Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Tuesday, October 11, 2011

Bajet 2012: Mekanisme Pelaksanaan Perlu Diperkemaskan

1. Ada dua perkara yang menarik perhatian saya dalam pembentangan Bajet 2012 oleh YAB Perdana Menteri minggu lalu.

2. Pertamanya pemansuhan semua yuran sekolah rendah dan menengah. Dan keduanya pemberian bantuan RM 500 kepada keluarga berpendapatan RM 3, 000 dan ke bawah. Kedua-dua perkara ini sangat dekat dengan hati rakyat berpendapatan rendah namun ia memerlukan pemantauan dan mekanisme pelaksana yang cekap.

3. Penghapusan yuran sekolah pernah diumumkan sebelum ini dalam Bajet beberapa tahun lalu. Namun ia tidak terhapus sepenuhnya kerana ada yuran yang masih dikutip bagi menampung tabung sekolah untuk perjalanan aktiviti dan juga pentadbiran.

4. Dengan penghapusan sepenuhnya ini, kerajaan perlu memperuntukan dana kepada sekolah sebagai ganti penghapusan yuran ini. Selain itu, pentadbiran sekolah harus diperingatkan agar tidak mewujudkan sebarang bentuk kutipan yuran tambahan dan sebagainya sehingga memberi gambaran seolah-olah pengumuman kerajaan mengenai sekolah kebangsaan yang percuma sepenuhnya hanya satu sandiwara.

Mekanisme Bantuan RM 500

5. Pelaksanaan cadangan pemberian RM 500 kepada setiap isi rumah yang berpendapatan di bawah RM 3, 000 merupakan satu cabaran yang sangat besar kepada jentera kerajaan. Ini kerana kerajaan perlu mengenal pasti keluarga yang berpendapatan di bawah RM 3, 000 bagi mengelakkan berlakunya penipuan dan juga penganiayaan.

6. Kebergantungan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak akan banyak membantu kerana kebanyakan mereka yang berpendapatan di bawah RM 3, 000 di luar bandar bukan kumpulan yang "makan gaji".

7. Saranan pendaftaran melalui LHDN bukan sahaja akan menambah beban kerja agensi tersebut malah akan menyusahkan golongan sasaran di luar bandar. Adalah kurang wajar untuk meminta ketua isi rumah yang berada di kampung-kampung e LHDN bagi mengisi borang pendaftaran dan pengisytiharan hanya semata-mata untuk satu bayaran sekali sahaja berjumlah RM500.00.

8. Sungguhpun jumlah ini agak besar namun janganlah sampai pelaksanaannya menyebabkan RM 500 tersebut tinggal RM 300 kerana mereka yang layak terpaksa menghabiskan wang ke bandar untuk mendaftar dengan LHDN.

7. Justeru penggunaan jentera di peringkat akar umbi sangat penting bagi membantu kumpulan sasar ini. Oleh kerana Bajet 2012 dianggap tidak relevan oleh pembangkang, maka kerajaan perlu bekerjasama dengan Barisan Nasional bagi mengenal pasti dan menyediakan pangkalan data kumpulan sasar ini.

8. Jentera politik Barisan Nasional di peringkat bawahan boleh digunakan untuk menghantar nama berserta bukti perkahwinan dan juga pengesahan pendapatan oleh Penghulu atau Ketua Kampung bagi setiap nama yang dihantar. Senarai ini kemudiannya perlu disemak oleh pegawai kerajaan bagi memastikan ada ketelusan dan kejujuran dalam pelaksanaannya.

9. Cadangan penggunaan Pos Malaysia sebagai agen pembayaran sangat tepat memandangkan ia mempunyai rangkaian yang meluas dan cekap termasuk di kawasan luar bandar.

10. Lebih penting pemberian ini perlu dilakukan setelah senarai dimuktamadkan agar ia tidak menimbulkan kekeliruan apabila ada pihak yang telah dapat dan ada pula yang belum dapat.

11. Kerajaan juga perlu melaksanakan pemberian ini sebelum pilihan raya umum ke-13 atau berhadapan dengan tuduhan pembangkang bahawa ia hanya sandiwara pilihan raya.

12. Apa yang rakyat mahukan adalah kejujuran kerajaan dan kesungguhan YAB Datuk Seri Najib diterjemahkan. Biar nanti rakyat akan berkata indah khabar, indah lagi rupanya bukannya "indah Khabar dari Rupa".

8 comments:

  1. Assalamualaikum wbt Dr Khir,

    Terlebih dahulu terima kasih atas maklum balas dalam entry sebelum ini.

    Betullah kata Dr yang pelaksanaan perlu dibuat sebelum PRU13. Kalau tak orang akan cakap ini belanjawan PRU, bukan belanjawan sebenarnya. Cuma satu lagi persoalan yang sering bermain di kepala saya adalah konsistensi usaha kerajaan untuk satu tempoh tertentu.

    Kita maklum yang cabaran dan kemajuan bergerak terlalu pesat, sampaikan tak terkejar. Paling mudah dalam dunia akademik, sijil Ijazah dah semacam terlalu biasa tak seperti 10 tahun lepas. Nilainya dah semakin jatuh.

