Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Monday, October 25, 2010

Sokong Penstrukturan Semula Air Selangor

1. Salah satu perbincangan hangat sekarang ialah mengenai masa depan industri air bersih di Lembah Klang. Ramai yang berasa khuatir dan bimbang Lembah Klang akan mengalami krisis air yang lebih serius daripada 1998 jika kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak sebelum ini menjadi kenyataan.

2. Kajian oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini menunjukkan Lembah Klang akan mengalami krisis air yang serius pada 2014 jika tiada usaha bersepadu mendapatkan bekalan air mentah dari luar Lembah Klang. Pelbagai kajian dilakukan termasuk mendapatkan air di Perak, namun akhirnya kos mendapatkan air dari Pahang yang paling murah.

3. Justeru kerajaan Persekutuan telah bersetuju membiayai Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor yang bernilai sekitar RM3.936 bilion. Sebahagian besar pembiayaan projek adalah melalui pinjaman Japan International Cooperation Agency (JICA) dan selebihnya dibiayai geran Kerajaan Persekutuan. Perjanjian pinjaman yang ditandatangani pada 31 Mac 2005 memperuntukkan bahawa JICA akan menanggung sebanyak 75 peratus daripada kos kerja pembinaan manakala baki 25 peratus lagi akan ditanggung Kerajaan Pusat.

4. Justeru apabila kerajaan negeri berusaha menangguhkan pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat, kerajaan persekutuan perlu menanggung beban kewangan termasuk peningkatan kadar faedah daripada pinjaman.

5. Tindakan kerajaan negeri bermain politik dalam isu air ini sangat tidak munasabah. Penstrukuturan air, kenaikan harga air dan pembinaan loji pembersihan air di Hulu Langat adalah isu yang berasingan. Khalid Ibrahim memperjudikan nasib penduduk lembah klang hanya untuk menunjukkan beliau menjadi juara rakyat dalam masa yang singkat tetapi merosakkan masa depan rakyat untuk mendapat bekalan air bersih.

Sejarah Industri Air Selangor

6. Sebelum menunding jari kepada kerajaan Pusat atau mana-mana pemimpin kita perlu memahami sejarah industri air di Selangor terlebih dahulu. Pada awalnya semua industri air dikawal selia oleh Jabatan Bekalan Air Selangor (JBAS). Kemudiannya timbul keperluan untuk meningkatkan kualiti rawatan air akibat banyak kritikan ketika itu. Justeru itu pada 1997, kerajaan negeri melantik Puncak Niaga sebagai pengendali 27 loji rawatan air di Selangor.

7. Pada 1998, berlaku satu krisis air yang serius di Lembah Klang. Ini menyebabkan kerajaan negeri mencari kaedah untuk menambah jumlah empangan. Pada 1999, Konsortium ABBAS telah dilantik untuk membina dan mengendalikan empangan dan loji air Sungai Semenyih. Pada tahun yang sama satu lagi syarikat, Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH)telah diberi tanggungjawab membina dan mengendali Loji air Sungai Badung, Selangor yang berharga lebih RM 2 Bilion.

8. Pada 2001, semasa dibawah pentadbiran saya, terdapat banyak aduan dan kritikan mengenai kualiti air. Selain itu JBAS juga mengalami kerugian kerana kehilangan air yang tidak digunakan (Non revenue water [NRW]) sekitar 45%. NRW yang tinggi ini juga menyebabkan JBAS rugi kerana jumlah air yang dibayar oleh pengguna kurang daripada jumlah air yang dibayar oleh JBAS kepada pengendali loji.

9. Setelah kajian dijalankan didapati kedua-dua masalah ini berpunca daripada sistem paip lama yang berkarat dan bocor. Untuk menggantikan keseluruhan paip lama sepanjang 6, 000 KM daripada keseluruhan 24 ribu KM paip dan ini memerlukan kos yang tinggi iaitu kira-kira RM 2.6 bilion. JBAS tidak mampu melakukannnya secara bersendirian. Justeru JBAS diperbadankan dengan nama Perbadanan Air Negeri Selangor (PUAS). Selepas Puas diperbadankan, ia berusaha mendapatkan pinjaman daripada kerajaan persekutuan sebanyak RM 2 bilion bagi program penggantian paip lama. Bagaimanapun ia ditolak kerana JBAS masih mempunyai hutang sebanyak RM 756 juta kepada Pusat.

