Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Tuesday, October 25, 2011

Sandiwara Politik UIA: BN Terkena Getah Nangka

1. Sama ada suka atau tidak, Profesor Aziz Bari dianggap tokoh akademik dalam bidang perundangan yang mempunyai kekuatan dan aura intelektual tersendiri.

2. Kita boleh bersetuju dan juga boleh tidak bersetuju dengan pandangannya. Bidang undang-undang hampir merupakan sesuatu yang begitu subjektif. Jarang sekali kita mempunyai peguam dan intelektual undang-undang yang sependapat dalam sesuatu hal undang-undang, mahu pun tafsiran perlembagaan.

3. Dalam bidang undang-undang para peguam sentiasa sahaja mempunyai hujah yang logik berlandaskan fakta perundangan dan hujahan terdahulu walau di pihak mana mereka berada. Dalam konteks ini juga, Prof Aziz Bari telah pun memilih pihak yang beliau mahu sokong. Jadi apa sahaja pandangan, kenyataan dan hujahan perundangan beliau merupakan hujahan seorang ahli akademik undang-undang yang telah membuat keputusan untuk berpihak kepada kumpulan tertentu.

4. Justeru walaupun sejak dahulu Prof Aziz Bari cenderung ke arah pihak yang satu lagi beliau pernah dijemput menyampaikan pandangan dan buah fikiran dalam majlis membabitkan kerajaan negeri Selangor semasa Barisan Nasional dahulu. Tidak salah mendengar pandangan yang berbeza.

Kecelaruan Pentadbiran UIA

5. Namun minggu lalu Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengumumkan penggantungan Prof Aziz Bari tujuh hari bagi membolehkan satu siasatan dalaman dilakukan kerana beliau dituduh mengkritik kenyataan DYMM Tuanku Sultan Selangor secara tidak wajar.

6. Penggantungan ini tiada kena mengena dengan Barisan Nasional mahu pun UMNO. Ini kerana telah bertahun lamanya beliau mengkritik kerajaan dan kelihatan menyokong kumpulan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bukan sehari dua Prof Aziz Bari "membelasah" kerajaan namun tiada sebarang tindakan disiplin dikenakan kepada beliau.

7. Penggantungan ke atas beliau dilakukan oleh UIA yang mempunyai kuasa autonomi tersendiri. Malangnya, Reaktor UIA tidak memberi penerangan yang jelas kepada masyarakat mengenai peruntukan-peruntukan yang digunakan bagi menggantung Prof Aziz Bari.

8. Selebihnya mengapa UIA mahu menggantung kerja dan menghalang beliau masuk ke kawasan universiti sedangkan pertuduhan ke atas beliau tidak pun membabitkan kejadian jenayah dalam kampus? Apakah tidak boleh diadakan siasatan dalaman tanpa penggantungan tugas dan juga pengharaman masuk ke kampus?

9. Sudah tentu jika dibuat siasatan dalaman secara aman ia tidak memberi kesan politik besar kepada Pakatan. Maka sesuatu harus dibuat secara kontroversi bagi menaikkan imej Prof Aziz Bari sendiri dan juga Pakatan DAP, PAS dan PKR.

10. Kemudiannya dengan tidak semena-mena pergantungan tersebut ditarik balik oleh UIA. Seolah-olah ada perancangan untuk menangguk di air keruh oleh kumpulan politik tertentu dalam menimbulkan keributan terhadap rancangan Perdana Menteri hadir ke Universiti tersebut.

11. Dengan penarikan balik penggantungan ini tanpa penjelasan yang munasabah ia memberi imej yang hebat kepada kumpulan yang menentang penggantungan Prof. Aziz Bari ini.

12. Umum mengetahui ramai di UIA yang bersimpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim; justeru Kementerian terbabit perlu melihat sama ada memang wujud sandiwara yang bertujuan menjejaskan imej kerajaan atau ia merupakan satu insiden biasa tanpa matlamat politik.

13. Sebagai sebuah universiti yang mempunyai kuasa autonomi, UIA perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas isu ini. Tindakan yang berubah-ubah mencerminkan sikap tidak profesional pentadbiran UIA dan menjejaskan imej Kerajaan Barisan Nasional kepada kakitangan akademik seluruh negara.

14. Ahli akademik juga harus berlaku adil dengan mengkritik kerajaan jika salah dan mengakui kejayaan kerajaan atas mana yang dilaksanakan dengan baik. Adalah tidak adil kepada rakyat dan pemerintah jika ahli akademik bertindak dan bersikap seperti ahli politik yang mempertahankan ideologi-ideologi mereka semata sehingga pemerintah hanya tampak buruk semata-mata.

15. Secara keseluruhannya insiden Prof. Aziz Bari ini hanya menguntungkan tokoh tersebut dan Pakatan DAP, Pas dan PKR.

16. Malangnya ia memberi kesan buruk kepada BN kerana tindakan-tindakan pentadbiran UIA yang tidak konsisten menunjukkan seolah-olah ada campur tangan politik kerajaan dalam isu ini. Dengan kata lain orang lain maka nangka, BN yang terkena getahnya.

