Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Thursday, February 24, 2011

PM, Pas dan Pluralisme Agama

1. Ramai cendekiawan Islam tempatan yang menghargai kenyataan YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak minggu lalu mengenai fenomena pluralisme agama yang merbahaya kepada akidah umat Islam. Jika sebelum ini isu pluralisme agama ini tidak mendapat perhatian umum kerana ia hanya menjadi topik perbincangan di kalangan cendekiawan, ahli akademik dan tokoh agama, dengan kenyataan lantang Perdana Menteri ini ia memberi nafas baru kepada perbincangan permasalahan ummah ini.

2. Isu pluralisme ini bukan baru, namun ia kembali "panas" sejak setahun dua lalu apabila timbul beberapa isu yang membabitkan pertikaian pendapatan antara agama Islam dan agama lain membabitkan soal pentadbiran, perundangan dan polisi. Yang menggusarkan ada pemimpin politik beragama Islam dari Pakatan Rakyat, Pas dan segelintir dari UMNO dilihat sanggup berkompromi sehingga ke tahap membawa idelogi pluralis ini. Kemuncaknya ialah ucapan seorang bekas tokoh pemimpin nombor wahid Angkatan Belia Islam Malaysia yang secara terang-terangan membawa ideologi kesamarataan agama ini dalam ucapan beliau di London tahun lalu.

3. Bagi memahami isu pluralisme ini secara sepintas lalu, saya cadangkan saudara/i membaca kertas kerja oleh Muhammad ‘Uthman El-Muhammady dan juga ringkasan yang ditulis oleh Mohd. Ayop Abd Razid mengenai pandangan tokoh cendekiawan Islam yang bimbang mengenai fahaman pluralisme.

4. Berbalik kepada kenyataan Perdana Menteri mengenai bahawa pluralisme, saya mendapat maklum balas bahawa ramai yang menghargai ingatan Perdana Menteri. Bagi saya pula kenyataan tersebut mencerminkan keprihatinan dan kesungguhan Perdana Menteri mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan.

5. Selebihnya, keberanian Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak menyatakan sesuatu yang hak walaupun boleh menjejaskan populariti beliau di kalangan kelompok liberal elit politik dan perniagaan adalah sesuatu yang perlu dipandang tinggi.

6. Anehnya, saya merasa amat hairan mengapa tokoh-tokoh di dalam Pas membisu seribu bahasa dalam isu ini. Yang jelas tampak bersuara ialah ketua Dewan Ulama Pas, Dato Harun Taib yang membuat kenyataan mengecam konsep pluralisme agama ini. Tapi kita semua tahu Dato Harun Taib sungguhpun Ketua Dewan Ulama bukanlah pihak paling "berkuasa" dalam menentukan pandangan agama oleh Pas.

7. Mengapa sikap Pas berubah begitu drastik dalam isu-isu agama termasuk isu kalimah Allah sangat misteri sifatnya dan mungkin boleh dianggap sebagai fenomena politik yang paranormal sifatnya.

Tuesday, February 15, 2011

Mencari Makna Krisis Mesir

1. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat menyambut Maulidur Rasul. Semoga makin bertambah ramai umat Muhammad s.a.w di negara ini sekaligus akan menjadikan kita satu umat yang kuat dan menjadi kuasa penentu dalam pemerintahan dan penggubalan polisi negara.

2. Berhampiran dengan sambutan Maulidur Rasul juga kita melihat kepimpinan sebuah negara Islam yang agak besar iaitu Mesir turut mengalami perubahan mengejut. Hosni Mubarak akhirnya tunduk dengan kehendak rakyat yang keluar berdemontrasi agar meletak jawatan.

3. Terdapat banyak analisa perletakan jawatan Hosni Mubarak. Selain memimpin terlalu lama dalam bentuk pentadbiran yang dianggap autokratik, masalah masalah ekonomi dan pengangguran yang terlalu tinggi telah "mengasak" rakyat sehingga "ke penjuru dinding" tanpa jalan keluar. Kesempitan hidup menyebabkan rakyat tiada pilihan kecuali keluar ke jalan dan berdemontrasi.