10. Kerajaan Persekutuan mencadangkan agar PUAS diswastakan kepada Syabas dengan hasrat Syabas menanggung kos penggantian paip-paip tersebut.

11. Satu perjanjian antara kerajaan negeri dan Syabas telah disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri. Walaupun terdapat fasal-fasal mengenai kenaikan tarif air namun ia mesti dipersetujui secara bersama antara Kerajaan Negeri, Persekutuan dan Syabas setiap kali ada permintaan untuk menaikkan tarif tersebut. Kerajaan negeri telah meminta diwujudkan Panel Penentuan Tarif Air yang membabitkan wakil negeri, persekutuan dan Syabas dan juga Jawatankuasa Teknikal bagi mengkaji setiap asepek sebelum permohonan kenaikan tarif diluluskan.

12. Selain itu, perjanjian tersebut turut mensyaratkan Syabas melakukan penggantian paip sepanjang 2400 KM menggunakan barangan tempatan, mengurangkan NRW kepada bawah 25% dan meningkatkan kualiti air sebelum boleh membuat sebarang tuntutan kenaikan tarif. Semua ini gagal dipenuhi oleh Syabas.

Penstrukturan Semula Air Selangor

13. Apabila Syabas gagal memenuhi syarat perjanjian termasuk menggunakan paip buatan tempatan dalam penggantiannya, kerajaan negeri memutuskan untuk menstrukturkan semula industri air di Selangor. Pada 2006, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) memulakan pelan pengambil alihan semua syarikat yang terbabit dalam industri air di Selangor seperti Abbas, Splash, Puncak Niaga dan Syabas.

14. Usaha penstrukturan semula ini berlaku pada 2007 apabila KDEB telah mengambil alih ABBAS dan mula berunding untuk mengambil alih Splash, Puncak Niaga dan Syabas. (lihat laporan THE EDGE MALAYSIA pada 12 Nov 2007). Tujuan penstrukturan semula ini bagi membolehkan syarikat yang menguruskan air mendapat keuntungan lebih dan mengurangkan tarif air pada masa akan datang melalui cross subsidization. Dalam keadaan sekarang hanya pengendali loji yang mendapat keuntungan maksimum, manakala pembekal air terpaksa menanggung kerugian akibat NRW dan kegiatan "curi air". Pembekal terpaksa membayar penuh kepada pengendali loji tetapi berhadapan kerugian 45% berdasarkan NRW.

15. Usaha penstrukturan semula ini sewajarnya dikendalikan sepenuhnya oleh KDEB memandangkan ia anak syarikat milik penuh kerajaan negeri. Namun ia mungkin sukar dilaksanakan pada masa sekarang memandangkan KDEB sendiri mempunyai hutang beratus juta kepada kerajaan negeri hasil pelaksanaan sistem subsidi air yang dijalankan sejak dua tahun lalu. Kerajaan negeri dilaporkan telah meminjamkan sejumlah RM 200 juta kepada KDEB untuk dibayar kepada Syabas bagi skim subsidi 20 meter padu air percuma. Sehingga kini hanya RM 28.2 juta dibayar semula oleh KDEB kepada kerajaan negeri. Dari segi prestasi kewangan sukar sama sekali KDEB mendapat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan bagi membiayai proses pengambil alihan Syabas dan lain-lain syarikat.

16. Penstrukturan semula ini juga selari dengan penubuhan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) dan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) di peringkat Pusat. SPAN akan mengawasi keseluruhan industri air negara dan mengeluarkan lesen kepada pengendali air negeri-negeri. Manakala PAB akan mengambil alih semua infrastruktur air negeri-negeri dan menyewakan semula kepada pengendali air negeri-negeri. Melalui kaedah ini, isu-isu penggantian paip, pembinaan empangan dan loji rawatan akan berada di bawah PAB dan pengurusan kewangan Persekutuan. Ini akan memberi kualiti pengurusan air yang lebih baik pada masa akan datang.

