Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Tuesday, September 28, 2010

Rayuan Kepada PM: Tolong Hapuskan Saman Ekor Tertunggak

1. Usaha menyenaraihitamkan mereka yang mempunyai saman ekor tertunggak ditangguhkan sehingga awal tahun depan. Penangguhan ini mengurangkan rungutan dan kemarahan orang ramai tetapi tidak menyelesaikan masalah. Tahun hadapan masalah ini akan disebut lagi dan kesan-kesan yang sama akan berulang lagi. Apakah hubungan rakyat dan kerajaan hari ini menjadi seperti penukul dan pahat, Sekali rakyat merungut, sekali kerajaan bergerak?

2. Saman ekor ini merupakan satu pilihan kepada pihak berkuasa dalam menguatkuasa peraturan had laju. Kaedah ini digunakan kerana ia lebih cekap dari segi penggunaan tenaga penguatkuasa dan juga mengelakkan kesesakan jalan raya. Satu lagi kaedah ialah mengadakan perangkap had laju dan menahan pemandu beberapa kilometer kemudian.

3. Saya percaya saman ekor diperkenalkan dengan tujuan baik iaitu untuk mendisiplinkan pemandu dan mengurangkan kemalangan jalan raya. Namun kaedah pelaksanaannya sangat meragukan dan menimbulkan kemarahan rakyat.

4. Berbanding saman secara bersemuka yang menyaman pemandu atau lebih tepat mereja yang melakukan kesalahan, saman ekor lebih banyak menganiaya orang ramai. Banyak kes mereka yang tidak bersalah mendapati telah disaman memandu melebihi had laju. Antara isu utama ialah orang lain memandu kereta dan pemalsuan plat kenderaan. Ini menyebabkan banyak tuan punya kereta yang tidak bersalah terpaksa menanggung beban yang tidak sepatutnya.

5. Masalah bertambah serius apabila mereka yang disaman tidak mengetahui saman tersebut sehingga beberapa bulan dan ada juga yang memakan masa beberapa tahun. Ini bukan sahaja menyebabkan ia tertunggak malah menafikan peluang pembelaan. Jika kesalahan enam bulan lalu, baru diketahui hari ini, bagaimanakah mereka yang disaman mahu mempertahankan diri? Saya dapati ada juga yang hanya mengetahui mempunyai saman ekor yang dilakukan pada tahun lalu atau beberapa tahun lalu.

6. Terdapat juga individu yang menemui saya menunjukkan saman ekor yang beliau dapat di sebatang jalan di Sarawak sedangkan kereta beliau berdaftar di Kuala Lumpur dan masih berada di Kuala Lumpur sehingga hari ini. Jangankan kereta, tuan punya kereta pun belum pernah sampai ke negeri bumi kenyalang tersebut.

7. Maka untuk mempertahankan diri tuan empunya kereta ini terpaksa menulis surat dan mengemukakan bukti. Jika mahu gambar kena pula membuat permohonan kepada polis dan membayar jumlah tertentu. Nampaknya penguatkuasa kerja senang, rakyat pula yang terpaksa bersusah payah mempertahankan diri akibat kelemahan dan kecuaian penguatkuasaan undang-undang.

8. Oleh kerana terdapat banyak kecuaian dan kelemahan penguatkuasaan dalam kes saman ekor ini saya ingin mendesak agar kerajaan menghapuskan semua saman ekor yang tertunggak.

[Sesiapa yang mempunyai masalah saman ekor dan yang bersimpati dengan mereka yang disaman dengan cara ini diharap dapat memberi komen atau rayuan secara bersopan di bawah ini agar dapat saya hantar kepada YAB Perdana Menteri. Mereka yang ada saman ekor dan berharap kerajaan menghapuskannya hendaklah menyertakan Nama dan Nombor kereta (nama boleh dikecualikan jika rasa terganggu dengan pendedahan dalam ruang siber ini) serta sedikit nota atau rayuan.]


9. Saya juga berharap YAB Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri melihat semula isu saman ekor ini. Saman ekor hanya bertujuan menguatkuasa peraturan had laju seolah-olah kelajuanlah punca utama kemalangan jalan raya. Sedangkan sebahagian besar kemalangan berpunca daripada kecuaian, memandu secara semberono dan keletihan, bukannya melanggar had laju semata-mata.

