Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Monday, January 24, 2011

Jangan Politikkan Isu Agama

1. Saya tidak bersetuju dengan kritikan Dato Seri Chua Soi Lek mengenai keengganan calon Pas, Puan Normala Sudirman untuk bersalaman dengan lelaki bukan muhrim.

2. Memang benar ada pendapat ulama yang membenarkan wanita dan lelaki bukan muhrim bersentuhan dalam konteks bersalaman tangan. Namun secara asasnya Islam menolak persentuhan antara wanita dan lelaki bukan muhrim kecuali suami - isteri.

3. Justeru adalah merupakan hak Normala sebagai seorang muslim untuk menolak sebarang salam dari lelaki yang bukan saudara beliau.

4. Yang mengecewakan saya ialah apakah Presiden MCA sudah kehilangan isu untuk menarik sokongan masyarakat Cina sehingga terpaksa menggunakan isu-isu sensitif seperti ini? Dan apakah masyarakat Cina akan membuat keputusan hanya berasaskan pegangan agama Normala?

5. Adalah lebih baik pemimpin bukan Islam sama ada dari Barisan Nasional mahu pun Pakatan tidak membuat sebarang komentar negatif terhadap isu-isu membabitkan nilai-nilai Islam yang mereka sendiri tidak mengetahui dengan mendalam.

6. Namun untuk "membelasah" Chua Soi Lek sahaja pun tidak wajar kerana Pas terlebih dahulu membenarkan pemimpin bukan Islam dalam Pakatan menggunakan ayat suci al-Quran sewenang-wenangnya.

7. Malahan dalam banyak ceramah politik sebelum ini, ada pemimpin bukan Islam dalam Pakatan mempersoalkan keislaman dan keimanan pemimpin Islam dalam UMNO dan ia disambut dengan laungan takbir oleh penyokong Pas. Bukankah latahan Pas mengenai kenyataan Soi Lek ini menunjukkan sikap "double standard" dan talam dua muka parti tersebut?

8. Memang tunding-menunding ini tiada kesudahannya. Yang lebih penting ialah pemimpin politik jangan mencerca dan menggunakan neraca agama yang mereka tidak anuti untuk mengkritik penganut agama tersebut.

9. Saya fikir banyak lagi isu yang wajar dijadikan fokus dalam pilihan raya kecil ini berbanding isu-isu peribadi dan remeh temeh seperti ini.

Saturday, January 22, 2011

Air Tenang Jangan Disangka Tiada Buaya

1. Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Tenang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Pertembungan ini sangat menarik kerana ia menyaksikan pertandingan antara dua parti yang berideologikan Islam dan Melayu iaitu UMNO dan Pas.

2. BN dan Pakatan mencalonkan anak tempatan dan dari generasi muda sebagai pertaruhan terbaik mereka. BN menamakan bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd. Azahar Ibrahim, 39, manakala Pas meletakkan bekas guru, Normala Sudirman, 38, sebagai calon parti itu.

3. Jika dilihat daripada komposisi kaum dan beberapa isu semasa seperti kenaikan harga barangan dan petrol serta kemungkinan kenaikan tarif elektrik pada masa akan datang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada Barisan Nasional.

4. Namun sokongan terhadap Pas sendiri telah bayak terjejas berikutan arah tuju pergerakan parti itu sendiri telah jauh meninggalkan kemahuan dan kehendak Melayu luar bandar seperti di DUN Tenang. Pas dilihat kehilangan sokongan penyokong tradisi mereka di Felda dan juga kampung-kampung yang masih dalam ideologi dan pemahaman Pas pimpinan allahyarham Datuk Mohd Asri Muda.

5. Biar pun begitu, UMNO dan Pas masih mempunyai penyokong tegar masing-masing yang akan tetap pengundi parti tersebut biar apa pun yang terjadi. Saya mengjangkakan UMNO akan mendapat undi Melayu yang lebih banyak berbanding pilihan raya 2008. Ini kerana pengundi Melayu di luar bandar kurang terasa isu inflasi yang menjadi perbincangan dominan di bandar.

