sistem baru sahaja.

4. Ramai yang mampu bersedia menggunakan RON 97, namun tidak semua stesen minyak, terutama di luar Lembah Klang yang menjualnya. Malahan stesen minyak di Lembah Klang juga ramai yang tidak menyediakan pam untuk RON 97. Mengapa ini terjadi sekarang kerajaan mahu menggalakkan rakyat kurang bergantung kepada subsidi.

5. Kerajaan mungkin boleh membuat beberapa kempen dan peraduan bagi menarik orang ramai yang mampu menggunakan RON 97. Selain itu, ramai juga pemilik kereta CC tinggi lebih suka menggunakan RON 97. Ini merupakan jalan terbaik kerajaan mengurangkan subsidi petrol. Rakyat ada pilihan dan tidak dipaksa.

GST

6. Semua orang di Malaysia kecuali segelintir pegawai kanan kerajaan mengetahui bahawa pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan memberi implikasi yang serius kepada harga barangan.

7. Memang benar GST sebanyak 4% lebih murah daripada SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) sebanyak 15% sekarang ini. Apa yang tidak diterangkan tetapi diketahui umum ialah GST merupakan sistem percukaian yang sangat efisyen kerana ia dikenakan di setiap peringkat pengeluaran.

8. Jika salah mungkin pegawai kerajaan boleh tolong betulkan. Namun bagi kami yang di luar melihat GST sebanyak 4% akan menyebabkan kos barangan mungkin menjadi antara 12-16 % bergantung kepada berapa peringkat pengeluaran.

9. Eloklah kerajaan terangkan dengan jelas GST ini bukan sekadar bermain kata-kata manis semata.

10. Mungkin kerajaan perlu memulakan GST ini pada peringkat 1 atau 2% bagi melihat kesannya terlebih dahulu.

The Star

11. Saya terbaca tulisan P Gunasegaran dalam The Star jumaat lalu, Persuasion, not compulsion, yang mempertikaikan pelaksanaan hukuman sebat ke atas tiga orang wanita Islam yang mengaku berzina.

12. Saya berharap The Star lebih berhati-hati mengeluarkan pandangan terhadap perundangan Islam di negara ini. Apatah lagi ia ditulis oleh bukan Islam.

13. Undang-undang syariah negara ini adalah hak orang Islam yang tidak seharusnya dicabar dan dipertikaikan oleh bukan Islam selagi tidak membabitkan kepentingan mereka.

14. Sebarang keputusan dan pandangan mengenai hukuman syariah biarlah dibincangkan di kalangan orang Islam. Saya khuatir jika tindakan mengkritik agama lain sewenang-wenangnya dilakukan oleh penganut agama lain maka ia akan mengeruhkan hubungan antara penganut agama di negara ini dan menimbulkan kebencian antara agama pula.

Wednesday, February 17, 2010

Kompromi Agama Untuk Kuasa

1. Tindakan Datuk Nik Aziz Nik Mat membatalkan sambutan Maulidur Rasul negeri Kelantan sangat mengejutkan. Memang benar tidak ada salahnya untuk mengadakan sambutan atau tidak. Cuma mengejutkan ialah ia diumumkan ketika seluruh negara sedang kecoh dengan isu pembatalan perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang.

2. Seperti kata Datuk Mustapha Mohamad keputusan tersebut bukanlah bersandarkan isu agama tetapi kerana kompromi politik Pas-DAP. Bagi saya pula keputusan Nik Aziz ini merupakan kompromi agama untuk kepentingan politik.

3. Amat menarik sekali untuk melihat sejauh manakah Pas sanggup berkompromi dalam hal agama bagi menjaga kepentingan politik mereka. Alangkah baiknya jika mereka boleh berkompromi sedemikian rupa dengan orang Islam lain. Alangkah baiknya juga jika mereka boleh berkompromi dengan UMNO jadi tidaklah timbul suatu ketika dahulu isu dua imam, kahwin tidak sah dan pelbagai gelaran seperti taghut dilemparkan kepada penyokong UMNO.

4. Sungguhpun kerajaan Pulau Pinang telah membenarkan semula perarakan maulidur rasul dan menambah sambutan kepada tiga hari, rata-rata orang Islam melihat ia tidak lebih sebagai mengawal kemusnahan (damage control) yang lebih besar.

5. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, boleh menafikan pembatalan tersebut. Namun bersandarkan surat pembatalan yang pernah wujud tentulah penafian Guan Eng sukar diterima. Apatah lagi Guan Eng tidak pernah menafikan bahawa Pejabat SUK Pulau Pinang ada mengeluarkan surat pembatalan tersebut.

6. Apabila Nik Aziz mengumumkan pembatalan sambutan maulidur rasul di Kelantan ia merupakan satu pengorbanan besar Mursyidul Am Pas tersebut bagi menjaga DAP. Malangnya Nik Aziz tidak memahami kemarahan orang Islam yang tidak taksub membuta tuli kepada Pas.

7. Isunya bukanlah sambutan maulidur rasul ini satu keperluan atau tidak. Isu bagi kebanyakan orang Islam ialah mengapa sebuah kerajaan pimpinan DAP begitu berani membatalkan perarakan Maulidur rasul di negerinya?

8. Jika Nik Aziz mengambil keputusan membatalkan sambutan Maulidur Rasul tanpa membabitkan DAP ia bukanlah isu besar. Namun apabila ia dilakukan oleh bukan Islam (DAP) tentulah ia isu besar kerana ia membabitkan kedudukan agama Islam di dalam Pulau Pinang.

9. Saya bersyukur selepas pilihan raya 2008, Pas mulai menyedari realiti politik negara ini. Malahan mereka menjadi lebih liberal, terbuka dan sedia bertolak ansur dalah hal agama berbanding UMNO sendiri. Ini satu kemajuan yang sangat drastik kepada Pas.

10. Apa yang PAS kecam, kutuk dan menjatuhkan fatwa sesuka hati ke atas ahli UMNO suatu ketika dahulu, hari ini kelihatan pulang secara sendirinya kepada mereka.

11.Malah keadaannya lebih teruk lagi. Mereka bukan sahaja gagal melaksanakan perjuangan mereka sebelum ini tetapi juga telah menggadaikan apa yang mereka perjuangkannya selama ini. Selepas mengalah penggunaan kalimah Allah dan pembatalan sambutan maulidur rasul, apa lagi yang sanggup mereka korbankan kepada DAP pada masa akan datang?

12. Umat Islam di negara ini buatlah penilaian dan pertimbangan sendiri sama ada Pas boleh menjaga kepentingan kita jika mereka diberi kepercayaan menggantikan peranan UMNO.

13. Jika dilihat hari ini sudah tiada beza Pas dengan DAP. Pas sekarang dalam keadaan meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri; menepuk air di dulang terpercik muka sendiri.

Sunday, February 14, 2010

Selamat Tahun Baru Cina

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina (Gong Xi Fa Cai) kepada seluruh masyarakat kaum Cina di negara ini. Semoga kita semua dapat terus hidup dalam suasana harmoni, bertolak ansur dan saling memahami antara satu sama lain.

Wednesday, February 10, 2010

Kerajaan Tidak harus Bebankan Bil Elektrik Kepada Sekolah

1. Saya berterima kasih kepada Menteri pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini memberi respon yang baik mengenai kritikan terhadap Sekolah Berprestasi Tinggi, Skim baucer Tuisyen dan masalah pengurangan bajet Makanan di Sekolah Berasrama.

2. Namun pada minggu lalu saya dimaklumkan oleh Guru Besar dan Pegawai Pendidikan Daerah di kawasan saya bahawa mulai sekarang sekolah-sekolah dikehendaki membayar sendiri bil air dan elektrik.

3. Saya tertanya-tanya mengapa sekolah yang sepatutnya sebagai tempat belajar dan guru sebagai pengajar harus dibebani dengan kerja-kerja sebegini sedangkan sebelum ini penyelesaian bil-bil ini dibuat di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah.

4. Lebih serius ialah pentadbiran sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)perlu mencari dana untuk membayar bil elektrik dan air sekolah masing-masing.

5. Sesetengah sekolah telah memulakan langkah berjimat cermat termasuk mengehadkan penggunaan kipas angin, penghawa dingin, komputer dan makmal. Malahan dalam satu majlis perasmian mesyuarat PIBG, Guru Besar secara terbuka menyatakan bahawa sekolah perlu mengurangkan penggunaan makmal komputer dan perpustakaan bagi mengurangkan kos elektrik.

