Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Tuesday, June 29, 2010

Menteri Besar Yang Tidak Berkuasa


                        " Anwar Ibrahim = ekonomi
                          Khalid Ibrahim = Pentadbiran
                          Azmin Ali = Politik "
1. Perlantikan YB Azmin Ali sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Selangor tidak akan menyelesaikan isu pergolakan politik di Selangor. Sebaliknya ia hanya memburukkan keadaan lagi.

2. Hari ini Selangor mempunyai tiga nahkoda yang berlainan matlamat dan hala tuju. Ekonomi dikawal oleh datuk Seri Anwar Ibrahim, Pentadbiran dikawal oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dan Politik ditentukan oleh Yb Azmin Ali.

Nahkoda Ekonomi

3. Ia bermula dengan perlantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Perlantikan ini memberi implikasi yang serius terhadap keupayaan Tan Sri Khalid Ibrahim merancang pembangunan ekonomi negeri.

4. Jika sebelum ini ada sinis apabila kami, pembangkang Selangor, mengkritik prestasi Khalid yang gagal membangunkan di negeri, perlantikan Anwar jelas menunjukkan bahawa PKR sendiri mengakui kegagalan Khalid. Jika tidak apa perlu Anwar yang begitu sibuk mengukuhkan struktur politik Pakatan Rakyat terpaksa menjadi penasihat ekonomi negeri. Malahan saya dimaklumkan Anwar kini turut menghadiri mesyuarat Syarikat Bekalan air Selangor (Syabas) yang sepatutnya dihadiri oleh Khalid. Jika benar ini bermakna Khalid tidak lagi menguasai keputusan-keputusan membabitkan ekonomi negeri.

5. Apa yang rakyat baca adalah apa yang dipaparkan oleh media massa. Apa yang dipaparkan oleh media massa pula apa yang Khalid atau kerajaan negeri canangkan bukannya apa yang berlaku dalam pentadbiran sebenar.

6. Namun bagi yang mengetahui data-data sebenar mengenai prestasi kerajaan negeri dan syarikat berkaitan dengan kerajaan negeri, mereka tahu bahawa Selangor sedang melangkah ke belakang dan tidak mustahil beberapa anak syarikat kerajaan negeri akan mula ditutup atau berada dalam keadaan rugi dalam setahun dua akan datang.

Nahkoda Politik

7. Setelah "dirampas" kuasa pengurusan polisi ekonomi negeri, Khalid juga kehilangan kuasa politik negeri apabila Azmin dilantik sebagai Pengerusi PKR Negeri Selangor.

8. Sungguhpun mendapat sokongan kuat parti DAP, Khalid tidak mempunyai penyokong yang kuat dari parti sendiri. Musuh-musuh politik Khalid dalam PKR berjaya merencanakan kejatuhan Khalid dengan sangat dahsyat sehingga mengikut laporan media lebih separuh Ahli Jawatankuasa PKR Kuala Selangor, yakni bahagian Khalid sendiri, meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan khalid.

9. Mahu tidak mahu kita harus mengakui kerajaan negeri harus memmpunyai polisi yang selari dengan kehendak politik parti pemerintah. Kerana parti ini yang diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah. Justeru apabila Azmin mengambil alih PKR negeri maka Khalid perlu mendengar dan menerima arahan Azmin dalam banyak hal terutama membabitkan polisi politik negeri.

Nahkoda Pentadbiran

10. Melihat senario ini, tidak mustahil tugas Khalid Ibrahim sekarang ini tidak lebih sebagai Menteri Besar yang menguruskan hal ehwal pentadbiran semata-mata. Khalid diperlukan untuk menandatangani surat-surat, mempengerusi mesyuarat EXCO dan melaksanakan keputusan serta polisi yang ditentukan oleh pihak lain.

11. Namun kuasa ini juga tidak dimiliki sepenuhnya oleh Khalid berikutan perlantikan Setiausaha Politik Menteri Besar yang baru, Puan Faekah Husin. Faekah juga merupakan Setiausaha Politik isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah.

Kesimpulan

12. Realiti politik menunjukkan Khalid tidak lagi dipercayai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat. Anwar secara tidak langsung telah menarik kuasa-kuasa tidak rasmi seorang Menteri Besar dan juga meletak "orangnya" dalam pentadbiran pejabat menteri Besar sebagai "mata dan telinganya".

13. Namun Anwar tidak dapat menyingkirkan Khalid dan menggantikan dengan Azmin kerana ia memerlukan sokongan Adun-Adun DAP dan Pas serta perkenan DYMM Tuanku Sultan Selangor.

