Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Thursday, July 28, 2011

Bersih: Serigala Yang Berupa Kambing?

1. Tindakan penyokong Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)mengejek (boo) Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika majlis Diskusi "Apa Selepas 9 Julai?" anjuran akhbar Sinar Harian hanya membuktikan satu perkara iaitu, kumpulan ini hanya mahu menjadikan Bersih alat politik Pakatan.

2. Kumpulan ini tidak berminat sama ada pilihan raya sekarang bersih atau tidak. Mereka tidak berminat untuk mendengar penjelasan SPR terhadap dakwaan pengundi hantu, kononnya ada pengundi mengundi lebih sekali dan sebagainya. Mereka hadir di pejabat Sinar Harian atau demontrasi pada 9 Julai lalu hanya untuk survival politik mereka.

3. Maka apabila kumpulan ini turut menganggu majlis pelancaran program mengibar jalur gemilang sempena Bulan Kemerdekaan oleh YAB Perdana Menteri di KL Sentral semalam ia memberi gambaran jelas kepada kita bahawa kumpulan ini tidak menghormati adab dan susila majlis tersebut dan mngesahkan dakwaan sebelum ini bahawa mereka hanya mahu mencetuskan anarki dan kebencian.

4. Dalam negara demokrasi, apa yang mereka perjuangkan adalah hak mereka. Mereka berhak memberi penerangan, memujuk, merayu dan menghasut orang ramai menyokong mereka. Namun menggangu majlis Perdana Menteri, menggangu hak orang lain untuk memberi penerangan dengan "boo" dan sebagainya menunjukkan mereka sendiri tidak berupaya mempertahankan idealisme perjuangan mereka.

5. Mereka menuntut media arus perdana yang lebih bebas dan terbuka. Mereka menuntut pemilik akhbar dan wartawan memberi ruang yang lebih besar kepada mereka. Mereka mahu memaksa perniagaan orang lain mengikut cakap mereka. Malangnya, mereka sendiri menunjukkan kegagalan untuk bersikap terbuka dan telus apabila pandangan yang diutarakan tidak menyebelahi mereka.

6. Jika mahu orang lain mendengar pandangan kita, kita juga hendaklah belajar mendengar pandangan orang lain. Lihat sahaja dalam kes Teoh Beng Hock sudah berapa banyak penyiasatan termasuk penubuhan Suruhanjaya Di Raja tetapi kumpulan yang sama masih tidak berpuas hati. Walaupun pada awalnya mereka bersetuju dengan barisan ahli panel suruhanjaya, namun akhirnya mereka menolak penemuan dan pandangan suruhanjaya apabila keputusan tidak memihak kepada mereka.

7. Bayangkan jika kumpulan yang tidak boleh bertolak ansur dan hanya mahu orang lain mengikut pandangan mereka sahaja ini memerintah. Janganlah tertipu dengan serigala yang berbulu kambing (wolf in sheep's clothing).

Saturday, July 16, 2011

Hiburan di i-City: Sandiwara Dua Khalid

1. Setelah membaca kenyataan YAB Menteri Besar Selangor mengenai I-City hari ini, saya tertanya-tanya apakah Tan Sri Khalid tidak mempunyai sedikit pun rasa malu dan bersalah apabila terus membuat kenyataan berbohong dan menipu? Atau mungkin majoriti rakyat Selangor terus rela diperbodohkan oleh Menteri Besar yang kononnya bijak ini?

2. Menurut Sinar Harian, Tan Sri Khalid semalam mendakwa kerajaan negeri tiada hak menghalang sebarang penganjuran program berbentuk konsert hiburan di i-City memandangkan adalah kawasan komersial yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri terdahulu.

3. Dalam satu ayat di atas sahaja Khalid telah melakukan dua pembohongan besar. Pertamanya, apabila beliau berkata tindakan kerajaan negeri terdahulu meluluskan kawasan komersial kepada i-City menjadikan kerajaan negeri tiada hak menghalang sebarang konsert. Sebenarnya kerajaan negeri pada bila-bila masa sahaja berhak menghalang konsert hiburan kerana ia di bawah kuasa Pihak Berkuasa Tempatan dan kerajaan negeri sama ada ia kawasan komersial atau atas tanah persendirian, mahu pun kerajaan.

