Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Monday, March 29, 2010

Hulu Selangor Ujian Semangat Barisan Nasional

1. Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia di kediamannya di akibat barah otak. Semoga Allah mencucuri rahim dan rahmatNya ke atas roh allahyarham.

2. Pemergian Dr Zainal bermakna akan berlaku satu lagi pilihan raya kecil. Kali ini giliran Selangor pula menjadi medan "pertarungan" memenangi hati rakyat.

3. Sudah terdapat suara-suara akar umbi yang meminta BN meletakkan calon dari UMNO setelah sekian lama berada di bawah parti komponen MIC. Ini berikutan jumlah pengundi Melayu di Parlimen tersebut sebanyak lebih kurang 53.9 peratus, Cina (26.7), India (19) dan lain-lain (0.4).

4. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Dr Zainal memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 198 undi. Zainal Abidin mendapat 23,177 undi manakala Datuk G. Palanivel dari BN mendapat 22,979 undi.

5. Parlimen Hulu Selangor menyaksikan undi rosak antara tertinggi di seluruh negara iaitu sebanyak 1, 466 undi. Ramai yang menganggap ia merupakan undi protes terhadap isu tempatan kerana BN memenangi ketiga-tiga kerusi DUN dalam Parlimen tersebut.

6. Sungguhpun ada permintaan UMNO untuk meletakkan calon, namun saya fikir ia tidak wajar dipertimbangkan. Ini memandangkan kawasan tersebut diberi kepada MIC dalam konsep persefahaman dan perkongsian kuasa antara kaum.

7. Tiada siapa pun mahu kalah. Namun apa erti kemenangan jika prinsip ikatan persefahaman antara kaum yang dibina sejak 1957 dimusnahkan begitu sahaja hanya kerana mahu menang satu kerusi.

8. Saya percaya jika kita berpegang kepada prinsip ikatan antara kaum ini, pengundi akan memberi kemenangan seperti mana dalam pilihan raya kecil Ijok tahun 2007. Sungguhpun menentang calon "heavyweight" seperti Tan Sri Khalid Ibrahim, Cikgu Parthiban wakil BN dari MIC tetap menang di kawasan majoriti Melayu.

9. Jika sesiapa masih ingat dalam pilihan raya kecil Parlimen Ampang Jaya pada 1989, calon Semangat 46 ketika itu ialah bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Harun Idris. Sungguhpun ia merupakan kawasan majoriti Melayu dan berhadapan dengan sentimen pengundi Melayu mahukan wakil rakyat Melayu, namun BN tetap mempertahankan ikatan kesatuan antara kaum dengan mencalonkan calon MCA, YB Ong Tee Keat. Dan BN tetap mendapat sokongan majoriti termasuk di kalangan pengundi Melayu.

10. Masalah kepada sebahagian wakil rakyat bukan Melayu BN di kawasan majoriti Melayu ialah mereka membiarkan hanya UMNO kehadapan dalam kawasan pengundi Melayu. Ini menyebabkan pengundi Melayu rasa kecil hati dan berpendapat wakil rakyat bukan Melayu daripada BN tidak mempedulikan mereka. Di sinilah timbul suara-suara mahukan wakil rakyat Melayu.

11. Saya percaya jika wakil rakyat bukan UMNO dari komponen BN lain memberi perkhidmatan kepada semua kaum dengan baik, orang Melayu tiada masalah memberi undi mereka kepada sesiapa calon BN.

12. Justeru saya tetap berpendapat BN harus meletakkan calon dari komponen MIC. Namun calon yang dipilih bukan sahaja popular di kalangan pengundi India tetapi harus juga berupaya meyakinkan pengundi Melayu dan Cina bahawa mereka juga akan mendapat perkhidmatan yang terbaik daripadanya.

13. Selebihnya meletak calon UMNO dalam kawasan yang sememangnya kerusi MIC sangat tidak molek jika berpegang kepada konsep penyatuan 1 Malaysia. Pertahankan konsep permuafakatan BN demi kesejahteraan negara.

Tuesday, March 23, 2010

Dua Tahun Yang Penuh Hipokrasi (Siri 3): Kerajaan Tin Kosong?

