Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Thursday, January 19, 2012

Islam Di Selangor: Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi

1. Tahniah kepada ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS)yang dilantik sebagai EXCO Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan. Perlantikan ini tidak dapat dielakkan apabila Pas memecat keahlian Datuk Dr. Hasan Ali. Ini bermakna pada sidang DUN akan datang Dr. Hasan akan berada di barisan pembangkang negeri.

2. Namun perlantikan tersebut yang diikuti oleh rombakan potfolio EXCO, yang menyaksikan EXCO Pas tidak akan terbabit dengan pentadbiran agama Islam negeri menimbulkan seribu tanda tanya bukan sahaja kepada penyokong Pas tetapi orang Islam keseluruhannya.

3. Ada dua kemungkinan mengapa Pas tidak lagi terbabit dengan potfolio agama Islam. Pertamanya, Pas sendiri tidak lagi berminat dengan potfolio tersebut kerana keadaan negeri Selangor sekarang mencemarkan perjuangan Islam Pas sendiri.

4. Dalam tidak sampai empat tahun memerintah, Selangor kini dipenuhi oleh hampir 10, 000 rumah urut. Hampir 80 peratus daripadanya terutama di bandar-bandar utama Selangor, menawarkan khidmat urut berunsurkan seks.

5. Dalam masa pemerintahan Pas bersama sekutunya juga, jumlah kelab malam dan pusat hiburan bertambah berkali ganda serta tidak lagi tertakluk kepada peraturan operasi sehingga jam 1 pagi.

6. Dalam keadaan ini, sememangnya pemimpin Pas di peringkat bawahan tidak lagi mampu mengangkat muka kerana dakwaan mereka memperjuangkan pemerintahan Islam dan negeri ini sebagai "Baldatun Toyyibatun WaRabbun Ghafur" sejak pemerintahan Pakatan hanya meenjadi jenaka rakyat.

7. Jadi untuk mengelakkan ia menjadi bebanan politik dalam pilihan raya akan datang, Pas akan ke seluruh ceruk desa dan kampung menyatakan mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana kerusi mereka kecil dan tidak lagi memegang potfolio agama. Dengan cara ini mereka akan cuba menyucikan diri mereka di kalangan pengundi Islam dan menggesa lebih banyak kerusi diberikan kepada mereka agar mereka lebih berkuasa daripada DAP dan PKR.

8. Kemungkinan kedua ialah Parti Keadilan Rakyat dan DAP tidak mahu EXCO yang menjaga hal ehwal Islam cuba menjadi wira orang Islam dengan mengadakan pemeriksaan dan serbuan ke atas premis-premis yang membabitkan aktiviti tidak bermoral dan akhirnya menimbulkan kemarahan kumpulan tertentu yang memberi sokongan kuat kepada DAP dan sebahagian calon PKR dalam pilihan raya lalu.

9. Saya tidak pasti sejauh mana benar, namun difahamkan sokongan kumpulan yang pro kepada rumah urut dan pusat hiburan lewat malam ini penting kepada DAP dan PKR dalam memenuhi tuntutan dana pilihan raya mereka dan juga rangkaian propaganda mereka di kalangan orang bukan Islam. Justeru perlantikan seorang lagi wakil Pas dalam menjaga kepentingan agama Islam di negeri ini mungkin akan menimbulkan masalah seperti mana semasa Dr. Hasan Ali berada di dalam barisan EXCO.

10. Dari sudut politik menjelang pilihan raya, nyatalah keputusan Tan Sri Khalid Ibrahim ini menguntungkan semua parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Pas boleh cuci tangan mengatakan ia tidak mempunyai kuasa,dan jika benar seperti gosip politik mengenai hubungan DAP dengan tauke-tauke tertentu, maka DAP boleh terus bermaharajalela.

11. Islam? Baldatun Toyyibatun WaRabbun Ghafur (Negara yang aman, makmur dan mendapatkan keampunan Allah)? Mimpi di siang harilah penyokong Pas. Ini hanyalah slogan-slogan politik pemimpin Pas.

12. Dulu pernah diejek kepada UMNO kononnya parti yang taksub kepada adat resam melampaui kepentingan Islam. Hari ini sekelip mata Pas dilantik menjaga adat resam dan meninggalkan Islam kepada PKR.

13. Kepada umat Islam yang pernah mengundi Pas dengan kepercayaan kononnya Pas akan menjaga kepentingan Islam lebih baik dari UMNO; nyatalah Pas sudah menjadi seperti peribahasa "Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi."

