Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Monday, May 23, 2011

Inflasi: Kerajaan Buat Rakyat Pening Lalat

1. Seperti yang dijangkakan Bank Negara Malaysia mengumumkan kenaikan Overnight Policy Rate (OPR). Kenaikan ini sekaligus menaikan kadar pinjaman asas. Ia kemudiannya meningkatkan beban hutang sebahagian besar rakyat yang membeli rumah dengan cara pinjaman.

2. Beberapa hari kemudian Gabenor Bank Negara menyatakan kenaikan inflasi adalah akibat kenaikan harga kos pembuatan terutamanya kenaikan harga minyak. Jadi ramai rakyat biasa di bawah jadi pening lalat mengapa Bank Negara perlu naikkan OPR dan BLR jika inflasi berlaku bukan disebabkan lebihan permintaan dan lebihan wang dalam pasaran. Rakyat biasa yang bukan pakar ekonomi tertanya-tanya bagaimana kenaikan OPR dan BLR boleh membantu mengurangkan kos pembuatan terutamanya kos bahan api atau kos tenaga sekaligus mengurangkan inflasi.

3. KDNK Malaysia suku tahun pertama yang diumumkan hanya berkembang pada kadar4.6 peratus. Ini di bawah sasaran tahun ini pada sekitar 5.5 - 6 peratus. Maknanya inflasi bukan disebabkan pertumbuhan ekonomi yang terlalu cepat. Malangnya, Bank Negara masih menggunakan cara lama untuk mengawal inflasi. Mungkin ada sebab Bank Negara naikkan kadar faedah, tapi majoriti rakyat tidak faham. Yang saya khuatir tindakan Bank Negara berterusan menaikkan kadar faedah bukan sahaja akan gagal mengawal inflasi malah mungkin akan menyebabkan kemelesetan pertumbuhan ekonomi.

4. Kalau baca akhbar The Star beberapa minggu lalu banyak kritikan terhadap tindakan Bank Negara ini dan hampir kesemuanya bersetuju tindakan Bank Negara menaikkan OPR dan BLR adalah tindakan tidak masuk akal. Mungkin semua yang menentang salah kerana kami tidak pandai ekonomi macam Gabenor Bank Negara. Kalau ada penjelasan logik cubalah berikan kepada rakyat, janganlah buat bodoh sahaja.

5. Rentetan masalah inflasi ini juga, beberapa Menteri mengakui inflasi di Malaysia agak serius. Mereka juga mengakui inflasi sekarang ini disebabkan kenaikan harga minyak dunia. Yang anehnya mereka juga menyatakan kerajaan mungkin akan menaikkan harga petrol RON 95 bagi mengurangi subsidi kerajaan.

6. Jadi kita yang dibawah ini bertambah keliru. Kerajaan kata inflasi berlaku akibat kenaikan harga minyak dunia. Kerajaan kata mahu kawal inflasi. Tapi dalam mahu kawal inflasi kerajaan mahu kurangkan subsidi petrol. Kalau ikut logiknya, pengurangan subsidi petrol ini akan tingkatkan harga petrol dan barangan sekaligus tingkatkan inflasi.

7. Baru-baru ini juga Makmal Rasionalisasi Subsidi umumkan pengurangan subsidi gula. Harga gula pun naik. Kalau sudah harga gula naik, susah juga nak halang pengusaha jangan naikkan harga minuman mereka. Kerajaan kata pengusaha jangan cari untung lebih dengan naikkan harga minuman.

8. Kita pun setujulah dengan pandangan kerajaan kalau kenaikan tersebut kecil. Namun jika telah dua kali harga gula naik (sebanyak 40 sen secara keseluruhannya) kerajaan masih tidak benarkan pengusaha naikan harga minuman susah juga. Kalau pengusaha kedai minuman mungkin boleh lagi, tapi kalau pengusaha Industri kecil dan sederhana (IKS) dan industri besar susahlah mereka. Kenaikan sedikit sahaja sudah boleh mencecah ratusan ribu atau jutaan ringgit kenaikan kos gula mereka.

9. Pengusaha pun rakyat juga. Mereka pun pening juga. Kerajaan tidak benarkan mereka naikkan harga tapi kerajaan sendiri tak mahu rugi, sebab itu kurangkan subsidi. Jadi pengusaha jangan buat untung, kerajaan pula yang hendak buat untung?

