Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Tuesday, December 27, 2011

Keadilan Akan Muncul Juga Suatu Hari Nanti

1. Ramai yang bertanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam minggu lalu ke atas saya. Sungguhpun saya mempunyai pandangan dan pendapat yang mungkin kontroversi, namun peguam saya menasihatkan agar tidak menyatakan apa-apa bagi mengelakkan subjudis. Ini kerana proses perundangan dan mencari keadilan belum berakhir.

2. Saya percaya sekiranya saya tidak mendapat keadilan di dunia ini pun, akan ada keadilan di hadapan yang Maha Berkuasa nanti.

3. Saya tahu ramai yang tidak menyukai saya telah mencanangkan bahawa saya mengambil rasuah. Hakikatnya saya dituduh di bawah Seksyen 165, Penal Code yang mendakwa saya mendapat suatu barangan dengan balasan yang tidak mencukupi daripada seseorang yang mempunyai hubungan rasmi dengan saya.

4. Sungguhpun saya tidak dapat mengulas perbicaraan ini, namun saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan bloggers yang mengulas dan memberi liputan yang adil kepada perbicaraan ini.

4. Berikut antara sebahagian tulisan rakan-rakan bloggers yang mungkin memberi gambaran mengenai perbicaraan saya untuk tatapan saudara/saudari:

- Apa Sebenar Kes Dr Khir
- Adakah Anda Bergurau Tuan Hakim?
- Jumaat Ini Penentu Nasib Khir Toyo
- Hormati Keputusan Hakim, Tapi Allah Akan Tunjukkan Keadilan Sebenarnya Kelak.
- KES KHIR TOYO : ESOK KEPUTUSAN !

Wednesday, December 14, 2011

Bila Orang Islam Bergaduh Kerana DAP

1. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini terdapat satu senario yang aneh kepada orang Islam di negara ini. Sejak dahulu perpecahan, perdebatan, pertelingkahan, perbahasan mengenai Islam berada dalam ruang lingkup orang Islam dan dicetuskan oleh orang Islam sendiri.

2. Misalnya dahulu kita ada perbahasan dan perdebatan yang sangat menarik mengenai hal-hal agama yang dicetuskan oleh Kaum Muda dan Kaum Tua. Kedua-dua fahaman ideologi ini merupakan kumpulan orang Islam.

3. Kemudiannya berlaku perpecahan dan perbalahan serius di kalangan orang Islam apabila Tuan Haji Ahmad Fuad kalah dalam pemilihan Presiden UMNO keluar parti dan menubuhkan Pas. Sejak itu ada sahaja perbahasan, perdebatan dan perpecahan serius sepanjang 50 tahun permusuhan Pas - UMNO. Suatu ketika timbul isu mengkafirkan ahli UMNO sehingga terjadinya solat dua imam, penceraian kerana berbeza parti dan ada kenduri UMNO yang diboikot kononnya sembelihan orang UMNO tidak sah dan halal.

4. Namun semua ini kerana pertentangan pendapat dua pihak beragama Islam dicetuskan oleh orang Islam sendiri. Anehnya hari ini, orang Islam masih lagi bertelagah dan berbeza pandangan tetapi kerana sebuah parti yang dipimpin oleh orang bukan Islam dan majoriti ahlinya adalah bukan Islam.

5. Apabila ada pemimpin bukan Islam buat kenyataan akhbar bantah tulisan jawi yang ditulis di sebahagian papan tanda di Kuala Lumpur, maka yang bertekak dan bergaduh sakan ialah orang Islam UMNO dan orang Islam dalam Pas.

6. Apabila timbul isu penggunaan pembesar suara masjid oleh beberapa kerat bukan Islam yang saya percaya ada kena mengena dengan DAP, maka yang bertegang leher berhujah sehingga ke tahap saling mencerca adalah orang Islam dalam Pas dan UMNO.

7. Apabila ada pemimpin DAP yang bukan Islam dipanggil menyampaikan bantuan dan berucap dalam Masjid dan surau, maka yang bertegang leher mempertahankan DAP ialah Pas dan yang membantah pula adalah UMNO. Kedua-dua ini adalah kumpulan orang Islam.



8. Apabila pemimpin bukan Islam dalam DAP mengadakan majlis berbuka puasa untuk orang Islam untuk tujuan politik, maka yang sibuk "bertegang urat leher" ialah orang Islam UMNO dan Pas.



9. Terbaru khabarnya ada juga pemimpin bukan Islam DAP menyampaikan daging korban. Maka bertempik dan bertengkarlah orang Islam dalam Pas dan UMNO mempertahankan hujah masing-masing - membela dan menentang DAP. Pemimpin DAP buat bodoh sahaja.

10. Nampaknya kerja DAP hanya mencuit sedikit demi sedikit sensitiviti orang Islam. Yang melatah sakan dan yang bergaduh siang malam orang Islam dalam Pas dan UMNO. Yang untung siapa?

Tuesday, December 6, 2011

Mencari Makna Kemunculan JUSA Dan TURUS Korporat

1. Rentetan tulisan saya sebelum ini mengenai kemasukan korporat sebagai pegawai JUSA, ramai yang membantah dan ramai juga yang menyokong. Yang menyokong cadangan kemasukan ini terdiri kebanyakan mereka yang kecewa dengan perkhidmatan kerajaan dan juga mereka yang melihat kumpulan PTD sebagai kumpulan elit yang menguasai pentadbiran utama negara. Jika membaca kenyataan akhbar mengenai cadangan tersebut nyata tumpuan kerajaan bukanlah untuk menaikkan pangkat pegawai kerajaan di luar PTD tetapi untuk membawa masuk tokoh-tokoh korporat sebagai pegawai JUSA Utama dan Turus. Ini bermakna sesiapa sahaja boleh masuk dari luar dan melompat hirarki pentadbiran kerajaan terus menjadi Ketua Setiuasaha Negara dan Ketua Setiausaha Kementerian.


PTD Sebagai Kumpulan Elit?

2. Saya tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap PTD. Bagi saya, jika mereka cuai, malas, tidak berdisiplin maka tindakan disiplin dan hukuman perlu dikenakan. Namun janganlah diborong semua PTD tidak bertanggungjawab, lemah dan tidak boleh diharap. Ramai yang telah memberi sumbangan besar kepada perjalanan jentera kerajaan sejak dahulu sehingga sekarang.

3. Untuk menjadi PTD mereka harus melalui beberapa ujian, peperiksaan, tapisan dan saringan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Justeru jika sesiapa yang berminat untuk memegang jawatan yang dikuasai oleh PTD mereka haruslah melepasi ujian-ujian dan saringan tersebut.

4. Berdasarkan komen-komen dalam ulasan pertama isu ini, saya faham sebahagian pegawai kerajaan di luar kumpulan PTD kecewa melihat kenaikan pangkat dan gaji mereka tersekat tanpa dapat mencecah kumpulan JUSA. Bagi saya jika kita mahu memasuki sesuatu bidang maka kita perlu melepasi kehendak dan keperluan bidang tersebut. Jika kita mahu memegang apa-apa jawatan di mana-mana syarikat, agensi mahu pun pasukan keselamatan, maka kita harus melepasi atau memenuhi kehendak-kehendak organisasi terbabit. Demikian juga dengan perkhidmatan dalam PTD.

5. Saya bersetuju jika pegawai kanan kerajaan yang telah lama berkhidmat diberi peluang melalui saringan PTD dan dimasukkan ke dalam kumpulan JUSA jika layak. Yang saya tidak setuju ialah membawa kumpulan korporat yang tidak memahami pentadbiran kerajaan berada di tingkat atas dalam hirarki kerajaan. Sebenarnya kepakaran kumpulan boleh digunakan oleh kerajaan pada bila-bila masa melalui lantikan sebagai penasihat kepada Menteri atau Perdana Menteri.

Penggubal Polisi dan Pelaksana

6. Kakitangan kerajaan termasuk JUSA dan Turus adalah pelaksana polisi kerajaan. Terdapat tiga sebab mengapa polisi kerajaan gagal dilaksanakan dengan baik. Pertamanya, polisi itu sendiri tidak boleh dilaksanakan secara praktikal maka tidak ada apa yang boleh dibuat oleh kakitangan kerajaan termasuk kumpulan JUSA dari korporat pun. Dengan kata lain, polisi yang dibuat oleh kerajaan harus praktikal dan boleh dilaksanakan.

7. Keduanya, polisi tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat terlalu banyak karenah birokrasi dalam kerajaan. Misalnya kelulusan sesuatu peruntukan atau bantuan perlu melalui pelbagai peringkat jabatan sehingga membabitkan tiga atau empat tandatagan. dalam keadaan ini, kemasukan tokoh korporat dari luar sebagai Ketua Setiausaha pun tidak akan mampu mengatasi isu ini jika prosedur sedia ada tidak berubah.

8. Ketiga, sikap sambil lewa pegawai kerajaan. Dalam setandan pisang pasti ada yang tidak baik. Maka proses motivasi, kaunseling, amaran, hukuman bersifat simbolik dan tindakan tatatertib perlu dibuat. Jangan kerana sekumpulan pegawai yang bermasalah maka seluruh kelompok PTD dipersalahkan. Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

9. Jika dilihat daripada ketiga-tiga sebab ini, kemasukan orang korporat ke dalam kerajaan tidak memberi apa-apa kesan jika keadaan tersebut tidak berubah terutamanya dari segi penggubalan polisi yang tidak mapan. Malah seorang tokoh korporat yang hebat pun tidak akan mampu membuat sebarang perubahan jika beliau terikat kepada birokrasi yang sama.

Siapa Pembuat Polisi?

10. Ada yang mengatakan bahawa kemasukan kumpulan korporat sebagai JUSA akan memantapkan lagi polisi negara. Apakah ini bermakna Perdana Menteri telah hilang kepercayaan kepada kemampuan para Menterinya untuk memimpin Kementeriannya membentuk polisi-polisi yang baik untuk negara dan diterima rakyat.

11. Soalnya siapa yang sepatutnya membuat polisi, Menteri atau JUSA? Jika JUSA korporat akan diberi tanggungjawab membuat polisi, Menteri jadi apa? Tukang angguk?

12. Sesuatu polisi kerajaan harus dirangka dan difahami oleh Menteri sebelum diminta pegawai kerajaan melaksanakannya. Adalah tugas menteri untuk berfikir, mencari pandangan pihak luar sama ada di kalangan ahli korporat, ahli akademik mahupun pakar-pakar dalam bidang tertentu sebelum Kementeriannya menggubal polisi untuk di bawa ke kabinet bagi kelulusan.

13. Apakah daripada 140 orang ahli Parlimen Barisan Nasional ini tidak ada yang pintar, cerdik dan mampu berfikir, seperti ahli tokoh-tokoh yang hendak dibawa masuk sebagai JUSA, untuk dilantik sebagai Menteri?

Masalah Individu Korporat

14. Kebanyakan mereka di dalam bidang korporat merupakan kumpulan manusia yang berorientasikan materialistik dan keuntungan organisasi. Apakah mereka mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran kerajaan yang lebih berorientasikan keuntungan kepada rakyat dan masyarakat melebihi keuntungan kepada kerajaan?

15. Jangan nanti kemasukan JUSA luar ini menjadikan mereka kumpulan yang lebih berkuasa daripada Menteri. Ini akan menyebabkan banyak polisi kerajaan tidak lagi mengambil kira kepentingan rakyat dan survival Barisan Nasional. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (Government Link Company - GLC). Adakah mereka ini menambahkan kasih sayang rakyat kepada kerajaan dan Barisan Nasional atau sebaliknya?

16. Jangan nanti kerajaan sudah menjadi organisasi korporat yang akhirnya dibenci rakyat kerana polisi-polisi yang digubal oleh kumpulan ini.

Tuesday, November 29, 2011

JUSA Luar -Sistem Kerajaan Akan Porak-Peranda?

1. Semalam Utusan melaporkan bahawa kerajaan bercadang untuk membenarkan mereka yang di luar skim perkhidmatan awam memohon menjawat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA). Menurut laporan tersebut mereka yang berpengalaman di sektor swasta boleh memohon menyertai JUSA C dan ke atas.

2. Ini bermakna sesiapa sahaja boleh dilantik menjawat jawatan dalam kategori JUSA C sehingga ke Ketua Setiausaha Negara tanpa perlu melalui Sistem Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).

3. Kita dimaklumkan bahawa cadangan ini sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam sektor awam. Kononnya, melalui pengambilan kepakaran tenaga di luar kerajaan maka kerajan akan menjadi lebih baik, cekap dan efektif.

4. Secara peribadi saya tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana ia bukan sahaja merendah-rendahkan kualiti PTD kita tetapi juga merosakkan sistem pemilihan dan kenaikan pangkat PTD sedia ada tanpa sebab yang munasabah.

5. Tidak dinafikan terdapat kelemahan dan kepincangan di kalangan segelintir pegawai kanan kerajaan. Namun proses pembetulan, tindakan disiplin dan tunjuk ajar harus dibuat dalam konteks sistem yang sedia ada.

6. Alasan untuk mendapat kepakaran luar untuk membantu kerajaan adalah sangat lemah kerana bagi sesebuah kementerian yang mempunyai pelbagai isu dan masalah yang tidak mungkin dapat diselesaikan dengan mengambil mereka yang pakar dalam sesuatu bidang.

7. Tugas para pegawai kanan kerajaan ialah melaksanakan polisi, memberi pandangan dan membantu merangka polisi. Untuk merangka polisi ini adalah tugas mereka sebagai pentadbir untuk mengumpul sebanyak maklumat dan pandangan dari pakar-pakar dalam bidang yang diperlukan untuk sesuatu polisi.