14. Menurut cakap-cakap politik, DAP tidak akan membenarkan Khalid ditukar kerana mereka lebih selesa dengan Khalid berbanding Azmin. Pas juga dilihat tidak begitu selesa dengan Azmin berbandung Khalid. Sebab itu jika kita lihat dalam media massa sekarang ini ramai Adun DAP yang tampil mempertahankan Khalid sebagai menteri Besar. Ia merupakan isyarat jelas kepada Anwar agar tidak sewenang-wenangnya menukar Khalid.

15. Apakah erti menjadi seorang Menteri Besar yang tidak dipercayai oleh parti sendiri dan tidak lagi mempunyai kuasa dan pengaruh untuk menentukan hala tuju negeri?

16. Dalam keadaan ini, yang rugi adalah rakyat dan negeri. Keadaan negeri Selangor tidak akan bertambah baik dengan kedudukan Menteri Besar yang mempunyai kuasa tetapi tidak dapat berkuasa. Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah.

17. Kita juga tertanya-tanya apakah semua ini berlaku hanya kerana kelemahan Khalid dalam pentadbiran atau kerana beliau gagal memenuhi nafsu serakah orang-orang politik dalam PKR?

Thursday, June 24, 2010

UPSR dan PMR Penghalang Kegiatan Ko-Kurikulum?

1. Cadangan Kementerian Pelajaran untuk menghapuskan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) harus diteliti dengan mendalam sebelum dilaksanakan. Fahami dahulu keperluan peperiksaan ini dan teliti apa kelemahan sistem pendidikan sedia ada sebelum membuat perubahan besar ini.

2. Tujuan sistem peperiksaan kebangsaan adalah untuk mewujudkan satu keadaan yang memastikan para pelajar memberi tumpuan kepada sukatan pelajaran yang disediakan dan guru-guru pula tidak mengabaikan tugas mereka.

3.Beberapa peringkat peperiksaan seperti UPSR, PMR, SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) membolehkan ujian tersebut dilakukan secara berperingkat dan tidak membebankan pelajar untuk dinilai sepanjang 11 tahun di peringkat persekolahan dengan satu peperiksaan sahaja. Kewujudan sistem peperiksaan di peringkat UPSR dan PMR juga membolehkan ibu bapa, guru dan kerajaan menilai keberkesanan sistem pendidikan dari semasa ke semasa dan mencari jalan membantu pelajar yang lemah.

4. Penghapusan kedua-dua peperiksaan ini akan menyebabkan tiada mekanisme kawalan dan dorongan memastikan para pelajar menguasai ilmu pengetahuan yang diajar kepada mereka. Dalam keadaan kewujudan sistem peperiksaan pun ramai pelajar yang ketinggalan kerana mengambil sikap sambil lewa dan tidak peduli, maka bayangkanlah kalau UPSR dan PMR dihapuskan.

5. Kewujudan kedua-dua sistem peperiksaan ini mendorong pelajar berusaha menguasai ilmu yang diajar dan membolehkan kementerian mengawal selia keberkesanan sistem pembelajaran di sekolah di peringkat awal lagi. Jika dihapuskan, ibu bapa dan kerajaan sendiri tidak akan mengetahui tahap pengetahuan para pelajar di sekolah sehinggalah mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

6. Dalam jangka masa panjang ia boleh menjadi bom jangka apabila kita mendapati para pelajar yang lulus dari sekolah menengah mempunyai pengetahuan yang sangat terhad dan tidak menguasai dengan baik ilmu yang sepatutnya mereka kuasai untuk persaingan dunia dewasa mereka.

7. Pada hemat saya, masalah yang berlaku sekarang bukan kerana kewujudan peperiksaan. Sebaliknya, sikap dan polisi kementerian pelajaran yang sejak dahulu hanya menumpukan kepada pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang menyebabkan ibu bapa dan guru hanya memberi fokus kepada peperiksaan.

8. Misalnya semua sekolah berasrama penuh menawarkan tempat kepada pelajar yang cemerlang tetapi tidak ada sekolah khusus yang diadakan untuk membantu murid yang lemah. Sepatutnya, pelajar-pelajar yang lemah dan gagal dalam peperiksaan ini dihantar ke sekolah berasrama bagi tujuan membantu mereka semula. Peperiksaan tidak salah, sebaliknya sikap kita yang memberi tumpuan kepada pelajar cemerlang semata menyebabkan mereka yang gagal dalam peperiksaan tercicir dan sebahagiannya menimbulkan masalah sosial kepada negara.

9. Dahulu kita wujudkan sistem pendidikan vokasional untuk mengambil pelajar yang lemah dalam bidang akademik bagi memasuki bidang kemahiran namun, akhirnya kemasukan ke sekolah vokasional juga sudah mengambil kira keputusan peperiksaan yang baik.

