Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Wednesday, August 7, 2013

Selamat Hari Raya, Awasi Keselamatan Diri dan Harta Benda

Selamat Hari Raya, Awasi Keselamatan Diri dan Harta Benda

1. Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan memohon maaf zahir dan batin kepada semua pembaca blog ini jika ada salah silap.

2. Sempena hari raya ini, saya berharap kita semua sama-sama membantu menjaga keselamatan diri dan harta benda diri sendiri dan masyarakat sekeliling. 

3. Kita menyambut hari raya kali ini dalam keadaan yang agak merunsingkan berikutan banyak sekali kejadian jenayah kecil dan besar sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

4. Penjenayah seolah-olah tidak lagi takut kepada pihak berkuasa. Apakah kerana mereka telah kebal atau mempunyai perlindungan dari orang tertentu?

5. Pihak berkuasa terutamanya Polis pula berada dalam keadaan yang tidak selesa atau terikat untuk bertindak pantas dan segera. Ini kerana setiap kali berlaku insiden antara Polis dan penjenayah akan ada pihak yang muncul cuba mencari kesalahan Polis. Boleh dikatakan jika kita menjadi Polis, lebih duduk diam daripada bertindak. 

6. Keadaan ini harus diambil perhatian oleh Menteri Dalam Negeri yang baru. 

7. Walaupun kita tidak mahu Polis bertindak sewenang-wenangnya terutama dalam kes tembakan, namun Polis juga perlukan perlindungan undang-undang daripada menjadi mangsa "buli" kumpulan tertentu yang mempunyai agenda sendiri.

8. Kerajaan harus melakukan sesuatu untuk meyakinkan anggota Polis bahawa mereka akan dijaga dan dilindungi selagi menjalankan tugas dengan betul.

9. Harus diingat bila undang-undang ditegakkan pasti ada yang tidak menyukai kerana itulah tujuan undang-undang. Jika kita melayan golongan ini pasti segala usaha akan sia-sia seperti mencurah air ke daun keladi.

Friday, May 31, 2013

Putus Sudah Harapan?

1. Semalam, Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan sebulat suara menolak rayuan saya. 

2. Saya akan merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan ini tapi saya tidak mengharapkan peluang untuk dibebaskan secerah semasa kes ini di Mahkamah Rayuan.

3. Saya hadir ke Mahkamah Rayuan dengan harapan yang tinggi kerana saya percaya saya tidak melakukan apa-apa kesalahan rasuah mahu pun pecah amanah.

4. Saya membeli rumah dengan harga pasaran. Saya tidak memberi apa-apa keistimewaan kepada Shamsudin Haryoni berbanding syarikat-syarikat lain yang melakukan usahasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

5. Saya dimaklumkan bahawa tuduhan ke atas saya di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan tidak memerlukan sebarang bukti ada keistimewaan diberikan kepada Shamsuddin. Dengan kata lain, apa yang perlu dibuktikan ialah saya telah membeli sesuatu barangan dengan harga yang tidak mencukupi daripada seseorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai penjawat awam. 

6. Saya tidak pasti bagaimana mahu membeli rumah kerana hampir kebanyakan "developer" mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai Menteri Besar Selangor.

7. Sudah tentu ada yang berkata belilah rumah mengikut harga sebenar. Saya bersetuju dengan pandangan tersebut. Sebab itu saya minta diadakan penilaian ke atas rumah separuh siap yang mahu dijual oleh Shamsuddin kepada saya. 

8. Rahim and Co dan HSBC menilai rumah tersebut pada harga RM 3.5 juta. Penilai Rahim and Co memberi keterangan terperinci dalam Mahkamah mengenai cara penilaian dibuat. Keterangan beliau tidak dicabar oleh Pendakwa Raya. Malangnya ia tidak diambil pakai oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

9. Sepanjang tempoh perbicaraan ini terdapat 4 nilai harga rumah tersebut dibawa oleh pendakwa raya. Pertama ialah harga RM 6.5 juta, harga yang dibeli oleh Shamsuddin daripada pemilik pertama. Harga kedua, ialah RM 5.2 juta yang kononnya dibuat oleh Trans Asia atas permintaan Shamsuddin sebelum pembelian dilakukan. Shamsuddin tidak pernah menunjukkan kepada saya laporan tersebut dan ini diakui sendiri oleh beliau di dalam Mahkamah.

10. Pendakwa raya juga membentangkan laporan oleh Henry Butcher yang dibuat pada 2009, iaitu hampir 3 tahun selepas rumah tersebut saya beli dan siapkan.

11. Peguambela saya membentangkan dua nilaian. Satu daripada Irhamy and Co yang menilai rumah tersebut sebanyak RM 4.3 juta semasa Shamsudin membeli rumah tersebut pada 2005. Nilaian ini dibuat setelah Shamsuddin memohon untuk melakukan pinjaman cagaran ke atas kediaman tersebut dengan Maybank.