10. Berdasarkan pengalaman memandu selama lebih 20 tahun, saya percaya hampir 80% daripada kita pernah melebihi had laju yang ditetapkan pada satu-satu ketika kerana mahu memotong atau berada di lebuh raya yang lengang. Namun bukan semua memandu terlalu laju sehingga membahayakan pengguna lain atau di luar kemampuan kenderaan.

11. Saya tidak menafikan bahawa peraturan tetap peraturan dan yang melanggarnya perlulah menanggung akibat. Namun janganlah diborongkan berat kesalahan memandu melebihi had ini dengan memandu dengan terlalu laju. Ada beza besar antara mereka yang memandu melebihi had laju dalam julat 20-30 km sejam berbanding yang memandu dalam julat 50 km sejam dan ke atas melebihi had laju yang ditetapkan. Malangnya ini tidak diambil kira oleh mekanisme saman ekor.

12. Justeru jika saman ekor mahu diteruskan saya berharap beberapa perubahan besar perlu dilakukan bagi menunjukkan saman ekor ini bertujuan mendisiplin pemandu dan mengurangkan keselamatan jalan raya bukannya menambah kantung kerajaan.

13. Antara perubahan yang perlu dilakukan ialah:

a. Setiap saman ekor yang dikeluarkan hendaklah sampai kepada mereka yang didakwa melakukan kesalahan tidak lebih daripada 14 hari dari tarikh kesalahan tersebut. Saman hendaklah disampaikan mengikut kaedah dan peraturan penyampaian sapina atau saman mahkamah.

b. Setiap saman ekor yang dikeluarkan hendaklah disertakan bukti bergambar secara otomatik tanpa sebarang bayaran. Kaedah sekarang yang memerlukan mereka yang kena saman membuat permohonan dan dikenakan bayaran harus dihapuskan. Adalah menjadi tanggungjawab penguatkuasa membuktikan bahawa mereka yang disaman telah melakukan kesalahan bukan sebaliknya. Konsep seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah perlu dipraktikkan.

c. Jumlah kompaun hendaklah mengikut lebihan KM berbanding had laju bukannya pukul rata sehingga tiada beza antara mereka yang memandu 120 km sejam dengan 200 km sejam. Ini wajar kerana dari segi risiko kemalangan juga berbeza antara mereka yang memandu 120 km sejam dengan 200 km sejam biarpun kedua-duanya melanggar had laju yang ditetapkan.


14. Saya berharap cadangan ini dapat dipertimbangkan agar bukan sahaja kerajaan akan dilihat lebih bertanggungjawab tetapi rakyat juga merasa senang hati kerana mengetahui kerajaan sentiasa mengutamakan keadilan kepada mereka.

Nota: Saya membenarkan "anonymous" komen dalam artikel ini bagi membolehkan lebih ramai mereka yang tiada "akaun atau "id" memberi komen dan rayuan dalam artikel ini.

Wednesday, September 22, 2010

Perpaduan Satu Malaysia

1. Apabila YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak memperkenalkan idea 1 Malaysia saya percaya beliau bertujuan meneruskan kesinambungan gagasan perpaduan yang dibawa oleh Dato Onn Jaafar, dan diusahakan secara berterusan oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussien Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

2. Justeru tidak perlulah diterjemahkan terlalu banyak falsafah dan prinsip sehingga naik pening kepala rakyat di bawah. Satu (1) Malaysia harus mencerminkan makna-makna seperti "bersatu teguh bercerai roboh", Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

3. Masalah perpaduan di negara ini terlalu banyak dipolitikkan. Dibicarakan atas pentas politik dan diwarnai oleh kepentingan politik kepartian. Justeru sukar sama sekali untuk mencapai perpaduan apabila pentasnya ialah pentas politik.