8. Namun untuk melaksana polisi kerajaan kita memerlukan para pegawai kerajaan yang cekap, mahir dan tahu organisasi dalam kerajaan, rangkaian arahan dalam kerajaan dan juga peraturan serta undang-undang yang membabitkan bidang kuasa mereka. Ini tidak mungkin dapat difahami oleh kumpulan luar yang dibawa masuk secara "payung terjun" melalui sistem yang dikatakan akan diperkenalkan dalam sedikit masa lagi.

9. Sebab itu seseorang PTD mengambil masa lama untuk sampai ke jawatan pegawai kanan kerana mereka melalui pelbagai pengalaman kerja di pelbagai peringkat kementerian, jabatan dan organisasi dalam kerajaan bagi membolehkan mereka menimba sebanyak mungkin pengalaman dan pengetahuan. Pengalaman dan pengetahuan inilah kemudiannya akan membantu mereka melicinkan jentera kerajaan dan juga mengawal tata laku mereka sebagai pegawai kanan kerajaan apabila memasuki kumpulan JUSA.

10. Adalah sangat berbahaya kepada pentadbiran kerajaan dan juga individu yang menjawat jawatan tinggi sekiranya mereka tidak memahami dengan cekap segala peraturan, undang-undang dan keadaan dalam organisasi kerajaan.

11. Jika selama ini Menteri dan Menteri Besar yang baru boleh mendapat tunjuk ajar dan panduan daripada pegawai kanan kerajaan mengenai perjalanan kerajaan, saya khuatir pada masa akan datang kita akan mendapati terdapat keadaan Menteri atau Menteri Besar baru dinasihati oleh mereka yang dibawa masuk dari luar sebagai Ketua Setiausaha atau Setiausaha Kerajaan Negeri. Kedua-dua mereka tidak menguasai peraturan kerajaan dan mungkin boleh menyebabkan berlakunya pelanggaran undang-undang dan juga kecelaruan pentadbiran.

12. Selebihnya, laluan jalan belakang ke dalam jawatan-jawatan kanan sistem perkhidmatan awam ini akan menyebabkan para pegawai dalam sistem yang sedia ada berasa kecewa, terpinggir dan tidak lagi mempunyai motivasi meningkatkan kualiti perkhidmatan. Ini boleh menjadi masalah besar kepada parti pemerintah.

13. Kerajaan juga akan terdedah kepada tuduhan kronisme, salah guna kuasa dan pilih kasih dalam pemilihan pegawai-pegawai kanan kerajaan. Jika selama ini Perkhidmatan Awam dianggap berkhidmat kepada kerajaan sedia ada, pada masa akan datang pegawai kanan kerajaan akan dianggap alat parti politik semata-mata.

14. Ini akan meletakkan kedudukan pegawai kanan kerajaan dalam keadaan tidak menentu. Mereka pastinya akan disingkirkan jika berlaku perubahan dalam parti pemerintah. Justeru adalah dikhuatirkan kumpulan pegawai kanan ini tidak lagi boleh menjalankan tugas dengan profesional kerana untung nasib mereka terletak sepenuhnya kepada tuan politik.

15. Mereka yang mahu memperkenalkan dasar pengambilan kumpulan luar memasuki JUSA ini harus mengenal pasti dulu apakah masalah sebenar yang mereka mahu atasi. Saya percaya jika mereka telah mengenal pasti masalah sebenar yang mereka mahu atasi, maka soal memperbaiki perkhidmatan kerajaan boleh dijalankan secara dalaman sahaja.

16. Pegawai kerajaan bergantung kepada Peraturan AM Kakitangan kerajaan dan polisi yang ditetapkan oleh kerajaan. Jika terdapat kelemahan dalam pentadbiran kerajaan maka soal Peraturan Am dan Polisi kerajaan yang harus disemak terlebih dahulu.

17. Jika ada kelemahan dan keperluan pengisian ilmu para PTD maka adalah tugas kerajaan untuk meningkatkan kualiti PTD. Ia boleh dibuat melalui pengambilan yang lebih cermat, latihan dari semasa ke semasa dan memberi ruang lebih luas kepada para pegawai kanan kerajaan melanjutkan pelajaran ke luar negara.

18. Ada perubahan yang membawa kekuatan dan kejayaan; namun ada juga perubahan yang mungkin boleh membawa kelemahan dan kehancuran. Dalam konteks inilah saya berharap jangan lain yang bengkak, lain yang bernanah dan lain pula tempat diubatinya. Akhirnya nanti kita jadi seperti tikus membaiki labu. Saya khuatir pengenalan sistem ini bukannya akan memperbaiki sistem pentadbiran kerajaan tetapi lebih memporak-perandakan pentadbiran sedia ada.

Wednesday, November 2, 2011

Selamat Hari Raya Aidil Adha

1. Hari ini saya akan berangkat ke Mekah bagi mengerjakan ibadah haji pada tahun ini. Justeru saya pohon maaf jika ada salah dan silap terhadap saudara/i pembaca blog ini.

2. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari Raya Aidil Adha dan selamat menjalani ibadah qurban kepada mereka yang telah merancang melakukannya. Semoga ibadah kita semua diterima Allah s.w.t.

3. Insyallah saya akan kemaskini blog ini selepas selesai mengerjakan ibadah haji.

Wassalam.

Tuesday, October 25, 2011

Sandiwara Politik UIA: BN Terkena Getah Nangka

1. Sama ada suka atau tidak, Profesor Aziz Bari dianggap tokoh akademik dalam bidang perundangan yang mempunyai kekuatan dan aura intelektual tersendiri.

2. Kita boleh bersetuju dan juga boleh tidak bersetuju dengan pandangannya. Bidang undang-undang hampir merupakan sesuatu yang begitu subjektif. Jarang sekali kita mempunyai peguam dan intelektual undang-undang yang sependapat dalam sesuatu hal undang-undang, mahu pun tafsiran perlembagaan.

3. Dalam bidang undang-undang para peguam sentiasa sahaja mempunyai hujah yang logik berlandaskan fakta perundangan dan hujahan terdahulu walau di pihak mana mereka berada. Dalam konteks ini juga, Prof Aziz Bari telah pun memilih pihak yang beliau mahu sokong. Jadi apa sahaja pandangan, kenyataan dan hujahan perundangan beliau merupakan hujahan seorang ahli akademik undang-undang yang telah membuat keputusan untuk berpihak kepada kumpulan tertentu.

4. Justeru walaupun sejak dahulu Prof Aziz Bari cenderung ke arah pihak yang satu lagi beliau pernah dijemput menyampaikan pandangan dan buah fikiran dalam majlis membabitkan kerajaan negeri Selangor semasa Barisan Nasional dahulu. Tidak salah mendengar pandangan yang berbeza.

Kecelaruan Pentadbiran UIA

5. Namun minggu lalu Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengumumkan penggantungan Prof Aziz Bari tujuh hari bagi membolehkan satu siasatan dalaman dilakukan kerana beliau dituduh mengkritik kenyataan DYMM Tuanku Sultan Selangor secara tidak wajar.

6. Penggantungan ini tiada kena mengena dengan Barisan Nasional mahu pun UMNO. Ini kerana telah bertahun lamanya beliau mengkritik kerajaan dan kelihatan menyokong kumpulan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bukan sehari dua Prof Aziz Bari "membelasah" kerajaan namun tiada sebarang tindakan disiplin dikenakan kepada beliau.

7. Penggantungan ke atas beliau dilakukan oleh UIA yang mempunyai kuasa autonomi tersendiri. Malangnya, Reaktor UIA tidak memberi penerangan yang jelas kepada masyarakat mengenai peruntukan-peruntukan yang digunakan bagi menggantung Prof Aziz Bari.

8. Selebihnya mengapa UIA mahu menggantung kerja dan menghalang beliau masuk ke kawasan universiti sedangkan pertuduhan ke atas beliau tidak pun membabitkan kejadian jenayah dalam kampus? Apakah tidak boleh diadakan siasatan dalaman tanpa penggantungan tugas dan juga pengharaman masuk ke kampus?

9. Sudah tentu jika dibuat siasatan dalaman secara aman ia tidak memberi kesan politik besar kepada Pakatan. Maka sesuatu harus dibuat secara kontroversi bagi menaikkan imej Prof Aziz Bari sendiri dan juga Pakatan DAP, PAS dan PKR.

10. Kemudiannya dengan tidak semena-mena pergantungan tersebut ditarik balik oleh UIA. Seolah-olah ada perancangan untuk menangguk di air keruh oleh kumpulan politik tertentu dalam menimbulkan keributan terhadap rancangan Perdana Menteri hadir ke Universiti tersebut.

11. Dengan penarikan balik penggantungan ini tanpa penjelasan yang munasabah ia memberi imej yang hebat kepada kumpulan yang menentang penggantungan Prof. Aziz Bari ini.

12. Umum mengetahui ramai di UIA yang bersimpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim; justeru Kementerian terbabit perlu melihat sama ada memang wujud sandiwara yang bertujuan menjejaskan imej kerajaan atau ia merupakan satu insiden biasa tanpa matlamat politik.

13. Sebagai sebuah universiti yang mempunyai kuasa autonomi, UIA perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas isu ini. Tindakan yang berubah-ubah mencerminkan sikap tidak profesional pentadbiran UIA dan menjejaskan imej Kerajaan Barisan Nasional kepada kakitangan akademik seluruh negara.

14. Ahli akademik juga harus berlaku adil dengan mengkritik kerajaan jika salah dan mengakui kejayaan kerajaan atas mana yang dilaksanakan dengan baik. Adalah tidak adil kepada rakyat dan pemerintah jika ahli akademik bertindak dan bersikap seperti ahli politik yang mempertahankan ideologi-ideologi mereka semata sehingga pemerintah hanya tampak buruk semata-mata.

15. Secara keseluruhannya insiden Prof. Aziz Bari ini hanya menguntungkan tokoh tersebut dan Pakatan DAP, Pas dan PKR.

16. Malangnya ia memberi kesan buruk kepada BN kerana tindakan-tindakan pentadbiran UIA yang tidak konsisten menunjukkan seolah-olah ada campur tangan politik kerajaan dalam isu ini. Dengan kata lain orang lain maka nangka, BN yang terkena getahnya.

Tuesday, October 11, 2011

Bajet 2012: Mekanisme Pelaksanaan Perlu Diperkemaskan

1. Ada dua perkara yang menarik perhatian saya dalam pembentangan Bajet 2012 oleh YAB Perdana Menteri minggu lalu.

2. Pertamanya pemansuhan semua yuran sekolah rendah dan menengah. Dan keduanya pemberian bantuan RM 500 kepada keluarga berpendapatan RM 3, 000 dan ke bawah. Kedua-dua perkara ini sangat dekat dengan hati rakyat berpendapatan rendah namun ia memerlukan pemantauan dan mekanisme pelaksana yang cekap.

3. Penghapusan yuran sekolah pernah diumumkan sebelum ini dalam Bajet beberapa tahun lalu. Namun ia tidak terhapus sepenuhnya kerana ada yuran yang masih dikutip bagi menampung tabung sekolah untuk perjalanan aktiviti dan juga pentadbiran.

4. Dengan penghapusan sepenuhnya ini, kerajaan perlu memperuntukan dana kepada sekolah sebagai ganti penghapusan yuran ini. Selain itu, pentadbiran sekolah harus diperingatkan agar tidak mewujudkan sebarang bentuk kutipan yuran tambahan dan sebagainya sehingga memberi gambaran seolah-olah pengumuman kerajaan mengenai sekolah kebangsaan yang percuma sepenuhnya hanya satu sandiwara.

Mekanisme Bantuan RM 500

5. Pelaksanaan cadangan pemberian RM 500 kepada setiap isi rumah yang berpendapatan di bawah RM 3, 000 merupakan satu cabaran yang sangat besar kepada jentera kerajaan. Ini kerana kerajaan perlu mengenal pasti keluarga yang berpendapatan di bawah RM 3, 000 bagi mengelakkan berlakunya penipuan dan juga penganiayaan.

6. Kebergantungan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak akan banyak membantu kerana kebanyakan mereka yang berpendapatan di bawah RM 3, 000 di luar bandar bukan kumpulan yang "makan gaji".

7. Saranan pendaftaran melalui LHDN bukan sahaja akan menambah beban kerja agensi tersebut malah akan menyusahkan golongan sasaran di luar bandar. Adalah kurang wajar untuk meminta ketua isi rumah yang berada di kampung-kampung e LHDN bagi mengisi borang pendaftaran dan pengisytiharan hanya semata-mata untuk satu bayaran sekali sahaja berjumlah RM500.00.

8. Sungguhpun jumlah ini agak besar namun janganlah sampai pelaksanaannya menyebabkan RM 500 tersebut tinggal RM 300 kerana mereka yang layak terpaksa menghabiskan wang ke bandar untuk mendaftar dengan LHDN.

7. Justeru penggunaan jentera di peringkat akar umbi sangat penting bagi membantu kumpulan sasar ini. Oleh kerana Bajet 2012 dianggap tidak relevan oleh pembangkang, maka kerajaan perlu bekerjasama dengan Barisan Nasional bagi mengenal pasti dan menyediakan pangkalan data kumpulan sasar ini.

8. Jentera politik Barisan Nasional di peringkat bawahan boleh digunakan untuk menghantar nama berserta bukti perkahwinan dan juga pengesahan pendapatan oleh Penghulu atau Ketua Kampung bagi setiap nama yang dihantar. Senarai ini kemudiannya perlu disemak oleh pegawai kerajaan bagi memastikan ada ketelusan dan kejujuran dalam pelaksanaannya.

9. Cadangan penggunaan Pos Malaysia sebagai agen pembayaran sangat tepat memandangkan ia mempunyai rangkaian yang meluas dan cekap termasuk di kawasan luar bandar.