12. Nilaian kedua adalah nilaian Rahim and Co sebanyak RM 3.5 juta yang dilakukan ketika saya membeli rumah tersebut yang separuh siap apabila Shamsuddin meroboh dan membina semula.

13. Saya masih ingat tulisan dan pertanyaan seorang penulis sebuah portal yang menulis artikel bertajuk Adakah Anda Bergurau Tuan Hakim? Saya tidak pasti jika hakim menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut.

14. Semalam, peguam saya, Datuk Seri Shafee Abdullah bangun mengemukakan pertanyaan kepada tiga orang panel hakim hari ini, "Apakah benchmark atau tanda aras untuk menyatakan pembelian ini merupakan satu pembalasan yang tidak mencukupi."

15. Pertanyaaan ini bukan sahaja tidak dijawab oleh Hakim Mahkamah Tinggi tetapi juga oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan. Ini bermakna saya tidak mungkin mendapat sebarang perbicaraan yang munasabah pada akal logik. 

16. Panel Hakim menyatakan hakikat saya mengetahui rumah tersebut sebelumnya ditawarkan kepada saya RM 7 juta dan Shamsuddin membeli dengan harga RM 6.5 juta menunjukkan saya mengetahui balasan yang saya berikan tidak mencukupi.

17. Apakah masuk akal untuk saya membeli rumah separuh siap dengan harga rumah yang siap bersama perabot dan kolam renang yang dibeli Shamsuddin pada 2005? Jika berdasarkan pertuduhan inilah kesalahan saya. Namun sehingga dua Mahkamah saya lalui, tiada satu pun bukti menunjukkan harga RM 6.5 juta tersebut merupakan harga pasaran yang sebenar. 

18. Empat orang hakim masih tidak boleh memberi saya tanda aras apa yang sepatutnya saya guna untuk membeli rumah tersebut. Jadi bagaimana saya seorang yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai undang-undang boleh membuat keputusan yang tidak menyalahi undang-undang?

19. Dan jika nilaian oleh penilai bebas yang bertaraf antarabangsa seperti Rahim and Co dan bank antarabangsa seperti HSBC tidak boleh diterima pakai oleh Undang-undang dalam menentukan nilai sebenar hartanah tersebut, keadilan apa lagi yang mahu kita cari?

20. Saya percaya saya akan tetap bersalah walau apa pun bukti dibawa. Cuma saya berharap panel lima hakim akan datang menyatakan dengan jelas apakah tanda aras sebenar balasan tidak mencukupi tersebut. 

21. Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya.

22. Tapi sekurang-kurangnya saya berharap para Hakim akan memberi penghakiman yang jelas agar tidak ada lagi penjawat awam menjadi seperti saya - mangsa yang boleh  dimanipulasi untuk kepentingan politik!

Rasuah

23. Walau apa pun tanggapan mereka yang tidak suka dengan saya, tapi hakikatnya saya tidak melakukan rasuah. Sepanjang perbicaraan, keterangan pegawai PKNS jelas menunjukkan saya menyokong puluhan surat cadangan memajukan tanah PKNS secara usahasama. Ada sokongan saya yang diluluskan dan yang ditolak oleh jawatan kuasa teknikal. 

24. Sebab tu saya dituduh melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun SPRM dengan bangganya menyatakan bahawa kejayaan pendakwaan ke atas saya merupakan bukti kerajaan serius membanteras rasuah. 

25. Rasuah apa? Sokongan saya terhadap cadangan memajukan tanah secara usahasama ke atas syarikat milik Shamsuddin dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal yang saya tidak ketuai. Malah keterangan pegawai PKNS menunjukkan banyak sokongan saya juga ditolak. 

26. Shamsuddin memohon pengecualian Bon dan disokong oleh saya tetapi ditolak oleh PKNS. Jadi untuk apa Shamsuddin merasuah saya? 

27. Malahan dalam keterangan Shamsuddin, beliau sendiri mengakui bahawa beliau yang menawarkan untuk menjualnya kepada saya, bukannya saya yang meminta untuk membeli.

28. Memanglah ada "rempah ratus" pendakwa raya dari saksi-saksi yang bermusuhan dengan saya atau terpaksa kerana telah didakwa bersama saya terlebih dahulu. Namun hakikat utama dalam kes ini bahawa saya membeli rumah dengan balasan tidak mencukupi masih merupakan satu kenyataan yang sangat kabur.

29. Saya bangga sekurang-kurangnya saya membeli rumah dengan titik peluh saya bukan menggunakan wang kerajaan. 

Saturday, May 11, 2013

Kabinet Perlu Cerminkan Semua Kaum

PETALING JAYA: Kabinet tanpa wakil menteri kaum Cina akan menyebabkan politik perkauman di Malaysia akan menjadi-jadi dan tidak terkawal, kata bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo.

