Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Thursday, July 29, 2010

Pasir: Kemusnahan Alam Sekitar, Penyelewengan dan Kerajaan Kartun

1. Selasa lepas saya membawa sekumpulan pemberita untuk melawat sebuah kawasan perlombongan pasir di Kambing Susu berhampiran Berjuntai Bestari dan Rawang. Ia bukan perlombongan haram seperti yang dilaporkan oleh sesetengah akhbar. Ia merupakan kawasan perlombongan yang ada permit tetapi melanggar undang-undang dan dipercayai ada unsur penipuan yang serius.

2. Permit melombong pasir di Kambing Susu diberikan kepada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) sepanjang 10 KM sejak pertengahan tahun lalu. Saya dimaklumkan KSSB pula membahagikan kawasan ini kepada 6 kontraktor yang berdaftar dengannya. Ada yang dapat 1KM ada yang dapat 2 KM. Mereka ini diberi kebenaran mengeluarkan pasir sungai.

3. Dalam masa yang sama KSSB juga mengeluarkan permit mengeluarkan pasir atas tanah atau lombong berhampiran kawasan tersebut.

4. Lawatan ke kawasan tersebut menunjukkan tidak ada satu kawalan alam sekitar dibuat dengan terancang. KSSB dengan sewenang-wenangnya mengubah aliran sungai Selangor masuk ke dalam lombong miliknya. Sebahagian sungai Selangor telah terputus kerana aliran sungai tersebut diubah ke dalam kawasan perlombongan berhampiran.

5. Saya difahamkan apabila berlaku hujan lebat, air sungai akan mengalir dengan deras sambil membawa pasir masuk ke dalam lombong tersebut. Ini membolehkan kontraktor untuk pasir lombong mengaut pasir sungai. Kontraktor terbabit juga menggunakan dua kaedah lombong iaitu dengan mengorek dan menyedut.

6. Kaedah menyedut ini sangat bahaya kerana orang biasa tidak akan mengetahui ke dalaman yang telah dibuat oleh kontraktor terbabit. Jika terlalu dalam, maka pada masa akan datang akan berlaku banyak kejadian tanah runtuh di sekeliling. Malah tidak mustahil tompokan tanah yang tinggal sedikit sahaja di tengah kawasan perlombongan pasir tersebut boleh runtuh. Ini akan menyebabkan pencawang elektrik di tanah tersebut akan turut tumbang.

7. Dua isu alam sekitar yang sangat serius di sini ialah kemusnahan aliran Sungai Selangor dan ke dalaman lombong yang mungkin sehingga mencecah 50 kaki boleh menyebabkan tanah runtuh. Sebahagian Sungai Selangor tersebut telah mati kerana terputus aliran air. Saya cabar mana-mana konsultan alam sekitar yang berkomplot dengan kerajaan negeri Selangor agar turun ke sana dan mengulas isu ini.

8. Saya juga dimaklumkan bahawa kontraktor-kontraktor yang dilantik oleh KSSB di Kambing Susu tidak diberi panduan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP - Environmental Management Plan)seperti yang sepatutnya. Kerajaan negeri Selangor sebelum ini memperkenalkan EMP bagi setiap projek pembangunan mahu pun pengeluaran hasil bumi seperti pasir ini. Baru-baru ini juga YB. Elizabeth Wong menyatakan bahawa kerajaan negeri masih menggunakan EMP untuk perlombongan pasir ini. Malangnya EMP tersebut tidak diberikan kepada kontraktor yang terbabit. Jadi apa guna EMP tersebut?

Penyelewengan KSSB

9. Satu lagi isu serius di Kambing Susu ialah dakwaan penyelewengan oleh KSSB. Saya mendapat dokumen yang menunjukkan KSSB hanya membayar doket sebanyak RM 12, 000 kepada pejabat Tanah dan Galian Hulu Selangor antara Mei - Disember 2009 bagi permit melombong pasir sungai sepanjang 10 KM Sungai Selangor di mukim Sungai Tinggi - Serendah.

10. Pada Mei 2009, KSSB membayar sebanyak RM 5, 400.00 bagi kebenaran mengeluarkan hasil pasir berjumlah 1800 meter padu di kawasan 10 KM bagi bulan Jun - Ogos 2009. Pada Ogos 2009, KSSB membayar lagi RM 3, 000.00 bagi kawasan yang sama bagi menyambung permit mengeluarkan pasir untuk 1 ribu meter padu pasir. Pada Oktober 2009 KSSB membayar sebanyak 3, 600 lagi untuk mengeluarkan 1200 meter padu pasir sehingga Disember 2009.

11. Namun berdasarkan dokumen yang dihantar kepada saya dan disahkan pula oleh salah satu kontraktor KSSB, sebuah syarikat yang mendapat permit di situ Jendela Teguh Sdn Bhd telah membayar KSSB sebanyak RM 171, 400.00 dalam tempoh Jun - Disember 2009. Berdasarkan pembahagian royalti sebanyak RM 4 kepada KSSB dan RM 3 kepada PTG bagi setiap meter padu yang dikeluarkan (171, 400.00/7 x 3), PTG sepatutnya menerima tidak kurang daripada RM 73, 457.00 bagi permit pengeluaran pasir kawasan tersebut dari Jun - Disember 2009.