10. Selain itu, Kementerian perlu menjelaskan apa masalah dengan sistem peperiksaan kebangsaan sedia ada? Antara yang dapat kita fahami ialah terdapat pandangan bahawa pendidikan berorientasikan peperiksaan menyekat kreativiti dan pembangunan sahsiah anak-anak. Ibu bapa terlalu menekan dan memfokuskan usaha membantu anak-anak mendapat keputusan cemerlang sehingga mengabaikan kegiatan-kegiatan lain seperti sukan, seni dan proses sosialisasi anak-anak.

11. Masalah dengan aktiviti ko-kurikulum terbahagi kepada dua iaitu prasarana dan polisi kementerian.

12. Dari segi prasarana atau kemudahan Kementerian perlu melihat masalah infrastruktur dan guru. Kebanyakan sekolah di bandar tidak mempunyai padang yang mencukupi untuk kegiatan sukan. Habis padang dibina bangunan tambahan sekolah. Nisbah guru dan murid serta sekolah dan murid cukup besar menyebabkan guru tidak boleh memberi perhatian bagi melatih dan mengembangkan bakat-bakat ko-kurikulum para pelajar. Ada sekolah mempunyai sehingga 1, 500 orang pelajar dalam satu sesi. Ia bukan suasana yang kondusif kepada para pelajar dan guru untuk kegiatan ko-kurikulum dan pengembangan kreativiti para pelajar.

13. Kementerian juga perlu mengkaji polisi dan sukatan pelajaran. Terlalu banyak subjek yang mahu diajar sehingga tiada masa lagi untuk ko-kurikulum. Jika dihapuskan peperiksaan kebangsaan tetapi sekolah masih mengadakan ujian bulanan, dan peperiksaan setiap penggal maka keadaan tetap sama sahaja.

14. Apa yang perlu Kementerian lakukan sekarang ini bukanlah menghapuskan peperiksaan UPSR dan PMR tetapi mengurangkan bebanan peperiksaan tersebut dengan mengurangkan subjek peperiksaan dan juga jumlah kertas yang perlu dijawab. Cukuplah sekadar jawapan secara objektif dan sedikit subjektif.


15. Kementerian juga perlu berhati-hati untuk memberi kuasa kepada guru membuat penilaian langsung ke atas pelajar. Saya khuatir ia hanya mewujudkan satu lagi peringkat pilih kasih, kronisme dan juga kontroversi. Tidak mustahil suatu hari nanti akan berlaku pertikaian dan perselisihan antara ibu bapa dan guru akibat daripada perbezaan pendapat dalam penilaian prestasi anak mereka. Ambil iktibar daripada kontroversi sistem penilaian tahunan prestasi kakitangan awam oleh ketua jabatan.

16. Saya fikir kerajaan tidak perlu memansuhkan UPSR dan PMR tetapi lebih menumpukan kepada pengurangan bebanan subjek peperiksaan, dan mengubah polisi pendidikan sedia ada serta menyediakan sistem dan suasana yang kondusif untuk kegiatan bukan akdemik di sekolah. Jangan sampai kita berhadapan dengan suasana yang dikendong keciciran yang dikejar terlepas dari genggaman. Sebarang sesalan akan meninggalkan kesan yang amat buruk pada masa depan negara.

Saturday, June 19, 2010

Pasir: Kita Semua Ditipu Oleh Kerajaan Negeri

1. Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana lambat mengemaskini blog ini walaupun ada beberapa isu yang perlu ditulis. Ini kerana saya berada di luar kawasan bercuti bersama anak-anak sempena cuti sekolah.

2. Isu penyelewengan dan salah urus hasil pasir negeri Selangor terus diperkatakan walaupun Select Committee for Competency, Accountability and Transparency (Selcat)telah membuat pendengaran terbuka dan cuba membersihkan pentadbiran kerajaan negeri.

3. Tidak cukup itu, YAB Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim terpaksa menggunakan Setiausaha Politiknya, Saudara Nik Nadzmi Nik Ahmad untuk menukar posisi kerajaan negeri dengan mendakwa saya memberi maklumat yang salah mengenai jumlah kutipan royalti pasir sebelum Kumpulan Semesta Sdn Bhd ditubuhkan. Terdapat juga beberapa bloggers yang "berkhidmat" dengan kepimpinan Selangor menuduh saya pembohong.

4. Untuk kebaikan dan demi perbahasan yang sihat, saya akui ada kekeliruan maklumat yang saya dapat antara hasil royalti pasir dengan hasil semua royalti batuan. Oleh kerana tidak lagi berada dalam pentadbiran kerajaan negeri saya telah tersilap nyata hasil batuan dan mineral keseluruhan dengan royalti pasir.

