Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Tuesday, May 29, 2012

Loji Langat 2: Khalid Ibrahim Sabotaj Berbilion Ringgit Duit Rakyat

1. Isu Air di Lembah Klang tidak akan selesai selagi kerajaan Negeri ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Kenyataan demi kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008 menunjukkan kesungguhan beliau dan Pakatan untuk mempolitikkan isu ini.

2. Saya tidak pasti mengapa Khalid begitu bersungguh-sungguh melengahkan dua isu besar air di Lembah Klang ini iaitu Penstrukturan Semula Air Selangor dan juga Pembinaan Loji Pembersih Air Langat 2 (Projek Penyaluran Air Mentah Pahang - Selangor). Pelbagai alasan, rundingan dan kenyataan dibuat oleh kerajaan negeri Selangor. Sehingga kini belum ada satu idea yang lebih baik datang daripada kerajaan negeri kecuali idea-idea lawak jenaka seperti ingin menggunakan air lombong sebagai sumber air minuman.

3. Kajian oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini menunjukkan Lembah Klang akan mengalami krisis air yang serius pada 2014 jika tiada usaha bersepadu mendapatkan bekalan air mentah dari luar Lembah Klang. Pelbagai kajian dilakukan termasuk mendapatkan air di Perak, namun akhirnya kos mendapatkan air dari Pahang yang paling murah.

4. Saya telah menulis sebahagian latar belakang industri air Selangor. Saya fikir tidak perlu kita ulangi lagi penjelasan panjang lebar ini. Yang saya fikir perlu rakyat lihat dan perhatikan ialah tindak tanduk Khalid ini akan menyebabkan kita akan menanggung beban kewangan yang lebih besar pada masa akan datang.

5. Dengan menangguhkan projek Loji Air Langat 2, Khalid akan menyebabkan kos pembinaannya akan meningkat dengan lebih tinggi. Ini kerana kos pembinaan sentiasa meningkat naik dari tahun ke tahun. Seterusnya, kerajaan Persekutuan juga akan menanggung beban kewangan yang besar apabila terpaksa membayar faedah dan hutang kepada Japan International Cooperation Agency (JICA) yang berjumlah berbilion ringgit.


6. Alasan Khalid untuk mencari kaedah lain yang lebih murah dan sebagainya adalah tidak masuk akal kerana Kerajaan telah pun membina laluan air dari sungai Pahang ke Selangor. Yang tinggal sekarang ialah untuk membina Loji Air Langat 2 bagi menyelesaikan isu air di lembah klang. Malahan pembinaan empangan ini langsung tidak mengambil wang kerajaan negeri. 


7. Jadi mengapa Khalid yang tiada pengalaman dan pengetahuan dalam bidang ini begitu beria-ia ingin menghalang pembinaan empangan ini. Politik! Khalid ingin mempolitikkan keadaan ini sepenuhnya seolah-olah beliau berjuang untuk memberi air yang murah kepada rakyat.


8. Beliau membuat pelbagai kenyataan bagi menghalang pembinaan Loji Air Langat 2 ini seolah-olah jika dibina loji air ini maka tarif air akan naik, rakyat akan dibebani kos yang tinggi. Ini semua tidak lebih daripada manipulasi politik ala sosialis yang menguar-uarkan mantera perjuangan untuk rakyat menentang kerakusan kapitalis.


9. Hakikatnya, pembinaan Loji Air Langat 2 tiada kena mengena dengan tarif air. Ia merupakan projek kerajaan Persekutuan untuk memastikan Lembah Klang tidak berhadapan dengan krisis air yang serius pada masa hadapan.


10. Hanya Khalid dan pimimpin utama Pakatan yang mengetahui mengapa mereka begitu menentang pembinaan Loji Langat 2. Namun realitinya, sikap Khalid ini mencerminkan sikap busuk hati dan khianat seorang pemimpin yang rela memperjudikan keadaan ekonomi dan keperluan asas rakyat untuk percaturan politiknya.

