Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Monday, August 30, 2010

Merdekakah Umat Islam Di Selangor?

1. Selamat menyambut hari Merdeka ke 53. Sambutan kemerdekaan kali ini yang berada dalam bulan Ramadhan sudah tentu memberi makna yang lebih besar kepada seluruh umat Islam di negara ini. Semoga kemerdekaan negara ini akan terus kekal sehingga kiamat.

2. Di kala kita menyambut bulan Ramadhan yang penuh bermakna sebagai umat Islam, umat Islam di Selangor perlu bermuhasabah diri melihat apa yang berlaku sejak dua tahun lalu. Apakah ia merupakan apa yang diharapkan apabila berlaku perubahan pentadbiran negeri ini?

3. Apabila Parti Islam seMalaysia (PAS) menjadi sebahagian pentadbiran negeri Selangor, kita tentulah beranggapan isu-isu agama Islam akan lebih baik daripada ketika berada di bawah Barisan Nasional. Ramai yang berharap Pas akan melaksanakan pentadbiran Islam yang jauh lebih baik daripada UMNO seperti mana yang mereka laung-laungkan dalam ceramah mereka.

4. Justeru apabila Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dari DAP dijemput menyampaikan ucapan dan bantuan dalam dewan solat Surau Al-Huda, Kajang ketika solat terawih, ia menimbulkan seribu satu tanda tanya. Bukankah sepatutnya imam tersebut yang menyampaikan tazkirah kepada Teo?

5. Ramai yang cuba mempertahankan tindakan ini kerana politik kepartian bukannya kerana mahu mempertahankan maruah dan martabat umat Islam di negara ini. Mereka hanya memetik pandangan pelbagai ulama terdahulu seputar isu sama ada boleh atau tidak bukan Islam masuk ke dalam masjid. Tidak pula diperbahaskan boleh atau tidak bukan Islam dipanggil memberi ceramah dan ucapan serta menyampaikan bantuan ketika umat Islam mengadakan solat terawih berjemaah.

6. Saya tidak akan bercakap soal hukum hakam dan adab bukan Islam masuk ke dalam masjid kerana ia telah diperbahaskan oleh imam-imam besar terdahulu yang jauh lebih hebat dan berilmu berbanding ulama-ulama Pas hari ini. Cuma sepengetahuan saya tiada dalam perbahasan tersebut dibincangkan tindakan bukan Islam masuk menyampaikan ucapan dan bantuan ketika waktu solat berjamaah. Ini bermakna orang Islam dahulu yang sesetengahnya jauh lebih miskin dari orang Islam di negara ini pun tidak sanggup menggadai maruah mereka sedemikian rupa.

7. Seterusnya, apakah di bawah pentadbiran baru ini Masjid dan surau menjadi begitu daif dan miskin sehingga kerana bantuan dan sumbangan yang tidak seberapa mereka sanggup membenarkan pemimpin bukan Islam dari parti DAP masuk ke dewan solat dan menyampaikan ucapan dan bantuan waktu solat terawih.

8. Saya melihat dari sudut maruah, moral dan integeriti masjid dan surau di Selangor hari ini. Di mana maruah kita sebagai umat Islam apabila terpaksa membenarkan bukan Islam masuk ke dalam dewan solat menyampaikan ucapan ketika solat terawih hanya semata-mata untuk mendapat bantuan dan sumbangan?

9. Ramai umat Islam boleh menerima jika majlis tersebut diadakan di perkarangan Masjid dan surau dan diadakan di luar waktu kita menyempurnakan ibadat. Saya percaya ramai juga boleh menerima jika wakil rakyat bukan Islam ingin melawat masjid dan surau serta meninjau ke dalam dewan solat atau mahu mendengar tazkirah oleh imam.

10. Namun bagi bukan Islam menyampaikan bantuan dan ucapan ketika solat terawih di dalam dewan solat adalah sesuatu yang sangat luar biasa dan "luar tabie". Ahli Parlimen tersebut boleh sahaja menyampaikan sumbangan tersebut ketika berbuka puasa atau sebelumnya. Namun beliau memilih waktu solat terawih kerana ingin menunjukkan sikap angkuh dan biadap DAP. DAP seolah-olah mahu menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa hari ini orang Islam sanggup berbuat apa sahaja hanya untuk menerima bantuan daripada mereka.