    Saya berterima kasih atas usaha kerajaan yang membentangkan belanjawan yang dilihat mampu membantu pelbagai lapisan masyarakat. Cuma pengharapan saya, ada pihak yang boleh menjelaskan bagaimana bajet 2012 ini secara teknikalnya boleh mendorong kemampanan ekonomi negara untuk 5 tahun mendatang (sebagai contoh), selaras dengan kepesatan kemajuan dan peningkatan cabaran yang takkan berhenti.

    Kalau pelaksanaan untuk apa yang dibentangkan dalam belanjawan tu terhenti sebaik selepas PRU13, kecewanya rakyat yang dah amanahkan kepemimpinan pada BN. Biarlah perbincangan turut mengambil kira isu selepas tempoh tertentu.

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Assalamualikum Dr
    Mohd Faisal
    Dr
    Harap pandangan Dr berkenaan bayaran RM 500 melalui LHDN yang PASTI sukar dilaksanakan dilaksanakan melaui cadangan Dr.

    Dr terus jumpa DSS najib la pastikan laksana jangan dok cakap je Dr penting ini pasal bila saya jumpa kawan cina depa kata payah pasal melayu takdak LHDN.Jadi saya kata betul la pasal bukan semua org Melayu ada lhdn...tolong Dr pastikan berjaya....

    ReplyDelete
  3. Kolek Kecil

    Belanjawan 2012 yang didakwa belanjawan PRU 13 itu merupakan belanjawan negara untuk JANGKA PENDEK atau SHORT TERM.

    Belanjawan JANGKA PANJANG yang mengambil kira selepas PRU 13 ialah apa yang di bentangkan oleh PM pada JUN 2010 lalu dalam prancangan jangka masa lima tahuan, RMK ke 10 bermula 2011 hingga 2015.

    ReplyDelete
  4. salam DS,

    saya memuji penilaian yang membina oleh DS dalam isu ini..
    penekanan dalam mekanisme ini amat penting kerana dapat meringankan beban rakyat apatah lagi sekiranya berhadapan dengan karenah birokrasi dalam mendapatkan bantuan dari kerajaan yang sering kali berlaku..

    peranan jentera2 kerajaan dan parti sangat2 diperlukan dalam menyelesaikan hal ini,janganlah pula berlaku ketidakjujuran dalam melaksanakan perkara ini sehingga wang tidak dapat disalurkan ke tangan rakyat yang sangat2 memerlukan..

    (maaf kata)pada pandangan saya,masyarakat memandang kerajaan BN sebagai tidak telus dan amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya (seperti kronism) dan ini menyebabkan rakyat sangat kecewa dan marah,jadi semoga usaha ini dapat mengubah imej2 rakyat terhadap kerajaan BN..

    saya cenderung kepada PR,
    tetapi itu tidak bermakna saya tidak menyokong penekanan mekanisme oleh kerajaan BN seperti yang disebutkan DS tadi,itu sangat2 saya hargai kerana ada kesungguhan membantu/membela golongan berpendapatan rendah seperti saya..

    sesungguhnya peranan BN dan PR penting bagi memastikan rakyat dan negara mendapatkan yang terbaik..

    ReplyDelete
  5. Minta Dr Khir membuat ulasa berhubung kebenaran tentang dakwaan Kerajaan Selangor sekarang telah berjaya mempunyai simpanan kerajaan melebihi 1 bilion. Saya agak ragu-ragu dengan kenyataan berkenaan, kerana saya yakin mereka berbohong..namun hal ini sedikit sebanyak mampu memberikan keyakinan kepada penduduk Selangor yang akan menerima secara total kenyataan berkenaan tanpa mendapat penerangan terperinci dari pihak Pembangkang Selangor (BN). Minta pihak BN dan Dr Khir dapat menyangkal dakwaan berkenaan di blog ini. Sekian

    ReplyDelete
  6. Pandangan yang amat bernas dan mewakili suara akar umbi. Insyaallah akan diberi perhatian oleh kerajaan bagi menjayakan tranformasi membina negara

    ReplyDelete
  7. kadang2 niat serta hasrat murni kerajaan bagi membantu rakyat amat baik, cuma perlaksanaan perlu diperhalusi.

    Begitu juga pegawai2 serta perantara yang menjayakan dasar kerajaan, mereka ini perlulah jujur dalam merealisasikan agenda kerajaan. Barulah tiada yang tercicir

    ReplyDelete
  8. Dr,
    Nampaknya daripada segala butiran yg dibentangkan termasuk dari sudut ekonomi global, isu pejanjian komersial B2B, etc, pemberian RM500 ini yg Dr nampak seolah-olah intipati penting dalam bajet yg dibentangkan. Memanglah Dr belum layak digelar negarawan - jadi jangan cuba mengulas isu-isu yg lebih tinggi daipada keupayaan minda intelek Dr. Takut tak bunyi macam Prof Dr Aziz Bari ketika setiap kali beliau mengulas isu-isu berkaita undang-undang perlrmbagaan.

    ReplyDelete