1. Sehingga hari ini Tan Sri Khalid Ibrahim belum menerangkan apakah bentuk pembayaran hutang oleh Talam kepada Kerajaan negeri sebanyak RM 50 juta baru-baru ini. Adakah ia dalam bentuk tunai atau pertukaran aset. Jika pertukaran aset siapa yang menilai harga aset tersebut?

2. Kekeliruan bertambah lagi apabila Talam baru-baru ini mengumumkan ia menandatangai memorandum persefahaman (MOU) untuk membayar hutang kepada kerajaan negeri Selangor sebanyak RM 241.4 juta.

3. Namun jika saudara/i masih ingat pada November 2009, Tan Sri Khalid mengumumkan Menteri Besar Incorporated (MBI) mengambil alih hutang Talam daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri sebanyak RM 391.7 juta melalui pinjaman bank. Nampak gayanya hutang belum dibayar tetapi RM 150 juta telah lesap.

4. Janji semasa round tripping tersebut untuk mengutip hutang dalam tempoh tiga bulan. Namun selepas tiga bulan hanya MOU yang dapat dibuat.

5. Sungguhpun saya tidak dapat membangkitkan dalam sidan Dewan Negeri Selangor bulan depan kerana masih digantung, insyallah rakan-rakan yang lain akan membangkitkannya.

Janji Mudah Yang Belum Ditunai

5. Saya akan terus mengungkit hal manifesto Pakatan di Selangor kerana ada antaranya sangat mudah dibuat tetapi masih tidak ditunaikan.

6. Mengapa kerajaan negeri masih belum menurunkan cukai pintu rumah sebanyak 20% dan cukai pintu premis perniagaan sebanyak 10% seperti yang mereka janjikan? Ia sangat mudah sekali kerana hanya memerlukan arahan YAB Menteri Besar sahaja.

7. Saya bangkitkan ini kerana semasa pilihan raya dahulu kerajaan BN dituduh tidak bertimbang rasa dan zalim kerana menaikkan cukai pintu sebanyak 10%. Sekarang mengapa mereka menelan ludah sendiri?

8. Hari ini janji untuk memberi bantuan kepada semua anak pra-sekolah di Selangor sebanyak RM 50 sebulan juga tidak ditunaikan. Demikian juga bantuan RM 75 sebulan kepada semua anak-anak Selangor di pusat jagaan (nursery)juga tidak dilaksanakan.

9. Saya juga ingin menyatakan bahawa bantuan Khairat Kematian yang dibuat oleh kerajaan Pakatan sekarang ialah warisan kerajaan BN yang lalu. Saya membentangkan Skim Khairat Kematian Selangor dalam pembentangan Bajet 2008 pada November 2007.

10. Melalui skim ini, Kerajaan Negeri akan memberi sagu hati kematian sebanyak RM 2,000 kepada waris-waris yang tinggal tanpa mengira sebab-sebab kematian. Mereka-mereka yang layak adalah semua warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal yang berumur 60 tahun ke atas yang merupakan rakyat Selangor atau mereka yang telah bermastautin sekurang-kurangnya 15 tahun di Selangor.

11. Kerajaan negeri hari ini hanya meningkatkan jumlahnya daripada RM 2, 000 kepada 2, 500. Namun tidak seperti kerajaan BN yang membayar seklaigus bagi memudahkan urusan pengkebumian dan sebagainya, kerajaan negeri hari ini membayar sebanyak dua kali iaitu RM 1, 000 dan 1, 500 beberapa bulan kemudian.

12. Khabarnya ramai juga yang belum dapat bantuan kedua sebanyak RM 1, 500 walaupun sudah hampir enam bulan orang tua mereka meninggal. Jadi apa makna bantuan khairat kematian jika ia diberi 6-12 bulan selepas kematian? Bukankah khairat kematian untuk membantu urusan pengkebumian jenazah?

13. Sehingga hari ini juga saya belum mendengar sebarang maklumat bahawa kerajaan Pakatan akan memberi elaun kepada suri rumah yang tidak bekerja seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto mereka.

14. Saya pasti akan ada berhujah bahawa mereka baru memerintah selama dua tahun sedangkan BN sudah lebih 50 tahun. Namun perlu diingat bahawa BN memerintah daripada keadaan yang hampir kosong ditinggal penjajah, "start from scratch", berbanding Pakatan yang mengambil alih pentadbiran daripada sebuah kerajaan yang makmur dengan rizab tunai sebanyak RM 1.4 bilion.

