Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Thursday, March 24, 2011

Memahami Kewangan Yayasan Selangor

1. Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar, tan Sri Khalid Ibrahim yang akhirnya sudi mendedahkan kedudukan kewangan Yayasan Selangor setelah menjadi kontroversi hampir setahun.

2. Menurut kenyataan akhbar Khalid, Yayasan Selangor rugi sebanyak 10 juta pada 2005 dan RM 8 juta pada 2006. Bagaimanapun Yayasan mula mencatat keuntungan pada 2007 sebanyak RM 40 juta, RM 128 juta (2008) dan RM 25 juta (2009).

3. Apabila saya mengambil alih kepimpinan negeri sememangnya akaun Yayasan berada dalam keadaan kurang menyenangkan. Bagaimanapun beberapa perubahan drastik telah dibuat termasuk pengurusan Yayasan bagi memulihkan organisasi ini.

4. Sebab itu kita lihat mulai tahun 2007 Yayasan Selangor mula mencatatkan keuntungan yang besar sebanyak RM 40 juta. Demikian juga pada tahun 2008 ia terus mencatat keuntungan yang memberangsangkan sebanyak RM 128 juta. Sungguhpun tahun 2008merupakan tahun peralihan dari Barisan Nasional kepada Pakatan, namun pendapatannya dijana dari perancangan tahun-tahun sebelumnya dan ketika pengurusan Yayasan masih dibawah Haji Takril.

5. Dengan kata lain, di bawah pentadbiran saya yang kononnya "korup dan jijik" Yayasan telah dipulihkan, dan tanpa perlu menutup mana-mana pusat latihan Yayasan masih mencatat pendapatan yang sangat baik.

6. Justeru yang membimbangkan ramai ialah apabila kerajaan baru melantik pentadbiran baru telah mula terdengar beberapa tindakan yang negatif seperti menutup IKYS, sambutan ulang tahun Yayasan yang dikatakan agak melampau dan juga laporan audit terbaru yang menunjukkan banyak penyelewengan termasuk kos menyelenggara 9 buah bas dan 6 kereta Yayasan sebanyak RM 6 juta.

7. Jadi apabila aliran kewangan mula menunjukkan penurunan yang penurunan pada 2009 dan dilaporkan defisit pada 2010, ia menimbulkan banyak tanda tanya terhadap kaedah pengurusan Yayasan Selangor. Bayangkan jika perkara ini dibangkitkan oleh Adun-adun Barisan Nasional sebelum ini.

Tuesday, March 22, 2011

Video Seks "Anwar": Permainan Politik Siapa?

1. Tiba-tiba sahaja seluruh negara digemparkan dengan isu video perlakuan seks yang dikatakan menyerupai Ketua Pembangkang, Datuk seri Anwar Ibrahim. Pendedahan ini dibuat oleh seseorang yang meminta beliau dikenali sebagai Datuk T.

2. Datuk T mengadakan sidang akhbar di Carcosa Seri Negara semata-mata untuk mendedahkan sebuah video "lucah" dan mendakwa lelaki yang terbabit dalam video tersebut ialah dato Seri Anwar Ibrahim. Kejadian tersebut dirakamkan pada 21 Februari 2011 tetapi tidak dimaklumkan di hotel mana ia berlaku.

3. Siapakah Datuk T ini? Jika dilihat dari laporan media, tiada siapa pun yang mengenali beliau atau tahu nama sebenar beliau. Ini menimbulkan tanda tanya bagaimana beliau boleh mengenali Anwar dan membantu mencari jam Anwar di dalam bilik hotel tersebut. Kononnya beliau menjumpai video tersebut secara tidak sengaja dalam usaha mencari jam di dalam bilik tersebut.

4. Anwar menafikan bahawa lelaki dalam video tersebut adalah dirinya. Namun apakah penafian tersebut mencukupi kepada umum? Apakah kata-kata Anwar masih dianggap kata-kata yang suci dan bersih? Anwar menyatakan ini taktik jahat BN. Bukankah Anwar sendiri mahaguru segala strategi politik menuduh dan memfitnah ini?