5. Saya tidak mempunyai data setepatnya kerana data 2007 hanya dapat dikira pada 2008 di mana pentadbiran kerajaan negeri telah berubah pada bulan Mac. Justeru saya terpaksa bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh kerajaan negeri semasa. Rumusan saya mengenai hasil pasir negeri Selangor adalah bersandarkan jawapan Pengerusi Jawatankuasa Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan UsAhawan YB Yaakop Sapari DUN Selangor 2008.

Y.B. TUAN HAJI YAAKOB BIN SAPARI : Bismillahi rahmani rahim. Assalamualaikum WBT. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, berkaitan dengan soalan Bangi yang juga dibangkitkan oleh Sungai Panjang.

Setelah saya berada di pejabat EXCO, saya mendapat taklimat daripada pegawai. Saya bertanyakan berapakah pendapatan royalti daripada hasil batuan kerajaan negeri. Pegawai memberitahu bahawa pendapatan sekitar dua puluh satu juta dan hasil daripada royalti pasir sekitar tujuh belas juta. Bila saya bertanya kepada REHDA berapakah demand dengan izin untuk pasir seluruh Selangor setahun. Jawapannya sekitar lima puluh juta metrik tan.

Kalau satu tan dikenakan royalti tiga ringgit sepatutnya kerajaan negeri mengutip seratus lima puluh juta matriks setahun, tetapi kenapa tujuh belas juta. Hasil perbincangan dengan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, akhirnya kerajaan negeri memutuskan supaya hasil batuan ini diuruskan sendiri oleh Kerajaan negeri.

Ekoran daripada itu kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah syarikat di bawah MBI namanya Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. dan syarikat ini akan mengendalikan hasil batuan di kerajaan negeri dengan itu sistem pengurusan hasil batuan negeri akan lebih teratur. Senarai syarikat-syarikat yang lepas yang telah mendapat, ada senarai dalam senarai yang diberikan masih ada enam syarikat lagi yang masih beroperasi sampai bulan dua belas. Saya dapati syarikat-syarikat ini ada yang berkait rapat sebahagian besar dengan pemimpin-pemimpin politik kerajaan terdahulu.

Untuk soalan ketiga, berdasarkan jangkaan yang kita ada kita menganggarkan sekurang-kurangnya seratus dua puluh juta yang akan dikutip daripada hasil batuan negeri Selangor dan semua hasil-hasil ini kita akan berikan kepada rakyat sebagai janji kita dalam manifesto menjadikan Selangor sebuah negara maju, bersih dan berkebajikan. Terima kasih.
[Petikan Hansard 23 Oktober 2008]

6. Sekarang kerajaan yang sama menyatakan bahawa hasil royalti pasir semasa BN hanya RM 2.9 juta. Adakah saya yang berbohong atau kerajaan negeri?

7. Tidak cukup dengan itu, YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dalam ucapan pembentangan Bajet Selangor 2010 menyatakan:
(84) Kelima, bagi pelaksanaan program MES seterusnya, Kerajaan Negeri telah menubuhkan syarikat, iaitu Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bagi melaksanakan Program Meningkatkan Hasil Batuan dan Mineral. Sehingga 21 Oktober 2009, hasil daripada royalti pasir yang telah dijelaskan oleh KSSB kepada Pejabat Tanah dan Galian berjumlah RM 4,678,021.84 berbanding dengan jumlah yang diterima pada tahun yang lalu iaitu RM735,000 pada 2008. Ini tidak termasuk keuntungan yang dihasilkan oleh KSSB sendiri.
[Hansard DUN Selangor, 10 November 2009]

8. Manakala dalam satu Kenyataan Akhbar oleh Sekretariat Akbar, Pejabat Menteri Besar Selangor "KERAJAAN NEGERI AGIH KEUNTUNGAN JUALAN PASIR KEPADA JKKK" bertarikh 9 Mac 2010, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan KSSB telah mencatat keuntungan kira-kira RM 20 juta sepanjang tahun lalu.

9. Sebaliknya menurut Pengarah Eksekutif KSSB, Ir. Ramli Abd. Majed dalam pendengaran Selcat baru-baru ini bahawa "keuntungan KSSB sebelum cukai pada 2009 ialah RM10 juta dan setelah ditolak cukai, syarikat itu memperoleh RM8 jutadalam sesi pendengaran SELCAT baru-baru ini kita mendapat maklumat bahawa."

10. Lihat Tan Sri Khalid sendiri memberi pelbagai kenyataan yang mengelirukan dan seolah-olah mahu membohongi rakyat. Kalau saya yang tidak mempunyai kuasa dan sumber tersalah maklumat mungkin masuk akal. Namun apabila mereka yang mempunyai kuasa dan maklumat boleh mengubah statistik hasil pasir sesuka hati tentu menimbulkan tanda tanya kemungkinan ada skandal yang sangat besar dalam industri ini.