11. Alangkah anehnya pada awal Ramadhan yang lalu ada Masjid di Selangor yang enggan membenarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan majlis berbuka dan solat terawih bersama mereka. Mereka menghalang saudara segama mereka hanya kerana berlainan parti. Namun sanggup membenarkan bukan Islam dari parti yang dilihat banyak menentang isu-isu agama Islam berucap ketika tazkirah solat terawih.

12. Inikah erti kemerdekaan baru kepada kita umat Islam di Selangor?

13. Mungkin ini makna sebenar kemerdekaan kepada Pas. Merdeka dari sebuah parti yang memperjuangkan Islam secara "keras", hingga sanggup mengkafirkan saudara segama kerana berbeza parti, kepada sebuah parti Islam yang sangat liberal dan terbuka. Keterbukaan Pas sangat menakjubkan sehingga sanggup membenarkan pemimpin bukan Islam dari sebuah parti jelas menentang kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam memberi ceramah dan bantuan dalam dewan solat.

14. Mungkin inilah erti kemerdekaan kepada Pas Selangor. Namun ramai umat Islam muslim di Selangor berasa sangat terhina kerana ada saudara segama sanggup merendahkan martabat Islam sehingga sedemikian rupa kerana ganjaran dunia yang tidak seberapa. Jika mahu menerima sumbangan dari bukan Islam pun buatlah di perkarangan masjid dan surau sahaja.

Friday, August 27, 2010

Bantuan Raya Kerajaan: Madu Diberi Janganlah Dibalas Tuba

1. Saya amat mengalu-alukan pengumuman YAB Perdana Menteri memberi bantuan khas kewangan sempenan Hari Raya Aidilfitri ini. Kakitangan dan pesara kerajaan akan menerima bantuan sebanyak RM 500 seorang. Ini bermakna kerajaan perlu mengeluarkan hampir RM 1 bilion bagi melaksanakan pemberian ini.

2. Pemberian bantuan raya ini menunjukkan kerajaan bersedia berbelanja dan mengeluarkan wang untuk rakyat berdasarkan keperluan dan bukannya sekadar suka-suka berbelanja dan bermewah tanpa keperluan.

3.Bagi kakitangan kerajaan, pemberian ini walaupun tidak besar jumlahnya bagi individu, namun sangat besar kepada perbendaharaan negara. Saya percaya sebahagian besar kaitangan kerajaan akan bersyukur dengan bonus ini. Jika ada segelintir yang masih bersikap madu diberi tuba dibalas biarlah Allah sahaja menentukan untung nasib mereka kemudian hari.

4. Adalah menjadi harapan kita agar pemberian bonus raya ini akan menaikkan lagi semangat dan dedikasi kakitangan kerajaan untuk terus bekerja keras bagi memakmurkan negara ini.

5. Saya percaya rakyat tidak merungut kakitangan kerajaan mendapat duit raya dan pelbagai keistimewaan jika mereka terus meningkatkan perkhidmatan awam. Malahan Perdana Menteri mungkin akan mengumumkan bonus kepada kakitangan kerajaan dalam pembentangan Bajet akan datang.

6. Namun biarlah rakyat melihat dedikasi kakitangan kerajaan memberi perkhidmatan yang lebih baik dan meningkatkan pendapatan negara. Janganlah pula selepas mendapat bonus raya pun kita akan dapati pejabat kerajaan masih tidak beroperasi biarpun raya telah masuk minggu kedua. Jika ini berlaku rakyat akan mempersoalkan keputusan kerajaan. Yang menjadi mangsa kemarahan rakyat nanti ialah pemimpin kerajaan.

7. Justeru kepada kakitangan kerajaan balaslah semula budi baik Perdana Menteri ini dengan memberi perkhidmatan yang terbaik. Saya percaya bukan puji-pujian yang dipinta oleh Perdana Menteri tetapi kualiti perkhidmatan yang penting. Namun adab dan budaya Melayu janganlah dilupa sehingga tangan yang memberi hendak digigit kemudian hari.

orang memberi
kita merasa
orang berbudi
kita berbahasa

Tuesday, August 17, 2010

MCA Masih Tidak Memahami Aspirasi Rakyat

1. Isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih terus diperkatakan dan dijadikan alat politik perkauman biarpun secara umumnya ia bukan masalah kepada sebahagian besar rakyat Malaysia.