5. Saya tidak menyatakan lelaki dalam video tersebut ialah Anwar atau pun bukan kerana saya belum menontonnya. Cuma cara Anwar mepertahankan dirinya dengan cara melabelkan pendedahan ini merupakan agenda jahat Barisan Nasional menjelang pilihan raya Sarawak sangat klasik dan klise sifatnya.

6. Dengan pengumuman persaraan Tan Sri Taib Mahmud, peruntukan dan penumpuan pembangunan kerajaan kepada Malaysia Timur sejak beberapa tahun lalu, BN mempunyai peluang cerah mempertahankan kerajaan negeri Sarawak. Malahan tindakan Taib Mahmud mengetuai jentera Pilihan raya negeri akan datang merupakan kelebihan besar kepada BN. Justeru BN tidak memerlukan pendedahan video seperti ini untuk melemahkan Pakatan.

7. Saya juga percaya pendedahan ini tidak membabitkan BN. Ini kerana dari segi politik BN, rakyat tidak mengukur keburukan pemimpin politik lawan tetapi menilai kejayaan-kejayaan pemerintahan dalam bidang ekonomi, keselamatan dan pendidikan yang sedang dilaksanakan. Justeru BN tidak memerlukan isu-isu dalam kelambu Anwar untuk menang dalam pilihan raya akan datang.

8. Justeru saya khuatir ialah kemungkinan video sebegini dicipta oleh mereka yang mahu memerangkap BN. Jika BN terlalu ghairah memainkan isu ini dan akhirnya terbukti lelaki tersebut bukan Anwar, maka Anwar akan mendapat kemenangan besar dari segi populariti politiknya.

9. Malahan jika ada lelaki lain yang hampir seiras dengan Anwar mengaku beliau lelaki dalam video tersebut, ia boleh menukar persepsi ramai orang terhadap skandal-skandal Anwar yang lain. Malahan jika terbukti kemudiannya lelaki dalam video tersebut bukan Anwar, maka beliau akan menggunakan isu ini untuk menjustifikasikan segala tuduhan lain terhadap beliau termasuk kes Mahkamah beliau sebagai fitnah dan konspirasi.

10. Justeru apakah kita mahu menolak kemungkinan video ini merupakan satu strategi politik Pakatan membersihkan Anwar? Melihat strategi politik Anwar sejak zaman pelajar dahulu sehingga sekarang, maka kemungkinan ini bukanlah sesuatu yang mustahil.

11. Walau apa pun kebenarannya, masyarakat kita akan terus dihujani dengan perbincangan-perbincangan dalam kelambu yang memalukan ini. Akhbar-akhbar kita akan terus dihiasi dengan cerita-cerita yang malu untuk membenarkan anak-anak kita membacanya.

12. Selain itu, pendedahan video perlakuan seks di hotel ini selepas kes datuk Seri Chua Soi Lek menimbulkan tanda tanya mengenai tahap keselamatan di hotel-hotel di negara ini. Apakah suatu hari nanti perlakukan kita bersama isteri di dalam Hotel juga akan dipindah naik ke dalam internet?

Thursday, March 10, 2011

Memastikan Kejayaan Skim Rumah Pertamaku

1. Pelancaran Skim Rumah Pertamaku oleh YAB Perdana Menteri semalam merupakan berita baik kepada golongan muda yang baru bekerja dan bekeluarga dan kepada mereka yang belum mampu membeli rumah kerana masalah membayar pendahuluan 10% daripada harga rumah.

2. Jika saudara/i masih ingat saya menulis mengenai cadangan saya kepada YAB Perdana Menteri dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri pada bulan Jun 2009 [Klik sini untuk membaca artikel tersebut]. Sungguhpun idea pelaksanaan yang sedikit berlainan, namun saya bersyukur kerana kerajaan memberi perhatian serius kepada masalah pemilikan rumah di kalangan rakyat.

3. Menurut Perdana Menteri, Skim Rumah Pertamaku yang berkuat kuasa mulai semalam membenarkan golongan muda berumur 35 tahun ke bawah dan berpendapatan bawah RM 3, 000.00 memiliki rumah berharga antara RM100,000 hingga RM220,000.