Apabila perkauman tidak dapat dibendung, negara akan runtuh, katanya yang menjadi menteri besar Selangor selama lapan tahun dari 2000 hingga tahun 2008. MCA mengumumkan wakil rakyat parti itu tidak akan menerima lantikan kabinet ekoran kekalahan parti itu dalam pilihan raya umum Ahad lalu. 
Keputusan MCA itu, menyebabkan Datuk Seri Najib Tun Razak sukar melantik wakil orang Cina dalam kabinet yang akan dibentuknya. 
“Biasanya MCA mempunyai tujuh wakil dalam kabinet, kalau mereka tidak ada siapa yang mahu mewakili suara mereka dalam kabinet. 
 “Adakah Najib akan melantik golongan profesional Cina sebagai senator dan seterusnya dibawa masung menganggotai kabinet.
“Atau jika Najib berani, beliau melantik menteri Melayu untuk menjaga hal ehwal orang Cina. Persoalannya, adakah orang Cina boleh menerima orang Melayu atau tidak,” katanya lagi.
Kerajaan perpaduan 
Jika Perdana Menteri, kata Dr Mohd Khir, meninggalkan orang Cina dalam kabinetnya, politik perkauman akan menjadi semakin marak. DAP yang menanam dan mengembangkan politik perkaum ini akan untung besar seperti yang berlaku pada Ahad lalu. 
Beliau menegaskan, politik negara masih bergerak berdasarkan kaum – orang Melayu bertanding di kawasan Melayu, Cina di kawasan Cina dan India di kawasan India. 
Menurut Dr Mohd Khir, kerajaan mesti menghalang atau membendung politik perkauman daripada terus merebak lagi. 
https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/05/09/najib-tidak-boleh-tinggalkan-orang-cina/

Wednesday, March 27, 2013

Adakah Najib Takut Membubarkan Parlimen?

1. Hari ini merupakan hari terakhir Dewan Undangan Negeri Sembilan berfungsi. Mungkin pada hari ini, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Hasan akan mengumumkan pembubaran DUN. DUN juga boleh terbubar sendiri selepas 12 tengah malam ini. Namun saya berharapkan Menteri Besar akan mendapat perkenan DYMM Yang Di Pertuan Negeri untuk membubarkan DUN. Adalah tugas Menteri Besar untuk memohon perkenan membubarkan DUN. Jika tidak, Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama dalam sejarah pilihan raya negara yang terbubar secara sendiri.
 
2. Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak mempunyai tempoh sehingga 28 April ini untuk membubarkan Parlimen. Namun sebelum tarikh tersebut akan terdapat beberapa negeri akan terbubar dahulu seperti Melaka dan Johor pada 22 April (tarikh sidang DUN pertama ialah pada 21 April 2008). Ini diikuti oleh Selangor pada 23 April (22 April) dan Perak 26 April (25 April). Selain itu, terdapat beberapa negeri yang boleh meneruskan kerajaan sehingga selepas Parlimen dibubarkan. Antaranya ialah Kedah, Sabah, Terengganu dan Pulau Pinang yang memulakan sidang DUN mereka pada bulan Mei 2008.
 
3. Kemungkinan besar Perdana Menteri tidak akan membubarkan Parlimen dalam minggu ini. Ini menjadikan kerajaan Negeri Sembilan akan berada di bawah kerajaan sementara untuk tempoh yang agak panjang.
 
4. Saya dimaklumkan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Kerajaan Negeri Selangor akan membubarkan Dewan Negeri Selangor pada 22 April 2013 sekiranya Parlimen masih belum dibubarkan pada masa tersebut. Tarikh ini tidak menghairankan kerana ia merupakan hari terakhir penggal Dewan Negeri Selangor.
 
5. Hakikatnya, hak untuk membubarkan DUN Selangor terletak kepada Menteri Besar dan DYMM Tuanku Sultan Selangor. Ia tidak ada kena mengena dengan Penasihat Ekonomi Negeri mahu pun Ketua Umum PKR.
 
6. Anwar juga mendakwa Mohd Najib takut untuk membubarkan Parlimen kerana tidak yakin boleh memenangi pilihan raya umum kali ini.
 
7. Saya tidak fikir Mohd Najib masih belum membubarkan Parlimen kerana takut kalah. Ini kerana kajian dan pemerhatian pelbagai pihak sama oleh jentera Barisan Nasional, badan-badan pemerhati bebas, mahu pun penganalisis politik dan ekonomi antarabangsa meramalkan Barisan Nasional akan kembali memenangi pilihan raya kali ini dengan pencapain yang lebih baik dari tahun 2008.
 
8. Misalnya, The Economist Intelligence Unit (EIU), sebuah unit penyelidikan majalah terkemuka The Economist, meramalkan Barisan Nasional akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 ini. Malahan The Economist menyatakan bahawa pada pandangan pemerhati antarabangsa, keputusan pilihan raya jelas akan memihak kepada Barisan Nasional.