4. Sejak dahulu pentas perpaduan terbaik ialah melalui sukan. Kejayaan dan penyertaan kita dalam pelbagai pertandingan antarabangsa terutamanya dalam acara Badminton, Hoki dan Bola sepak telah mewujudkan ikatan perpaduan antara kaum dan agama. Nama-nama seperti Isa Bakar, Soh Cin Aun, R. Arumugam, Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim, Hasan Sani, M. Karathu adalah nama-nama yang dilihat sebagai pemain bola sepak berjaya tanpa mengira kaum. Demikian juga kejayaan pemain badminton negara seperti Punch Gunalan, Wong Peng Soon, Ooi Teik Hock, Ong Poh Lim, Misbun Sidek dan adik beradik telah mewarnai dunia badminton negara dengan sokongan berbelah bagi tanpa mengira bangsa, agama mahu pun sempadan negeri. Kita juga pernah melahirkan perenang cemerlang bernama Nurul Huda Abdullah, seorang perenang dari kaum Cina dengan nama seperti orang Melayu.

5. Saya fikir sebab itu juga Tun Dr. Mahathir membawa kejohanan sukan yang besar dan diminati rakyat seperti Piala Thomas, Sukan Sea dan Sukan Komanwel. Ia merupakan agenda perpaduan yang tidak perlu disorak dan dilaungkan. Demikian juga dengan laungan "Malaysia Boleh" diucapkan oleh semua kaum setiap kali negara kita mendapat kejayaan sama ada dalam bidang sukan mahu pun pencapaian lain di peringkat antarabangsa.

6. Baru-baru ini saya menonton filem Invictus arahan Clint Eastwood yang diadaptasi daripada kisah benar mengenai usaha Nelson Mandela menghapuskan prasangka antara kaum melalui sukan Ragbi.

7. Saya fikir kerajaan perlu menumpukan usaha-usaha perpaduan melalui sukan terutamanya sukan popular seperti badminton, Sepak Takraw, Hoki dan Bola sepak. Jika laungan Satu Malaysia boleh menggegarkan Stadium Negara seperti mana laungan Malaysia Boleh suatu ketika dahulu tentulah agenda perpaduan ini lebih bermakna.

8. Agenda Satu Malaysia juga boleh dicapai melalui kerja-kerja kemasyarakatan, rekreasi dan usaha mencipta nama negara di luar negara. Ini semua akan dilihat atas kepentingan negara bukannya kepentingan politik.

9. Filem Invictus memaparkan sikap segelintir pemimpin kulit hitam yang menguasai pentadbiran negara apabila Nelson Mandela menang pilihan raya Presiden. Mereka mahu melakukan perubahan-perubahan yang boleh menyinggung perasaan kaum kulit putih. Ini termasuklah usaha menghapuskan warna jersi, lambang dan juga nama "Springbook" daripada pasukan Ragbi Afrika Selatan. Mujurlah ia dihalang oleh Presiden Mandela kerana beliau mahukan perpaduan rakyat bukannya pembalasan dendam.

10. Sungguhpun tidak sama, namun apa yang terjadi dalam filem tersebut sedikit sebanyak boleh dikaitkan dengan apa yang terjadi kepada negara kita pasca pilihan raya 2008.

11. Kemunculan kaum bukan bumiputera sebagai penentu kekuatan pemerintah di beberapa negeri telah membuka ruang untuk segelintir pemimpin bukan Melayu yang bersifat ultra untuk menuntut perubahan terhadap perkara-perkara yang membabitkan bumiputera. Pemimpin bukan Melayu yang bersikap sederhana sebelum ini juga turut menyertainya kerana bimbang hilang sokongan.

12. Kaum bumiputera, khususnya orang Melayu, pula melihat ini sebagai satu usaha menangguk di air yang keruh. Apabila tuntutan-tuntutan ini menggunakan pula laungan Satu Malaysia sebagai satu alat untuk mendesak tuntutan mereka dipenuhi, maka prasangka orang Melayu terhadap 1 Malaysia kian buruk.

13. Agenda Satu Malaysia tidak mungkin tercapai jika ia terus dijalankan atas landasan politik. Hari ini Satu Malaysia digunakan sebagai alat politik. Pemimpin politik kaum Cina dan India melihat Satu Malaysia sebagai satu alat untuk menuntut penghapusan perkara-perkara yang dianggap pro - bumiputera dan telah dipersetujui sejak merdeka lagi.

