Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Monday, May 24, 2010

Judi: Negeri Juga Ada Kuasa

1. Judi, seks bebas dan arak adalah haram kepada orang Islam. Ini tidak boleh didolak-dalik lagi. Walau apapun keputusan kerajaan membenarkan lesen judi ia tetap tidak mengubah hukum dalam Islam. Saya sendiri ingin menggesa kerajaan menarik balik lesen judi bolasepak ini. Saya juga berharap pada masa akan datang kerajaan jangan sama sekali mempertimbangkan permohonan lesen judi, apatah lagi untuk meluluskannya.

2. Selain itu, oleh kerana kenyataan pemimpin Pakatan terutamanya Pas menentang dengan keras kelulusan ini, saya berharap mereka dapat membuktikan kesungguhan ini melalui kuasa yang mereka ada.

3. Negeri mempunyai kuasa yang besar dalam menghalang premis judi. Sungguhpun lesen mengambil pertaruhan diberi oleh kerajaan Persekutuan, tetapi lesen membuka premis perjudian adalah di bawah kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah kuasa negeri. Jika kerajaan negeri mengarahkan PBT menarik balik semua lesen perniagaan premis judi, maka semua premis judi syarikat judi berlesen ini terpaksa tutup biarpun mereka ada lesen mengambil pertaruhan dari kerajaan persekutuan. Jadi mentimun dan pisau di tangan kerajaan negeri.

4. Saya juga akan menyokong jika kerajaan negeri Selangor mengusulkan satu enakmen untuk menghalang PBT daripada mengeluarkan sebarang lesen perniagaan kepada syarikat-syarikat judi.

5. Saya juga berharap Pemuda Pas dan Angkatan Muda Keadilan bukan sekadar bersungguh mengadakan demontrasi anti pertaruhan bola sepak, tetapi juga bersungguh menghapuskan ribuan rumah urut dan pusat judi haram di Selangor yang berada di bawah pentadbiran Pakatan. Kehadiran premis-premis ini tanpa kawalan dan pemantauan jauh lebih besar musibah kepada rakyat dan negara berbanding lesen pertaruhan bola sepak Piala Dunia yang diheboh-hebhkan.

6. Di Selangor sendiri terdapat lebih 4, 500 rumah urut, premis judi “haram” dan berlesen. Haram di sini bermaksud ia dilesenkan di bawah kafe siber tetapi dijadikan tempat melakukan pertaruhan. Rumah urut pula berselindung di sebalik lesen pusat kesihatan dan refleksologi tetapi menawarkan kegiatan seks.

7. Mengapa Pas yang mendakwa DAP menerima perjuangan Islamnya tidak bertegas dalam kerajaan negeri di bawah Pakatan. Bukankah Pas menganggap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sebagai bayangan Khalifah Umar Abdul Aziz. Jadi sudah berapa banyak premis judi di Pulau Pinang ditarik balik lesen perniagaan mereka oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

8. Di Kedah sendiri yang di bawah pemerintahan langsung Pas masih mempunyai premis judi berlesen dan tidak berlesen. Maka saya berharap Pemuda Pas dapat menggesa Ustaz Azizan Razak untuk mengarahkan PBT menarik balik semua lesen premis judi di sana,


9. Saya lebih aneh Pas begitu sensitif mengenai isu lesen judi tetapi tidak mempedulikan pun isu kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu.. Mana yang lebih besar perjuangannya? Kini sudah jelas di mana letaknya keutamaan Pas, antara politik dan agama.

10. Janganlah sekadar nampak kuman di sebarang tetapi bangkai gajah di depan mata buat tak tahu sahaja.

Monday, May 17, 2010

Judi Bola: PM Perlu Jamin Tiada Orang Islam Terbabit

1. Saya ditanya oleh ramai orang berhubung dengan keputusan Kerajaan membenarkan Ascot Sports Sdn Bhd menggunakan semula lesen mengambil pertaruhan bagi pertandingan sukan terutamanya bola sepak Piala Dunia nanti. Bagi saya ini adalah keputusan yang kurang baik.

2. Judi merupakan sesuatu yang haram di dalam Islam dan dalam kebanyakan agama di dunia. Sebagai orang Islam saya tetap menegaskan judi ini haram seperti mana arak dan zina. Sebab itu, semasa saya menjadi Menteri Besar Selangor, saya dengan tegas menutup pusat perjudian dan puast pelacuran,malah saya sendiri mengetuai pasukan penguatkuasaan mengambil tindakan.