6. Yang menjadi perhatian juga ialah arah kecenderungan masyarakat Cina dalam pilihan raya DUN Tenang ini. Seingat saya hanya pilihan raya kecil Bagan Pinang menyaksikan undi kaum Cina menyokong Barisan Nasional meningkat dengan mendadak berbanding pilihan raya 2008. Lain-lain pilihan raya kecil di Semenanjung Malaysia memperlihatkan arah sokongan masyarakat Cina kepada Pakatan. Ramai penganalisis politik melihat situasi sokongan kaum Cina di Bagan Pinang adalah atas faktor hubungan baik dan rekod perkhidmatan cemerlang Tan Sri Isa Samad di sana.

7. Beberapa rakan penganalisis politik melihat tidak akan banyak perubahan dalam pola pengundian kaum Cina dalam pilihan raya kecil DUN Tenang. Ini kerana kawasan tersebut merupakan kubu kuat MCA.

8. Saya percaya kaum Cina di DUN Tenang akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional terutama sekali sebagai menjaga maruah dan kedudukan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek. Chua Soi Lek boleh dianggap antara Menteri yang cemerlang sewaktu menjaga Kementerian Kesihatan dan juga semasa menjadi ahli Parlimen Labis. Justeru itu, sokongan kaum Cina terhadap beliau akan diterjemahkan kepada memberi undi kepada BN dalam pilihan raya kecil ini.

9. Secara pandangan kasar, BN mempunyai peluang cerah memenangi semula kerusi ini. Ini turut diakui oleh "supremo" DAP, Lim Kit Siang pada minggu lalu.

10. Namun air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Keghairahan ingin menang besar dan kempen yang keterlaluan menyerang individu tertentu boleh menjadi seperti "boomerang" yang boleh menjejaskan peluang BN untuk menang.

11. Melihat kepada sambutan masyarakat Cina terhadap kempen Pakatan beberapa hari lalu juga harus mengingatkan Barisan Nasional agar tidak leka dan terlalu yakin. Dalam pilihan raya kecil juga ada kecenderungan rakyat memberi undi protes. Justeru beberapa hari pertama berkempen ini, mendapat maklumat dan pandangan pengundi harus menjadi perkara utama jentera parti agar ia dapat diselesaikan segera.

12. Berkempen dengan berhemah dan tenang, insyallah BN akan menang di tenang.

Wednesday, January 19, 2011

Menyerang Si Buta Yang Tidak Bertongkat

1. Buat masa ini saya tidak akan menjawab kenyataan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor mengenai pemberian projek - projek kepada Shamsudin Hayroni kerana ia boleh menjadi subjudis kepada kes saya yang akan dibicarakan pada bulan Jun nanti.

2. Ini merupakan kali pertama saya tidak menjawab sebarang tuduhan yang dilemparkan kepada saya kerana telah terikat dengan kes Mahkamah dan mengelakkan sebarang keadaan yang boleh menjejaskan pembelaan saya.

3. Sebenarnya jika kerajaan negeri ikhlas untuk membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang didakwa oleh Faekah, mereka sewajarnya memberi senarai tersebut kepada badan tersebut.

4. Jika mahu mencari kebenaran mereka sepatutnya mendedahkan berbulan yang lalu agar saya dapat menjawabnya bukannya sekarang ketika mana mereka tahu saya terpaksa mendiamkan diri. Ini merupakan tindakan bacul dan tidak bermaruah kerajaan negeri Selangor.

5. Serangan Pejabat Menteri Besar Selangor ke atas saya kali ini tidak lebih cuba menunjuk jaguh kepada orang buta. Itu sahajalah kemampuan kerajaan yang penuh dengan kacau bilau, pembohongan dan pendustaan.

