Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Tuesday, August 23, 2011

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin dan Kisah 3 Menteri

1. Alahamdulillah kita berada dalam 10 hari terakhir di bulan Ramadhan. Semoga segala ibadah dan amal kebajikan kita dilimpahi rahmat dan rahim dari Allah s.w.t.

2. Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini seiring dengan semangat Ramadhan dan Syawal, saya ingin memohon ampun dan maaf kepada para sahabat pembaca dan pengikut blog ini tidak kira muslim atau apa agama sekalipun jika ada saya tersalah tulis, terkasar sanggahan atau tidak menyiarkan sesetengah komen yang tidak berapa sesuai mahu pun terlepas siar komen yang tidak berapa molek.

Kesalahan dan kesilapan Lampau

3. Saya juga ingin mengambil kesempatan ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Selangor sekiranya terdapat kelemahan, kesilapan dan kekurangan sepanjang pentadbiran saya selama lapan tahun dari 2000 - 2008.

4. Sebagai manusia biasa yang bekerja selama 18 jam sehari sudah tentu banyak kekurangan dan juga keterlanjuran budi bahasa yang mungkin menyakitkan hati seseorang.

5. Sebagai Menteri Besar juga pasti ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan-keputusan saya buat. Saya tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang dalam membuat keputusan kerana apa sahaja keputusan yang hendak dibuat selalunya terdapat pelbagai pandangan dan hujahan. Namun sebagai Menteri Besar saya perlu membuat keputusan yang difikirkan baik untuk masa depan negeri biar pun tidak disukai sebahagian orang.

Setinggan

6. Saya juga ingin mengambil kesempatan memohon maaf kepada sebahagian yang belum mendapat penempatan semula yang dijanjikan. Saya telah berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan isu ini namun masa tidak begitu mengizinkan kerana berlaku perubahan pentadbiran. Saya hanya berharap pentadbiran sekarang berusaha menyelesaikan isu-isu setinggan yang masih tertunggak ini demi kesejahteraan penduduk Selangor.

7. Saya juga tahu dalam usaha menyelesaikan isu setinggan ini terdapat pihak tidak berpuas hati dan menganggap saya zalim. Percayalah saya melakukan yang terbaik untuk menyeslesaikan isu ini. Saya tidak fikir ada cara lebih baik untuk menyelesaikan isu setinggan yang begitu kronik di Selangor pada tahun 90-an dan alaf baru.

8. Namun kepada mereka yang berkecil hati, marah dan menganggap saya zalim, saya pohon maaf kerana itu jelas kelemahan saya sebagai manusia yang tidak mungkin mampu memenuhi kehendak semua orang.

Kakitangan Kerajaan

9. Saya juga ingin mengambil kesempatan memohon maaf kepada seluruh kakitangan kerajaan negeri jika ada terkasar bahasa, meninggi suara, mahu pun memarahi saudara/ saudari sekalian semasa di bawah pentadbiran saya lalu.

Kisah Tiga Menteri

10. Ketika saya memohon maaf kepada semua orang, saya juga mengambil kesempatan semangat ramadhan tahun ini untuk memaafkan sesiapa sahaja merasakan mereka perlu memohon maaf kepada saya kerana apa sahaja sebab.

11. Namun sebagai manusia biasa saya juga ada kelemahan kerana tidak mungkin dapat saya maafkan seseorang yang membuat fitnah terhadap saya sehingga terjadinya siatuasi sekarang. Percayalah walau berapa kali beliau mengerjakan umrah belum tentu Allah mengampunkan dosa beliau dengan manusia yang lain.

12. Dalam bulan yang mulia ini juga saya ingin mengingatkan tiga orang sahabat yang menjadi Menteri dalam kabinet sekarang agar jangan keterlaluan untuk mengenakan saya.
Saya tidak mendedahkan nama menteri-menteri ini kerana tidak mendapat bukti yang sahih sungguhpun beberapa sumber saya sangat boleh dipercayai.

13. Seorang Menteri dilaporkan berkata kepada dua orang Menteri lain bahawa jika mahu mendapat kembali Selangor maka Khir Toyo perlu didakwa. Sekarang Menteri yang sama berkata jika mahu menang Selangor Khir Toyo perlu dipenjarakan.

14. Apakah mereka ini begitu besar boleh menguasai hakim perbicaraan? Saya tidak mahu percaya mereka berupaya mengarahkan hakim atau hakim akan mendengar arahan kumpulan ini. Namun jika pun ada usaha-usaha untuk mempengaruhi kehakiman, saya masih percaya dengan kebebasan dan integeriti institusi kehakiman. Selebihnya, saya percaya saudara/saudari terutamanya para peguam boleh membuat penelitian terhadap fakta-fakta kes saya di mahkamah dan membuat penilaian sendiri.

15. Cuma saya hendak mengingatkan ketiga-tiga Menteri ini agar menumpukan kerja mereka membantu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan terutama membabitkan potfolio mereka sendiri. Turunlah ke padang dengar pandangan rakyat di bawah terhadap kerajaan bukannya sekadar membaca blog dan media yang telah memilih untuk berpihak di mana.