11. Khalid boleh terus berbahas sama ada akan berlaku krisis air atau tidak pada 2014 nanti jika  rancangan penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor tidak dilaksanakan. Khalid boleh sahaja mengutarakan pandangan pakar-pakar yang beliau dakwa berkata sebaliknya, biarpun sehingga kini tidak satu kajian dikemukakan kepada rakyat. 

12. Namun apakah perlu Khalid memperjudikan keadaan ini sedangkan sebahagian rancangan ini telah dilaksanakan di sebelah Pahang? Jika Khalid berterusan menghalang pembinaan loji ini bermakna sebahagian besar pelaburan musnah tanpa hasil. Kerajaan Persekutuan juga akan menanggung hutang berbilion ringgit akibat disabotaj oleh kerajaan negeri Selangor.

13. Justeru tindakan Khalid menghalang pembinaan loji air Langat 2 ini merupakan tindakan sabotaj kepada ekonomi dan kewangan negara. Mungkin Kerajaan Persekutuan perlu menyerahkan projek pembinaan Loji Langat 2 ini kepada kroni-kroni kerajaan negeri untuk mendapat kebenaran pembinaan ini. Mungkin itulah yang mereka mahukan pun.

14. Dalam sistem demokrasi, kerajaan yang mengambil alih harus menghormati perjanjian dan persetujuan kerajaan sebelumnya kecuali terdapat isu-isu besar seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah. 

15. Namun dalam konteks ini kerajaan negeri tidak bertindak secara profesional sehingga menjejaskan kepentingan rakyat, kewangan negara dan imej negeri di mata pelabur asing. Projek yang dipersetujui dibatalkan sesuka hati hanya kerana ego politik kepartian. 

16. Apakah pelabur asing dan tempatan bersedia membuat komitmen jangka panjang dengan kerajaan jika mengetahui persetujuan dan perjanjian mereka akan sewenang-wenangnya dihalang atau dimungkiri oleh parti yang lain yang mungkin menang dalam pilihan raya?

17. Ada orang yang kerana yang benci kepada Barisan Nasional dan pemimpin tertentu sanggup menerima apa sahaja tohmahan kerajaan negeri tanpa berfikir dengan rasional dan melihat fakta yang ada. 

18. Hakikatnya kos menguruskan air bersih di Lembah Klang sangat tinggi hingga mencecah berbilion ringgit. Dan ia perlu ditangani dengan cermat dan berhati-hati agar rakyat tidak terbeban dengan kos yang tinggi sama ada melalui tarif air mahu pun melalui subsidi kerajaan yang akhirnya merupakan wang rakyat juga.

19. Kerajaan Selangor hari ini yang kononnya memberi air percuma hanya masuk dalam keadaan segala-galanya telah tersedia, seperti kata orang hanya "cuci kaki sahaja". Selama empat tahun ini mereka tidak membina apa-apa pun kecuali meneruskan apa yang telah kerajaan sebelum ini bina. 

20. Sekarang, mereka mahu menghalang usaha kerajaan Persekutuan mengatasi isu air di Lembah Klang. Adakah ini pemimpin yang baik? Adakah ini kerajaan negeri yang baik? Mereka mungkin menang dari segi promosi menaikkan imej sendiri dan memburukkan pemimpin BN. 

Tuesday, May 22, 2012

Perlu Makanisme Khusus Atasi Gejala LGBT

1. Gejala Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender  (LGBT) semakin mendapat perhatian masyarakat dunia. Perilaku luar tabie kumpulan ini bukan sahaja jelas dilarang oleh Islam dan juga agama-agama lain tetapi bertentangan sama sekali dengan kemanusiaan.

