Nota Kepada Pembaca

Saya mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya tulis dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elak membuat komentar menggunakan perkataan-perkataan buruk, bersifat hasutan, fitnah atau menyimpang dari topik perbincangan. Bagi para sahabat yang menulis komen tanpa nama harap dapat menyatakan nama panggilan di akhir komen bagi memudahkan proses komunikasi. - Dr Mohamad Khir


Friday, May 31, 2013

Putus Sudah Harapan?

1. Semalam, Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan sebulat suara menolak rayuan saya. 

2. Saya akan merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan ini tapi saya tidak mengharapkan peluang untuk dibebaskan secerah semasa kes ini di Mahkamah Rayuan.

3. Saya hadir ke Mahkamah Rayuan dengan harapan yang tinggi kerana saya percaya saya tidak melakukan apa-apa kesalahan rasuah mahu pun pecah amanah.

4. Saya membeli rumah dengan harga pasaran. Saya tidak memberi apa-apa keistimewaan kepada Shamsudin Haryoni berbanding syarikat-syarikat lain yang melakukan usahasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

5. Saya dimaklumkan bahawa tuduhan ke atas saya di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan tidak memerlukan sebarang bukti ada keistimewaan diberikan kepada Shamsuddin. Dengan kata lain, apa yang perlu dibuktikan ialah saya telah membeli sesuatu barangan dengan harga yang tidak mencukupi daripada seseorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai penjawat awam. 

6. Saya tidak pasti bagaimana mahu membeli rumah kerana hampir kebanyakan "developer" mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai Menteri Besar Selangor.

7. Sudah tentu ada yang berkata belilah rumah mengikut harga sebenar. Saya bersetuju dengan pandangan tersebut. Sebab itu saya minta diadakan penilaian ke atas rumah separuh siap yang mahu dijual oleh Shamsuddin kepada saya. 

8. Rahim and Co dan HSBC menilai rumah tersebut pada harga RM 3.5 juta. Penilai Rahim and Co memberi keterangan terperinci dalam Mahkamah mengenai cara penilaian dibuat. Keterangan beliau tidak dicabar oleh Pendakwa Raya. Malangnya ia tidak diambil pakai oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

9. Sepanjang tempoh perbicaraan ini terdapat 4 nilai harga rumah tersebut dibawa oleh pendakwa raya. Pertama ialah harga RM 6.5 juta, harga yang dibeli oleh Shamsuddin daripada pemilik pertama. Harga kedua, ialah RM 5.2 juta yang kononnya dibuat oleh Trans Asia atas permintaan Shamsuddin sebelum pembelian dilakukan. Shamsuddin tidak pernah menunjukkan kepada saya laporan tersebut dan ini diakui sendiri oleh beliau di dalam Mahkamah.

10. Pendakwa raya juga membentangkan laporan oleh Henry Butcher yang dibuat pada 2009, iaitu hampir 3 tahun selepas rumah tersebut saya beli dan siapkan.

11. Peguambela saya membentangkan dua nilaian. Satu daripada Irhamy and Co yang menilai rumah tersebut sebanyak RM 4.3 juta semasa Shamsudin membeli rumah tersebut pada 2005. Nilaian ini dibuat setelah Shamsuddin memohon untuk melakukan pinjaman cagaran ke atas kediaman tersebut dengan Maybank.

12. Nilaian kedua adalah nilaian Rahim and Co sebanyak RM 3.5 juta yang dilakukan ketika saya membeli rumah tersebut yang separuh siap apabila Shamsuddin meroboh dan membina semula.

13. Saya masih ingat tulisan dan pertanyaan seorang penulis sebuah portal yang menulis artikel bertajuk Adakah Anda Bergurau Tuan Hakim? Saya tidak pasti jika hakim menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut.

14. Semalam, peguam saya, Datuk Seri Shafee Abdullah bangun mengemukakan pertanyaan kepada tiga orang panel hakim hari ini, "Apakah benchmark atau tanda aras untuk menyatakan pembelian ini merupakan satu pembalasan yang tidak mencukupi."

15. Pertanyaaan ini bukan sahaja tidak dijawab oleh Hakim Mahkamah Tinggi tetapi juga oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan. Ini bermakna saya tidak mungkin mendapat sebarang perbicaraan yang munasabah pada akal logik. 

16. Panel Hakim menyatakan hakikat saya mengetahui rumah tersebut sebelumnya ditawarkan kepada saya RM 7 juta dan Shamsuddin membeli dengan harga RM 6.5 juta menunjukkan saya mengetahui balasan yang saya berikan tidak mencukupi.

17. Apakah masuk akal untuk saya membeli rumah separuh siap dengan harga rumah yang siap bersama perabot dan kolam renang yang dibeli Shamsuddin pada 2005? Jika berdasarkan pertuduhan inilah kesalahan saya. Namun sehingga dua Mahkamah saya lalui, tiada satu pun bukti menunjukkan harga RM 6.5 juta tersebut merupakan harga pasaran yang sebenar. 