10. Lebih penting pemberian ini perlu dilakukan setelah senarai dimuktamadkan agar ia tidak menimbulkan kekeliruan apabila ada pihak yang telah dapat dan ada pula yang belum dapat.

11. Kerajaan juga perlu melaksanakan pemberian ini sebelum pilihan raya umum ke-13 atau berhadapan dengan tuduhan pembangkang bahawa ia hanya sandiwara pilihan raya.

12. Apa yang rakyat mahukan adalah kejujuran kerajaan dan kesungguhan YAB Datuk Seri Najib diterjemahkan. Biar nanti rakyat akan berkata indah khabar, indah lagi rupanya bukannya "indah Khabar dari Rupa".

Thursday, October 6, 2011

Bajet Pakatan: Cukup-Cukuplah Berbohong

1. Pakatan Rakyat membentangkan Bajet 2012 untuk Persekutuan berjumlah RM 220 bilion dengan pelbagai janji yang memang sangat menarik. Tidak ada sesiapa yang waras mahu menolak terus bajet Pakatan ini kerana ia menjanjikan sesuatu yang selama ini hanya menjadi impian sebahagian kita.

2. Antara yang dimasukkan ke dalam Bajet 2012 Pakatan ialah:

a. Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas.
b. bayaran suri rumah sebanyak RM1,000
c. Elaun penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu-ibu yang layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita di dalam tenaga kerja;
d. RM500 sebulan bagi setiap orang guru


3. Sungguhpun tawaran bajet ini tampak sangat menarik, namun ia hanya merupakan tawaran oleh mereka yang tidak berkuasa. Justeru ia boleh menawarkan apa sahaja dan tidak perlu bertanggung jawab terhadap tawaran yang dibuat.

4. Memang benar akan ada yang menyokong dan berkata kita berilah mereka kuasa tengok sama ada boleh laksanakan atau tidak.

5. Sebenarnya kita tidak perlu pun memberi peluang mereka berkuasa untuk melihat sama ada mereka mampu melaksanakan atau tidak bajet tersebut.

6. Janji-janji yang ditawarkan ini hampir serupa dengan apa yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat di Selangor dalam pilihan raya 2008 lalu dan masih belum ditunaikan. Antaranya ialah,

a. Memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan pra-sekolah
b. Memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri
c. menurunkan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20% dan cukai premis perniagaan sebanyak 10%
d. Perkhidmatan kesihatan percuma kepada warga emas di Selangor
e. Janji elaun RM 650 sebulan kepada ibu Tunggal


7. Yang ditunaikan setakat ini hanyalah air percuma 20 meter padu pertama. Itupun setelah didesak oleh Barisan Nasional Selangor agar kerajaan negeri menunaikan janji tersebut. Sehingga hari ini, janji tinggal janji sahaja walaupun lombong pasir kian berleluasa dimonopoli oleh satu syarikat sahaja.

8. Manakala bantuan kematian yang dulunya diberikan sebanyak RM 2, 000 bagi menguruskan jenazah oleh kerajaan Selangor semasa Barisan Nasional telah diubah menjadi caca-merba. Sungguhpun dinaikkan kepada RM 2, 5000 tetapi ia perlu mengisi borang lebih awal. Khabarnya, jika meninggal tetapi nama tiada dalam senarai yang mengisi borang maka tiada bantuan. Bantuan pula diberi dalam dua peringkat iaitu RM 1, 500 ketika menginggal dan RM 1, 000 selepas enam bulan.

9. Sehingga kini juga janji paling mudah iaitu untuk menurunkan cukai pintu belum dilaksanakan. Malahan khabarnya kerajaan negeri telah menjalankan perancangan bijak untuk menaikkan cukai pintu melalui kaedah menaikkan nilai hartanah di seluruh negeri Selangor.

10. Jika dilihat secara teliti, tidak banyak perbezaan antara janji Pakatan di Selangor pada 2008 dengan Bajet Pakatan 2012 ini. Justeru sukar untuk orang ramai, kecuali yang taksub atau membenci BN, akan percaya dengan bajet Pakatan ini. Jika di Selangor pun banyak dimungkiri selepas memegang kuasa, apatah lagi jika menang Persekutuan.

11. Hakikatnya bukan soal memberi peluang kepada Pakatan, tapi rekod jelas menunjukkan Pakatan selalu memberi janji yang tidak dapat ditunaikan. Jika mahu mencuba atau memberi peluang pun biarlah dengan perkiraan yang betul, bukan sekadar menilai apa yang dijanjikan semata. Berjanji memang mudah tapi menunaikankannya selalunya tidak seindah janji.

12. Sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya membuktikan dulu keupayaan menggembleng ekonomi dan pentadbiran Selangor sebelum bercakap soal Persekutuan.

13. Selangor merupakan antara negeri terkaya di Malaysia dan hanya mempunyai penduduk seramai 5 juta berbanding Malaysia mempunyai 28 juta rakyat. Malangnya, hampir setiap tahun selepas memegang jawatan kerajaan negari akan beberapa kali memohon bajet tambahan yang mencerminkan perancangan kurang cekap.

14. Jika untuk membuat bajet bagi 5 juta rakyat Selangor dan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri pun kelihatan "terhoyong-hayang", apatah lagi untuk melaksanakan Bajet Persekutuan yang membabitkan 28 juta rakyat, 222 kawasan Parlimen dan 14 buah negeri.

15. Baru-baru ini, bagi menunjukkan kecekapan, kerajaan Selangor mengumumkan peningkatan simpanan tunai. Kalau wang tidak dibelanjakan untuk pembangunan dan perkhidmatan memanglah berbilion kerajaan boleh simpan. Namun apa terjadi kepada pengurusan prasarana di bawah negeri seperti pengurusan sampah dan jalan-jalan PBT? Sangat menyedihkan. Hampir tiada lagi jalan PBT yang tidak berlubang. Sampah di banyak kawasan juga kelihatan berlonggokkan tanpa tindakan.

16. Tender-tender kerja PBT yang sebelum ini dikatakan terbuka dan telus juga hanya sekadar omongan kosong dan retorik ucapan sahaja.

17. Hakikatnya, sebelum Anwar menyalahkan pelbagai pihak di peringkat Persekutuan, Allah telah memberi beliau lima negeri untuk dibangunkan. Sehingga kini tidak nampak pun aura dan kehebatan pemimpin numero uno Pakatan Rakyat ini membangunkan kelima-lima negari ini.

Monday, September 19, 2011

Kesepakatan Tawan Selangor

1. Pohon maaf tidak berkesempatan menjawab banyak persoalan saudara/i mengenai isu semasa kerana kesuntukan masa. Bagaimanapun berhubung dengan konvensyen Barisan Nasional Selangor sabtu lalu saya diminta memberi reaksi oleh beberapa wartawan. Berikut ialah keratan akhbar daripada Berita Harian seandainya saudara/i terlepas membacanya.

Kesepakatan tawan Selangor
Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my
2011/09/19
Pemimpin parti komponen BN negeri digesa senada menjelang PRU13

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk menawan kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 jika mampu memperoleh sokongan peringkat akar umbi sekurang-kurangnya 70 peratus daripada pengundi Melayu, manakala 60 peratus India dan 30 peratus Cina. Bagaimanapun, kajian dan pemerhatian terhadap senario politik semasa di negeri diterajui Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada pakatan pembangkang itu mendapati hanya 55 peratus pengundi Melayu menyokong perjuangan BN, termasuk mereka yang kembali menyokong, manakala India 50 peratus dan Cina antara 10 hingga 15 peratus.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, berkata peratusan sokongan pengundi mampu ditingkatkan jika semua pemimpin parti komponen BN Selangor bergerak senada dan serius dalam menyertai gelombang kebangkitan yang mempunyai asas kepada titik persamaan, aktiviti dan isu yang dibangkitkan secara bersama (common ground, common activity and common issue).

Katanya, asas itu yang memberikan kejayaan kepada pembangkang untuk menawan beberapa negeri pada PRU 2008, malah ia juga memberi kejayaan kepada BN Terengganu untuk merampas kembali negeri daripada pucuk pimpinan PAS pada PRU 2004.

“Malang sekali di Selangor asas itu tiada kerana tidak wujud kerjasama dan perpaduan di kalangan pemimpin sama ada antara pemimpin UMNO atau antara pemimpin UMNO dengan rakan parti komponen BN termasuk MCA, MIC dan GERAKAN.

“Selagi tidak wujud asas ‘common ground, common activity and common issue’ selagi itu harapan untuk BN merampas kembali Selangor daripada pembangkang amat tipis dan ini perlu diakui semua pihak,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Kelmarin dalam ucaptama pada Konvensyen BN Selangor, Datuk Seri Najib Razak menegur sesetengah pemimpin dalam parti yang menipu diri sendiri dengan menjalankan program ‘syok sendiri’ dan gagal memberi laporan tepat serta tidak insaf dengan pengalaman kekalahan di Selangor di tangan parti lawan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, walaupun tewas pada PRU 2008, golongan ini masih tidak mengambil iktibar dan asyik memikirkan kedudukan jawatan berbanding memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang.

Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang berkata, antara punca utama kekalahan UMNO di Selangor ialah apabila pemimpin terlalu yakin dan enggan mengakui wujudnya masalah, termasuk persengketaan sesama pemimpin sama ada pada peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri.

Walaupun menyedari kenyataan ini akan mendatangkan kemarahan pemimpin BN, katanya, beliau perlu bersikap jujur dan berharap pemimpin lain turut berbuat demikian demi memastikan BN kembali berkuasa di Selangor dan beberapa negeri lain.

Malah, beliau menyifatkan keadaan pengaruh BN di Selangor sebagai kritikal kerana teguran Perdana Menteri itu bukan kali pertama, sebaliknya teguran berulang yang tidak diberi perhatian oleh pemimpin di semua peringkat.

“Sebagai bekas pemimpin yang berpengalaman, saya berharap mana-mana pemimpin yang diberi peluang memimpin rakyat sama-sama memikirkan apakah ‘common ground, common activity and common issue’ yang boleh dibangkitkan di Selangor, bukannya ikut kepala masing-masing atau syok sendiri.

“Tak guna jika hanya ada kesedaran dan keinsafan, tetapi tiada keinginan dan keupayaan untuk kembali berkuasa di Selangor,” katanya yang yakin dapat meraih sokongan di kawasannya pada PRU akan datang menerusi pendekatan memahami kehendak dan keperluan pengundi selain mendekati belia yang mewakili lebih 60 peratus pengundi.

- Berita Harian, 19 September 2011

Tuesday, September 6, 2011

Pas Pun Tidak Akan Wujud Jika Komunis Memerintah

1. Ceramah Timbalan Presiden Parti Islam se-Malaysia (PAS), Mohamad Sabu (Mat Sabu) minggu lalu di Pulau Pinang menjadi satu isu kontroversi apabila beliau mendakwa Mat Indera yang memimpin pasukan Komunis menyerang balai Polis Bukit kepong sebagai wira.

2. Beliau juga mendakwa polis-polis Melayu yang diserang oleh Mat Indera adalah alat penjajah British. Jauh lebih daripada itu Mat Sabu juga mendakwa Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman yang dianggap pejuang kemerdekaan sebenarnya pegawai British.

3. Mat Sabu juga mendakwa sejarah negara adalah pembohongan. Katanya, sejarah negara kita menganggap Tok Janggut dan Datuk Burhanuddin sebagai pengkhianat. Saya berharap Mat Sabu dapat membuktikan di mana sejarah Malaysia yang menyatakan Datuk Burhanuddin al-Helmy dan Tok Janggut sebagai pengkhianat negara.

4. Sejarah Malaysia mengangkat semua para penentang British, Portugis dan Jepun sebagai Pahlawan Negara. Sejak awal sejarah Tanah Melayu dan Borneo, nama-nama mereka yang menentang penjajah dianggap wira tanah air. Nama-nama seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Maharajalela dan Sipuntum (yang membunuh J.w.w. Birch), Rosli Dhoby, Mat Salleh dan ramai lagi para penentang British terus dianggap pahlawan watan kepada tanah air dan termaktub dalam sejarah negara. Justeru adalah satu pembohongan untuk Mat Sabu mendakwa mereka ini dianggap sebagai pengkhianat negara oleh Sejarah Malaysia.

5. Namun sejarah negara tidak menerima komunis sebagai pejuang kemerdekaan negara kerana asas perjuangan mereka bukan untuk kemerdekaan atau mempertahankan anak watan Tanah Melayu daripada British atau mana-mana penjajah. Parti Komunis Malaya ditubuhkan untuk menyebarkan ideologi komunis, membentuk negara komunis di Tanah Melayu dan menjaga kepentingan kaum Cina. Sebab itu, majoriti orang Melayu di Kepulauan Melayu (Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia) menolak Komunis.

6. Malahan yang menubuhkan Parti Komunis Malaya (PKM) pun bukan anak watan tanah air. Justeru mengatakan PKM pejuang kemerdekaan, sementara Polis Melayu dan pemimpin Melayu seperti Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman alat British, menunjukkan Mat Sabu tidak mengenali sejarah negara dengan jelas.

FALASI PERTAMA MAT SABU:
POLIS MELAYU, DATO ONN, TUNKU ABDUL RAHMAN PEGAWAI PENJAJAH; PKM MENENTANG PENJAJAH


7. PKM juga sebenarnya alat British semasa penjajahan Jepun. PKM menubuhkan Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) kerana permusuhan antara kerajaan Komunis China dan Jepun serta bertujuan melindungi kaum Cina di Tanah Melayu yang paling teruk menjadi mangsa kezaliman Jepun. Selepas British kembali menduduki Tanah Melayu, PKM masih bekerjasama dengan British. Namum British tidak mahu mengiktiraf ideologi komunis dan ini menimbulkan penentangan PKM terhadap British.

