1. Selamat menyambut hari kemerdekaan negara ke-55. Saban tahun hari kemerdekaan negara di sambut dengan pelbagai acara, kemeriahan dan keamanan tanpa mengira kaum, agama dan latara belakang rakyat. Sesungguhnya 31 Ogos 1957 merupakan titik penting dalah sejarah tanah air kerana inilah permulaan satu lembaran sejarah baru negara yang lebih 400 tahun terbelengu dengan penjajahan kerajaan asing.
2. Sungguhpun Sabah dan Sarawak hanya merdeka 6 tahun kemudian iaitu pada 16 September 1963, namun pengisytiharan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 merupakan titik penting dalam kemerdekaan seluruh negara.
3. Setelah lebih 54 tahun menyambut kemerdekaan dengan suasana aman dan tenang, sambutan kemerdekaan kali ini dicemari dengan sikap Pakatan Rakyat yang menolak tema hari kebangsaan yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan - "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati". Alasan mereka tema atau slogan ini merupakan tema politik Barisan Nasional.
4. Oleh itu setiap negeri Pakatan telah mencipta tema kemerdekaan mereka sendiri. Apabila dikritik sebagai tidak mampu bersatu untuk menentukan tema kemerdekaan, barulah terdapat arahan pimpinan parti untuk menggunakan tema yang sama antara mereka iaitu - "Sebangsa, Senegara, Sejiwa."
5. Jika dikatakan tema yang ditentukan oleh kerajaan Persekutuan adalah tema politik Barisan Nasional, mengapa tema kemerdekaan negeri-negeri di bawah Pakatan ditentukan oleh parti bukannya kerajaan negeri? Bukankah ini jelas merupakan tindakan politik kepartian?
6. Lebih aneh, mungkin kerana haluan berbeza antara Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan dengan pimpinan Pakatan Rakyat, maka di Kedah poster Kemerdekaan kerajaan negeri masih menggunakan tema kemerdekaan mereka sendiri iaitu " “55 Tahun Merdeka Terus Berbakti.”
7. Tindakan Pakatan membuat tema hari kemerdekaan mereka sendiri menunjukkan sikap politik yang tidak matang. Taktik politik adu-domba, memecah-belah masyarakat, menghasut dan menimbulkan kebencian orang ramai kepada kerajaan Persekutuan sudah melampaui tahap politik demokrasi sebenar.
8. Hari Kemerdekaan sepatutnya menjadi wadah penyatuan rakyat dan hari kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia. Inilah yang berlaku sejak 54 tahun lalu.
9. Malangnya, pada tahun ini, hanya kerana untuk memenuhi cita-cita seorang manusia untuk menjadi Perdana Menteri dengan apa kos sekalipun pun maka segala-galanya dipolitikkan dan ditentang termasuklah tema hari kemerdekaan negara.
10. Setelah 55 tahun merdeka kita akhirnya berada di ambang perpecahan masyarakat yang sangat menyedihkan. Jika tema hari kemerdekaan pun kita tidak boleh bersetuju, apa lagi yang tinggal kepada kita sebagai rakyat Malaysia?
11. Lebih menyedihkan, Pakatan juga dikatakan "mengatur" satu himpunan politik bagi menggangu Sambutan Hari Merdeka malam ini bagi tujuan memalukan kerajaan Barisan Nasional. Apa jenis pimpinan politik seperti ini? Pemimpin masyarakat atau perosak masyarakat?
12. Jangan kerana seorang pemimpin yang sejak awal kerjaya politiknya hingga sekarang naik melalui "kacau-bilau" (chaos) politik, maka nilai kemerdekaan negara juga kita hancurkan. Jika keadaan ini berterusan dalam beberapa tahun lagi Hari Merdeka mungkin sudah tidak lagi dipandang mulia oleh generasi muda.
13. Cukuplah politik yang memenatkan ini. Janganlah sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia pun mahu dikorbankan atas nama politik.
13. Selamat menyambut hari merdeka. Semoga kemerdekaan kita akan terus kekal utuh untuk generasi akan datang. Merdeka! Merdeka! Merdeka!