2. Namun kumpulan ini semakin berkembang di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Sungguhpun Malaysia mempunyai undang-undang khusus mengambil tindakan terhadap kumpulan ini, namun lobi mereka kian lama kian membesar termasuk menarik simpati dari kalangan ahli politik. Ada juga dakwaan ahli politik tertentu turut terbabit dengan gejala ini. Malahan kedatangan agen pelobi golongan LGBT di kalangan masyarakat Islam, Irshad Manji, juga khabarnya dinaungi ahli politik tertentu yang telah terpalit dengan dakwaan perilaku serupa.

3. Hari ini kumpulan gay dan lesbian ini tidak segan silu menunjukkan identiti mereka. Seolah-olah mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan. Ada antara mereka menyalahkan takdir yang menyebabkan mereka menjadi sedemikian. Mereka juga berselindung di sebalik pandangan-pandangan saintis (yang sebahagiannya juga merupakan pengamal seks sejenis ini)  bahawa apa yang terjadi kepada mereka ialah keadaan semula jadi. Mereka sememangnya dilahirkan sebagai gay dan lesbian maka tidak sewajarnya mereka disalahkan atas keadaan ini.

4. Kumpulan ini juga sering kali menggunakan isu hak asasi manusia sebagai pelindung utama mereka. Sekiranya kita berbicara atau melontarkan pandangan yang anti kepada perbuatan mereka maka kita akan dicop sebagai homophobia. Negara-negara yang menghukum pengamal seks songsang ini akan dianggap ketinggalan zaman dan melanggar hak asasi manusia.

5. Kumpulan juga semakin kuat dari segi kewangan. Mereka menaja ramai pelobi dan pekerja hak asasi manusia agar menyokong ajaran sesat mereka.  Banyak juga ahli akademik Islam dan Kristian yang menjadi alat mereka sehingga sanggup menafikan firman-firman Allah yang jelas sekali melaknati perbuatan seperti ini.

6. Sekiranya kita membiarkan gejala ini berterusan dan berleluasa tanpa tindakan sewajarnya, maka tidak mustahil suatu ketika nanti Malaysia akan menghalalkan kumpulan LGBT ini. Dengan pengikut kumpulan ini semakin membesar dan kemungkinan ahli-ahli politik yang pro mereka makin bertambah, maka suatu hari nanti Malaysia mungkin akan menjadi seperti beberapa negeri di Amerika Syarikat yang meluluskan Undang-undang perkahwinan sejenis.

7. Namun menghalang kumpulan ini melalui undang-undang yang ketat tidak menyelesaikan masalah. Mencerca dan menghina mereka secara berterusan juga tidak akan mengurangkan kumpulan ini jika tidak disusuli dengan usaha alternatif memulihkan mereka yang mahu pulih.

8. Justeru kerajaan perlu mewujudkan mekanisme dan pelan perancangan yang rapi dalam memulihkan kumpulan ini. Bantuan kaunseling, psikologi dan perubatan  perlu ditawarkan secara percuma kepada mereka yang terbabit dalam gejala ini dan mahu pulang ke pangkal jalan. Kumpulan saintis, ahli sosiologi dan agamawan  perlu duduk bersama mencari kaedah terbaik bagi mengatasi perilaku dan sikap anti - kemanusiaan ini,

9. Kerajaan perlu menyediakan strategi dan tempat pemulihan yang khusus untuk kumpulan ini. Mereka yang akan mengendalikannya pemulihan juga perlu mempunyai disiplin kerahsiaan yang tinggi bagi mengelakkan kumpulan ini menjauhkan diri kerana malu.

10. Satu badan bukan kerajaan khusus untuk membimbing kumpulan ini juga harus ditubuhkan secepat mungkin dan diberi dana yang mencukupi. Mungkin juga konsep pemulihan seperti Rumah Pengasih yang dibuat untuk bekas penagih dadah boleh diadakan untuk kumpulan ini.