Thursday, January 13, 2011

Menjawab Khusrin

1. Saya menerima penggantungan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS)oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor dengan hati yang terbuka kerana sememangnya saya telah menghantar surat kepada Setiausaha Sulit baginda dan DYMM Tuanku Sultan sendiri pada 7 dan 10 Disember 2010. Ia bertujuan untuk mendapat perkenan memulangkan sementara darjah kebesaran tersebut sehingga kes saya selesai.

2. Saya terima anugerah daripada DYMM Tuanku justeru sewajarnya saya mohon perkenan baginda untuk mengembalikan sementara, yang sudah tentu sama maknanya dengan digantung. Saya tidak berhak menggantung pingat anugerah Tuanku sebab itu saya mohon perkenan mengembalikan sementara. Saya juga tidak boleh memulangkan terus pingat tersebut kerana ia menunjukkan sikap kurang ajar dan biadap seorang rakyat kepada DYMM Tuanku dan institusi Istana.

3. Saya tidak berada di dalam mesyuarat Dewan Diraja pada 11 Disember 2010, justeru saya tidak tahu sama keputusan menggantung pingat saya melibatkan surat tersebut atau tidak. Saya hanya dimaklumkan bahawa DYMM Tuanku dan Dewan Diraja telah menggantung pingat saya. Justeru saya beranggapan tindakan tersebut berkaitan dengan surat saya kepada Istana bulan lalu.

4. Namun kenyataan Dato Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini yang dilaporkan oleh Malaysiakini.com,

"Penyerahan balik Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran “Dato' Seri” kepada Dr Khir Toyo, adalah sebenarnya atas arahan Sultan Selangor dan bukannya 'penyerahan sementara' seperti yang didakwanya", menimbulkan pelbagai andaian dan anggapan yang negatif.


5. Saya tidak pasti sama ada ia kenyataan penuh Dato Khusrin atau ditulis semula oleh media massa. Jika ia kenyataan SUK yang baru ini, maka beliau sewajarnya mendapat penjelasan daripada Setiausaha Sulit Tuanku terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan menafikan kenyataan saya dan seolah-olah saya ini seorang penipu dan pembohong.

6. Inilah yang dikata orang, pokok jika rebah kura-kura pun boleh memanjat. Apa pun saya terima ini semua sebagai lumrah kehidupan.

7. Bagaimanapun sama ada penggantungan ini bersandarkan surat saya atau tidak, ia tidak lagi penting. Apa yang penting ialah menghormati keputusan DYMM Tuanku Sultan Selangor yang menggantung S.P.M.S dan saya pohon pihak media tidak lagi menggunakan gelaran Dato' Seri dipangkal nama saya.

Pindaan Untuk Tuanku atau Menteri Besar?

1. Akibat tidak berpuas hati dengan perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Menteri Besar telah memohon untuk mengadakan sidang Dewan Negeri tergempar bagi mengubah Perlembagaan Negeri. Jika berdasarkan kenyataan-kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim, ia akan membabitkan peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

2. Namun saya jangkakan Menteri Besar akan juga melakukan pindaan dalam hal Perkara 97 berhubung dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri perlantikan SUK, Pegawai kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri

3. Berdasarkan kenyataan akhbar juga, Khalid menyatakan bahawa cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 akan dibuat oleh Kerajaan Negeri bagi mengembalikan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor dan Menteri Besar.

4. Malangnya sehingga hari ini draf pindaan yang akan dibuat belum diedarkan kepada ahli-ahli Dewan Negeri Selangor. Saya berharap draf ini diedarkan awal bagi membolehkan semua ahli dewan mengkaji dan meneliti kesan pindaan ini.

5. Namun jika cadangan tersebut mahu mengembalikan kuasa Sultan seperti dakwaan Khalid sudah tentu beliau tiada masalah untuk menerima Dato Mohamad Khusrin Munawi sebagai SUK Negeri Selangor. Ini kerana Khusrin telah mendapat perkenan Tuanku Sultan Selangor.