4. Satu lagi penyebab yang diutarakan oleh beberapa penganalisa politik ialah beberapa tindakan yang dilihat ramai sebagai usaha Hosni Mubarak dan Suzanne membina dinasti kepimpinan Mesir sebagai faktor tambahan pencetus kemarahan rakyat. Sejak tahun lalu dikatakan anak Hosni dan Suzanne, Gamal, dilihat banyak mencampuri urusan pentadbiran. Sungguhpun Gamal dianggap bijak dan seorang yang sangat cemerlang dalam pelajaran, namun beliau gagal memahami sepak terajang politik dalam negara tersebut. Tindakan dan campur tangan yang terlalu menonjol bukan sahaja menimbulkan kemarahan rakyat tetapi juga di kalangan penasihat dan pegawai lama yang setia.

5. Justeru Hosni Mubarak yang suatu ketika dahulu dijulang sebagai wira perang akhirnya dihambat dari negara tanpa sebarang rasa kasihani. Pengajaran kepada kejatuhan Hosni ialah jangan susahkan kehidupan rakyat sehingga rakyat tiada pilihan, akhirnya berpaling berhadapan dengan kerajaan. Gunakanlah kuasa sebaik mungkin bagi memberi kehidupan yang selesa kepada rakyat bukannya sekadar mahnu menunjukkan angka-angka ekonomi yang baik tetapi rakyat terbanyak tidak menikmatinya.


6. Namun yang amat menarik juga untuk dilihat ialah apakah perubahan kepimpinan Hosni Mubarak akan membawa satu keadaan yang lebih baik kepada rakyatnya atau memberi lebih banyak masalah dan derita seperti mana berlaku di beberapa negara lain yang melakukan perubahan melalui demontrasi, coup d'├ętat dan peperangan.

7. Krisis Mesir ini juga memperlihat kemampuan cemerlang jentera kerajaan terutamanya Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan dalam menjalankan operasi menyelamatkan rakyat Malaysia. Biarpun tiada keganasan melampau sehingga menimbulkan ancaman yang serius kepada nyawa rakyat Malaysia, namun kerajaan telah bertindak pantas mewujudkan pelan menyelamatkan rakyat Malaysia di Mesir.

8. Saya percaya sebahagian besar bersyukur dengan usaha keras kerajaan dalam membantu mereka yang terperangkap di Mesir. Bagi segelintir yang merungut dan mengkritik operasi menyelamat ini atas alasan yang remeh-temeh seperti tidak selesa, lambat dan sebagainya, nyata mereka tidak pernah tahu erti bersyukur. Bayangkan rakyat sesetengah negara yang langsung tidak dipeduli oleh kerajaan mereka. Janganlah mengharapkan layanan "kelas pertama" dalam keadaan krisis dan penuh ketegangan.

9. Janganlah usaha bersungguh-sungguh pelbagai kumpulan termasuk kakitangan kerajaan, NGO dan pemimpin kerajaan termasuk YAB Perdana Menteri diperli dan diperlekehkan hanya kerana kepentingan politik kepartian yang berbeza. Janganlah orang memberi susu dibalas dengan tuba. Jika tidak mahu berterima kasih pun, diam sahajalah, jangan pula memburukkan.

10. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada sebahagian yang mengambil keputusan untuk terus tinggal di Mesir bagi menghabiskan kuliah dan peperiksaan. Mereka ini ternyata mempunyai iltizam dan iktikad yang kuat dalam meneruskan perjuangan mendapatkan ilmu. Semoga Allah melindungi mereka dari sebarang mara bahaya.

11. Akhirnya, semua kita patut bersyukur betapa kehidupan di Malaysia jauh lebih baik dan aman.

Monday, February 7, 2011

Kedudukan Pegawai Kerajaan Negeri Bergantung Kepada Tuan Politik?