4. Sungguhpun belum ada prosedur lengkap, saya difahamkan kerajaan akan menjamin 10% daripada pinjaman oleh peminjam yang layak. Ini bermakna jika rumah tersebut berharga RM 200 ribu, pembeli rumah akan memohon pinjaman sebanyak RM 200 ribu bukannya RM 180 ribu seperti keperluan sekarang dan sekiranya berlaku kegagalan melunaskan pinjaman, kerajaan perlu membayar sebanyak 10% daripada jumlah pinjaman kepada bank.

5. Saya percaya orang ramai berharap mereka yang menyertai skim ini tidak merosakkan niat baik kerajaan sehingga akhirnya memberi beban kewangan kepada kerajaan kerana perlu menjelaskan jaminan 10% yang dibuat oleh kerajaan.

6. Mengikut pengalaman saya di Selangor, mereka yang mempunyai pendapatan RM 3, 000 sebulan sukar untuk membeli rumah berharga lebih RM 120 ribu. Mereka bukan sahaja terpaksa membayar rumah tetapi juga membayar kereta dan pinjaman pelajaran. Dalam keadaan ini tidak banyak bank akan memberi pinjaman kepada mereka yang berpendapatan RM 3, 000 ke bawah untuk membeli rumah lebih RM 100 ribu.

7. Sebab itu saya pernah cadangkan agar mereka yang berpendapatan RM 2, 500 ke bawah di Lembah Klang dibenarkan membeli rumah kos rendah untuk tinggal.

8. Justeru agar lebih ramai generasi muda dapat menikmati peluang ini, saya berharap kerajaan dapat meluaskan skop kelayakan pembeli rumah dalam skim ini kepada pendapatan isi rumah di bawah RM 6, 000.00 terutamanya di bandar besar.. Harga rumah juga mungkin boleh dinaikkan sedikit sehingga RM 250, 000.00.

9. Dengan cara ini kerajaan akan meluaskan skop generasi muda yang dapat dibantu memiliki rumah pertama mereka.

Thursday, March 3, 2011

Kaji Semula AES dan Kompaun Lebihi Had Laju

1. Terima kasih kepada kerajaan yang melanjutkan tempoh pembayaran saman tertunggak. Bagi mereka yang berpandangan negatif akan mencemuh sebagai satu keputusan yang tidak konsisten yang bermasalah. Namun secara keseluruhan ia mencerminkan sikap kerajaan yang mendengar pandangan dan permintaan rakyat.

2. Walaupun begitu, saman ekor akan terus menjadi kontroversi kerana ramai yang tidak berpuas hati terhadap kaedah dan hukumannya. Kerajaan perlu mencari jalan meredakan dan mengurangkan kemarahan pemandu kenderaan terhadap saman ekor ini atau ia akan menjadi satu bebanan politik yang besar kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.

3. Sebahagian besar saman ekor ialah membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju. Seolah-olah memandu melebihi had laju merupakan faktor utama kemalangan maut di negara ini. Hakikatnya 70% kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal yang jarang sekali kita dengar disaman kerana memandu laju.

4. Saya tidak mengatakan tidak salah untuk kita melanggar had laju yang ditetapkan. Peraturan tetap peraturan. Apa yang ramai orang harapkan ialah kerajaan mempunyai mekanisme saman yang lebih rasional dan mencerminkan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya bukannya mengutip pendapatan negara.

5. Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam Bernama baru-baru ini, antara punca utama kemalangan maut ialah sikap pemandu yang memandu dalam keadaan terburu-buru sehingga memakan jalan pemandu lain, berhenti secara mengejut, mengekor rapat dan melanggar lampu isyarat. Sementara penunggang motosikal pula menunggang dengan berlagak sebagai hero. Dengan kata lain, punca utama kemalangan di negara kita ialah sikap pengguna yang cuai dan tidak bertanggung jawab.

6. Malangnya, yang paling banyak berhadapan dengan saman ekor ialah mereka yang memandu melebihi had laju. Ini berlaku kerana ia mudah dikesan dan disaman. Ini menimbulkan persepsi rakyat bahawa saman ekor yang dibuat bukan untuk mengurangkan kemalangan tetapi menambah kantung kerajaan.