9. Kaji selidik oleh Merdeka Centre dan Pusat Kajian Demokrasi Dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) juga mendapati Barisan Nasional akan kembali memerintah kerajaan Persekutuan.

 
10. Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menyatakan kajian pasukannya mendapati Barisan Nasional akan memenangi 160 kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang. Sungguhpun saya agak skeptikal dengan kajian ini, namun ia bukanlah mustahil.
 
11. Malahan Tun Daim Zainuddin sendiri yang terkenal dengan bacaan politik beliau yang sangat ampuh juga meramalkan BN akan menang dalam pilihan raya kali ini.
 
12. Berdasarkan pandangan pelbagai pihak dalam dan luar Negara, kajian bebas atau dilakukan oleh parti, BN akan kembali memerintah Malaysia untuk lima tahun akan datang. Justeru tidak timbul andaian dan tuduhan Anwar Ibrahim bahawa Mohd Najib tidak membubarkan Parlimen kerana takut kalah.
 
Mengapa Najib Belum Membubarkan Parlimen?
 
13. Soalan ini agak sukar untuk dijawab. Hanya Allah dan Perdana Menteri sahaja yang mengetahui sebab sebenar. Namun berdasarkan kenyataan-kenyataan beliau sejak beberapa bulan lalu, nyata beliau mahu menggunakan masa yang ada untuk memastikan idea, falsafah dan pelan transformasinya dirasai oleh majoriti rakyat.
 
14. Saya fikir apa yang Mohd Najib mahukan sekarang ialah kemenangan 2/3. Untuk mendapat kemenangan 2/3 agak sukar berbanding sekadar untuk menang. Sebab itu beliau mengambil masa yang lebih sedikit untuk membuktikan kebolehan beliau dan meyakinkan sebahagian rakyat yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat.
 
15. Beliau dilihat seolah-olah tidak cukup masa untuk meyakinkan majoriti rakyat agar memberi kemenangan 2/3 kepada Barisan Nasional. Ini tidak menghairankan kerana hanya pada 3 April tahun ini genap empat tahun pentadbiran beliau. Ini bermakna beliau kekurangan setahun untuk penggal pentadbiran penuh.
 
16. Oleh kerana beliau mengambil alih pentadbiran dalam keadaan parti yang lemah dan berantakan, pentadbiran yang dikritik hebat dan hampir dinyahkan oleh rakyat dalam pilihan raya 2008, tugas Najib tidak semudah disangka.
 
17. Selain itu, keengganan Najib membubarkan Parlimen lebih awal mungkin beliau bimbang Pakatan akan cuba membuat tindakan tidak beretika seperti melewatkan pembubaran DUN Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.
 
18. Jika ini berlaku dan Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) mahu mengadakan pilihan raya serentak maka masa kerajaan Persekutuan sementara boleh mencecah sehingga dua bulan. Ini boleh memberi kesan serius kepada ekonomi dan pentadbiran Negara. Malahan masa yang sedemikian panjang boleh mengancam keselamatan sekiranya kempen politik menjadi kian panas.
 
19. Justeru saya fikir Mohd Najib akan hanya membubarkan Parlimen seawalnya selepas ulang tahun keempat pentadbirannya pada awal April ini atau menunggu sehingga saat akhir, sekaligus mengelakkan Pakatan melakukan taktik memanjangkan masa pilihan raya untuk menimbulkan ketegangan kepada rakyat.

20. Tindakan Mohd Najib untuk memenuhi penggal yang ada harus dipuji bukannya dikritik. Ini merupakan catatan demokrasi yang penting kepada Negara ini. Perdana Menteri memilih untuk mengabaikan keistimewaannya untuk mengadakan pilihan raya secara mengejut.

21. Bukankah selalunya pembangkang menuduh tidak mempunyai cukup masa berkempen dan menuduh Barisan Nasional tidak professional kerana mengumumkan pilihan raya mengejut? Sekarang apabila semua orang sudah mengetahui bila pilihan raya akan diadakan, tiada unsur kejutan lagi, Pakatan masih tidak berpuas hati. Apa yang mereka mahukan sebenarnya?
 
22. Ramai juga yang bertanya kepada saya, mengapa Anwar begitu beria-ia mahukan pilihan raya segera sedangkan masanya memang telah pun hampir tiba. Apakah kerana beliau yakin akan menang atau takut banyak lagi isu terbongkar dan makin ramai yang meninggalkan Pakatan nanti?
 
21. Wallahhualam! Hanya Allah yang maha mengetahui.

Monday, March 4, 2013

Krisis Sabah Perlu Perhatian Majlis Keselamatan Negara

1. Krisis bersenjata di Lahad Datu telah melarat di beberapa kawasan lain di Sabah. Sehingga kini dilaporkan 7 orang anggota Polis kita telah meninggal dunia akibat ditembak oleh penjenayah yang mencerobohi negara. 