14. Tuntutan-tuntutan yang ingin menghakis kepentingan bumiputera berselindung di sebalik pentas 1 Malaysia pula menyebabkan kaum bumiputera berprasangka buruk terhadap usaha perpaduan menerusi agenda 1 Malaysia. Lalu ramai yang skeptikal dan pesimis terhadap agenda perpaduan menerusi slogan 1 Malaysia ini. Ini kerana tuntutan-tuntutan atau pandangan yang dibuat menerusi kaca mata politik.

15. Dalam rumah Terbuka UMNO Selangor baru-baru ini saya sempat bercakap dengan Pengerusi MCA Selangor, Dato' Donald Lim. Saya nyatakan bahawa MCA terlalu melihat isu pembahagian ekuiti dan pembabitan bumiputera sebanyak 30% dalam perniagaan. Ini ialah isu-isu ahli perniagaan yang tidak mungkin berpuas hati sampai bila-bila pun. MCA tidak boleh menjadi parti yang pro ahli perniagaan semata.

16. Bagi saya MCA dan juga parti komponen BN yang sepatutnya melihat isu-isu rakyat banyak seperti pengangguran, kos sara hidup, pendidikan, penagihan dadah, kesihatan dan kemiskinan yang merentasi batas kaum. Apabila isu-isu ini dibincangkan tanpa membabitkan hak kaum bumiputera barulah isu kerenggangan kaum ini dapat dielakkan.

17. Selagi kita melihat 1 Malaysia melalui kaca mata politik selagi itulah rakyat yang pelbagai kaum ini akan saling curiga-mencurigai antara satu sama lain.

18. Saya melihat setakat ini 1 Malaysia bukan sahaja gagal merapatkan hubungan antara kaum tetapi makin menjarakkannya kerana ia digunakan oleh pemimpin politik kerajaan dan pembangkang untuk menuntut dihapuskan perkara-perkara tertentu yang menjadi polisi sebelum ini. Kaum bumiputera marah kerana mereka seolah-olah "digertak", manakala yang bukan bumi pula marah kerana 1 Malaysia tidak mengubah kedudukan polisi-polisi pro-bumiputera yang sedia ada.

19. Justeru adalah penting agenda perpaduan 1 Malaysia ini diterjemahkan dalam bentuk di luar kerangka politik seperti mana kita pernah menyatukan rakyat di bawah slogan "Malaysia Boleh" dan kempen "Bersatu Teguh Bercerai Roboh".

Friday, September 10, 2010

Selamat Hari Raya

Selamat hari raya maaf zahir batin jika ada sebarang kesalahan bicara. pulanglah berhari raya dengan berhati-hati. Saya ingin menjemput saudara/i ke Rumah Terbuka saya pada hari Selasa ini, 5 syawal bersamaan 14 September 2010 di Anjung Seri Atin, Simpang Lima Sungai Besar dari jam 11 pagi - 4 petang.

Tuesday, September 7, 2010

Bubarkan Makmal Rasionalisasi Subsidi

1. Sempena bulan Ramadhan dan menjelang Syawal ini saya berharap kerajaan dapat meneliti semula masalah kesempitan rakyat terutama di bandar-bandar akibat kenaikan kos sara hidup yang tinggi yang tidak setara dengan kenaikan pendapatahn rakyat.

2. Laporan NST Ahad lalu menunjukkan terdapat jurang yang agak besar dalam kenaikan kos sara hidup berbanding pendapatan rakyat. Namun ini tidak dapat difahami oleh sebahagian pembuat polisi kita kerana mereka melihat unjuran berdasarkan pendapatan perkapita rakyat dengan kenaikan harga pengguna (Inflasi).

3. Kedua-dua petunjuk ini sangat palsu sifatnya. Pendapatan Per Kapita Rakyat tidak menjamin kekuatan kuasa beli rakyat apabila jurang pendapatan antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah berbeza terlalu besar. Sungguhpun jurang pendapatan di negara ini tidak seteruk kebanyakan negara membangun dan dunia ketiga, ia menujukkan jurang ini semakin meluas. Indeks Harga Pengguna yang mengukur inflasi negara juga tidak mencerminkan peningkatan inflasi yang dirasai oleh rakyat.