8. Sebaliknya, British memilih untuk berunding dengan Sultan-sultan Melayu dan nasionalis Melayu bagi proses memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Apabila Sultan dan pemimpin Melayu menolak Malayan Union, British mengubah beberapa perkara dan membentuk Persekutuan Tanah Melayu 1948. Ini secara jelas menunjukkan British sedang ke arah memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu secara demokrasi dan Raja Berpelembagaan.

9. Justeru secara faktanya sejak 1948 lagi telah wujud kerajaan campuran antara British, wakil Sultan dan wakil orang Melayu bagi pemerintahan Tanah Melayu dan juga proses ke arah kemerdekaan.

10. Polis-polis Melayu yang dilantik dalam pentadbiran ini merupakan anggota yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan penduduk Tanah Melayu dan juga mempertahankan kerajaan campuran yang dalam proses kemerdekaan. Justeru bagaimana mereka dianggap pegawai atau tali barut penjajah jika terdapat wakil orang Melayu dan wakil sultan dalam pentadbiran Persekutuan 1948?

FALASI KEDUA MAT SABU:
MAT INDERA WIRA MELAYU KERANA MENGETUAI KOMUNIS SERANG BALAI POLIS BUKIT KEPONG


11. Mat Sabu akan menggunakan beberapa butiran sejarah yang mendakwa Mat Indera ialah pahlawan Melayu. Memang benar pada suatu ketika Mat Indera ialah wira kerana keberanian dan kehebatan beliau mempertahankan keamanan dan keselamatan orang Melayu pada zaman kezaliman penjajah Jepun. Jika Mat Sabu menganggap Mat Indera wira kerana itu, kita tidak harus mempertikaikannya.

12. Malangnya, beliau menganggap Mat Indera wira kerana menyerang Balai Polis Bukit Kepong yang mengorbankan pegawai polis Melayu, yang kononnya menurut Mat Sabu ialah alat penjajah British.

14. Mat Indera kemungkinan besar bukan pejuang ideologi komunis. Beliau mungkin terpengaruh dengan dakyah pemimpin PKM bahawa mereka berjuang untuk kemerdekaan. Justeru menyerang balai Polis Bukit Kepong pada kaca mata Mat Indera ketika itu ialah tindakan perjuangan kemerdekaan. Namun ia tidak menjadikan Mat Indera pejuang kemerdekaan dan pegawai polis yang terkorban sebagai tali barut penjajah. Faktanya berlainan sekali.

15. Faktanya, Parti Komunis Malaya yang menjadi platfom Mat Indera bukan berteraskan perjuangan kemerdekaan anak watan. PKM hanya berjuang untuk penubuhan negara Komunis. Justeru untuk mengatakan Mat Indera pejuang kemerdekaan kerana menyerang polis-polis Melayu yang kononnya pegawai British satu kesimpulan yang tidak tepat.

16. Kita mesti ingat bahawa ucapan Mat Sabu jelas sekali mengangkat Mat Indera sebagai wira kerana menyerang balai Polis Bukit Kepong yang mengorbankan para pegawai polis Melayu yang berkhidmat untik kerajaan campuran. Justeru apa sahaja fakta sejarah atau buku yang beliau bawa untuk mempertahankan kenyataan beliau bahawa Mat Indera seorang wira Melayu kemudiannya merupakan "afterthought defence"

17. Apakah mereka yang dibunuh oleh Komunis di Bukit Kepong bukan wira negara sedangkan mereka menjaga keselamatan orang ramai, keamanan Tanah Melayu dan keutuhan proses kemerdekaan negara? Mereka bukan menjadi alat mempertahankan pemerintahan British seperti sebelum 1942. Sebaliknya, mereka pejuang-pejuang keamanan dan kemerdekaan negara yang kerana mengambil bahagian dalam kerajaan transisi sebagai satu bentuk latihan pemerintahan sendiri. Ini tidak dapat difahami oleh ahli politik seperti Mat Sabu yang hanya setiap hari cuba mencipta kebencian terhadap UMNO walaupun terpaksa menukar fakta sejarah.

FALASI KETIGA MAT SABU:
KOMUNIS MAHU MEMERDEKAKAN NEGARA


18. Jika para pejuang kemerdekaan menyebelahi komunis seperti mana Mat Sabu, nescaya hari ini Pas pun tidak akan wujud kerana tiada parti politik dalam sistem pemerintahan komunis. Pas juga tidak akan wujud kerana komunis menganggap agama adalah candu masyarakat.

19. Islam juga tidak akan menjadi agama rasmi Persekutuan jika Komunis memerintah. Tiada juga kedudukan orang Melayu dan raja-raja Melayu jika Komunis memerintah negara ini.

20. Justeru sungguhpun Mat Sabu begitu akrab dengan pemimpin seperti Lim Guan Eng, ia bukan bermakna beliau harus menghalalkan perjuangan komunis yang nyata bertentangan dengan ajaran Islam yang Pas perjuangkan.

21. Bukan semua perlu dipolitikkan apatah lagi pengorbanan ramai anggota keselamatan kita dari pelbagai kaum mempertahankan tanah air daripada ideologi komunis. Bukan sedikit rakyat menjadi mangsa kekejaman Komunis semasa sebelum dan selepas hari merdeka. Apakah hanya kerana politik Mat Sabu sanggup menutup semua ini dan mengangkat Komunis sebagai pejuang kemerdekaan?

22. Tiada satu saat pun dalam perjuangan Komunis yang berhasrat memerdekakan rakyat dan Tanah Melayu serta mengembalikan hak pemerintahan Tanah Melayu kepada orang Melayu. Justeru untuk Mat Sabu mengangkat perjuangan komunis sebagai pejuang kemerdekaan sangat melucukan dan bersifat politik membenci UMNO.

23. Sebenarnya tiada kemerdekaan dalam ideologi komunis kerana rakyat tidak mempunyai hak dan kebebasan bercakap, memilih kerajaan dan memerintah. Apakah hidup dalam sistem komunis di anggap satu kemerdekaan? Jika Tanah Melayu diperintah oleh Komunis selepas British, ia ibarat lari mulut buaya masuk mulut harimau kerana kedua-duanya tiada kebebasan yang menjadi asas kemerdekaan.

24. Justeru di mana analisis Mat Sabu bahawa Komunis adalah pejuang kemerdekaan? Jangan jadi manusia yang berperangai habis madu sepah dibuang terhadap pasukan keselamatan kita yang mempertahankan tanah air ini dari keganasan komunis.

Tuesday, August 23, 2011

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin dan Kisah 3 Menteri

1. Alahamdulillah kita berada dalam 10 hari terakhir di bulan Ramadhan. Semoga segala ibadah dan amal kebajikan kita dilimpahi rahmat dan rahim dari Allah s.w.t.

2. Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini seiring dengan semangat Ramadhan dan Syawal, saya ingin memohon ampun dan maaf kepada para sahabat pembaca dan pengikut blog ini tidak kira muslim atau apa agama sekalipun jika ada saya tersalah tulis, terkasar sanggahan atau tidak menyiarkan sesetengah komen yang tidak berapa sesuai mahu pun terlepas siar komen yang tidak berapa molek.

Kesalahan dan kesilapan Lampau

3. Saya juga ingin mengambil kesempatan ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Selangor sekiranya terdapat kelemahan, kesilapan dan kekurangan sepanjang pentadbiran saya selama lapan tahun dari 2000 - 2008.

4. Sebagai manusia biasa yang bekerja selama 18 jam sehari sudah tentu banyak kekurangan dan juga keterlanjuran budi bahasa yang mungkin menyakitkan hati seseorang.

5. Sebagai Menteri Besar juga pasti ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan-keputusan saya buat. Saya tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang dalam membuat keputusan kerana apa sahaja keputusan yang hendak dibuat selalunya terdapat pelbagai pandangan dan hujahan. Namun sebagai Menteri Besar saya perlu membuat keputusan yang difikirkan baik untuk masa depan negeri biar pun tidak disukai sebahagian orang.

Setinggan

6. Saya juga ingin mengambil kesempatan memohon maaf kepada sebahagian yang belum mendapat penempatan semula yang dijanjikan. Saya telah berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan isu ini namun masa tidak begitu mengizinkan kerana berlaku perubahan pentadbiran. Saya hanya berharap pentadbiran sekarang berusaha menyelesaikan isu-isu setinggan yang masih tertunggak ini demi kesejahteraan penduduk Selangor.

7. Saya juga tahu dalam usaha menyelesaikan isu setinggan ini terdapat pihak tidak berpuas hati dan menganggap saya zalim. Percayalah saya melakukan yang terbaik untuk menyeslesaikan isu ini. Saya tidak fikir ada cara lebih baik untuk menyelesaikan isu setinggan yang begitu kronik di Selangor pada tahun 90-an dan alaf baru.

8. Namun kepada mereka yang berkecil hati, marah dan menganggap saya zalim, saya pohon maaf kerana itu jelas kelemahan saya sebagai manusia yang tidak mungkin mampu memenuhi kehendak semua orang.

Kakitangan Kerajaan

9. Saya juga ingin mengambil kesempatan memohon maaf kepada seluruh kakitangan kerajaan negeri jika ada terkasar bahasa, meninggi suara, mahu pun memarahi saudara/ saudari sekalian semasa di bawah pentadbiran saya lalu.

Kisah Tiga Menteri

10. Ketika saya memohon maaf kepada semua orang, saya juga mengambil kesempatan semangat ramadhan tahun ini untuk memaafkan sesiapa sahaja merasakan mereka perlu memohon maaf kepada saya kerana apa sahaja sebab.

11. Namun sebagai manusia biasa saya juga ada kelemahan kerana tidak mungkin dapat saya maafkan seseorang yang membuat fitnah terhadap saya sehingga terjadinya siatuasi sekarang. Percayalah walau berapa kali beliau mengerjakan umrah belum tentu Allah mengampunkan dosa beliau dengan manusia yang lain.

12. Dalam bulan yang mulia ini juga saya ingin mengingatkan tiga orang sahabat yang menjadi Menteri dalam kabinet sekarang agar jangan keterlaluan untuk mengenakan saya.
Saya tidak mendedahkan nama menteri-menteri ini kerana tidak mendapat bukti yang sahih sungguhpun beberapa sumber saya sangat boleh dipercayai.

13. Seorang Menteri dilaporkan berkata kepada dua orang Menteri lain bahawa jika mahu mendapat kembali Selangor maka Khir Toyo perlu didakwa. Sekarang Menteri yang sama berkata jika mahu menang Selangor Khir Toyo perlu dipenjarakan.

14. Apakah mereka ini begitu besar boleh menguasai hakim perbicaraan? Saya tidak mahu percaya mereka berupaya mengarahkan hakim atau hakim akan mendengar arahan kumpulan ini. Namun jika pun ada usaha-usaha untuk mempengaruhi kehakiman, saya masih percaya dengan kebebasan dan integeriti institusi kehakiman. Selebihnya, saya percaya saudara/saudari terutamanya para peguam boleh membuat penelitian terhadap fakta-fakta kes saya di mahkamah dan membuat penilaian sendiri.

15. Cuma saya hendak mengingatkan ketiga-tiga Menteri ini agar menumpukan kerja mereka membantu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan terutama membabitkan potfolio mereka sendiri. Turunlah ke padang dengar pandangan rakyat di bawah terhadap kerajaan bukannya sekadar membaca blog dan media yang telah memilih untuk berpihak di mana.

16. Kenyataan bahawa jika Khir Toyo dipenjarakan maka BN akan dapat kembali Selangor hanya menunjukkan kecetekan pemikiran pemimpin tersebut yang tidak memahami keseluruhan isu rakyat di Selangor. Lebih daripada itu, ia menunjukkan kebodohan pemimpin ini seolah-olah majoriti rakyat Selangor tidak cerdik dan tidak boleh menilai fakta-fakta kes di mahkamah.

17. Apakah pada hemat beliau rakyat Selangor secara majoritinya dungu, bebal dan bengap yang akan mengikut skrip sandiwara beliau? Apakah beliau fikir rakyat mahukan pemimpin UMNO dihukum atau mereka mahu melihat keadilan ditegakkan?

18. Pada hemat saya majoriti rakyat terutamanya di Selangor mahu melihat keadilan undang-undang ditegakkan tidak kira ia di pihak UMNO mahu pun di pihak parti-parti lain.

19. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.

Tuesday, August 9, 2011

Antara Mendengar Penjelasan Dengan Taksub Membuta Tuli

1. Rentetan isu kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara menunjukkan betapa ramai yang membuat keputusan berpihak dengan begitu cepat tanpa mendengar penjelasan pihak-pihak terbabit terlebih dahulu.

2. Seorang pemimpin Melayu sebuah parti yang memperjuangkan Islam di Selangor dengan pantas dan cepat menyelar JAIS sebagai mengadakan satu serbuan yang tidak wajar kerana menurut beliau tidak ada orang Melayu pun dalam majlis tersebut. Hal ini disanggah oleh EXCO Selangor Dato Hasan Ali dan juga oleh beberapa pihak sendiri yang melihat kehadiran orang Islam dalam majlis tersebut.

3. Apa yang dapat kita lihat apabila berlakunya insiden ini, beberapa pemimpin dari beberapa parti politik terutamanya Pas dan PKR secara semberono menyalahkan sebuah institusi kerajaan di bawah mereka. Tanpa penyelidikan dan siasatan yang jelas, keputusan telah dibuat bahawa Jais bersalah. Demikian juga ada pemimpin di dalam UMNO yang turut bertindak pantas mengecam Jais biar pun beliau sendiri tidak mendapat maklumat jelas lagi.