2. Kaum bumiputera sebagai penduduk asal dan majoriti di negara ini yang berjumlah hampir 70% penduduk Malaysia hanya menguasai 19% ekuiti perniagaan dalam negara ini. Selebihnya dikuasai oleh bukan bumi dan orang asing. Kaum bukan Bumi menguasai 44%, bukan warganegara sebanyak 30% dan selebihnya ialah syarikat Nominee.

3. Jadi mengapa dipersoalkan sedikit keistimewaan bumiputera sedangkan ia tidak pun menjejaskan kekuatan ekonomi kaum Cina. Bacalah pandangan Tan Sri Liew Kee Sin yang dalam kongres yang sama. Apakah dengan wujudnya dasar pro bumiputera sejak 1970 hingga sekarang orang Cina menjadi semakin miskin atau semakin kaya?

4. Jawapannya adalah dalam pengetahuan umum sama ada secara statistik mahu pun pandangan kasar. Senarai pemilikan hartanah komersial juga menunjukkan kaum Cina menguasai hampir 70%. Justeru permintaan 30% ekuiti Bumi bukanlah sesuatu yang sangat besar sehingga dianggap menekan dan menindas kaum bukan Bumi.

5. Dalam konteks inilah saya melihat pandangan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek bahawa rakyat mempertikaikan penguasaan Bumiputera dalam penerimaan kontrak kerajaan terutama dalam bidang binaan sebagai tidak rasional dan tidak menemui kehendak rakyat yang sebenar.

6. Perbincangan mengenai kontrak dan tender kerajaan serta industri pembinaan merupakan perbincangan yang tidak memberi faedah besar kepada negara. Bidang pembinaan terutamanya membabitkan kontrak kerajaan merupakan industri yang sedang menguncup (shrinking industries).

7. Kenyataan Dr. Chua mengenai kontraktor kelas F bumiputera juga sangat tidak wajar. Berdasarkan pengalaman sebagai Menteri Besar, saya percaya hampir 90% kontraktor kelas F adalah kontraktor tulen. Bukankah aneh untuk Presiden MCA membicara perkara yang sangat kecil iaitu projek-projek kelas F?

8. Selain itu, sungguhpun kebanyakan kontraktor yang mendapat kontrak kerajaan ialah kaum bumiputera kebanyakan pembekal dan pemborong dikuasai oleh kaum bukan bumi terutamanya kaum Cina. Hampir 1/3 kos projek kerajaan telah pun dikuasai oleh kaum Cina. Jika kaum Cina juga memonopoli kontrak kerajaan bermakna agihan ekonomi yang adil itu sudah tidak berlaku.

9. Kongres Ekonomi Cina sepatutnya mencari jalan bagaimana untuk membesarkan peluang ekonomi terutamanya dalam sektor perkhidmatan (services industry) dan industri pembuatan yang sekarang ini banyak dikuasai oleh syarikat antarabangsa. Alangkah baiknya jika Kongres Ekonomi Cina turut membincangkan bagaimana mahu membantu kaum bumiputera yang masih tertinggal untuk turut menikmati kemakmuran negara ini terutamanya dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum Cina.

10. Sebenarnya apa yang Presiden MCA nyatakan tersebut ialah isu-isu di kalangan ahli perniagaan Cina bukannya suara rakyat banyak. Justeru MCA harus berfikir sama ada ia mahu terus menjadi parti ahli perniagaan Cina semata-mata atau menjadi parti kaum Cina keseluruhannya.

11. Bagi majoriti rakyat di bawah tanpa mengira kaum, isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan pendapatan yang kebih tinggi merupakan agenda utama sekarang ini. Peningkatan harga barang, pengangkutan, dan gas memasak telah meningkatkan kos sara hidup hari ini sedangkan tiada indikator jelas kenaikan gaji terutamanya di sektor swasta. Memandangkan kebanyakan rakyat membeli rumah secara pinjaman, kenaikan kadar pinjaman asas turut menyempitkan lagi poket mereka.

12. Sejak pelaksanaan rasionalisasi subsidi ini rungutan semakin banyak mengenai kenaikan harga barangan keperluan harian termasuk gas untuk memasak. Dan siapakah pemimpin BN yang bercakap secara serius masalah ini?Bagaimanakah Barisan Nasional sebagai parti pemerintah mahu menyelesaikannya?

