Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Tuesday, April 26, 2011

Memuliakan Konsep 1 Melayu 1 Bumiputera

1. Seperti yang dijangka majoriti kaum Cina tidak memberi sokongan kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini. Ini bukanlah corak baru atau mengejutkan. Corak pengundian ini telah bermula sejak pilihan raya umum 2008 dan dicerminkan dengan jelas dalam hampir kesemua pilihan raya kecil kecuali di Bagan Pinang.

2. Ramai orang bukan Cina, terutamanya bumiputera, melihat sokongan kaum Cina kepada Pakatan lebih merupakan sokongan kepada pemerkasaan kuasa politik orang Cina melalui Parti Tindakan Demokratik (DAP)bagi menghakis dan seterusnya menghapuskan apa-apa sahaja keitimewaan bumiputera seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia.

3. Bagi orang Melayu sendiri corak pengundian kaum Cina dan dasar DAP yang dilihat anti segala-galanya yang membabitkan kepentingan bumiputera dan agama Islam merupakan satu petunjuk jelas bahawa sudah wujud gelombang mahu memperkasakan kuasa kaum Cina dalam politik setelah mereka menguasai ekonomi.

4. Justeru apakah mahu dipersalahkan penulis Melayu dan orang Melayu jika ada yang menganjurkan slogan 1 Melayu 1 Bumiputera sebagai jawapan kepada pengundian bercorak perkauman sebahagian besar kaum Cina hari ini?

5. Saya selalu bertanya mengapa bila orang Melayu bercakap soal hak pribumi maka ia dianggap sebagai perkauman, tetapi apabila kaum Cina bercakap soal sekolah Cina, bahasa Cina dan ekonomi kaum Cina tidak dianggap perkauman?

6. Malahan, apakah kempen-kempen politik DAP yang mempertikaikan konsep perkongsian kuasa Barisan Nasional kerana dipimpin oleh orang Melayu bukan merupakan satu kempen perkauman? Malangnya tiada pula ada akhbar-akhbar milik kaum Cina menganggap kenyataan DAP tersebut sebagai kenyataan berbaur perkauman.

7. Mengapa apabila ditubuhkan Perkasa maka ia dianggap pertubuhan perkauman, namum ratusan pertubuhan lain yang bersandar dan bertunggakkan kepentingan kaum Cina tidak dianggap perkauman oleh akhbar-akhbar yang dikuasai oleh kaum Cina?

8. Apakah bukan satu sikap perkauman apabila ada kaum Cina yang menggesa dan mendesak bahasa Melayu dijenamakan semula sebagai bahasa Malaysia? Kononnya, nama bahasa Melayu bersifat perkauman dan menyebabkan mereka merasa tidak selesa dan serasi untuk belajar dan bercakap. Mungkin suatu hari nanti apa sahaja ikon kebangsaan yang ada nama Melayu mahu dihapuskan atas alasan tidak mencerminkan konsep 1 Malaysia.

9. Perkauman atau tidak slogan 1 Melayu 1 Bumiputera yang dicadangkan oleh Datuk Zaini Hassan (Utusan Malaysia) adalah bergantung kepada pelaksanaan, tuntutan dan kehendak gerakan tersebut.

10. Jika gerakan ini bertujuan menyatupadukan orang kaum Bumiputera demi menjaga kepentingan bumiputera dan Islam, maka ia tidak harus dianggap agenda perkauman. Ia harus dianggap sebagai satu perjuangan yang sah dan mulia.

11. Namun jika ia bertujuan menyatukan kaum bumiputera bagi tujuan menindas dan menghancurkan kaum Cina maka konsep ini harus dianggap perkauman dan ditentang sehabisnya. Saya sendiri tidak akan bersetuju dengan sebarang konsep menindas dan menghancurkan kedudukan kaum lain.

12. Dalam pada itu, ramai juga yang tertanya-tanya apakah kumpulan-kumpulan NGO yang sering menggunakan konsep 1 Malaysia untuk mendesak penghakisan hak-hak bumiputera bukan merupakan satu tindakan perkauman?

13. Mengapa orang Melayu sering dianggap perkauman bila bercakap soal penyatuan Melayu sedangkan kaum lain boleh sahaja bercakap soal penyatuan mereka tanpa bantahan orang Melayu?