15. Jadi ketika ada yang mahu membandingkan lama pemerintahan BN dengan Pakatan mereka perlu menilai secara jujur apakah keadaan ekonomi, pentadbiran, kewangan, infrastruktur adalah sama sejak 50 tahun lalu?

16. Selebihnya kita tidak menuntut perkara yang bukan-bukan daripada Pakatan. Kita hanya menuntut janji yang mudah-mudah sahaja. Janji yang mereka juga dakwa kerajaan BN tidak buat kerana tidak prihatin dengan nasib rakyat. Seolah-olah jika mereka memerintah mereka mampu buat semua itu sekelip mata. Justeru sekarang bukankah masa untuk menunaikan janji?

Jangan nanti kerajaan Pakatan hari ini tercatat di dalam sejarah sebagai kerajaan tin kosong.

Wednesday, March 17, 2010

Tukar Nama Pendidikan Seks Kepada Pengajian Gender

Pendidikan Seks: Antara Keperluan dan Kontroversi

1. Cadangan untuk mengadakan pendidikan seks di sekolah-sekolah sekali lagi menjadi tajuk perbincangan hangat. Ini bukan kali pertama ia menjadi isu. Setiap kali isu ini timbul akan wujud pandangan yang bersetuju dan menentang. Ini lumrah manusia. Jarang manusia boleh bersetuju sebulat suara dalam apa hal pun.

2. Melihat gejala sosial hari ini termasuk seks diluar perkahwinan, seks bebas, peningkatan pembawa HIV dan penghidap AIDS, seks bawah umur dan jenayah seksual seperti rogol, cabul dan liwat menunjukkan ada kepentingan dan keperluan mengadakan pendidikan seks di sekolah-sekolah.

3. Namun ada juga rakan saya berhujah bahawa Amerika Syarikat yang memperkenalkan pendidikan seks bukan sahaja gagal membendung gejala-gejala yang saya sebutkan itu, malah meningkatkan pula masalah-masalah sosial ini. Mungkin perasaan ingin tahu hasil pengetahuan mengenai seks tersebut menyebabkan mereka ingin mencuba.

4. Saya percaya di Malaysia sendiri pun masalah-masalah sosial membabitkan seks ini berpunca daripada pendedahan remaja kepada bahan lucah di internet yang mendorong perasaan ingin mencuba.

5. Bagi saya pendidikan seks harus dilaksanakan di sekolah-sekolah bagi bukan sahaja membendung seks luar nikah dan seks bebas tetapi juga memberi pengetahuan yang jelas mengenai kehidupan manusia dan isu-isu gender. Ini kerana masayarakat hari ini turut berhadapan dengan masalah kekeliruan gender di mana kita lihat semakin ramai lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki.

6. Kontroversi di kalangan yang menentang ini banyak berkisar kepada masalah pendekatan atau approach mereka yang mencadangkannya. Jika diteliti dari sudut ilmu pendidikan dan akademik, pendidikan seks mempunyai ruang lingkup yang sangat luas dan bukan bermakna hubungan seks (intercourse) semata.

7. Namun di kalangan orang Asia termasuk di Malaysia, subjek Pendidikan Seks memberi makna yang kurang selesa dan agak sensitif. Justeru apabila dilontarkan idea pendidikan seks kepada masyarakat di negara ini ia memberi mesej yang mengelirukan. Ramai beranggapan ia akan menerangkan mengenai hubungan kelamin sekaligus ini menimbulkan tentangan.

8. Justeru untuk perbincangan selanjutnya saya berharap Kementerian Pelajaran dan tokoh pendidik boleh memulakan perbincangan dengan menggunakan nama pendidikan seks kepada sesuatu yang lebih sopan, mesra dan dapat diterima oleh masyarakat tanpa menyinggung perasaan.

9. Saya cadangkan Kementerian Pelajaran menggunakan nama seperti Pengajian Gender. Ia tampak lebih manis dan tidak menimbulkan ketidakselesaan masyarakat untuk membicarakannya.