5. Justeru saya melihat penggunaan nama Tuanku dalam isu pindaan ini hanyalah kosmetik semata. Sebaliknya, pindaan ini hanya untuk memberi kuasa yang lebih besar kepada Menteri Besar, manakala fungsi tuanku akan kekal seperti sekarang.

6. Berdasarkan kedudukan jumlah kerusi dalam Dewan Negeri Selangor sekarang, sebenarnya Pakatan tidak mempunyai majoriti 2/3 untuk melakukan sebarang pindaan terhadap Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

7. Fasal 5, Perkara XCVIII Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dengan jelas menyatakan sebarang pindaan terhadap Undang-undang Tubuh Negeri harus mendapat sokongan majoriti 2/3 daripada jumlah ahli Dewan bukan jumlah yang hadir seperti dakwaan Menteri Besar.

[(5) Sesuatu Rang Undang-undang bagi membuat sesuatu pindaan kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan ini tidak boleh diluluskan oleh dewan Negeri melainkan jika ia telah disokong pada bacaan kali kedua dan kali ketiga dengan undi sebanyak tidak kurang dua pertiga jumlah ahli Dewan Negeri.]


8. Justeru proses merancang pindaan ini dan sidang tergempar yang bakal diadakan merupakan satu proses pembaziran sumber negeri sama ada dari segi kewangan mahu pun tenaga kerja. Lebih mengecewakan Dewan yang sepatutnya menjadi tempat membincangkan dasar-dasar negeri telah menjadi alat percaturan politik kepartian.

9. Langkah kerajaan negeri mahu mengubah pindaan walaupun tiada majoriti 2/3 tidak lebih seperti kata bidalan melayu seperti kura-kura mahu memanjat pokok. Selepas sidang nanti kita akan dapati "pukat terlabuh, ikan tidak dapat".

10. Akhirnya segala riuh-rendah dan hiruk-pikuk pindaan perlembagaan negeri ini hanya membuang masa dan sumber seperti kata peribahasa Melayu "arang habis binasa, tukang hembus penat saja".

11. Sewajarnya kerajaan negeri menumpukan kepada hal-hal pentadbiran dan pembangunan negeri berbanding menghabiskan masa berbuat kerja yang sia-sia dan diketahui tidak akan berhasil.

Wednesday, January 12, 2011

Penyerahan Semula Darjah Kebesaran Selangor

1, Pada pertengahan Disember 2010 yang lalu saya telah menghantar sepucuk surat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuaku Sultan Selangor bagi memulangkan sementara pingat darjah kebesaran Selangor Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran Dato Seri.

2. Surat tersebut dibuat berikutan kejadian saya di dakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam beberapa hari sebelumnya atas tuduhan salah guna kuasa. Pemulangan semula pingat ini bagi mengelakkan darjah kebesaran negeri turut terpalit dengan sebarang keaiban sepanjang pertuduhan dan perbicaraan yang akan berlangsung.

3. Hari ini Dewan Diraja telah memperkenankan pemulangan semula pingat tersebut.

4. Justeru mulai hari ini semua media dan dan penganjur program hendaklah menggugurkan nama Dato Seri dari pangkal nama saya dan menggunakan nama Dr. Mohamad Khir bin Toyo sahaja.

Wednesday, January 5, 2011

Jangan Bebankan Rakyat Dengan Kos Kesihatan

1. Cadangan kerajaan untuk memperkenalkan Skim Penjagaan Kesihatan Nasional 1Care perlu diberi perhatian serius dan mendalam sebelum dilontarkan kepada rakyat. Kesihatan seperti pendidikan merupakan sesuatu yang dekat dengan hati rakyat.