Tuesday, October 11, 2011

Bajet 2012: Mekanisme Pelaksanaan Perlu Diperkemaskan

1. Ada dua perkara yang menarik perhatian saya dalam pembentangan Bajet 2012 oleh YAB Perdana Menteri minggu lalu.

2. Pertamanya pemansuhan semua yuran sekolah rendah dan menengah. Dan keduanya pemberian bantuan RM 500 kepada keluarga berpendapatan RM 3, 000 dan ke bawah. Kedua-dua perkara ini sangat dekat dengan hati rakyat berpendapatan rendah namun ia memerlukan pemantauan dan mekanisme pelaksana yang cekap.

3. Penghapusan yuran sekolah pernah diumumkan sebelum ini dalam Bajet beberapa tahun lalu. Namun ia tidak terhapus sepenuhnya kerana ada yuran yang masih dikutip bagi menampung tabung sekolah untuk perjalanan aktiviti dan juga pentadbiran.

4. Dengan penghapusan sepenuhnya ini, kerajaan perlu memperuntukan dana kepada sekolah sebagai ganti penghapusan yuran ini. Selain itu, pentadbiran sekolah harus diperingatkan agar tidak mewujudkan sebarang bentuk kutipan yuran tambahan dan sebagainya sehingga memberi gambaran seolah-olah pengumuman kerajaan mengenai sekolah kebangsaan yang percuma sepenuhnya hanya satu sandiwara.

Mekanisme Bantuan RM 500

5. Pelaksanaan cadangan pemberian RM 500 kepada setiap isi rumah yang berpendapatan di bawah RM 3, 000 merupakan satu cabaran yang sangat besar kepada jentera kerajaan. Ini kerana kerajaan perlu mengenal pasti keluarga yang berpendapatan di bawah RM 3, 000 bagi mengelakkan berlakunya penipuan dan juga penganiayaan.

6. Kebergantungan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak akan banyak membantu kerana kebanyakan mereka yang berpendapatan di bawah RM 3, 000 di luar bandar bukan kumpulan yang "makan gaji".

7. Saranan pendaftaran melalui LHDN bukan sahaja akan menambah beban kerja agensi tersebut malah akan menyusahkan golongan sasaran di luar bandar. Adalah kurang wajar untuk meminta ketua isi rumah yang berada di kampung-kampung e LHDN bagi mengisi borang pendaftaran dan pengisytiharan hanya semata-mata untuk satu bayaran sekali sahaja berjumlah RM500.00.

8. Sungguhpun jumlah ini agak besar namun janganlah sampai pelaksanaannya menyebabkan RM 500 tersebut tinggal RM 300 kerana mereka yang layak terpaksa menghabiskan wang ke bandar untuk mendaftar dengan LHDN.

7. Justeru penggunaan jentera di peringkat akar umbi sangat penting bagi membantu kumpulan sasar ini. Oleh kerana Bajet 2012 dianggap tidak relevan oleh pembangkang, maka kerajaan perlu bekerjasama dengan Barisan Nasional bagi mengenal pasti dan menyediakan pangkalan data kumpulan sasar ini.

8. Jentera politik Barisan Nasional di peringkat bawahan boleh digunakan untuk menghantar nama berserta bukti perkahwinan dan juga pengesahan pendapatan oleh Penghulu atau Ketua Kampung bagi setiap nama yang dihantar. Senarai ini kemudiannya perlu disemak oleh pegawai kerajaan bagi memastikan ada ketelusan dan kejujuran dalam pelaksanaannya.

9. Cadangan penggunaan Pos Malaysia sebagai agen pembayaran sangat tepat memandangkan ia mempunyai rangkaian yang meluas dan cekap termasuk di kawasan luar bandar.

10. Lebih penting pemberian ini perlu dilakukan setelah senarai dimuktamadkan agar ia tidak menimbulkan kekeliruan apabila ada pihak yang telah dapat dan ada pula yang belum dapat.

11. Kerajaan juga perlu melaksanakan pemberian ini sebelum pilihan raya umum ke-13 atau berhadapan dengan tuduhan pembangkang bahawa ia hanya sandiwara pilihan raya.

12. Apa yang rakyat mahukan adalah kejujuran kerajaan dan kesungguhan YAB Datuk Seri Najib diterjemahkan. Biar nanti rakyat akan berkata indah khabar, indah lagi rupanya bukannya "indah Khabar dari Rupa".

Thursday, October 6, 2011

Bajet Pakatan: Cukup-Cukuplah Berbohong

1. Pakatan Rakyat membentangkan Bajet 2012 untuk Persekutuan berjumlah RM 220 bilion dengan pelbagai janji yang memang sangat menarik. Tidak ada sesiapa yang waras mahu menolak terus bajet Pakatan ini kerana ia menjanjikan sesuatu yang selama ini hanya menjadi impian sebahagian kita.