Tuesday, April 19, 2011

BLR, Inflasi dan Risiko Politik

1. Pada bulan hadapan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan satu lagi mesyuarat membabitkan isu Overnight Policy Rate (OPR). Sebelum ini pada bulan Mac lalu BNM tidak membuat sebarang kenaikan OPR. Pada tahun 2010 sebanyak tiga kali kenaikan OPR diumumkan pada Mac, Mei dan Julai yang menyebabkan kenaikan dari 2.0 kepada 2.75.

2. Kenaikan OPR ini akan berkait langsung dengan kenaikan Base Lending Rate (BLR) atau Kadar Pinjaman Asas. BLR turut meningkat sebanyak tiga kali dari 5.55% pada 2009 kepada 6.30 pada Julai 2010.

3. Salah satu tujuan kenaikan OPR dan BLR ialah untuk membendung inflasi. Kebanyakan kita bukan pakar ekonomi jadi kita sendiri tentu sukar untuk memahami bagaimana menaikan kadar pinjaman asas boleh membantu mengurangkan inflasi. Hakikatnya kita terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk membayar hutang.

4. Apa yang saya faham secara mudah (mungkin betul atau salah pemahaman ini) ialah kenaikan OPR dan BLR akan menaikkan kadar faedah bagi simpanan. Secara teorinya ini akan menggalakkan orang ramai menabung bagi mendapat faedah yang tinggi. Dengan penabungan iaitu menyimpan di bank, orang ramai akan kurang berbelanja. Ini akan mengurangkan permintaan (teori penawaran dan permintaan) sekaligus menurunkan harga barangan. Penurunan harga barangan akan menurunkan inflasi.

5. Namun persoalan yang jarang dijawab oleh pengamal ekonomi yang mahu mengawal inflasi melalui kaedah ini ialah apakah inflasi hari ini disebabkan permintaan yang lebih daripada penawaran atau kerana peningkatan harga barangan keperluan di luar kuasa pembeli?

6. Tanda-tanda BNM hendak menaikkan kadar OPR tampak jelas apabila beberapa penganlisis ekonomi yang "mesra" kerajaan meramalkan kenaikan ini bagi mengawal inflasi.

7. Pada tahun lalu BNM menaikkan OPR sebanyak tiga kali apabila negara mengalami inflasi. Malangnya kenaikan sebanyak tiga kali tersebut gagal mengawal inflasi apabila inflasi terus meningkat pada bulan Disember lalu sehingga kini.

8. Mengapa ia gagal? Ini kerana kenaikan kadar inflasi di Malaysia pada masa kini berkait rapat dengan kenaikan harga barangan asas dan keperluan utama yang sebahagiannya dikawal oleh kerajaan.

9. Misalnya pada tahun 2010 sebelum kenaikan OPR, kadar inflasi negara naik akibat kenaikan ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi seperti makanan dan minuman bukan alkohol (1.6 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.0 peratus); dan pengangkutan (0.7 peratus). Kenaikan-kenaikan lain ialah minuman alkohol dan tembakau, dan pelbagai barangan dan perkhidmatan masing-masing pada 2.9 peratus; perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan 2.7 peratus; pendidikan 1.8 peratus; restoran dan hotel 1.6 peratus; kesihatan 1.5 peratus; dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah 0.7 peratus.

10. Selepas kenaikan BLR pun, inflasi masih meningkat. Kenaikan kadar inflasi sejak beberapa bulan lalu dilaporkan oleh FOMCA. Menurut Fomca,

"Kadar inflasi Malaysia pada Disember 2010 naik kepada 2.2 peratus, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan. Kenaikan kadar inflasi ini berpunca daripada lonjakan harga makanan, komoditi dan penurunan subsidi oleh kerajaan pada akhir tahun 2010. Penurunan subsidi yang menyaksikan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak lima sen seliter, LPG lima sen sekilogram dan gula 20 sen sekilogram serta sambutan perayaan Krismas dan cuti sekolah telah mendorong kenaikan inflasi.

Bagaimanapun, kadar inflasi negara masih jauh lebih rendah berbanding Indonesia 6.9 peratus, Thailand tiga peratus, Korea 3.5 peratus dan India 8.4 peratus."

11. Jelas sekali sebahagian besar punca kenaikan harga barang adalah kerana kerajaan memotong subsidi. Jadi kadar inflasi yang tinggi ini ialah akibat pemotongan subsidi. Justeru kenaikan OPR dan BLR tidak memberi kesan apa-apa kepada inflasi kerana majoriti rakyat membayar barangan ini bukan untuk kemewahan tetapi untuk keperluan.