13. Inilah perkara-perkara asas yang MCA sebagai parti pro perniagaan perlu membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian.

14. Datuk Seri Chua Soi Lek merupakan ahli politik yang berpengalaman dan sangat efisyen dalam membawa perubahan kepada Kementerian Kesihatan ketika beliau menjadi Menteri Kesihatan. Sebagai seorang yang pernah dalam bidang perkhidmatan kesihatan kerajaan, saya fikir Dr. Chua seorang Menteri Kesihatan terbaik yang pernah dimiliki oleh negara ini.

15. Justeru saya berharap, sebagai seorang Presiden parti komponen BN, Dr. Chua harus memahami aspirasi rakyat bawah seperti mana beliau melihat Kementerian Kesihatan dari kaca mata rakyat bawahan suatu ketika dahulu.

Saturday, August 14, 2010

Menteri Besar Cakap Merapu Seumpama Orang Nyanyuk

1. YAB Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam wawancaranya dengan Malaysiakini.com, "Whatever I do, I know I'll be better than Khir" mendakwa saya tidak berbuat apa-apa kebaikan pun kepada Selangor dan tidak layak menjadi Menteri Besar.

2. Lucunya Khalid dan konco-konconya dalam EXCO ke sana ke mari mendakwa Selangor negeri maju. Apakah Selangor menjadi negeri maju dalam tempoh 3 tahun pentadbiran beliau? Inilah yang dikatakan dalam pepatah Melayu, lembu punya susu, Sapi dapat nama.

3. Saya kasihan kepada Tan Sri Khalid yang telah lanjut usia tetapi terpaksa berhadapan dengan bebanan dan tekanan kerja sebagai Menteri Besar sama ada dari segi pengurusan pentadbiran mahu pun pengurusan partinya. Kemunculan Datuk Seri Anwar sebagai penasihat Ekonomi dan Azmin Ali sebagai pengawal politik negeri telah menambah tekanan ini.
Mungkin inilah menyebabkan beliau menjadi terlalu emosional dan tidak boleh berhujah secara bijaksana mempertahankan pentadbirannya.

3. Menurut Malaysiakini,

Despite these setbacks, Khalid said his government "is better (than the BN government) by any imagination", even after less than three years in office. Likewise, he was less than kind about his predecessor Dr Khir Toyo, saying that the Umno man did "not deserve to be an MB" and "won't even reach senior manager level" at Guthrie, where Khalid was once CEO.

4. Inilah yang dikatakan sebagai masuk bakul angkat sendiri. Malangnya puji-pujian ke atas dirinya tidak pula disertakan bukti dan fakta yang jelas.

5. Saya akui pentadbiran tidak sempurna. Namun saya meninggalkan pentadbiran dengan kedudukan kewangan negeri jauh lebih tinggi dari semasa saya mengambil alih, pencapaian anak syarikat kerajaan negeri yang hampir kesemuanya mencatatkan keuntungan berbanding sebelumnya, kecekapan Pihak Berkuasa Tempatan juga telah dipertingkatkan. Demikian juga kecekapan Pejabat Tanah dan Galian juga jauh lebih baik.

6. Ini semua dapat dilakukan kerana saya juga mewarisi kerajaan yang baik dari pimpinan sebelumnya dan hanya perlu melakukan pembetulan dan perubahan seiring dengan kehendak dan keperluan semasa.

7. Pencapaian-pencapaian ini diakui sendiri oleh fakta-fakta yang didapati melalui Kajian Daya Saing Negeri Selangor oleh Perbadanan Produktiviti Negara dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Kajian ini menggunakan model seperti dalam "The World Competitiveness Report" yang dibangunkan oleh The International Institute for Managment Development (IMD) Switzerland. NPC merupakan "partner Institute" kepada IMD.

8. Mungkin Khalid perlu bertanya siapakah yang mewujudkan Science Park 2 yang telah menghasilkan berbilion riggit pelaburan. Di bawah pentadbiran siapa Selangor mencapai kemajuan pesat dari 2001 - 2007? Mungkin Khalid perlu ambil sedikit masa melihat fakta-fakta pencapaian negeri sejak 2001-2007 sebelum bercakap merapu seperti orang tua nyanyuk.

