[Berikut ialah wawancara Sinar Harian dengan saya yang tersiar dalam akhbar tersebut semalam (8 Februari 2012)].
YB dikatakan mahu membuat pengumuman khas 8 Januari lalu tetapi sehingga sekarang, pengumuman itu masih menjadi tanda tanya. Apa sebenarnya yang pengumuman tersebut?
DR KHIR: Saya sebenarnya merancang untuk membuat pengumuman itu tetapi saya dinasihatkan peguam-peguam saya agar tidak berbuat demikian. Saya dengar pandangan mereka dan sebagai seorang pemimpin, saya tidak boleh bersikap pentingkan diri sendiri dan parti tetapi rakyat perlu diutamakan. Sebab itulah saya batalkan hasrat saya itu.
Pengumuman itu berkaitan
apa sebenarnya? Adakah ia menyentuh masa depan karier politik YB?
DR KHIR: Dalam politik kita perlu
bersikap gentleman dan bertanggungjawab. Bila kita di bawah, kita perlulah
bertindak sesuai dengan keadaan kita ketika itu dan itulah yang berlaku kepada
saya sekarang. Saya berada di bawah dan akan lakukan kerja bersesuaian dengan situasi
itu. Apa yang penting, saya akan memastikan Barisan Nasional (BN) terus bertapak
di Selangor dan kekal di Putrajaya. Saya masih ingat lagi ketika dihalau keluar
dari kediaman rasmi (selepas BN Selangor tewas kepada Pakatan Rakyat), saya dicaci, dimaki
selepas lapan tahun berkorban untuk memajukan negeri Selangor.
Saya biarkan ia berlaku
kepada diri saya sahaja dan tidak kepada pemimpin lain. Atas dasar itulah kita
perlu bertanggung jawab. Saya telah lalui pelbagai pengalaman
dalam politik termasuk dipuji, dikeji dan dikhianati yang saya anggap ia proses
mematangkan saya. Saya reda dengan apa yang berlaku dan yakin ada hikmah
tersembunyi di sebaliknya.
Selepas melalui pengalaman
tersebut, sejauh mana ia membuatkan kesetiaan YB kepada parti tergugat? YB
mungkin kesal dan marah bila dikhianati dalam parti sendiri.
DR: KHIR:
Parti tidak
bersalah, yang bersalah adalah pengendali parti. Umno adalah sebuah parti yang memperjuangkan Melayu, Islam dan pada
masa yang sama banyak membina ekonomi masyarakat India dan Cina. Jasa itu tidak
boleh disangkal. Bila keadaan ini berlaku, adalah tidak wajar parti
dipersalahkan. Kita kena hormat dengan perjuangan parti. Bagi saya, jika
seseorang itu bermasalah dengan pemimpin lain dalam parti, itu masalah antara mereka
dan tiada kaitan dengan parti. Parti adalah milik orang ramai, milik ahli dan
bukan milik seseorang pemimpin. Kalau saya bertindak keluar parti bermakna saya
telah mengkhianati parti saya. Menentang parti dengan memberi teguran kepada pemimpin
adalah dua perkara berbeza. Pemimpin wajar ditegur dan sekiranya mereka tidak boleh menerima teguran…itu petanda kejatuhan
pemimpin, bukan kejatuhan parti.
Kesetiaan YB terhadap Umno
tidak tergugat walaupun timbul persepsi sinis bahawa YB tidak layak,
mengkhianati amanah rakyat tempias kes mahkamah yang telah YB lalui?
DR KHIR: Soal layak atau tidak adalah
perkara kedua. Paling utama, soal amanah yang diberikan, dan saya masih lagi
wakil rakyat. Sama ada pada pilihan raya akan datang, saya dicalonkan atau
tidak, ia juga isu yang lain. Paling penting, amanah dan sebagai umat Islam, saya
wajib melaksanakannya amanah yang telah diberikan rakyat Sungai Panjang. Saya akan
lakukannya dengan penuh tanggungjawab untuk memastikan Sungai Panjang terus menjadi
kubu kuat BN.
Maknanya, YB masih dalam
kategori ‘winnable candidate’. Adakah YB
yakin terus menjadi pilihan parti sebagai calon PRU13?
DR KHIR: Kalau tanya rakyat Sungai
Panjang mereka tahu bagaimana saya jaga mereka. Saya bukanlah sombong, berlagak, garang seperti digambarkan
sebelum ini. Itu hanyalah gambaran yang dicipta pembangkang, orang kampung
dengan saya tak ada masalah. Kalau nak ikut faktor ‘winnable candidate’, saya
yakin masih boleh memberi kemenangan kepada parti. Tetapi, saya tahu saya tak
akan dicalonkan pada PRU akan datang.