12. Lihat kenaikan-kenaikan harga barangan yang mengakibatkan inflasi melonjak tinggi adalah akibat daripada pemotongan subsidi dan kenaikan harga bahan tenaga bukannya kerana lebihan permintaan berbanding penawaran.

13. Dengan menaikkan OPR dan BLR, rakyat bukan sahaja terpaksa membayar barangan harian yang tinggi tetapi perlu menjelaskan hutang pinjaman perumahan dan peribadi yang lebih tinggi. Ini bermakna rakyat akan terus dibeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

14. Kenaikan BLR hanya menguntungkan sekumpulan kecil rakyat Malaysia yang mempunyai wang berjuta ringgit dalam simpanan tetap tetapi menindas majoriti rakyat. Saya berharap kerajaan tidak membenarkan polisi ekonomi negara yang membabitkan BLR ini ditentukan oleh birokrat ekonomi BNM sahaja.

Risiko Politik

15. Setiap kali kenaikan OPR dan BLR yang ketara dari tahun sebelumnya, Barisan Nasional akan berhadapan dengan keputusan pilihan raya yang tidak memberangsangkan. Walaupun terdapat banyak faktor lain yang mempengaruhi keputusan pilihan raya, namun kenaikan BLR turut memberi kesan negatif kepada BN.

16. Keputusan pilihan raya 2008 dan 1999 berbanding 2004 dan 1995 kepada BN boleh dihubungkan dengan naik turun BLR. Pada 2008, BLR ialah sebanyak 6.75 berbanding pada 2004, 6%. BLR 6% kekal sehingga 2006 sebelum dinaikkan pada 2007 dan 2008. Akibatnya kita tahu apa yang berlaku pada tahun tersebut kepada BN.

16. Pada 1999, BLR ialah pada 8% dan kita juga tahu nasib BN ketika itu. Memang benar ada faktor lain yang lebih besar. Namun himpitan terhadap majoriti rakyat yang mempunyai pinjaman ini menyebabkan pembangkang mengambil kesempatan membakar kemarahan rakyat terhadap isu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada 1995 BN mencapai kemenangan cemerlang, BLR ketika itu ialah 6.6 (berbanding 1994 sebanyak 8.25% dan 1993 sebanyak 9.5%).

17. Jadi fikir-fikirkanlah sebelum menggunakan taktik OPR dan BLR ini untuk mengawal inflasi. Inflasi tak terkawal, rakyat makin susah. Bukankah tujuan mengawal inflasi untuk membantu rakyat. Tapi jika ia lebih menyusahkan rakyat apa perlu dikawal dengan kaedah ini?

18. Dalam usaha mengatasi kadar inflasi yang tinggi jangan pula kita menjadi seperti tikus membaiki labu.

Thursday, April 14, 2011

PRN Sarawak: Janji Manis, Janji Realistik dan Politik Kaum Cina

1. Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang sedang berlangsung sekarang mungkin antara pergelutan politik paling hebat dalam sejarah pilihan raya negeri tersebut. Buat pertama kali parti-parti pembangkang dijangka memberi cabaran sengit kepada Barisan Nasional.

2. Kesemua 71 kerusi yang terdapat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dipertandingkan. Ini bermakna tiada sebarang calon menang tanpa bertanding. PRN Sarawak ini juga menyaksikan pelbagai janji yang ditaburkan oleh dua buah gabungan seteru politik utama iaitu BN dan Pakatan.

Antara Janji Manis dan Janji Yang Realistik

3. Apakah janji-janji pilihan raya merupakan satu keutamaan dalam menentu undi atau terdapat faktor-faktor lain yang lebih besar pengaruhnya dalam menentukan kecenderungan pengundi hanya dapat dianalisa selepas keputusan pengundian diumumkan.

4. Jika janji pilihan raya yang menjadi pilihan pengundi di Sarawak kali ini, maka mereka harus memilih BN. BN mempunyai rekod melaksanakan janji-janji pilihan rayanya dengan cemerlang. Ia bukan sahaja mempunyai kemahuan tetapi juga kemampuan dan kebijaksanaan melaksanakan janji pilihan raya. Jarang-jarang sekali janji pilihan raya BN gagal ditunaikan kerana setiap janji yang dibuat setelah melalui proses penilaian mengenai kemampuan melaksanakannya.