1. Kerajaan Negeri Selangor akan berhadapan masalah pentadbiran yang serius jika ia masih meneruskan sikap berdolak-dalik dalam menerima perlantikan Dato' Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

2. Saya juga pernah membangkitkan bahawa sejak tiga tahun lalu kedudukan ekonomi dan pengurusan kewangan negeri dalam keadaan yang tidak baik. Jika ditambah lagi dengan kegagalan menguruskan pentadbiran dengan cekap terutamanya membabitkan jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan negeri maka boleh merencatkan lagi pembangunan.

3. Setiausaha Kerajaan Negeri merupakan individu terpenting dalam sistem pentadbiran awam negeri. Kegagalan mengadakan majlis angkat sumpah menyimpan rahsia di hadapan Menteri Besar menyebabkan Dato Mohd Khusrin tidak boleh menghadiri mesyuarat EXCO dan juga melaksanakan segala keputusan-keputusan EXCO.

4. Ini bermakna secara prosedur, segala mesyuarat dan keputusan EXCO menjadi sia-sia dan membuang masa kerana ia tidak dapat diturunkan kepada pegawai kerajaan. Menteri Besar dan EXCO mungkin akan memberi arahan secara langsung kepada para pegawai kerajaan yang diperlukan. Namun arahan kepada pegawai kerajaan negeri tanpa melalui SUK merupakan satu pelanggaran tatacara "good governance" yang dilaung-laungkan oleh Pakatan sebelum ini.

5. Segala bantahan dan gerak kerja kerajaan negeri dalam membantah perlantikan Khusrin telah dilaksanakan termasuklah mengadakan sidang Dewan tergempar bulan lalu. Sudah seantero dunia telah tahu bahawa kerajaan negeri tidak bersetuju dengan perlantikan Khusrin. Keuntungan politik pun telah diraih semaksima mungkin oleh Pakatan. Justeru eloklah Kerajaan Negeri melihat ke hadapan dan menyegerakan majlis mengangkat sumpah menyimpan rahsia SUK Selangor ini.

6. DYMM Tuanku juga telah memberi perkenan baginda ke atas perlantikan Khusrin. Malah menerima Khusrin mengangkat sumpah di hadapan baginda. Baginda juga telah memberi restu kepada Kerajaan Negeri mengadakan sidang khas Dewan Negeri Selangor.

7. Justeru moleklah kerajaan negeri terutamanya YAB Menteri Besar menyegerakan majlis angkat sumpah SUK ini agar pentadbiran negeri dan kepercayaan kakitangan awam dapat terus diperkukuhkan.

8. Tindakan kerajaan negeri berdiam diri hanya akan mengeruhkan lagi hubungan antara kakitangan kerajaan dan pemimpin politik negeri. Kakitangan kerajaan melihat tindakan kerajaan negeri ini sebagai satu bentuk campur tangan politik secara langsung dalam pentadbiran awam. Ini menimbulkan ketakutan dan kepercayaan bahawa kedudukan mereka di negeri bergantung kepada sejauh mana mereka tunduk kepada kuasa politik, bukannya sejauh mana mereka melaksanakan tugas dengan cemerlang.

9. Dulu saya dikritik kerana memberi anugerah penyapu kepada PBT yang gagal mencapai sasaran perkhidmatan yang ditetapkan. Apabila Majlis Daerah Hulu Selangor menerima anugerah penyapu tersebut riuh rendah kononnya saya menjatuhkan maruah pentadbiran awam negeri.

10. Hakikatnya cadangan anugerah penyapu tersebut datang dari pegawai kanan kerajaan dan mendapat persetujuan para pegawai kanan kerajaan negeri. Malahan, selepas menerima anugerah penyapu tersebut, Majlis Daerah Hulu Selangor menerima anugerah PBT cemerlang tiga tahun berturut-turut berdasarkan ukuran prestasi yang sama.

11. Ketika anugerah tersebut adalah bertujuan memberi kesedaran luar biasa kepada kakitangan awam untuk berkhidmat lebih efisyen dan kerja keras, keengganan Menteri Besar menerima perlantikan Khusrin telah menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri menjadi terencat dan moral kakitangan awam berada di tahap yang sangat rendah.