4. Saya tidak menyatakan tindakan Jais itu betul atau salah. Jika Jais menyerbu ketika majlis sedang berlangsung, maka saya fikir ia sangat tidak wajar kerana mengganggu majlis. Jais boleh menunggu sehingga tamat majlis kerana ia bukan isu membabitkan nyawa individu mahu pun keselamatan awam. Namun jika Jais melakukan pemeriksaan selepas majlis tamat kerana mendapat maklumat yang sahih, maka saya fikir ia merupakan satu hak Jais sebagai badan pentadbiran agama Islam untuk menjalankan tugas-tugasnya yang diberi kuasa oleh Perlembagaan Negeri dan Negara yang antara lain melarang pendakwahan agama lain ke atas orang Islam.

5. Bukankah elok jika kita semua melihat laporan Jais terlebih dahulu dan kemudiannya mendengar pula penjelasan pihak gereja sebelum membuat keputusan? Adalah tidak adil melarang Jais mempertahankan diri mereka tetapi membenarkan pihak lain menghentam Jais.

6. Namun yang lebih menarik daripada peristiwa ini ialah betapa taksub kepada parti membolehkan ramai orang bertukar pendirian yang sangat bertentangan dengan keadaan sebelum ini. Sebelum ini isu kristianisasi ke atas orang Islam sering sahaja ditimbulkan oleh Pas dan juga sebahagian wakil rakyat PKR beragama Islam dan mereka menyalahkan kerajan kerana tidak mengambil tindakan tegas. Hari ini apa sahaja yang dibuat oleh pihak Kristian benar semata-mata kepada mereka.

7. Sekarang, kerana mereka melihat undi dan sokongan kumpulan mubaligh Kristian di Malaysia penting dalam usaha mereka merampas kedudukan dan kuasa di peringkat Persekutuan, maka mereka bukan sahaja sanggup melupakan perjuangan sebelum ini tetapi juga menyokong sepenuhnya pengecaman ke atas Jais tanpa mendengar sebarang penjelasan badan itu terlebih dahulu.

8. Saya percaya majoriti orang Islam menolak sebarang tindakan eksterim dan tidak bertamaddun mana-mana penguasa agama. Namun sikap apologetik sebahagian pemimpin dan aktivis politik Islam terhadap agama lain sehingga rela menerima setiap kejian ke atas saudara Islam sendiri sangat menghairankan.

9. Berilah peluang Jais mempertahankan tindakan mereka dan adili mereka dengan jujur dan ikhlas bukannya kerana sentimen politik dan undi dalam pilihan raya.

Thursday, July 28, 2011

Bersih: Serigala Yang Berupa Kambing?

1. Tindakan penyokong Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)mengejek (boo) Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika majlis Diskusi "Apa Selepas 9 Julai?" anjuran akhbar Sinar Harian hanya membuktikan satu perkara iaitu, kumpulan ini hanya mahu menjadikan Bersih alat politik Pakatan.

2. Kumpulan ini tidak berminat sama ada pilihan raya sekarang bersih atau tidak. Mereka tidak berminat untuk mendengar penjelasan SPR terhadap dakwaan pengundi hantu, kononnya ada pengundi mengundi lebih sekali dan sebagainya. Mereka hadir di pejabat Sinar Harian atau demontrasi pada 9 Julai lalu hanya untuk survival politik mereka.

3. Maka apabila kumpulan ini turut menganggu majlis pelancaran program mengibar jalur gemilang sempena Bulan Kemerdekaan oleh YAB Perdana Menteri di KL Sentral semalam ia memberi gambaran jelas kepada kita bahawa kumpulan ini tidak menghormati adab dan susila majlis tersebut dan mngesahkan dakwaan sebelum ini bahawa mereka hanya mahu mencetuskan anarki dan kebencian.

4. Dalam negara demokrasi, apa yang mereka perjuangkan adalah hak mereka. Mereka berhak memberi penerangan, memujuk, merayu dan menghasut orang ramai menyokong mereka. Namun menggangu majlis Perdana Menteri, menggangu hak orang lain untuk memberi penerangan dengan "boo" dan sebagainya menunjukkan mereka sendiri tidak berupaya mempertahankan idealisme perjuangan mereka.

5. Mereka menuntut media arus perdana yang lebih bebas dan terbuka. Mereka menuntut pemilik akhbar dan wartawan memberi ruang yang lebih besar kepada mereka. Mereka mahu memaksa perniagaan orang lain mengikut cakap mereka. Malangnya, mereka sendiri menunjukkan kegagalan untuk bersikap terbuka dan telus apabila pandangan yang diutarakan tidak menyebelahi mereka.

6. Jika mahu orang lain mendengar pandangan kita, kita juga hendaklah belajar mendengar pandangan orang lain. Lihat sahaja dalam kes Teoh Beng Hock sudah berapa banyak penyiasatan termasuk penubuhan Suruhanjaya Di Raja tetapi kumpulan yang sama masih tidak berpuas hati. Walaupun pada awalnya mereka bersetuju dengan barisan ahli panel suruhanjaya, namun akhirnya mereka menolak penemuan dan pandangan suruhanjaya apabila keputusan tidak memihak kepada mereka.

7. Bayangkan jika kumpulan yang tidak boleh bertolak ansur dan hanya mahu orang lain mengikut pandangan mereka sahaja ini memerintah. Janganlah tertipu dengan serigala yang berbulu kambing (wolf in sheep's clothing).

Saturday, July 16, 2011

Hiburan di i-City: Sandiwara Dua Khalid

1. Setelah membaca kenyataan YAB Menteri Besar Selangor mengenai I-City hari ini, saya tertanya-tanya apakah Tan Sri Khalid tidak mempunyai sedikit pun rasa malu dan bersalah apabila terus membuat kenyataan berbohong dan menipu? Atau mungkin majoriti rakyat Selangor terus rela diperbodohkan oleh Menteri Besar yang kononnya bijak ini?

2. Menurut Sinar Harian, Tan Sri Khalid semalam mendakwa kerajaan negeri tiada hak menghalang sebarang penganjuran program berbentuk konsert hiburan di i-City memandangkan adalah kawasan komersial yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri terdahulu.

3. Dalam satu ayat di atas sahaja Khalid telah melakukan dua pembohongan besar. Pertamanya, apabila beliau berkata tindakan kerajaan negeri terdahulu meluluskan kawasan komersial kepada i-City menjadikan kerajaan negeri tiada hak menghalang sebarang konsert. Sebenarnya kerajaan negeri pada bila-bila masa sahaja berhak menghalang konsert hiburan kerana ia di bawah kuasa Pihak Berkuasa Tempatan dan kerajaan negeri sama ada ia kawasan komersial atau atas tanah persendirian, mahu pun kerajaan.

4. Adakah Tan Sri Khalid ingin memberitahu rakyat bahawa kerajaan negeri tiada kuasa terhadap sebarang aktiviti atas tanah komersial? Jika kerajaan negeri boleh membatalkan banyak keputusan kerajaan negeri terdahulu, mengapa pula ia tidak boleh membatalkan apa sahaja kelulusan di i-city - jika benar seperti dakwaan beliau kerajaan lalu yang meluluskan?

5. Lebih aneh kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa menghalang kegiatan hiburan di i-City kerana diluluskan oleh kerajaan negeri dulu, tetapi boleh pula memnukar kelulusan tanah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil yang disyaratkan di bina di i-City:

"SHAH ALAM, 2 Nov (Bernama) -- Sekolah Tamil Ladang Midlands akan kekal di lokasi sekarang di Seksyen 7 di sini dan tidak akan dipindahkan ke I-City, sebagaimana dicadangkan oleh kerajaan negeri lepas, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Isnin.

Katanya, memindahkan sekolah itu ke I-City, kawasan pembangunan komersial perdana berasaskan ICT dan bernilai RM2 bilion di Seksyen 7 itu di sini, akan menjejas usaha pemaju, I-Berhad, untuk menarik pelabur tempatan dan asing bagi projek itu.

"Jumlah kawasan tanah di I-City kurang dari 100 ekar (40 hektar) dan pemaju tidak semestinya membina sekolah di kawasan itu. Kerajaan negeri Selangor tidak mengamalkan diskriminasi terhadap sesiapa yang ingin melabur dalam pembangunan harta di negeri ini," kata Khalid kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan jabatan kerajaan Selangor dekat sini.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=451738


6. Nampaknya apa perubahan i-City yang menguntungkan pemiliknya boleh dibuat oleh Khalid Ibrahim tetapi apa yang merugikan tidak boleh dan diletakkan kesalahan atas kerajaan lalu biarpun nyata sekali ia tidak benar.

7. Apakah ini menunjukkan terdapat kebenaran dalam laporan beberapa blog tahun lalu bahawa wujud hubungan istimewa antara Khalid dengan usahawan i-City, Datuk Lim Kin Hong? Berhubungan ini juga saya ingin bertanya Menteri Besar benar atau tidak kerajaan negeri pimpinan beliau memperuntukkan sejumlah RM 50 juta untuk prasarana jalan ke i-city?

8. Pembohongan kedua ialah mengatakan kerajaan negeri semasa saya melulus pembangunan i-City sebagai pusat hiburan komersial. Saya ingin jelaskan memang benar kerajaan Barisan Nasional yang meluluskan pembangunan I-City yang ketika itu sebagai pusat komersial bagi pembangunan bandar teknologi maklumat atau juga dikenali sebagai bandar pintar, bukannya bandar konsert.

9. Mereka yang berminat boleh melihat sendiri Pelan Utama (Master Plan) pembangunan i-City yang terdapat di laman web i-City atau menggunakan Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor yang baru diluluskan untuk mendapat maklumat mengenai kelulusan projek ini.

10. Barisan Nasional bukan anti-hiburan mahu pun jumud. Namun Pakatan tidak sewajarnya bermain sandiwara bagi memuaskan hati sebahagian rakyat dengan menjadikan kerajaan negeri dahulu sebagai kambing hitam. Belajarlah menjadi pemimpin yang berani berkata benar biar pun pahit, bukannya menjadi pemimpin yang hanya berani berbohong dan menipu bagi memuaskan hati rakyat.

11. Menyalahkan kerajaan lalu atas isu yang timbul di i-City sekarang tidak lebih daripada sandiwara dua orang Khalid yang tahu hal sebenar, namun terpaksa berlakon untuk memenuhi tuntutan penyokong Pas, PKR dan DAP.

12. Hanya dua golongan yang masih percaya kepada lakonan ini iaitu mereka yang taksub kepada Pakatan dan mereka yang bebal. Alasan yang mereka gunakan hampir sama dengan kenyataan mengenai kononnya tiada rumah urut baru sejak mereka mengambil alih kerajaan negeri; walhal mata kepala rakyat boleh melihat pertumbuhan seumpama cendawan selepas hujan.

13. Sudah empat tahun memerintah, cukuplah berbohong dan menipu rakyat dan mengkambinghitamkan kerajaan lalu. Belajarlah menjadi parti politik yang matang dan menjalankan tugas dengan bertanggungjawab.

14. Siakap senohong gelama ikan duri,bercakap bohong hanya nak sedapkan hati sendiri,bercakap bohong kerana nak tipu diri sendiri,bercakap bohong dah jadi kebiasaan pemimpin ini.

Monday, June 27, 2011

Bersih 2.0 Mahu Mencipta Anarki dan Ketidakstabilan Politik?

1. Dalam negara demokrasi saya berpendapat adalah hak rakyat untuk menyampaikan bantahan, pandangan, kritikan, memorandum waima apa bentuk pandangan sekalipun termasuklah hak untuk berkumpul dan menyatakan pandangan seperti perhimpunan awam.

2. Namun dalam pada mahu menyuarakan pandangan, bantahan, sokongan mahu pun kritikan ia tidak harus menjadi satu usaha memaksa pihak lain menerima dan akur dengan pandangan tersebut melalui cara menunjukkan kekuatan sokongan.

3. Dalam konteks inilah saya melihat cubaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mahu menganjurkan perhimpunan besar-besaran Bersih 2.0 sebagai satu kegiatan mahu mencetuskan anarki dan huru-hara.

4. Bersih dilaporkan mahu mengumpul sekurang-kurangnya 30 ribu orang di atas jalan raya berarak menuju ke Istana Negara pada 9 Julai 2011 nanti bagi menyampaikan memorandum menuntut perubahan terhadap perjalanan Pilihan raya negara ini.

5. Apakah tujuan mengumpulkan 30 ribu orang ini? Kalau sekadar mahu menyampaikan memorandum cukuplah 20-30 orang mewakili pelbagai NGO yang mereka dakwa bersama mereka. Apakah angka yang besar ini cubaan mahu menekan dan mengugut kerajaan yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat?

6. Jika 30 ribu dianggap besar untuk menekan rakyat, bagaimana pula jika puluhan ribu pula dikeluarkan oleh NGO atau parti politik lain untuk menekan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat? Apakah mereka akan tunduk kepada desakan sedemikian juga?

Huru-Hara Untuk Publisiti Antarabangsa

7. Pada hemat saya, mereka yang mahu mengumpul puluhan ribu manusia untuk mengadakan bantahan atau menghantar memorandum ini sebenarnya mahu mencetuskan anarki dan huru-hara bagi mendapat keuntungan publisiti politik di peringkat antarabangsa. Secara politiknya mengumpulkan 30 ribu orang tanpa mencetuskan insiden yang menarik tidak akan mengundang apa-apa berita besar di seluruh dunia.

8. Jika sekadar mahu menunjuk kekuatan tentulah mereka boleh memohon perhimpunan di dalam stadium terutamanya Stadium Shah Alam yang boleh memuatkan hampir 80 ribu orang. Mengapa perlu di atas jalan?