3. Judi membawa banyak akibat buruk kepada masyarakat. Ini tidak terhad kepada orang Islam sahaja. Judi boleh meruntuhkan sistem sosial masyarakat dengan menyebabkan orang miskin bertambah miskin, yang kaya boleh jadi miskin sekelip mata. Apabila kalah judi banyak kegiatan jenayah, keganasan rumah tangga dan masalah hutang dengan ”ah long” akan kedengaran. Saya fikir dalam jangka masa panjang kerajaan akan menanggung kos sosial yang lebih tinggi.

4. Kita sering dihidangkan dengan kejayaan orang tertentu menjadi jutawan sekelip mata kerana menang ”jackpot” dan sebagainya. Namun dalam kemenangan tersebut kita akan dapati berjuta lagi orang mengalami kerugian. Jarang sekali kita dengar syarikat judi yang rugi atau jatuh muflis. Ini adalah satu bentuk perniagaan yang menguntungkan tauke judi dan merugikan sebahagian besar peserta.

5. Saya tidak faham mengapa ada orang terlalu berminat untuk menghabiskan wang hasil keringat mereka dengan mengkayakan tauke judi. Mungkin orang yang kaya berjudi sebagai hiburan tidak mendatangkan masalah sosial. Namun lebih ramai yang tidak kaya berjudi berhabis-habisan dengan harapan ini mengubah nasib mereka. Kumpulan inilah yang akan memberi kesan sosial dan ekonomi yang serius kepada negara.

6. Namun dalam masa yang sama saya juga memahami dilema kerajaan yang berhadapan dengan masalah judi haram dan kecil-kecilan sehingga sukar dikawal. Kewujudan lebih 4000 pusat judi haram di Selangor bukan sahaja menyebabkan kerajaan kehilangan sumber pendapatan melalui cukai, tetapi juga menyebabkan lebih banyak ”penagih judi” dan gejala sosial lain tanpa dapat dikawal.

7. Apabila kerajaan membenarkan pertaruhan untuk sukan ini bermakna kerajaan boleh mengawal industri ini dan memastikan ia tidak menjejaskan kehidupan rakyat. Kerajaan boleh mengawal kegiatan ini dari membabitkan orang bawah umur, penganut agama Islam dan sebagainya.

8. Kebenaran ini juga akan mengawal wang rakyat daripada keluar negara melalui pertaruhan online kepada syarikat-syarikat perjudian luar negara. Saya difahamkan industri pertaruhan bola sepak membabitkan rakyat Malaysia sudah mencecah bilion ringgit setiap tahun.

9. Selain itu, kerajaan juga berhadapan dilema tanpa skim pertaruhan sukan yang dikawal selia, banyak wang telah diraih oleh sindiket-sindiket perjudian haram yang dikuasai oleh kumpulan jenayah terancang atau lebih kita kenali sebagai kongsi gelap dan gangster. Wang yang banyak ini digunakan pula untuk membiayai kegiatan jenayah lain.

10. Hasil judi haram menyebabkan kumpulan jenayah di negara ini semakin kuat, mempunyai peguam-peguam yang hebat dan mampu memberi rasuah yang besar bagi memastikan mereka terlepas dari undang-undang. Malahan saya difahamkan sudah terdapat ahli-ahli politik yang dibiayai oleh sindiket-sindiket jenayah ini melalui kegiatan perjudian haram bagi menjaga kepentingan mereka. Kita juga dapat lihat muncul kumpulan-kumpulan hak asasi tertentu di negara ini yang begitu setia menjaga kepentingan penjenayah dan memburukkan polis. Siapakah yang membiayai mereka?

11. Kerajaan sukar mengambil tindakan kerana permintaan atau demand terhadap pertaruhan sukan seperti bola sepak ini sangat besar. Jika dihalang terus penggemar mereka akan mencari jalan lain untuk meneruskannya. Justeru saya percaya kerajaan telah mempunyai data-data ini dan berpendapat sudah tiba masanya industri judi haram ini disekat dan dikawal melalui saingan yang berada di bawah Undang-undang. Dengan adanya syarikat judi sukan yang berlesen ini kerajaan dapat mengawasi urusan kewangan dan memastikan mereka juga tidak menggunakan dana pertaruhan yang besar ini untuk kegiatan berunsur jenayah lain termasuk merasuah ahli sukan.