12. Ini hanya bagi 1KM milik syarikat tersebut. Ada lagi 9 KM yang diberikan kepada syarikat lain. Jika dibuat kiraan kasar 1KM boleh menghasilkan RM 73 ribu, maka 10 KM boleh menghasilkan sekitar RM 730 ribu kepada Pejabat Tanah dan Hulu Selangor. Apakah ini bukan penyelewengan dan korupsi.

13. Penyelewengan ini berpunca daripada kaedah pengawasan dan pengurusan yang dilakukan oleh KSSB bukannya PTG. Dahulu kuasa mengira dan menentukan jumlah kutipan ditentukan oleh PTG melalui buku doket. Mereka yang diberi kebenaran pasir perlu membayar doket terus kepada PTG dan ia dalam bentuk buku beserta no siri. Ini mengelakkan sebarang penyelewengan.

14. Malangnya hari ini, KSSB membeli doket kepada PTG dan kemudiannya mengeluarkan doket sendiri melalui cetakan komputer. Ini membolehkan pelbagai manipulasi dibuat kerana ia dilakukan oleh sebuah entiti swasta.

15. Menurut maklumat yang ada pada saya, sehingga Jun 2010 Jendela Teguh telah membayar sebanyak RM 910, 000 kepada KSSB. Namun jumlah yang dibayar kepada PTG hanyalah RM 213, 000.00. Berdasarkan nisbah pembahagian, PTG sepatutnya menerima RM 390, 000.00.

16. Jumlah bayaran KKSB kepada PTG sebanyak RM 213, 000.00 merupakan jumlah keseluruhan perlombongan pasir di Kambing Susu ini d. Jumlah yang dibayar oleh Jendela Teguh hanyalah untuk 1 KM kawasan pengeluaran pasir yang peruntukkan kepadanya. Bayangkan apa yang terjadi kepada kawasan seluas 9 KM lagi. Satu sen pun tidak masuk kepada PTG. Jika benar maklumat ini maka kita tertanya-tanya siapa yang dapat laba?

17. Saya tidak kata saya benar 100 peratus dalam isu ini. Namun angka-angka yang ada menunjukkan satu siasatan secara serius perlu dilakukan bukan sekadar menafikan atau membuat tuduhan kebudak-budakkan kepada "pembawa mesej" seperti saya.

Kerajaan Kartun

18. Saya terbaca kenyataan YB Elizabeth Wong dalam The Star hari ini kononnya ia perlombongan pasir haram dan mencemarkan alam sekitar. Isu perlombongan pasir haram tidak timbul kerana saya tidak menyatakan ia perlombongan haram. Apa yang saya katakan ialah berlaku penyelewengan dan kemusnahan alam sekitar.

19. Beliau mendakwa EMP dibuat sebelum permit dikeluarkan. Tapi mengapa kontraktor terbabit tidak mendapat EMP? Apakah YB Elizabeth faham beza antara EMP dengan EIA - Kajian Kesan Alam Sekitar? Apa guna ada pelan pengurusan alam sekitar tetapi tidak memberikan kepada kontraktor terbabit supaya alam sekitar terjaga?

20. Saya juga terkejut apabila beliau menafikan berlakuknya masalah perubahan aliran sungai dan runtuhan ban sungai di Kambing Susu sedangkan puluhan wartawan dan lensa kamera menyaksikannya sendiri kejadian tersebut.

21. Lebih melucukan YAB Menteri Besar semalam (seperti dilaporkan oleh Sinar Harian hari ini) turut mengakui fakta ini dan berjanji untuk memperbaikinya.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri menyiasat dakwaan ban tersebut dipecahkan oleh pihak berkepentingan.

“Kita sudah siasat dan jawapannya ban itu perlu dibetulkan dan KSSB akan menanggung kos tersebut. Kita juga menghantar jurutera untuk melihat keadaan tersebut,” katanya. - Sinar Harian

22. Bukankah ini merupakan kerajaan kartun? Menteri Besar mengakui, EXCO Menafikan? Saya kata ada berlaku kemusnahan alam sekitar dan penyelewengan di kawasan perlombongan Kambing Susu, Elizabeth pula kata ia bukan kawasan pengeluaran pasir haram. Janganlah buat cerita kartun banyak sangat. Lagi pun isu haram atau halam perlombongan pasir bukan di bawah potfolio beliau, jadi mengapa terlebih sudu dari kuah? Ada apa-apakah?

23. Tindakan melatah Elizabeth seolah-olah membuktikan bahawa perjuangan beliau terhadap alam sekitar dahulu bukan ikhlas tetapi hanya alat untuk memburukkan kerajaan lalu. Bagaimana seorang pejuang alam sekitar seperti YB. Elizabeth boleh menafikan tanpa menyiasat terlebih dahulu? Nampaknya kepentingan diri dan parti sudah lebih penting daripada kepentingan rakyat dan alam sekitar.

24. Sekarang ini tidak banyak kita saksikan kartun-kartun berinspirasikan "lawan bodoh". Tapi kerajaan negeri hari ini sangat komited untuk meneruskannya. Mereka mendakwa hasil pendapatan pasir zaman saya sangat kurang berbanding sekarang. Memanglah kurang kerana pengeluarannya kurang dan dilakukan atas tanah persendirian.