Politik Air Pakatan Rakyat

17. Perubahan tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri yang suka bermain politik daripada menyelesaikan isu ini secara profesional menyebabkan segala-galanya terganggu dan terencat sekarang ini.

18. Saya tidak nampak mengapa kerajaan negeri harus mengugut untuk tidak meluluskan pembinaan loji di Hulu Langat sekiranya mereka gagal menstrukturkan semula industri air Selangor.

19. Ia adalah dua isu yang berasingan dan membabitkan pihak yang berlainan. Pembinaan infrastruktur penyaluran bekalan air mentah dari Pahang ke Selangor adalah projek Persekutuan. Manakala penstrukturan ini membabitkan syarikat-syarikat Berhad.

20. Jadi bagaimana kerajaan negeri ingin bermain logik mengugut kerajaan Persekutuan sedangkan mereka "bergaduh" dengan sebuah syarikat berstatus berhad yang mereka sendiri ada 30% saham? Bolehkah kita yang rasional menerima sikap kerajaan negeri yang menangguhkan kelulusan pembinaan loji kerana mereka gagal mengambil alih sebuah syarikat? Wajarkah projek yang bernilai berbilion ringgit ini dijadikan taruhan dan menyebabkan kerajaan Persekutuan perlu berbelanja lebih, yang tentunya membabitkan wang rakyat?

21. Alasan kenaikan tarif air ini hanyalah sandiwara kerajaan negeri kerana syarat-syarat sedia ada sudah cukup menjaga kepentingan pengguna. Seperti yang saya jelaskan tadi, tarif air tidak boleh dinaikkan tanpa persetujuan panel penilai yang dianggotai oleh kerajaan negeri, persekutuan dan wakil Syabas.

22. Ketika saya menyokong usaha kerajaan negeri meneruskan kerja-kerja menyusun semula industri air Selangor, saya kecewa melihat sikap kerajaan negeri menangguhkan projek pembinaan loji air di Hulu Langat.

23. Inilah yang dikatakan "lain Bengkak, lain Bernanah, lain yang yang Sakit, lain pula yang diubati."

24. Saya berharap kerajaan negeri Selangor tidak bermain politik dalam isu bekalan air bersih di Lembah Klang. Tindakan Tan Sri Khalid Ibrahim mengaitkan isu pembinaan loji di Hulu Langat dengan penstrukturan semula pengendali bekalan air bersih di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah tidak masuk akal dan boleh menjejaskan bekalan air bersih pada masa akan datang.

25. Memang kerajaan negeri berhak untuk membantah kenaikan air yang dicadangkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan saya ingin nyatakan sokongan penuh terhadap bantahan tersebut. Namun mengapa mahu dikaitkan dengan pembinaan loji yang merupakan projek masa depan untuk rakyat?

26. Kos bekalan air di Selangor akan meningkat lebih tinggi sekiranya kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membina loji rawatan air di Pahang bagi menggantikan loji di Hulu Langat. Jika itu berlaku, apabila berlaku krisis bekalan air nanti, Selangor perlu membeli harga air bersih dari Pahang yang harganya jauh lebih tinggi.

27. Alasan Tan Sri Khalid kononnya masalah bekalan air bersih di Lembah Klang tidak akan berlaku pada 2014 tetapi pada 2019 tidak pernah disokong oleh fakta atau mana-mana data penyelidikan. Sampai hari ini kita tertanya-tanya siapakah yang dilantik oleh Tan Sri Khalid bagi menjalankan penyelidikan tersebut?

28. Namun persoalan lebih releven ialah, jika berbeza 5 tahun sahaja mengapa kita perlu tangguhkan sedangkan masalah tetap akan timbul. Dalam industri pembinaan, penangguhan beberapa tahun sahaja sudah boleh menyebabkan kos pembinaan meningkat berkali ganda. Apakah kerajaan negeri akan menanggung kenaikan kos ini? Jika mahu pun mampukah kerajaan negeri?