9. Saya percaya Bersih mahu mengulangi skrip Himpunan Bersih November 2007. Mereka mahu polis menyuraikan mereka, mereka mahukan kekecohan. Mereka percaya dengan mewujudkan keadaan sedemikian maka mereka mampu menarik lebih ramai sokongan generasi muda kepada Pakatan Rakyat.

10. Bersih secara sendirian tidak akan berupaya mengumpul 30 ribu orang untuk hadir bersama mereka. Kumpulan Bersih hanya terdiri daripada elit profesional yang jauh dari kehendak dan dokongan majoriti rakyat. Justeru saya percaya Bersih hanyalah alat politik Pakatan. Mereka yang berada di dalam Bersih hampir sama dengan mereka yang mendokong Pakatan. Maka Bersih tidak lebih agenda politik Pakatan.

11. Sebahagian mereka percaya jika mereka mengulangi demontrasi seperti itu menjelang pilihan raya umum ke-13, peluang Pakatan akan lebih cerah untuk mempertahankan kerusi sedia. Mereka percaya salah satu sebab kejayaan mereka dalam pilihan raya lalu ialah himpunan Bersih 2007 yang kononnya meningkatkan momentum sokongan kepada Pakatan. Soalnya apakah benar rakyat Malaysia hari ini lebih tertarik kepada mereka yang mencetuskan anarki dan huru-hara?

Jalan Politik Selamat

12. Ramai juga yang menyarankan agar Perdana Menteri dan Polis membiarkan sahaja kumpulan ini berarak di jalanan. Biar sahaja huru-hara di Kuala Lumpur jika itu yang Bersih mahukan. Polis jangan masuk campur agar nanti tidak dikambing-hitamkan oleh kumpulan ini. Ini merupakan jalan politik yang selamat.

13. Namun saya percaya sebagai sebuah kerajaan yang bertanggung jawab, sebagai pemimpin yang bertanggung jawab dan sebagai pasukan keselatamatan yang diamanahkan menjaga keamanan, Perdana Menteri dan pasukan Polis tidak boleh lepas tangan dan buat tidak tahu hanya untuk menjaga imej yang baik.

14. Kerajaan terpaksa bertindak demi menjaga kepentingan majoriti jutaan penduduk, peniaga dan pelancong di Kuala Lumpur. Daripada lebih sejuta penduduk Kuala Lumpur termasuk peniaga dan pelancong, Bersih hanya mungkin mendapat sokongan sekitar 20-30 ribu orang yang itu pun dibawa dari seluruh negara.

15. Kepentingan siapa yang perlu dijaga oleh kerajaan - penduduk setempat atau pencetus anarki luar yang akan merosakkan keharmonian Kuala Lumpur pada 9 Julai nanti?

Gelombang Kedua Mengundang Campur Tangan Asing?

16. Saya juga tertanya-tanya apakah kumpulan ini bertujuan mewujudkan kekacauan bagi membolehkan mereka meminta kuasa luar campur tangan dalam menentukan kepimpinan negara?

17. Modus operandi yang hampir sama yang telah menjadi pencetus kepada demontrasi jalanan dan membawa campur tangan asing seperti di Yemen, Libya dan Mesir - iaitu bercakap kononnya kerajaan sedia ada tidak demokratik.

18. Biar pun demokrasi di negara ini jauh berbeza daripada negara-negara yang disebut tadi, namun kaedah perang saraf yang sama menimbulkan tanda tanya sama ada kumpulan luar yang sama yang mencaturkan negara-negara Arab sejak beberapa bulan lalu kini mengalihkan tumpuan kepada Malaysia.

19. Jika kita lihat pada 1998, gerakan kuasa luar juga telah cuba mencaturkan geo-politik baru Malaysia bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.

20. Ketika itu Malaysia terselamat daripada percaturan ini biar pun Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore, terang-terang datang ke Malaysia dan menyokong gerakan Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Al Gore ketika itu datang ke Malaysia dan menghina kerajaan Malaysia yang menjadi hos makan malamnya dengan ungkapan:

"Democracy confers a stamp of legitimacy that reforms must have in order to be effective. And so, among nations suffering economic crises, we continue to hear calls for democracy, calls for reform in many languages - people's power, doi moi, reformasi. We hear them today, right here, right now, among the brave people of Malaysia."


21. Pada tahun tersebut juga, Datin Seri Wan Azizah berjumpa dengan Setiuasaha Amerika Syarikat, Madeline Albright dan beberapa pemimpin sekutu Amerika Syarikat di rantau ini.

22. Justeru jika modus operandi Bersih hari ini dihubung kait dengan gerakan anti kerajaan di Timur Tengah dan juga gerakan yang hampir sama sedekad lalu oleh kumpulan reformasi, ternampak ada usaha-usaha untuk sekali lagi mengundang campur tangan asing.

23. Tidak mustahil kumpulan ini sedang merencana kekacauan, bahkan kematian jika perlu, bagi menarik simpati antarabangsa sekaligus membolehkan kuasa luar menekan pimpinan negara. Apakah campur tangan asing yang berlaku di Mesir, Syria, Yemen dan Libya akan merebak ke Malaysia?

24. Sebahagian kita mungkin menganggap mustahil akan berlaku. Namun setahun lalu tiada siapa menyangka Mesir, Libya, Yemen dan Syria akan mengalami pergolakan sedemikian. Jika negara-negara ini boleh diresapi tangan-tangan luar, apatah lagi bagi negara kecil seperti Malaysia yang dilimpahi pengeluaran minyak. Sudah tentu ada sahaja tangan-tangan luar yang bersedia menerima undangan pihak tertentu yang kononnya berjuang atas nama demokrasi.

Wednesday, June 15, 2011

Terima Kasih Kepada Rakan-rakan bloggers

1. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan blogers yang memberi liputan lebih seimbang kepada perbicaraan saya terutama Mykmu.net, RBF Online, Gap, Parpukari, Papagomo, medan-info, keris putera, Flyingkiick dan banyak lagi.

2. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan yang melaporkan perbicaraan saya di Facebook. Saudara-saudari boleh mengikuti secara langsung dengan mencari page "LIVE Perbicaraan Dr Khir Toyo" di dalam Facebook.com

3. Sekian terima kasih.

Friday, June 10, 2011

Menuju Jalan Keadilan

1. Saya pohon maaf kerana tidak mengemaskini blog ini agak lama kerana menumpukan kepada kes di Mahkamah.

2. Saya faham banyak yang melontarkan pertanyaan dan juga cemuhan kepada saya apabila membaca dakwaan-dakwaan yang terbentang di Mahkamah sebelum ini. Saya tidak boleh menjawab soalan-soalan tersebut kerana ia merupakan bahan perbicaraan di mahkamah.

3. Saya hanya memohon saudara/saudari bukan sahaja mendengar keterangan saksi pendakwa dan membaca tajuk-tajuk besar akhbar tetapi juga meneliti jawapan-jawapan saksi apabila disoal balas oleh peguam saya.

4. Saya serahkan kepada saudara/saudari untuk membuat penilaian sendiri atas kenyataan saksi, laporan akhbar dan cara saksi menjawab soalan peguam saya.

Monday, May 23, 2011

Inflasi: Kerajaan Buat Rakyat Pening Lalat

1. Seperti yang dijangkakan Bank Negara Malaysia mengumumkan kenaikan Overnight Policy Rate (OPR). Kenaikan ini sekaligus menaikan kadar pinjaman asas. Ia kemudiannya meningkatkan beban hutang sebahagian besar rakyat yang membeli rumah dengan cara pinjaman.

2. Beberapa hari kemudian Gabenor Bank Negara menyatakan kenaikan inflasi adalah akibat kenaikan harga kos pembuatan terutamanya kenaikan harga minyak. Jadi ramai rakyat biasa di bawah jadi pening lalat mengapa Bank Negara perlu naikkan OPR dan BLR jika inflasi berlaku bukan disebabkan lebihan permintaan dan lebihan wang dalam pasaran. Rakyat biasa yang bukan pakar ekonomi tertanya-tanya bagaimana kenaikan OPR dan BLR boleh membantu mengurangkan kos pembuatan terutamanya kos bahan api atau kos tenaga sekaligus mengurangkan inflasi.

3. KDNK Malaysia suku tahun pertama yang diumumkan hanya berkembang pada kadar4.6 peratus. Ini di bawah sasaran tahun ini pada sekitar 5.5 - 6 peratus. Maknanya inflasi bukan disebabkan pertumbuhan ekonomi yang terlalu cepat. Malangnya, Bank Negara masih menggunakan cara lama untuk mengawal inflasi. Mungkin ada sebab Bank Negara naikkan kadar faedah, tapi majoriti rakyat tidak faham. Yang saya khuatir tindakan Bank Negara berterusan menaikkan kadar faedah bukan sahaja akan gagal mengawal inflasi malah mungkin akan menyebabkan kemelesetan pertumbuhan ekonomi.

4. Kalau baca akhbar The Star beberapa minggu lalu banyak kritikan terhadap tindakan Bank Negara ini dan hampir kesemuanya bersetuju tindakan Bank Negara menaikkan OPR dan BLR adalah tindakan tidak masuk akal. Mungkin semua yang menentang salah kerana kami tidak pandai ekonomi macam Gabenor Bank Negara. Kalau ada penjelasan logik cubalah berikan kepada rakyat, janganlah buat bodoh sahaja.

5. Rentetan masalah inflasi ini juga, beberapa Menteri mengakui inflasi di Malaysia agak serius. Mereka juga mengakui inflasi sekarang ini disebabkan kenaikan harga minyak dunia. Yang anehnya mereka juga menyatakan kerajaan mungkin akan menaikkan harga petrol RON 95 bagi mengurangi subsidi kerajaan.

6. Jadi kita yang dibawah ini bertambah keliru. Kerajaan kata inflasi berlaku akibat kenaikan harga minyak dunia. Kerajaan kata mahu kawal inflasi. Tapi dalam mahu kawal inflasi kerajaan mahu kurangkan subsidi petrol. Kalau ikut logiknya, pengurangan subsidi petrol ini akan tingkatkan harga petrol dan barangan sekaligus tingkatkan inflasi.

7. Baru-baru ini juga Makmal Rasionalisasi Subsidi umumkan pengurangan subsidi gula. Harga gula pun naik. Kalau sudah harga gula naik, susah juga nak halang pengusaha jangan naikkan harga minuman mereka. Kerajaan kata pengusaha jangan cari untung lebih dengan naikkan harga minuman.

8. Kita pun setujulah dengan pandangan kerajaan kalau kenaikan tersebut kecil. Namun jika telah dua kali harga gula naik (sebanyak 40 sen secara keseluruhannya) kerajaan masih tidak benarkan pengusaha naikan harga minuman susah juga. Kalau pengusaha kedai minuman mungkin boleh lagi, tapi kalau pengusaha Industri kecil dan sederhana (IKS) dan industri besar susahlah mereka. Kenaikan sedikit sahaja sudah boleh mencecah ratusan ribu atau jutaan ringgit kenaikan kos gula mereka.

9. Pengusaha pun rakyat juga. Mereka pun pening juga. Kerajaan tidak benarkan mereka naikkan harga tapi kerajaan sendiri tak mahu rugi, sebab itu kurangkan subsidi. Jadi pengusaha jangan buat untung, kerajaan pula yang hendak buat untung?

10. Dulu saya cadangkan supaya ditutup sahaja Makmal Rasionalisasi Subsidi kerana yang dibuat bukannya rasional sangat kepada rakyat. Makmal ini harus melihat isu subsidi secara keseluruhan bukannya secara berasingan.

11. Misalnya kita kata petrol dan gula kita murah berbanding negara jiran. Tapi di negara jiran kita pula harga beras, ikan dan sayur-sayuran jauh lebih murah dari negara ini. Kalau kerajaan nak hapuskan subsidi kenalah juga hapuskan dasar mengawal harga untuk barangan lain yang boleh didapati murah dari negara jiran.

12. Tidak bolehlah satu keadaan kita hendak kurangkan subsidi hingga menyebabkan barangan jadi mahal, tapi ada barangan kita boleh dapat dengan murah dari luar, kerajaan pula kawal. Memang benar kerajaan perlu lindungi industri tempatan. Rakyat boleh faham jika hak mereka juga dilindungi melalui skim subsidi sedia ada. Yang rakyat tidak faham ialah kerajaan tidak mahu beri subsidi untuk barang mahal tapi kawal barang murah sehingga jadi mahal.

13. Sepatutnya makmal rasionalisasi subsidi buat polisi mengurangkan subsidi yang rasional kepada rakyat. Tapi yang terjadi hari ini ialah makmal ini buat pengurangan subsidi ikut rasional mereka sahaja.

14. Namun yang paling tidak rasional ialah apabila kerajaan cakap nak turunkan inflasi tapi tindakan kerajaan hanya meningkatkan inflasi sahaja. Ini yang benar-benar buat rakyat pening lalat.

Thursday, May 19, 2011

Mendoakan Kesihatan Dr. Mahathir

1. Saya dimaklumkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada pagi semalam.

2. Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan negarawan negara ini. Semoga Allah terus melimpahkan rahmat dan rahim-Nya ke atas kesihatan Tun Mahathir dan pulih semula dari jangkitan paru-paru yang dihadapi beliau.

Tuesday, May 10, 2011

Konflik Antara Agama: DAP Menangguk Di Air Yang Keruh

1. Kenyataan beberapa jurublog bahawa wujud konspirasi di peringkat paderi dan mubaligh Kristian untuk menjadikan negara ini sebagai negara Kristian merupakan satu yang berat dan serius.

2. Dakwaan tersebut boleh mencetuskan kebencian terbuka antara agama dan kaum. Sebagai orang Islam, saya tidak dapat menerima sebarang usaha menukar kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Saya percaya 99% orang Islam lain juga tidak akan bersetuju.