-------------------------
Nota: Ramai yang bertanya sama ada saya salah menulis perkataan pegar yang selalunya diganti dengan pagar.

i. Pegar ialah sejenis burung yang selalu berada di sawah dan dikatakan menjadi penghalau haiwan perosak padi.

ii. Boleh juga baca perbincangan para pengkaji dan peminat bahasa Melayu di sini mengenai peribahasa ini.

Tuesday, January 10, 2012

Hentikan Politik Kebencian, Hati-hati Rangka Polisi Baru

1. Tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur isnin lalu. Walaupun mahkamah telah membebaskan Anwar namun rakyat juga bebas menilai fakta-fakta dalam Mahkamah untuk membuat kesimpulan dan penilaian sendiri.

2. Kepada Mohd Saiful saya percaya kesanggupan beliau bersumpah secara terbuka membuktikan sesuatu. Mungkin beliau tidak mendapat pengadilan di dunia ini tetapi insyaallah akan ada pengadilan yang maha adil di akhirat kelak.

3. Saya fikir dengan pembebasan Datuk Seri Anwar ini sudah tiba masanya orang Islam menghentikan politik benci-membenci berdasarkan tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah dan menumpukan usaha ke arah politik yang lebih sihat.

4. Politik menyerang peribadi atau character assassination menjadi begitu lumrah dalam politik negara ini sehingga mengkesampingkan politik sihat dalam membahaskan dasar, polisi dan arah tuju negara pada masa hadapan.

5. Lebih serius serangan terhadap keperibadian ini akhirnya menimbulkan politik kebencian sehinga tiada titik persamaan lagi sesama agama, bangsa dan juga antara kaum di negara ini. Sudah tiba masanya semua parti utama di negara ini mengurangkan politik benci-membenci ini.

Hati-hati Rangka Polisi

6. Berkaitan dengan polisi kerajaan, saya telah beberapa kali menyatakan kebimbangan di dalam blog ini mengenai polisi-polisi yang tidak diperhalusi dan difikir secara mendalam terus diangkat kepada YAB Perdana Menteri untuk diumumkan.

7. Saya bangkitkan ini kerana telah beberapa kali didapati polisi yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri akhirnya terencat dan gagal dilaksanakan. Ini bukan salah Perdana Menteri tetapi lebih kepada pasukan penggubal polisi yang diamanahkan oleh Perdana Menteri untuk menganalisa dan membentuk formula yang baik bagi sesuatu polisi.

8. Kekangan masa menjadikan amat mustahil untuk Perdana Menteri merangka sendiri setiap polisi secara terperinci. Justeru adalah penting pasukan yang beliau amanahkan untuk membentuk polisi dan dasar dari idea beliau menjalankan tugas dengan berkesan dan berhemat.

9. Malangnya, ada juga polisi yang telah ditegur oleh sebahagian kecil pengkritik sebagai tidak tuntas untuk pelaksanaan tetapi tidak diambil peduli oleh mereka yang terbabit. Mereka berkeras mahu melaksanankannya. Akhirnya setelah riuh-rendah pengumuman, perasmian dan pelancaran, polisi tersebut berkubur sebelum sempat berjalan.

9. Dalam Berita Harian, 9 Januari 2012, muka surat 4, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula perincian program Skim Rumah Pertamaku selepas pihak bank tidak berminat untuk menyediakan pembiayaan.

10. Sekiranya saudara/i masih ingat pada Mac 2011 saya menulis suatu artikel "Memastikan Kejayaan Skim Rumah Pertamaku", dan menyatakan bahawa skim ini mungkin akan gagal kerana kehendak kewangan atau syarat pinjaman institusi kewangan yang berbeza daripada apa yang diputuskan oleh kerajaan.

11. Malangnya, kerajaan mengambil masa hampir setahun untuk mengkaji semula dan ini menyebabkan polisi yang sepatutnya sudah dirasai oleh rakyat dan memberi impak yang baik kepada kerajaan dan Barisan Nasional menjelang pilihan raya akan datang belum dapat dilaksana.

12. Rakyat dalam proses menilai kebaikan dan keupayaan polisi-polisi kerajaan menjelang pilihan raya akan datang. Jika banyak yang dirancang dan diumumkan tidak dirasai oleh sebahagian besar rakyat, ia boleh mendatangkan kesan yang serius kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.