10. Dulu saya cadangkan supaya ditutup sahaja Makmal Rasionalisasi Subsidi kerana yang dibuat bukannya rasional sangat kepada rakyat. Makmal ini harus melihat isu subsidi secara keseluruhan bukannya secara berasingan.

11. Misalnya kita kata petrol dan gula kita murah berbanding negara jiran. Tapi di negara jiran kita pula harga beras, ikan dan sayur-sayuran jauh lebih murah dari negara ini. Kalau kerajaan nak hapuskan subsidi kenalah juga hapuskan dasar mengawal harga untuk barangan lain yang boleh didapati murah dari negara jiran.

12. Tidak bolehlah satu keadaan kita hendak kurangkan subsidi hingga menyebabkan barangan jadi mahal, tapi ada barangan kita boleh dapat dengan murah dari luar, kerajaan pula kawal. Memang benar kerajaan perlu lindungi industri tempatan. Rakyat boleh faham jika hak mereka juga dilindungi melalui skim subsidi sedia ada. Yang rakyat tidak faham ialah kerajaan tidak mahu beri subsidi untuk barang mahal tapi kawal barang murah sehingga jadi mahal.

13. Sepatutnya makmal rasionalisasi subsidi buat polisi mengurangkan subsidi yang rasional kepada rakyat. Tapi yang terjadi hari ini ialah makmal ini buat pengurangan subsidi ikut rasional mereka sahaja.

14. Namun yang paling tidak rasional ialah apabila kerajaan cakap nak turunkan inflasi tapi tindakan kerajaan hanya meningkatkan inflasi sahaja. Ini yang benar-benar buat rakyat pening lalat.

Thursday, May 19, 2011

Mendoakan Kesihatan Dr. Mahathir

1. Saya dimaklumkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada pagi semalam.

2. Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan negarawan negara ini. Semoga Allah terus melimpahkan rahmat dan rahim-Nya ke atas kesihatan Tun Mahathir dan pulih semula dari jangkitan paru-paru yang dihadapi beliau.

Tuesday, May 10, 2011

Konflik Antara Agama: DAP Menangguk Di Air Yang Keruh

1. Kenyataan beberapa jurublog bahawa wujud konspirasi di peringkat paderi dan mubaligh Kristian untuk menjadikan negara ini sebagai negara Kristian merupakan satu yang berat dan serius.

2. Dakwaan tersebut boleh mencetuskan kebencian terbuka antara agama dan kaum. Sebagai orang Islam, saya tidak dapat menerima sebarang usaha menukar kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Saya percaya 99% orang Islam lain juga tidak akan bersetuju.

3. Dalam pada itu, saya juga merasakan amat mustahil sekumpulan Paderi Kristian yang berwibawa di negara ini sanggup berbuat tindakan sedemikian dan mencemarkan keharmonian negara ini dan juga membelakangkan Perlembagaan Negara.

4. Kebanyakan rakan-rakan saya yang beragama Kristian juga tidak mengambil peduli apa agama rasmi negara ini kerana mereka beranggapan agama sebagai cara hidup peribadi. Mereka juga menerima kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Apa yang mereka mahukan ialah kerajaan tidak cuba memaksa mereka menjalani gaya hidup muslim.

Mengapa CFM Mengadakan Sidang Akhbar Bersama DAP?

5. Namun apabila sesuatu itu membabitkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) maka tidak ada apa pun yang mustahil. Ini kerana DAP sentiasa mengaut keuntungan politik dengan mencetuskan konflik antara kaum atau antara agama seperti mana mereka lakukan pada 1969. Saya percaya dalam isu Hindraf yang hampir menyembabkan konflik agama Islam- Hindu (kaum Melayu - kaum India) menjelang pilihan raya 2008 juga mempunyai tangan-tangan DAP di belakangnya.

6. Jika diingat konflik Kristian - Islam ini juga cuba dicetuskan oleh sebuah parti politik pada tahun 2000 apabila mereka mendakwa seorang wakil rakyat BN beragama Kristian bertanggungjawab mengkristiankan ramai gadis Islam di selatan Kedah. Namun siasatan kemudiannya mendapati terbukti tidak benar.

7. Hari ini parti lain dari Pakatan yang sama cuba mencetuskan konflik Islam - Kristian dengan mengapi-apikan kononnya UMNO cuba mencetuskan kemarahan orang Islam terhadap penganut Kristian melalui Utusan Malaysia.

8. Sungguhpun saya percaya kemungkinan besar apa yang didakwa oleh jurublog-jurublog terbabit terbabit tidak benar namun tindakan Persekutuan Kristian Malaysia (Christian Federation of Malaysia - CFM) mengadakan sidang akhbar bersama DAP sangat mencurigakan orang Melayu dan Islam.