9. Jika Khalid ada keberanian beliau juga perlu menggunakan model yang sama untuk membuat kajian semula melihat perbandingan antara 2007 dengan keadaan sekarang. Barulah kita boleh berhujah adakah kerajaan Khalid lebih baik dari keraaan BN sebelum ini.

10. Malaysiakini juga melaporkan,
The MB's dim view of Khir extends to the "exposes" that the latter claimed to have made on sand-mining in a bid to discredit the Selangor administration.

"I cannot imagine why they are saying this. (Khir's government) was doing it illegally so they should keep quiet at least! Not saying that we're digging bigger holes than they were.

"But once these people get addicted to certain things, and we withdraw them, then the withdrawal syndrome kicks in, and they act irrationally," he said, shrugging, as if to show how little he thought of the past administration.

11. Sekali lagi Khalid bercakap merapu dan merepek. Saya cabar beliau tunjukkan bukti kerajaan pimpinan saya melakukan perlombongan pasir secara haram. Yang pasti secara jelas hari ini ialah Kumpulan Semesta Sdn Bhd merompak wang rakyat dengan menjadi orang tengah dalam industri perlombongan pasir.

12. Pasir dilombong atas tanah kerajaan, tetapi royalti yang diterima oleh pejabat tanah hanyalah RM 3 satu tan sama seperti royalti pasir atas tanah persendirian.KSSB ambil lagi RM 4 tanpa perlu melakukan apa-apa kerja kecuali menyediakan draf perjanjian dan mencari kontraktor.

13. Kerajaan sebagai tuan tanah hanya mendapat RM 3 bagi setiap tan metrik pasir dikeluarkan, manakala KSSB sebagai broker mendapat RM 4. Apakah ini bukan perompak wang rakyat?

14. Mari pula kita bertanya apa yang telah Khalid buat sepanjang menjadi Menteri Besar Selangor selain memberi air percuma menggunakan wang yang diwarisi dari kerajaan sebelum ini?

15. Seingat saya sudah hampir RM 70 bilion jumlah projek yang diumumkan oleh Khalid sejak beliau menjadi Menteri Besar. Namun yang masuk ke Selangor sejak Khalid menjadi Menteri Besar hnayalah RM 6 Bilion.

16. Saya tidak mahu menyerang peribadi Tan Sri Khalid, tapi hanya Menteri Besar yang "gila" sahaja boleh mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Selangor bernilai RM 50 bilion sedangkan Kerajaan Persekutuan hanya mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi sebanyak RM 67 Bilion.

17. Di mana pakej rangsangan RM 50 bilion kerajaan negeri tersebut? Satu apa pun tiada. Yang kita tahu telah tiga tahun kerajaan negeri mengalami bajet defisit. Kemudian umum lagi RM 10 bilion pakej pembangunan Sungai Klang. Sampai sekarang belum nampak apa-apa juga. Inilah yang dikatakan kehebatan tokoh korporat terkemuka.

18. Saya mungkin tidak layak menduduki pengurusan Guthrie pun seperti yang dikatakan oleh Khalid, namun semasa menjadi Menteri Besar saya tidaklah gila menyebut angka berbilion ini setiap masa tanpa asas. Jangan nanti Menteri Besar Selangor dipanggil orang Khalid Laksa (bilion)sahaja nanti.

19. Khalid usahlah berbangga dengan kedudukan beliau sebagai CEO Guthrie kerana ramai orang dalam tahu kenapa Khalid "disingkir" dari Guthrie. Mengapa agaknya sehingga hari ini kita tidak pernah mendengar sebarang kejayaan Khalid dalam dunia korporat selain daripada kedudukan beliau dalam PNB dan Guthrie?

20. Janganlah jadi ayam yang bertelur sebiji tapi riuh sekampung.

Monday, August 9, 2010

Saman Ekor: Hapuskan Polisi Halang Perbaharui Cukai Jalan

1. Saya berharap kerajaan akan mengkaji semula tindakan menyenaraihitamkan kenderaan yang tidak menjelaskan "saman ekor" sehingga tidak dapat memperbaharui cukai jalan.

2. Sungguhpun mereka ini melakukan kesalahan namun menyenaraihitamkan kereta-kereta ini akan menyebabkan pelanggaran undang-undang lain. Terdapat antara mereka yang tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar "saman ekor" mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui cukai jalan. Ini akan membawa implikasi yang lebih serius jika berlaku kemalangan.