2. Seingat saya inilah krisis yang mengambil masa paling lama untuk diselesaikan oleh pihak berkuasa negara sejak Peristiwa 13 Mei 1969. Kita mempunyai beberapa krisis bersenjata yang membabitkan orang tempatan dan juga pengganas luar seperti situasi Tentera Merah Jepun yang menawan bangunan AIA pada 1975, peristiwa Memali dan peristiwa Sauk.

3. Lebih menimbulkan kegusaran orang ramai ialah setelah hampir sebulan, krisis ini bukan menampakkan jalan penyelesaian atau kesudahan. Sebaliknya, dari situasi hanya terhad di  Lahad Datu semata ia telah merebak ke Semporna dan tidak mustahil daerah-daerah lain sekitar sempadan maritim Filipina.

4. Kematian 7 anggota Polis kita akibat ditembak pengganas ini dalam tempoh tidak sampai seminggu sangat menyedihkan. Sungguhpun ia adalah risiko yang telah pun difahami mereka sejak berikrar mempertahankan negara, namun ia tetap sesuatu yang menyedihkan.

5. Saya percaya Polis tentulah mempunyai strategi tersendiri dalam memangani perkara ini kerana mereka merupakan pihak yang pakar dalam bidang keselamatan negara.

6. Namun melihat kekalutan yang ada sekarang saya fikir bukan sahaja isu keselamatan yang perlu dititik beratkan kerajaan tetapi juga isu keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam menangani isu ini. Kerajaan tidak lagi boleh sekadar mengulangi keadaan dalam kawalan (under control) kerana setiap kali pihak Polis mendakwa keadaan berada di dalam kawalan ketika itu juga muncul berita anggota Polis terkorban.

7. Justeru adalah wajar kerajaan menggerakkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil alih peranan pihak Polis dalam isu ini. Mungkin Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri sendiri yang mempengerusikan MKN untuk krisis ini. MKN harus beroperasi 24 jam sehinggalah isu ini diselesaikan secara tuntas.

8. Dengan menggerakkan MKN untuk isu ini maka bukan sahaja PDRM yang terlibat tetapi juga ia akan melibatkan pihak Tentera dan beberapa pihak berkuasa lain serta Ketua Menteri Sabah. Ini sekaligus menjamin kerajaan mendapat maklumat dan pandangan dari pelbagai kumpulan yang terbabit secara langsung dengan situasi di Sabah ini.

9. Melalui pembabitan banyak pihak ini, banyak maklumat akan lebih mudah sampai kepada bilik operasi bagi membolehkan tindakan mencegah situasi lebih parah berlaku. 

10. Menggerakkan MKN bukan bermakna Polis gagal mengawal keselamatan negara. Sebaliknya ia bermakna terdapat usaha lebih bersepadu untuk meningkatkan usaha memulihkan keamanan di beberapa kawasan di Sabah. 


Wednesday, February 27, 2013

Manifesto Perumahan Pakatan Belakangkan Rakyat

1. Salah satu isu dalam Manifesto Pakatan Rakyat yang dilancarkan ialah menjanjikan perumahan selesa dan mampu milik sebanyak 150 ribu buah. Perumahan mampu milik ini akan terbahagi kepada dua iaitu di bawah RM 75 ribu dan antara RM 150 ribu - RM 250 ribu.

2. Jika dilihat sekali lalu sahaja kita akan tertanya-tanya mengapa tiada sebarang pernyataan mengenai rumah yang berharga antara RM 80 ribu - 150 ribu? Sungguhpun perkara ini mungkin tampak remeh tetapi ia menunjukkan Manifesto ini tidak dirancang dengan teliti dan bersungguh. Seolah-olah angka-angka yang diletakkan di dalam manifesto tersebut sekadar sesedap rasa.

3. Mengapa ada satu lompang harga yang besar dalam penentuan harga rumah mampu milik? Sudah tentu sebuah rumah yang berharga RM 80 ribu - RM 150 ribu lebih murah berbanding harga RM 150 ribu-RM 250 ribu sebuah. Sungguhpun janji pakatan ini tampak manis namun ia tidak mencerminkan realiti perumahan negara sebenar terutamanya di Lembah Klang. 

4. Sebagai contoh di Selangor pada zaman pentadbiran Barisan Nasional, kerajaan negeri mempunyai dasar pembangunan bercampur yang disyaratkan kepada semua pemaju bagi memenuhi keperluan rakyat. Beberapa kategori rumah dan harga ditetapkan bagi memenuhi kemampuan rakyat yang mempunyai lapisan pendapatan yang berlainan iaitu Rumah Kos Rendah (RM 42, 000.00 dan ke bawah), Rumah Kos Sederhana Rendah (di bawah RM 100,000.00), Rumah Kos Sederhana (di bawah RM 500,000.00) dan harga rumah bebas.