7. Justeru itu, saya berharap kerajaan mengkaji semula kaedah pelaksanaan saman ekor ini jika niat sebenar ialah untuk mengurangkan kemalangan bukannya mencari keuntungan.

8. Kaedah kompaun saman melebihi had laju juga harus berstruktur bukannya secara pukul rata RM 300 tanpa mengambi kira jumlah kelajuan sebenar. Misalnya mereka yang terlebih sekadar 10-30 KM/J daripada had laju yang dibenarkan tidak sewajarnya menerima hukuman kompaun setaraf dengan mereka yang memandu 200 KM/J. Risiko dan impak kemalngan juga berbeza, mengapa kompaunnya sama?

9. Penguatkuasa perlu memahami bahawa pemandu ialah manusia bukannya robot atau mesin. Saya percaya majoriti pemandu termasuk sebahagian besar menteri, penggubal polisi dan penguatkuasa undang-undang juga pernah memandu melebihi had laju sama ada kerana mahu memotong atau pun tidak perasan had laju di kawasan tersebut. Namun ini bukan bermakna kita memandu secara cuai dan secara sewenang-wenangnya (reckless) sehingga boleh menyebabkan kemalangan atau hilang kawalan ke atas kenderaan.

10. Justeru saya berharap kerajaan dapat menimbangkan semula keputusan memaksimumkan kompaun memandu melebihi had laju tanpa membezakan mereka yang melanggar kerana faktor kemanusiaan dengan pemandu yang memandu secara merbahaya.

11. Masalah saman had laju ini akan bertambah parah apabila Automated Enforcement System (A.E.S) diperkenalkan. AES baik jika ia bertujuan sebagai pencegahan dan pemantauan bagi membolehkan pemandu memandu dengan berhemah dan mengelak kemalangan.

12. Namun jika sekadar untuk menyaman mereka yang memandu melebihi had laju tanpa mengira masa, suasana dan keadaan ia hanya akan menyebabkan lebih ramai orang disaman dan menimbulkan konflik berterusan antara orang ramai dan kerajaan.

13. Saya difahamkan pemasangan dan penyelenggaraan AES ini dilakukan oleh syarikat swasta. Sebahagian bayaran kompaun akan disalurkan kepada syarikat ini sebagai bayaran penyelenggaraan sistem.

14. Kerjasama ini bukan sahaja sangat merbahaya kepada politik BN malah sangat tidak beretika. Adalah tidak wajar sama sekali kerajaan menswastakan perkhidmatan keselamatan kerajaan berasaskan kepada perkongsian keuntungan atas kesalahan yang dilakukan oleh orang ramai.

15. Jika ia benar, ini bermakna survival syarikat terbabit bergantung kepada jumlah kesalahan jalan raya yang berjaya mereka kesan. Sebagai kumpulan kapitalis yang berasaskan kepada keuntungan, apakah tidak akan terdapat pelbagai masalah dan penipuan nanti terutamanya apabila mereka cuba meningkatkan keuntungan mereka?

16. Jika kerajaan benar-benar memerlukan AES ini, maka kosnya harus ditanggung terus oleh kerajaan bukannya bergantung kepada jumlah saman dan sebagainya yang boleh dimanipulasi sehingga menindas pengguna jalan raya.

17. Jika cadangan kaedah AES berasaskan perkongsian keuntungan ini dilaksanakan, ianya pasti akan menjadi bebanan politik kepada Barisan Nasional kerana rakyat melihat sebahagian saman yang dibayar kepada mereka akan masuk ke kantung syarikat tertentu. Persepsi syarikat kroni pasti akan ditimbulkan dan menjadi isu politik pada masa akan datang. Cukuplah dengan masalah isu syarikat tol dalam bandar yang sampai sekarang menjadi beban politik kepada BN.

18. Saya berharap kerajaan tidak ambil mudah persepsi dan kemarahan rakyat terhadap saman ekor, kenaikan kos sara hidup, kenaikan kadar pinjaman asas dan kenaikan cukai perkhidmatan kerana ia membabitkan perut rakyat.

-------
Artikel berkaitan sebelum ini