5. Sebaliknya, janji Pakatan mungkin lebih baik, manis dan hebat di mata rakyat. Malangnya, janji-janji yang sering mereka buat tanpa melalui proses penilaian kemampuan dan keupayaan melaksanakannya. Ini kerana janji-janji pilihan raya mereka dibuat berdasarkan apa yang boleh mereka pengaruhi rakyat biarpun ia tidak dapat dilaksanakan. Tujuan mereka hanya satu, Menang pilihan raya. Dapat tunaikan atau tidak perkara lain.

6. Di Selangor sendiri banyak janji-janji pilihan raya lalu seperti penurunan cukai pintu, pemberian elaun kepada ibu tunggal, Memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri, Memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan pra-sekolah, Memberi elaun khas suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka dan banyak lagi tidak dapat ditunaikan sehingga sekarang.

7. Hanya satu janji yang mereka laksanakan pada masa ini ialah memberi air percuma sebanyak 20 meter padu. Itu pun dilaksanakan secara tidak menyeluruh dan lebih mengutamakan penduduk yang tinggal di rumah teres dan banglo. Sedangkan subsidi ini meragut banyak peruntukan kerajaan negeri yang sepatutnya disalurkan untuk projek pembangunan luar bandar dan membantu rakyat miskin.

Politik Kaum Cina

8. Menarik juga PRN Sarawak ialah jangkaan pengundi Cina akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Pakatan. Justeru BN dijangka tewas teruk di kawasan-kawasan bandar kerana majoriti pengundi Cina dikatakan lebih selesa dan gembira dengan dominasi DAP dalam Pakatan.

9. Pemerintahan negara ini adalah berdasarkan perkongsian kuasa pelbagai kaum, agama dan budaya. Adalah sukar untuk kerajaan Persekutuan dan Negeri memenuhi kehendak semua bangsa dan agama tanpa menjejaskan pihak lain.

10. Justeru jika kaum Cina berpandangan bahawa mereka harus mendapat apa sahaja yang mereka minta jika tidak mereka akan menyokong parti lawan, tentulah YAB Perdana Menteri dan YAB Ketua Menteri Sarawak tidak dapat berbuat apa-apa. Ini kerana kerajaan perlu menjaga kepentingan banyak kaum bukan memuaskan hati kaum Cina sahaja.

11. Banyak perubahan yang dibuat oleh Perdana Menteri bagi memenuhi cita rasa kaum Cina kerana beliau merasakan permintaan-permintaan mereka rasional dan boleh dilaksanakan. Namun adalah tidak wajar jika Perdana Menteri terus diasak dengan bermacam-macam permintaan yang bukan-bukan oleh kaum Cina sehingga menimbulkan ketidaksenangan kumpulan rakyat yang lain.

12. Mungkin permintaan tersebut nampak rasional kepada kaum Cina namun Perdana Menteri juga perlu mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia yang lain. Justeru adalah penting untuk kaum Cina di Sarawak memberi sokongan kepada BN agar polisi-polisi Dato Sri Najib yang membabitkan kepentingan mereka dapat diteruskan.

13. Jika sokongan kaum Cina kepada DAP terlalu kuat, maka parti-parti komponen BN yang lain, yang tidak berasaskan sokongan kaum Cina, mungkin akan mula mempersoalkan beberapa polisi dan keputusan kerajaan yang membabitkan keuntungan kaum Cina pada masa kini.

14. Jika pengundi Cina berpendapat dengan mengasak PM sehingga ke penjuru gelanggang sebagai jalan politik paling menguntungkan mereka, maka kita akan menyaksikan kekalahan BN di kesemua kawasan yang ditandingi DAP.

15. Dan jika ini berlaku, tentulah amat menarik sekali untuk kita melihat respon daripada pimpinan BN dari UMNO, MIC, PBB, PBS, PPP dan lain-lain.

Friday, April 8, 2011

Kemaskini Blog Minggu Hadapan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya mohon maaf tidak mengemaskini blog ini dan menjawab komen-komen saudara sepanjang dua minggu ini kerana berada di Mekah. Insyallah saya akan mengemaskini semula blog ini minggu hadapan. Terima kasih atas respon saudara/i.