6. Dasar Pembangunan Tanah Selangor ketika itu mensyaratkan bagi pembangunan perumahan yang melebihi 10 ekar ia mestilah mengandungi pembangunan bercampur melibatkan 20% rumah kos rendah, 20% rumah kos sederhana rendah dan 10% rumah kos sederhana. Selebihnya terserah kepada budi bicara pemaju. 

7. Ketika menjawab soalan bertulis saya dalam sidang DUN yang lalu, Kerajaan Negeri menyatakan dasar tersebut masih dikekalkan. Malangnya sejak kerajaan negeri Selangor diperintah oleh Pakatan, tiada satu pun rumah kos rendah dirancang dan dibina oleh mereka.

8. Dalam sidang Dewan Negeri Selangor yang lalu juga saya menghantar  soalan bertulis yang bertanyakan mengenai jumlah pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang dibina oleh anak syarikat kerajaan negeri. 

9. Jawapan bertulis Kerajaan Negeri kepada saya (ADUN Sungai Panjang) dalam sidang Dewan Negeri Selangor yang lalu, memaklumkan bahawa anak syarikat kerajaan negeri telah membina sebanyak 1, 136 unit rumah kos rendah dan 190 unit rumah kos sederhana rendah sejak dari tahun 2010-2012.

10. Namun setelah melihat senarai projek perumahan yang telah siap dan dalam pembinaan yang dinyatakan, ia sangat mengejutkan kerana semua projek-projek ini diancang dan diluluskan semasa pentadbiran Barisan Nasional. Ini bermakna tiada sebuah projek perumahan baru untuk rakyat berpendapatan rendah pun yang dirancang oleh mereka.

11. Justeru adalah sangat aneh dan luar biasa bila mana sekarang mereka berjanji untuk melaksanakan perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah jika menang di peringkat Persekutuan? Hakikatnya mereka tidak berbuat apa-apa untuk perumahan rakyat berpendapatan rendah biarpun mempunyai kuasa yang luas sebagai pentadbir negeri.

12. Sebaliknya anak syarikat kerajaan negeri di bawah Pakatan sibuk menukar rumah-rumah kos rendah di dalam bandar kepada rumah berjuta ringgit seperti yang berlaku kepada Datum Jelatek.

13. Untuk berlaku adil, saya petik sebahagian jawapan bertulis kerajaan negeri kepada saya mengenai isu perumahan rakyat berpendapatan rendah ini yang ditukar nama oleh mereka kepada Perumahan Mampu Milik.

b. Untuk makluman Y.B. konsep perumahan mampu milik mula diperkenalkan oleh kerajaan negeri pada tahun 2011.
Keadaan ini timbul akibat tindakan proaktif kerajaan negeri untuk mengkaji semula syarat-syarat pembangunan sedia ada seperti pembinaan 20 peratus rumah kos rendah, 20 peratus rumah kos sederhana rendah, 10 peratus rumah kos sederhana yang telah diguna pakai sejak tahun 2000 lagi supaya ianya lebih relevan untuk dipraktikkan berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa.
Sehubungan itu, sehingga kini, hanya terdapat satu projek perumahan mampu milik sahaja yang sedang dalam pembinaan oleh pemaju swasta iaitu Tetuan Sin Heap Lee Development Sdn. Bhd. di Sg Long, Kajang yang terdiri daripada 136 unit berkeluasan 805-881 kaki persegi. Harga jualan seunit rumah tersebut ialah antara RM 85,000.00 - RM 150,000.00 dan projek tersebut dijangka siap sepenuh pada Jun 2013.

14. Selama lebih empat tahun memerintah Selangor, Pakatan bukan sahaja tidak merancang atau meluluskan sebarang projek perumahan kos rendah untuk rakyat berpendapatan rendah, malah sanggup mengambil inisiatif menghapuskan polisi perumahan kos rendah dan sederhana rendah dengan menukarnya kepada perumahan mampu milik berharga RM 85, 000 ke atas. 

15. Alasan mengikut keadaan ekonomi semasa ini sangat melucukan. Ekonomi siapa? Rakyat atau pemaju? Kepentingan rakyat  atau kepentingan tembolok mereka?

16. Jika rumah kos rendah yang berharga RM 42, 000.00 pun ada yang mempunyai masalah dengan bank dan berhadapan dengan lelongan, ke mana kumpulan berpendapatan rendah ini akan pergi pada masa akan datang? Mewujudkan setinggan baru?

17. Bagi mereka yang telah menutup akal fikir dan hati mereka untuk membenci Barisan Nasional, kita tidak boleh berbuat apa-apa. Namun bagi mereka yang mahu menilai dan mencari kebenaran lihatlah hakikat bahawa Selangor di bawah Pakatan tidak memberi ruang keselesaan dan kemakmuran sebenar kepada rakyat berpendatan rendah seperti mana yang mereka laungkan.