“Gender is used to describe those characteristics of women and men, which are socially constructed, while sex refers to those which are biologically determined. People are born female or male but learn to be girls and boys who grow into women and men. This learned behaviour makes up gender identity and determines gender roles” (World Health Organization, 2002).

10. Saya juga berharap Kementerian Pelajaran mendapatkan pandangan dan bantuan pelbagai pihak terutama pemimpin masyarakat, NGO, tokoh agama, tokoh motivasi dan tokoh budaya dalam merangka satu sukatan pengajian gender yang menyeluruh dan bukan berunsur seks semata.

Thursday, March 11, 2010

Dua Tahun Yang Penuh Hipokrasi (Siri 2): Urusan Kewangan Negeri Kacau Bilau


1. Setelah dua tahun memerintah, saya melihat Pakatan Rakyat meletakkan kedudukan kewangan negeri dalam keadaan "sakit" dan tidak terurus dengan baik.

Kelemahan Perancangan dan Bajet Defisit

2. Apabila Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil alih kerajaan negeri, rizab tunai negeri Selangor berjumlah RM 1.4 bilion, jika tidak silap saya tertinggi dalam sejarah Selangor.

3. Namun pada tahun 2009, Bajet kerajaan negeri telah defisit hampir RM 1 bilion.


4. Ini bermakna rizab tunai kerajaan negeri telah berkurangan dengan sangat banyak dalam tempoh dua tahun pemerintahan Pakatan di Selangor. Bajet defisit yang besar ini sekaligus menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan yang jelas dalam memperkukuhkan kewangan negeri.

5. Sejak dua tahun ini, tampak jelas perancangan kewangan dan ekonomi negeri hanya berasaskan pendekatan-pendekatan populis dan andaian pendapatan yang tidak berasaskan perkiraan yang cermat. Jika ia dilakukan secara bertanggungjawab tetapi pendapatan tidak mencerminkan anggaran, maka pasti ada kebocoran dan kelemahan yang sangat serius dalam jentera pentadbiran negeri.

6. Dalam ucapan Bajet 2009, Tan Sri Khalid dilaporkan berkata:
"Kerajaan Negeri telah menubuhkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd sebagai syarikat kerajaan negeri yang memberi penumpuan kepada aktiviti perniagaan pasir pada tahun ini dan dijangka mampu membawa pulangan bernilai RM150 juta pada tahun hadapan berbanding dengan kutipan royalti bernilai RM20 juta pada tahun 2007."

7. Antara kebocoran dan kelemahan ketara ialah dari sudut pungutan hasil pasir yang sangat sedikit berbanding "andaian" kerajaan negeri. Kerajaan negeri menubuhkan Kumpulan Semesta
 untuk menguruskan hasil pasir dengan matlamat mengutip antara RM 150 - 200 juta setahun. Namun hasil pasir yang masuk kepada kerajaan negeri ialah sekitar RM 5 juta sahaja.

8. Jumlah kutipan ini sangat sedikit berbanding keluasan kawasan perlombongan pasir hari ini berbanding zaman BN dahulu. Dahulu perlombongan pasir hanya melibatkan kawasan persendirian dan pejabat tanah megutip doket sahaja. Namun sekarang ini kerajaan negeri membenarkan perlombongan pasir di tanah milik kerajaan.

9. Ini bermakna selain doket, kerajaan negeri juga mengutip wang menerusi tender. Namun jumlah kutipan sangat rendah. Mengapa dan kenapa? Adakah ia ada kena mengena dengan beberapa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beberapa individu termasuk pegawai khas seorang EXCO?

Pakej Rangsangan Ekonomi Lawak jenaka

10. Setahun yang lalu Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghebahkan Pakej Rangsangan Ekonomi sebanyak RM 50 bilion. Secara keseluruhan Pakej Merangsang Ekonomi Selangor berjulah RM 50 Bilion itu merangkumi:


(a)Pemulihan dan pembersihan Sungai Klang yang melibatkan pembangunan kawasan perumahan di sepanjang sungai dan tanah rezab.
(b) Perluasan sistem pengangkutan bagi seluruh negeri Selangor termasuk perluasan sistem transit aliran ringan (LRT).
(c)Usaha menaik taraf dan menggantikan aset air berikutan pengambilalihan aset air Selangor oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
 (d) Pembaharuan aktiviti di bandar, iaitu menumpukan usaha terhadap pembangunan semula kawasan terbiar termasuk di Petaling Jaya dan Klang.
(e)Pembangunan semula projek-projek perumahan yang terbengkalai.