29. Rakyat harus bijak membuat penilaian dan mendapat semua fakta bukan sekadar mempercayai sandiwara dan lakonan politik kerajaan negeri. Ini kerana mereka yang berhadapan dengan krisis kuasa dan melihat tiada masa depan politik akan mengambil pendekatan populis. Peduli apa dengan apa yang berlaku lima enam tahun lagi kerana mereka mungkin sudah tiada ditampuk kuasa untuk berhadapan dengan kemarahan rakyat.

30. Kerana benci kepada Barisan Nasional dan pemimpin tertentu ada orang sanggup menerima apa sahaja tohmahan kerajaan negeri tanpa berfikir dengan rasional dan melihat fakta yang ada. Hakikatnya kos menguruskan air bersih di Lembah Klang sangat tinggi hingga mencecah berbilion ringgit. Dan ia perlu ditangani dengan cermat dan berhati-hati agar rakyat tidak terbeban dengan kos yang tinggi sama ada melalui tarif air mahu pun melalui subsidi kerajaan yang akhirnya merupakan wang rakyat juga.

31. Malangnya, kerajaan Selangor hari ini yang masuk dalam keadaan segala-galanya telah tersedia, seperti kata orang hanya "cuci kaki sahaja", ingin pula menunjukkan jaguh tanpa mengambil kira kesan jangka panjang. Sikap kerajaan negeri hari ini tidak ubah seperti beruk mendapat bunga.

Monday, October 18, 2010

Cabaran Bajet 2011: Menterjemah Perancangan Kepada Realiti

1. Bajet yang dibentangkan minggu lalu menampakkan kesungguhan Kerajaan menjaga kepentingan rakyat dan juga menyediakan jalan pantas mencapai Wawasan 2020.

2. Saya fikir antara perkara yang paling baik ialah peruntukan hampir RM 1.3 bilion untuk program-program meningkatkan kemahiran rakyat. Sebanyak RM 500 juta bagi proses peningkatan kemahiran dan mempelajari kemahiran baru di bawah Program Latihan 1 Malaysia. Peruntukan ini penting dalam melatih semula golongan pekerja sedia ada terutamanya yang berpendapatan rendah meningkatkan kemahiran tertentu seterusnya membolehkan mereka meningkatkan taraf pekerjaan dan pendapatan mereka.

3. Selain itu, seperti mana yang harapkan oleh blog ini minggu lalu, kerajaan turut memperuntukkan hampir setengah bilion ringgit (RM)untuk mereka yang tidak dapat ke institusi pengajian tinggi mendapatkan peluang pembelajaran dalam bidang teknikal dan vokasional.

4. Adalah menjadi harapan agar anak-anak muda yang berada di luar sana dapat meninggalkan aktiviti yang tidak berfaedah dan mengambil peluang ini bagi meningkatkan kebolehan dan kemampuan diri. Saya percaya jika peruntukan sedia ada habis digunakan, kerajaan boleh memberi peruntukan tambahan dengan syarat ia dibelanjakan dengan baik dan menampakkan hasil yang baik.

Belanja Pengurusan Yang Tinggi
5. Selain itu, apa yang meriasaukan saya ialah dalam Bajet 2011 ialah peruntukan pengurusan yang begitu tinggi berbanding peruntukan pembangunan. daripada RM 212 bilion Bajet 2011, sebanyak RM 162.8 bilion ringgit digunakan sebagai bajet pengurusan. Hanya RM 49.2 bilion digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

6. Adalah penting pada masa hadapan kerajaan dapat meningkatkan perbelanjaan pembangunan dan mengurangkan perbelanjaan pengurusan bagi membolehkan ekonomi negara berkembang dengan lebih pesat.

7. Kerajaan juga perlu mempertimbangkan perbelanjaan untuk subsidi terutamanya membabitkan subsidi dalam bidang pertanian dan subsidi petrol sebagai perbelanjaan untuk pembangunan bukannya pengurusan. Ini kerana subsidi seperti ini bertujuan merancakkan pembangunan ekonomi negara.

8. Secara keseluruhannya Bajet 2011 merupakan satu janji yang sangat cantik dan menarik untuk rakyat. Cuma kekhuatiran ramai orang ialah apakah ia akan dilaksanakan secantik dibentangkan.