25. Dahulu PTG hanya mengutip RM 3 setiap meter padu daripada pengusaha pasir kerana ia adalah tanah persendirian. Sekarang ini kerajaan negeri mengutip RM 7 kerana ia dilakukan atas tanah kerajaan. Yang tidak pernah dijelaskan ialah berapa banyak pasir dikeluarkan sekarang berbanding zaman saya dahulu? Kalau hendak dapat duit banyak dari pasir, koreklah satu Selangor ini maka akan bertambah dengan banyaklah pendapatan hasil pasir.

26. Hendak tingkatkan pendapatan pasir tidak perlu KSSB atau tokoh korporat terkemuka, pegawai PTG pun tahu sebab yang perlu dibuat ialah keluarkan permit banyak-banyak dan kutip cukai RM 3 untuk satu meter padu. Soalnya, apakah ini pengurusan hasil negeri yang betul? Meningkatkan hasil pasir dengan melombong secara besar-besaran? Apa kata selepas ini kita buat pula pembalakan secara besar-besaran? Tentulah jumlah hasil balak Selangor akan meningkatkan dengan banyak dan bolehlah kerajaan negeri mendabik dada berjaya meningkatkan hasil balak pula.

27. Saya harap kerajaan negeri tidak terus buat cerita kartun untuk memperbodohkan orang ramai.

Tuesday, July 20, 2010

Catatan: PAC dan IKYS

1. Adun-adun BN Selangor tidak menolak secara total perlantikan ADUN Sungai Burong, YB Dato' Shamsuddin Lias sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC). Yang dipertikaikan ialah komposisi dalam PAC yang tidak memungkinkan Dato Shamsuddin menjalankan tugasnya dengan baik. Dalam PAC yang mempunyai tujuh orang, hanya dua orang (termasuk Dato' Shamsuddin)yang merupakan ADUN BN.

2. Bagi saya, komposisi ini tidak mencerminkan kekuatan Pengerusi PAC dan ia tidak lebih daripada satu lagi perubahan kosmetik yang bermotifkan politik semata-mata.

3. Namun oleh kerana usul ini telah diluluskan dalam sidang Dewan Negeri Selangor, maka saya fikir Dato' Shamsuddin perlu menjalankan tugas beliau sebaik mungkin dalam kekangan-kekangan yang ada. Adalah penting untuk menghormati keputusan Dewan Negeri terutama membabitkan jawatankuasa sebesar ini.

4. Saya percaya sebagai bekas pentadbir yang berpengalaman, Dato' Shamsuddin akan menggunakan pengalaman dan kepakaran beliau sebaik mungkin mengatasi kekangan yang ada bagi membantu memperbaiki kelemahan kerajaan negeri yang sangat ketara sekarang ini.

Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS)

5. Saya berasa sangat terkilan dan sedih dengan keputusan Kerajaan Negeri untuk menutup IKYS di Sabak Bernam. Keputusan ini merupakan satu langkah kebelakang kerajaan negeri dalam memajukan belia selangor yang tercicir dalam pelajaran.

6. Sungguhpun pelajar sedia ada akan dipindahkan ke Kolej INPENS di Kuala Selangor, namun pada masa akan datang tentulah jumlah belia Selangor yang boleh mengikuti latihan kemahiran akan berkurangan kerana satu tempat telah ditutup.

7. Adalah tidak benar Kenyataan Akhbar Yayasan Selangor bahawa perkara ini telah dirancang sejak sebelum 2008 lagi. Seingat saya tiada sebarang perbincangan dalam Lembaga Pemegang Amanah Selangor sebelum 2008.

8. Saya juga dimaklumkan oleh bekas Pengurus Besar Yayasan Selangor, Tuan Haji Takril Tasuki bahawa tiada sebarang perancangan dan perbincangan di peringkat pengurusan Yayasan sebelum 2008 untuk menutup IKYS.

9. Justeru saya berharap Yayasan Selangor sebagai sebuah badan profesional mengendalikan isu-isu mengenai mereka secara profesional bukannya secara politik. Jangan buat kenyataan seperti ahli politik terutama jika ia bukan sahaja menjejaskan krdebiliti Yayasan tetapi juga kemungkinan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

10. Sesungguhnya penutupan IKYS dan menyerapkan pelajar sedia ada kepada Inpens merupakan satu titik hitam dalam usaha kerajaan negeri membangunkan modal insan di Selangor.

11. Alangkah anehnya, sebuah pusat latihan kemahiran ditutup dan akan diganti dengan pusat latihan kem bina semangat. Saya tidak menafikan keperluan motivasi dan kursus siasah diri. Namun jika dibandingkan keperluan kursus bina insan dengan kursus kemahiran, saya fikir seluruh rakyat akan setuju bahawa kursus kemahiran perlu jadi keutamaan dan kursus modal insan ini hanyalah sebagai tambahan sahaja.

12. Malangnya kita mendapat kerajaan negeri yang suka bercakap perkara-perkara yang indah dan retorikal tetapi tidak realistik dengan kehendak pembangunan.

13. Saya hanya boleh mendedahkan, namun terserahlah kepada rakyat untuk menilainya.

Monday, July 19, 2010

EKM 2010 SATU PERUBAHAN KOSMETIK

Sidang Dewan Negeri Selangor minggu lalu telah membahaskan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010. Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada jentera propaganda kerajaan negeri yang tidak putus-putus dengan idea-idea yang tampak muluk dan indah di hadapan rakyat tetapi realitinya kosong belaka.