12. ramai yang bertanya, jika seorang pegawai kanan di peringkat negeri boleh diperlakukan seperti budak-budak, apakah erti kedudukan pegawai lain yang lebih rendah pangkat dan kekananan (seniority)?

13. Jika restu dan perkenan Tuanku terhadap perlantikan ini pun dipandang sebelah mata oleh rejim politik baru Selangor, apakah nasib kakitangan kerajaan lain sekiranya tidak mengikut arahan "moghul" baru ini? Mereka mungkin tidak memberi "penyapu" jika tidak bekerja dengan baik, tetapi mereka akan buat apa sahaja untuk menolak kakitangan kerajaan hanya kerana mereka tidak suka atau mempunyai prasangka tidak baik terhadap individu tersebut.

14. Kegagalan mengadakan Majlis Angkat Sumpah menyimpan rahsia SUK Selangor yang baru ini menunjukkan Pakatan tidak serius dalam memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar, cekap dan efisyen. Sebaliknya mereka hanya mementingkan kroni mereka dilantik ke jawatan-jawatan kerajaan dan akan berbuat apa sahaja untuk menggagalkan kenaikan pangkat pegawai yang mereka tidak suka.

15. Apakah ini bukan satu bentuk penghinaan kepada perkhidmatan awam negeri apabila Menteri Besar secara terbuka menolak perlantikan pegawai kanan pentadbiran awam tanpa sebarang sebab yang membabitkan keupayaan dan kemampuan bekerja pegawai tersebut?

16. Sungguhpun mereka menjanjikan ketelusan, pertanggungjawaban awam dan pentadbiran kerajaan yang baik; kesimpulan di sebalik krisis perlantikan SUK Selangor ini menunjukkan kedudukan pegawai kanan kerajaan negeri Selangor pada zaman Pakatan memerintah ini tidak lebih kepada "hamba politik". Jika mereka tidak berani melanggar peraturan dan prosedur untuk memenuhi tuntutan "moghul politik" baru ini, mereka harus bersedia menjadi seperti Khusrin.

17. Bagi Tan Sri Khalid sendiri jika masih berdegil nyatalah beliau melanggar perkenan DYMM Tuanku dan juga membelakangi undang-undang tubuh negeri Selangor. Nampak jelas beliau meletakkan dirinya lebih tinggi dari undang-undang tubuh negeri Selangor. Inilah yang dikatakan bagai ulat naik daun.

Wednesday, February 2, 2011

PRK Tenang: Satu Pandangan

1. Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada rakan-rakan dan seluruh pembaca blog ini dari kaum Tionghua tidak kira apa pegangan agama mahu pun fahaman politik. Semoga tahun arnab dalam kalendar cina ini akan meberi lebih banyak kemakmuran dan juga mengekalkan keamanan sedia ada.

2. Pilihan raya kecil DUN Tenang menyaksikan Barisan Nasional berjaya meningkatkan majoriti sebanyak 1, 200 undi. Ini merupakan satu aliran kemenangan yang agak memberangsangkan sejak di Batu Sapi dan Galas.

3. Selain itu sokongan pengundi Melayu yang kian bertambah kepada Barisan Nasional harus menjadi isyarat kepada pemimpin Pas bahawa polisi dan perubahan gaya politik mereka yang terlalu liberal dan tunduk kepada DAP akan menjurumuskan parti tersebut kepada satu ruang politik yang terpencil. Tidak mustahil mereka hanya akan menjadi parti yang sekadar membantu kemenangan DAP dan PKR tetapi kerusi dan kuasa sendiri hilang sedikit demi sedikit.

4. Sebahagian besar masyarakat India juga tampak kembali kepada Barisan Nasional menerusi kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Saya fikir kaum India juga ramai yang mula memahami beberapa isu kontroversi mengenai mereka yang sebelum ini diputarbelitkan dan dimanipulasi oleh pemimpin politik dalam meraih sokongan menjelang pilihan raya umum lalu.