6. Bagi sekolah di bandar-bandar besar yang PIBGnya mempunyai kewangan yang kukuh ia mungkin bukan satu hal yang besar. Namun bagi sekolah di luar bandar bebanan mencari dana untuk membayar bil elektrik merupakan satu isu besar.

7. Saya khuatir usaha mengehadkan penggunaan elektrik di sekolah-sekolah akan menjejaskan waktu, suasana dan kemudahan pembelajaran. Ini sekaligus akan menjejaskan kualiti pelajar pada masa akan datang.

8. Tentulah pihak pentadbiran sekolah tidak boleh dipersalahkan kerana mereka dibebankan dengan perkara yang tidak sepatutnya menjadi tanggung jawab mereka.

9. Justeru saya berharap kerajaan atau lebih tepat Kementerian Pelajaran menarik balik arahan supaya sekolah membayar sendiri bil elektrik. Ia sepatutnya kembali kepada sistem asal iaitu di bayar oleh PPD.

10. Mungkin kementerian juga boleh berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membayar bil elektrik secara pukal pada setiap bulan membabitkan semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

11. Saya juga merayu kepada Tan Sri Muhyiddin agar meneliti lebih mendalam cadangan-cadangan yang dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran sebelum dilaksanakan agar ia tidak menjadi beban politik kepada beliau dan juga Barisan Nasional kemudiannya.

12. Akhirnya sebelum sesuatu polisi dilaksanakan perhalusilah implikasinya secara serius. Jika ia membabitkan kepentingan rakyat banyak, bawalah berbincang di peringkat Majlis Tertinggi UMNO dan Barisan Nasional terlebih dahulu.

13. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Jangan kerana kerosakan yang sedikit seperti ini akan merosakkan kebaikan besar kita perbuat selama ini.

Monday, February 8, 2010

Bincang Dengan UMNO: Nik Aziz Elok Rujuk J/kuasa Pas Pusat Terlebih Dahulu

1. Saya mengalu-alukan kenyataan Mursyidul Am Pas, YAB. Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan musyawarah dengan UMNO membabitkan hal-ehwal agama Islam.

2. Sejak dahulu saya telah beberapa kali menyarankan agar Pas dan UMNO duduk semeja membincangkan isu-isu membabitkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu. Malangnya setiap kali ada usaha ke arah itu, akan wujud tentangan dan juga halangan.

3. Perbincangan isu-isu agama Islam antara Pas dan UMNO boleh merungkai keresahan majoriti umat Islam di negara ini yang tidak senang ke atas beberapa peristiwa yang berlaku sejak kebelakangan ini terutamanya is penggunaan kalimah Allah.

4. Sungguhpun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pergi selangkah ke hadapan dengan menyatakan Pas sedia berbincang pelbagai isu dengan UMNO, namun buat masa ini biarlah kita realistik dengan memberi tumpuan kepada isu agama Islam terlebih dahulu.

5. Malahan dalam isu agama pun saya khuatir keterbukaan Nik Aziz dan Hadi Awang akan berubah sekelip mata apabila ada campur tangan lain sama ada di dalam Pas mahu pun di dalam Pakatan Rakyat.

6. Pendirian pimpinan Pas dalam beberapa isu sebelum ini termasuk isu kalimah Allah dan kerajaan perpaduan bertukar arah sebaik menjadi isu besar dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Pas Pusat.

7. Justeru saya menyarankan agar keputusan untuk mengadakan perbincangan, musyawarah atau muzakarah dengan UMNO mengenai isu Islam ini diputuskan oleh Jawatankuasa Pas Pusat terlebih dahulu. Ini kerana telah kerap kali Pas berubah pandangan sebaik selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusatnya.

8. Perbincangan Pas-UMNO tidak ada salahnya. Tidak sepatutnya ada mana-mana pihak sama ada di dalam UMNO mahu pun Pas yang merasakan jatuh kedudukan atau martabat. Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya, apatah lagi jika ia untuk kepentingan agama Islam di negara ini.

9. Mungkin buat permulaan, jika sukar di peringkat parti induk, saya cadangkan pemuda UMNO dan Pas memulakan langkah awal. Kita sedar apa gerakan pun agak molek ia dimulakan dengan golongan muda. Janganglah sampai yang tua bergaduh, yang muda pula kuat berbalah. Jika ini berlaku nampak sangatlah kita tidak mengikuti ajaran agama Islam yang amat mengutamakan perpaduan.