2. Antara yang dimasukkan ke dalam Bajet 2012 Pakatan ialah:

a. Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas.
b. bayaran suri rumah sebanyak RM1,000
c. Elaun penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu-ibu yang layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita di dalam tenaga kerja;
d. RM500 sebulan bagi setiap orang guru


3. Sungguhpun tawaran bajet ini tampak sangat menarik, namun ia hanya merupakan tawaran oleh mereka yang tidak berkuasa. Justeru ia boleh menawarkan apa sahaja dan tidak perlu bertanggung jawab terhadap tawaran yang dibuat.

4. Memang benar akan ada yang menyokong dan berkata kita berilah mereka kuasa tengok sama ada boleh laksanakan atau tidak.

5. Sebenarnya kita tidak perlu pun memberi peluang mereka berkuasa untuk melihat sama ada mereka mampu melaksanakan atau tidak bajet tersebut.

6. Janji-janji yang ditawarkan ini hampir serupa dengan apa yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat di Selangor dalam pilihan raya 2008 lalu dan masih belum ditunaikan. Antaranya ialah,

a. Memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan pra-sekolah
b. Memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri
c. menurunkan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20% dan cukai premis perniagaan sebanyak 10%
d. Perkhidmatan kesihatan percuma kepada warga emas di Selangor
e. Janji elaun RM 650 sebulan kepada ibu Tunggal


7. Yang ditunaikan setakat ini hanyalah air percuma 20 meter padu pertama. Itupun setelah didesak oleh Barisan Nasional Selangor agar kerajaan negeri menunaikan janji tersebut. Sehingga hari ini, janji tinggal janji sahaja walaupun lombong pasir kian berleluasa dimonopoli oleh satu syarikat sahaja.

8. Manakala bantuan kematian yang dulunya diberikan sebanyak RM 2, 000 bagi menguruskan jenazah oleh kerajaan Selangor semasa Barisan Nasional telah diubah menjadi caca-merba. Sungguhpun dinaikkan kepada RM 2, 5000 tetapi ia perlu mengisi borang lebih awal. Khabarnya, jika meninggal tetapi nama tiada dalam senarai yang mengisi borang maka tiada bantuan. Bantuan pula diberi dalam dua peringkat iaitu RM 1, 500 ketika menginggal dan RM 1, 000 selepas enam bulan.

9. Sehingga kini juga janji paling mudah iaitu untuk menurunkan cukai pintu belum dilaksanakan. Malahan khabarnya kerajaan negeri telah menjalankan perancangan bijak untuk menaikkan cukai pintu melalui kaedah menaikkan nilai hartanah di seluruh negeri Selangor.

10. Jika dilihat secara teliti, tidak banyak perbezaan antara janji Pakatan di Selangor pada 2008 dengan Bajet Pakatan 2012 ini. Justeru sukar untuk orang ramai, kecuali yang taksub atau membenci BN, akan percaya dengan bajet Pakatan ini. Jika di Selangor pun banyak dimungkiri selepas memegang kuasa, apatah lagi jika menang Persekutuan.

11. Hakikatnya bukan soal memberi peluang kepada Pakatan, tapi rekod jelas menunjukkan Pakatan selalu memberi janji yang tidak dapat ditunaikan. Jika mahu mencuba atau memberi peluang pun biarlah dengan perkiraan yang betul, bukan sekadar menilai apa yang dijanjikan semata. Berjanji memang mudah tapi menunaikankannya selalunya tidak seindah janji.

12. Sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya membuktikan dulu keupayaan menggembleng ekonomi dan pentadbiran Selangor sebelum bercakap soal Persekutuan.

13. Selangor merupakan antara negeri terkaya di Malaysia dan hanya mempunyai penduduk seramai 5 juta berbanding Malaysia mempunyai 28 juta rakyat. Malangnya, hampir setiap tahun selepas memegang jawatan kerajaan negari akan beberapa kali memohon bajet tambahan yang mencerminkan perancangan kurang cekap.

14. Jika untuk membuat bajet bagi 5 juta rakyat Selangor dan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri pun kelihatan "terhoyong-hayang", apatah lagi untuk melaksanakan Bajet Persekutuan yang membabitkan 28 juta rakyat, 222 kawasan Parlimen dan 14 buah negeri.

15. Baru-baru ini, bagi menunjukkan kecekapan, kerajaan Selangor mengumumkan peningkatan simpanan tunai. Kalau wang tidak dibelanjakan untuk pembangunan dan perkhidmatan memanglah berbilion kerajaan boleh simpan. Namun apa terjadi kepada pengurusan prasarana di bawah negeri seperti pengurusan sampah dan jalan-jalan PBT? Sangat menyedihkan. Hampir tiada lagi jalan PBT yang tidak berlubang. Sampah di banyak kawasan juga kelihatan berlonggokkan tanpa tindakan.

16. Tender-tender kerja PBT yang sebelum ini dikatakan terbuka dan telus juga hanya sekadar omongan kosong dan retorik ucapan sahaja.

17. Hakikatnya, sebelum Anwar menyalahkan pelbagai pihak di peringkat Persekutuan, Allah telah memberi beliau lima negeri untuk dibangunkan. Sehingga kini tidak nampak pun aura dan kehebatan pemimpin numero uno Pakatan Rakyat ini membangunkan kelima-lima negari ini.