12. Sungguhpun saya tidak menyokong keputusan kerajaan ini, saya fikir kerajaan mempunyai sebab yang munasabah untuk membenarkannya.

13. Namun demikian sebagai orang Islam, saya mahu jaminan YAB Perdana Menteri bahawa syarikat ini tidak akan mengambil sebarang pertaruhan dari kalangan orang Islam. Saya fikir semua orang Islam juga mahukan jaminan bahawa lesen syarikat ini akan ditarik balik serta merta jika terdapat bukti mereka mengambil pertaruhan di kalangan orang Islam. Selagi tiada jaminan Perdana Menteri, saya rasa sukar untuk majoriti orang Islam menerima keputusan kerajaan ini. Jangan nanti kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

14. Jaminan ini harus diikuti dengan pengenalan mekanisme bagi mengawasi bahawa syarat yang diletakkan oleh kerajaan dipatuhi oleh syarikat terbabit. Selain itu, kerajaan sewajarnya menggunakan sebahagian cukai dari syarikat perjudian bagi mendidik pelajar dan remaja mengenai keburukan berjudi.

Wednesday, May 12, 2010

UMNO Harus Kembali Sebagai Parti Siasah

1. Semalam kita menyambut ulang tahun Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)ke 64 dengan penuh tanda tanya mengenai masa depan parti. Sungguhpun beberapa pilihan raya kecil selepas 2008 menyaksikan sokongan orang Melayu terhadap BN dan UMNO kembali meningkat namun ia bukan alasan untuk UMNO berasa selesa.

2. Malahan sudah ada cakap-cakap bahawa peralihan sokongan ini banyak berkisar kepada soal polisi pemerintahan dan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak bukannya kerana perubahan dalaman UMNO itu sendiri.

3. Memang benar kelangsungan UMNO sebagai parti politik pemerintah bergantung kepada kekuatan kepimpinan dan kejayaan kerajaan memakmurkan rakyat. Namun UMNO untuk kekal relevan sepanjang masa harus memikirkan semula hala tuju dan gerakan organisasinya.

4. UMNO hari ini sudah menjadi sebuah parti politik dalam acuan demokrasi moden. Pengurusan, pentadbiran dan perancangan yang dilakukan berasaskan sebuah parti politik. Parti politik tidak boleh kekal selamanya kerana pentadbiran negara tidak mungkin cemerlang setiap masa. Ada masa-masanya, ekonomi negara dan dunia akan mengalami kemelesetan dan krisis. Jika UMNO dan BN hanya bergerak sebagai parti politik nescaya akan ada masanya ia akan ditukar dengan parti lain seperti mana terjadi kepada parti Konservatif (UK), Buruh (UK), LDP (Jepun) Kongres (India) dan Golkar (Indonesia).

5. Untuk kekal relevan dan mewujudkan perasaan sayang ahli kepada parti, UMNO harus kembali seperti ke zaman awal penubuhannya. Perasaan inilah yang akan membantu UMNO dan BN ketika menghadapi krisis. Namun, apabila disebut kembali seperti zaman awal penubuhannya, bukanlah bermakna pemimpin UMNO harus bersongkok dan mengayuh basikal atau melaungkan laungan "Hidup Melayu" dan "Merdeka". Wajah dan cara harus seiring zaman, namun "roh" dan "matlamat" yang kita mahu terus kekalkan seperti zaman penubuhan awal parti iaitu untuk membantu orang Melayu.

6. Sebab itu, UMNO harus kembali menjadi sebuah parti siasah yang mementingkan keakraban dan semangat kekitaan di kalangan ahlinya. UMNO harus mendepani isu-isu kemiskinan, kesihatan, belia dan warga emas di kalangan ahli-ahlinya bukannya membiarkan kerajaan menyelesaikan segala-galanya.

7. Hari ini semuanya diserahkan kepada kerajaan hingga sebahagian ahli UMNO tidak lagi merasakan perasaan kasih sayang terhadap parti dan ramai pula anak-anak ahli UMNO tidak lagi melihat UMNO sebagai satu wadah kepada mereka. Ini menyebabkan wujud jurang antara orang muda dan UMNO.

8. Bagi saya, setelah 64 tahun wujud, UMNO harus mempunyai mekanisme dalaman parti sendiri untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Antara yang boleh dipertimbangkan ialah mewujudkan skim khairat kematian untuk ahli UMNO. Kaedah ini telah pun saya praktikkan untuk UMNO Bahagian Sungai Besar. Saya juga mengetahui ada beberapa UMNO Bahagian turut melaksanakan kaedah yang serupa.