11. Antaranya termasuk peruntukan RM 10 bilion bagi kos pembersihan dan pemulihan Sungai Klang sepanjang 120km untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam bidang perumahan dan pelancongan di kawasan tanah rizab sungai itu.

12. Jika setahun lalu dijanjikan projek ini akan dilakukan Mac 2009, sehingga Mac 2010 belum nampak tender terbuka diumumkan mahu pun kerja-kerja pembangunan Sungai Klang dijalankan. Yang lain lagilah jauh api dari panggang.

13. Lebih melucukan kita tertanya-tanya daripada mana datangnya wang kerajaan negeri untuk Pakej Rangsangan RM 50 Bilion itu dan berapa banyak yang telah disuntik ke dalam pembangunan negeri?

Hutang Talam: Janji Tiga Bulan Yang Gagal

14. Pada November 2009, Kerajaan negeri mengumumkan satu acara silap mata kewangan yang yang dikenali sebagai round-tripping. Bukan saya sahaja mengkritik silap mata ini. Malahan seminggu selepas kritikan saya tersebut, keluar emel daripada Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Salahuddin Hashim yang turut mengkritik, "This is an old trick used by the crooks in the corporate sector."

15. Dalam pengumuman tersebut, Menteri Besar Incorporated (MBI) melakukan pengambil alihan hutang Talam sebanyak RM 391.7 juta dan berjanji untuk menyelesaikannya dalam masa tiga bulan. Namun selepas tiga bulan hanya RM 50 juta sahaja dikutip. Kutipan ini juga menimbulkan banyak pertanyaan kerana ia diumumkan oleh Menteri Besar tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada Talam Corporation.

16. Saya pernah mempersoalkan berapakah kos round tripping ini. Antaranya berapakah kos konsultan dan berapakah kos guaman untuk perjanjian pengambilalihan pinjaman dan juga perjanjian pinjaman dengan Bank.

17. Namun sehingga hari ini rakyat tidak mendapat jawapan yang konkrit. Siapakah peguam yang mendapat keuntungan dalam urusan ini? Apakah ia ada kaitan dengan parti pemerintah negeri hari ini? Sebaliknya Menteri Besar memperbodohkan kita apabila menjawab ia dilakukan sendiri oleh beliau tanpa sebarang bayaran. Menurut Mstar Khalid Ibrahim dilaporkan berkata:
Ketika ditanya, siapakah konsultan dalaman yang beliau maksudkan, Khalid secara bersahaja menjawab; “Konsultan itu adalah Khalid Ibrahim kerana saya orangnya yang membuat cadangan tersebut dan saya akan memastikan proses pelaksanaannya nanti."

 “Dan kos untuk konsultansi dalaman itu adalah percuma melainkan saudara-saudari semua nak saya caj kerajaan negeri,” katanya

18. Belum selesai dijawab dengan telus kos pengambilalihan hutang ini, Menteri Besar umum berjaya kutip RM 50 juta dari Talam biarpun janji asal untuk kutip RM 391.7 juta dalam masa tiga bulan ini.

19. Timbul lagi pertanyaan, apakah RM 50 juta tersebut dalam bentuk tunai atau pengambilalihan aset. Jika pengambilalihan aset siapa yang menilai? Dan bagaimana pula dengan sinisan kerajaan negeri sebelum ini bahawa kerajaan negeri semasa di bawah pentadbiran saya tidak cekap kerana menjalankan usaha mengambil alih aset Talam bukannya wang tunai. Mereka berjanji untuk mendapatkan wang tunai.

20. Amat mustahil bagi sebuah syarikat senaraian awam yang berada dalam kedudukan kewangan yang kurang baik seperti Talam membayar hutang sebesar itu tanpa sebarang pengumuman rasmi. Jadi pertanyaan ini sudah tentulah sangat relevan untuk dijawab. Namun sehingga hari ini belum ada penjelasan daripada YAB Menteri Besar.

21. Sudah banyak jenaka kerajaan negeri, tapi bersediakah mereka yang menyokong Pakatan Rakyat untuk menerima hakikat ini atau masih mahu terus berada dalam denial syndrome bahawa segala-galanya indah belaka.