2. Apa yang saya faham dari laporan akhbar, skim ini akan membabitkan tambahan potongan cukai pendapatan untuk dimasukkan ke dalam skim penjagaan kesihatan ini. Rakyat bayar 10%, kerajaan bayar 90% kos kesihatan setiap individu. Malangnya, kita tidak pula dijelaskan berapa kos 10% itu.

3. Bukan semua rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan, justeru jika 10% kos kesihatan ini perlu ditanggung pembayar cukai apakah bermakna mereka yang tidak membayar cukai pendapatan tidak akan membayar 10% ini. Jika mereka tidak membayar, ini bermakna mereka yang membayar cukai pendapatan akan menanggung bagi pihak mereka juga. Jadi kos yang ditanggung oleh pembayar cukai akan makin tinggi lagi.

4. Seterusnya, mengapa perlu ada tambahan cukai pendapatan untuk dana 1Care jika kita telah pun membayar cukai pendapatan. Apakah kerajaan tidak boleh menguruskan wang cukai pendapatan sedia ada untuk diperuntukkan kepada penjagaan kesihatan?

5. Dari segi politik, menambah satu lagi bebanan cukai kepada kerajaan seperti mencipta tali gantung menjelang pilihan raya akan datang. Saya percaya tulisan ini juga tidak akan digemari oleh penguasa-penguasa di atas sana. Namun kepentingan rakyat dan parti lebih penting dari kepentingan Menteri dan pembuat polisi karut marut ini.

6. Sungguhpun di atas kertas nampak baik, rakyat bayar 10%, kerajaan bayar 90% bagi kos kesihatan namun pelaksanaannya tampak akan menjadi haru biru dan tidak masuk akal.

7. Selain itu, melalui skim ini rakyat diminta memilih klinik panel keluarga yang kosnya akan ditanggung oleh kerajaan melalui dana 1Care. Klinik panel keluarga ini merupakan klinik swasta yang tentunya akan mengena caj yang lebih tinggi daripada klinik kerajaan sedia ada.

8. Bayangkan mendapat rawatan di klinik swasta tetapi dibayar oleh kerajaan. Adakah sesiapa di luar sana percaya ia akan mengurangkan beban perbelanjaan kesihatan kerajaan berbanding hari ini?

9. Jika sijil sakit (MC) dari klinik swasta pun sudah jarang dipercayai majikan kerana mudah dimanipulasi bayangkanlah jumlah tuntutan yang akan dibuat nanti.Saya khuatir skim ini bukan akan mengurangkan tetapi akan menyebabkan bebanan perbelanjaan kesihatan kerajaan akan meningkat lebih tinggi dari sedia ada.

10. Saya berharap ia tidak dilancarkan secara tergesa-gesa hanya kerana kepercayaan karut ia akan mengurangkan beban perbelanjaan kesihatan kerajaan. Ambil iktibar dari kejadian Skim Subsidi Beras (SUBUR) yang dilancarkan untuk mengurangkan bebanan subsidi kerajaan akhirnya ditangguhkan kerana jumlah subsidi melalui skim ini meningkat berkali ganda dari skim asal.

Skim Warga Emas dan Penyakit Kronik

11. Banyak lagi pembaharuan dalam perkhidmatan kesihatan yang boleh dibuat berbanding mencadangkan penambahan kos kesihatan untuk rakyat. Saya berharap sebelum dimajukan lagi cadangan-cadangan yang hanya menambahkan beban rakyat, elok benar kerajaan berusaha mengurangkan beban rakyat terutamanya kumpulan warga emas dan pesakit kronik.

12. Rata-rata warga emas yang berumur 70 tahun ke atas mempunyai masalah kesihatan yang kronik seperti sakit buah pinggang, kencing manis dan jantung. Mereka ini terpaksa menanggung kos yang tinggi dan kadang kala terpaksa menahan sakit dari mendapat rawatan yang baik kerana kekurangan wang.