Saya fikir ramai daripada kita akan beranggapan Enakmen Kebebasan Maklumat (EKM 2010) akan mewujudkan satu keadaan ketelusan dan pertanggungjawaban yang dilaung-laungkan oleh Pakatan selama ini. Ada juga yang melahirkan kebimbangan kepada saya kononnya ini satu lagi agenda Pakatan untuk memburukkan kerajaan yang lalu terutamanya ketika pentadbiran saya.

Saya jawab kepada kawan-kawan bahawa tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana saya percaya setiap keputusan dan tindakan yang dibuat oleh pentadbiran saya dahulu berasaskan undang-undang dan mengikut peraturan kerajaan yang sedia ada. Saya juga tidak khuatir sekiranya didedahkan kesemua keputusan-keputusan saya secara telus kerana saya percaya tidak ada apa yang perlu diselindungi.

Namun saya juga berkira-kira untuk mencabar agar kerajaan negeri hari ini agar bukan sahaja mendedahkan semua kertas EXCO semasa saya tetapi juga Kertas EXCO kerajaan hari ini. Pendedahan kertas-kertas EXCO hari ini lebih penting kerana kita dapat menegur dan membetulkan mana yang salah.

EKM 2010 : Kebebasan Maklumat atau Pengawalan Maklumat

Malangnya, andaian orang ramai mengenai EKM 2010 ini salah sekali. EKM 2010 antara lain menyatakan bahawa ia tidak boleh mendedahkan dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan mana-mana dokumen yang dianggap menjejaskan dengan teruk perumusan atau pembangunan dasar kerajaan negeri yang berkesan.

Ini bermakna kerajaan negeri dengan sewenang-wenangnya akan menghalang akses terhadap sebarang dokumen yang boleh menjejaskan imej pentadbiran hari ini termasuk dokumen-dokumen yang dianggap membabitkan kroni-kroni mereka.

Jika sebelum ini segala butiran dan dokumen di Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi kerajaan yang tidak tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi boleh diperolehi oleh orang awam tanpa melakukan sebarang kesalahan, dengan pengenalan enakmen ini, dokumen-dokumen ini boleh dianggap satu rahsia kerajaan sehingga ia dibebaskan oleh Pegawai Maklumat yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Apakah ini satu kebebasan maklumat atau satu lagi bentuk pengawalan maklumat? Sebagai contoh, keputusan tender dan pemberian kontrak kepada mana-mana syarikat bukan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan mana-mana individu yang mendedahkan maklumat tersebut tidak dianggap melakukan kesalahan.

Namun dengan wujudnya EKM 2010, semua ini akan dianggap rahsia kerajaan sehingga Pegawai Maklumat Kerajaan Negeri membenarkan dokumen tersebut didedahkan. Untuk pengetahuan umum juga EKM tidak boleh mendedahkan mana-mana dokumen yang diisytiharkan Rahsia oleh kerajaan negeri.

Jika demikian, apa maknanya EKM 2010 ini kepada rakyat? Jawapannya, tiada. Sidang Dewan Negeri dijadikan batu loncatan dan alat untuk menunjukkan imej baik Pakatan di mata rakyat semata-mata tanpa mengambil kira kepentingan negeri.

Apa pula keburukannya kepada rakyat dan negeri? Tidak mustahil jika mulut disuap pisang, punggung kita pula dicucuk onak.

Pendedahan Data Peribadi Rakyat

Perkara utama yang membimbangkan ialah mengenai hak kerahsiaan data peribadi rakyat. Orang ramai yang selama ini mempunyai kehidupan peribadi yang biasa tanpa diketahui mengenai pemilikan hartanah mungkin akan menjadi sasaran orang tertentu yang mempunyai niat tidak baik. Apakah jaminan data-data maklumat hak milik tanah atau rumah orang biasa tidak terdedah kepada umum? Jika terdedah kepada umum bukankah ia boleh memberi peluang untuk mereka yang berniat tidak baik terutama penjenayah merancang tindakan?

Maklumat orang ramai yang tidak membayar cukai pintu, cukai tanah, ada saman dengan Pihak Berkuasa Tempatan dan sebarang bantahan ke atas jiran atau sebagainya juga akan terdedah. Apakah ini semua yang dimahukan oleh kita?

Fasal 13 (1) Enakmen ini menyatakan, “setiap jabatan boleh untuk enggan menunjukkan sama ada ia mempunyai maklumat, atau enggan untuk menyampaikan maklumat, di mana jika berbuat demikian ia akan melibatkan penzahiran tidak munasabah maklumat peribadi orang perseorangan pihak ketiga.”

Fasal ini memberi kuasa yang sangat besar kepada Pegawai Maklumat tanpa melindungi kepentingan orang ramai. Ia menyatakabn Jabatan boleh untuk memberi tetapi tidak melarang jika Pegawai maklumat tersebut hendak memberi. Fasal ini sepatutnya melarang terus sebarang pendedahan maklumat peribadi orang perseorangan. Adalah tidak wajar kepentingan dan hak peribadi orang ramai terletak di atas tangan para Pegawai Maklumat yang tidak mempunyai satu entiti disiplin dan keselamatan seperti Polis. Apakah rakyat bersedia mengorbankan isu rahsia peribadi mereka ini?

Sekatan Kebebasan Perbincangan?