11.Jika saya yang di luar pentadbiran dianggap tidak memahami pentadbiran perlombongan pasir, maka apakah kesimpulan yang wajar kita buat kepada mereka yang berkuasa dan mempunyai maklumat tetapi memberi kenyataan yang berbeza dan berbelit-belit?

12. Saya hairan, Nik Nazmi mengambil masa mengulas kenyataan saya tetapi tidak sedikit pun meluangkan masa menjawab persoalan-persoalan yang diutarakan dalam blog saya yang membabitkan kenyataan yang sama.

13. Misalnya mengapa Khalid umum KSSB untung RM 20 juta tahun lalu tetapi kenyataan KSSB hanya RM 10 juta sahaja. Kemana hilang RM 10 juta lagi?

14. Kerajaan negeri juga perlu menjawab mengapa syarikat "untung atas angin" seperti KSSB hanya membayar royalti sebanyak RM 4 juta sedangkan mereka untung RM 10 juta. KSSB hanya menguruskan tender sahaja sedangkan tanah milik kerajaan dan penentuan tanah yang boleh di lombong pasir dilakukan oleh Pejabat Tanah dan Galian. Pernahkah sesiapa antara kita berjumpa dengan kaedah perniagaan broker yang mana keuntungan lebih besar daripada keuntungan pelanggan mereka? Inilah kali pertama dalam sejarah syarikat yang hanya menguruskan pemilihan tender untung lebih besar daripada pemilik harta.

15. Kerajaan negeri juga tidak menjelaskan mengapa pemberian bonus kepada pegawai KSSB begitu besar biarpun belum cukup setahun bekerja. Menteri Besar tidak boleh lepas tangan kerana KSSB berada di bawah anak syarikat milikan penuh Menteri Besar Diperbadankan (MBI). Apakah Tan Sri Khalid memberitahu kita bahawa pemberian bonus tersebut dilakukan tanpa pengetahuan dan kelulusan beliau?

16. Nik Nazmi juga menyatakan saya tidak memanfaatkan potensi besar industri pasir Selangor. Ini memang benar. Kerajaan negeri semasa BN telah membuat keputusan tidak membenarkan perlombongan pasir atas tanah kerajaan atas faktor alam sekitar dan kestabilan tanah. Perlombongan pasir akan menyebabkan tanah menjadi berlubang dan meningkatkan kos jika mahu menambak semula. Ini mengakibatkan tanah milik kerajaan negeri akan jatuh nilai dan pada masa hadapan mungkin banyak tanah di Selangor tidak boleh dibangunkan.

17. Bacalah kenyataan pengarah KSSB sendiri jika perlombongan pasir dilakukan secara intensif di Selangor seperti mana matlamat kerajaan bijaksana pimpinan Khalid Ibrahim, "jika 66 juta metrik tan pasir digali, akhirnya Selangor akan menjadi sebuah negeri yang memiliki lubang yang amat besar sehinggakan rakyatnya tiada tempat untuk tinggal." [Sesi Pendengaran Selcat, JUN 2010].

18. Dahulu semasa BN, kerajaan negeri hanya membenarkan perlombongan pasir atas tanah persendirian. Itu pun mendapat banyak tentangan daripada badan bukan kerajaan NGO) berasaskan alam sekitar. Anehnya sesetengah penggerak NGO ini hari ini berada dalam kerajaan negeri memejam mata sahaja terhadap pemusnahan alam sekitar akibat kegiatan perlombongan pasir secara intensif ini. Siapa yang akan menanggung kos baik pulih tanah kawasan perlombongan pasir ini pada masa akan datang?

19. Oleh kerana Nik Nazmi mendakwa saya tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah curi pasir, saya juga ingin mencabar agar kerajaan negeri Selangor agar mendedahkan statistik operasi membanteras perlombongan pasir secara haram sejak 2006 sehingga 2009 dari segi jumlah tangkapan, dakwaan, penyitaan jentera dan kompaun yang telah dikenakan.

20. Saya juga mendapat maklumat bahawa pengurusan KSSB ada membuat rayuan kepada pihak berkuasa bagi mengurangkan kompaun yang dikenakan ke atas beberapa syarikat di bawah pengawasannya. Jika benar, apa rasional dan logik KSSB membuat rayuan pengurangan kompaun bagi pihak kontraktor? KSSB menjaga kepentingan rakyat dan negeri atau kepentingan kontraktor?