18. Mereka mungkin berjaya mengelabui sebahagian rakyat dengan pemberian air percuma namun hakikatnya, kita mendapat RM 11 sebulan melalui air percuma, namun sebahagian generasi anak-anak kita yang mungkin berpendapatan rendah pada masa depan akan merempat kerana tidak mampu membeli rumah. Pakatan cuba menunjukkan mereka juara rakyat melalui pemberian kecil-kecilan namun mereka merancang polisi-polisi bersandarkan idea kapitalis melampau.

19. Hari ini mereka mahu menjanjikan perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah pada harga RM 75,000.00 ke bawah. Berapakah tangga gaji untuk rumah seperti ini? Mampukah sebahagian rakyat yang berpendapatan rendah membelinya? Sekarang ini mereka tidak melakukan ketika berkuasa di Selangor, justeru adakah rumah-rumah ini akan dibina di luar lembah klang?

20. Lebih mengelirukan terdapat perbezaan dan percanggahan yang besar antara rumah mampu milik yang dirancang oleh kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan sekarang dengan yang terdapat dalam manifesto Pakatan untuk pilihan raya umum ke 13.

21. Kerajaan negeri Selangor menyatakan Rumah Mampu Milik yang mereka rancang ialah antara RM 85,000.00 - RM 150,000.00. Manakala dalam manifesto Pakatan, Rumah Mampu Milik akan terbahagi dua iaitu di bawah RM 75,000.00 dan RM 150,000-RM 250,000.00. 

22. Kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu menyelesaikan masalah perumahan rakyat terutamanya di Lembah Klang, namun mempunyai mekanisme yang sangat bertentangan. Jika mereka tidak boleh bersetuju dalam isu yang mudah seperti ini, apa yang menjamin mereka akan melaksanakannya.

23. Bolehkah dipercayai janji Pakatan jika mereka sendiri tidak pasti apa yang mereka janjikan? Mungkin benar juga kenyataan seorang pemimpin besar mereka bahawa "Manifesto bukan Janji." 

"mudahnya menanam tebu dihujung bibir."

Sunday, February 10, 2013

Selamat Tahun Baru Cina

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada rakan-rakan dan seluruh pembaca blog ini dari kaum Tionghua tidak kira apa pegangan agama mahu pun fahaman politik. Semoga tahun ular dalam kalendar cina ini akan memberi lebih banyak kemakmuran dan juga mengekalkan keamanan sedia ada.




Thursday, January 17, 2013

Terima Kasih Hadi!

1. Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas, kerana akhirnya akur dengan desakan majoriti umat Islam agar tidak menyokong kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

2. Sungguhpun perubahan pandangan Hadi sangat mengejutkan kerana sebelum ini beliau menjadi jurucakap Pakatan dalam mempertahankan isu kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu, namun ia harus disambut secara terbuka dan penuh kesyukuran oleh umat Islam keseluruhannya.

3. Sekurang-kurangnya kita masih dapat bersatu mencari jalan menjaga kepentingan agama Islam di negara ini. Memang akan terdapat suara sinis yang menyatakan Hadi terpaksa menukar pendirian setelah diasak dengan hebat oleh umat Islam dan juga Dewan Ulama Pas sendiri. 

4. Apa pun penyebabnya tidak penting kerana yang utama ialah kesatuan umat Islam dalam mempertahankan pandangan para ulama dan mufti dalam isu ini.

5. Terima kasih Hadi! Saya cuma berharap Hadi tidak mengubah pendirian biar pun diasak oleh pemimpin PKR dan DAP.

Thursday, January 10, 2013

Allah Dalam Bible Melayu - Kehendak Agama atau Kehendak Politik

1. Blog ini pada Januari 2010 telah menerbitkan sebuah artikel berjudul "Cari Jalan Penyelesaian Segera Isu kalimah Allah" yang antara lain menggesa orang ramai menghormati titah perintah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor mengenai penggunaan kalimah Allah.

 2. Ketika itu Tuanku Sultan Selangor bertitah agar semua pihak di negeri ini berpegang teguh kepada pendirian Majlis Fatwa Selangor mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam. Menurut baginda keputusan tersebut haruslah dijunjung dan dihormati oleh semua pihak di dalam negeri Selangor.

 3. Ketika sambutan Krismas 2012 yang lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang menggesa kerajaan Persekutuan membenarkan penggunaan perkataan Allah menggantikan kata nama Tuhan dalam Bible bahasa Melayu.

 4. Berikutan itu, Tuanku Sultan Selangor telah memanggil satu mesyuarat khas dengan beberapa Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), mufti dan pegawai tinggi MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 6 Januari 2013.