3. Kerajaan tidak wajar sama sekali mengaitkan kesalahan memandu laju dengan keperluan undang-undang untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans. Apakah yang ada dalam akal fikiran pembuat polisi ini? Kita menghalang mereka yang melanggar satu peraturan dari mematuhi peraturan lain. Janganlah kerana kesalahan saman ekor akan melarat kepada masalah kemalangan jalan raya yang mungkin melibatkan kematian tanpa perlindungan insurans dan cukai jalan. Inilah yang dikatakan lain bengkak, lain pula yang bernanah.

4. Bagi saya, kerajaan harus menarik balik langkah menghalang mereka yang mempunyai tunggakan "saman ekor" dari memperbaharui cukai jalan.

5. Rakyat mempunyai hak untuk mencabar saman ekor ini di mahkamah. Malangnya, ramai yang tidak mengetahui mereka disaman sehinggalah hendak memperbaharui cukai jalan.

6. Justeru peluang untuk mencabar di mahkamah tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa melanggar undang-undang dengan tidak mempunyai cukai jalan dan insurans. Adakah ini adil kepada orang ramai?

7. Pemimpin politik dan pegawai kerajaan tidak boleh saling tunding-menunding dalam isu ini, sedangkan rakyat di bawah berhadapan dilema bebanan disenaraihitamkan. Pisau dan mentimun ditangan mereka jangan sampai diambil alih oleh rakyat.

Friday, August 6, 2010

Air, Pasir dan RM 15 Juta

1. Selepas isu pasir timbul pula isu air. YAB Menteri Besar dengan penuh yakin menyanggah kajian bahawa Selangor akan mengalami krisis bekalan air bersih pada 2014 jika tiada usaha menyalurkan bekalan air mentah dari Pahang dilakukan. Sebaliknya MB menyatakan mengikut kajian perunding beliau, krisis tersebut akan berlaku pada 2019.

2. Saya pernah mencabar beliau mendedahkan siapa perunding yang dilantik oleh kerajaan negeri namun sehingga hari ini ia belum didedahkan. Kita mahu tahu siapa perunding tersebut supaya mereka boleh dipertanggungjawabkan jika berlaku krisis bekalan air bersih pada 2014 nanti.

3. Kenyataan Tan Sri Khalid mengenai isu bekalan air negeri Selangor ini mengingatkan kembali kita kepada isu pasir di Selangor. Apabila mengambil alih tampuk pemerintahan, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan penuh bangga mengumumkan kerajaan negeri akan mendapat hasil pasir sebanyak RM 150 juta setahun. Ini beberapa kali diulangnya termasuk dalam ucapan sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan Selangor.

4. Selepas dua tahun semua orang tahu bahawa unjuran dan keyakinan tersebut palsu belaka. Apakah kita akan tunggu 2014 untuk mengetahui sama ada benar atau tidak kenyataan Tan Sri Khalid bahawa krisis bekalan air hanya akan berlaku pada 2019 bukannya 2014.

5. Isu yang lebih serius ialah, salah unjuran krisis air akan memberi implikasi buruk yang lebih besar berbanding anggaran tidak tepat mengenai pendapatan pasir. Anggaran yang salah mengenai hasil pasir hanya menyebabkan kerajaan negeri mengalami bajert defisit selama dua tahun berturut-turut. Namun unjuran yang salah mengenai krisis air akan menyusahkan rakyat dan industri di Lembah Klang.

6. Apakah kita akan membenarkan ego sebuah parti atau seorang Menteri Besar mengatasi kepentingan umum?

7. Selebihnya, jika krisis 2014 atau 2019, isu tetap sama iaitu negeri Selangor memerlukan pelan pembekalan air yang mapan bagi mengelakkan sebarang krisis air pada masa akan datang. Penangguhan projek pembinaan terowong dan empangan ini hanya akan meningkatkan kos pada masa akan datang. Kos pembinaan tidak akan semakin murah. Ia akan semakin meninggi dan kos tersebut akan ditanggung oleh pengguna akan datang.

8. Setiausaha Politik baru MB, membuat kenyataan kepada Sinar Harian beberapa hari lalu supaya saya jangan bercakap isu air dan memberi isyarat seolah-olah saya ada buat salah dalam isu air ini.