21. Kita juga tertanya-tanya apakah motif kerajaan negeri mahu menghadiahkan RM 5, 000.00 kepada JKKK dan Ketua Kampung jika mereka berjaya membantu menangkap pencuri pasir. Apakah ia satu usaha mengatasi kecurian pasir atau usaha membaiki imej sahaja di samping mahu memberi wang lebih kepada jentera politik akar umbi Pakatan? Jika benar mahu maklumat mengapa saksi-saksi yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kapar tidak dibenarkan memberi keterangan kepada Selcat?

22. Sehingga satu penjelasan yang munasabah dibuat oleh kerajaan negeri, isu pasir ini menunjukkan betapa isu salah tadbir, penyalahgunaan kuasa dan yang paling teruk pembohongan telah menjadi barah dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Friday, June 4, 2010

Bolehkah Kerajaan Negeri Dipercayai Lagi?

1. Saya terkejut apabila YAB Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa beliau baru mengetahui mengenai isu penyelewengan pasir di Selangor. Isu ini sepatutnya sudah disiasat sejak tahun lalu lagi. Seingat saya dalam blog ini juga telah berkali-kali membangkitkan isu pasir ini. ADUN BN juga telah beberapa kali membangkitkan isu ini dalam sidang DUN sejak awal 2009 lagi.

2. Kita mempertikaikan mengapa begitu banyak tanah kerajaan dan tanah persendirian dibenarkan menjalani kegiatan perlombongan pasir tetapi hasil hanya sekitar RM 4 juta setahun. Ini jauh berbeza dengan zaman BN dahulu di mana kita hanya membenarkan perlombongan pasir atas tanah persendirian tetapi mampu mengutip sekitar RM 22 juta setahun.

3. Yang paling saya kesalkan ialah bagaimana ketidakseragaman matlamat kerajaan negeri dalam isu ini. YAB Menteri Besar dalam ucapannya sempena sambutan Hari Keputeraan Tuanku menyatakan kerajaan negeri mensasarkan pendapatan sekitar RM 150 juta setahun dari industri perlombongan pasir ini.

4. Dalam sesi pendengaran SELCAT pula kita mendengar keterangan Lembaga Pengarah Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB)melalui Pengerusi KSSB, Abdul Shukor Nagor, yang menyatakan unjuran KKSB ialah sebanyak RM 127 juta setahun. Namun kedua-dua angka ini disanggah oleh Pengarah Eksekutif KSSB, Ir. Ramli Abd. Majed yang menyatakan unjuran KKSB hanyalah RM 31 juta setahun.

5. Jika unjuran pegawai bertanggung jawab terhadap industri ini tidak diterima oleh Lembaga Pengarah KKSB dan juga Menteri Besar, maka kita mahu tahu siapa pula yang membantu Menteri Besar membuat unjuran sehingga jumlahnya menjadi berkali berkali ganda.

6. Apakah YAB Menteri Besar dengan sengaja berbohong kepada Tuanku apabila menyatakan sasaran pendapatan bagi perlombongan pasir ialah RM 150 - 200 juta setahun?

7. Satu lagi isu yang sangat serius dibangkitkan ialah Kenyataan YAB Menteri Besar pada 21 April 2010. Tan Sri Khalid antara lain mendakwa KKSB mencatatkan keuntungan kira-kira RM 20 juta sepanjang tahun 2009.

8. Namun dalam sesi pendengaran SELCAT semalam, Ramli memberitahu bahawa keuntungan KSSB sebelum cukai pada 2009 ialah RM10 juta dan setelah ditolak cukai, syarikat itu memperoleh RM8 juta sahaja. Saya tidak fikir seorang pegawai yang membuat kenyataan berdasarkan penyata akaun syarikat akan menipu atau mempunyai sebab untuk menipu.

9. Sebelum ini kita juga dihadapkan oleh satu pembohongan kerajaan negeri mengenai kutipan hutang Talam. Tan Sri Khalid mengumumkan kerajaan negeri mengutip RM 50 juta dari Talam namun langsung tidak bukti jelas berlaku transaksi kewangan dari Talam kepada kerajaan negeri.

10. Kemudiannya Kerajaan negeri menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Talam bagi bayaran hutang kepada kerajaan negeri Selangor sebanyak RM 241.4 juta.

Talam Corp, a Malaysian property developer, said it signed an agreement to repay debts of RM241.4 million owing to the Selangor state government. Talam will sell its properties to help settle the debts, the company said in a statement today. The shares of Talam jumped the most in more than four months after the agreement. The stock surged 17 per cent to 13.5 sen at 2:36 pm local time in Kuala Lumpur trading, set for the steepest gain since November 2. -- Bloomberg 15/03/2010

11. Namun jika saudara/i masih ingat pada November 2009, Tan Sri Khalid mengumumkan Menteri Besar Incorporated (MBI) mengambil alih hutang Talam daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri sebanyak RM 391.7 juta melalui pinjaman bank. Janji semasa round tripping tersebut untuk mengutip hutang dalam tempoh tiga bulan. Namun sehingga hari ini sudah hampir 8 bulan satu sen pun belum nampak lagi.