Saya terima hakikat itu kerana ia ada
kaitan kes mahkamah yang telah saya hadapi. Apabila ini berlaku
(tidak dicalonkan), pastilah situasi ini menggembirakan musuhmusuh politik saya
tetapi sebagai pejuang parti, seperti yang saya nyatakan tadi, parti tidak
salah, pengendali parti yang salah. Saya tidak perlu bermusuh dengan Umno, keluar
Umno kerana ini adalah wadah perjuangan saya. Cuma apa yang
merisaukan saya, PRU kali ini adalah paling kritikal apatah lagi kerajaan sekarang
yang dilihat dalam situasi serba salah. Ini mengingatkan saya terhadap apa yang
berlaku pada PRU12 lalu, situasinya adalah sama dan ini membimbangkan.
Imej YB dilihat tercalar
berikut kesmahkamah yang dihadapi. YB mungkin dijadikan contoh klasik untuk
mengaitkan persepsi buruk rakyat terhadap BN. Ini mungkin menjejaskan peluang
BN untuk rampas semula Selangor.
DR KHIR: Ingin saya jelaskan, dalam
kes ini(mahkamah), saya bukan dituduh atas kesalahan rasuah sebaliknya dituduh mengikut Akta 165, iaitu
membeli barangan di luar daripada harga asal.
Malah, perbicaraan saya berlangsung begitu
lama, saksi, penilai profesional, pihak bank dan saya sendiri dipanggil sebagai saksi tanpa
sebarang masalah, menjawab segalanya di kandang dengan ikhlas dan jujur. Kalau saudara
masih ingat, saya dituduh membina rumah RM24 juta tetapi akhirnya dalam
mahkamah, tiada satu pun perkataan diluahkan saksi pendakwa raya bahawa rumah tersebut
bernilai RM24 juta. Yang timbul, rumah tersebut dibeli pemilik sebelumnya dengan nilai RM6.5 juta dan dijual kepada saya RM3.5
juta atas dasar rumah yang belum siap. Isu rasuah atau salah guna kuasa tidak timbul.
Kalau begitu, berdasarkan
pemerhatian YB, bagaimana peluang BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
untuk merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat?
DR KHIR: Kita berada dalam situasi
50-50. Kesilapan yang saya buat dahulu (PRU12) ialah tidak menggerakkan BN
sebaliknya hanya menggerakkan Umno. Kalau merujuk kepada rekod, undi Melayu yang tidak mengundi BN pada PRU12
hanyalah 2 hingga 5 peratus sahaja. Selain dibelenggu sindrom ‘over confident’
kita boleh menang, saya juga sebelum ini melakukan kesilapan kerana memberi kepercayaan
penuh kepada pemimpin komponen BN lain untuk meneruskan program atau aktiviti
yang telah Umno lakukan. Apa yang berlaku hari ini juga tidak banyak berubah.
Saya lihat banyak program yang dibuat hanya memberi tumpuan kepada menggerakkan
100 peratus keupayaan Umno tetapi dan meminggirkan keupayaan sebenar BN. Harus
diingat di Selangor, 52 peratus undi datangnya daripada bukan Melayu berbanding
hanya 48 peratus undi Melayu. Secara kasarnya, kalau tidak digerakkan BN
sebagai satu gerakan baru untuk meraih undi bukan Melayu, kita akan gagal sekali lagi.
Di
kawasan luar bandar, BN/Umno masih menguasai dan berpengaruh kerana majoriti pengundi
adalah Melayu tetapi di kawasan bandar, kita kalah semua kerusi (pada PRU12) kerana
latar belakang pengundinya adalah pelbagai bangsa. Selagi kita gagal
menggerakkan BN, selagi itulah kita gagal merampas semula Selangor, Perak,
Pulau Pinang dan negeri-negeri dikuasai pembangkang.
Perlu
diinsafi, kelemahan gerakan BN secara bersepadu ini juga akan terus melemahkan
kita. Kalau dulu kita ada juga lihat pemimpin komponen BN dalam majlis anjuran mana-mana
komponen tetapi sekarang, payah nak lihat pemimpin Umno, MCA, Gerakan, MIC dan
komponen lain berucap mengenai polisi kerajaan dalam satu pentas yang sama.
Sepanjang berdepan kes mahkamah, YB dilihat sedikit low profile,
tidak lantang seperti selalu. ‘Bisu’ seketika daripada mengkritik Pakatan
Rakyat. Kenapa, adakah YB risau atau takut, bimbang ada lagi isu mengaitkan YB
terbongkar?
DR KHIR: Dalam politik, kita tidak
perlu takut jika kita berada di pihak benar. Kita kena tahu
apa
kita buat. Saya agak tidak lantang kerana saya bertindak di atas amanah. Ketika
saya dilantik Menteri Besar, saya memperhambakan diri kepada kerajaan, bekerja
18 jam sehari . Bila saya kalah, saya dihalau seperti binatang daripada rumah
saya pun, saya reda dan bila dilantik ketua pembangkang, saya memainkan peranan
menegur kerajaan (Pakatan Rakyat) yang membawa kepada beberapa siri pendedahan
berhubung beberapa isu penting yang perlu diambil tindakan supaya ia tidak menjadi
satu kerosakan yang berterusan kepada Negeri Selangor.