22. Saudara/i buatlah kesimpulan dan kenyataan sendiri mengenai apa yang saya nyatakan ini. Nilaikanlah dengan hati dan fikiran yang terbuka. Jangan kelak nasi sudah menjadi bubur baru mahu ditegur kepincangan kerajaan negeri.

Tuesday, March 9, 2010

Dua Tahun Yang Penuh Hipokrasi (Siri 1)

1. Bulan ini genap dua tahun pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor. Selama dua tahun ini saya melihat peralihan kuasa yang diuar-uarkan sebagai "Merakyatkan Ekonomi Selangor" sebagai tidak lebih daripada pentadbiran dan pengurusan ekonomi berasaskan andaian.

2. Pelaburan di Selangor berjumlah RM 11.18 bilion pada 2007, RM 11.87 bilion pada 2008 dan jatuh ke RM 6.7 Bilion pada 2009.

3. Bukan untuk mengungkit, namun pelaburan pada 2007 dan 2008 jelas merupakan hasil usaha kerajaan di bawah BN dengan kerjasama para pegawai kerajaan serta SSIC berikutan pelancaran beberapa projek besar seperti Selangor Science Park 2.

4. Pelaburan yang dicatatkan di atas ialah jumlah yang telah diluluskan pelaburannya. Selalunya usaha menarik pelaburan terutama pelaburan asing memakan masa satu hingga tiga tahun sebelum ia dicatatkan oleh MIDA. Ini bermakna jumlah pelaburan pada 2008 merupakan hasil usaha menarik pelaburan pada 2006 dan 2007.

5. Sebab itu saya merasa sangat aneh apabila pada tahun lalu, kerajaan Selangor di bawah Pakatan dengan bangga mengisytiharkan pencapaian pelaburan tahun 2008 yang tertinggi dalam sejarah Selangor sebagai bukti kejayaan kerajaan Pakatan. Tidak sedikit pun penghargaan diberikan kepada kerajaan BN yang berusaha mendapatkannya.

6. Pada 2009 pula pelaburan jatuh sehingga hampir separuh. Saya percaya sebahagian jumlah pelaburan asing pada 2009 juga adalah hasil usaha kerajaan BN pada tahun 2007 dan 2006 yang lalu. Ini kerana lebih RM 3 Bilion daripada pelaburan di Selangor yang diluluskan pada 2009 merupakan pelaburan tambahan (expansion/diversification)daripada perniagaan sedia ada.

7. Lebih mengejutkan saya dimaklumkan bahawa YAB Menteri Besar dan EXCO YB Teresa Kok mendakwa pencapaian 2009 ini melebih sasaran awal kerajaan negeri sebanyak RM 4 bilion. Ia mengejutkan kerana dalam pembentangan Bajet 2009, Tan Sri Khalid menyasarkan jumlah pelaburan ke Selangor pada 2009 sekitar RM 12 bilion.

Kerajaan Negeri berusaha mensasarkan pelaburan bagi tahun 2009 melebihi RM12 bilion dan yakin dapat mencapai sasaran pelaburan melebihi RM35 bilion dalam tempoh RMK-9. - Ucapan Bajet Negeri Selangor 2009 yang dibentangkan pada 20 Oktober 2008.

8. Apakah erti sikap berpura-pura sebegini? Tampaknya kerajaan negeri sama seperti pentadbiran Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masih berada dalam keadaan sindrom penafian (denial syndrome).

9. Saya bangkitkan perkara ini bukan kerana ingin mendapat pujian dan sebagainya. Sebaliknya ia sekadar mengulangi kebimbangan saya sebelum ini bahawa kerajaan negeri tidak melakukan usaha yang cukup aggresif bagi menarik pelaburan dari Timur Tengah dan Eropah. Dan ternyata peratusan FDI selangor pada 2009 jatuh dengan banyak.

10. Malahan berdasarkan kegagalan kerajaan negeri melakukan usaha menarik pelaburan yang serius pada 2008 dan 2009, tidak mustahil jumlah FDI baru ke Selangor akan jatuh lagi.

11. Saya berharap pada tahun ini kerajaan negeri akan lebih aggresif mengadakan misi perdagangan ke luar negara agar kemajuan negeri Selangor akan dapat dikekalkan.