4. Sebenarnya kita tidak memerlukan laporan khas NST pun untuk memahami betapa kita sedang berhadapan dengan masalah kenaikan kos sara hidup yang sangat parah. Kenaikan harga petrol, tol, kadar pinjaman asas dan barangan kegunaan seharian merupakan punca kuasa beli rakyat makin berkurangan.

5. Selain tindakan kerajaan beberapa tahun lalu menaikkan harga petrol dan tol secara mengejut sehingga menjejaskan perbelanjaan golongan berpendapatan sederhana rendah dan rendah, kewujudan Makmal Rasionalisasi Subsidi juga telah menjejaskan lagi usaha mengurangkan kos sara hidup.

6. Makmal ini mempunyai tanda aras ukuran pencapaian (Key Performance Index - KPI)tertentu bagi menetukan kejayaannya. KPI makmal ini tentulah sejauh mana dan sehebat mana mereka mampu mengurangkan bebanan subsidi kerajaan. Sebab itu kita dapati Menteri dan pemikir makmal terbabit hanya bekerja mencari idea bagi menurunkan bebanan subsidi kerajaan tanpa mempedulikan masalah rakyat.

7. Sejak kewujudan makmal ini ia memberi masalah besar kepada para wakil rakyat Barisan Nasional kerana terpaksa pula berhujah dan "bergaduh" dengan pasukan makmal ini. Wakil Rakyat BN sama ada di peringkat Parlimen mahu pun DUN terpaksa membuat pelbagai bantahan, komen malahan saya difahamkan dalam beberapa sesi penerangan tertutup berlaku pertikaman lidah yang sangat hebat.

8. Ini tidak dapat dielakkan kerana mereka yang bertanggungjawab terhadap makmal cuba memenuhi KPI mereka. Manakala wakil rakyat yang akan berhadapan dengan rakyat di bawah ingin melihat kehidupan rakyat yang lebih baik dan juga memastikan BN terus mendapat sokongan ramai.

9. Saya khuatir jika Makmal Rasionalissai Subsidi ini terus kekal dan membuat pelbagai syor yang tidak masuk akal kepada rakyat biasa maka akan berlaku krisis yang besar antara kerajaan dan wakil rakyat BN yang tidak memegang jawatan eksekutif.

10. Banyak isu yang diutarakan secara semberono oleh penguasa Makmal ini memberi masalah besar kepada wakil rakyat yang sering turun ke kawasan. Kadang-kadang kerja keras membantu dan berkhidmat kepada rakyat selama enam bulan hancur sekelip mata apabila rakyat marah mengenai kenaikan harga gula, tepung dan petrol.

11. Saya juga hairan kerana kadang-kadang Makmal ini berusaha mengurangkan subsidi kononnya sebagai mengurangkan bebanan kerajaan tetapi kerajaan pula memberi subsidi dalam bentuk lain yang makin meningkat pula perbelanjaan kerajaan. Ada juga mahu dihapuskan subsidi lain tetapi diganti dengan subsidi lain apabila rakyat mula merungut. Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

12. Justeru saya berharap kerajaan dapat membubarkan sahaja Makmal Rasionalisasi Subsidi ini kerana ia hanya menguntungkan kerajaan bukannya rakyat dan parti. Kita tidak perlu makmal pun untuk membuat keputusan mengurangkan subsidi seperti mana yang dicadangkan oleh Makmal ini. Malahan jika dilihat dalam isu kenaikan harga Petrol, cadangan Makmal ini seperti pembelian menggunakan mykad dan pemberian subsidi terhad menggunakan sistem tertentu langsung tidak masuk akal.

13. Akhirnya kerajaan menggunakan cadangan orang ramai juga untuk mengurangkan subsidi petrol iaitu dengan memberi pilihan kepada rakyat sama ada mahu petrol subsidi atau petrol harga pasaran. Alhamdulillah mereka yang mampu secara sukarela menggunakan petrol RON 97 yang tidak disubsidikan. Justeru apa perlunya makmal ini jika hanya menambah bebanan politik kepada BN?

14. Adalah lebih masuk akal jika kerajaan menubuhkan Makmal Menurunkan Kos Sara Hidup Rakyat atau Makmal Mengurangkan Bebanan Hidup Rakyat. Barulah nampak rakyat diutamakan.