5. Namun saya melihat tidak banyak perubahan dalam sokongan kaum Cina biar pun MCA mendakwa hampir 45% kaum Cina di Labis menyokong Barisan Nasional. Asas dakwaan MCA ialah BN memenangi dua daripada tiga peti undi yang majoritinya pengundi Cina. Namun ketiga-tiga peti undi yang dimenangi oleh BN tersebut mempunyai pecahan kaum yang agak rapat biar pun ia dianggap peti undi majoriti kaum Cina. Kaum Cina hanya sekitar 52-62% sahaja.

6. Berdasarkan arus sokongan Melayu dan India di peti-peti undi lain, maka andaian paling baik ialah kemenangan tipis BN di peti undi Labis dan Labis Timur adalah kerana sokongan orang Melayu dan India. Selain itu generasi muda Cina di Labis yang bekerja di luar tidak pulang ke kampung untuk mengundi kerana tarikh mengundi hampir dengan sambutan tahun baru Cina.

7. Menurut laporan BN hanya menang tipis di peti undi Labis dan Labis Timur. Di Labis kemenangan BN mendapat 380 undi dan Pas mendapat 337 undi. Dalam pilihan raya 2008, BN mendapat 411 dan Pas mendapat 421. Kemenangan kepada BN lebih menjurus kepada faktor undi kepada Pas berkurang lebih banyak dari BN bukannya faktor BN berjaya meningkatkan sokongan.

8. Demikian juga di peti undi Labis Timor, BN berjaya mengekalkan sokongannya pada 699 undi seperti dalam pilihan raya 2008. Namun sokongan kepada Pas merosot dari 740 kepada hanya 632.

9. Keputusan kedua-dua peti undi ini jelas menunujukkan sokongan kaum Cina kepada BN tidak kembali. BN hanya menang kerana faktor pengundi Cina yang menyokong parti lawan tidak keluar membuang undi kerana berada di luar kawasan.

10. Hakikat ini disokong oleh keputusan peti undi di Labis Tengah yang mengandungi hampir 97% pengundi kaum Cina. BN hanya mendapat 380 undi berbanding Pas mendapat 851 undi. Dalam pilihan raya 2008, BN mendapat 504 undi dan Pas 1013 undi.

11. Secara kasarnya, tiada perubahan dalam pola sokongan kaum Cina kepada BN sejak 2008. Saya khuatir kenyataan-kenyataan kononnya kaum Cina kembali menyokong BN akan memakan diri dalam pilihan raya umum akan datang jika pemimpin di atas percaya kepada retorik politik pasca PRK DUN Tenang ini.

12. Berdasarkan aliran sokongan kaum Cina kepada Pakatan di bandar-bandar besar tidak mustahil jurang undi antara BN dan parti lawan akan menjadi lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang apabila ramai pengundi Cina yang bekerja di bandar-bandar besar dan Singapura pulang mengundi.

13. Biarpun kita meraikan kemenangan ini, adalah perlu difahami bahawa jalan untuk mendapat sokongan dalam pilihan raya umum lebih sukar berbanding pilihan raya kecil. Ia jauh lebih sukar apabila kita leka dibuai nyanyian-nyanyian palsu bahawa kaum Cina telah kembali menyokong BN.

14. Setakat ini ramai yang beranggapan sokongan kaum Cina terhadap BN tidak lebih daripada kata pepatah "indah khabar dari rupa." Namun ramai juga berharap mereka jujur untuk terus bersama menyokong kepimpinan Dato Sri Najib dalam melakukan transformasi negara.

15. Sekadar renungan, saya tertanya-tanya mengapa DAP dan MCA begitu bertegang leher mempertahankan siapa yang lebih banyak mendapat sokongan kaum Cina sedangkan kedua-dua mereka banyak mengkritik UMNO apabila membincangkan berasaskan kaum? Apakah laungan tiada perbezaan antara kaum dan sebagainya hanya retorik apabila ia membabitkan orang Melayu?