Pada April 2009 berlaku pertikaian antara Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya Derek Fernandez dengan Suresh R Menon. Frenandez mengugut untuk membuat laporan Polis berikutan penyebaran Minit Mesyuarat Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang membabitkan keputusan papan iklan gergasi (billboard). Dikatakan salinan minit mesyuarat tersebut diedarkan kepada ADUN-ADUN Pakatan di Selangor.

Untuk makluman, kedua-dua ahli majlis ini ialah lantikan Pakatan. Jika tidak silap saya Fernandez sendiri merupakan antara peguam yang selalu meminta didedahkan dokumen-dokumen MBPJ semasa kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional. Anehnya, perjuangan ketelusan dan keterbukaan itu hilang apabila beliau memegang jawatan.

Saya tidak menyalahkan beliau seratus peratus. Sudah tentu kerahsiaan diperlukan bagi membolehkan ahli majlis atau mana-mana pihak berbincang secara bebas dalam sesuatu isu. Saya khuatir apabila semuanya menjadi terlalu terbuka dan telus, tiada siapa lagi akan memberi pandangan yang jujur dan baik untuk rakyat dan pembangunan negeri kerana khuatir ia menjadi kontroversi. Malah dalam sesetengah kes ia mungkin diancam oleh mereka yang terjejas dengan keputusan yang dibuat. Dan tidak mustahil dalam membuat keputusan-keputusan yang mungkin membabitkan kegiatan gangster seperti menghapuskan judi haram, rumah urut dan pusat pelacuran tiada ahli Majlis akan sanggup bersuara dan menghadapi risiko diancam oleh kumpulan ini.

Peningkatan Kos Pengurusan Kerajaan Tanpa Kewajaran

Ketika kerajaan negeri mencatatkan defisit Bajet tahun ketiga berturut-turut, Enakmen ini mencadangkan perlantikan Pegawai Maklumat di setiap jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan negeri Selangor. Berapakah kos pengurusan negeri yang akan ditanggung dengan kewujudan sejumlah besar jawatan Pegawai Maklumat?

Saya percaya jawatan-jawatan ini kemungkinan diwujudkan untuk memberi jawatan politik kepada juak-juak politik parti komponen Pakatan. Perlantikan ini akan membabitkan kos gaji, elaun, pencen atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, insuran pekerja dan isu-isu kebajikan. Jika terdapat 500 orang sahaja pegawai maklumat akan dilantik nanti ia sudah akan mengambil sekitar RM 1 juta sebulan dan RM 12 juta setahun.

Lembaga Rayuan pula terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan enam orang ahli. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi akan dilantik dari kalangan bekas Hakim atau peguam bela. Siapakah mereka ini? Kita akan lihat nama-nama mereka nanti kemungkinan besar merupakan orang yang sama membantu pemimpin Pakatan dalam kes-kes mahkamah mereka. Ini telah berlaku dalam banyak kes di Selangor di mana kerajaan negeri mengambil khidmat peguam yang jelas penggerak parti mereka. Apakah ini bukan amalan kronisme?

Tapi yang lebih penting ialah berapakah elaun atau gaji mereka ini. Sudah tentulah gaji mereka ini akan setaraf dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang mencecah angka RM 10 ribu ke atas. Bertambah lagi kos pengurusan kerajaan negeri atas perkara yang remeh-temeh dan juga bertambahnya birokrasi dalam kerajaan negeri.

Kesimpulan

Saya berpendapat sistem sedia ada sudah mencukupi bagi mewujudkan satu kerajaan yang bertanggung jawab, efektif dan efisyen. Soalnya sejauh mana kerajaan jujur untuk melaksanakan apa yang mereka laung-laungkan sebagai ketelusan era pentadbiran baru.

Apa yang penting dalam proses pertanggungjawaban dan ketelusan kerajaan ialah mengumumkan keputusan pemberian tender, kontrak, rundingan dan perlantikan kontraktor serta kos sesuatu projek secara terbuka. Jika ada sesuatu yang tidak kena maka rakyat akan membuat laporan Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.

Adalah tidak masuk akal untuk mendedahkan segala-galanya dalam jabatan kerajaan sehingga menimbulkan keributan awam dan mewujudkan perbalahan yang tidak berkesudahan di kalangan masyarakat.

Pendedahan keputusan-keputusan agensi kerajaan tidak memerlukan penambahan pegawai dan entiti baru yang akan menambahkan kos pengurusan dan karenah birokrasi. Sebaliknya kerajaan negeri boleh sahaja mengeluarkan arahan yang standard meminta semua agensi kerajaan negeri mengeluarkan laporan tahunan mereka. Laporan tahunan yang memuatkan semua maklumat yang kerajaan negeri cadang untuk dedahkan dan dimuat naikkan ke dalam laman web agensi terbabit serta dijual dalam bentuk CD kepada sesiapa yang berminat.

Unit perhubungan awam juga boleh digunakan untuk menyalurkan maklumat yang diperlukan ini. Jadi mengapa harus menambahkan kos pentadbiran jika ia boleh dilaksanakan dengan lebih efektif melalui jentera sedia ada?

Enakmen ini juga langsung tidak menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk mendedahkan kertas-kertas Mesyuarat EXCO dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) yang dijalankan oleh kerajaan negeri hari ini. Awal-awal lagi terdapat pelbagai sekatan dan peraturan dalam Fasal 2 (a), (b), (c) dan (d).