9. Namun untuk menjaga kebajikan ahli UMNO sejumlah 3 juta orang di seluruh negara ia memerlukan perancangan yang tersusun. UMNO harus mempunyai satu entiti yang dipertanggungjawabkan secara khusus untuk memikir dan melaksanakan program dan tindakan bagi membantu ahli UMNO keseluruhannya. Kebajikan bukanlah bermaksud sekadar memberi bantuan ketika kematian atau sakit sahaja, namun harus merangkumi usaha meningkatkan modal insan di kalangan golongan belia agar mereka mampu memajukan diri sendiri. Saya melihat kebajikan kepada ahli UMNO ialah lebih ke dalam konteks "memberi pancing atau kail bukannya memberi ikan".


10. Mungkin boleh dipertimbangkan penubuhan sebuah Yayasan atau Koperasi bagi tujuan khusus menjaga kebajikan ahli UMNO. Namun penubuhan dan matlamatnya hendaklah jelas agar ia tidak menjadi seperti beberapa entiti sebelum ini yang akhirnya berkubur tanpa nisan atau menjadi seperti hidup segan mati tak mahu.

11. Dana yang akan digunakan pula hendaklah datang dari ahli UMNO sendiri bukannya membabitkan dana kerajaan. Kita tidak mahu UMNO dianggap menggunakan wang kerajaan untuk kepentingan politik. Saya percaya di negara ini telah wujud ramai jutawan Melayu yang bersedia memberi sumbangan jika matlamat dan pelaksanaan kebajikannya dilakukan secara telus. Malahan ahli biasa pun ramai yang sanggup menyumbang bagi membantu ahli yang lain jika mereka yakin dengan perancangan yang akan dibuat.

12. Jika ini dapat dilaksanakan insyallah lebih ramai ahli yang sayangkan parti dan bersedia berkorban untuk parti apabila diperlukan. Jika pohon yang ditanam dan dibaja itu jenis yang baik, pastilah buahnya juga akan manis untuk dihidangkan.

Thursday, May 6, 2010

Titah Tuanku Dalam Pentadbiran Islam Adalah Arahan

1. Tindakan Datuk Zaid Ibrahim menganggap titah Tuanku Sultan Selangor agar masjid tidak dijadikan tempat berpolitik sebagai pandangan peribadi bukannya arahan yang perlu dipatuhi merupakan satu penghinaan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah dan institusi kesultanan Selangor.

2. Walau apapun hujahan undang-undang, tindakan mempertikaikan titah Tuanku secara terbuka merupakan satu tindakan biadap. Mungkin perkataan yang lebih tepat ialah kurang ajar kerana Zaid bukan pun anak negeri Selangor. Sebagai rakyat Malaysia yang bukan anak negeri Selangor, Zaid sepatutnya lebih menghormati Sultan Selangor, negeri yang beliau duduki hari ini. Inilah negeri tempat beliau mendapat kemewahan dan juga hampir diberi peluang menjadi wakil rakyat dalam pilihan raya kecil lalu. Apakah madu yang diberi oleh Selangor, tuba yang dibalas Zaid?

3. Apa pun prosedur yang dipertikaikan oleh Zaid, Undang-undang Tubuh Negeri Selangor secara jelas menyatakan Tuanku Sultan ialah Ketua Agama Islam Negeri yang berhak membuat sebarang titah (arahan) yang wajar dipatuhi.

4. Menurut Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, Fasal XLVIII.(1)
The Head of the religion of the state shall be His Royal Highness dan His Royal Highness may cause laws to be enacted for the purpose of regulating religious affairs and for the Constitution of a Majlis Agama Islam, to be called in English "Council of Religion of Islam", to aid and advise His Royal Highness in all matters relating to the religion of the State.

5. Titah Tuanku hanya menjadi nasihat jika ia sesuatu di luar bidang kuasa baginda. Itu pun perlu diberi pertimbangan yang serius oleh kerajaan negeri kerana Tuanku masih merupakan Ketua Negeri yang memberi kuasa pemerintahan Eksekutifnya kepada Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

6. Sebaliknya dalam hal ehwal agama Islam, titah Tuanku adalah arahan yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). MAIS hanya bertanggungjawab menasihati dan menjalankan titah Tuanku.