12. Namun jika dilihat tindak tanduk pentadbiran negeri hari ini dan Penasihat Ekonomi Negeri yang lebih berminat berceramah politik setiap minggu, saya fikir sukar untuk Selangor kembali meraih pelaburan yang tinggi dalam beberapa tahun mendatang ini.

13. Pelaburan yang datang bukan ibarat yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang, tapi perlu ada usaha usaha dan kerja keras meyakinkan pelaburan baru masuk ke Selangor. Kerajaan negeri perlu ingat jika tidak dipecahkan ruyung, mustahil ada sagunya.

Tuesday, March 2, 2010

MPM atau Suqiu dan Hindraf Yang Lebih Cauvinis?

1. Penubuhan Majlis Perundingan Melayu (MPM)yang mengandungi 76 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu tidak harus dilihat sebagai satu langkah perkauman melampau seperti mana yang cuba digambarkan oleh kumpulan tertentu.

2. Ramai orang Melayu mungkin tidak sedar kewujudan ribuan NGO kaum Cina, yang sama ada secara berselindung atau tidak bertujuan menjadi kumpulan pendesak kepada kepentingan kaum Cina sama ada dalam bidang kebudayaan, pendidikan mahu pun ekonomi.

3. Dalam bidang pendidikan misalnya terdapat dua pertubuhan kaum Cina yang khusus ingin menjaga kepentingan pendidikan Cina iaitu Gabungan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) dan Gabungan Persatuan-persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zhong). Mereka kerap kali membuat kenyataan bersama sehingga dikenali sebagai Dong Jiao Zhong. Semua orang tahu aksi dan reaksi mereka jika ada Sekolah Jenis Cina ditutup atau digabungkan dalam Sekolah Wawasan suatu ketika dahulu.

4. Ketika orang Melayu masih terikat dengan dogma kepartian Pas - UMNO - Anwar Ibrahim, dan menghadapi perpecahan atas sebab peribadi seorang pemimpin, kaum Cina pula secara senyap bersatu melalui pertubuhan bukan kerajaan untuk mengemukakan pelbagai tuntutan menjelang pilihan raya Umum 1999.

5. Hasilnya muncul Suqiu pada 1999 yang mengumpulkan 2095 persatuan dan pertubuhan Cina di Malaysia dan membuat satu tuntutan yang dinamakan "Rayuan Pilihanraya". Mereka mengemukakan 83 tuntutan di bawah 17 Perkara Rayuan. Rayuan ini disifatkan oleh ramai pihak, termasuk Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu, sebagai satu tuntutan melampau dan bersifat terlalu kecinaan.

MPM: Kuasa Ketiga Melayu?

6. Sepuluh tahun selepas kontroversi Suqiu, orang Melayu dan Islam melihat bahawa gerakan politik Pas, PKR dan UMNO sudah gagal sama sekali menjaga kepentingan mereka.

7. Majoriti orang Melayu yang masih berpegang kepada akar agama Islam, budaya dan bahasa Melayu melihat sedikit demi sedikit hak-hak mereka dalam Perlembagaan dan kontrak kemerdekaan sedang dicabar dan dihakiskan atas nama kesamarataan, keadilan, ketelusan, meritokrasi dan persaingan globalisasi.

8. Lebih mengecewakan mereka pula pemimpin Melayu dari semua parti sibuk bercakap mantera-mantera kapitalis seperti kesamarataan, keadilan, ketelusan, meritokrasi dan persaingan globalisasi. Hari ini pemimpin Melayu dalam semua parti politik "mengambil mudah" (take for granted) kedudukan kuasa undi orang Melayu.

9. Mungkin ini kerana orang Melayu telah dicop sebagai taksuban politik. Jika UMNO maka BN lah undinya biar apa pun terjadi. Jika Pas maka Pakatan Rakyatlah undinya biar pun ijtihad tahun - tahun 80 dan 90 -an telah berpusing 180 darjah dalam alaf baru.