16. Kenyataan bahawa jika Khir Toyo dipenjarakan maka BN akan dapat kembali Selangor hanya menunjukkan kecetekan pemikiran pemimpin tersebut yang tidak memahami keseluruhan isu rakyat di Selangor. Lebih daripada itu, ia menunjukkan kebodohan pemimpin ini seolah-olah majoriti rakyat Selangor tidak cerdik dan tidak boleh menilai fakta-fakta kes di mahkamah.

17. Apakah pada hemat beliau rakyat Selangor secara majoritinya dungu, bebal dan bengap yang akan mengikut skrip sandiwara beliau? Apakah beliau fikir rakyat mahukan pemimpin UMNO dihukum atau mereka mahu melihat keadilan ditegakkan?

18. Pada hemat saya majoriti rakyat terutamanya di Selangor mahu melihat keadilan undang-undang ditegakkan tidak kira ia di pihak UMNO mahu pun di pihak parti-parti lain.

19. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.

Tuesday, August 9, 2011

Antara Mendengar Penjelasan Dengan Taksub Membuta Tuli

1. Rentetan isu kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara menunjukkan betapa ramai yang membuat keputusan berpihak dengan begitu cepat tanpa mendengar penjelasan pihak-pihak terbabit terlebih dahulu.

2. Seorang pemimpin Melayu sebuah parti yang memperjuangkan Islam di Selangor dengan pantas dan cepat menyelar JAIS sebagai mengadakan satu serbuan yang tidak wajar kerana menurut beliau tidak ada orang Melayu pun dalam majlis tersebut. Hal ini disanggah oleh EXCO Selangor Dato Hasan Ali dan juga oleh beberapa pihak sendiri yang melihat kehadiran orang Islam dalam majlis tersebut.

3. Apa yang dapat kita lihat apabila berlakunya insiden ini, beberapa pemimpin dari beberapa parti politik terutamanya Pas dan PKR secara semberono menyalahkan sebuah institusi kerajaan di bawah mereka. Tanpa penyelidikan dan siasatan yang jelas, keputusan telah dibuat bahawa Jais bersalah. Demikian juga ada pemimpin di dalam UMNO yang turut bertindak pantas mengecam Jais biar pun beliau sendiri tidak mendapat maklumat jelas lagi.

4. Saya tidak menyatakan tindakan Jais itu betul atau salah. Jika Jais menyerbu ketika majlis sedang berlangsung, maka saya fikir ia sangat tidak wajar kerana mengganggu majlis. Jais boleh menunggu sehingga tamat majlis kerana ia bukan isu membabitkan nyawa individu mahu pun keselamatan awam. Namun jika Jais melakukan pemeriksaan selepas majlis tamat kerana mendapat maklumat yang sahih, maka saya fikir ia merupakan satu hak Jais sebagai badan pentadbiran agama Islam untuk menjalankan tugas-tugasnya yang diberi kuasa oleh Perlembagaan Negeri dan Negara yang antara lain melarang pendakwahan agama lain ke atas orang Islam.

5. Bukankah elok jika kita semua melihat laporan Jais terlebih dahulu dan kemudiannya mendengar pula penjelasan pihak gereja sebelum membuat keputusan? Adalah tidak adil melarang Jais mempertahankan diri mereka tetapi membenarkan pihak lain menghentam Jais.

6. Namun yang lebih menarik daripada peristiwa ini ialah betapa taksub kepada parti membolehkan ramai orang bertukar pendirian yang sangat bertentangan dengan keadaan sebelum ini. Sebelum ini isu kristianisasi ke atas orang Islam sering sahaja ditimbulkan oleh Pas dan juga sebahagian wakil rakyat PKR beragama Islam dan mereka menyalahkan kerajan kerana tidak mengambil tindakan tegas. Hari ini apa sahaja yang dibuat oleh pihak Kristian benar semata-mata kepada mereka.

7. Sekarang, kerana mereka melihat undi dan sokongan kumpulan mubaligh Kristian di Malaysia penting dalam usaha mereka merampas kedudukan dan kuasa di peringkat Persekutuan, maka mereka bukan sahaja sanggup melupakan perjuangan sebelum ini tetapi juga menyokong sepenuhnya pengecaman ke atas Jais tanpa mendengar sebarang penjelasan badan itu terlebih dahulu.

8. Saya percaya majoriti orang Islam menolak sebarang tindakan eksterim dan tidak bertamaddun mana-mana penguasa agama. Namun sikap apologetik sebahagian pemimpin dan aktivis politik Islam terhadap agama lain sehingga rela menerima setiap kejian ke atas saudara Islam sendiri sangat menghairankan.

9. Berilah peluang Jais mempertahankan tindakan mereka dan adili mereka dengan jujur dan ikhlas bukannya kerana sentimen politik dan undi dalam pilihan raya.