13. Kesemua penyakit ini memerlukan penjagaan sepanjang hayat dan kos yang tinggi, justeru kerajaan patut memikirkan skim khas untuk golongan ini sebagai membalas kembali jasa dan pengorbanan mereka membangunkan negara selama ini. Sekiranya skim kesihatan warga emas ini berjaya bolehlah ia dilebarkan kepada golongan lain secara berperingkat.

14. Selain itu, Kementerian Kesihatan perlu memikirkan untuk menambah pusat dialisis memandangkan ramai rakyat Malaysia menghidap sakit buah pinggang. Saya juga berharap hospital-hopsital kerajaan yang mempunyai khidmat dialisis dapat menawarkan perkhidmatan di sebelah malam. Ini akan membolehkan mereka yang sakit buah pinggang mendapat khidmat dialisis pada waktu malam dan bekerja seperti orang normal di waktu
siang.

15. Dengan kata lain, Kementerian Kesihatan perlulah memikirkan usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan untuk rakyat tanpa membebankan rakyat. Jangan nanti Perdana Menteri begitu bersungguh mahu melaksanakan program mendahulukan rakyat, tetapi para menteri mencadangkan program menyusahkan rakyat.

Monday, January 3, 2011

Campur Tangan Politik Dalam Pentadbiran Awam

1. Kemelut perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor sejak seminggu lalu menunjukkan ada usaha jelas dari pemimpin politik negeri untuk mencampuri urusan perlantikan kakitangan kerajaan. Kerajaan Selangor secara terbuka dan biadap menolak perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK baru.

2. Biarlah kita berlapang dada bahawa sememangnya dari semasa ke semasa ada campur tangan politik dalam perlantikan jawatan pegawai kerajaan tertentu terutamanya membabitkan jawatan penting dan kanan. Ada lobi, ada sokongan dan ada usaha melantik orang tertentu menjawat jawatan kanan tertentu dalam kerajaan. Namun yang jarang kita dengar ialah ada orang politik menolak perlantikan pegawai kanan kerajaan tertentu tanpa bekerja terlebih dahulu dengan pegawai terbabit.

3. Perlu juga dijelaskan perlantikan SUK Selangor adalah di bawah kuasa Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Saya setuju adalah amalan biasa juga untuk Menteri Besar Selangor mencadangkan nama tertentu kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN)untuk dilantik ke jawatan-jawatan utama dalam kerajaan negeri.

4. Namun keputusan perlantikan adalah terletak di bawah kuasa KSN yang mengambil kira kebolehan, kelayakan, kekananan (seniority) dan juga prosedur perlantikan kakitangan awam sebelum melantik SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan lain-lain jawatan.

5. Adalah kelaziman juga untuk KSN memaklumkan kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor terlebih dahulu bagi mohon perkenan baginda selaku ketua negeri. Inilah yang dilakukan oleh KSN dan Tuanku Sultan telah memberi perkenan baginda.

6. Saya tidak pasti apakah KSN memaklumkan perlantikan Khusrin sebagai SUK Selangor yang baru kepada YAB Menteri Besar. Bagi saya YAB Menteri Besar perlu dimaklumkan mengenai perlantikan ini terlebih dahulu sebelum dihebahkan kepada media. Adalah sangat tidak manis dan wajar jika beliau tidak dimaklumkan terlebih dahulu.

7. Bagaimanapun tindakan YAB Menteri Besar menolak perlantikan Khusrin yang telah mendapat perkenan DYMM Tuanku Sultan Selangor secara terbuka adalah sangat tidak beradab. Walau apa pun masalah dan perselisihan dalam pentadbiran, Tan Sri Khalid tidak sewajarnya "menderhaka" dengan menolak perkenan Tuanku ke atas perlantikan SUK baru secara terbuka. Jika Menteri Besar berjumpa Tuanku terlebih dahulu secara senyap mungkin isu ini dapat diselasaikan dengan lebih baik.