10. Jika langkah pertama ini dapat direalisasikan saya percaya akan banyak lagi perundingan dan perbincangan demi kepentingan agama, bangsa dan negara dapat diadakan pada masa hadapan. Insyaallah jika ruyung dipecahkan pasti sagu hasilnya.

Tuesday, February 2, 2010

Mana Lebih Penting, SBT atau Anak-anak Di Pedalaman?

1. Pengumuman 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Kementerian Pelajaran baru-baru ini menimbulkan tanda tanya dan sinisan daripada sebahagian rakyat terutamanya yang berada di luar bandar.

2. Sekolah-sekolah yang diumumkan memang diakui mempunyai tradisi dan sejarah kecemerlangan tersendiri. Dengan kata lain kita tiada sebab untuk mempertikaikan mahu pun meminta kerajaan menilai semula pemilihan sekolah-sekolah ini.

3. Tanpa menafikan dedikasi dan budaya pembelajaran yang hebat di sekolah-sekolah ini, bukanlah ilusi bahawa kecemerlangan sekolah-sekolah ini juga turut dipengaruhi oleh kedudukan di kawasan bandar dan kebanyakan pelajarnya datang daripada keluarga yang berpendidikan dan berpendapatan tinggi. Manakala sebahagian lagi pula merupakan sekolah asrama penuh yang sememangnya telah melakukan pemilihan ke atas pelajar terbaik dari seluruh negara.

4. Orang ramai tertanya-tanya, apakah langkah pengwujudan SBT ini satu usaha meningkatkan kualiti pendidikan atau menjarakkan lagi kualiti pendidikan bandar dan luar bandar?

5. Hari ini pun ada ibu bapa yang berebut-rebut untuk memasukkan anak mereka ke sekolah tertentu yang mempunyai sejarah kecemerlangan. Ada ibu bapa sanggup menghantar anak mereka ke sekolah yang jauh dari rumah semata-mata untuk memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak. (Lihat sahaja jika di musim cuti sekolah banyak kawasan yang selalunya mengalami kesesakan lalu lintas akan menjadi biasa sahaja.)

6. Dengan pengenalan SBT ini makin ramailah yang akan berusaha menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini, terutamanya sekolah harian. Maka pelbagai lobi, surat sokongan serta "hubungan baik" akan digunakan untuk membolehkan anak-anak mereka masuk ke sekolah tersebut.

7. Malahan tidak mustahil pula bagi mereka yang tinggal berhampiran sekolah tersebut tidak mendapat tempat kerana telah penuh. Juga tidak mustahil akan ada sekolah ini yang memilih pelajar tertentu sahaja bagi memastikan prestasi sekolah terus kekal sedemikian. Akhirnya hanya segelintir akan bergembira, ramai yang tidak berpuas hati.

8. Kita telah pun ada Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)yang menumpukan kepada kualiti pembelajaran. Suatu ketika SBP dan MRSM bertujuan memberi peluang kepada pelajar luar bandar yang cemerlang mendapat pendidikan, penginapan dan makanan yang baik. Hari ini ramai juga di kalangan anak mereka yang berpendapatan tinggi turut masuk ke sekolah ini.

9. Walaupun begitu, mereka ini terpilih menikmati satu sistem yang berbeza kerana telah melalui ujian dan peperiksaan serta lulus dengan cemerlang. SBP dan MRSM bertujuan menyediakan satu langkauan pendidikan bagi mereka yang cemerlang. Mereka telah lepasi ujian yang diperlukan.

10. Namun pengenalan SBT sangat mengelirukan. Ia memberi kelebihan kepada pelajar tertentu tanpa perlu melalui ujian atau tapisan yang sewajarnya. Kelebihan yang diperolehi adalah berdasarkan "nasib baik" mereka bersekolah di sekolah berkenaan.

11. Pemberian beberapa kelonggaran dan peruntukan yang besar kepada SBT ini menimbulkan pertanyaan dan kemarahan kepada ibu bapa yang berada di kampung mahu pun yang gagal memasukkan anak-anak mereka ke sekolah ini.