12. Saya khuatir jika kerajaan negeri terus berbohong kepada umum, maka suatu hari nanti orang ramai dan para peniaga tidak lagi mempercayai sebarang kenyataan YAB Menteri Besar dan para EXCOnya.

13. Lebih membimbangkan ialah kita tertanya-tanya apakah segala jawapan dan laporan yang dikeluarkan dalam Sidang DUN merupakan satu fakta dan angka yang sahih atau direka-reka? Sejauh manakah benarnya kenyataan-kenyataan kerajaan negeri hari ini?

14. Pemalsuan angka-angka ini merupakan satu isu serius kerana ia memberi gambaran palsu mengenai keadaan negeri dan menjejaskan kredebiliti kerajaan negeri Selangor yang sukar dipulihkan dalam masa terdekat terutamanya kepada pelabur asing.

15. Saya juga khuatir akan terjadi seperti mana peribahasa melayu, "siakap senohong, gelama ikan duri, sikap suka berbohong, lama-lama jadi pencuri".

Thursday, June 3, 2010

Harga Padi: Pegawai Perlu Pastikan Janji Menteri Dipenuhi

1. Saya berterima kasih kepada YB Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar yang sudi turun ke Sungai Besar pada minggu lalu bagi menangani isu pesawah padi. Pesawah di Sekinchan telah membuat satu demontrasi menuntut kerajaan menyelesaikan perbezaan harga padi antara Tanjong Karang dan kawasan lain.

2. Sebelum ini harga padi yang dipersetujui Bernas dan para pemborong ialah RM 1150 per tan bagi padi biasa. Manakala bagi padi benih RM 1300 per tan. Namun saya difahamkan padi di Tanjong Karang telah dibeli dengan RM 100 lebih tinggi dari harga yang ditetapkan.

3. Justeru itu dalam majlis yang diadakan, Datuk Seri Noh dan Bernas bersetuju menetapkan harga padi mengikut butiran berikut:

a. RM 1250 per tan bagi padi biasa
b. RM 1400 per tan bagi padi benih.

4. Alhamdulillah keputusan Datuk Seri Noh menaikkan harga padi sebanyak RM 100 per tan telah memuaskan hati petani di kawasan saya. Boleh dikatakan semua berpuas hati dengan keputusan tersebut.

5. Namun sekarang ini timbul pula cakap-cakap bahawa pemborong-pemborong padi di kawasan tidak mahu membeli dengan harga baru yang ditetapkan oleh kerajaan dan Bernas atas alasan mereka akan mengalami kerugian. Saya difahamkan Bernas pula tidak boleh membeli kesemua padi di Sungai Besar kerana tidak mempunyai tempat menyimpan yang mencukupi.

6. Semalam saya telah berhadapan dengan sekumpulan wakil pesawah yang mahukan perkara ini diatasi segera kerana khuatir padi yang sedang dituai tidak dapat dijual dengan harga yang dijanjikan.

7. Sungguhpun saya memahami dilema pemborong dan Bernas, namun saya berharap para pegawai Kementerian Pertanian dan BERNAS harus mencari jalan memastikan janji YB Menteri kepada para pesawah ini ditunaikan. Saya percaya hasrat baik YB Datuk Seri Noh bagi membantu para pesawah harus dilaksanakan oleh mereka yang terlibat dalam pelaksanaan keputusan ini.

Tuesday, June 1, 2010

Doakan Keselamatan Misi Kemanusiaan Ke Palestin

Nota: Marilah kita bersama-sama melakukan solat hajat dan berdoa agar terpelihara keselamatan rombongan misi keamanan ke Palestin yang sedang diambang merbahaya diancam oleh Israel. Tindakan Israel tersebut merupakan tindakan pengganas yang sewajarnya segera disekat oleh kuasa dunia.

Bukan Semua Subsidi Buruk Kepada Negara

1. Pembentangan Makmal Rasinonalisasi Subsidi baru-baru ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada rakyat negara ini. Jika saranan-saranan oleh Makmal tersebut dilaksanakan sepenuhnya saya percaya negara ini akan mengalami inflasi yang serius dan akan menjejaskan kehidupan rakyat.

2. Pada Disember tahun lalu saya mencadangkan agar diwujudkan mekanisme baru subsidi bagi menentukan had kemampuan kerajaan memberi subsidi dan menentukan sektor yang akan mendapat subsidi mengikut kepentingan masyarakat ramai.