Sepatutnya
kerajaan (Pakatan Rakyat dan BN) hari ini menerima teguran dengan positif tetapi
apa yang berlaku sekarang yang saya anggap sebagai satu penyakit iaitu apabila pembangkang
menegur, ia dianggap sebagai musuh dan perlu dimalukan bukannya bertindak ke
atas teguran yang dibuat. Bila
ditegur, ia dianggap cubaan untuk menjatuhkan kerajaan. Sebagai contoh, saya menegur
soal pengorekan pasir di Selangor. Kita menyedari ia berlaku ketika
pemerintahan BN sebelum ini yang dilihat agak kronik sehinggalah kita mengambil
tindakan untuk menutup semua lombong pasir pada 2005 selepas kajian yang dibuat
membuktikan nilai pasir yang diperoleh itu tidak berbaloi dengan nilai
kerosakan pada bumi Selangor. Kita akan
dapat hasil RM2 juta hingga RM3 juta daripada sebuah lombong tetapi kita mungkin
memerlukan hampir RM10 juta untuk membaiki dan menimbus kembali lombong
tersebut.
Sama
juga isu rumah urut, pusat hiburan, saya konsisten dengan tindakan saya sejak zaman
saya menteri besar. Pada 2007, kita telah buat keputusan hanya 700 lesen pusat
hiburan seluruh Selangor dikeluarkan dan ianya memenuhi keperluan masyarakat
bukan Islam di negeri ini. Hari ini apa yang berlaku adalah sebaliknya, mereka
(Kerajaan Negeri sekarang) tidak lesenkan pusat-pusat hiburan ini kerana bimbang
angka itu akan dilihat bertambah. Apa yang dilakukan, membiarkan dan membenarkan
pusat-pusat hiburan ini beroperasi secara haram. Apabila dipersoalkan, mereka
berkata, jumlah lesen yang dikeluarkan adalah sama dan tidak bertambah, walhal pusat-pusat
ini dibiar beroperasi secara haram.
Dalam situasi jarang mengkritik Pakatan Rakyat, YB kerap
mengkritik pemerintah menerusi blog hingga menimbulkan pelbagai persepsi
termasuklah andaian adakah YB kini mewakili suara pembangkang?
DR KHIR: Perkara mengkritik BN bukan baru,
tetapi pandangan kritikal saya tidak didedahkan. Apa yang saya buat adalah
untuk rakyat, jika polisi tidak menguntungkan rakyat, retorik…tidak boleh
dilaksanakan secara praktikal, rakyat marah…BN juga yang rugi dan saya perlu
menegurnya. Teguran
yang dibuat bukan baru, bukan disebabkan saya tidak lagi dalam kerajaan tetapi
berlaku sejak dulu lagi. Sikap kritikal saya ini demi menjaga kepentingan
rakyat.
Kuasa ketiga fenomena
seketika
Akhir-akhir ini muncul ikon baru dalam persada politik tanah
air. Bekas ahli Pas, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali melabelkan dirinya sebagai
kuasa ketiga penentu undi rakyat pada PRU13. Apa komen YB?
DR KHIR : Soal kuasa ketiga ini boleh
dianggap satu fenomena bersifat seketika sahaja. Kita tidak
boleh hidup dalam politik dengan menyerang parti sendiri. Kuasa ketiga yang heboh-heboh
sekarang ini tidak wujud kerana kesudahannya pada pilihan raya nanti mereka tetap
akan membuat pilihan sama ada menyokong BN atau Pakatan Rakyat. Kalau bertanding
atas tiket calon Bebas sekalipun, mereka juga akhirnya akan kaitkan diri menyokong
antara dua kumpulan parti politik ini.
Saya tidak nampak kuasa ketiga ini satu alternatif. Persekitaran politik
menyaksikan keadaan tipikal berlaku di mana apabila BN buat polisi, pembangkang
pastinya akan menyerang. Belum ada satu pihak tampil membentangkan polisi
mereka secara komprehensif sebagai penyelesaian demi menjaga
perut rakyat.
Saya ambil contoh Buku Jingga, ia dibuat bukan alternatif
menyelesaikan masalah rakyat tetapi satu senjata serangan kepada polisi yang
telah dibuat BN. Bila serang-menyerang berlaku, yang nampak adalah keburukan, kebaikannya
telah tenggelam. Kalau berjuang menerusi kuasa ketiga, kumpulan ini perlu
bersatu, komited dan percaya pada perjuangan baru mereka dan ada polisi-polisi
baru yang akan dibuat. Jangan amal politik kebencian, dengan mewujudkan
kebencian, ia tidak memberi kebaikan kepada sesiapapun khususnya rakyat. Jangan
telanjang seseorang, tetapi amalkan sikap profesional Biarlah rakyat pilih kita
disebabkan kita bijak,
hebat mentadbir bersama polisi-polisi yang bagus bukannya dipilih sebab rakyat terpengaruh
dengan sentimen kebencian yang diapi-apikan untuk menutup kehebatan, kebagusan
pihak yang satu lagi.