9. Saya ingat Tan Sri Khalid tidak perlu menggunakan Setiausaha Politik beliau untuk "mengugut atau menggertak" kerana saya tidak akan berdiam diri dan tidak takut dengan ugutan kebudak-budakan tersebut. Beliau boleh dedahkan apa yang beliau suka dan saya akan bercakap apa apa sahaja demi kepentingan rakyat dan negeri Selangor ini. Saya tidak perlu takut kerana perjanjian tersebut dirangka oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bersama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor. Saya nasihatkan pentadbiran sekarang membaca kesemua dokumen yang ada dan fahami dahulu sebelum membuat kenyataan melulu.

10. Oleh kerana pegawai yang terbabit masih berkhidmat dengan kerajaan hari ini kecuali seorang yang telah berpindah, maka saya fikir eloklah kerajaan negeri bertanya dan mendapat taklimat mereka terlebih dahulu mengenai keseluruhan perjanjian kosensi ini dan peranan yang telah dilakukan oleh saya.
11. Saya akan mendedahkan sedikit demi sedikit isu ini pada masa akan datang bagi menunjukkan kelemahan kerajaan negeri memahami perjanjian tersebut. Saya tidak akan mengulas panjang buat masa ini. Saya akan memberi ruang kepada kerajaan negeri memperbodohkan diri mereka dahulu di khalayak awam. Namun buat permulaan saya ingin mengulas kenyataan Faekah yang mengatakan saya tidak berhak bercakap soal air kerana saya yang menandatangani perjanjian air yang membenarkan Syabas menaikkan tarif air. Sedangkan dalam kenyataan akhbarnya sebelum ini,  Faekah dipetik mengatakan,

"Kerajaan Negeri juga yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membawa Syabas ke mahkamah kerana melanggar syarat perjanjian konsesi termasuk cuba menaikkan tarif air tanpa mendapat kelulusan Kerajaan Negeri terlebih dahulu."

12. Berdasarkan kenyataan tersebut, Kerajaan Negeri yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membawa Syabas ke mahkamah kerana melanggar syarat perjanjian konsesi termasuk cuba menaikkan tarif air tanpa mendapat kelulusan Kerajaan Negeri terlebih dahulu. Bukankah kenyataan ini menunjukkan kerajaan negeri mempunyai hak dalam perjanjian tersebut?

13. Dalam satu segi, Faekah menyatakan perjanjian tersebut memberi kuasa kepada negeri, manakala dari satu segi lagi faekah mengatakan saya menandatangani perjanjian yang berat sebelah? Bukankah kontradik kedua-dua kenyataan tersebut? Jika baru sehari dua berkhidmat dengan kerajaan negeri bacalah dulu dengan teliti semua dokumen yang ada. Saya percaya ada lagi dokumen yang Faekah tidak baca atau sengaja tidak mahu jelaskan kepada umum kerana tujuan beliau ialah memburukkan saya bukannya mencari penyelesaian.

14. Isu kenaikan tarif air adalah satu isu lain berbanding pembinaan empangan. Kerajaan negeri tidak boleh mencampur aduk isu sehinggakan kepentingan rakyat terjejas.

15. Saya berharap Setiausaha Politik MB yang baru akan membantu memulihkan hubungan politik Tan Sri Khalid dengan kepimpinan dalam Pakatan sendiri bukannya sibuk membuat kenyataan politik. Saya juga berharap beliau tidak akan senasib dengan Setiausaha Politik sebelum ini yang hilang jawatan beberapa minggu selepas saya menjawab kritikan beliau.

RM 15 Juta

16. YAB Menteri Besar mengumumkan peruntukan sebanyak RM 15 juta untuk kerja-kerja propaganda Pakatan di Negeri Selangor. Saya ucapkan tahniah kepada mereka yang mendapat bahagian masing-masing. Jika ada bloggers atau laman web yang sebelum ini begitu marah dengan Tan Sri Khalid tiba-tiba menukar nada, maka faham-faham sahajalah.

17. Orang ramai faham jika perbelanjaan RM 15 juta tersebut untuk menyampaikan polisi dan maklumat mengenai kerajaan negeri Selangor. Yang ramai tidak faham ialah apabila portal rasmi negeri Selangor sendiri banyak menyiarkan berita-berita politik kepartian.