11. Tidak ada gunanya kita mendakwa seorang dua yang melakukan gejala luar tabie ini tetapi tidak menyediakan ruang dan peluang untuk mereka yang telah terjebak dalam keadaan ini kembali ke pangkal jalan.

12. Mengherdik, mencerca dan menghina kumpulan ini tidak memberi apa-apa keuntungan kepada masyarakat. Ia hanya menjauhkan mereka daripada kita dan menyukarkan proses pemulihan. Akhirnya kumpulan ini makin membesar kerana kita menjauhi mereka dan tidak berusaha memulihkannya.


Tuesday, May 8, 2012

Azmin Ali: Agenda UMNO atau PKR?

1. Nampaknya dunia politik negara sudah menjadi seperti dunia artis barat, tidak reda-reda dengan kisah skandal seks. Daripada yang di bawa ke mahkamah sehinggalah kepada yang bertebaran di ruang-ruang siber dan dada-dada akhbar.

2. Terbaru yang sedang hangat diperkatakan ialah mengenai gambar-gambar "terlampau" seorang lelaki yang dikata sebagai YB. Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR. Beliau juga merupakan orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Dewan Negeri Selangor kawasan Bukit Antarabangsa dan Ahli Parlimen Gombak.

3.  Perbahasan selalunya akan bermula sama ada benar atau tidak si pelaku dalam gambar atau video tersebut merupakan ahli politik yang tertuduh. Daripada itu akan ada perbincangan pula siapa punya kerja dan agenda siapa.

4. Walaupun tampak seperti Azmin namun saya tidaklah berani 100% menyatakan orang tersebut adalah Azmin. Hanya Allah, Azmin, dan mereka yang terbabit sahaja mengentahui kebenarannya. Saya bersangka baik bahawa orang tersebut mungkin individu yang menyerupai Azmin.

5. Namun saya fikir jalan terbaik buat Azmin bukannya melakukan saman malu tetapi membuat laporan Polis kerana ia membabitkan tuduhan yang sangat serius ke atas dirinya. Melalui laporan Polis, Azmin bukan sahaja dapat membersihkan dirinya, malah mungkin dapat mengetahui siapa dalang di sebalik isu ini.

6. Sungguhpun Pakatan dan Azmin sendiri bersungguh mahu menyatakan ini agenda jahat UMNO, namun tidak mustahil ini merupakan agenda dalaman parti Azmin sendiri. Ini dapat dilihat dari reaksi beberapa pemimpin PKR yang jelas sekali tidak bersungguh mempertahankan Azmin dalam isu ini.

7. Seorang pemimpin besar PKR di Selangor enggan mengulas mahu pun mempertahankan Azmin. Pemimpin ini bukan sahaja mempunyai kuasa yang besar di Selangor tetapi juga diketahui berada di kem yang berbeza dengan Timbalan Presiden PKR. Ini menimbulkan tanda tanya apakah terdapat agenda dalam PKR sendiri untuk menjatuhkan Azmin.

8.  Azmin harus berhati-hati dengan musuh dalam selimut kerana telah banyak sejarah politik Melayu tertulis bahawa kejatuhan seseorang pemimpin atau kerajaan Melayu kerap berpunca daripada "orang dalam sendiri" sehingga ada peribahasa Melayu, "bagai gunting dalam lipatan."

9. Menilai sikap Azmin selama menjadi Timbalan Presiden PKR dan Ketua Penyokong Kerajaan di Dewan Negeri Selangor, maka kemungkinan besar rencana dan agenda menjatuhkannya beliau ini direncanakan oleh orang di dalam partinya sendiri.

10. Akhirnya sebagai sesama muslim saya berharap YB Azmin dapat meluangkan masa menemui ibunya. Walau apa pun tanggapan dan perasaan Azmin, perasaan ibunya harus menjadi keutamaan. Pulanglah, sekurang-kurangnya dapat mendamaikan hati seorang ibu. Ingatlah ajaran Islam bahawa "sebahagian syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu kita.".