7. Saya menghormati Zaid sebagai seorang peguam terkenal. Namun rakyat perlu ingat bahawa kenyataan peguam bukanlah bermakna ia undang-undang. Ini kerana peguam selalunya mentafsir undang-undang mengikut kepentingan anak guamnya.

8. Saya juga tertanya-tanya apakah tindakan Zaid menghina Tuanku Sultan Selangor adalah agenda kerajaan negeri Selangor kerana mereka datang dari parti yang sama. Mengapa Zaid memilih untuk "membelasah" DYMM Tuanku Sultan secara terbuka? Tidak mustahil kerajaan negeri yang dipimpin oleh orang kuat PKR menggunakan Zaid sebagai alat untuk membelasah Tuanku Sultan seperti dalam pepatah melayu, "telunjuk lurus kelingking berkait".

9. Terdapat banyak sebab untuk mempercayai teori ini. Apakah kerana "dendam" kerajaan negeri kepada DYMM Tuanku yang tidak membenarkan kerajaan negeri menggunakan wang zakat untuk perbelanjaan negeri seperti yang dicadangkan oleh Menteri Besar beberapa bulan lalu? Apakah kerana dedam kerajaan negeri terhadap Titah Tuanku yang tidak membenarkan orang lain, kecuali Baginda, Mufti dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, membuat kenyataan mengenai pentadbiran Islam negeri? Atau apakah kerana beberapa teguran Tuanku baru-baru ini yang mengingatkan kerajaan negeri agar menumpukan lebih kepada usaha membangunkan negeri dan jangan berpolitik sepanjang masa?

10. Memang benar kita bukan hidup di zaman feudal. Tapi kita ada adab dan budaya yang kalau tidak mahu dijunjung atau dikelek pun, janganlah dipijak-pijak.

11. Selebihnya saya merasa khuatir jika Zaid sekadar menjadi alat kepada agenda pihak tertentu dalam Pakatan untuk menjadikan negara ini negara republik.

Tuesday, May 4, 2010

Catatan Kecil: Perkauman, Keadilan dan Kesejahteraan

Perkauman
1. Berhubung tulisan saya yang lalu, dua orang pemimpin kanan parti komponen yang mewakili kaum Cina, iaitu Timbalan Presiden Gerakan dan Naib Presiden MCA menuduh saya bersikap perkauman atau rasis. Beberapa komentator di blog ini juga membuat tanggapan yang hampir serupa.

2. Saya tidak faham mengapa pula dengan membuat rumusan bahawa merosotnya sokongan kaum Cina kepada BN sebagai satu isyarat agar Perdana Menteri mengkaji semula polisi-polisi seperti 1 Malaysia dan Model Ekonomi Baru boleh dianggap sebagai bersifat rasis. BN harus mencari jalan menarik sokongan pengundi. Jika polisi sedia ada tidak mendapat sokongan maka ia harus dikaji semula. Apakah ini dianggap rasis?

3. Saya tidak pernah menyatakan supaya BN menghukum pengundi Cina atau menarik balik bantuan kepada kaum Cina hanya kerana mereka tidak menyokong BN. Sesiapa juga tidak boleh marah kaum Cina jika mereka tidak mengundi BN kerana itu adalah hak mereka sebagai rakyat negara ini. Semua orang mengundi atas sebab dan kepentingan tertentu. Ini adalah hakikat yang perlu diterima.

4. Apa yang saya nyatakan juga ialah satu pandangan bahawa sokongan kaum Cina kepada PKR merupakan satu usaha mengukuhkan DAP di Selangor bagi menguatkan kuasa kaum Cina. Jika MCA dan Gerakan mempunyai pandangan yang lain mereka juga boleh nyatakan. Tapi anehnya serangan politik saya terhadap DAP, MCA dan Gerakan pula yang melenting.

5. MCA dan Gerakan bertanggungjawab memberi penerangan dan penjelasan kepada generasi muda kaum Cina mengenai konsep Barisan Nasional dan juga konsep perkongsian kuasa antara kaum di negara ini. Apakah ini dilakukan hari ini? Berapa ramai anak muda kaum Cina memahami dan menghayati konsep ini? Apa yang saya dapati kebanyakan anak muda Cina sekarang terpisah jauh daripada akar sejarah pembentukan negara ini dan mudah dihasut oleh DAP.