3. Dalam pada itu, saya juga merasakan amat mustahil sekumpulan Paderi Kristian yang berwibawa di negara ini sanggup berbuat tindakan sedemikian dan mencemarkan keharmonian negara ini dan juga membelakangkan Perlembagaan Negara.

4. Kebanyakan rakan-rakan saya yang beragama Kristian juga tidak mengambil peduli apa agama rasmi negara ini kerana mereka beranggapan agama sebagai cara hidup peribadi. Mereka juga menerima kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Apa yang mereka mahukan ialah kerajaan tidak cuba memaksa mereka menjalani gaya hidup muslim.

Mengapa CFM Mengadakan Sidang Akhbar Bersama DAP?

5. Namun apabila sesuatu itu membabitkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) maka tidak ada apa pun yang mustahil. Ini kerana DAP sentiasa mengaut keuntungan politik dengan mencetuskan konflik antara kaum atau antara agama seperti mana mereka lakukan pada 1969. Saya percaya dalam isu Hindraf yang hampir menyembabkan konflik agama Islam- Hindu (kaum Melayu - kaum India) menjelang pilihan raya 2008 juga mempunyai tangan-tangan DAP di belakangnya.

6. Jika diingat konflik Kristian - Islam ini juga cuba dicetuskan oleh sebuah parti politik pada tahun 2000 apabila mereka mendakwa seorang wakil rakyat BN beragama Kristian bertanggungjawab mengkristiankan ramai gadis Islam di selatan Kedah. Namun siasatan kemudiannya mendapati terbukti tidak benar.

7. Hari ini parti lain dari Pakatan yang sama cuba mencetuskan konflik Islam - Kristian dengan mengapi-apikan kononnya UMNO cuba mencetuskan kemarahan orang Islam terhadap penganut Kristian melalui Utusan Malaysia.

8. Sungguhpun saya percaya kemungkinan besar apa yang didakwa oleh jurublog-jurublog terbabit terbabit tidak benar namun tindakan Persekutuan Kristian Malaysia (Christian Federation of Malaysia - CFM) mengadakan sidang akhbar bersama DAP sangat mencurigakan orang Melayu dan Islam.

9. Orang Melayu tertanya-tanya CFM boleh sahaja memanggil mereka yang terbabit dalam persidangan yang didakwa dan menafikannya. Saya percaya Utusan Malaysia bersedia menyiarkan di muka hadapan akhbar mereka juga.

10. Alangkah baik dan manisnya jika CFM mengadakan sidang akhbar bersendirian dan menafikan dakwaan jurublog-jurublog terbabit. Bukankah CFM sepatutnya kekal menjadi penaung kepada penganut Kristian tanpa kecenderungan politik kepartian?

Mengapa Utusan Dikambinghitamkan?

11. Saya juga tertanya-tanya mengapa Utusan Malaysia dijadikan bahan hentaman sedangkan akhbar tersebut hanya melaporkan sesuatu yang dianggap nilai berita. Utusan tentulah berani menyiarkan dakwaan yang serius ini kerana ia datang dari blog yang dikenali identiti pemiliknya. Utusan hanyalah penyampai berita. Malahan tindakan Utusan menyiarkan penafian YB Jeff Ooi menunjukkan mereka mengamalkan pemberitaan yang seimbang.

12. Jika dilihat terjemahan akhbar-akhbar bukan berbahasa Melayu, lebih banyak kenyataan menghasut, berbohong dan memfitnah terhadap pemimpin bukan dari kaum mereka dibuat. Malahan dalam sesetengah akhbar, terdapat hasutan membenci pemimpin Melayu, menuduh rasis dan sebagainya tersiar dengan sewenang-wenangnya tanpa disiarkan kenyataan balas pun.

13. Pemimpin politik dan Menteri yang mengkritik Utusan harus menyatakan apakah kerana Utusan Malaysia akhbar Melayu maka ia harus menjalani ukuran kewartawanan yang lain berbanding akhbar bukan berbahasa Melayu dan portal-portal berita anti-UMNO?

14. Apakah Utusan tidak boleh menyiarkan berita kontroversi tetapi akhbar lain boleh? Baca sahaja forum pembaca dan ruangan sms akhbar bukan milik orang Melayu yang kadang-kadang langsung tidak menghormati sensitiviti orang Melayu dan Islam tetapi tiada pula kecaman terbuka daripada mereka ini.

15. Seperti yang selalu dilaungkan oleh pejuang kebebasan media pro Pakatan, "jika mahu diambil tindakan, maka sumber berita harus diambil terlebih dahulu bukannya akhbar dan wartawan yang menjadi pelapornya."

16. Justeru saya terasa sangat aneh mengapa tiada gesaan keras untuk mengambil tindakan ke atas jurublog-jurublog terbabit tetapi mereka lebih menumpukan kepada Utusan malaysia yang hanya menyampaikan berita dan perlu mencari berita menarik untuk menjual akhbar mereka?

17. Nyata sekali ada pihak berkepentingan mahu mewujudkan kebencian penganut agama Kristian kepada UMNO, BN dan Kerajaan dengan menghentam Utusan Malaysia sambil mendakwa Utusan adalah alat UMNO.

18. Hakikatnya jika mereka jujur mahu meredakan konflik agama ini bukannya mahu berpolitik mengapa mereka tidak mendesak tindakan ke atas mereka yang membuat dakwaan ini? Atau apakah ada kebenaran dakwaan jurublog ini sehingga DAP terpaksa melencong isu dari mencari kebenaran kepada menyerang Utusan Malaysia?

19. Secara peribadi saya percaya adalah lebih baik jika Utusan tidak menjadikan kenyataan dua buah blog terbabit sebagai berita muka hadapan mereka. Namun Utusan seperti akhbar lain bersaing merebut ruang iklan melalui jumlah edaran dan jualan. Mereka terpaksa merebut pembaca, dan kenyataan seperti itu sangat tinggi nilai beritanya kepada pembacanya.

Konflik Agama Sangat Berbahaya

20. Cubaan mewujudkan konflik agama sangat berbahaya kepada negara kita yang pelbagai kaum dan agama ini. Ia bukan sahaja berbahaya kepada keselamatan rakyat, malah kepada ekonomi negara.

21. Ketika Perdana Menteri berusaha keras meningkatkan ekonomi negara ada kumpulan yang begitu berminat mencetuskan pertikaian dan konflik agar boleh meraih keuntungan politik.

22. Kita jangan lupa peristiwa perbalahan dan konflik antara kaum dan agama membabitkan kaum Serb, Croat dan Bosnia yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dan memecah belahkan sebuah negara. Jangan kerana hendak seronok berpolitik sehari dua, akhirnya menderita berabad lamanya.

Saturday, May 7, 2011

Kontroversi Pengurusan Sampah Selangor

1. Minggu lalu, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, mengumumkan pengasingan tugas pengurusan sampah di Selangor membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Alam Flora. Menurut Khalid, PBT akan menguruskan perlantikan kontraktor-kontraktor pembersihan awam manakala Alam Flora hanya akan menguruskan kutipan sampah.

2. Pengasingan ini bukan perkara baru kerana ia telah dilaksanakan sebelum ini. Bagaimanapun kita dapati wujud masalah yang serius dalam pembersihan sampah ini kerana pihak pembersih dan pemungut sampah saling tuduh menuduh siapa yang bertanggungjawab mengenai sesuatu sampah.

3. Misalnya, kontraktor Alam Flora yang mengangkut sampah tidak akan mengambil sampah-sampah yang dilonggok di tepi jalan atau yang terjatuh di dalam longkang. Mereka mendakwa ini kerja kontraktor pembersihan yang dilantik oleh PBT. Kontraktor pembersihan pula mendakwa mereka telah mengumpul sampah seperti sepatutnya tetapi ia tidak diambil oleh kontraktor pengangkut sampah. Ini menyebabkan sampah kembali berterabur. Malah ada yang mendakwa kontraktor pengangkut sampah sengaja membuang sebahagian sampah ke dalam longkang dan parit apabila lori telah penuh. Akhirnya, Alam Flora dan PBT saling menuduh pihak mana yang menyebabkan sesuatu kawasan tersebut tidak dibersihkan atau sangat kotor.

4. Disebabkan masalah-masalah sedemikian maka kita memberi tanggungjawab membersih dan mengangkut sampah kepada Alam Flora sepenuhnya. Dengan cara ini Alam Flora bertanggung jawab terhadap kebersihan kawasan tersebut sama ada sampah tidak diangkut mahu pun tidak dibersihkan oleh kontraktor yang dilantik.

5. Saya khuatir perubahan kepada kaedah lama ini akan mengulangi isu ini dan akan menyebabkan kualiti kebersihan persekitaran kita akan menjadi lebih teruk berbanding pada masa kini.

6. Ramai juga yang bertanya kepada saya apakah perubahan ini kerana mahu memperbaiki kualiti kerja pembersihan atau satu lagi keputusan tergesa-gesa bagi menyelesaikan beberapa isu pemberian kontrak pembersihan di beberapa PBT.


7. Pada bulan Februari lalu juga seorang EXCO kerajaan Negeri mengkritik tindakan MPSJ mengadakan tender terbuka bagi kerja-kerja Alam Flora. Menurut Exco tersebut sistem tender terbuka yang dijalankan oleh MPSJ belum diluluskan oleh kerajaan negeri. Malahan beliau telah berjaya meminta kerajaan negeri menangguhkan sistem tender terbuka MPSJ.

8. Saya merasa sangat aneh kerana ramai yang ingat kerajaan negeri telah melaksanakan sistem tender terbuka sejak mereka mengambil alih kuasa. Rupanya belum dilaksanakan. Lebih aneh mereka pula membantah sistem tender terbuka ini.

9. Apabila dilihat rentetan kejadian-kejadian yang melingkungi isu pemberian kontrak pembersihan bagai kawasan MPSJ ini dengan pengumuman Menteri Besar minggu lalu, saya tertanya apakah ia benar-benar bertujuan mengatasi isu kebersihan kawasan atau untuk meneyelesaikan isu perebutan kontrak di kalangan kroni mereka?

10. Ini kerana tindakan mahu membezakan kontraktor mengangkut sampah dengan membersih kawasan hanyalah untuk menambah bilangan mereka yang mendapat kontrak. Jika dahulu satu kawasan satu kontraktor, sekarang satu kawasan dua kontraktor, satu bersih dan satu lagi angkut sampah.

11. Bagaimanapun saya berharap perubahan yang bakal di buat oleh Menteri Besar berjaya menyelesaikan isu kebersihan tempatan. Buatlah apa sahaja pun asalkan jangan nanti masalah kebersihan semakin teruk semacam mana jalan-jalan PBT yang kian berlubang dan berlopak tanpa pembaikan.

Tuesday, April 26, 2011

Memuliakan Konsep 1 Melayu 1 Bumiputera

1. Seperti yang dijangka majoriti kaum Cina tidak memberi sokongan kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini. Ini bukanlah corak baru atau mengejutkan. Corak pengundian ini telah bermula sejak pilihan raya umum 2008 dan dicerminkan dengan jelas dalam hampir kesemua pilihan raya kecil kecuali di Bagan Pinang.

2. Ramai orang bukan Cina, terutamanya bumiputera, melihat sokongan kaum Cina kepada Pakatan lebih merupakan sokongan kepada pemerkasaan kuasa politik orang Cina melalui Parti Tindakan Demokratik (DAP)bagi menghakis dan seterusnya menghapuskan apa-apa sahaja keitimewaan bumiputera seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia.

3. Bagi orang Melayu sendiri corak pengundian kaum Cina dan dasar DAP yang dilihat anti segala-galanya yang membabitkan kepentingan bumiputera dan agama Islam merupakan satu petunjuk jelas bahawa sudah wujud gelombang mahu memperkasakan kuasa kaum Cina dalam politik setelah mereka menguasai ekonomi.

4. Justeru apakah mahu dipersalahkan penulis Melayu dan orang Melayu jika ada yang menganjurkan slogan 1 Melayu 1 Bumiputera sebagai jawapan kepada pengundian bercorak perkauman sebahagian besar kaum Cina hari ini?

5. Saya selalu bertanya mengapa bila orang Melayu bercakap soal hak pribumi maka ia dianggap sebagai perkauman, tetapi apabila kaum Cina bercakap soal sekolah Cina, bahasa Cina dan ekonomi kaum Cina tidak dianggap perkauman?

6. Malahan, apakah kempen-kempen politik DAP yang mempertikaikan konsep perkongsian kuasa Barisan Nasional kerana dipimpin oleh orang Melayu bukan merupakan satu kempen perkauman? Malangnya tiada pula ada akhbar-akhbar milik kaum Cina menganggap kenyataan DAP tersebut sebagai kenyataan berbaur perkauman.

7. Mengapa apabila ditubuhkan Perkasa maka ia dianggap pertubuhan perkauman, namum ratusan pertubuhan lain yang bersandar dan bertunggakkan kepentingan kaum Cina tidak dianggap perkauman oleh akhbar-akhbar yang dikuasai oleh kaum Cina?

8. Apakah bukan satu sikap perkauman apabila ada kaum Cina yang menggesa dan mendesak bahasa Melayu dijenamakan semula sebagai bahasa Malaysia? Kononnya, nama bahasa Melayu bersifat perkauman dan menyebabkan mereka merasa tidak selesa dan serasi untuk belajar dan bercakap. Mungkin suatu hari nanti apa sahaja ikon kebangsaan yang ada nama Melayu mahu dihapuskan atas alasan tidak mencerminkan konsep 1 Malaysia.