9. Orang Melayu tertanya-tanya CFM boleh sahaja memanggil mereka yang terbabit dalam persidangan yang didakwa dan menafikannya. Saya percaya Utusan Malaysia bersedia menyiarkan di muka hadapan akhbar mereka juga.

10. Alangkah baik dan manisnya jika CFM mengadakan sidang akhbar bersendirian dan menafikan dakwaan jurublog-jurublog terbabit. Bukankah CFM sepatutnya kekal menjadi penaung kepada penganut Kristian tanpa kecenderungan politik kepartian?

Mengapa Utusan Dikambinghitamkan?

11. Saya juga tertanya-tanya mengapa Utusan Malaysia dijadikan bahan hentaman sedangkan akhbar tersebut hanya melaporkan sesuatu yang dianggap nilai berita. Utusan tentulah berani menyiarkan dakwaan yang serius ini kerana ia datang dari blog yang dikenali identiti pemiliknya. Utusan hanyalah penyampai berita. Malahan tindakan Utusan menyiarkan penafian YB Jeff Ooi menunjukkan mereka mengamalkan pemberitaan yang seimbang.

12. Jika dilihat terjemahan akhbar-akhbar bukan berbahasa Melayu, lebih banyak kenyataan menghasut, berbohong dan memfitnah terhadap pemimpin bukan dari kaum mereka dibuat. Malahan dalam sesetengah akhbar, terdapat hasutan membenci pemimpin Melayu, menuduh rasis dan sebagainya tersiar dengan sewenang-wenangnya tanpa disiarkan kenyataan balas pun.

13. Pemimpin politik dan Menteri yang mengkritik Utusan harus menyatakan apakah kerana Utusan Malaysia akhbar Melayu maka ia harus menjalani ukuran kewartawanan yang lain berbanding akhbar bukan berbahasa Melayu dan portal-portal berita anti-UMNO?

14. Apakah Utusan tidak boleh menyiarkan berita kontroversi tetapi akhbar lain boleh? Baca sahaja forum pembaca dan ruangan sms akhbar bukan milik orang Melayu yang kadang-kadang langsung tidak menghormati sensitiviti orang Melayu dan Islam tetapi tiada pula kecaman terbuka daripada mereka ini.

15. Seperti yang selalu dilaungkan oleh pejuang kebebasan media pro Pakatan, "jika mahu diambil tindakan, maka sumber berita harus diambil terlebih dahulu bukannya akhbar dan wartawan yang menjadi pelapornya."

16. Justeru saya terasa sangat aneh mengapa tiada gesaan keras untuk mengambil tindakan ke atas jurublog-jurublog terbabit tetapi mereka lebih menumpukan kepada Utusan malaysia yang hanya menyampaikan berita dan perlu mencari berita menarik untuk menjual akhbar mereka?

17. Nyata sekali ada pihak berkepentingan mahu mewujudkan kebencian penganut agama Kristian kepada UMNO, BN dan Kerajaan dengan menghentam Utusan Malaysia sambil mendakwa Utusan adalah alat UMNO.

18. Hakikatnya jika mereka jujur mahu meredakan konflik agama ini bukannya mahu berpolitik mengapa mereka tidak mendesak tindakan ke atas mereka yang membuat dakwaan ini? Atau apakah ada kebenaran dakwaan jurublog ini sehingga DAP terpaksa melencong isu dari mencari kebenaran kepada menyerang Utusan Malaysia?

19. Secara peribadi saya percaya adalah lebih baik jika Utusan tidak menjadikan kenyataan dua buah blog terbabit sebagai berita muka hadapan mereka. Namun Utusan seperti akhbar lain bersaing merebut ruang iklan melalui jumlah edaran dan jualan. Mereka terpaksa merebut pembaca, dan kenyataan seperti itu sangat tinggi nilai beritanya kepada pembacanya.

Konflik Agama Sangat Berbahaya

20. Cubaan mewujudkan konflik agama sangat berbahaya kepada negara kita yang pelbagai kaum dan agama ini. Ia bukan sahaja berbahaya kepada keselamatan rakyat, malah kepada ekonomi negara.

21. Ketika Perdana Menteri berusaha keras meningkatkan ekonomi negara ada kumpulan yang begitu berminat mencetuskan pertikaian dan konflik agar boleh meraih keuntungan politik.