6. Mengapa mudah sekali melabelkan orang Melayu bersikap rasis hanya kerana membicarakan kepentingan Melayu tetapi tidak pula dianggap bersikap rasis jika kaum bukan Melayu bercakap mengenai kepentingan kaum mereka?

7. Saya juga mendapati ada kecenderungan MCA dan Gerakan menyalahkan Perkasa atas kemerosotan sokongan kaum Cina. Perkasa bukan entiti Barisan Nasional mahu pun UMNO. Kumpulan mereka terdiri daripada orang Melayu pelbagai lapisan umur dan fahaman politik termasuk NGO-NGO Melayu yang cenderung kepada Pas dan PKR sebelum ini.
8. Justeru itu, MCA dan Gerakan sepatutnya turun ke bawah menerangkan kepada pengundi Cina bahawa Perkasa adalah NGO Melayu yang tiada kena mengena dengan BN, sama seperti Dong Jia Zhong dan lain-lain pertubuhan yang memperjuangkan kepentingan kaum Cina. Apakah dengan adanya hubungan MCA dan Gerakan dengan pertubuhan ini maka orang Melayu dan UMNO tidak akan mengundi calon BN dari MCA?

9. Soalnya sanggupkah MCA dan Gerakan menjadi parti yang mengimbangi antara kehendak kaum Cina dan kepentingan semua kaum dan negara dengan turun ke bawah membawa penjelasan yang rasional? Atau MCA dan Gerakan juga sekadar mahu menarik sokongan kaum Cina dengan menjadi juara kepentingan kaum sahaja seperti DAP?

Keadilan

10. Saya bersimpati dengan kejadian yang menimpa adik Amirulrasyid Amzah yang ditembak oleh pihak polis beberapa hari lalu. Tiada keluarga yang akan dapat menerima pemergian seumpama itu bagi anak berusia 15 tahun ini. Malahan Saya percaya anggota polis terbabit juga turut bersedih dengan kejadian tersebut.

11. Namun adalah sangat tidak wajar kesedihan ini dijadikan isu politik oleh beberapa ahli politik yang mahu mencari publisiti bukannya keadilan. Jika keadilan yang mahu dicari maka biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan terlebih dahulu, maka jika tidak berpuas hati tuntutlah diadakan suruhanjaya diraja sekalipun.

12. Ketika kita tidak mahu nama allahyarham "dihukum" sebelum penyiasatan selesai, anggota polis terbabit dan seluruh pasukan Polis tidak sewajarnya dicemuh dan diburukkan sebelum terbukti siapa benar.

13. Sikap pemimpin politik Pakatan yang mahu mengadakan perbicaraan dan penghakiman melalui media (trial by media) sangat tidak munasabah dan tidak wajar.

14. Saya berharap keluarga allahyarham adik Aminurasyid bersabar menanti siasatan selesai dan tidak terpengaruh dengan hasutan-hasutan pemimpin politik yang hanya mahu mengambil kesempatan ke atas tragedi yang menimpa keluarga mereka. YAB Perdana Menteri sendiri telah berjanji bahawa semua siasatan akan dijalankan secara telus dan adil.

Kesejahteraan

15. Kerajaan perlu memberi perhatian serius kepada cadangan Asas Serba Sdn. Bhd. (Asas Serba) untuk mengambil alih semua konsesi tol di negara ini.

16. Kadar tol yang tinggi merupakan antara punca kemarahan rakyat kepada BN dalam pilihan raya lalu. Jika syarikat ini mampu menurunkan kadar tol sehingga 20%, menjanjikan tiada kenaikan tol dalam tempoh yang panjang dan memansuhkan semua tuntutan subsidi kerajaan maka ia harus diberi peluang melaksanankannya.

17. Tidak penting siapa di belakang syarikat ini. Asalkan ia mampu melaksanakan segala janjinya maka ia harus diberi peluang. Ini bukan sahaja akan mengurangkan beban kewangan kerajaan malah beban politik BN.

18. Cuma saya berharap perlu ada perjanjian bahawa jika syarikat ini gagal melaksanakan janji mereka maka kerajaan dibenarkan mengambil alih semula konsesi ini tanpa sebarang kos. Kita tidak mahu pada masa akan datang kerajaan terpaksa mengeluarkan kos berbilion ringgit untuk "menyelamatkan" (bail out) syarikat ini jika ia rugi.

19. Saya berharap kemelut tol ini dapat diselesaikan demi kesejahteraan rakyat.