4. Adakah Tan Sri Khalid ingin memberitahu rakyat bahawa kerajaan negeri tiada kuasa terhadap sebarang aktiviti atas tanah komersial? Jika kerajaan negeri boleh membatalkan banyak keputusan kerajaan negeri terdahulu, mengapa pula ia tidak boleh membatalkan apa sahaja kelulusan di i-city - jika benar seperti dakwaan beliau kerajaan lalu yang meluluskan?

5. Lebih aneh kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa menghalang kegiatan hiburan di i-City kerana diluluskan oleh kerajaan negeri dulu, tetapi boleh pula memnukar kelulusan tanah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil yang disyaratkan di bina di i-City:

"SHAH ALAM, 2 Nov (Bernama) -- Sekolah Tamil Ladang Midlands akan kekal di lokasi sekarang di Seksyen 7 di sini dan tidak akan dipindahkan ke I-City, sebagaimana dicadangkan oleh kerajaan negeri lepas, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Isnin.

Katanya, memindahkan sekolah itu ke I-City, kawasan pembangunan komersial perdana berasaskan ICT dan bernilai RM2 bilion di Seksyen 7 itu di sini, akan menjejas usaha pemaju, I-Berhad, untuk menarik pelabur tempatan dan asing bagi projek itu.

"Jumlah kawasan tanah di I-City kurang dari 100 ekar (40 hektar) dan pemaju tidak semestinya membina sekolah di kawasan itu. Kerajaan negeri Selangor tidak mengamalkan diskriminasi terhadap sesiapa yang ingin melabur dalam pembangunan harta di negeri ini," kata Khalid kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan jabatan kerajaan Selangor dekat sini.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=451738


6. Nampaknya apa perubahan i-City yang menguntungkan pemiliknya boleh dibuat oleh Khalid Ibrahim tetapi apa yang merugikan tidak boleh dan diletakkan kesalahan atas kerajaan lalu biarpun nyata sekali ia tidak benar.

7. Apakah ini menunjukkan terdapat kebenaran dalam laporan beberapa blog tahun lalu bahawa wujud hubungan istimewa antara Khalid dengan usahawan i-City, Datuk Lim Kin Hong? Berhubungan ini juga saya ingin bertanya Menteri Besar benar atau tidak kerajaan negeri pimpinan beliau memperuntukkan sejumlah RM 50 juta untuk prasarana jalan ke i-city?

8. Pembohongan kedua ialah mengatakan kerajaan negeri semasa saya melulus pembangunan i-City sebagai pusat hiburan komersial. Saya ingin jelaskan memang benar kerajaan Barisan Nasional yang meluluskan pembangunan I-City yang ketika itu sebagai pusat komersial bagi pembangunan bandar teknologi maklumat atau juga dikenali sebagai bandar pintar, bukannya bandar konsert.

9. Mereka yang berminat boleh melihat sendiri Pelan Utama (Master Plan) pembangunan i-City yang terdapat di laman web i-City atau menggunakan Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor yang baru diluluskan untuk mendapat maklumat mengenai kelulusan projek ini.

10. Barisan Nasional bukan anti-hiburan mahu pun jumud. Namun Pakatan tidak sewajarnya bermain sandiwara bagi memuaskan hati sebahagian rakyat dengan menjadikan kerajaan negeri dahulu sebagai kambing hitam. Belajarlah menjadi pemimpin yang berani berkata benar biar pun pahit, bukannya menjadi pemimpin yang hanya berani berbohong dan menipu bagi memuaskan hati rakyat.

11. Menyalahkan kerajaan lalu atas isu yang timbul di i-City sekarang tidak lebih daripada sandiwara dua orang Khalid yang tahu hal sebenar, namun terpaksa berlakon untuk memenuhi tuntutan penyokong Pas, PKR dan DAP.

12. Hanya dua golongan yang masih percaya kepada lakonan ini iaitu mereka yang taksub kepada Pakatan dan mereka yang bebal. Alasan yang mereka gunakan hampir sama dengan kenyataan mengenai kononnya tiada rumah urut baru sejak mereka mengambil alih kerajaan negeri; walhal mata kepala rakyat boleh melihat pertumbuhan seumpama cendawan selepas hujan.

13. Sudah empat tahun memerintah, cukuplah berbohong dan menipu rakyat dan mengkambinghitamkan kerajaan lalu. Belajarlah menjadi parti politik yang matang dan menjalankan tugas dengan bertanggungjawab.

14. Siakap senohong gelama ikan duri,bercakap bohong hanya nak sedapkan hati sendiri,bercakap bohong kerana nak tipu diri sendiri,bercakap bohong dah jadi kebiasaan pemimpin ini.