3. Sebaliknya apa yang diumumkan ialah usaha kerajaan untuk menarik balik semua subsidi bagi menambah kantung negara untuk tujuan projek pembangunan. Mengumumkan kerajaan akan muflis pada 2019 jika kerajaan meneruskan subsidi bukan satu perkara yang bijak politik, malah pandangan tersebut masih boleh dipertikaikan ketepatannya.

Subsidi dan Monopoli
4. Mungkin kerajaan perlu menghapuskan subsidi dalam beberapa industri yang tidak begitu utama kepada rakyat seperti gula. Namun penghapusan subsidi ini perlu dijalankan serentak dengan liberalisasi industri tersebut. Benarkan sesiapa sahaja mengimpot gula dan bersaing dengan terbuka.

5. Demikian juga beras, jika kerajaan mahu menghapuskan subsidi beras, jalan terbaik ialah menghapuskan monopoli beras dan kawalan kemasukan beras negara luar. Kerajaan tidak boleh dalam satu keadaan menarik subsidi tetapi dalam masa yang sama mahu menentukan "pemain" industri.

6. Kerajaan tidak boleh melakukan dua perkara yang kontradik dalam masa yang sama. Dalam keadaan kerajaan tidak mahu menanggung beban kewangan, kerajaan pula mahu bertindak sebagai penguasa yang menghalang rakyat mendapat barangan murah.

Subsidi Petrol dan Inflasi
7. Subsidi sungguhpun ada keburukan kepada ekonomi negara namun dalam banyak hal ia juga membantu rakyat dan ekonomi. Ada subsidi membantu mengawal kestabilan ekonomi dan kos sara hidup sekaligus merancakkan pusingan ekonomi hasil daripada nikmat subsidi seperti mana subsidi petrol.

8. Jika harga petrol terlalu tinggi ia akan menyebabkan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah tidak lagi keluar membeli belah, bersiar, mahu pun melancong di dalam negara. Ini sekaligus mengurangkan putaran ekonomi negara. Dalam jangka masa panjang ekonomi negara akan meleset sekaligus akan lebih merugikan kerajaan.

9. Status harga petrol sepatutnya dikekalkan seperti sekarang iaitu, Petrol RON 95 dijual dengan subsidi 30 sen seliter. Manakala Petrol RON 97 dijual mengikut harga pasaran. Ini satu yang telah diterima oleh rakyat dan sewajarnya diteruskan. Malahan saya ingin menyarankan agar harga Ron 97 ditentukan terus oleh syarikat minyak tanpa campur tangan kerajaan.

10. Dalam pada itu, pam bagi petrol RON 97 juga harus diperbanyakkan bagi membolehkan mereka yang ingin menggunakan RON 97 tidak perlu menunggu lama akibat pam yang terhad. Stesen minyak harus menyediakan pam yang sama banyak antara petrol RON 95 dan RON 97. Ini akan menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan RON 97.

Jangan Usik Subsidi Pendidikan

11. Saya berharap kerajaan tidak mengambil keputusan "mengacau" peruntukan subsidi dalam bidang pendidikan. Ini kerana ia merupakan masa depan anak-anak kita. Kerajaan sepatutnya mencari jalan memberi lebih banyak pendidikan murah dan percuma kepada rakyat bukannya berusaha menambah beban perbelanjaan pendidikan kepada rakyat.

12. Kita mungkin dapat menjimat perbelanjaan negara dengan menarik subsidi pendidikan namun dalam masa akan datang lebih banyak akan dibelanja oleh kerajaan bagi menangani pelbagi masalah sosial, jenayah dan kemiskinan apabila generasi muda tercicir dalam pendidikan.

Menambah Pendapatan Negara
13. Saya melihat kerajaan lebih ke arah mencari jalan mengurangkan perbelanjaan subsidi berbanding mencari jalan menambah pendapatan. Sesiapa sahaja yang dilantik menjadi Menteri tentu boleh menyelesaikan masalah pendapatan negara jika sekadar mahu mencadangkan penghapusan subsidi.

14. Sebaliknya kita mahu Menteri yang boleh mendapatkan pendapatan negara yang lebih besar bagi membantu rakyat dalam negara. Kita memerlukan menteri yang boleh meningkatkan pendapatan negara tanpa menarik terlalu banyak keitimewaan yang dinikmati rakyat. Apa salah subsidi jika ia mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat? Bukankah tugas kerajaan mensejahterakan kehidupan rakyat?

15. Apa yang perlu kerajaan lakukan hari ini ialah meningkatkan pendapatan negara bagi membolehkan pendapatan negara berkali ganda lebih besar daripada perbelanjaan subsidi.

16. Rakyat mahu melihat kesungguhan kerajaan meningkatkan pendapatan negara bagi membantu mereka bukannya menarik keselesaan rakyat bagi memberi lebih banyak wang kepada kerajaan.