 5. Menurut kenyataan akhbar, Tuanku telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi orang Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010, (Sel. P.U. 6).

6. Justeru adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak di negeri Selangor meneruskan polemik ini. Jika ada pihak yang tidak berpuas hati wajarlah mereka mohon menghadap DYMM Tuanku Sultan bagi menyatakan perasaan tersebut.

7. Saya dimaklumkan terdapat perkataan Allah dalam kitab suci agama Sikh. Saya tidak fikir ia satu masalah kerana perkataan tersebut telah wujud sekian lama dalam kitab suci asal agama mereka dan bukan ditulis dalam bahasa Melayu.

8. Yang menjadi isu besar di negara ini ialah mengapa dengan tiba-tiba sekumpulan pemimpin agama dan politik mahu menterjemahkan perkataan God kepada Allah dalam Injil (Bible bahasa Melayu)? God dalam bahasa Melayu ialah Tuhan. Dalam bahasa Melayu, Allah adalah kata nama khas kepada tuhan orang Islam. Islam sebagai agama Persekutuan tentulah mempunyai hak dan kelebihan untuk melindungi keistimewaan ini.

9. Mereka yang mendokong usaha menterjemahkan perkataan God dalam Bible asal kepada Allah dalam Bible bahasa Melayu sebenarnya bukan berbuat demikian atas kepentingan agama Kristian tetapi atas kepentingan politik kepartian. Jika mereka bekerja untuk agama Kristian semata-mata tentulah tiada masalah untuk menukar perkataan God kepada Tuhan dalam bahasa Melayu kerana ia tidak menjejaskan apa-apa prinsip ketuhanan dalam Kristian pun. Apatah lagi seluruh rakyat negara ini termasuk penganut agama Kristian telah pun mengenali Allah sebagai tuhan orang Islam sejak mereka di sekolah lagi.  

Siapa Mempolitikkan Isu ini?

10. Malaysikaini.com melaporkan bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, "regretted that the government is making this a polemic issue by using the media, when they (BN) do not understand and this had resulted in a strain in the relationship among people of various faiths."

 11. Kenyataan ini sangat mengarut kerana yang menimbulkan semula polemik ini ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng. Bagaimana tindak balas orang Islam di seluruh negara termasuk nama-nama besar dalam Dewan Ulama Pas ditafsirkan sebagai manipulasi UMNO? Hadi sebenarnya cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataan berpusing-pusing mengenai isu ini untuk memburukkan UMNO.

Politik Lebih Penting Daripada Agama

12. Presiden Pas semalam membuat kenyataan bahawa
“Hence, the word ‘Allah’ should not be abused by other faiths in giving different meanings to the word other than the ones from Muslim interpretations, resulting in further confusion on the issue (kalimah Allah tidak wajar disalah gunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan). Hence, Muslims of various practices would not translate ‘Allah’ in their own language when they are performing their prayers. “Despite this, Islam does not prohibit people of other faiths to use ‘Allah’ in their practice, although it is not within the scope of the original Al-Quran language... - Malaysiakini.com
13. Apakah ini kenyataan seorang ulama atau seorang ahli politik yang menggunakan agama untuk perjuangan partinya? Belum selesai isu "pengkafiran" beliau ke atas ahli UMNO (yang dibangkitkan semula oleh Cikgu Non, seorang ahli Pas), Hadi menimbulkan satu lagi polemik agama yang serius di kalangan orang Islam.

 14. Kenyataan Hadi ini adalah kenyataan politik. Tiada sesiapa pun mempertikaikan jika ada orang bukan Islam mahu menyebut perkataan Allah. Yang menjadi isu sekarang ialah apakah boleh atau tidak boleh perkataan God diterjemahkan sebagai Allah bukannya Tuhan dalam kitab Bible bahasa Melayu.

15. Janganlah kerana mahu meraih undi pengundi Kristian di negara ini Pas mahu berdolak-dalik dalam isu ini. Memang benar tiada nas yang nyata melarang penggunaan nama Allah dalam agama lain.

16. Namun ulama di negara ini baik Ulama dalam kerajaan, dalam universiti malahan dalam Pas telah sepakat bahawa penggunaan Allah dalam bahasa Melayu adalah khas untuk kegunaan orang Islam sahaja. Apakah kesepakatan ini mahu dibakulsampahkan oleh Hadi Awang hanya kerana undi?

17. Saya berharap agar sebagai seorang pemimpin Islam yang terpelajar, Hadi dapat mengambil masa bermuhasabah diri melihat isu ini. Saya khuatir kenyataan-kenyataan beliau boleh menghimpiri diri beliau kepada keadaan syirik dengan menyamakan konsep Allah yang maha esa dengan konsep Trinity dan sebagainya.

18. Apakah "Amanat Haji Hadi" lebih 30 tahun lalu sekarang ini kembali "memakan" diri sendiri?