Jadi enakmen ini hanyalah satu lagi pentas sandiwara politik yang akan melihat Pakatan menyerang Barisan Nasional dan Barisan Nasional akan mempertahankannya. Semuanya akan berkisar kepada isu yang lalu, yang jika ada kesilapan pun tidak mungkin dapat dibetulkan lagi.

Sebaliknya, isu-isu kerajaan hari ini tidak akan didedahkan dan akan tertanam sehingga kita menukar kerajaan negeri. Ketika itu kita berbalah lagi, BN pula menyerang, Pakatan pula mempertahankannya. Sekali lagi kita berbicara isu lama tetapi dalam masa yang sama kerajaan semasa akan terus berbuat silap tanpa dipantau dengan teliti. Apa keuntungan kepada negari?

Jika Pakatan benar-benar mahukan ketelusan ia tidak memerlukan EKM 2010 ini. Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menukar status atau mendeklasifikasikan (declassified) sesuatu dokumen negeri supaya menjadi dokumen awam. Soalnya, apakah Tan Sri Khalid bersedia melakukannya ke atas dokumen-dokumen yang membabitkan kerajaan negeri hari ini? Jawapannya jelas sekali seperti mana mereka tidak bersedia membincangkan isu penyelewengan Pasir yang cuba diusulkan oleh ADUN Kuang, YB Shukor Idrus dalam sidang Dewan Negeri kali ini.

Justeru bagi Ahli Dewan Undangan Barisan Nasional Selangor, keseluruhan Enakmen ini tidak lebih daripada perubahan-perubahan kosmetik semata-mata bagi menutup “bangkai gajah” yang semakin besar dalam pentadbiran hari ini, baik dari segi kronisme mahu pun dari segi kelemahan pentadbiran dan pembangunan negeri. Inilah kerajaan yang dikatakan, “telunjuk lurus, kelingking berkait.”

*Artikel ini telah tersiar dalam Sinar Harian 18 Julai 2010

Saturday, July 17, 2010

Pemerkosaan dan Pemusnahan Tanah Negeri

1. Tujuan ADUN-ADUN BN Selangor menimbulkan isu pasir ini membabitkan berasaskan beberapa perkara iaitu  kemusnahan alam sekitar, kemusnahan tanah kerajaan,  curi pasir, pasir haram, dan penyelewengan yang begitu besar dalam pemerolehan hasil industri pasir. Namun intipati utama pendedahan ini ialah betapa kegiatan perlombongan pasir di Selangor dilakukan dengan begitu rakus, tidak terkawal dan seolah-olah tiada hari esok lagi.

2. Di sesetengah tempat kegiatan perlombongan pasir dilakukan tanpa henti siang dan malam. Saya tidak pasti apa yang begitu dikejarkan oleh pelombong pasir ini. Wakil-wakil rakyat BN yang turun begitu terkejut melihat "kawah bumi" yang begitu besar dan dalam di Dengkil. Di Hulu Selangor pula kawasan yang dahulunya berbukit (mengikut makluman orang kampung) kini sudah menjadi tasik. Di  celah-celah pokok di Bukit yang belum ditarah jelas kelihatan jengkaut dan jentolak berada di sebalik pokok-pokok menandakan bukit seterusnya akan menjadi mangsa pelombong pasir ini. Ini berlaku di kawasan yang dianggap sebagai kawasan tadahan air Selangor.

3. Justeru kita lahirkan kebimbangan siapa yang akan memulihkan tanah tersebut dan apa yang akan terjadi kepada kawasan sekelilingnya. Pada mulanya kita beranggapan ia isu kecurian pasir atas tanah milik kerajaan yang tidak dikawal oleh kerajaan negeri. Namun pengakuan kerajaan negeri bahawa kawasan-kawasan tersebut mempunyai permit yang sah dari Kumpulan Semesta Sdn Bhd menimbulkan isu yang lebih besar. Rupa-rupanya kerja-kerja yang tidak bertanggungjawab ini dilakukan oleh kerajaan negeri sendiri.

4. Isu utama di sini ialah siapakah akan bertanggungjawab terhadap pemulihan lombong-lombong pasir atas tanah kerajaan ini pada masa akan datang? Berapakah yang KSSB peruntukkan daripada perolehannya untuk pemulihan kawasan ini? Mengapa pula lombong pasir yang begitu luas di Selangor hanya mendatangkan pendapatan sekitar RM 8 juta kepada KSSB? Dan hanya RM 4 juta masuk ke kantung MBI.

5. Mengikut YB Wong Kun Mun (ADUN Kuala Kubu Bharu), kawasan perlombongan pasir di Bukit Changgang / Olak lempit yang menjadi kontroversi baru-baru ini telah menjana pendapatan tidak kurang RM 100 juta berdasarkan keluasan dan kedalaman kawasan tersebut. Itu baru satu kawasan. Bagaimana yang lainnya? Fikirlah!

6. Sebaliknya segala soalan-soalan yang sangat relevan ini dijawab dengan cara mengubah haluan isu oleh kerajaan negeri. Tan Sri Khalid Ibrahim menulis surat kepada YAB Timbalan Perdana Menteri mengenai senarai pencuri pasir di Selangor. Terkejut beruk rakyat. Jika Menteri Besar sudah ada senarai pencuri pasir mengapa tindakan tidak diambil oleh kerajaan negeri sejak dahulu lagi? Mengapa sesuatu yang berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri disuruh Timbalan Perdana Menteri mengambil tindakan?