9. Ini semua memerlukan sokongan dan iltizam bukan sahaja kabinet tetapi juga pelaksana utama agenda Bajet ini, yakni kakitangan kerajaan. Tanpa kesungguhan, komitmen dan kejujuran kakitangan kerajaan dari Ketua Setiausaha Negara sehingga ke pekerja am, maka Bajet 2011 ini sekadar cantik di Parlimen tetapi tidak memberi impak besar kepada rakyat.

10. Amatlah malang jika apa yang dirancang ini dan sepatutnya menjadi pemangkin kemajuan negara gagal menjadi kenyataan kerana sikap "tidak apa" dan "business as usual" di kalangan pegawai tertinggi kerajaan.

11. Saya bukan mahu menyalahkan pegawai kerajaan 100 peratus atau mencari musuh di kalangan pelaksana polisi. Namun adalah penting untuk para pegawai kerajaan memahami aspirasi dan kehendak kerajaan kerana Menteri sahaja tidak mungkin mampu menjayakan setiap polisi yang dirangka jika tidak mendapat komitmen kumpulan pelaksana.

12. Kerajaan mungkin tidak memberi bonus kepada kakitangan kerajaan kali ini. Namun pemberian bantuan kewangan sebanyak RM 500 bagi pegawai gred 54 dan ke bawah merupakan satu usaha kerajaan mengurangkan beban kakitangan awam terutamanya yang bergaji rendah.

13. Memang benar kakitangan kerajaan tidak mendapat bonus sebulan gaji seperti yang dituntut oleh Ceupacs. Namun dengan perbelanjaan pengurusan yang telah membesar sedemikian rupa kakitangan kerajaan tidaklah boleh mengharap bonus setiap tahun.

14. Berbanding majoriti rakyat Malaysia, mereka yang memasuki jawatan kerajaan merupakan kumpulan yang paling bertuah. Di luar perkhidmatan kerajaan mereka terpaksa bekerja keras untuk menyara kehidupan tanpa faedah kesihatan, pendidikan dan jaminan jawatan seperti mana yang dinikmati oleh kakitangan kerajaan. Pada bila-bila masa mereka boleh kehilangan jawatan biarpun bertungkus lumus bekerja. Sebaliknya dalam kerajaan jarang sekali kehilangan jawatan kecuali jika melakukan jenayah.

15. Justeru saya berharap kakitangan kerajaan dapat melupakan isu bonus ini dan memberi perkhidmatan yang terbaik bagi meningkatkan pendapatan negara. Insyallah, jika ada kemajuan lebih baik mungkin pada masa akan datang kerajaan akan memberi bonus mengikut kemampuan.

16. Apa yang penting melaksanakan Bajet 2011 dengan jayanya.

Wednesday, October 6, 2010

BAJET 2011: Berikan Tumpuan Khusus Kepada Pelajar Tercicir

1. Saya berharap peruntukan Pendidikan dalam Bajet 2011 yang akan diumumkan nanti akan memberi fokus yang besar kepada isu pendidikan kemahiran dalam bidang vokasional, teknologi maklumat, teknik dan komunikasi kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang gagal memasuki institusi pengajian tinggi.

2. Ini kerana saban tahun peruntukan pendidikan banyak bertumpu kepada pendidikan pra-sekolah, sekolah dan pendidikan tinggi. Yang selalu diabaikan atau nampak seolah-olah terabai ialah pendidikan pelajar yang tercicir dari pendidikan tinggi atau pendidikan lepasan sekolah. Setiap tahun tahun hampir 600 ribu pelajar mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia(STPM). Daripada jumlah tersebut dianggarkan hanya 300 ribu orang yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Selebihnya ke mana hala tuju mereka?

3. Jika kebolehan dan kemampuan golongan ini tidak dapat ditingkatkan saya khuatir hasrat negara meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia dalam konteks "jurang yang cetek" sukar dilaksanakan.