8. Menteri Besar telah lama mengetahui bahawa SUK yang lama Dato Ramli Mahmud akan menamatkan tugasnya menjelang 31 Disember 2010. Malangnya tiada inisiatif dan usaha awal untuk mencalonkan nama tertentu kepada KSN dan Tuanku Sultan. Hanya setelah Tuanku memberi perkenan perlantikan Khusrin barulah kelam kabut mahu menolak perlantikan Khusrin dan mencalonkan nama lain. Adakah ia adil kepada Tuanku, KSN dan Dato Khusrin sendiri?

9. Tuanku telah memberi perkenan perlantikan Khusrin yang juga telah lama berkhidmat di bawah baginda sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Adakah masuk akal untuk kerajaan negeri meminta Tuanku menarik balik perkenan baginda ke atas perlantikan Khusrin? Apakah ego kerajaan negeri lebih besar dan perlu dipertahankan berbanding maruah dan kredebliti Istana?

10. Perkara yang lebih menarik untuk diperbahaskan ialah apakah polemik ini bermakna Pakatan bersedia mengakui bahawa mereka telah melakukan campur tangan politik dalam perlantikan pegawai perkhidmatan awam?

11. Adakah ini juga bermakna pegawai-pegawai kanan kerajaan di peringkat Persekutuan akan ditukar mengikut kecenderungan politik mereka jika mereka menguasai Kerajaan Persekutuan suatu masa nanti? Para pegawai kanan kerajaan harus melihat kemelut ini dengan teliti betapa janji-janji bahawa mereka tidak akan mencampuri urusan pentadbiran awam sebenarnya tidak boleh dipercayai.

12. Bagi saya, siapa pun yang dilantik sebagai SUK ia tidak sepatutnya menjadi sebarang masalah selagi pegawai tersebut menjalankan tugas secara profesional dan mengikut Peraturan AM Kakitangan Kerajaan (General Order). Misalnya SUK lama, Dato Ramli Mahmud, merupakan SUK semasa Barisan Nasional dahulu telah menjalankan tugas dengan baik kepada Khalid Ibrahim juga. Demikian juga Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri yang semuanya diwarisi dari zaman BN tetapi menjalankan tugas yang baik kepada Khalid juga.

13. Justeru nasihat saya kepada Khalid, terimalah perlantikan SUK baru ini dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Jika SUK yang baru tidak memberi kerjasama yang baik kepada Menteri Besar, tidak mempamerkan prestasi yang memuaskan dan tidak menjalankan polisi kerajaan negeri, bolehlah Tan Sri Khalid memohon beliau diganti dengan pegawai yang lain. Janganlah menjatuhkan hukuman terhadap Khusrin sebelum sempat beliau menjalankan tugas.

Bahaya Sekiranya Perlantikan SUK Ditarik Balik

14. Sekiranya perlantikan Khusrin sebagai SUK ditarik balik, ia akan memberi satu petunjuk yang tidak sihat bahawa kedudukan pegawai kerajaan ditentukan secara langsung oleh orang politik.

15. Ini menjadikan pegawai kerajaan bekerja mengikut kehendak peribadi "tuan politik" sekaligus mewujudkan gejala "pena ajaib" dan "telefon hikmat" dalam membuat sesuatu keputusan kerajaan.

16. Pegawai kerajaan yang dilantik akan sentiasa berasa terancam kedudukannya jika tidak mengikut kata Menteri Besar biar pun bertentangan dengan peraturan.

17. Adalah sangat aneh, ketika Kerajaan BN di peringkat Persekutuan berusaha menghapuskan campur tangan politik bukan sahaja dari segi pelantikan pegawai kerajaan tetapi juga dalam pemberian tender dan kontrak; kerajaan negeri dari Pakatan melakukan sebaliknya.

18. Mungkin selepas ini para Yang Di Pertua pihak berkuasa tempatan di Selangor pula akan menjadi mangsa pertukaran mengikut selera politik.