7. Bukankah kerajaan negeri selalu sangat beria-ia untuk mengambil pelbagai tanggungjawab kerajaan pusat seperti isu Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia dan terbaru isu pembekalan air. Jadi tersangatlah hairannya kita mengapa isu ini ingin diserah kepada Persekutuan sedangkan ia di bawah kerajaan negeri? Menteri Besar dan EXCO boleh pada bila-bila masa mendapatkan pasukan Polis, Rela dan Pegawai Tanah dan Galian bahi menjalankan operasi tersebut.

8. Saya tertanya-tanya bagaimanakah kerajaan negeri yang dipimpin oleh sebahagiannya aktivis alam sekitar yang begitu rigid pandangannya boleh memejam mata dalam isu ini. Dulu sewaktu kerajaan negeri BN hanya membenarkan perlombongan pasir atas tanah persendirian ramai antara mereka menjerit dan mendakwa kerajaan memusnahkan alam sekitar. Seingat saya belum ada satu tempat yang menampakkan bentuk rupa bumi sedahsyat di Dengkil semasa pentadbiran saya.

9. Saya tidak menafikan wujudkan kejadian kecurian pasir semasa pentadbiran saya. Sebab itu kerajaan negeri ketika itu melancarakan Ops Mesin di bawah pengawasan EXCO ketika itu, YB Datuk Abdul Fatah Iskandar. Ops Mesin ini hampir melumpuhkan gangster pasir Selangor. Mereka mengalami kerugian besar kerana kerajaan negeri merampas jentera-jentera yang ditinggalkan ketika diserbu pihak berkuasa. Saya dan datuk Fatah sendiri menerima pelbagai ugutan dari gangster pasir ini. Malahan isteri Datuk Fatah hampir maut dihimpit oleh tonto pasir ketika itu.

10. Hari ini kerajaan sendiri terbabit dalam kegiatan perlombongan pasir ini dan memusnahkan tanah-tanah dan hutan milik kerajaan negeri. Kita berharap kerajaan negeri jangan berdolak-dalih kononnya kerajaan negeri dahulu juga banyak melakukan pembangunan yang menjejaskan alam sekitar. Jika dahulu mereka mempertikaikan laporan EIA, hari ini mereka menggunakan laporan yang sama untuk mempertahankan tindakan mereka.

11. Kita akur bahawa pembangunan perlu dijalankan dan setiap pembangunan tersebut ada kos alam sekitarnya. Namun perlombongan pasir yang begitu intensif ini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar tetapi juga tanah milik negeri. Apa yang boleh dilakukan pada masa akan datang untuk tanah-tanah yang berlubang ini dan bukit yang menjadi kolam?

Monday, July 12, 2010

Tutup KSSB, Kembalikan Kuasa Kepada Pegawai Kerajaan

1. Semalam ADUN BN Selangor menggesa dihentikan semua aktiviti perlombongan pasir atas tanah milik kerajaan negeri dan mahukan penubuhan satu jawatankuasa bertindak bagi mencari jalan memulihkan lombong-lombong pasir ini dengn segera.

2. Kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional telah membuat keputusan mengharamkan semua aktiviti perlombongan pasir atas tanah kerajaan ini kerana ia akan menjejaskan struktur tanah pada masa hadapan dan menyebabkan implikasi alam sekitar yang serius.

3. Bagaimanapun kerajaan negeri sekarang telah membenarkan semula situasi ini dan menubuhkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd untuk memaksimumkan pendapatan negeri Selangor.

4. Hasilnya tanah milik negeri dirobek dan dikorek sesuka hati sehingga meninggalkan lubang dan kolam yang besar. Tanah ini hilang nilainya pada masa hadapan dan memerlukan kos yang sangat tinggi bagi memulihkannya. Siapakah yang akan menanggung kos pemulihan ini pada masa akan datang. Bn khuatir kos yang diperlukan untuk memulihkan tanah-tanah ini lebih besar daripada keuntungan hasir pasir ini?

5. Kami juga menggesa Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) perlu ditutup dan kuasa pengendalian galian dan mineral di selangor termasuk pasir dikembalikan kepada pegawai kerajaan, iaitu pejabat tanah dan galian (PTG), yang selama ini telah menjalankan tanggung jawab dengan baik.

6. Penubuhan KSSB bertujuan meningkatkan pendapatan negeri dalam perlombongan pasir telah gagal.

7. KSSB bukan sahaja gagal meningkatkan pendapatan hasil pasir negeri malah mengambil sebahagian besar pendapatan pasir untuk syarikat tersebut termasuk membayar gaji, bonus dan kos pentadbiran. Pada tahun 2009 sahaja kos pengurusan kssb ialah sebanyak RM 4.7 juta iaitu separuh daripada pendapatan KSSB sebanyak RM 8.21 juta. Sudah tentu pendapatan negeri akan bertambah tanpa KSSB sebagai orang tengah.

8. Banyak unsur-unsur rasuah dan kronisme dalam KSSB tidak diambil tindakan. Sebaliknya pendengaran Selcat hanya dijalankan untuk membersihkan imej kerajaan negeri dan menyalahkan KSSB semata-mata.