18. Empat orang hakim masih tidak boleh memberi saya tanda aras apa yang sepatutnya saya guna untuk membeli rumah tersebut. Jadi bagaimana saya seorang yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai undang-undang boleh membuat keputusan yang tidak menyalahi undang-undang?

19. Dan jika nilaian oleh penilai bebas yang bertaraf antarabangsa seperti Rahim and Co dan bank antarabangsa seperti HSBC tidak boleh diterima pakai oleh Undang-undang dalam menentukan nilai sebenar hartanah tersebut, keadilan apa lagi yang mahu kita cari?

20. Saya percaya saya akan tetap bersalah walau apa pun bukti dibawa. Cuma saya berharap panel lima hakim akan datang menyatakan dengan jelas apakah tanda aras sebenar balasan tidak mencukupi tersebut. 

21. Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya.

22. Tapi sekurang-kurangnya saya berharap para Hakim akan memberi penghakiman yang jelas agar tidak ada lagi penjawat awam menjadi seperti saya - mangsa yang boleh  dimanipulasi untuk kepentingan politik!

Rasuah

23. Walau apa pun tanggapan mereka yang tidak suka dengan saya, tapi hakikatnya saya tidak melakukan rasuah. Sepanjang perbicaraan, keterangan pegawai PKNS jelas menunjukkan saya menyokong puluhan surat cadangan memajukan tanah PKNS secara usahasama. Ada sokongan saya yang diluluskan dan yang ditolak oleh jawatan kuasa teknikal. 

24. Sebab tu saya dituduh melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun SPRM dengan bangganya menyatakan bahawa kejayaan pendakwaan ke atas saya merupakan bukti kerajaan serius membanteras rasuah. 

25. Rasuah apa? Sokongan saya terhadap cadangan memajukan tanah secara usahasama ke atas syarikat milik Shamsuddin dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal yang saya tidak ketuai. Malah keterangan pegawai PKNS menunjukkan banyak sokongan saya juga ditolak. 

26. Shamsuddin memohon pengecualian Bon dan disokong oleh saya tetapi ditolak oleh PKNS. Jadi untuk apa Shamsuddin merasuah saya? 

27. Malahan dalam keterangan Shamsuddin, beliau sendiri mengakui bahawa beliau yang menawarkan untuk menjualnya kepada saya, bukannya saya yang meminta untuk membeli.

28. Memanglah ada "rempah ratus" pendakwa raya dari saksi-saksi yang bermusuhan dengan saya atau terpaksa kerana telah didakwa bersama saya terlebih dahulu. Namun hakikat utama dalam kes ini bahawa saya membeli rumah dengan balasan tidak mencukupi masih merupakan satu kenyataan yang sangat kabur.

29. Saya bangga sekurang-kurangnya saya membeli rumah dengan titik peluh saya bukan menggunakan wang kerajaan. 

Saturday, May 11, 2013

Kabinet Perlu Cerminkan Semua Kaum

PETALING JAYA: Kabinet tanpa wakil menteri kaum Cina akan menyebabkan politik perkauman di Malaysia akan menjadi-jadi dan tidak terkawal, kata bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo.

Apabila perkauman tidak dapat dibendung, negara akan runtuh, katanya yang menjadi menteri besar Selangor selama lapan tahun dari 2000 hingga tahun 2008. MCA mengumumkan wakil rakyat parti itu tidak akan menerima lantikan kabinet ekoran kekalahan parti itu dalam pilihan raya umum Ahad lalu. 
Keputusan MCA itu, menyebabkan Datuk Seri Najib Tun Razak sukar melantik wakil orang Cina dalam kabinet yang akan dibentuknya. 
“Biasanya MCA mempunyai tujuh wakil dalam kabinet, kalau mereka tidak ada siapa yang mahu mewakili suara mereka dalam kabinet. 
 “Adakah Najib akan melantik golongan profesional Cina sebagai senator dan seterusnya dibawa masung menganggotai kabinet.
“Atau jika Najib berani, beliau melantik menteri Melayu untuk menjaga hal ehwal orang Cina. Persoalannya, adakah orang Cina boleh menerima orang Melayu atau tidak,” katanya lagi.
Kerajaan perpaduan 
Jika Perdana Menteri, kata Dr Mohd Khir, meninggalkan orang Cina dalam kabinetnya, politik perkauman akan menjadi semakin marak. DAP yang menanam dan mengembangkan politik perkaum ini akan untung besar seperti yang berlaku pada Ahad lalu. 
Beliau menegaskan, politik negara masih bergerak berdasarkan kaum – orang Melayu bertanding di kawasan Melayu, Cina di kawasan Cina dan India di kawasan India. 
Menurut Dr Mohd Khir, kerajaan mesti menghalang atau membendung politik perkauman daripada terus merebak lagi. 
https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/05/09/najib-tidak-boleh-tinggalkan-orang-cina/