4. Peningkatan pendapatan per kapita tanpa mengambil kira jurang pendapatan antara rakyat tidak akan membantu menjana kemakmuran negara. Sebab itu kerajaan dalam cadangan Model Ekonomi Baru (MEB) mahu menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan golongan miskin dan sederhana kepada berpendapatan tinggi. Tiada gunanya melahirkan 3-4 juta rakyat berpendapatan tinggi tetapi lebih 10 juta lagi berada di bawah paras kemiskinan. Inilah yang kita khuatir akan berlaku pada masa akan datang jika tiada usaha meningkatkan kemahiran pelajar yang gagal ke universiti.

5. Selain memberi tumpuan kepada kumpulan orang miskin dan kurang upaya, keciciran pelajar sekolah saban tahun juga perlu diberi perhatian serius. Sekiranya kumpulan ini terus tercicir setakat pencapaian SPM dan STPM mereka akan terus menjadi pekerja berpendapatan rendah. Apabila berkeluarga sebahagiannya akan memenuhi ruang kategori kumpulan orang miskin pula.Pusingan ini akan berterusan sekiranya usaha secara seriush meningkatkan kemahiran kumpulan pelajara ini tidak diberi perhatian serius.

6. Tidak banyak peruntukan dan peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran vokasional dan teknik untuk semua kaum. Tidak silap saya hanya terdapat tidak lebih 70 kolej komuniti di negara ini bagi menampung ramai pelajar yang tamat SPM dan STPM tetapi tidak dapat melanjutkan pelajaran ke pendidikan universiti.

7. Pada pemerhatian saya, kita juga tidak mempunyai sebarang pelan khusus bagi meningkatkan kemahiran komunikasi untuk kumpulan ini bagi membolehkan mereka mendapatkan jawatan separuh profesional di syarikat-syarikat muti-nasional yang beroperasi di negara ini.

8. Jika kumpulan ini dapat dilatih sehingga mahir beberapa bahasa, terutamanya bahasa Inggeris, sudah pasti peluang mereka mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih baik terbuka luas. Ini juga akan membantu Malaysia menarik lebih banyak syarikat antarabangsa membuka Pejabat Kawasan (regional office) mereka di negara ini kerana ada bekalan tenaga kerja bawahan yang mampu berkomunikasi dalam bahasa inggeris dengan baik.

9. Saya fikir selain latihan vokasional, teknik dan IT, kerajaan juga perlu menawarkan peluang pembelajaran intensif bagi kemahiran komunikasi kepada pelajar tercicir ini. Kewujudan kem latihan kemahrian komunikasi ala PLKN mungkin boleh melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang mempunyai kemahiran komunikasi bahasa Inggeris dan bahasa antarabangsa lain dengan baik.

10. Langkah mewujudkan pelan pembangunan modal insan di kalangan mereka yang gagal memasuki IPT ini juga akan dapat mengelakkan lambakan tenaga kerja kurang mahir yang terlalu awal dalam pasaran sehingga mewujudkan pengangguran. Ini kerana negara kita bukan lagi tumpuan pelabur yang memerlukan tenaga kerja murah secara besar-besaran. Malahan jika ada pun kebanyakannya diisi oleh tenaga kerja asing.

11. Pengalaman saya di Selangor sendiri, kumpulan ini jika tidak diuruskan dengan segera akan mewujudkan lebih banyak gejala sosial seperti mat rempit, bohsia, peragut, penagih dadah dan penjenayah kecil-kecilan. Sebab itu kerajaan negeri dahulu berusaha mewujudkan pelbagai institusi kemahiran belia kepada semua kaum.
Antaranya termasuklah Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Sabak Bernam yang sekarang ini telah ditutup. Selain itu pada 2006 juga Industri Pendidikan Negeri Selangor (INPENS) telah memfokuskan sepenuhnya kepada pendidikan vokasional dan keperluan industri.

12. Adalah menjadi harapan agar kerajaan memberi perhatian serius kepada kumpulan ini dengan menyediakan kemahiran hidup yang diperlukan untuk masa depan mereka dan juga negara. Kem PLKN mungkin membentuk sahsiah diri yang baik, namun jika bertahun-tahun selepas kem tersebut mereka terus terawang-awangan tanpa hala tuju dan pekerjaan yang baik, maka segala yang moral dan disiplin yang diterapkan dalam kem tersebut hanya menjadi seperti mencurah air di daun keladi.