9. Kerajaan negeri terutamanya YAB Menteri Besar perlu mengambil tanggung jawab kerana KSSB merupakan milik penuh Menteri Besar Incorporated (MBI). Kita tidak menyalahkan MB jika ia mengenai urusan harian KSSB, namun bagaimana MB tidak mengetahui mengenai pemberian bonus yang begitu besar terhadap Lembaga Pengarah dan kakitangan KSSB?

10. Kita juga juga merasa hairan dan aneh mengenai sikap membisu dan mendiam diri sebahagian badan bukan kerajaan (ngo) dan aktivis alam sekitar sedangkan banyak kawasan telah menjalankan perlombongan pasir secara besar-besaran dan membawa implikasi serius kepada rakyat negeri ini pada masa akan datang.

11. Dulu sewaktu BN, kumpulan ini banyak mengadakan bantahan, kenyataan media dan kritikan biarpun perlombongan hanya dijalankan di atas tanah persendirian. Hari ini perlombongan pasir dijalankan secara besar-besaran tetapi tiada sekelumit bantahan keras pun diutarakan. Dulu jika mahu ditebang sebatang pokok pun mereka mengadakan bantahan, hari ini semuanya seperti tikus dalam jelapang padi dan semut dalam gula.

12. Ada individu yang dulunya aktivis alam sekitar, hari ini “memejamkan mata” sahaja terhadap pemerkosaan tanah-tanah negeri untuk perlombongan pasir.

Wednesday, July 7, 2010

Bola Sepak, Politik dan Primadona

1. Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung sekarang ini telah memukau jutaan rakyat Malaysia termasuk pemimpin politik. Saya berharap pasukan Sepanyol akan layak ke perlawanan akhir dan seterusnya akan menjuarai Piala Dunia.

3. Sepanyol dan Holland telah menunjukkan kemampuan mereka mengeskploitasi kebolehan, kemahiran dan kreativiti para "bintang" untuk bergerak sebagai sebuah komponen yang mantap. Di sinilah sedikit kelebihan kedua-dua pasukan ini berbanding Jerman yang dibarisi pemain muda dan bergerak sebagai satu unit tetapi kekurangan pengalaman dan kreativiti pemain.

4. Seharusnya Piala Dunia kali ini sedikit sebanyak memberi iktibar kepada pemimpin politik di negara ini. Beberapa keputusan menyaksikan pasukan yang dianggap pilihan kerana pemain "bintang" atau (seperti kata YAB Perdana Menteri) Primadona tidak menjamin kejayaan sesebuah pasukan. Tersingkirnya pasukan Argentina, Brazil, Itali, Perancis dan England menunjukkan dalam permainan berpasukan, primadona sahaja tidak cukup tanpa strategi, taktikal dan pengurus yang baik.

5. Dalam politik juga demikian rupa. Banyak primadona-primadona dalam Barisan Nasional yang kalah dalam pilihan raya 2008 akibat dari kepercayaan bahawa nama besar mereka sudah cukup untuk menjamin kejayaan. Ada pula yang percaya hanya kerana populariti individu tertentu maka parti akan menang mudah namun kemenangan sesuatu parti sebenar memerlukan kerja keras, tersusun dan berstrategi oleh jentera parti.

6. Ia juga tidak terkecuali kepada parti lawan. Pada 1999,ketika diramalkan BN akan mengalami kekalahan teruk, tapi nama-nama besar DAP termasuk YB Karpal Singh dan YB Lim Kit Siang tumbang. Demikian juga kerajaan negeri Terengganu pimpinan Pas turut tumbang pada pilihan raya 2004.

7. Pada 2004, BN dikatakan pilihan untuk menang di Kelantan namun kekurangan semangat berpasukan berbanding Pas menyebabkan ia kalah dengan satu kerusi. Kita juga lihat bahawa kekalahan BN di beberapa negeri sungguhpun disebabkan pelbagai faktor negeri dan nasional namun kesan besar berlaku akibat kurangnya semangat berpasukan dan kasih sayang dalam parti sejak kemenangan besar 2004.

8. Kelihatannya dalam politik hampir sama seperti bola sepak, sungguhpun kita memerlukan calon-calon yang popular atau bertaraf bintang, namun tanpa kerjasama berpasukan yang kuat dalam parti, yang popular pun boleh kalah.

9. Barisan Nasional mempunyai ramai pemimpin yang baik dan popular, namun sejauh mana ia mampu bergerak sebagai satu pasukan yang mempunyai strategi dan taktikal yang mantap bagi menghadapi parti lawan akan menjadi penentu kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

10. Senario dalam politik juga hampir seperti bola sepak iaitu pasukan yang menyerang selalunya mempunyai kelebihan walaupun bukan satu kepastian. Terlalu banyak bertahan akan mudah dikalahkan seperti yang berlaku kepada pasukan slovakia dalam Piala Dunia kali ini dan BN pada pilihan raya 2008.

11. Terlalu banyak menyerang pula akan mudah diserang balas secara mengejut seperti mana berlaku dalam perlawanan England dan Jerman dan Sepanyol menentang Switzerland dalam piala dunia kali ini.

12. Justeru politik juga memerlukan satu adunan yang terbaik antara kekuatan individu, strategi pasukan dan kepakaran teknikal pemimpin untuk membantu kemenangan parti.