12. Bagaimana pula dengan nasib anak-anak sekolah lain terutamanya di luar bandar. Lebih menyedihkan ialah bagaimana nasib anak-anak di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak yang masih lagi di sesetengah kawasan belajar dalam keadaan daif?

13. Terdapat banyak rungutan guru-guru bahawa pengurangan bajet Kementerian Pelajaran kepada sekolah-sekolah menyebabkan banyak aktiviti pendidikan dan sokongan tidak dapat dijalankan.

14. Namun dalam masa yang sama Kementerian pengumumkan setiap SBT mendapat RM 700 ribu setahun. Ini menimbulkan persoalan baru, mengapa Kementerian pelajaran memotong bajet untuk sekolah biasa tetapi boleh pula memberi peruntukan sedemikian besar kepada SBT.

15. Apakah kecemerlangan anak-anak di SBT lebih utama berbanding anak-anak di seluruh negara yang tiada peluang berada di SBT? Seperti yang saya nyatakan di atas bahawa SBT ini sungguhpun sebahagiannya sekolah harian merupakan sekolah di bandar dan kebanyakan ibu bapa merupakan golongan berada. Justeru mereka mampu menyediakan pendidikan tambahan kepada anak-anak mereka berbanding ibu bapa di sekolah biasa terutamanya di luar bandar.

16. Jadi di mana keutamaan Kementerian Pelajaran? Kementerian sepatutnya menumpukan sekolah yang tertinggal terlebih dahulu, berbanding memberi bantuan kepada sekolah yang telah cemerlang dan mempunyai budaya pembelajaran yang sudah cukup baik serta sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang kuat.

17. Menurut YAB Tan Sri Muhyiddin, "Kita ada ranking kesemua 10,000 sekolah, baik di Sabah, Sarawak dan Semenanjung dan tahu daripada jumlah itu di tahap mana prestasi sekolah-sekolah itu."

18. Justeru bukankah lebih baik dan afdal Kementerian menumpukan kepada sekolah-sekolah yang berada di rangking terbawah terlebih dahulu supaya mereka mampu melahirkan pelajar yang cemerlang sama seperti sekolah yang telah sedia cemerlang.

19. Berilah tumpuan kepada sekolah-sekolah luar bandar dan pendalaman dahulu. Jika ada masa misalnya bawalah pegawai-pegawai kerajaan pembuat polisi mengembara dari Sandakan ke Tawau dan ke Kota Kinabalu menggunakan kenderaan agar mereka sendiri boleh melihat mana yang lebih perlu diutamakan dalam sistem pendidikan kita.

20. Tujuan untuk mewujudkan budaya bersaing dan budaya kecemerlangan patut disanjung. Namun persaingan harus adil dan setara antara luar bandar dan bandar.

21. Justeru ia tidak pula harus mengorbankan golongan yang lebih memerlukan lebih perhatian kerana menjadi mangsa keadaan hidup dan lokasi di luar bandar. Keutamaan harus kepada sekolah luar bandar dengan menyediakan infrastruktur, bantuan kelas tambahan, komputer dan tenaga pengajar supaya ia sama taraf dan keupayaan dengan sekolah di bandar.

22. Sepatutnya sekolah menjadi satu institusi yang mampu melahirkan individu cemerlang biarpun ia bersekolah di pedalaman sekalipun. Ini kerana sekolahlah yang memainkan peranan besar sama ada melahirkan manusia berguna atau hantu-hantu raya yang penuh dengan masalah sosial.

23. Saya tahu tulisan ini juga mungkin akan menjadi seperti beberapa tulisan sebelum ini yang akan mendapat kritikan keras segelintir pegawai kerajaan. Khabarnya ada pegawai kanan kerajaan mengkritik blog saya, dalam satu talikmat polisi kerajaan baru-baru ini, sebagai tidak membantu kerajaan dan Barisan Nasional dengan mengambil contoh kritikan saya terhadap Skim Subsidi Beras (Subur).

24. Saya berharap mereka tidak terlalu mengambil berat kritikan blog saya ini. Sebagai bekas Menteri Besar yang dituduh dengan pelbagai fitnah, pengaruh saya tidaklah sebesar mana. Yang mereka perlu risaukan ialah pandangan rakyat di bawah. Jangan nanti rakyat melihat kerajaan hari ini membuat polisi yang tidak ubah seperti tikus membaiki labu.