9. Perkauman atau tidak slogan 1 Melayu 1 Bumiputera yang dicadangkan oleh Datuk Zaini Hassan (Utusan Malaysia) adalah bergantung kepada pelaksanaan, tuntutan dan kehendak gerakan tersebut.

10. Jika gerakan ini bertujuan menyatupadukan orang kaum Bumiputera demi menjaga kepentingan bumiputera dan Islam, maka ia tidak harus dianggap agenda perkauman. Ia harus dianggap sebagai satu perjuangan yang sah dan mulia.

11. Namun jika ia bertujuan menyatukan kaum bumiputera bagi tujuan menindas dan menghancurkan kaum Cina maka konsep ini harus dianggap perkauman dan ditentang sehabisnya. Saya sendiri tidak akan bersetuju dengan sebarang konsep menindas dan menghancurkan kedudukan kaum lain.

12. Dalam pada itu, ramai juga yang tertanya-tanya apakah kumpulan-kumpulan NGO yang sering menggunakan konsep 1 Malaysia untuk mendesak penghakisan hak-hak bumiputera bukan merupakan satu tindakan perkauman?

13. Mengapa orang Melayu sering dianggap perkauman bila bercakap soal penyatuan Melayu sedangkan kaum lain boleh sahaja bercakap soal penyatuan mereka tanpa bantahan orang Melayu?

Tuesday, April 19, 2011

BLR, Inflasi dan Risiko Politik

1. Pada bulan hadapan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan satu lagi mesyuarat membabitkan isu Overnight Policy Rate (OPR). Sebelum ini pada bulan Mac lalu BNM tidak membuat sebarang kenaikan OPR. Pada tahun 2010 sebanyak tiga kali kenaikan OPR diumumkan pada Mac, Mei dan Julai yang menyebabkan kenaikan dari 2.0 kepada 2.75.

2. Kenaikan OPR ini akan berkait langsung dengan kenaikan Base Lending Rate (BLR) atau Kadar Pinjaman Asas. BLR turut meningkat sebanyak tiga kali dari 5.55% pada 2009 kepada 6.30 pada Julai 2010.

3. Salah satu tujuan kenaikan OPR dan BLR ialah untuk membendung inflasi. Kebanyakan kita bukan pakar ekonomi jadi kita sendiri tentu sukar untuk memahami bagaimana menaikan kadar pinjaman asas boleh membantu mengurangkan inflasi. Hakikatnya kita terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk membayar hutang.

4. Apa yang saya faham secara mudah (mungkin betul atau salah pemahaman ini) ialah kenaikan OPR dan BLR akan menaikkan kadar faedah bagi simpanan. Secara teorinya ini akan menggalakkan orang ramai menabung bagi mendapat faedah yang tinggi. Dengan penabungan iaitu menyimpan di bank, orang ramai akan kurang berbelanja. Ini akan mengurangkan permintaan (teori penawaran dan permintaan) sekaligus menurunkan harga barangan. Penurunan harga barangan akan menurunkan inflasi.

5. Namun persoalan yang jarang dijawab oleh pengamal ekonomi yang mahu mengawal inflasi melalui kaedah ini ialah apakah inflasi hari ini disebabkan permintaan yang lebih daripada penawaran atau kerana peningkatan harga barangan keperluan di luar kuasa pembeli?

6. Tanda-tanda BNM hendak menaikkan kadar OPR tampak jelas apabila beberapa penganlisis ekonomi yang "mesra" kerajaan meramalkan kenaikan ini bagi mengawal inflasi.

7. Pada tahun lalu BNM menaikkan OPR sebanyak tiga kali apabila negara mengalami inflasi. Malangnya kenaikan sebanyak tiga kali tersebut gagal mengawal inflasi apabila inflasi terus meningkat pada bulan Disember lalu sehingga kini.

8. Mengapa ia gagal? Ini kerana kenaikan kadar inflasi di Malaysia pada masa kini berkait rapat dengan kenaikan harga barangan asas dan keperluan utama yang sebahagiannya dikawal oleh kerajaan.

9. Misalnya pada tahun 2010 sebelum kenaikan OPR, kadar inflasi negara naik akibat kenaikan ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi seperti makanan dan minuman bukan alkohol (1.6 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.0 peratus); dan pengangkutan (0.7 peratus). Kenaikan-kenaikan lain ialah minuman alkohol dan tembakau, dan pelbagai barangan dan perkhidmatan masing-masing pada 2.9 peratus; perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan 2.7 peratus; pendidikan 1.8 peratus; restoran dan hotel 1.6 peratus; kesihatan 1.5 peratus; dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah 0.7 peratus.

10. Selepas kenaikan BLR pun, inflasi masih meningkat. Kenaikan kadar inflasi sejak beberapa bulan lalu dilaporkan oleh FOMCA. Menurut Fomca,

"Kadar inflasi Malaysia pada Disember 2010 naik kepada 2.2 peratus, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan. Kenaikan kadar inflasi ini berpunca daripada lonjakan harga makanan, komoditi dan penurunan subsidi oleh kerajaan pada akhir tahun 2010. Penurunan subsidi yang menyaksikan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak lima sen seliter, LPG lima sen sekilogram dan gula 20 sen sekilogram serta sambutan perayaan Krismas dan cuti sekolah telah mendorong kenaikan inflasi.

Bagaimanapun, kadar inflasi negara masih jauh lebih rendah berbanding Indonesia 6.9 peratus, Thailand tiga peratus, Korea 3.5 peratus dan India 8.4 peratus."

11. Jelas sekali sebahagian besar punca kenaikan harga barang adalah kerana kerajaan memotong subsidi. Jadi kadar inflasi yang tinggi ini ialah akibat pemotongan subsidi. Justeru kenaikan OPR dan BLR tidak memberi kesan apa-apa kepada inflasi kerana majoriti rakyat membayar barangan ini bukan untuk kemewahan tetapi untuk keperluan.

12. Lihat kenaikan-kenaikan harga barangan yang mengakibatkan inflasi melonjak tinggi adalah akibat daripada pemotongan subsidi dan kenaikan harga bahan tenaga bukannya kerana lebihan permintaan berbanding penawaran.

13. Dengan menaikkan OPR dan BLR, rakyat bukan sahaja terpaksa membayar barangan harian yang tinggi tetapi perlu menjelaskan hutang pinjaman perumahan dan peribadi yang lebih tinggi. Ini bermakna rakyat akan terus dibeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

14. Kenaikan BLR hanya menguntungkan sekumpulan kecil rakyat Malaysia yang mempunyai wang berjuta ringgit dalam simpanan tetap tetapi menindas majoriti rakyat. Saya berharap kerajaan tidak membenarkan polisi ekonomi negara yang membabitkan BLR ini ditentukan oleh birokrat ekonomi BNM sahaja.

Risiko Politik

15. Setiap kali kenaikan OPR dan BLR yang ketara dari tahun sebelumnya, Barisan Nasional akan berhadapan dengan keputusan pilihan raya yang tidak memberangsangkan. Walaupun terdapat banyak faktor lain yang mempengaruhi keputusan pilihan raya, namun kenaikan BLR turut memberi kesan negatif kepada BN.

16. Keputusan pilihan raya 2008 dan 1999 berbanding 2004 dan 1995 kepada BN boleh dihubungkan dengan naik turun BLR. Pada 2008, BLR ialah sebanyak 6.75 berbanding pada 2004, 6%. BLR 6% kekal sehingga 2006 sebelum dinaikkan pada 2007 dan 2008. Akibatnya kita tahu apa yang berlaku pada tahun tersebut kepada BN.

16. Pada 1999, BLR ialah pada 8% dan kita juga tahu nasib BN ketika itu. Memang benar ada faktor lain yang lebih besar. Namun himpitan terhadap majoriti rakyat yang mempunyai pinjaman ini menyebabkan pembangkang mengambil kesempatan membakar kemarahan rakyat terhadap isu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada 1995 BN mencapai kemenangan cemerlang, BLR ketika itu ialah 6.6 (berbanding 1994 sebanyak 8.25% dan 1993 sebanyak 9.5%).

17. Jadi fikir-fikirkanlah sebelum menggunakan taktik OPR dan BLR ini untuk mengawal inflasi. Inflasi tak terkawal, rakyat makin susah. Bukankah tujuan mengawal inflasi untuk membantu rakyat. Tapi jika ia lebih menyusahkan rakyat apa perlu dikawal dengan kaedah ini?

18. Dalam usaha mengatasi kadar inflasi yang tinggi jangan pula kita menjadi seperti tikus membaiki labu.

Thursday, April 14, 2011

PRN Sarawak: Janji Manis, Janji Realistik dan Politik Kaum Cina

1. Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang sedang berlangsung sekarang mungkin antara pergelutan politik paling hebat dalam sejarah pilihan raya negeri tersebut. Buat pertama kali parti-parti pembangkang dijangka memberi cabaran sengit kepada Barisan Nasional.

2. Kesemua 71 kerusi yang terdapat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dipertandingkan. Ini bermakna tiada sebarang calon menang tanpa bertanding. PRN Sarawak ini juga menyaksikan pelbagai janji yang ditaburkan oleh dua buah gabungan seteru politik utama iaitu BN dan Pakatan.

Antara Janji Manis dan Janji Yang Realistik

3. Apakah janji-janji pilihan raya merupakan satu keutamaan dalam menentu undi atau terdapat faktor-faktor lain yang lebih besar pengaruhnya dalam menentukan kecenderungan pengundi hanya dapat dianalisa selepas keputusan pengundian diumumkan.

4. Jika janji pilihan raya yang menjadi pilihan pengundi di Sarawak kali ini, maka mereka harus memilih BN. BN mempunyai rekod melaksanakan janji-janji pilihan rayanya dengan cemerlang. Ia bukan sahaja mempunyai kemahuan tetapi juga kemampuan dan kebijaksanaan melaksanakan janji pilihan raya. Jarang-jarang sekali janji pilihan raya BN gagal ditunaikan kerana setiap janji yang dibuat setelah melalui proses penilaian mengenai kemampuan melaksanakannya.

5. Sebaliknya, janji Pakatan mungkin lebih baik, manis dan hebat di mata rakyat. Malangnya, janji-janji yang sering mereka buat tanpa melalui proses penilaian kemampuan dan keupayaan melaksanakannya. Ini kerana janji-janji pilihan raya mereka dibuat berdasarkan apa yang boleh mereka pengaruhi rakyat biarpun ia tidak dapat dilaksanakan. Tujuan mereka hanya satu, Menang pilihan raya. Dapat tunaikan atau tidak perkara lain.

6. Di Selangor sendiri banyak janji-janji pilihan raya lalu seperti penurunan cukai pintu, pemberian elaun kepada ibu tunggal, Memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri, Memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan pra-sekolah, Memberi elaun khas suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka dan banyak lagi tidak dapat ditunaikan sehingga sekarang.

7. Hanya satu janji yang mereka laksanakan pada masa ini ialah memberi air percuma sebanyak 20 meter padu. Itu pun dilaksanakan secara tidak menyeluruh dan lebih mengutamakan penduduk yang tinggal di rumah teres dan banglo. Sedangkan subsidi ini meragut banyak peruntukan kerajaan negeri yang sepatutnya disalurkan untuk projek pembangunan luar bandar dan membantu rakyat miskin.

Politik Kaum Cina

8. Menarik juga PRN Sarawak ialah jangkaan pengundi Cina akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Pakatan. Justeru BN dijangka tewas teruk di kawasan-kawasan bandar kerana majoriti pengundi Cina dikatakan lebih selesa dan gembira dengan dominasi DAP dalam Pakatan.

9. Pemerintahan negara ini adalah berdasarkan perkongsian kuasa pelbagai kaum, agama dan budaya. Adalah sukar untuk kerajaan Persekutuan dan Negeri memenuhi kehendak semua bangsa dan agama tanpa menjejaskan pihak lain.

10. Justeru jika kaum Cina berpandangan bahawa mereka harus mendapat apa sahaja yang mereka minta jika tidak mereka akan menyokong parti lawan, tentulah YAB Perdana Menteri dan YAB Ketua Menteri Sarawak tidak dapat berbuat apa-apa. Ini kerana kerajaan perlu menjaga kepentingan banyak kaum bukan memuaskan hati kaum Cina sahaja.

11. Banyak perubahan yang dibuat oleh Perdana Menteri bagi memenuhi cita rasa kaum Cina kerana beliau merasakan permintaan-permintaan mereka rasional dan boleh dilaksanakan. Namun adalah tidak wajar jika Perdana Menteri terus diasak dengan bermacam-macam permintaan yang bukan-bukan oleh kaum Cina sehingga menimbulkan ketidaksenangan kumpulan rakyat yang lain.

12. Mungkin permintaan tersebut nampak rasional kepada kaum Cina namun Perdana Menteri juga perlu mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia yang lain. Justeru adalah penting untuk kaum Cina di Sarawak memberi sokongan kepada BN agar polisi-polisi Dato Sri Najib yang membabitkan kepentingan mereka dapat diteruskan.

13. Jika sokongan kaum Cina kepada DAP terlalu kuat, maka parti-parti komponen BN yang lain, yang tidak berasaskan sokongan kaum Cina, mungkin akan mula mempersoalkan beberapa polisi dan keputusan kerajaan yang membabitkan keuntungan kaum Cina pada masa kini.

14. Jika pengundi Cina berpendapat dengan mengasak PM sehingga ke penjuru gelanggang sebagai jalan politik paling menguntungkan mereka, maka kita akan menyaksikan kekalahan BN di kesemua kawasan yang ditandingi DAP.

15. Dan jika ini berlaku, tentulah amat menarik sekali untuk kita melihat respon daripada pimpinan BN dari UMNO, MIC, PBB, PBS, PPP dan lain-lain.