10. Selepas taksub kepada parti politik, orang Melayu taksub pula kepada pemimpin. Kalau penyokong Tun mahathir maka mahathirlah beliau sampai mati. Salah benar bukan isu. Sokongan mesti mutlak. Demikian juga jika ia penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, biar terbakar kelambu, asal nyamuk mati puas hatinya. Jika ia penyokong Datuk Nik Aziz Nik Mat, maka hidup matinya bersama Nik Aziz biar pun adakalanya hujahan beliau kontras antara satu sama lain.

11. Maka ketaksuban-ketaksuban kepada parti politik dan pemimpin politik inilah yang menentukan undi orang Melayu. Orang Melayu tiada kumpulan pendesak dan penggerak yang boleh membentuk pola dan mobiliti arus pengundian orang Melayu bersandarkan kepentingan agama dan bangsa.

12. Orang Melayu tiada Suqiu seperti mana orang Cina yang berupaya menggerakan sokongan pengundi Cina kepada BN pada 1999 dan 2004 serta kepada Pakatan Rakyat pada 2008.

13. Demikian juga kaum India mewujudkan Hindraf sebagai kuasa pendesak kaum India yang berjaya menggembleng sokongan kaum India kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu. Hasilnya kaum India dan Cina diangkat dan didewakan oleh Pakatan Rakyat kerana menyedari kepentingan undi mereka yang berubah mengikut kepentingan kaum mereka.

14. Sementara orang Melayu tidak dipedulikan kerana sebahagian besarnya sudah menjadi taksuban parti Pas, UMNO dan PKRM serta juga menjadi taksuban Nik Aziz, Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad.

15. Ini semua kerana ketiadaan NGO Melayu yang perkasa sebagai kuasa pendesak ketiga (the third force)seperti kaum Cina dan India.

MPM atau Suqiu dan Hindraf Yang Cauvinis?

16. Justeru jika tiada kaum cina dan India yang mengecam dan menuduh Suqiu dan Hindraf sebagai perkauman sempit dan jahat mengapa pula Majlis Perundingan Melayu (MPM) harus dilihat dari sudut yang negatif?

17. MPM hanya bertujuan menjaga kepentingan Bumiputera, Melayu dan Islam seperti mana yang diperuntukan dalam Perlembagaan.

18. Ini sangat bertentangan dengan Suqiu dan Hindraf yang menuntut beberapa perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan untuk kepentingan akum Cina dan India?

19. Jadi siapa yang lebih bersifat perkauman dan cauvinis MPM atau Suqiu dan Hindraf?

20. Saya fikir penubuhan MPM ini memberi makna besar kepada orang Islam dan Melayu keseluruhannya di negara ini. Sudah tiba masanya kita berhenti bersikap menang sorak kampung tergadai.

21. Kita gah menjadi Perdana Menteri, kita gah menjadi Menteri Besar, kita gah Menjadi Ketua Pembangkang, kita gah menjadi Ulama besar, kita gah menjadi Menteri tapi hakikatnya, nasib dan masa depan agama dan bangsa kian kabur dan gelap kerana semuanya dilihat mahu menarik undi bukan Melayu.

22. Orang Melayu tidak menafikan hak dan kepentingan kaum lain di negara ini. Orang Melayu juga tidak menafikan tanggungjawab kerajaan memberi bantuan dan sokongan kepada golongan miskin tanpa mengira kaum mahu pun agama.

23. Apa yang orang Melayu dan juga seluruh bumiputera lihat ialah usaha membantu itu dengan mengorbankan apa yang hak kepada mereka.

Majlis Permuafakatan Bumiputera?

24. Saya juga ingin mencadangkan agar MPM ini dapat pula mengadakan kerjasama dengan NGO-NGO Bumiputera lain tanpa mengira batas agama membentuk Majlis Permuafakatan Bumiputera.

25. Dengan ini selain menjaga kepentingan Melayu dan agama Islam melalui MPM, MPB pula boleh menjaga kepentingan semua kaum yang diiktiraf sebagai bumiputera di negara ini.

26. Ini penting kerana kadang kala apabila kita bercakap hak Melayu, ada kaum bumiputera di sabah dan Sarawak tidak faham bahawa perjuangan tersebut membabitkan hak mereka juga. Ada yang salah faham melihat itu bukan isu mereka sedangkan perjuangan mempertahankan hak pendidikan, biasiswa dan perkongsian ekonomi orang Melayu sebenarnya turut merangkumi kaum pribumi lain.