22. Kita jangan lupa peristiwa perbalahan dan konflik antara kaum dan agama membabitkan kaum Serb, Croat dan Bosnia yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dan memecah belahkan sebuah negara. Jangan kerana hendak seronok berpolitik sehari dua, akhirnya menderita berabad lamanya.

Saturday, May 7, 2011

Kontroversi Pengurusan Sampah Selangor

1. Minggu lalu, Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, mengumumkan pengasingan tugas pengurusan sampah di Selangor membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Alam Flora. Menurut Khalid, PBT akan menguruskan perlantikan kontraktor-kontraktor pembersihan awam manakala Alam Flora hanya akan menguruskan kutipan sampah.

2. Pengasingan ini bukan perkara baru kerana ia telah dilaksanakan sebelum ini. Bagaimanapun kita dapati wujud masalah yang serius dalam pembersihan sampah ini kerana pihak pembersih dan pemungut sampah saling tuduh menuduh siapa yang bertanggungjawab mengenai sesuatu sampah.

3. Misalnya, kontraktor Alam Flora yang mengangkut sampah tidak akan mengambil sampah-sampah yang dilonggok di tepi jalan atau yang terjatuh di dalam longkang. Mereka mendakwa ini kerja kontraktor pembersihan yang dilantik oleh PBT. Kontraktor pembersihan pula mendakwa mereka telah mengumpul sampah seperti sepatutnya tetapi ia tidak diambil oleh kontraktor pengangkut sampah. Ini menyebabkan sampah kembali berterabur. Malah ada yang mendakwa kontraktor pengangkut sampah sengaja membuang sebahagian sampah ke dalam longkang dan parit apabila lori telah penuh. Akhirnya, Alam Flora dan PBT saling menuduh pihak mana yang menyebabkan sesuatu kawasan tersebut tidak dibersihkan atau sangat kotor.

4. Disebabkan masalah-masalah sedemikian maka kita memberi tanggungjawab membersih dan mengangkut sampah kepada Alam Flora sepenuhnya. Dengan cara ini Alam Flora bertanggung jawab terhadap kebersihan kawasan tersebut sama ada sampah tidak diangkut mahu pun tidak dibersihkan oleh kontraktor yang dilantik.

5. Saya khuatir perubahan kepada kaedah lama ini akan mengulangi isu ini dan akan menyebabkan kualiti kebersihan persekitaran kita akan menjadi lebih teruk berbanding pada masa kini.

6. Ramai juga yang bertanya kepada saya apakah perubahan ini kerana mahu memperbaiki kualiti kerja pembersihan atau satu lagi keputusan tergesa-gesa bagi menyelesaikan beberapa isu pemberian kontrak pembersihan di beberapa PBT.


7. Pada bulan Februari lalu juga seorang EXCO kerajaan Negeri mengkritik tindakan MPSJ mengadakan tender terbuka bagi kerja-kerja Alam Flora. Menurut Exco tersebut sistem tender terbuka yang dijalankan oleh MPSJ belum diluluskan oleh kerajaan negeri. Malahan beliau telah berjaya meminta kerajaan negeri menangguhkan sistem tender terbuka MPSJ.

8. Saya merasa sangat aneh kerana ramai yang ingat kerajaan negeri telah melaksanakan sistem tender terbuka sejak mereka mengambil alih kuasa. Rupanya belum dilaksanakan. Lebih aneh mereka pula membantah sistem tender terbuka ini.

9. Apabila dilihat rentetan kejadian-kejadian yang melingkungi isu pemberian kontrak pembersihan bagai kawasan MPSJ ini dengan pengumuman Menteri Besar minggu lalu, saya tertanya apakah ia benar-benar bertujuan mengatasi isu kebersihan kawasan atau untuk meneyelesaikan isu perebutan kontrak di kalangan kroni mereka?

10. Ini kerana tindakan mahu membezakan kontraktor mengangkut sampah dengan membersih kawasan hanyalah untuk menambah bilangan mereka yang mendapat kontrak. Jika dahulu satu kawasan satu kontraktor, sekarang satu kawasan dua kontraktor, satu bersih dan satu lagi angkut sampah.

11. Bagaimanapun saya berharap perubahan yang bakal di buat oleh Menteri Besar berjaya menyelesaikan isu kebersihan tempatan. Buatlah apa sahaja pun asalkan jangan nanti masalah kebersihan semakin teruk semacam mana jalan-jalan PBT yang kian berlubang dan berlopak tanpa pembaikan.